Ahad, September 29, 2024

Hadiah Pahala - Ibnu `Asyur

Syaikh Thahir Ibnu `Asyur rahimahullah pernah ditanya mengenai pembacaan ayat - ayat suci al-Quran dan pemberian makanan kepada fakir miskin dengan niat sebagai sedekah untuk orang yang telah meninggal dunia. Maka jawapan beliau: "Bahawasanya pembacaan ayat suci al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada orang mati, demikian juga bersedekah dengan makanan kepada yang memerlukan, membaca tahlil dan zikir - zikir seumpamanya yang dijanjikan ganjaran pahala baginya, semua itu sampai ganjaran pahalanya kepada si mati menurut pendapat yang menjadi pilihan jumhur ulama Mazhab Maliki, para imam mazhab dan ulama - ulama ahlis sunnah. Dalil - dalil yang menunjukkan atas yang sedemikian banyak terdapat dalam sunnah.

Isnin, September 23, 2024

Mawlid al-`Arus

Pada entri  ini, faqir ingin bicara sedikit tentang karya mawlid yang ditulis sekitar abad ke-6H. Karya mawlid yang dinisbahkan kepada Imam Jamaluddin `Abdur Rahman bin `Ali Ibnul Jauzi al-Hanbali (510 - 597H) rahimahullah. Imam Ibnul Jauzi terkenal sebagai ulama yang mempunyai karangan yang banyak. Di situ juga ada beberapa karya yang ulama tidak sepakat menisbahkannya sebagai karya beliau, antara yang sedemikian adalah karya mawlid yang masyhur dengan nama Mawlid al-`Arus. Sebahagian ulama mensabitkannya sebagai karya asli Imam Ibnul Jawzi, manakala sebahagian yang lain agak ragu dengan alasannya masing - masing. Apa yang pasti, tidak ada kata putus dalam perkara ini. Di sesetengah tempat di Timur Tengah, seperti Mesir dan Syria, Mawlid al-`Arus libni Jawzi masih dibaca terutama sekali dalam majlis - majlis mawlid atau dengan istilah yang lebih nyunnah versi Indera Kayangan, majlis - majlis Zikra al-Rasul. Oleh itu, mudah - mudahan  Allah menjadikan dada kita seluas lautan lepas untuk berlapang dada sesama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.

Sebenarnya, Mawlid `Arus bukanlah satu - satunya karangan mawlid yang dinisbahkan kepada Ibnul Jawzi. Beliau banyak menulis, sama berbentuk natsar maupun nazam, tulisan - tulisan yang memuji dan berkisah tentang Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Misalnya Mawlid Syaraful Anam yang masyhur itu pun dikatakan sebagai karya Imam Ibnul Jawzi. Bahkan, demi meraiekan pendapat tersebut, Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullahi ketika mensyarahkan Syaraful Anam telah memberikan dua jodol bagi syarah beliau tersebut, iaitu Fathush Shamad al`Alim `ala Mawlid asy-Syaikh Ahmad ibn Qasim kerana menurut kata Syaikh Ahmad al-Marzuqi, kitab mawlid tersebut adalah karangan Syaikh Ahmad bin al-Qasim al-Maliki, dan al-Bulugh al-Fawzi li bayani alfadz Mawlid Ibn al-Jawzi kerana meraiekan pendapat yang masyhur bahawa ianya karya Imam Ibnul Jawzi.

