Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan kelebihan dan keistimewaan Surah al-Ikhlas. Dalam riwayat - riwayat yang berbagai darjat, dari shahih ke dhaif, banyak yang mengkhabarkan kelebihan dan fadhilat surah yang dinobatkan sebagai sepertiga Quran ini. Ini tidak termasuk berbagai hikayat, kisah dan cerita mengenainya yang dialami dan diceritakan oleh para awliya` dan shalihin. Ajaran pokok yang terkandung dalam surah yang mulia ini adalah tauhid dan tidak ada sesuatu yang paling berharga dan bernilai di dunia mau pun akhirat selain mentauhidkan Allah `azza wa jalla. Para rasul `alaihimush shalatu wa sallam diutus untuk mengajar dan membawa manusia untuk mentauhidkan Allah. Wujudnya alam semesta ini dari tiada kepada ada, menjadi antara bukti bahawa Sang Penciptanya itu Esa tanpa ada sekutu. Jika Sang Pencipta tidak Esa, maka pasti alam ini berantakan atau binasa, bahkan tidak akan wujud. Allah yang Maha Esa berfirman, surah al-Anbiya` ayat ke-22, yang kira - kira bererti: "Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan - tuhan selain Allah, tentulah kedua -duanya binasa. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan) Maha Suci Allah Tuhan yang mempunyai `arasy daripada apa - apa yang disifatkan oleh mereka."
Makanya, dikatakan bahawa alam ini, bumi dan langit, dibina atau diasaskan atas "Qul Huwa Allahu Ahad" yakni atas dasar Tauhid, hanya Allah sahaja Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini. Imam Abu Bakar Ahmad bin Marwan ad-Dinawari al-Qadhi al-Maliki (wafat 333H) rahimahullah meriwayatkan dalam al-Mujalasah wa Jawahirul `Ilm, jilid 8, halaman 156, bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda sebagai berikut: "Diasaskan atau dibina akan tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi atas (dasar) "Qul Huwa Allahu Ahad". Imam as-Sayuthi rahimahullah menukilkan riwayat ini dalam al-Jami`ush Shaghir dan menurut beliau ia berstatus dhaif. Sungguh pun sanad riwayatnya bermasalah, namun pengertiannya adalah benar, yakni yang dikehendaki dengan riwayat tersebut adalah segala langit dan bumi dibina sebabnya adalah untuk mentawhidkan Allah, menjelaskan shamadhiyyahNya (yakni hanya kepadaNya makhluk berharap, bergantung dan bersandar bagi memenuhi hajat keperluan mereka), menzahirkan uluhiyyahNya dan mentanzihkanNya daripada beranak, diperanak, sekutu dan pendamping; Sebagaimana perkataan Imam Shan`ani dalam at-Tanwir, jilid 2, halaman 358.
Sebahagian ulama lain, menghubungkan riwayat tersebut hanya kepada Sayyidina Ka`ab al-Ahbar. Misalnya, Ibnu Dhurais (w. 294H)
rahimahullah dalam
Fadhailul Quran, halaman 110, meriwayatkannya sebagai atsar daripada seorang hamba yang shalih, iaitu Ka`ab al-Ahbar
rahimahullah,
yang menyatakan:
"Bahawasanya segala bumi ini diasaskan atas "Qul Huwa Allahu Ahad".Maka kejadian langit dan bumi serta alam semesta ini menjadi dalil atau tanda atau alamat atas keesaan Sang Penciptanya, iaitu Allah `azza wa jalla. Bersempena keberadaan kita dalam bulan Rejab yang mulia, faqir nukilkan hikayat / riwayat yang disampaikan oleh ulama yang ada kaitan dengan kelebihan Surah al-Ikhlas. Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi al-Irbili qaddasaAllahu sirrahul `aziz dalam karyanya Dhia-us Siraj halaman 9 menulis sebagai berikut:
...(Faedah yang lain) daripada sebahagian orang shalih juga, (yang menyatakan bahawa:) " (Mudah - mudahan) sesiapa sahaja hamba Allah yang membaca pada setiap hari dari hari - hari di bulan Rejab akan surah "Qul Huwa Allahu Ahad" sekali (yakni sekurang - kurangnya sekali), melainkan dikurniakan kepadanya ganjaran pahala yang tidak diketahui kadarnya oleh selain Allah ta`ala. Maka jikalau ada 10,000 unta yang menanggung muatan kertas - kertas, lalu berhimpun pula para malaikat penghuni langit yang di tangan - tangan mereka ada pena emas untuk mencatat pahalanya atas kertas - kertas tersebut, nescaya mereka tidak akan mampu untuk menulis kadar pahala (bacaan) "Qul Huwa Allahu Ahad" tadi.
Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani @ Tok Syaikh Nik Mat Kecik rahimahullah dalam al-Bahjatul Mardhiyyah, halaman 139, menyatakan sebagai berikut:
...Dan menyebut oleh asy-Syaikh al-Hannaathi: "Barangsiapa membaca `Qul Huwa Allahu Ahad' pada tiap - tiap hari daripada Rejab sekali, yakni tiap - tiap hari sekali (yakni setidak - tidaknya sekali), maka seolah - olah memuat ia 10,000 unta pelari (yakni unta yang gagah) akan kertas dan berhimpun isi tujuh petala langit dan bumi dengan tangan mereka itu qalam daripada emas, menyurat sekalian akan pahala `Qul Huwa Allahu Ahad' pada demikian kertas itu..."
Allahu ... Allah, urusan ganjaran pahala ini adalah hak mutlak Allah ta`ala, dan terhenti atas nas, maka jika pun tiada warid yang sedemikian itu daripada nas, maka anggap sahajalah apa yang dinyatakan dan dinukil oleh para ulama tadi sebagai termasuk dalam bab khabariyyah lafzan insyaiyyah ma'nan. Yang pasti membaca surah yang mulia tersebut sememangnya memiliki ganjaran pahala dan kelebihan sebagaimana warid dalam nas - nas yang shahih lagi masyhur. Semoga bermanfaat hendaknya dan tetap istiqamah atas Surah al-Ikhlas dengan seikhlas - ikhlasnya.