Selasa, Julai 29, 2014

Belasungkawa

Dukacita dimaklumkan bahawa malam tadi, malam 2 Syawwal 1435H, telah kembali ke rahmatullah Habib Sa`id bin Salim Vad`aq, sesepuh habaib di Kampung Arab, Pontianak. Almarhum juga adalah murid Habib Salim BinJindan rahimahullah. Mudah - mudahan beliau ditempatkan bersama leluhurnya terdahulu daripada kalangan salafus shaleh di sisi al-Jidd al-Akbar, an-Nabiy al-Musthafa al-`Adnani shallaAllahu `alaihi wa sallam. Allahumma aamiin ..... al-Fatihah.


Isnin, Julai 28, 2014

Minal `Aaidin wal Faaizin

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang mulia. Mudah - mudahan segala amalan diterima Allah ta`ala dan diberi ganjaran yang berlipat ganda. Maaf atas segala kesalahan dan kesilapan. 'Eid Mubarak, Kullu `aam wa antum wa ahlikum bi khair. Maaf Zahir dan Batin, moga kita sentiasa dirahmati Allah `azza wa jalla.

Jumaat, Julai 25, 2014

Sambung Witir

Setelah entri "Sambung Terawih", mai plak yang tanya buleh ke idak sambung Witir. Bulan pose ni, ramai yang nak tambah ibadah, elok - elok, dah bulan - bulan lain malas, setidak-tidaknya bulan pose ni rerajinlah skit. Jangan dok asyik sambung tido je memanjang. Ramai yang terkompius dek sebab dengar hadis "Tiada 2 witir pada satu malam", biasa le, kalu main dengar - dengar je, inilah jadinya, mudah kompius, oleh sebab itu le kita disuruh duduk mengaji bebeno. Mudah fahamnya hadis tu, benar amatlah sebab kalu kome buat 2 kali Witir satu malam, maka punahlah Witirnya sebab 1 rakaat Witir campur 1 rakaat Witir jadi 2 rakaat witir. Mana mu belajo 2 rakaat tu Witir, witir tu kan mesti ganjil,  2 bukan ganjil, 2 tu genap. Jadi cam tu le seterusnya, 3 rakaat plus 3 rakaat, jadi 6 rakaat .......... so punahlah Witirmu. Ini mafhum ringkas daripada hadis tersebut. Tapi kalu mu nak sambung balik Witirmu, itu masuk bab lain, yakni bab sambung bukan bab 2 kali Witir. Katakanlah awal malam tadi mu dah buat 3, nanti akhir malam mu nak sempurnakan witirmu hok 3 jadi 5, mu sholatlah 2 rakaat lagi dengan niat daripada Witir, maka 3 plus 2, kan jadi 5, 5 tu kan ganjil, maka hasillah Witir. Maka ini dibenarkan, bahkan lebih elok daripada sambung tido. Mu nak sempurnakan Witir 3 mu jadi 11, mu tambah lagi 8 rakaat, maka sempurna witirmu 11 rakaat.

Perkara ini disebut oleh Khaatimatul Muhaqqiqin Imam Ibnu Hajar al-Haitami radhiyaAllahu `anhu dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 1, halaman 185, yang nasnya menyatakan:-

