Merayakan Kemanusiaan
Apabila kita mengadakan majlis - majlis mawlid bagi memperingati Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka ada segelintir yang keberatan. Bukan saja keberatan, tapi juga selalu menuding jari - jari fitnah yang "konon"nya majlis - majlis mawlid adalah majlis untuk memuja dan mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam melebihi Allah subhanahu wa ta`ala. Mereka menyamakan Ahli Tawhid yang mengadakan sambutan mawlid dengan orang - orang musyrik yang menyambut Hari Natal. Sesungguhnya qiyas yang mereka gunakan ini adalah qiyas bathil kerana sekali-kali tidak boleh diqiyaskan Ahli Tawhid dengan musyrik.
Ketahuilah bahawa di sisi Ahli Tawhid, menyambut mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah untuk mensyirikkan Allah dengan hamba dan kekasihNya, Sayyiduna Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Justru sebaliknya, ia adalah untuk menjazamkan lagi bahawa Allah subhanahu wa ta`ala itu Maha Esa lagi tiada tara. Bahkan kalimah "mawlid" itu sendiri mengisyaratkan kepada kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka ianya adalah untuk mentakkidkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam walaupun seorang yang istimewa dan luar biasa, namun tetap seorang manusia yang mempunyai tarikh lahir, yang dilahirkan daripada seorang ibu mulia. Sisi mana kita hendak kata sambutan mawlid ini membawa kepada penuhanan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, sedangkan semua ahli tawhid mengetahui bahawa Allah `azza wa jalla Zat yang Maha Esa yang tidak beranak dan tidak diperanakkan. Di mana syiriknya apabila setiap shalawat yang diucapkan seumpama "Allahumma shalli `ala Muhammad", "ShallaAllahu `alaihi wa sallam" adalah permohonan kepada Allah ta`ala agar dilimpahkan shalawat dan kesejahteraan ke atas hambaNya, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.
Oleh itu, janganlah bermudah-mudah untuk membuat tuduhan yang tidak berasas kepada satu-satu amalan yang telah menjadi kelaziman umat zaman berzaman. Tahanlah lidah daripada memvonis saudara-saudara seagama hanya kerana mereka mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana diperintahkan oleh Allah `azza wa jalla.