Berbalik kepada Mawlid al-`Arus, di antara sebab sebahagian ulama menolaknya sebagai karangan Ibnul Jawzi kerana dikatakan yang mula - mula mendakwa ianya sebagai karangan Ibnul Jawzi adalah seorang orientalis German yang bernama Carl Brockelmann (1868 - 1956). Juga dikatakan bahawa ia mengandungi riwayat - riwayat tentang penciptaan Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam yang dipermasalahkan. Namun, ini mungkin kerana pihak yang menolak sememangnya sejak awal bermasalah dengan konsep Nur Muhammad dan keterdahuluannya (awwaliyah / asbaqiyyah), seperti almarhum Syaikh Abdullah al-Harari dan pengikut - pengikutnya. Kesimpulannya, status Mawlid al-`Arus ini adalah karya yang dipertikaikan, sebahagian ulama menerima, bahkan menjadikannya bacaan dalam majlis - majlis sambutan mawlid, manakala sebahagian lain tidak menerimanya bukan sahaja sebagai karya Ibnul Jawzi tapi mendakwa ianya sebagai karya yang bermasalah. Maka yang nak pakai pakai, yang tak nak pakai, pakai yang lain. Nak bergaduh buat apa, baca shalawat lagi baik, dah masing - masing ada hujjah dan pandangan.

Di antara ilmuwan kontemporer yang berpandangan bahawa Mawlid al-`Arus adalah karya Imam Ibnul Jawzi dan tidak ada masalah pada isi kandungannya adalah Dr. Abdul Hafidz al-Baqaali al-Ghazwani. Dalam membuat kajian, beliau telah meneliti banyak manuskrip mawlid tanpa jodol khas yang dinisbahkan kepada Imam Ibnul Jawzi. Lalu beliau memilih lapan (8) manuskrip yang lebih kurang sama kandungannya untuk kajian lanjut. Hasil penelitian tersebut, beliau terbitkan pada tahun 2015 naskhah Mawlid al-`Arus dengan tahkikannya. Dr. Abdul Hafidz al-Baqaali adalah seorang doktor perubatan kelahiran Maghribi 1954. Beliau memiliki latar belakang pendidikan agama secara tradisional dan juga ijazah dari Universiti Qarawiyyin dalam bidang Usuluddin.

Sebagai penaik semangat bermawlid, maka faqir nukilkan antara yang dicatat dalam Mawlid al-`Arus berdasarkan kepada naskhah yang ditahkik dan diterbitkan pada tahun 2015 pada halaman 66  sebagai berikut:- ...Mahasuci Tuhan yang telah menjadikan nabi yang mulia ini sebagai Sulthanul Anbiya` (penguasa para nabi) dan telah mengangkat kedudukan serta namanya di alam malakut; Dan menjadikan bagi sesiapa yang bergembira dengan mawlidnya (kelahirannya) suatu hijab pendinding dari api neraka; Dan sesiapa yang menafkahkan satu dirham untuk mawlidnya, (mudah-mudahan) Junjungan al-Mustafa shallaAllahu`alaihi wa sallam memberikan syafaat baginya dan membalas setiap dirham yang dia belanjakan itu dengan sepuluh kali ganda...

Sebagai penutup, kita dengarkan bacaan fasal awwal dari Mawlid al-`Arus oleh ulama lagi wali yang masyhur di Syria, mursyid Thariqat Syazaliyyah Hasyimiyyah Darqawiyyah almarhum Syaikh `Abdur Rahman asy-Syaghuri. Mudah - mudahan ada manfaatnya.

Rabu, September 18, 2024

Mimpi Syah Abdur Rahim

Imam Musnid Hindi, Muhaddits Dehlawi, Syah Waliyullah Ahmad bin Abdur Rahim ad-Dehlawi (w. 1176H) rahimahullah, tokoh ulama pelbagai bidang, mufassir, sufi dan muhaddits, mempunyai karangan yang menghimpunkan 40 kisah mimpi atau pengalaman kerohanian yang menggembirakan. Risalah tersebut beliau namakan ad-Durruts Tsamin fi mubasysyarat an-Nabiyyil Amin shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tulisan ini mengandungi pengalaman rohani dan mimpi dirinya dan beberapa tokoh lain seperti ayahandanya Syah Abdur Rahim, Syaikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syaikh Ahmad an-Nakhli, yang direzekikan Allah ta`ala untuk bertemu dan berinteraksi dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam atau dengan beberapa pribadi mulia lain seperti Nabi Zakaria `alaihis salam.

