Isnin, Oktober 24, 2016

Timbangan Yang Sempurna


Sebagai hamba yang lemah, serba kekurangan dan kedhaifan, pasti sifat kurang itu dibawa hatta ketika melaksanakan sesuatu pekerjaan atau amalan atau urusan atau ibadah. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa memohon agar Allah `azza wa jalla menerima segala amalan kita walaupun keadaannya dipenuhi pelbagai kekurangan dan kecacatan. Allah azza wa jalla dalam surah al-Baqarah ayat 127 berfirman, yang kira-kira maksudnya: " Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata:  Wahai Tuhan kami ! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." Allahu ... Allah, lihat sahaja bagaimana dua manusia agung ini, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 'alaihimash shalatu was salam, nabi serta rasul yang maksum, tatkala melaksanakan pekerjaan yang suci iaitu perintah Allah membina Baitullah, di tempat yang paling suci, Kota Mekah, namun tetap kedua mereka bermunajat memohon agar Allah ta`ala menerima amalan mereka. Lalu di manakah kedudukan kita ? Sewajarnya hamba yang lemah yang dhaif yang banyak kekurangan dan taqshir lagi melazimi dosa dan maksiat, pasti 100000000000 kali wajar dan patut untuk merayu agar Allah yang Maha Agung menerima amalan kita yang penuh kekurangan ini. Sesungguhnya nilainya sesuatu amalan itu adalah atas kabul dan penerimaannya di sisi Allah. Sedekah yang hanya sekupang dua tetapi diterima di sisi Allah adalah besar nilainya di akhirat nanti berbanding sedekah 2.6 billion yang tidak diterima di sisi Allah.

Imam Nawawi rahimahullah menukilkan dalam kitabnya yang masyhur "al-Adzkar" pada halaman 427 bahawa diriwayatkan dalam "Hilyatul Awliya" daripada Sayyidina Ali radhiyaAllahu `anhu yang berkata: "Sesiapa yang suka (amalannya) ditimbang (yakni dikira) dengan timbangan yang sempurna, maka hendaklah dia membaca di akhir majlisnya atau ketika dia berdiri (untuk meninggalkan sesuatu majlis, yakni kinayah bagi selesainya sesuatu pekerjaan atau urusan atau amalan atau ibadah):-
Juga telah warid lagi beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan dalam "Mushannaf Abdur Razzaq ash-Shan`aani" dan oleh Imam ath-Thabrani rahimahullah dalam "Kitabud Du`a", bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam membaca ayat-ayat ini selepas shalat. Imam ad-Dailami rahimahullah pula mendatangkan riwayat daripada Sayyidina 'Ali karramaAllahu wajhah yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang suka amalannya ditimbang dengan timbangan yang sempurna pada Hari Kiamat, maka hendaklah dia membaca setelah selesai shalat : (ayat tersebut tadi, yakni ayat 180 - 181 surah ash-Shaaffaat)." 

 Allahu... Allah, maka ada ulama yang menamakan ayat-ayat 180 - 181 surah ash-Shaaffaat ini sebagai "al-Mikyaalul Awfa" yakni "timbangan yang sempurna". Oleh itu adalah dianjurkan agar pembacaan ayat atau zikir ini diamalkan di akhir setiap majlis kebajikan atau pada penghujung doa atau ketika selesai menunaikan shalat dan lain-lain ibadah, dengan harapan agar Allah `azza wa jalla menerima segala ibadah dan amalan kebajikan tersebut dan memberikan ganjaran pahala yang sempurna atas ihsan dan rahmatNya semata-mata.

