Ahad, Julai 30, 2006
Sabtu, Julai 29, 2006
Menyayat Hati
Ikhwah, muka depan Utusan Malaysia semalam amat menyentuh perasaanku. Apa tidaknya bila kekejaman rejim Zionis bukan sahaja terhadap orang dewasa tetapi juga terhadap bayi dan kanak-kanak. Sampai bila kekejaman ini hendak kita biarkan? Apa daya ikhtiar kita sekarang? Mengangkat senjata? Senjata apa? Adakah hanya kerana pihak Hezbollah itu Syiah, maka kita berdiam diri sahaja bila bayi kecil yang belum mengerti apa-apa dibunuh kejam? Sunni jenis apakah kita, jika sanggup membiarkan kezaliman bermaharajalela?
Mari kita nyatakan simpati kita dengan menghulurkan apa sahaja bantuan yang termampu dan jangan lupa memanjatkan doa ke hadhrat Ilahi agar kekejaman diberhentikan dan dihapuskan dari muka bumi ini. Ulang-ulangkanlah dengan hati yang khusyu` dan khudhu` dengan penuh keinsafan dan linangan air mata, akan doa Imam al-Haddad "YA QAWIYYU YA MATIIN, IKFI SYARRADHZ-DZHOOLIMIIN" (Wahai Tuhan yang Maha Kuat, Wahai Tuhan yang Maha Teguh (kekuasaanNya), Hentikanlah kejahatan para penzalim). Juga doa beliau "ASHLAHA-ALLAHU UMUURAL MUSLIMIIN, SHORAFA-ALLAHU SYARRAL MU'DZIIN" (Moga-moga Allah memperbaiki segala urusan hal-ehwal keadaan kaum Muslimin, dan menghindarkan mereka daripada kejahatan orang-orang jahat." Ikhwah, berdoa itulah tugas pertama kita, permulaan bagi usaha lainnya.
Jumaat, Julai 21, 2006
Syed Ahmad Bin Semait
Ikhwah, beberapa hari aku disibukkan dengan satu urusan sehingga terpaksa bersafar dan menyebabkan aku tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling sehinggalah aku kembali ke bandaraya tercinta baru sampai berita kepadaku perginya seorang lagi ulama kebanggaan dunia Jawi. Perginya Syed Ahmad Bin Semait dalam kemalangan pada 15 Julai lepas, amatlah mendukacitakan, tetapi selaku umat beriman kita dikehendaki redha dan bersabar. Semestinya hati kita terasa pilu dan sedih atas pemergiannya secara tiba-tiba. Dari terjemahan kitabnya aku mula mengenal jalan salaf Bani 'Alawi. Kitab pertama yang kutadah dari masyrab Bani Alawi ialah terjemahan beliau bagi kitab "Nashoih" karya Imam al-Haddad, waktu itu usiaku masih belum baligh. Jadi kenapa tidak aku bersedih. Seorang demi seorang ulama kita pergi meninggalkan kita, adakah pengganti mereka ? Atau yang tinggal hanya protaz -protaz sahaja? Ulama yang khumul yang berjuang untuk mendekatkan masyarakat kepada agama, harmoni dalam beramal, tanpa menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan telah pergi, harap-harap penggantinya pun menurut jejak mereka. Jangan ada penggantinya belajar sahaja tinggi, tetapi ajarannya membuat masyarakat keliru, bercelaru dan haru biru.
Untuk renungan bersama kunukil beberapa hadis yang disebut oleh dalam "Lubabul Hadits". Antaranya Imam asy-Sayuthi meriwayatkan "mautul 'ulama` dzhulmatun fid din" - Matinya ulama itu kegelapan dalam agama. Diriwayatkan lagi bahawa " idza maatal 'aalim, bakat 'alaihi ahlus samaawaati wal ardhi sab`iina yawman " - Apabila mati orang alim, maka menangislah semua ahli langit dan bumi atas kematiannya 70 hari. Diriwayatkan lagi bahawa " man lam yahzan li mautil 'aalim fa huwa munafiq munafiq munafiq " - Sesiapa yang tidak bersedih dengan kematian seorang alim, maka dia adalah munafiq munafiq munafiq. Allahu...Allah.