(Imam Ibnu Hajar radhiyaAllahu `anhu telah ditanya) mengenai seseorang yang telah pun menunaikan shalat Witir 3 rakaat, maka setelah itu adakah dia boleh menyempurnakan baki shalat Witirnya dengan niat Witir ? (Maka telah dijawab dengan perkataannya) Ya, dia dibenarkan untuk melakukannya menurut apa yang zahir daripada keadaannya adalah tetap witir (yakni dengan menyempurnakan baki Witir tadi, bilangan rakaat shalatnya tetap witir/ganjil), kerana padanya (yakni pada penyempurnaan shalat Witir tadi) ianya tetap mengandungi rakaat yang witir (ganjil), dan sedemikianlah shalat Witir (yakni shalat witir mesti dengan bilangan rakaat yang witir), samada (rakaat witir itu dilakukan) di pertengahannya atau di awalnya atau di akhirnya (yakni rakaat  yang witir, misalnya 1 rakaat yang biasanya dilakukan pada akhir witir sebagai penutup, boleh dilakukan pada awalnya atau pertengahannya. Ianya tidak semestinya dilakukan di akhir shalat Witir sahaja. Misalan, seseorang shalat 1 rakaat dahulu dengan niat Witir, kemudian baru dia shalat 2 rakaat dengan niat Witir, maka hasillah baginya witir 3 rakaat).
Harap dapat menjawab persoalan yang dikemukakan. Maka sambunglah jangan tak sambung jika ada peluang menyambung. Selamat beramal dan yang terlebih penting lagi adalah kita terus menyambung amalan berwitir sehinggalah ke akhir hayat, jangan hanya berwitir dalam bulan Ramadhan sahaja. Sesungguhnya Witir itu adalah antara shalat sunnat yang amat dituntut (muakkad), bahkan ianya dihukumkan wajib dalam Mazhab Hanafi atas definasi wajib di sisi mereka. Lakukanlah shalat Witir walaupun dengan serakaat, kerana serakaat Witir itu lebih afdhal daripada 2 rakaat Tahajjud atau 2 rakaat Sunat Fajar, sebagaimana dinyatakan oleh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari rahimahullah. Moga Allah memberikan kita istiqamah dalam ketaatan ...... Allahumma aamiin.

Isnin, Julai 21, 2014

Doa al-Karb

Dalam menghadapi cabaran musuh - musuh Islam ketika ini yang semakin menekan keimanan dan kesabaran kita, marilah kita memperbanyakkan bermunajat kepada Allah `azza wa jalla dengan doa dan zikir yang diajarkan oleh Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh asy-Syaikhan. Doa yang terkenal dengan nama "Du`a al-Karb" yakni doa untuk menghadapi saat - saat mendapat kesusahan, penderitaan dan kesedihan. Mudah-mudahan jadi sebab mendapat pertolongan Allah `azza wa jalla yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan daripada Sayyidina `Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma bahawasanya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam membaca ketika mendapat kesusahan :
 La ilaha illaAllahul `Adzhiimul Haliim
La ilaha illaAllahu Rabbul `arsyil `adhziim
La ilaha illaAllahu Rabbus samaawaati wa Rabbul `ardhi wa Rabbul `arsyil kariim.

Mengenai zikir/doa di atas, Syaikh `Abdullah bin Sa`id al-Lahji rahimahullah menukilkan dalam "Muntaha as-Suul `ala Wasaailul Wushuul" bahawa Syaikh Abu Bakar ar-Razi rahimahullah menceritakan sebagai berikut:-
Aku dan Imam Abu Nu`aim rahimahullah berada di Isfahan. Terdapat di sana seorang ulama yang menjadi rujukan dalam fatwa bernama Syaikh `Abu Bakar, di mana beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh Sultan. Maka aku telah bermimpi melihat Junjungan Nabi al-Mustafa shallaAllahu `alaihi wa sallam bersama malaikat Jibril `alahis salam di kanan baginda sedang bertasbih. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda kepadaku: "Maklumkan kepada Abu Bakar untuk berdoa dengan "du`a al-karb" yang terkandung dalam "Shahih al-Bukhari" sehingga Allah membebaskannya." Aku terjaga dan memaklumkan perkara tersebut kepada beliau dan beliau pun membacanya. Tidak berapa lama setelah itu, beliaupun dibebaskan.
Mudah-mudahan Allah menghulurkan bantuanNya kepada umat Islam sekaliannya, dan wa bil khusus kepada umat Islam yang sedang mendapat penindasan dan kezaliman di Gaza dan Myanmar. Sesungguhnya kita umat yang satu, susah senang wajar dirasai bersama. Namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. .... Allahu ..... Allah.