Tidak ada yang menolak harus dan boleh bagi seseorang untuk bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Beberapa hadits yang shahih menyatakan hal ini, antaranya apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Junjungan shallaAllahu`alaihi wa sallam menyatakan sesiapa yang melihat baginda di dalam mimpi, maka benarlah dia telah melihat baginda kerana syaitan tidak mampu untuk menyerupai baginda (yakni dalam bentuk rupa asli baginda sebagaimana dalam riwayat - riwayat yang sahih). Dalam mimpi yang sedemikian, tidaklah mustahil untuk berlakunya interaksi di antara Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan orang yang bermimpi. Maka, interaksi tersebut, samada berupa ungkapan kata atau laku perbuatan, jika dikatakan sebagai "hadits", maka ianya bukan atas istilah hadits mengikut disiplin ahli hadits atau ilmu mustalah hadits dan yang berkaitan dengannya. Ini hendaklah kita fahami betul - betul, sebelum mensabitkan sesuatu riwayat yang diperolehi dari jalan yang tidak mengikut piawai para muhaddits sebagai hadits dalam istilah ilmu hadis dan sebelum mentohmah kebohongan dan kepalsuan kepada para awliya` yang telah benar - benar berinteraksi dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpi - mimpi atau pengalaman rohani secara yaqazhatan.

Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi, bukanlah tokoh yang asing dalam ilmu hadits. Beliau adalah ahli hadis, muhaddits bahkan dianggap sebagai musnid, juga seorang reformis selain seorang mufassir, usuli, faqih lagi sufi. Pada mukaddimah ad-Durruts Tsamin, beliau menulis sebagai berikut:- 
.. Amma ba'du, maka berkatalah hamba yang paling dhaif daripada segala hamba - hamba Allah al-Karim, Ahmad yang dikenali dengan gelaran Waliyullah bin `Abdur Rahim al-`Umari al-Dehlawi: "Inilah 40 "hadits" [faqir letakkan dalam tanda petik sebagai isyarat bagi penggunaan kalimah "hadits" secara longgar sebagai apa sahaja yang diterima daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bukannya atas pengertian hadits sebagaimana dalam istilah muhadditsin dan ilmu - ilmu hadits.] daripada "hadits - hadits" Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang diriwayatkan secara mimpi atau secara musyahadah akan roh baginda yang mulia. Telah aku himpunkan akan dia [yakni, "hadits - hadits" tadi] dalam risalah ini, antaranya apa yang diterima tanpa ada sebarang perantara (wasithah) di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam [yakni, pengalaman pribadi beliau sendiri, iaitu beliau meriwayat terus daripada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam]; Antaranya, apa yang di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam] ada satu wasithah sahaja [yakni, beliau menerima daripada riwayat seseorang yang mengalaminya sendiri seperti daripada pengalaman ayahandanya.]; Dan antaranya lagi, apa yang di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam ada dua atau lebih wasithah (perantara / rawi). Aku namakan risalah ini ad-Durruts Tsamin fi mubasysyarat an-Nabiyyil Amin shallaAllahu `alaihi wa sallam.
 
Maka dalam mimpi pun Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam masih boleh berbicara dengan si pemimpi, apa yang disabdakan oleh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpi tersebut bagi sesetengah ulama, secara longgar juga disebut sebagai "hadits". Namun ianya bukanlah atas istilah disiplin ilmu hadits yang menjadi sumber hukum dalam Islam. Maka "hadits" yang diterima melalui pengalaman rohani seseorang, sekali - kali tidak menjadi sumber pegangan iktiqad dan hukum - hakam syariat. Sungguhpun begitu, pengalaman kerohanian yang benar atas penyaksian al-Kitab dan as- Sunnah, yakni yang tidak bercanggah dengan akidah dan syariat juga akhlak, seperti mimpi - mimpi yang benar, walaupun tidak dapat menjadi hujjah dalam persoalan aqidah pegangan dan hukum hakam, namun sedikit - sebanyak, dapat memberi tambah nilai atau panduan dan penjelasan berhubung sesuatu pegangan atau hukum yang telah disabitkan dari sumber - sumbernya mengikut kaedah dan usulnya masing - masing. Jika boleh kita qiyaskan dengan sesuatu penghakiman Mahkamah, maka ianya walaupun bukan ratio decidendi bagi keputusan penghakiman tersebut, namun ianya , sedikit - sebanyak, mempunyai nilai obiter dictum. Maka tidak hairan, jika Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi meluangkan masanya yang berharga untuk menghimpun pengalaman - pengalaman kerohanian dan mimpi - mimpi gembira tersebut dalam satu risalah serta meriwayatkannya dan tidak membakulsampah semuanya sebagai karut - marut.

