Alhamdulillah, aku baru dapat cetakan thesis yang berjodol "
Tautsiqus Sunnah Baina asy-Syi`ah al-Imamiyyah wa Ahlus Sunnah fi Ahkamil Imaamah wa Nikaah al-Mut`ah"(
Cara penerimaan hadits antara Syiah Imamiyyah dan Ahlus Sunnah dalam perkara pemerintahan dan nikah mut`ah). Ini adalah thesis sarjana Fadhilatul Ustaz Haji Ahmad Haris Suhaimi yang dikemukakan kepada Kuliyyah Darul 'Ulum, Universiti Kaherah, Mesir. Ustaz Ahmad Haris Suhaimi adalah anak almarhum Ustaz Haji Muhammad Taha as-Suhaimi rhm. Beliau mendapat pendidikan awal formal di Madrasah al-Ma`arif al-Islamiah dan kemudian di Madrasah al-Juneid. Pada tahun 1980, beliau melanjutkan pelajaran ke Ma'had Deen di Kuwait dan melanjutkan pelajaran di Universiti Kuwait dalam bidang Syariah. Tamat pengajian peringkat Sarjana Muda, beliau memasuki Universiti Kaherah untuk peringkat sarjana dan berhasil menyelesaikannya dengan mendapat kepujian "mumtaz".
Aku belum berkesempatan untuk mentelaah thesis yang setebal lebih kurang 564 halaman tersebut, tapi sepintas lalu ianya penuh ilmu yang bermanfaat dengan rujukan yang lengkap. Untuk memberi gambaran sepintas lalu isi kandungannya aku postkan di sini secuplik ringkasan dengan jodol "Masalah Jurang Antara Kaum Syiah dan Ahli Sunnah" tulisan pengarang thesis tersebut. Harap ikhwah dapat memetik manfaat darinya dan sesiapa yang berhajat untuk membaca keseluruhan thesis tersebut, bolehlah dicari di kedai-kedai kitab atau boleh berhubung terus kepada pihak HRS Consultant di alamat email hrs@sgplink.com.
*****************************************************
MASALAH JURANG ANTARA
KAUM SYIAH dan AHLI SUNNAH!
Bismillaahir-Rahmaanir-Rahiim
Masalah perbalahan yang semakin membesar di kalangan dua golongan ini terutama di Iraq yang juga boleh merebak ke negara-negara jiran telah menyebabkan negara seperti Jordan telah meminta kuasa-kuasa besar supaya dapat melakukan sesuatu agar perbalahan ini tidak mengakibatkan perang saudara yang lebih membesar!
Ahli Sunnah dan Syiah adalah dua golongan terbesar penganut ajaran Islam dan juga merupakan kekuatan besar kepada masyarakat Islam. Merapatkan jurang di antara dua golongan ini adalah satu usaha yang tentunya akan diberikan ganjaran yang besar oleh Allah Taala!
Walau bagaimanapun, tugas ini bukanlah satu usaha yang mudah!
Untuk mengenali golongan Syiah ini yang semakin kuat penyebarannya di Timur Tengah dan juga di Asia dan kenapa mereka agak jauh berbeza dengan Ahli Sunnah - ialah dengan memerhatikan pegangan serta ajaran yang dibawa oleh Syiah.
Sekali Imbas kalau diperhatikan dari penulisan dan ungkapan golongan Syiah ini, mungkin ramai yang akan tertarik dengan mazhab ini kerana mereka mendakwa ajaran dan pegangan agama mereka adalah bersumber dari keluarga Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam, ataupun ‘Ahlul Bait’.
Bermulanya perbezaan yang menyebabkan Syiah terbentuk apabila mereka mendakwa bahawa KHALIFAH atau ketua Negara yang sah selepas wafatnya Baginda Shallallahu Alaihi Wasallam ialah Saidina Ali bin Abi Talib r.a. dan BUKANNYA Saiyidina Abu Bakar atau Umar r.a..