Jumaat, Julai 18, 2014

Lebih Mulia Dari Arasy

Persoalan menghadapkan wajah ketika berdoa di hadapan makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah suatu perkara yang telah menjadi khilaf di kalangan para ulama. Namun, jumhur ulama daripada kalangan mazhab Ahlus Sunnah wal Jama`ah berpendapat bahawa menghadapkan wajah ke arah makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika berdoa sewaktu menziarahi baginda di Kota al-Madinah adalah amat dianjurkan berbanding dengan perbuatan membelakangkan baginda untuk menghadap ke arah lain termasuklah arah kiblat. Maka inilah perbuatan yang telah sekian lama dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin zaman berzaman ketika menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersemayam di Kota Madinah al-Munawwarah. Di mana mereka akan menghadapkan wajah mereka ke arah Baginda sambil memanjatkan doa kepada Allah `azza wa jalla dengan wasilah Baginda. Tidak ada sesiapa yang menyalahkan perbuatan mereka tersebut, sehinggalah datang kaum Najdi yang mengharamkan perbuatan tersebut. Bagi pihak Najdi, jihat qiblat itu lebih diutamakan berbanding Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Saking taksubnya mereka dengan pandangan mereka ini, sehingga mereka bertindak untuk memaksa kaum muslimin, samada dengan keras atau dengan lembut, untuk menerima pendapat mereka sahaja tanpa menghiraukan adanya perbezaan pendapat dalam masalah ini.

Apakah mereka tidak mengetahui bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang jasad baginda bersemayam dalam makam yang mulia tersebut adalah ciptaan Allah subhanahu wa ta`ala yang paling mulia dan utama. Mungkin juga mereka jahilkan perkara ini dan kejahilan tersebuttelah menutup fikiran mereka, sehingga dalam sesetengah kitab karangan para ulama tercatat kisah seekor baghal ...... opss silap seorang badwi pengikut Ben Wahab ............ pernah menyatakan bahawa kayu yang dipegangnya lebih bermanfaat berbandingkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang telah wafat kerana kayu tersebut boleh diguna untuk memukul tunggangannya. Juga pernah ada di kalangan ulama kontemporari mereka yang tanpa segan silu memfatwakan bahawa sehingga ke saat beliau berfatwa itu, beliau tidak mengetahui samada warid yang Baginda Nabi shallaAllahu `alahi wa sallam adalah makhluk Allah yang paling mulia secara mutlak. Allahu .... Allah, kejahilan apakah ini ????? Tidakkah mereka mengetahui bahawa kemuliaan `arsy, syurga, ka'bah dan segala makhluk lain semulia mana pun tidak dapat sekali-kali menyaingi kemuliaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hal ini diakui sendiri oleh ulama yang jadi idola kaum Najdi, di mana Syaikh Ibnu Qayyim al-Jawziyyah dalam karyanya "Badaa-i`ul Fawaaid" juzuk ke-3, halaman 655 menukil seperti berikut: 
Telah berkata Ibnu `Aqil: " Seseorang telah bertanya kepadaku: "Apakah yang lebih utama (afdhal) hujrah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (yakni makam Baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam) atau Ka'bah?" Maka aku menjawab: Jika yang engkau maksudkan semata-mata hujrah, maka Ka'bah lebih afdhal. Namun jika yang engkau maksudkan adalah keberadaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersemadi di dalamnya, maka demi Allah, tidak (yakni tidaklah Ka'bah lebih afdhal daripadanya), tidak pula 'arasy dan para malaikat yang memikulnya, tidak juga syurga `aden, tidak juga segala bintang yang beredar, ini adalah kerana dalam hujrah tersebut terkandung satu jasad (yakni jasad Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam) yang jika dibandingkan dengan alam semesta dan segala isinya nescaya ia akan mengungguli semuanya (yakni tiada satu pun kejadian atau ciptaan Allah ta`ala yang dapat mengatasi keagungan dan kemuliaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.)
Allahu ... Allah, shallaAllahu wa sallama `alan Nabiyil Karim, maka wajarkah jika kita putarkan wajah kita daripada menghadap ke arah ciptaan Allah yang paling mulia, tanpa ada nash untuk mensyariatkan perbuatan tersebut ? Sesungguhnya baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah Washilatul `Udzhma yang tidak wajar untuk dibelakangkan ketika bermunajat kepada Allah subhanahu wa ta`ala. Maka ambillah pengajarannya wahai kaum yang mahu berfikir, beradablah dengan Rasul kalian dan jangan biadab.