Marilah kita hadiahkan bacaan al-Fatihah dan al-Ikhlash serta mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama para nabiyyin siddiqin syuhada` dan sholihin.
Khamis, Julai 20, 2006
Irsyadul 'Ibad - Tuan Minal
Untuk tatapan ikhwah yang berhajat. Aku no komen, carilah guru yang benar agar ambilan kalian bertentuan, terselamat dari segala ketidakkeruanan serta tidak keliru tak tentu tujuan, sehingga tersesat di penghujung jalan, tak tahu nak pulang.
Sabtu, Julai 08, 2006
Nur Muhammad s.a.w. - 18
Ikhwah, meh kita tengok karangan Tuan Guru Haji Wan Mohd. Shaghir berhubung Nur Muhammad. Aku rekomenkan kat ikhwah agar cari buku "Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua di Dunia Melayu" dan telaahlah dengan teliti. Tuan Guru bukan sahaja cerita pasal Nur Muhammad tetapi juga tentang Martabat Tujuh yang telah ditafsirkan secara songsang oleh geng sebelah. Aku kata jika Nur Muhammad dan Martabat Tujuh seperti apa yang ditafsirkan oleh Dr. Fattah dan geng-gengnya, maka itu memang songsang dan sesat, cuma masalahnya adakah tafsiran dan pemahaman Tuan Dr. tersebut menjadi pegangan para ulama kita ? Atau mereka mempunyai tafsiran yang jauh berbeza dari tafsiran geng-geng tersebut ? Kome kaji le bebetul ye. Seingat akulah, Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal pun ada risalah yang membahaskan pegangan atau tafsiran Nur Muhammad yang songsang yang difahami oleh segelintir golongan sesat. Tetapi ini tidak bererti Allahyarham Tuan Guru tersebut menolak konsep Nur Muhammad menurut tafsiran para ulama yang terkemuka. Contohnya mudah sahaja, jika kita tolak tafsiran atau pemahaman rigid puak Wahhabi terhadap Islam atau pemahaman puak Syiah mengenai Islam, bukan ertinya kita menolak Islam, kerana Islam itu bukan semata-mata apa yang ditafsirkan oleh geng anak Pak Wahhab tersebut atau geng Khomeini.
- ....Beberapa orang ulama dunia Islam yang terkenal di antara mereka ada mencatat sanad yang di dalamnya terdapat nama Syeikh Ibnu Hajar al-'Asqalani. Sanad yang tersebut sampai kepada 'Abdur Razzaq. Ada sanad 'am mengenai beberapa bidang keilmuan, dan ada pula sanad khash tentang hadis, termasuk hadis Nur Muhammad. Di antara mereka yang mempunyai sanad kepada Syeikh Ibnu Hajar al-'Asqalani (wafat 852H/1448M) ialah: Syeikh Hasan al-Masyath, Saiyid 'Ali al-Maliki, Syeikh Muhammad Mahfuzh bin 'Abdullah at-Tarmasi (1285H/1868M - 1385H/1965M), Syeikh Muhammad Mukhtar bin 'Atharid Bogor (1278H/1861M - 1374H/1954M), Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272H/1856M - 1325H/1908M), Saiyid Bakri bin Muhammad Zainal 'Abidin Syatha, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.....dan lain-lain.
- Setelah melalui beberapa nama bertemu pada Syeikh 'Abdullah asy-Syarqawi (1150H/1737M - 1227H/1821M), ia terima dari Syeikh Muhammad bin Salim al-Hifnawi/Hifni (Syaikhul Azhar 1173H/1715M - 1181H/1767M), ia terima dari 'Abdul 'Aziz az-Ziyadi, ia terima dari Syeikh Muhammad al-Babili, ia terima dari Syeikh Najamuddin Muhammad al-'Aithi, ia terima dari Qadhi Zakaria al-Anshari, ia terima dari Syeikh Ibnu Hajar al-'Asqalani (773H/1371M - 852H/1448M), ia terima dari Syeikh Abil Faraj 'Abdur Rahman al-Ghazzi, ia terima dari Abin Nun Yunus bin Ibrahim ad-Dabbus, ia terima dari Abi Hasan 'Ali, ia terima dari Muhammad bin Nashir as-Salami, ia terima dari 'Abdul Wahhab bin Muhammad bin Mandah, ia terima dari Abil Fadhal Muhammad al-Kaukabi, ia terima dari Abil Qasim ath-Thabrani, ia terima dari Ya'qub Ishaq bin Ibrahim al-Mirwazi al-Hanzhali, ia terima dari 'Abdur Razzaq bin Hammam bin Nafi dengan sanad sehingga sampai kepada Jabir bin 'Abdullah.