Bahkan ada terdapat dari penulisan buku-buku Syiah yang menyebut secara jelas bahawa Abu Bakar dan Umar telah merampas kuasa dari Saiyidina Ali (atau digelar ‘Perampas kuasa’)!! Bahkan keduanya (mengikut dakwaan penulisan beberapa buku Syiah) telah banyak menganiaya Saiyidah Fatimah (anak Baginda) dan Saiyidina Ali (menantu Rasulullah serta suami kepada Saiyidah Fatimah).
Yang lebih tidak menyenangkan dari penulisan buku-buku Syiah, ialah terdapat riwayat dari mereka yang mendakwa kononnya majoriti (teramai) para Sahabat telah menjadi MURTAD kerana melantik Saiyidina Abu Bakar r.a. menjadi Khalifah, yang sepatutnya mereka melantik Saiyidina Ali r.a.!
Ini semua ialah kerana Syiah mendakwa bahawa (kononnya) terdapat DALIL dan NAS dari Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam supaya melantik Saiyidina Ali menjadi khalifah (ketua Negara) jika Baginda telah wafat, tetapi tidak dipatuhi oleh Sahabat-Sahabat!
Akibat dari fahaman Syiah sebegini, maka tentunya hadis-hadis Rasulullah SAW yang datangnya dari Saiyidina Abu Bakar, Umar atau siapa sahaja para Sahabat yang melantik keduanya tadi menjadi khalifah, tidak akan diterima oleh kaum Syiah.
Ini tentunya termasuk hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidah Aisyah, Saiyidah Hafshah (isteri Baginda dan anak kepada Saiyidina Abu Bakar dan Umar), begitu juga riwayat yang banyak yang datangnya dari Abu Hurairah, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas dan seterusnya!
Bahkan Syiah sendiri tidak menyukai dengan Saiyidina Aisyah dan Hafshah dan menuduh keduanya dengan perkara yang tidak baik kerana sebab-sebab yang agak panjang untuk diterangkan di sini.
Akibat daripada tidak mempercayai lagi dengan riwayat hadis dari Sahabat-Sahabat ini, akhirnya mereka mepunyai CARA tersendiri untuk menerima hadis dari Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam.
Perlu diingatkan juga bahawa Syiah sama sekali tidak menerima buku-buku hadis yang dikumpulkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan seterusnya, kerana memandangkan di dalam buku-buku hadis yang dikumpulkan ini, riwayatnya datang dari para Sahabat yang tidak disukai oleh kaum Syiah.
Kalaupun mereka “mendakwa” bahawa Syiah menerima hadis-hadis Imam Bukhari (sebagai ‘taqiah’), maka hadis yang diterimanya hanyalah segelintir sahaja, iaitu jika hadis-hadis itu boleh menegakkan (kononnya) dakwaan akidah mereka!
Sebelum kita mengenali cara kaum Syiah menerima hadis dari Rasulullah SAW, perlu juga kita mengetahui apakah pegangan kuat ajaran mereka ataupun dikatakan sebagai ‘akidah golongan Syiah Imamiah’, iaitu golongan Syiah yang terbesar ini?
Sebagai ringkasan, pegangan kuat ajaran mereka ataupun akidah mereka ialah:
PERTAMA: KEPERCAYAAN KEPADA IMAM (Pemimpin agung masyarakat Islam); iaitu ia telah dilantik oleh Rasulullah SAW (menurut dakwaan mereka), kesemuanya adalah 12 orang, iaitu (1)-Saiyidina Ali r.a. (2-3) Saiyidina Hasan dan Husein r.a. (4) Ali Zainal Abidin (anak Saiyidina Husein) (5) Mohd Al-Baqir (anak Ali Zanal Abidin) (6) Jaafar As-Shadiq (anak Mohd Al-Baqir) (7) Musa Al-Kaazim (anak Jaafar Shadiq) (8) Ali Ar-Redha (anak Musa Kaazim) (9) Muhammad Al-Jawwad (anak Ali Ar-Redha) (10) Ali Al-Hadi (anak Mohd Al-Jawwad) (11) Hasan Al-‘Askari (anak Ali Al-Hadi) (12) Mohd Al-Mahdi (akan lahir akhir zaman).