Isnin, Julai 14, 2014

Berwangian Siang Ramadhan

Memakai wangi - wangian ketika berpuasa adalah di antara perkara yang makruh dalam mazhab Syafi`i. Ini adalah kerana ketika menjalani ibadah puasa, kita disunnatkan untuk menahan diri kita daripada segala perkara yang disukai oleh syahwat kita walaupun perkara tersebut adalah mubah atau harus. Perkara - perkara tersebut merangkumi segala rupa bentuk kesukaan hawa nafsu samada yang didengar atau dilihat atau diguna atau dihidu. Maka sewaktu berpuasa seseorang dianjurkan untuk menahan dirinya daripada menuruti segala keinginan hawa nafsunya walaupun terhadap sesuatu yang diharuskan. Kita tidak menafikan bahawa terdapat khilaf antara ulama mengenai hal ini, namun kedudukannya dalam mazhab adalah sebagaimana yang diatas tadi.

Antara ulama kita yang terang-terang menyebut tentang perkara ini adalah Syaikh Zainuddin bin `Abdul `Aziz bin Zainuddin al-Malibari rahimahullah di mana dalam karya beliau yang masyhur "Fathul Mu`in" dinyatakan, antara lain:-
"Dan sunnat (bagi orang yang berpuasa) untuk menahan diri daripada makanan yang syubhah dan daripada menuruti kehendak hawa nafsu yang mubah (harus) baik ianya berupa sesuatu yang didengar, dilihat, menggunakan wangian dan menciumnya. Jika bertembung antara kemakruhan menggunakan wangian bagi orang yang berpuasa dan kemakruhan menolak pemberian wangian, maka dalam situasi sedemikian, mengelak daripada menggunakan wangian adalah lebih utama, kerana kemakruhannya membawa kepada pengurangan pahala ibadah (puasa)."
Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah pula memperjelaskannya dalam "I`aanatuth Thaalibin" , jilid 2 halaman 280 - 281, antara lainnya sebagai berikut:-
(Perkataan pengarang yang menyebut: Dan daripada menggunakan wangian dan menciumnya) iaitu kedua-dua perbuatan tersebut adalah mubah, (namun) sunnat [bagi seseorang yang berpuasa] menahan dirinya daripada kedua perkara tersebut [yakni daripada menggunakan atau mencium wangian]. Dan tersebut dalam "at-Tuhfah": Bahkan menurut al-Mutawalli memandang kepadanya pun dihukumkan makruh."
Manakala Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam "Nihayatuz Zain" halaman 194 pula menyatakan:-
" (Dan) yang keenam [daripada segala yang disunnatkan ke atas orang yang berpuasa adalah] (menahan) diri daripada (keinginan hawa nafsu) yang mubah yang tidak membatalkan puasa seperti memperbanyakkan makanan dan minuman; dan menikmati sesuatu yang diharuskan untuk didengar, dilihat, diguna dan dihidu seperti mencium wangian raihan dan memandang kepadanya dan menggunakannya kerana perkara-perkara tersebut mempunyai unsur bermewah-mewah yang menafikan hikmah berpuasa." 
Oleh itu, pandangan yang menghukumkan makruh mengguna wangian - wangian ketika berpuasa adalah satu pandangan yang wujud di kalangan para ulama kita. Maka pernyataan bahawa:- "tiada seorang ulama pun yang menghukumkannya sebagai makruh" adalah satu pernyataan yang silap walaupun ianya dikeluarkan oleh seorang daie kondang, kerana sememangnya wujud ulama yang menghukumkannya sebagai makruh. Bahkan pendapat yang menghukumkannya sebagai makruh inilah yang dipegang dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah sebagaimana makruhnya bersiwak setelah gelincir matahari. Ketahuilah bahawa sebagaimana makruhnya bersiwak setelah gelincir matahari, maka begitulah juga makruh menggunakan wangi-wangian ketika menjalani ibadah puasa. Sebenarnya bukan mazhab kita sahaja yang menghukumkan makruh menggunakan wangian ketika berpuasa. Mazhab Maliki juga mempunyai pandangan yang serupa sebagaimana dijelaskan oleh Dr. Wahbah az-Zuhayli hafizahullah dalam "al-Fiqhul Islamiy wa Adillatuhu", juz 2, ketika membincangkan perkara - perkara yang makruh bagi orang yang berpuasa, di mana dinyatakan bahawa antara perkara yang dimakruhkan bagi orang yang berpuasa dalam mazhab Syafi`i adalah bermewah-mewah atau menikmati kelazatan perkara yang mubah seperti menggunakan wangian pada siang hari (Ramadhan), mencium wangian dan pergi ke tempat permandian umum. Mazhab Maliki juga menghukumkan makruh berwangian dan mencium wangian pada siang hari Ramadhan. Oleh itu, wajar untuk kita menjaga puasa kita agar sempurna ganjarannya dan mudah - mudahan puasa kita akan menjadikan diri kita insan yang lebih zuhud yang tidak mudah tergiur dengan kelazatan duniawi. 