Selain menjawab tuduhan puak-puak menentang kewujudan Nur Muhammad, Tuan Guru turut menyenaraikan beberapa nama ulama terkemuka yang membicarakan Nur Muhammad dalam karangan-karangan mereka, antaranya:-
- Syaikh 'Abdul Qadir al-Jilani, Sulthanul Awliya`;
- Syeikh 'Abdullah 'Arif;
- Imam as-Sayuthi;
- Imam al-Qasthalani;
- Imam al-Zarqani;
- Sayyidisy Syaikh Ja'far al-Barzanji;
- Syaikh Yusuf an-Nabhani;
- Syaikh Nawawi al-Bantani;
- Syaikh Nuruddin ar-Raniri;
- Syaikh 'Abdur Rauf al-Fansuri / Singkel;
- Syaikh 'Abdus Shomad al-Falimbani;
- Syaikh Muhammad Nafis al-Banjari;
- Syaikh Daud al-Fathani;
- Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Yusuf bin 'Abdul Halim Kelantan;
- 'Allamah Abu 'Abdullah asy-Syaikh Muhammad bin Ahmad 'Ilisy;
- 'Allamah Syaikh Muhammad Bashri al-Manzalawi;
- Sayyid Utsman bin 'Abdullah BinYahya;
- Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani;
- Syaikh Zainal 'Abidin al-Fathani, Tuan Minal;
- Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani;
- Syaikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani;
- Syaikh 'Abdul Hamid bin 'Ali Kudus;
Bagi menutup tulisannya, Tuan Guru menyebut:-
- Perlulah diperhatikan bahawa dari keterangan di atas terdapat tiga buah hadis dari tiga orang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Mereka ialah: Sayyidina 'Ali bin Abi Thalib k.w.w.r.a. (wafat 40H/661M), 'Abdullah bin 'Abbas r.a. (wafat 68H/687M) dan Jabir bin 'Abdullah r.a. (wafat 78H/697M). Ada lagi beberapa hadis mengenai Nur Muhammad atau yang sama maksud dengannya, yang berasal dari sahabat yang lain, di antaranya, yang berasal dari: Salman al-Farsi r.a., Abu Zar al-Ghifari r.a., dll, termasuk juga Abu Hurairah r.a.
- Oleh itu teori para pengkritik hadis Nur Muhammad atau hadis yang sama maksud dengannya, dengan tuduhan melulu dan berbagai-bagai adalah teori yang bersifat khayal.
- Di antara mereka ada yang mengkhayal bahawa hadis Nur Muhammad adalah doktrin Syi`ah, golongan ini mungkin lebih banyak mempelajari Mazhab Syi`ah atau hidup dilingkungan mazhab itu ketimbang belajar secara mendalam Islam cara tradisional.
- Yang lain mengkhayal pula, bahawa hadis Nur Muhammad adalah doktrin berasal ajaran Greek ajaran Platonisme, sama dengan yang di atas golongan ini mungkin lebih banyak mempelajari ajaran Greek-Platonisme atau hidup dilingkungan itu ketimbang belajar secara mendalam Islam cara tradisional.
- Yang lain mengkhayal pula hadis Nur Muhammad adalah doktrin berasal dari ajaran trinitas dalam Kristian.
- Yang lain pula mengkhayal berasal dari ajaran al-Hallaj, yang lain pula mengkhayal berasal dari Abi Yazid al-Bisthami, dll.
- Di antara mereka ada menganggap bahawa hadis Nur Muhammad atau hadis yang sama maksud dengannya, adalah hadis maudhu`(hadis palsu). Penilaian mereka juga tidak sepakat atau tidak sependapat kerana selain yang berpendapat hadis maudhu`, dari golongan mereka pula ada yang berpendapat hadis dhaif, dan lain-lain. Sudah maklum bahawa pengertian atau takrif hadis maudhu` dengan hadis dhaif adalah tidak sama. Sesuatu penilaian yang bersifat teori maka bukanlah merupakan hujah atau hukum qath`ie, apatah lagi jika masih terdapat pertentangan atau kontroversi antara yang satu dengan yang lainnya.