KEDUA: MA’SUM, iaitu imam-imam 12 ini adalah ma’sum, tidak melakukan dosa dan segala ucapannya adalah wajib diikuti, seperti wahyu, percakapan mereka adalah sama darjat dengan hadis Nabi SAW.
KETIGA: GHAIB, iaitu wajib meyakini bahawa Imam yang ke 12 itu akan lahir pada akhir zaman dan sekarang ini “menghilangkan diri” (Ghaib). Keimanan ghaib ini perlu bagi mereka kerana jika tidak, zaman akan ketiadaan imam yang hanya 12 orang sahaja, sedangkan setiap zaman perlu ada imam, dan masa sehingga hari kiamat masih terlalu lama!
KEEMPAT : TAQIYAH, iaitu akidah yang membolehkan berbohong kerana darurat. Tetapi jika dilihat dari riwayat buku hadis mereka, ia lebih menunjukkan bahawa perbuatan ‘taqiyah’ ini hanyalah untuk menutup keaiban akidah Syiah di hadapan Ahli Sunnah dan untuk menyebarkan ajaran Syiah, ini agar masyarakat Ahli Sunnah tidak menuduh Syiah dengan yang bukan-bukan.
KELIMA: RAJ’AH, iaitu beberapa golongan manusia akan dibangkitkan semula hidup di dunia sebelum kiamat, iaitu ketika timbulnya Imam yang ke 12 mereka nanti di akhir zaman. Terdapat riwayat mereka yang menerangkan golongan yang akan dibangkitkan nanti ialah khalifah-khalifah Islam iaitu Abu Bakar, Umar dan Usman r.a. dan mereka akan mengaku bersalah di depan ramai kerana mengambil kuasa dari Saiyidina Ali r.a.
Kalau diperhatikan dari akidah penting Syiah ini, contohnya yang kedua sehingga yang kelima itu, kita dapati kesemuanya bersangkutan dengan akidah yang pertama tadi iaitu KEPERCAYAAN kepada Imam-Imam 12 itu.
Akibat dari kepercayaan yang keterlaluan kepada Imam-Imam ini, akhirnya apa sahaja riwayat yang datangnya dari Imam-Imam ini dianggap sebagai hadis, sama setaraf dengan hadis Rasulullah SAW.
Mereka mendakwa ini semua kerana DISEBABKAN tidak menyetujui sahabat-sahabat yang meriwayatkan hadis dari Nabi SAW, kerana kebanyakan sahabat-sahabat ini tidak disukai oleh kaum Syiah sebagaimana yang telah diterangkan tadi.
Akhirnya mereka menyusun buku mereka sendiri tentang hadis (yang berlainan dengan pengumpulan hadis Ahli Sunnah) dengan tujuan mengumpulkan riwayat-riwayat dari Imam-Imam ini sahaja kerana beranggapan kata-kata mereka diambil dari hadis Nabi SAW.
Buku-buku mereka ini yang sehebat Sahih Bukhari, Muslim dan Tirmizi ialah:
1-“Usul Kaafi”: oleh Al-Kulaini
2-“Man Laa Yahdhuruhu Al-Faqiih” oleh Ibnu Babawaih Al-Qummi
3-“Tahziibul Ahkam” oleh Mohd bin Hasan At-Tuusi
4-“Al-Istibshar Fii Makhtalafa Minal Akhbar” oleh At-Tuusi tadi.