Selasa, Oktober 11, 2016

12 + 1 Amalan `Asyura`

Imam Syamsuddin Abul Mahasin Muhammad bin Khalil bin Ibrahim al-Masyisyi al-Qaawuqji rahimahullah adalah seorang faqih, muhaddits, sufi dan ulama besar bermazhab Hanafi yang dilahirkan pada tahun 1224H atau 1225H /1810M. Beliau ini digelar sebagai "Musnid bilad asy-Syam" atas ketokohan dan penguasaannya dalam ilmu - ilmu hadits. Karya tulis beliau amat banyak, dari kitab-kitab besar sehinggalah ke risalah-risalah kecil. Maka antara risalah tulisan beliau adalah "Tuhfatul Muhibbin wa Minhatul Mustarsyidin fi ma yuthlabu fi yawmi 'Asyura`". Dalam risalah ini beliau mencatatkan beberapa amalan yang dianjurkan pada Hari `Asyura` dan antaranya adalah 12 amalan yang beliau ambil daripada apa yang dinukil oleh Imam 'Ali al-Ajhuri al-Maliki rahimahullah, ulama besar Maliki yang wafat di Mesir pada tahun 1066H.



Dalam mukaddimahnya, Imam al-Qaawuqji rahimahullah menyatakan:- " Telah menukil al-Ustaz 'Ali al-Ajhuri al-Maliki bahawa ada 12 amalan yang dituntut (yakni dianjurkan) untuk dilakukan pada Hari 'Asyura`, iaitu:-
  1. Puasa;
  2. Shalat Nafilah (yakni memperbanyakkan shalat sunnat seperti Sunnat Mutlak dan sebagainya;
  3. Sedekah;
  4. Mandi;
  5. Bercelak;
  6. Menziarahi orang sakit;
  7. Bersilatur rahim;
  8. Menziarahi ulama dan orang shalih;
  9. Meluaskan atau melapangkan perbelanjaan bagi keluarga;
  10. Memotong kuku;
  11. Menyapu kepala anak yatim (yakni berbuat baik kepada anak yatim);
  12. Membaca Suratul Ikhlas 1,000 kali.
Dan ditambah satu lagi amalan atas amalan-amalan ini, iaitu amalan membahagi-bahagi bubur biji-bijian (yakni bersedekah dengan masakan biji-bijian atau bubur seumpama bubur 'Asyura). Maka sewajarnya bagi setiap orang yang cintakan jalan akhirat untuk meraih keberuntungan pada hari ini (yakni Hari `Asyura`) dengan mengamalkan amalan-amalan yang mulia ini.

Selanjutnya dalam risalah tersebut, Imam al-Qaawuqji rahimahullah menjelaskan bahawa walaupun nas yang tsabit mengenai amalan-amalan khusus pada Hari 'Asyura` hanyalah pada dua amalan sahaja iaitu berpuasa dan melapangkan perbelanjaan keluarga, namun amalan-amalan selain keduanya tersebut masih boleh diamalkan walaupun hanya berdasarkan kepada hadis-hadis dhaif dan riwayat-riwayat yang mankurah (riwayat yang lemah di mana perawinya dihukum sebagai pelaku kesalahan yang keji atau banyak lupa dan lalai atau nyata kefasikannya) kerana ianya sudah terkenal dan masyhur diamalkan di sisi para awliya` dan juga kerana ianya termasuk dalam bab fadhailul a'maal serta wujud dalil-dalil umum yang menganjurkan amalan-amalan tersebut dilakukan tanpa terikat dengan waktu-waktu yang tertentu. 

Contohnya, mengenai bubur 'Asyura, pada halaman 84, Imam al-Qaawuqji rahimahullah menulis sebagai berikut:- Dan adapun memasak bubur biji-bijian, maka amalan ini kembali atau dapat dihubungkan dengan anjuran untuk melapangkan atau meluaskan perbelanjaan atas ahli keluarga, fakir dan miskin. Di mana ianya juga masuk dalam umum sabdaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Apabila engkau memasak lauk, maka banyakkanlah kuahnya dan berikanlah kepada jiranmu." Dan sabdaan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, hubungkanlah silatur rahim, shalatlah pada waktu malam ketika orang sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan penuh kesejahteraan."