- Oleh itu sekian banyak kitab yang dikarang oleh sekian ramai ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang membicarakan hadis Nur Muhammad atau hadis yang sama maksud dengannya, perlu mendapat pembelaan.
Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.
Jumaat, Julai 07, 2006
Nabi Khidhir a.s. - 3
Ikhwah Fadhilatul Imam al-Ustaz Muhammad Zaki Ibrahim dalam bukunya "Usul al-Wushul" mukasurat 165 - 166 menyatakan:-
- Berkata Ibnul Jawzi, Ibnu Abi Ziyad, Abul Hasan ar-Rumaani, Muhammad bin Ishaq dan lainnya bahawasanya Nabi al-Khidhir adalah Nabi dan Rasul.
- Dan dinaqal al-Qurthubi, Abu Hayyan, al-Baghawi, Ibnu 'Athiyyah dan ats-Tsa'labi dalam kitab-kitab tafsir mereka bahawasanya dia Nabi sahaja, dan mereka berkata bahawa inilah pegangan kebanyakan ahli ilmu dan inilah pandangan Sayyidina Ibnu 'Abbas dan sebahagian sahabat.
- Adapun Abul Qaasim al-Qusyairi, Abu Bakar bin al-Anbaari, Abu 'Ali bin Abi Musa dan jumhur ahli sufi atas pendapat bahawa dia adalah Wali iaitu seorang hamba yang sholeh, sebagaimana dinash dalam al-Quran.
- Dan dinaqalkan al-Maawardi bahawa dia adalah malaikat (yang berjasad dalam rupa bentuk manusia), akan tetapi al-Hafiz bin Abi Dihyah menyerahkan sahaja perkara ini dengan katanya: "Kami tidak mengetahui adakah baginda malaikat atau nabi atau hamba yang sholeh (yakni wali). Dan inilah pendapat jumhur ahli sufi.
- Dan yang ashah ialah bahawasanya baginda adalah nabi, wa Allahu a'laam.
Rabu, Julai 05, 2006
Imam 'Ali Zainal 'Abidin as-Sajjad
Imam al-Haddad mempunyai sebuah karangan nazam yang setiap baitnya diakhiri dengan huruf 'ain menjadikan nazam ini masyhur dengan nama "al-'Ainiyyah". Nazam ini berisi antara lain sifat, kepribadian para ulama terdahulu serta pujian terhadap mereka, ditambah dengan wasiat dan nasihat kepada umat.
Pada bait ke-42, beliau menyatakan bahawa Imam 'Ali Zainal 'Abidin adalah contohnya para ulama berkepribadian unggul yang betul-betul 'arif billah serta mensifatkan beliau sebagai al-qaanit, al-mutabattil dan al-mutakhasysyi'."
As-Sayyid asy-Syarif al-'Aaliy al-Muniif al-'Allaamah al-Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi Ba 'Alawi yang merupakan murid Imam al-Haddad dalam syarahnya bagi nazam "al-'Ainiyyah" gurunya tersebut yang terkenal dengan nama "Syarhul 'Ainiyyah" pada mukasurat 18 - 20 mensyarahkan bait gurunya mengenai Imam 'Ali Zainal Abidin, menyatakan antara lain:-
- Al-qaanit bermaksud orang yang sentiasa berdiri beribadah kerana Allah yang utama di sisi Allah dengan khidmat dan taat.
- Al-mutabattil ialah orang yang meninggalkan apa-apa selain Tuhannya yang menghindari selainNya serta sentiasa berhadap kepadaNya.
- Al-mutakhasysyi` ialah orang yang tenang hati dan segala anggotanya kerana ilmunya tentang Allah, khaufnya kepadaNya, haibahnya terhadapNya dan takutnya.
- Inilah sifat-sifat Imam Zainal 'Abidin 'Ali bin Imam as-Sibthi al-Husain bin Imam Amirul Mu'minin 'Ali bin Abi Tholib r.`anhum ajmain, yang dikunyahkan dengan Abal Hasan atau Abal Husain juga dilaqabkan dengan as-Sajjad.