Kemudian setelah beberapa abad, disusun lagi buku-buku hadis mereka seperti:
1-“Bihaarul Anwar” oleh Al-Majlisi
2-“Wasaa-ilus Syiah” oleh Al-Hurrul ‘Aamili
3-“Mustadrak Al-Wasaa-il” oleh An-Nuri At-Tabrasi
Tetapi pengumpulan hadis-hadis mereka juga dipertikaikan kerana ramai sekali perawi yang meriwayatkan hadis dari Imam-Imam 12 ini adalah golongan yang tidak boleh dipercayai, ramai yang telah dihukum lemah hadisnya dan ramai pula yang dihukum pendusta! Bahkan banyak sekali riwayat-riwayat palsu telah dimasukkan ke dalam buku-buku hadis mereka, ini semua diakui ramai ulama Syiah sendiri!
Akibat kelemahan golongan Syiah ini untuk menapis dan meneliti keaslian riwayat hadis mereka, maka tentunya ini menyebabkan ajaran serta akidah yang pelik-pelik tersebar luas di dalam buku-buku mereka. Tentunya ini semua akan membawa kepada bahaya yang lebih besar serta perpecahan umat kerana buku-buku ini dibaca serta dipercayai oleh ramai pengikut mereka yang bilangannya berjumlah jutaan manusia!
Yang tidak baiknya ialah kebanyakan Imam-Imam 12 itu serta keluarga mereka sebenarnya adalah ULAMA AHLI SUNNAH JUGA, seperti IMAM JAAFAR SADIQ r.a. (iaitu salah seorang guru Imam Malik) telah menjadi busuk namanya serta dituduh pula dengan berbagai tuduhan dari sekelompok Ahli Sunnah yang jahil, seperti dituduh sebagai‘PENGASAS’ fahaman ‘Syiah’! Sedangkan beliau (iaitu Imam Jaafar tadi) adalah Ulama Ahli Sunnah serta keturunan Rasulullah SAW yang amat disegani di Madinah di waktu itu!
Semua ini timbul akibat riwayat yang bukan-bukan yang datangnya dari buku-buku Syiah yang tidak ditapis dengan betul.
Apa yang tidak menyenangkan daripada ini semua ialah, ada terdapat dari buku Syiah juga yang mendakwa kita sebagai Ahli Sunnah adalah ‘TERMASUK’ dalam golongan “NAWASIB” iaitu golongan yang memusuhi keluarga Rasulullah SAW!! Dan golongan NAWASIB ini adalah dikira NAJIS oleh Syiah!
Kumpulan ulama mereka sepatutnya menafikan kenyataan yang tidak baik ini terhadap Ahli Sunnah, kerana ini semua tidak lain hanyalah penulisan yang hanya untuk memecah belahkan umat Islam, akibat kejahilan dan taassub yang tidak baik!
Tentunya kita sebagai Ahli-Sunnah amat menyayangi keluarga Rasulullah SAW dan menganggapnya sebagai satu kewajipan kita mencintai mereka. Bahkan ramai sekali dari keturunan Rasulullah SAW yang hidup hingga ke saat ini, terutama golongan Habib-Habib, Syed-Syed serta kaum Asyraf dari Yaman dan lain-lain negara, mereka semua berpegang kuat dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan mereka mempunyai sanad riwayat hingga ke datuk-moyang mereka yang mana, rata-rata riwayat ini BERCANGGAH dengan apa yang didakwa oleh golongan Syiah Imamiah ini bahawa (kononnya) Syiah mengamalkan ajaran keluarga Rasulullah SAW.
Sebagai seorang muslim, tentunya apa sahaja perbalahan yang berlaku di kalangan umat Islam hendaklah kita kembalikan kepada Al-Quran untuk mencari penyelesaiannya dan kemudiannya adalah hadis Rasulullah yang sahih lagi betul, bukannya riwayat-riwayat yang palsu dan tidak benar.
Tentunya kita sebagai Ahli Sunnah dan seluruh umat Islam masih mengharapkan perpaduan antara dua golongan ini dan berbaik sangka serta mengharapkan cahaya kebaikan dari hubungan kedua puak ini.
Apa yang PENTING ialah golongan Syiah ini perlulah ikhlas dan jujur dalam menapis keseluruhan hadis-hadis mereka dan bukanlah dengan cara ‘bertaqiyah’ iaitu bercakap, lain dari yang mereka buat dan percaya, kerana kita semua ingin memelihara kesucian nama baik keluarga Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam.