Berbalik kepada tujuan asal entri ini, pada "hadits" (yakni "hadits" dengan makna yang longgar tadi kerana mengikut kalimah yang digunakan oleh Syah Waliyullah dalam karangannya tersebut, jika kita keberatan dengan penggunaan kalimah "hadits" atas kekhuatiran terkeliru dengan hadits dalam istilah muhadditsin, maka kita sebut sahaja sebagai kisah atau cerita atau mimpi) yang ke-22. Maka kata Syah Waliyullah: Telah mengkhabar akan daku  ayahandaku (Syah Abdur Rahim) dengan katanya:
Adalah menjadi kebiasaanku pada setiap tahun untuk menyediakan makanan yang aku sedekahkan sebagai shilah dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (yakni sedekah khusus untuk memuliakan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam), maka jatuh pada satu tahun dari tahun - tahun tersebut, di mana aku tidak mempunyai kelapangan rezeki bagi menyediakan makanan untuk disedekahkan selain kacang kuda goreng. Lalu aku bahagi - bahagikan kacang kuda tersebut kepada orang sebagai sedekah. Setelah itu, aku telah bermimpi bertemu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam keadaan baginda berseri - seri riang gembira dan di hadapan baginda terhidang kacang kuda yang telah aku sedekahkan (yakni, isyarat atas kegembiraan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam terhadap perbuatan tersebut).
Allahu... Allah, risalah Syah Waliyullah ini telah masyhur dan tersebar di kalangan para ulama dan antara yang meriwayatkan risalah ini sehingga sampai kepada kita adalah Ra-isul Muhadditsin Mawlana Zakaria al-Kandahlawi yang menerimanya daripada guru - guru beliau sambung menyambung sehingga kepada Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi `alaihim rahmatul Mawlal Bari. Terpulanglah samada untuk percaya atau tidak kepada mimpi - mimpi dan pengalaman kerohanian para ulama dan awliya yang direkodkan oleh seorang ulama dan wali. Yang menerimanya pula janganlah memandai - mandai untuk berhukum terus dengannya, sehingga mengeluarkan hukum - hakam yang entah apa - apa seperti "sunat bersedekah kacang kuda goreng di hari mawlid' atau seumpamanya. Ingatlah, bahawa untuk menetapkan sesuatu pegangan dan mengeluarkan hukum - hakam, ada usul dan kaedahnya. Setiap bidang itu ada adab dan disiplinnya yang perlu kita perhati, ikut dan jaga, agar kefahaman dan pemahaman kita benar dan tepat mengikut jalan orang - orang yang beriman sebagaimana yang ditunjuk dan dipandu oleh para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Semoga ada manfaatnya.