- Dilahirkan r.a. di Madinah pada tahun 33H atau 38H dan wafat di sana pada 18 Muharram tahun 94H dan dimaqamkan di Baqi` dalam Kubah Sayyidina al-'Abbas r.a. di sisi pamannya Imam Hasan r.a.
- Beliau adalah seorang tabi`in yang mulia, imam besar, meriwayatkan hadis daripada ayahandanya, pamannya, Sayyidina Jabir r.a., Sayyidina Ibnu 'Abbas r.'anhuma, Sayyidina al-Miswar bin Makhramah r.a., Sayyidina Abu Hurairah r.a., Sayyidatina Shofiyyah r.'anha, Sayyidatina 'Aisyah r.'anha, Sayyidatina Ummu Salamah r.'anha.
- Beliau menggantikan ayahandanya Imam al-Husain r.'anhuma dalam ilmu, zuhud dan ibadah, di mana dihimpunkan kemuliaan baginya pada segala sesuatu.
- Telah berkata Imam Yahya al-Anshari:- "Dia (Imam as-Sajjad) adalah seafdhal-afdhal Hasyimiy (keturunan Bani Hasyim) yang pernah aku lihat."
- Dan telah berkata Imam az-Zuhri: "Belum aku temui di Madinah seseorang yang lebih afdhal daripadanya."
- Dan telah berkata Imam Hammad bin Zaid:- "Adalah dia merupakan seafdhal Hasyimiy yang aku tinggalkan di Madinah".
- Dan telah berkata Imam Abu Bakar bin Abi Syaibah: "Sesahih-sahih sanad sekaliannya adalah sanad Imam az-Zuhri daripada Imam 'Ali bin Imam al-Husain daripada ayahanda tersebut daripada Sayyidina Imam 'Ali bin Abi Tholib."........
- Adalah beliau bersholat pada sehari semalam 1000 rakaat, dan tatkala beliau berwudhu untuk sholat berubah kuning warnanya (yakni pucat lesi wajahnya), apabila ditanyai mengenai hal itu, maka beliau menjawab: "Adakah kamu tahu di sisi siapa kamu berdiri ?" Untuk bersuci, beliau enggan memohon bantuan sesiapapun. Adalah menjadi amalannya untuk memenuhkan sendiri air untuk bersuci sebelum beliau tidur. Dan tidak pernah beliau meninggalkan qiyamul lail baik sewaktu bermusafir maupun bermukim.
- Adalah beliau memuji-muji Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina 'Umar dan Sayyidina 'Uthman r.'anhum (jelas sifatnya berbeza dengan puak Syiah yang mencaci mereka).......
- Tatkala beliau wafat, didapati 100 ahli bait dibawah tanggungannya dan beliau menanggung sendiri guni makanan atas belakangnya untuk disedekahkan pada malam hari secara rahsia kepada fakir miskin di Madinah. Dan beliau berkata:- "Bahawasanya sedekah secara rahsia memadamkan kemurkaan Tuhan".
- Berkata Muhammad bin Ishaq:- "Adalah orang Madinah mendapat nafkah penghidupan mereka tetapi tidak mengetahui siapa yang memberinya. Maka apabila meninggal Imam 'Ali bin al-Husain, terhentilah pemberian tersebut."........Manaqib, keutamaannya dan kelebihannya tidak dapat dihitung, tetapi ianya masyhur dan disebut-sebut.....Beliau wafat dengan meninggalkan 11 orang anak lelaki dan 4 orang anak perempuan yang mewarisi ilmu, zuhud dan ibadahnya.....
Begitulah ikhwah, sekelumit mengenai Imam 'Ali Zainal 'Abidin yang digelar as-Sajjad yang aku nukilkan dari karangan Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi seorang ulama besar Syafi`iyyah yang dilahirkan di Kota Ghurfah pada tahun 1069H dan wafat pada waktu Asar, hari Jumaat, 19 Sya'baan 1145H. Habib Ahmad al-Habsyi berguru dengan ramai guru dan mendalami berbagai ilmu. Di bawah bimbingan Imam al-Haddad sahaja beliau telah mengaji lebih 70 buah kitab dalam berbagai disiplin ilmu. Beliau juga telah membangunkan 17 buah masjid di berbagai kota dalam negeri Hadhramaut. Karangannya berbilang dari sekecil-kecil "ar-Risalatul Jami`ah" sehinggalah ke "Safinatul Kubra" yang terdiri dari 20 jilid. Inilah ulama Sunniyun Syafi`iyyun yang kita jadikan sandaran, yang menjadi sanad dan penyambung antara kita dengan para ulama sebelumnya sehinggalah kepada Junjungan s.a.w.