Caci mencaci, bertengkar, bermasam muka serta berbunuh bukanlah cara penyelesaiannya sebagaimana yang berlaku di Iraq sekarang ini, bahkan ia menambahkan perbalahan. Tidakkah kita semua masih beriman kepada Allah dan Rasulnya, mempercayai Al-Quran sebagai wahyu utama dan hari akhirat adalah benar! Sembahyang, puasa zakat dan Haji adalah rukun Islam!
Kalau sekiranya dunia boleh melihat bagaimana Bosnia dan Serbia akhirnya boleh berdamai, begitu juga masalah kumpulan pemisah Aceh dengan kerajaan Indonesia akhirnya dapat bekerja sama dan hidup saling hormat menghormati ..kenapa pula Syiah dan Ahli Sunnah tidak boleh berdamai seperti di Iraq sekarang ini?
Dunia masih cuba merapatkan jurang di antara Palestine dan Israel dan mencari penyelesaiannya, kenapa tidak kita?
Mudah-mudahan satu hari nanti, Allah SWT akan dapat melahirkan golongan manusia yang dapat merapatkan jurang di antara dua golongan ini, iaitu Ahli Sunnah dan Syiah, dan menjadikan kehidupan mereka lebih diredhai Allah Taala! Amin.
Walhamdulillaahi Rabbil ‘Aalamin.
Ringkasan dipetik dari buku berbahasa Arab:
“Tausiqus Sunnah Baina Syiah Wa Ahlis Sunnah
Fi Ahkamil Imaamah Wa Nikahil Mut’ah”
Penulisan Ilmiyah di Universiti Kahirah 1998
serta beberapa penambahan disusun oleh
Ustaz Hj. Ahmad Haris Suhaimi
Perhatian: Di antara PENULIS-PENULIS buku Syiah Imamiyah yang terkenal serta terdapat dari buku-buku mereka telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, di antara penulisnya:
(1) - Abdul Husein Syarafuddin Al-Musawi
(2) - Jaafar Subhani
(3) - Mohd Tijani As-Samawi
(4) - Hasyim Maaruf Al-Hasani
(5) - Al-Khomeini
(6) - Mohd Jawad Mughniah
(7) - Mohd Husein Aali Kaasyiful GhiiTa’
(8) - Dr. Abdullah Faiyaadh
(9) - Al-Khuu-i
(10) - Mohd Baqir Al-Sadr
(11) - Dr. Abdul Rasul Ghaffar
(12) - Abdullah Ni’mah
(13) - Mohd Al-Khaalisi
(14) - Yusuf Al-Bahrani
(15) - Taufik Al-Fakiiki
(16) - Mohd bin Ya’qub Al-Kulaini
(17) - Mohd Baqir Al-Majlisi
Perhatian: Jika mana-mana buku agama yang anda beli atau membacanya, dan mendapati PENULISNYA sering menulis rujukannya nama-nama buku berikut ini, bermakna buku yang anda baca sebenarnya buku Syiah Imamiah. Di antara rujukan penting mereka:
- Al-Kaafi atau Usul Kaafi oleh Al-KULAINI
- Syarah Nahjul Balaghah oleh IBNU ABIL HADID
- Istibshar atau Tahzibul Ahkam oleh ABU JAAFAR AT-TUUSI
- Kamalud-Din atau Ikmaluddin oleh IBN BABAWIH AL-QUMMI AS-SADUUQ
- Bihaarul Anwaar oleh MOHD BAQIR AL-MAJLISI
- Wa Saa-ilus Syiah oleh AL HURRUL ‘AAMILI
- Sahiifah Sajjaadiah. (Syiah mendakwa ini adalah doa-doa Imam Ali Zainal Abidin)
- Kitab-kitab tafsir mereka contohnya karangan: Abul Qaasim AL-Khuu-i, atau Tabrasi atau At-Taba Taba-i .