Allahu ... Allah, namun di akhir zaman ini ada sahaja benda pelik yang difatwakan oleh kelompok yang terlebih bijak. Sehingga sampai  ada yang memfatwakan haram membuat bubur 'Asyura` kerana dikatakan menyerupai atau berasal daripada tradisi Syiah. Malaslah nak layan fatwa yang terlampau ini, pendek kata sesiapa yang rasa tak nak makan bubur 'Asyura, tak jadi masalah, pergilah makan KFC atau McDonald atau duduklah bersembang sambil minum-minum kat Starbuck.

Isnin, Oktober 10, 2016

Faedah Dari 'Umdatul Qari

Di antara hari di mana kita disunnatkan berpuasa adalah pada 10 haribulan Muharram yang dikenali sebagai Hari 'Asyura`. Berpuasa pada hari ini bukan sahaja dilakukan oleh kita umat Islam, bahkan umat Yahudi terdahulu pun melakukannya. Bahkan dikatakan bahawa berpuasa pada hari 'Asyura adalah satu kewajipan sebelum dimansukhkan hukum wajibnya dengan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mendoakan orang berpuasa pada hari 'Asyura agar setahun dosa-dosa kecilnya diampuni Allah 'azza wa jalla. Imam Badruddin al-'Ayni rahimahullah dalam karyanya " 'Umdatul Qari" yang merupakan syarah bagi Sahih al-Bukhari, pada juzuk ke 11, halaman 167 mencatat sedikit kelebihan berpuasa pada hari 'Asyura. Beliau rahimahullah menulis:-
Dan diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi rahimahullah daripada hadis Sayyidina Abu Qatadah radhiyaAllahu `anhu bahawasanya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:- "Sesungguhnya aku mengharapkan Allah menjadikan puasa pada Hari 'Asyura sebagai kaffarah bagi dosa-dosa tahun sebelumnya". Hadis ini turut diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahullah dan Imam Ibnu Majah rahimahullah. Imam Ibnu Abi Syaibah rahimahullah meriwayatkan dengan sanad yang elok daripada Sayyidina Abu Hurairah radhiyaAllahu 'anhu, secara marfu`, bahawa:- "Puasa 'Asyura` dilakukan oleh para nabi `alaihimush shalatu was salam, maka hendaklah kamu berpuasa padanya". Dalam "Kitab ash-Shiyam" bagi Qadhi Abu Yusuf rahimahullah, diriwayatkan bahawa Sayyidina Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu `anhuma berkata:- "Tidak ada satu hari yang mempunyai kelebihan atas hari yang lain untuk berpuasa melainkan puasa pada bulan Ramadhan atau puasa pada Hari 'Asyura`". Imam at-Tirmidzi rahimahullah meriwayatkan daripada hadis Sayyidina 'Ali radhiyaAllahu ta`ala `anhu:- "Seorang lelaki telah bertanya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam:- "Setelah berpuasa Ramadhan, hari apakah yang engkau anjurkan aku untuk berpuasa?" Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menjawab: "Puasalah dalam bulan Muharram, bahawasanya ia adalah bulan Allah, dalamnya terdapat hari di mana Allah ta`ala telah menerima taubat suatu kaum dan menerima taubat suatu kaum yang lain." Hadis ini dinilai oleh Imam at-Tirmidzi rahimahullah sebagai hasan gharib. Imam an-Naqqasy rahimahullah menyebut dalam "Kitab `Asyura`" bahawa: "Sesiapa yang puasa 'Asyura` maka seolah-olah dia berpuasa setahun penuh dan berqiyamullail pada malamnya." Dan pada satu lafaz:- " Sesiapa yang berpuasa padanya (yakni pada Hari `Asyura`) diharapkan baginya ganjaran (berpuasa) 1,000 tahun daripada tahun akhirat."
Allahu ... Allah, maka janganlah dilepaskan peluang yang diberikan Allah ta`ala untuk kita mengumpul bekalan akhirat. Semoga dimudahkan kita mengamalkan sunnah ini dengan sebaiknya dan diterima Allah hendaknya.