Sedih hatiku melihat orang jahil menghina Imam as-Sajjad dengan tuduhan Syiah. Sungguh pelik tuduhan ini, sungguh inilah kali pertama aku mendengar orang menuduh Imam as-Sajjad sebagai Syiah seperti yang kita fahami. Prof. Dr. Ihsan Ilahi Zahir, tokoh ulama Pakistan keluaran Universiti Madinah yang cenderung kepada fahaman Wahhabi dan amat keras terhadap golongan Syiah sehingga beliau dibunuh oleh puak tersebut, dalam bukunya "Syiah wa Ahl al-Bait" tidak pernah menuduh Imam as-Sajjad sebagai Syiah, bahkan dia menjelaskan pegangan Imam as-Sajjad adalah bertentangan dengan pegangan Syiah, contohnya Imam as-Sajjad adalah orang yang amat memuliakan para sahabat termasuklah ketiga-tiga khulafa` ar-rasyidin yang terdahulu, sedangkan Syiah mencaci maki mereka. Sila tuan-tuan rujuk buku tersebut.
Ada pulak manusia yang kerana ingin mempersendakan 1000 rakaat sholatnya, maka diumpamakan ibadahnya dengan ibadah golongan Khawarij. Kemudian ada yang mengakalan dengan logika terbatas mereka kemungkinan dilaksanakan 1000 rakaat tersebut, yang kononnya perkara mustahil. Allahu...Allah, sungguh puak ini tidak kenal apa dia perkara mustahil. Hang pa pilah cari Tok Guru mengaji ilmu tauhid dulu. Teringat aku waktu aku mengaji dahulu, ada seorang kawan yang mengatakan mustahil Imam Ahmad boleh menghafal 1,000,000 hadis kerana dikiranya mengikut kiraan logiknya semata-mata.
Ketahuilah ini merupakan satu karamah yang dikurniakan Allah kepada kekasih-kekasihnya. Allahu...Allah, ini belum lagi puak-puak ni dengar yang Syaikh Abu Madyan boleh mengkhatamkan al-Quran 70,000 kali sehari semalam. Aku ingat Ustaz Abdullah al-Qari yang terkenal sebagai cenderung kepada golongan "salafi" pun menyebut hal ini dalam bukunya "Kursus Qari dan Qariah", di mana pada bab "Kesanggupan Manusia Membaca al-Quran" di halaman 153 dia menyebut, antara lain:- "Adalah setengah orang-orang Ahli as-Sufi, mereka membaca Quran secara bacaan rohiah bukan seperti bacaan manusia biasa. Ini adalah kekeramatan (kemuliaan) kerohaniah seperti yang disebut oleh Imam asy-Sya'raani bahawa setengah mereka itu membaca Quran beratus-ratus ribu kali, malah berjuta-juta kali."
Kepada pihak-pihak yang merendah-rendahkan Imam as-Sajjad, aku peringatkan agar berhenti dengan tohmahan kamu tersebut. Ingat orang yang kamu perkatakan ini adalah cicit Junjungan s.a.w. Penyambung zuriat Junjungan s.a.w. melalui jalur Imam al-Husain r.a. Inilah nenda para saadah keturunan Imam al-Husain r.a. Jangan kamu jadikan Imam ini sasaran serangan kamu, ini bukan sebarang ulama, ini antara bapaknya segala ulama, jangan diumpamakan beliau dengan Albani hatta Ibnu Taimiyyah pun jangan. Kerna beliau ini generasi awal golongan salaf bila niza`. Ingat wahai juhala` yang mengikut akan hawa nafsu, hormat dan muliakanlah para ulama. Ingatlah kamu bahawa Imam an-Nawawi rhm. dalam "at-Tibyan" mukasurat 25 menyatakan seperti berikut:-
- Al-Imam al-Hafiz Abul Qasim bin 'Asakir rhm. berkata:- Ketahui wahai saudaraku, moga-moga Allah memberi taufiq kepada kita sekalian untuk mencapai keredhaanNya dan menjadikan kita dari golongan yang takut kepadaNya dan bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa - bahawasanya daging para ulama itu beracun, dan kebiasaan Allah dalam membongkar tabir kehormatan orang yang menjatuhkan mereka adalah sedia maklum. Sesungguhnya sesiapa yang melepaskan lidahnya untuk mencaci ulama, nescaya Allah ta`ala memberi bala kepadanya sebelum dia meninggal dunia dengan mati hatinya...."