Jumaat, Julai 11, 2014

Kelebihan Bershalawat

Hari Jumaat ini, jangan lupa memperbanyakkan lagi shalawat dan salam kita ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ingat jasa baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, tanpa baginda mana kita tahu keagungan al-Quran, kebesaran Ramadhan dan kewajipan berpuasa. Anjing pun tahu mengenang jasa, inikan pula kita manusia makhluk yang mulia ciptaannya. Semua telah mengetahui akan kelebihan bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun tiada salah jika kita mengulanginya agar kita sentiasa bersemangat dan istiqamah dengan amalan yang amat bernilai ini. Syaikh Muhammad bin Ahmad al-Munla rahimahullah dalam "ash-Shilaatul Kubra fi Syarhish Shalatish Shughra" menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
Bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menjadi sebab bagi seseorang itu menerima 10 kemuliaan:
1. Jadi dekat dengan Tuhan ar-Rahman; 
2. Timbangan amalan penuh sarat dengan kebajikan;
3. Syurga jadi tempat kediaman;
4. Iman di dada ditinggikan;
5. Darjat diangkat mengatasi yang lain;
6. Daripada seksaan Zabaniyyah dapat kelepasan;
7. Sifat lupa dihilangkan;
8. Dua malaikat pencatat amalannya naik kesaksian;
9. Mereka baginya mendoakan keampunan;
10. Daripada kemurkaan Allah memperolehi keamanan.

Imam Ibnu Farhun rahimahullah pula menyatakan 10 kemuliaan tersebut adalah:-
1. Dapat balasan shalawat Malikul Jabbar;
2. Dapat syafaat Nabi al-Mukhtar;
3. Dapat mengikut amalan para malaikat yang abrar;
4. Dapat menyalahi perbuatan munafiqin dan kuffar;
5. Dapat menghapuskan kesalahan dan auzar (dosa-dosa);
6. Dapat pertolongan bagi hajat dan awthar (keperluan);
7. Dapat nur gemilang menerangi zahir dan asrar (batin);
8. Dapat selamat dari neraka Darul Bawar;
9. Dapat masuk  syurga Darul Qarar;
10. Dapat salam Tuhan ar-Rahim al-Ghaffaar.
Oleh itu janganlah dibiarkan waktu kita berlalu pergi tanpa kita mengisinya dengan shalawat ke atas Junjungan Nabi. Labanya tinggi sekali, jika dibiarkan, maka ruginya tiada terperi. Di akhirat menyesali kealpaan diri. Allahu ... Allah, Allahumma shalli wa sallim `ala Sayyidil Awwalin wal Akhirin, Sayyidina Muhammad wa `ala aalihi wa ashhaabihi ajma`in.

Isnin, Julai 07, 2014

Pembukaan Pintu Langit

Ada berbagai rupa bentuk bacaan - bacaan doa iftitah yang mana shalat dimulakan dengannya. Namun yang telah menjadi amalan kita adalah memulakan shalat dengan membaca doa Iftitah yang dimulai dengan kalimah zikir yang agung berbunyi "Allahu akbaru kabiira, wal-hamdulillahi katsiira, wa subhanaAllahi bukrataw wa ashiila." Kalimah - kalimah zikir ini adalah mudah dan ringkas untuk dihafal dan dijadikan amalan. Oleh itu, tidak hairanlah jika iftitah inilah yang jadi pilihan tok - tok guru untuk diajarkan kepada kita sejak kita kecil lagi. Tapi jangan pandang kalimah - kalimah yang ringan ini dengan sebelah mata. Kalimah - kalimah ini walaupun ringan di mulut, namun ianya mempunyai kelebihan yang tersendiri sebagaimana dikhabarkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Rasa - rasanya jika kita mendengar sabdaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ini, pasti kita akan lebih menghargai amalan ini kerana besarnya fadhilat yang terkandung padanya.

Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan dalam "al-Jaami`ush Shahih", jilid 2 halaman 99, sebuah hadits yang menceritakan keistimewaan ungkapan zikir pembukaan shalat ini. Diriwayatkan daripada Sayyidina Ibnu `Umar radhiyAllahu `anhuma sebagai berikut:-
Ketika kami sedang mengerjakan shalat bersama dengan Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka seseorang daripada jemaah mengucapkan "Allahu akbaru kabira, wal-hamdulillahi katsiira, wa subhanAllahi bukrataw wa ashiila". [Selepas shalat] Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Siapakah yang berkata dengan kalimah sedemikian?" Maka lelaki tersebut menjawab: "Saya, wahai Rasulullah." Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda lagi: " Aku takjub dengannya (yakni dengan kalimah yang diucapkan tersebut) kerana telah dibukakan baginya pintu - pintu langit." Sayyidina `Ibnu `Umar radhiyaAllahu `anhuma berkata: "Maka aku tidak meninggalkan bacaan tersebut sejak aku mendengar Junjungan Rasullullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda sedemikian."
 Allahu ... Allah, tak terbayang besarnya kerugian jika kita tinggalkan kalimah zikir ini semata-mata kerana kita nak cepatkan shalat kita. Kalau sekadar 3 kalimah tersebut, 5 saat pun tak sampai untuk membacanya. Dalam apa jua shalat yang kita laksanakan, rajin - rajinlah menyempurnakan segala kesunnahan yang ada padanya, setidak-tidaknya janganlah sampai asal sunnah pun ditinggalkan. Jika tak mampu nak membaca doa iftitah sehingga akhirnya sebagaimana biasa, maka bacalah setakat 3 kalimah zikir yang agung ini. Mudah-mudahan dengannya dibukakan segala pintu langit ketika permulaan shalat kita lagi dan dengan pembukaan tersebut, naiklah shalat kita sebagai satu amalan shalih yang makbul diterima di sisi Allah subhanahu wa ta`ala.

Khamis, Julai 03, 2014

Berkat Takzim

Shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah suatu amalan yang tidak harus kita tinggalkan selagi hayat dikandung badan. Ianya umpama nyawa bagi kita, tak terbayang hidupnya jiwa seseorang mukmin, jika shalawat tidak menjadi sebahagian daripada dirinya. Betapa tidak, tanpa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tidaklah kita mendapat hidayah dan taufiq Allah ta`ala untuk mengenalNya dan menjalankan segala ketentuan hukumNya yang mulia. Justru, wajar dan patut kita merafa`kan rasa syukur kepada Allah `azza wa jalla dan berterima kasih kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika sahaja kita disuruh berterima kasih dengan "wang ihsan" kerajaan Datuk Najib Tun Razak, kenapa pula tidak kita berterima kasih kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang membawa kita kepada kebahagiaan di dua negeri. Antara cara untuk mengungkapkan terima kasih kita kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam  adalah dengan bershalawat.

Bershalawat ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah satu sebab yang besar untuk meraih rahmat dan keredhaan Allah ta`ala. Bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Allah `azza wa jalla untuk membukakan pintu hidayah dan taufiqNya berkat shalawat kepada seseorang hatta tatkala dia hendak mati. Maka dengan hidayah dan taufiq tersebut, matilah dia dalam keadaan sempat bertaubat kepada Allah `azza wa jalla. Syaikh Zainuddin al-Ma'bari @ al-Malibari `alaihi rahmatul Baari dalam karya beliau yang masyhur, "Irsyadul `Ibad ila Sabilir Rasyad" pada halaman 61 menukilkan seperti berikut:-

