Khatib Berthaylasan
Sejauh ingatan faqir, para khatib di tempat faqir sejak dahulu lagi apabila menyampaikan khutbah akan memegang tongkat dan memakai thaylasan, iaitu kain kelubung atas kepala atau dalam bahasa kami "makey kain sal atas palak". Jika selendang atau kelubung itu diletakkan atas bahu, maka ianya tidak dinamakan berthaylasan tetapi disebut sebagai memakai selendang atau rida`. Terhasil asal sunnah pemakaian thaylasan ini dengan meletakkan selendang atau rida` tersebut atas kepala dan menyelubungi bahu serta belakang si pemakainya. Untuk kaifiat yang lengkap, boleh tuan - tuan rujuk kepada tok - tok guru dan rujuk umpamanya bab libas dalam kitab - kitab fiqh. Di tempat kami, berthaylasan adalah seolah - olah pakaian rasmi para khatib dan sebenarnya pemakaiannya adalah sesuatu yang elok dan baik serta dihukumkan sebagai mustahab / mandub / sunnat oleh para ulama.
Memakai thaylasan atau kain kelubung kepala ini ada khilaf di kalangan ulama kita. Sebahagian kecil daripada ulama menghukumkan makruh memakainya kerana dianggap menyerupai pakaian Yahudi. Di antara yang keras berpendapat sedemikian adalah Sulthanul Ulama, Syaikh `Izzuddin ibnu Abdis Salam rahimahullah, yang diriwayatkan sebagai pernah menegah para khatib di Jami` Umawi, Damsyik, daripada memakai thaylasan. Namun pendapat ini ditolak oleh kebanyakan ulama kita yang menghukumkan pemakaiannya sebagai mustahab / mandub / sunnat asalkan tidak menyerupai corak, rupa dan bentuk yang digunakan oleh kaum Yahudi. Kebanyakan ulama menghukumkan sunnat berthaylasan bagi semua lelaki, tanpa mengira awam maupun khawas, ketika melakukan ibadah seperti ketika shalat, ketika khatib berkhutbah dan seumpamanya. Manakala di luar shalat atau di luar perlaksanaan ibadah, yakni untuk pemakaian seharian, maka ianya hanya disunnatkan bagi ulama sahaja sebagai pemuliaan kepada ilmu dan agar ahlinya dapat dikenali. Maka kita dapat lihat ada ulama kita yang membiasakan diri mereka dengan memakai thaylasan seperti al-'Alim al-'Allaamah Baba Eil Spanjang al-Fathani hafizahullah. Bagi sesetengah pengikut Thariqat Naqsyabandiyyah pula, berthaylasan adalah dituntut ketika menjalankan zikir thariqat. Manakala bagi awam macam kita, berthaylasan di luar tu hanyalah semata - mata untuk mengelak dari teriknya panas matahari. Mungkin di antara hikmah berthaylasan ini adalah untuk membatas ruang lingkup pandangan mata dengan sedemikian diharap terjagalah mata daripada melihat segala aghyar yang mungkin dapat menarik perhatian atau mengganggu kekhusyukan.
Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam Nihayatuz Zain pada halaman 140 berkaitan thaylasan menukil antara lain perkataan Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah dalam Tanbihul Akhyar sebagai berikut: Adalah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tidak meninggalkan untuk berthaylasan dan adalah panjang thaylasan baginda itu 6 hasta dan lebarnya 3 hasta. Thaylasan itu menyerupai rida` yang diletakkan atas kepala, dua bahu dan belakang (yakni menutupi kepala, dua bahu dan belakang) sebagaimana dinukilkan daripada Imam as-Sayuthi.
Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam Nihayatuz Zain pada halaman 140 berkaitan thaylasan menukil antara lain perkataan Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah dalam Tanbihul Akhyar sebagai berikut: Adalah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tidak meninggalkan untuk berthaylasan dan adalah panjang thaylasan baginda itu 6 hasta dan lebarnya 3 hasta. Thaylasan itu menyerupai rida` yang diletakkan atas kepala, dua bahu dan belakang (yakni menutupi kepala, dua bahu dan belakang) sebagaimana dinukilkan daripada Imam as-Sayuthi.
