Ya Amaanal Khaaifin
- Kita tidak dilarang berdoa dengan karangan kita sendiri apatah lagi doa yang dikarang dan diamalkan oleh ulama`, selagi mana kalimah / perkataan doa tersebut tidak bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak Islam, juga dengan adab-adab berdoa.
- Doa يا أمان الخائفين boleh dibaca kerana doa tersebut menyeru dan memohon kepada Allah S.W.T, dan beramal dengan doa tersebut tidak menjejaskan akidah Islamiah.
Jika kita telusuri khazanah para ulama silam yang muktabar, pasti kita akan dapati bahawa seruan "Ya Amaanal Khaaifiin" telah digunakan dalam karya-karya mereka. Antaranya yang mudah kita lihat dan luas penyebarannya adalah karya yang berisikan wirid yang dihimpun oleh Imam Mulla `Ali al-Qari bin Sultan Muhammad al-Hirawi al-Makki `alaihi rahmatul Bari (wafat tahun 1014H), seorang ulama besar yang menguasai berbagai disiplin ilmu Islam termasuklah ilmu hadits. Dalam himpunan wirid beliau tersebut yang masyhur dengan nama "al-Hizbul A'dhzam" pada Manzil yang ke-7, bacaan hari Jumaat, beliau menganjurkan dibaca sholawat yang berbunyi:-
Kan jelas dalam sholawat tersebut digunakan seruan "Ya Amaanal Khaaifiin" bagi Allah SWT. Siapa yang mengamalkannya, bukan hanya Mulla `Ali al-Qari tetapi ramai lagi ulama kita kerana "Hizbul A'dhzam" adalah antara amalan wirid yang telah tersebar ke segenap penjuru dunia Islam. Ulama kita di Nusantara juga ramai yang telah menerima dan mengamalkan "Hizbul A`dhzam" tersebut. Antaranya adalah Syaikh `Abdullah Fahim @ Syaikh `Abdullah bin Syaikh Ibrahim al-Falfalani al-Jawi yang menerimanya daripada Syaikh Muhammad Amin Ridhwan yang menerimanya daripada Syaikh Abdul Ghani an-Naqsyabandi yang menerimanya daripada Syaikh Isma`il ar-Rumi al-Madani yang menerimanya daripada Syaikh Shaleh al-Fulani yang menerimanya daripada Syaikh Muhammad bin Muhammad bin Sunnah daripada Mawlay asy-Syarif Syaikh Muhammad bin `Abdullah al-Wulati yang menerimanya daripada Syaikh `Abdul Qadir ath-Thabari yang menerimanya daripada Syaikh al-`Alim al-`Allamah Mulla `Ali al-Qari al-Hirawi rahimahumUllah. Jika sahaja amalan tersebut salah dan menyalahi ajaran Islam Ahlus Sunnah wal Jama`ah, pasti para ulama ini akan bangkit membantah dan tidaklah mereka memperturunkannya kepada para murid mereka.
Oleh itu, amat keji dongeng yang menisbahkan penggunaan "Ya Amaanal Khaaifiin" kepada Yahudi. Kenapa mereka tergamak membuat kisah-kisah dongeng tersebut ? Tidakkah mereka tahu akibatnya? Tergamakkah mereka menuduh para ulama kita seperti Mulla `Ali al-Qari al-Hanafi tersebut sebagai tidak memahami persoalan dan perbahasan mengenai nama-nama Allah yang mulia dan penggunaan serta kaedah Bahasa Arab. Adakah mereka merasakan bahawa hanya mereka sahaja yang faham akan Islam berbanding para ulama kita ? Allahu ... Allah...... moga diberi tawfiq dan hidayah.