Jumaat, September 13, 2024

Maulud Nabi - Pesan TG Hj Sulong

Di hujung mukaddimah kitab Cahaya Islam Gugusan Mawlid Sayyidil Anam pada halaman 33, asy-Syahid Tuan Guru Haji Sulong al-Fathani rahimahullah berpesan sebagai berikut:-

      (Maka hai saudara - saudara yang mulia) hendaklah bersungguh - sungguh mengekali mengerjakan mawlid / maulud pada tiap - tiap tahun walaupun sedikit, supaya timbul dan zahir kemuliaan nabi kita Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam pada pandangan manusia ramai dan supaya dapat berkat kelebihannya (se)bagaimana telah tersebut dahulu itu. Kerana mengeluarkan belanja bagi berbuat jamuan dan menghimpunkan saudara - saudara kerana membaca mawlid itu adalah sebesar - besar kebajikan yang masuk di dalam firman Allah ta`ala:-

Artinya: "Bandingan orang - orang yang membelanjakan segala harta mereka itu pada agama Allah seperti bandingan orang yang menanam sebiji gandum yang tumbuh ia tujuh tangkai. Adalah pada tiap - tiap satu tangkai itu berbuah seratus dan Allah ta`ala mengganda - ganda bagi mereka yang dikehendakiNya." Yakni, satu duit umpamanya membelanjakan berbuat kebajikan, diberi pahala di dalam akhirat dengan tujuh ratus duit atau lebih lagi. Dan membelanjakan membuat mawlid itu ialah sebesar - besar menzahirkan agama Allah ta`ala kerana memuliakan kebesaran nabi kita Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam yang semulia - mulia makhluk dan (me)nyatakan kasih sayang kepadanya.

        Dan sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bahawasa sedekah itu menolak akan kemurkaan Allah dan menghilang akan mati di dalam kejahatan dan memadam daripada ahlinya akan panas di dalam kubur dan sungguhnya berteduhlah orang yang mukmin pada hari kiamat di dalam bayang - bayang sedekahnya. Dan apalah sedekah yang terlebih besar sedekah kerana memuliakan hari diperanakkan nabi kita Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam.

        Dan hendaklah bersungguh - sungguh mengamat - amati oleh orang yang ada kasih sayang kepada Agama Islam bahawa membesarkan umpama ini bulan yang mulia kerana kelebihannya amat banyak dan berkatnya amat nyata. Maka janganlah mensia-siakan hari yang diperanakkan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan tidak diperbuat akan apa - apa suatu tanda kemuliaannya dan kebesarannya oleh kerana sayang kepada harta yang ialah nikmat Allah subhanaHu wa ta`ala yang memberi akan kita supaya kita syukur kepadaNya dengan berbuat kebajikan yang jadi petaruhan bagi kita di dalam akhirat.....

Begitulah antara pesanan Tuan Guru Haji Muhammad Sulong @ Sulum al-Fathani rahimahullah. Mudah - mudahan dapat diambil manfaat dan faedah. Dalam bulan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, sekurang - kurangnya diperingati dan dimuliakan dengan menambahkan lagi ucapan shalawat dan salam kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ingat kepada bagindalah kita berpaut meminta syafaat ketika Allah bertajalli dengan namaNya al-Muntaqim. Selamat menyambut hari keputeraan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Semoga bermanfaat dan mendapat syafaat baginda.

Almarhum Guru Zuhdi

Rabu, September 11, 2024

Shalawat Munjiyyah

Shalawat Munjiyyah adalah shalawat yang diajarkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpi seorang yang shalih bernama Syaikh Musa adh-Dhahir. Kisah mimpi penerimaan Shalawat Munjiyyah ini telah masyhur dan banyak dinukilkan dalam kitab - kitab ulama kita. Almarhum Datuk Abdul Kadir Hasan dalam fatwa beliau menyebut, antara lain, sebagai berikut:- ... "Bahawa Shalawat Munjiyyah ini sesungguhnya terbilang daripada shalawat - shalawat yang masyhur yang banyak diamalkan oleh ulama - ulama". Maka tidak dapat dinafikan kemasyhuran shalawat ini, bahkan rata - rata tok - tok imam, lebai - lebai dan alim ulama kita sentiasa memulakan doa mereka dengan shalawat yang sangat berkat ini. Shalawat ini sebenarnya adalah doa bertawassul dengan amal shalih iaitu amalan shalawat yang disyariatkan. Maka tidak ada sebab shalawat ini dihukumkan bid`ah sesat, kerana bershalawat itu disyariatkan, berdoa disyariatkan dan bertawassul dengan amal shalih pun disyariatkan, sebagaimana dikisahkan dalam hadis shahih tentang tiga orang yang terperangkap dalam gua lalu mereka berdoa mohon kelepasan bertawassul dengan amal - amal shalih yang pernah mereka lakukan. Dan ketahuilah, bertawassul dengan amal shalih, tidak ada sesiapa yang mempertikaikannya hatta Wahabi.