Berbalik kepada subjek asal entri ini, iaitu persoalan hukum khatib berthaylasan ketika menyampaikan khutbah di atas mimbar. Imam Ibnu Hajar rahimahullah pernah ditanya mengenai perkara ini dalam fatwa beliau dan jawapan beliau sebagaimana termaktub dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, juz 1, halaman 261 adalah sebagai berikut:-
Imam Ibnu Hajar telah ditanya tentang seorang khatib yang meninggalkan pemakaian thaylasan dan menganggap pemakaiannya tidak disunnatkan, maka adakah anggapannya tersebut benar atau salah? Maka Imam Ibnu Hajar menjawab dengan katanya: "Anggapan khatib tersebut tidak benar, bahkan yang benar adalah berthaylasan itu sunnat sebagaimana dijelaskan oleh ramai para imam kita. Adalah Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahullah mempunyai karya tersendiri mengenai kesunnahan memakai thaylasan, di mana dihimpunkan dalamnya hadis - hadis yang warid serta penjelasan mengenainya juga penolakan terhadap pihak yang menyalahi pemakaiannya. Maka syukur kepada Allah atas usaha beliau tersebut. Adalah guru kami al-Imam al-Ustadz Abul Hasan al-Bakri saqaAllahu tsarahu sentiasa memakainya sejak mula lagi, ketika dalam pengajian dan selainnya. Maka perbuatan beliau telah ditentang oleh sesetengah manusia, lalu beliau bersungguh - sungguh menjawab tentangan mereka dengan mendatangkan segala riwayat yang menunjukkan atas sunnat (mandub) memakainya. Beliau telah menjelaskan kepada pihak yang menentang, bahawa yang ditentang oleh mereka itu sebenarnya adalah pemakaian thaylasan dengan sifat atau rupa yang tertentu (yakni bukanlah yang ditentang itu pemakaian thaylasan secara mutlak, tetapi pemakaiannya yang menyerupai pemakaian thaylasan Yahudi)........
Selanjutnya, Imam Ibnu Ziyad rahimahullah juga berpendapat memakai thaylasan adalah mustahab / sunnat bagi khatib ketika menyampaikan khutbah. Ini boleh kita lihat dalam fatwa beliau yang dikutip oleh Habib 'Abdur Rahman al-Masyhur Ba`Alawi rahimahullah, mufti Hadhramaut dalam "Ghayatu Talkhish", yang dicetak di tepi Bughyatul Mustarsyidin pada halaman 103. Pada halaman tersebut tercatat sebagai berikut:
Adalah mustahab (sunnat) hukumnya bagi si khatib untuk memakai thaylasan (kain selubung atas kepala) dan al-Qadhi (iaitu al-Qadhi Abu 'Ali al-Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Marwazi @ Qadhi Husain) telah menjelaskan bahawasanya adalah mustahab bagi setiap orang yang shalat memakai serban dan berthaylasan, di mana ianya (yakni pemakaian thaylasan) adalah syiar bagi para pemuka ulama. Mustahab menadah tangan ketika berdoa setelah dua khutbah (yakni ketika khatib berdoa pada hujung khutbah kedua) bagi khatib dan jemaah lain. Namun, jika si khatib khuatir dia akan terjatuh jika dia menadah tangannya ketika berdoa tersebut, maka tidaklah mengapa untuk dia meninggalkan menadah tangannya tersebut.Oleh itu, eloklah bagi para khatib ketika menyampaikan khutbah memakai segala pakaian bagus meniru pakaian yang pernah digunakan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, dengan kopiah, dengan serban, dengan rida` dan dengan thaylasan. Hal ini mungkin dapat menambahkan lagi haibah dan waqar si khatib sehingga lebih mantap dia berkhutbah.