Jumaat, Oktober 07, 2016

Doa Awal Tahun

Biasanya apabila masuk tahun baru, kita akan berdoa kepada Allah ta`ala memohon keampunan atas dosa kesalahan dan keterlanjuran kita pada tahun lepas serta mendoakan agar tahun baru akan dipenuhi keberkatan, ketaatan dan pemeliharaanNya. Berdoa adalah satu amalan mulia yang sangat dituntut. Ianya adakala bersifat khusus dalam ertikata punya masa, punya tempat dan punya shighah yang tertentu, namun dalam kebanyakan hal ianya adalah dalam konteks yang lebih luas lagi, iaitu bersifat umum, tanpa terikat dengan perkara-perkara tersebut. Berdoa itu amat penting bahkan dikatakan sebagai intipatinya ibadah kerana ia menanam dalam diri kita sifat kehambaan dan mengingatkan diri kita tentang kelemahan kita serta pergantungan kita kepada Allah yang Maha Kaya.

Telah warid dalam berbagai nash yang kuat bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menganjur umatnya berdoa ketika nampak anak bulan baru atau ketika masuknya bulan baru. Maka para ulama kita, berdasarkan kaedah qiyas, turut menganjurkan kita berdoa ketika permulaan tahun baru yang semestinya dimulai bulan baru Muharram. Oleh itu, tidaklah boleh dikatakan bahawa berdoa menyambut awal tahun itu sebagai sesuatu yang ditegah dalam Syarak, kalau pun dikatakan sebagai suatu bid`ah. Ini adalah kerana berdoa itu sendiri adalah ibadah yang bersifat umum di mana terlalu banyak anjuran melakukannya dalam segala nas yang sharih. Perbuatan mencela umat Islam yang berdoa pada setiap awal tahun dengan suatu doa khusus susunan sebahagian ulama, adalah sesuatu yang tidak layak untuk dilakukan. Ini adalah kerana tidak ada satu nas pun yang melarang berdoa pada awal sesuatu tahun. Selain daripada itu,  warid nas mengenai doa yang dilakukan pada awal bulan atau awal tahun sebagaimana yang disebut oleh Imam ath-Thabrani rahimahullah dalam "al-Awsath" secara marfu` daripada Sayyidina 'Abdullah bin Hisyam radhiyaAllahu `anhu yang menyatakan:- "Adalah para sahabat Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam mempelajari satu doa yang diamalkan ketika masuk sesuatu tahun atau bulan, iaitu: "Ya Allah masukkanlah ia ke atas kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan, Islam, keredhaan daripada ar-Rahman dan kelepasan daripada syaithan." Imam Ali al-Haitsami rahimahullah dalam "Majma`uz Zawaaid" menilai riwayat ini sebagai hasan.

Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah dalam "al-Ishaabah fi Tamyiiz ash-Shahaabah", juz 6, halaman 406 - 408, (tahqiq Dr. Abdullah bin Abdul Muhsin at-Turki), ketika membicarakan tentang Sayyidina 'Abdullah bin Hisyam al-Qurasyi at-Taimiy radhiyaAllahu `anhu turut menukilkan daripada jalan Ashbagh yang menyatakan:-"Adalah para sahabat Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam mempelajari doa yang dibaca ketika masuk sesuatu bulan atau tahun sebagaimana mereka mempelajari al-Quran, iaitu: "Ya Allah masukkanlah ia (yakni bulan atau tahun baru tersebut) ke atas kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan, Islam, perlindungan daripada syaithan dan keredhaan daripada ar-Rahman." Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah seterusnya menyatakan bahawa ianya adalah hadis mauquf yang memenuhi syarat sahih (yakni memenuhi syarat sahih menurut penilaian Imam al-Bukhari rahimahullah).

Oleh itu, cegahlah lisan kita daripada perbuatan suka menyalah-nyalahkan sesuatu amalan yang elok dan baik di sisi Islam yang tidak ada satu tegahan pun untuk melakukannya, bahkan telah diamalkan sejak zaman berzaman oleh ulama dan awam. Eloklah digunakan masa dan tenaga untuk mencegah sesuatu yang telah nyata tegahannya dalam Syarak yang mulia.