Tuan Guru Haji Chik rahimahullah, ulama Kedah yang terbilang alim sehingga digelar Raja Fekah Kedah, dalam Luqthatul Awrad menulis tentang Shalawat Munjiyyah sebagai berikut:- .... Shalawat Munjiyyah adalah faedahnya hendaklah bacanya tiap - tiap hari sebelas (11) kali dan sekurang - kurangnya tiga (3) kali, nescaya lepas ia daripada sekalian huru - hara dan kebinasaan dan ditunai dengan dia akan sekalian hajat dan disuci dengan dia daripada sekalian kejahatan dan diangkat dengan dia akan setinggi - tinggi darjat dan disampai dengan dia akan sehabis - habis sampai segala kebajikan di masa hidup dan selepas mati. Boleh jadi tok keramat dibaca tiap - tiap hari seribu (1000) kali..... 

Maka setidak - tidaknya, setiap selepas shalat mulakanlah doa kalian dengan Shalawat Munjiyyah atau jika kesuntukan waktu, padakanlah doanya dengan shalawat yang berkat ini kerana dalamnya ada permohonan agar diampunkan segala dosa kita, samada besar atau kecil. ditunaikan segala hajat dan disampaikan kita ke kemuncak daripada segala kebajikan, kebaikan dan kesenangan ketika masih hidup di dunia dan selepas kematian. Di bawah ini antara contoh doa ringkas untuk dibaca selepas shalat fardhu sebagaimana dinukil oleh almarhum Sayyid Ahmad bin Abdul Rahman BaHusain dalam Majmu`atun Mubarakah, cuma kalau boleh ditambah dan jangan ditinggal doa untuk dua ibubapa walaupun sekadar: "Allahummagh fir liy wa li waalidayya / Allahummagh fir lanaa wa li waalidiina".

Khamis, September 05, 2024

Shalawat Syifa` - Sidi Jilani

Tidak dapat dinafikan, bahawa di antara shalawat yang masyhur menjadi amalan umat Islam sedunia di zaman ini adalah Shalawat Thib @ Shalawat Syifa. Faqir kurang periksa tentang asal usul shalawat ini, ada yang menisbahkan kepada Sidi Ahmad ad-Dardir al-Maliki dan ada yang menisbahkan kepada ulama lain yang terdahulu. Dr Thaika Shu`aib Alim rahimahullah, guru mursyid bagi Thariqah `Arusiyyah Qadiriyyah, menyatakan bahawa Shalawat Syifa` adalah antara shalawat yang dibaca oleh Sulthanul Awliya Syaikh Abdul Qadir al-Jilani. Beliau mencatat dalam al-Munjiyath pada halaman 99, Shalawat Syifa` sebagai: The Salawat To Strengthen Body And Soul.The Salawat recited by Qutbul Aqtab Muhyiddeen Abdul Qadir Jeelani radhiyaAllahu `anhu.