Dikisahkan bahawa seorang ahli maksiat daripada Bani Israil ketika dia mati, mayatnya telah dicampak atau dibiarkan sahaja oleh kaumnya (yakni kaumnya enggan menguruskan jenazahnya kerana menurut mereka dia adalah seorang fasiq yang tidak harus diurus jenazahnya).  Maka Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa `alaihis salam supaya baginda memandikan mayatnya dan menyembahyangkannya dan Allah berfirman kepada Nabi Musa ``alaihis salam: " Sesungguhnya Aku telah memberi keampunan kepadanya." Nabi Musa `alaihis salam bertanya: "Ya Tuhan, apakah sebabnya bagi yang sedemikian?" Allah berfirman: "Bahawasanya pada satu hari dia telah membuka kitab Taurat dan mendapati dalamnya akan nama Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, lalu dia mengucapkan sholawat ke atasnya, maka sebab itulah Aku mengampunkannya."
Allahu .... Allah.... ini bukan kisah mistik yang dilaporkan dalam majalah picisan. Ini adalah kisah yang diceritakan oleh para ulama yang muktabar. Ingat sekali lagi bahawa, bukanlah mustahil bagi Allah ta`ala yang berkuasa mutlak untuk membukakan pintu rahmat dan taubatnya kepada seseorang hanya kerana bershalawat. Oleh itu, jangan kita remehkan sesuatu amal kebajikan sekecil apa pun dia, kerana mungkin di situ letaknya pandangan rahmat Allah `azza wa jalla kepada kita. Begitu juga, jangan dipandang ringan sesuatu maksiat, kerana mungkin maksiat yang kecil itu jadi penyebab kita terperosok ke neraka, na`udzubillah tsumma na`udzubillah. Sentiasalah berusaha untuk tetap istiqamah atas ketaatan dan menjauhi segala kemaksiatan, mudah-mudahan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

Rabu, Julai 02, 2014

Sambung Tarawih - Fatwa Kedah

Bulan Ramadhan, bulan yang mulia di mana kita digalakkan untuk mempertingkatkan lagi amalan - amalan sunnat terutama sekali shalat-shalat sunnat kerana setiap amalan sunnat dalam bulan ini diberi ganjaran fardhu. Sesungguhnya ganjaran fardhu itu terlalu amat besar kerana 1000 sunnat pun tidak akan dapat mencapai ganjaran fardhu yang satu. Antara shalat sunnat yang dikhususkan dalam bulan Ramadhan yang mulia ini adalah shalat Tarawih. Telah jadi amalan kita bahawa ianya dilaksanakan dengan 20 rakaat dan disudahi dengan 3 rakaat Witir. Namun kekadang ada di antara kita yang menghadiri jemputan ke majlis - majlis iftar di mana mungkin atas sebab - sebab tertentu seperti kesuntukan masa, maka penganjurnya hanya melaksanakan shalat Tarawih 8 rakaat sahaja sebelum dilanjutkan dengan witir sebanyak 3 rakaat. Maka persoalan yang timbul: Apakah setelah kita menunaikan shalat Witir tersebut, kita boleh menyempurnakan bilangan rakaat tarawih kita sehingga cukup 20 rakaat, yakni dengan menambah lagi 12 rakaat? 

"Himpunan Fatwa 2 Negeri Kedah Darul Aman" yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah yang ketika itu dipimpin oleh Shahibus Samahah al-`Alim al-`Allaamah Dato` Mursyid Diraja Dato` Paduka (Dr.) Syaikh `Abdul Majid bin Mohd Noor, pada halaman 21 mencatatkan sebagai berikut:-

Mengerja Tarawih Selepas Witir.
Mengerjakan Tarawih delapan rakaat dan Witir, selepas itu digenapkan Tarawih dengan dua belas rakaat lagi bagi mencukupi dua puluh rakaat.

Jawatankuasa berpendapat sah mengerjakan Tarawih selepas Witir dan sah Tarawih yang digenapkan menjadi dua puluh rakaat yang diselangi dengan Witir tetapi menyalahi kaifiat yang afdhal, iaitu disempurnakan Tarawih dahulu selepas itu dikerjakan Witir samada terus selepas Tarawih atau dilakukannya pada akhir malam.
Oleh itu, bagi sesiapa yang berkemampuan, janganlah melepaskan peluang untuk memperbanyakkan sujud kepada Allah `azza wa jalla dalam bulan yang mulia ini. Walau apa pun perkataan mengenai bilangan rakaat shalat Tarawih, namun memperbanyakkan sujud, yakni dengan melakukan shalat - shalat nafil, itu adalah tsabit suruhannya dalam nas yang shahih.