Ahad, Julai 02, 2006
Hikmah Fitnah - 1
- Asy-Syaikh al-Jalil Qaasim al-Khashaashiy r.a. berkata:- "Jangan pedulikan orang yang membuat fitnah terhadapmu, tetapi tumpukanlah perhatian kepada ALLAH. ALLAH akan menghilangkan tukang fitnah ini daripadamu, kerana bahawasanya ALLAHlah yang menggerakkan dia membuat fitnah terhadapmu untuk menguji keikhlasanmu, tetapi ramai yang tersilap dalam masalah ini." Sekiranya engkau memberi perhatian kepada orang yang berbuat fitnah terhadapmu, fitnah itu akan berterusan, dengan dosamu (akibat terlalai daripada dzikrUllah).
Ustaz Muhammad dalam notakakinya menyatakan bahawa nasihat yang sama telah diterima oleh Imam asy-Sya'raani daripada gurunya tatkala beliau mengadu kepada gurunya tentang kesakitan yang didatangkan oleh manusia terhadap dirinya. Maka gurunya menasihati beliau:-
- Jangan sibuk dengan orang yang menyakitimu, sibuklah dengan Allah, nescaya akan dihilangkanNya tukang fitnah itu daripadamu. Sesungguhnya ramai orang yang tersilap dalam perkara ini, lalu mereka menyibukkan diri dengan orang yang menyakiti mereka. Maka berlanjutanlah kesakitan (yakni fitnah itu) beserta dosa (lalai daripada dzikrUllah). Jikalau mereka rujuk kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupi bagi mereka itu untuk menyelesaikan urusan mereka dan akan dihilangkanNya tukang-tukang fitnah itu daripada mereka.
Ikhwah, tuan-tuan guru kita mengajar agar kita sentiasa melazimi berzikir dengan hasballah dan sentiasa membaca dan menghayati ayat 44 surah al-Ghafir/al-Mu'min yang menyatakan:- ".... Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya." Agar kita sentiasa menjadikan Allah sebagai sandaran dalam kehidupan seharian. Inilah munajat penyerahan Nabi Musa a.s. setelah menjalankan usaha dakwahnya kepada kaumnya. Dan pada ayat ke-45, Allah berfirman:- "(Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka Allah ia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka; dan Fir`aun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya". Mudah-mudahan Allah jadikan kita orang yang ikhlas dan menjadikan kita alatNya untuk mempertahankan maruah para kekasihNya.
HasbiyAllahu wa ni'mal wakil.
Sabtu, Julai 01, 2006
K.H.M. Syafi`i Hadzami - 2
"Beliau memiliki keikhlasan, ketawadhuan dan kearifan seorang guru. Beliau bukan hanya pengajar, melainkan juga mursyid dan murabbi....Kita memiliki universitas-universitas agama dengan bangunan yang membuat orang berdecak kagum. Tetapi dapatkah institusi-institusi itu menjamin sebuah kurikulum agama yang dapat menjawab persoalan-persoalan agama sebanyak yang dapat dijawab oleh K.H. Syafi`i Hadzami ?....Meski sekilas wafatnya beliau hanya menunjukkan kepergian seorang alim, sesungguhnya kita telah kehilangan sesuatu yang sangat besar dan berharga. Wafatnya beliau berarti juga runtuhnya sebuah universitas. Sepanjang pengabdiannya, beliau menyediakan berbagai ilmu yang dibutuhkan umat, seperti fiqih, ilmu kalam, ulumul-Quran, tafsir, hadis, ulumul hadis, ilmu alat dan berbagai ilmu keislaman lainnya. Semua itu dikuasainya dengan sangat mendalam. Sungguh, kita telah kehilangan sebuah universitas, dan membangunnya kembali sungguh pekerjaan yang sangat berat."