Telah masyhur kisah dan pengalaman yang telah dialami oleh ramai orang tentang keberkatan Shalawat Syifa`, terutama sekali dalam urusan pengobatan dan penyembuhan pelbagai penyakit. Di Malaysia, hanya puak - puak di Perlis dan yang sewaktu dengannya sahaja yang bermasalah dengan amalan ini, sedangkan para ulama lain, yang lebih alim hatta di Mesir dan Timur Tengah tidak pun ada apa - apa masalah. Apakah pihak di Perlis merasakan diri mereka lebih alim berbanding dengan para ulama lain? Tapi apa - apa pun, biarkan sahaja si Luncai terjun dengan labu - labunya. Sebagai penutup, kita dengar kisah yang disampaikan oleh Maulana Syaikh Prof. Dr. Yusri Rusydi Sayyid Jabr al-Hasani, ulama Azhar dan pakar bedah, tentang kisah keberkatan Shalawat Syifa`, mudah - mudahan bermanfaat hendaknya.

Isnin, September 02, 2024

Ibnu Taimiyyah Bukan Syaikhul Islam

Syaikh Ibnu Taimiyyah adalah seorang tokoh yang amat kontroversial. Sebahagian menobatkan beliau sebagai seorang ulama unggul, bahkan yang terunggul, sehingga seolah - olah tidak ada ulama lain lagi untuk dijadikan modal dan dalil dalam mendirikan hujjah (geng yang sikit - sikit, Ibnu Taimiyyah; sikit - sikit, Ibnu Taimiyyah; macam dah tak ada lagi ulama selain Ibnu Taimiyyah). Kelompok ini boleh kita namakan sebagai pentaksub Ibnu Taimiyyah. Berseberangan dengan kelompok ini, ada sekumpulan yang amat membenci Ibnu Taimiyyah sehingga mengkafirkan beliau. Di antara dua kelompok ini, ada golongan yang sederhana, tidak me"maksum"kan Ibnu Taimiyyah dan tidak pula mengkafirkan beliau. Mereka berpendapat bahawa Ibnu Taimiyyah punya pandangan yang benar selari dengan pandangan ulama lain, namun ada juga pendapat beliau yang keliru, tersasar bahkan tersesat dari kebenaran, samada dalam bab - bab akidah, maupun bab - bab fiqh. Faqir lebih cenderung untuk bersederhana, menganggap Ibnu Taimiyyah sebagai salah seorang daripada jutaan ulama umat ini dan bukannya satu - satunya ulama umat Muhammad. Ibnu Taimiyyah ilmunya jauh tinggi berbandingkan kita, namun ramai lagi ulama yang keilmuannya jauh di atas Ibnu Taimiyyah. Dan tidaklah berarti Ibnu Taimiyyah sentiasa atas kebenaran kerana telah dibuktikan oleh para ulama bahawa ada pandangan beliau yang keliru, tersasar dan tersesat, sehingga Imam Ibnu Hajar al-Haitami menghukumnya Ibnu Taimiyyah sebagai seorang yang sesat menyesatkan. Namun perlu diketahui bahawa bukan semua kesesatan itu dihukumkan sebagai kekafiran atau mengeluarkan seseorang daripada menjadi ahli qiblat. Ya Ibnu Taimiyyah keliru, sesat, namun tidak sampai menjadi kafir. Syaikh Dr. Sa`id Abdul Lathif Foudah, seorang ulama semasa, pakar akidah, yang banyak mengkaji dan memberikan kritikan - kritikan pedas tahap gaban terhadap Ibnu Taimiyyah sehingga menghukumkan Ibnu Taimiyyah sesat bukan Ahlus Sunnah, namun beliau tidak pernah mengkafirkan Ibnu Taimiyyah.

Dalam bidang fiqh pula, terutama sekali dalam Mazhab Hanbali yang dianuti Ibnu Taimiyyah, beliau bukanlah tonggak atau rujukan utama mazhab tersebut. Berbeza dengan datuknya, Imam al-`Allaamah Abul Barakat Majduddin Ibnu Taimiyyah. Orang - orang sering keliru sehingga menyangka bahawa tokoh penting Mazhab Hanbali itu Ibnu Taimiyyah yang kontroversial, yang namanya Ahmad bin Abdul Halim dengan gelaran Taqiyuddin. Sedangkan yang sebenarnya tokoh penting Mazhab Hanbali adalah datuk kepada Taqiyyuddin Ahmad Ibnu Taimiyyah yang bernama Abdus Salam bin Abdullah yang digelar Majduddin Ibnu Taimiyyah. Majdudin Ibnu Taimiyyah atau nama sebenarnya adalah Abul Barakat Abdus Salam bin Abdullah Ibnu Taimiyyah adalah ayah kepada Syihabuddin Abdul Halim Ibnu Taimiyyah yang merupakan ayah kepada Taqiyuddin Ahmad Ibnu Taimiyyah. Majduddin Ibnu Taimiyyah inilah pengarang kitab al-Muharrar fil Fiqh antara kitab muktabar rujukan penting bagi fiqh Mazhab Hanbali. Di kalangan ulama mutaakhir Mazhab Hanbali, Majduddin Ibnu Taimiyyah dan Mawfiquddin Ibnu Qudamah diberi jolokan sebagai as-Syaikhan, sebagai pengiktirafan kepada keilmuan dan ketokohan beliau berdua dalam Mazhab Hanbali. Diharap setelah ini kita dapat membedakan Ibnu Taimiyyah (Majduddin / datuk) yang merupakan rujukan Mazhab Hanbali dengan Ibnu Taimiyyah (Taqiyuddin / cucu) yang merupakan tokoh kontroversial yang kadang - kadang mempunyai pandangan yang berbeza dengan pandangan yang dimuktamadkan dalam fiqh Hanbali.

Berbalik kepada Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah, maka jika ada yang menobatkan beliau sebagai Syaikhul Islam, maka ingat bahawa bukan seorang sahaja yang diiktiraf sebagai Syaikhul Islam. Manakala sesiapa yang tidak bersetuju dengan gelar tersebut diberikan kepada Ibnu Taimiyyah, maka mereka juga berhak untuk itu. Apa yang penting jangan terlampau taksub dengan Ibnu Taimiyyah dan jangan pula terlalu membencinya. Apa - apa pun kita semua harus akur kepada fakta bahawa Syaikh Ibnu Taimiyyah hidup di luar era salaf, maka beliau bukanlah ulama era salaf. Jika dikatakan beliau mewarisi ilmu dan manhaj para ulama salaf, maka semua ulama kita yang muktabar dari empat mazhab yang besar adalah pewaris ilmu dan manhaj salaf, bukannya Ibnu Taimiyyah dan para pengikutnya sahaja. Ilmu dan manhaj salaf itu lebih luas berbanding Ibnu Taimiyyah dan para pengikutnya. Maka tidaklah dapat dikatakan bahawa Ibnu Taimiyyah mencerminkan 100% ajaran atau pegangan ulama Salaf kerana ada pandangannya yang berseberangan dengan mereka. Maka Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah adalah seorang yang mempunyai pandangan yang kontroversial, samada dalam bidang aqidah maupun fiqh, untuk menisbahkan semua pandangan beliau sebagai 100% ajaran salaf adalah tidak tepat. Perkara ini telah banyak dikaji dan ditulis oleh para ulama dahulu dan kontemporari seperti karangan - karangan Dr. Syaikh Sa`id Foudah antaranya al-Kasyifush Shaghir, thesis Universiti al-Azhar yang ditulis Syaikh Mansur Muhammad `Awais dengan jodol Ibnu Taimiyyah Laisa Salafiyan, juga kepada penjelasan Syaikhul Azhar, Dr. Ahmad Muhammad Thayyib yang turut merekomendasi thesis tersebut. Maka, tidaklah kita nafikan keilmuan yang ada pada Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah dan sumbangan - sumbangan beliau, sebagaimana kita tidak menafikan ketokohan Imam Zamakhsyari dan sumbangan - sumbangan beliau. Semoga Allah tetapkan kita istiqamah atas kebenaran sebagaimana dijalani oleh para ulama khalaf yang mewarisi jalannya para ulama salaf, Ahlus Sunnah wal Jama`ah.

Pandangan Baba Li hafizahullah