Rabu, Jun 23, 2021

Azimat Thaun 2


Tuan Guru Haji Chik bin Ahmad @ Haji Chik Kodiang @ Haji Chik Kedah (1898 - 2002) rahimahullah adalah antara ulama kita yang banyak baktinya kepada umat. Di antara karya beliau adalah satu risalah berisikan beberapa faedah ayat - ayat, shalawat, doa, jampian, ubatan dan azimat Risalah ini beliau selesaikan karangannya pada 23 Ramadhan 1417H. Jika Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah menamakan kitab karangannya yang isi kandungannya adalah faedah - faedah ayat, amalan, doa, zikir, thalsam dan azimat, dengan nama Luqthatul 'Ajlan, maka Tuan Guru Haji Chik pula menamakan risalah beliau tersebut dengan nama "Luqthatul Aurad". Perlu diketahui bahawa Tuan Guru Haji Chik mempunyai sanad keilmuan daripada Syaikh Wan Ahmad al-Fathani melalui guru - guru beliau, antaranya yang tidak asing lagi, daripada Tok Kenali rahimahullah yang merupakan murid kesayangan Syaikh Wan Ahmad al-Fathani. Tuan Guru Haji Chik pun dalam risalah beliau tersebut ada menukilkan beberapa faedah dari kitab Luqthatul 'Ajlan karya Syaikh Wan Ahmad tersebut. 

Dalam risalah Luqthatul Aurad, Tuan Guru Haji Chik memuatkan satu amalan bagi menolak wabak dan bala. Kata beliau rahimahullah dalam risalahnya tersebut:- Amalan Menolak Wabak dan Bala. Bermula ini satu faedah dibaca atau ditulis buat azimat, pakai atau gantung pada binatang, lembu kerbau, supaya tiada kena penyakit hawar. Dan manusia, dibaca pagi petang dan buat azimat pakai supaya tiada kena hawar dan thaun dan penyakit cacar dan campak, iaitu: "Bismillahir Rahmaanir Rahiim. Li khamsatun uthfi biha * Harral wabaa-il haathimah: Al-Musthafa wal Murthada * Wabnaahumaa wal Faathimah," kira akan dia tiga (3) kali......

Allahu ... Allah, Tuan Guru Haji Chik ini bukanlah pengikut mana - mana ajaran sesat. Beliau bukan pengikut Syiah dan bukan pula seorang dukun atau bomoh. Beliau adalah seorang tuan guru dan ulama yang tidak diragukan lagi ilmu dan amalannya. Maka, antara amalan yang diperturunkan oleh Tuan Guru Haji Chik Kodiang adalah membaca bait - bait Li khamsatun tersebut sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan 3 kali pada waktu petang. Dan boleh juga ditulis dan dijadikan azimat buat tabarrukan agar diberkati Allah dengan dipeliharakanNya dari segala bala bencana dan wabak penyakit. Ingat bahawa yang Maha Berkuasa lagi yang memberi bekas hanya Allah semata, amalan rohani seperti zikir, doa, azimat dan seumpamanya hanyalah sebagai sebab sebagaimana juga segala ubat dan vaksin apa jua jenisnya. Zaman ini manusia - manusia yang tergelincir akidahnya dek ubat dan vaksin, mungkin lebih ramai berbandingkan yang tergelincir dek tangkal azimat. Maka ambillah iktibar dan perkukuhkanlah iman berpaksikan akidah yang sebenar, al-Asyaa`irah dan al-Maturidiyyah, Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang sebenar.




Rabu, Jun 09, 2021

Tawassul - Dr Ayman al-Akiti

Akhir-akhir ini isu lampau kembali lagi diperlagakan oleh netizen iaitu tentang hukum bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia sama ada para nabi ataupun wali. Apa yang berlaku, masih ada orang yang terikut-ikut mentohmah amalan bertawassul ini sebagai syirik.

Ketika ulama menyebutkan tawassul, maka ia bermaksud menjadikan sesuatu sebagai perantara untuk mencapai tujuan yang dituju. Misalnya, seseorang yang berharap agar doa dan harapannya dikabulkan Allah SWT, maka dia bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW iaitu menjadikan Baginda sebagai wasilah atau perantara agar doa dan harapannya dimakbulkan oleh Allah SWT kerana Baginda SAW adalah kekasih Allah SWT.

Dalam konteks perdebatan hari ini, kelompok yang menganggap tawassul sebagai syirik adalah disebabkan mereka menilai bahawa doa sepatutnya dipanjatkan langsung kepada Allah SWT, sedangkan menjadikan ruh orang yang telah mati sebagai perantara termasuk Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bentuk kesyirikan kerana melanggar firman Allah SWT: "Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung: "Kami tidak menyembah melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya" (al-Zumar: 3).

Walhal Rektor Universiti al-Qarawiyyin; Tayyib bin Kiran al-Fasi (w. 1812M) menjelaskan bahawa ayat tersebut sebenarnya menunjukkan kaum musyrikin beriman berhala-berhala tersebut memiliki bahagian dari sifat ketuhanan yang menyebabkan mereka jatuh dalam ke syirikan, serta larangan bertawassul dengan berhala.

Di sisi lain, kalau ditilik pada dalil dan nas syarak, ditemukan banyak sekali hadis dan athar yang digunakan sebagai sandaran keharusan bertawassul. Belum lagi doa-doa yang warid (sampai kepada kita) oleh ulama-ulama agung sendiri yang mengharuskan bertawassul. Ini yang menyebabkan Imam al-Sanusi (w. 895H) menjelaskan tawassul di dalam Islam adalah harus berbeza dengan sikap kaum musyrikin Mekkah.

Sebuah kisah yang terkenal diriwayatkan oleh Uthman bin Hunaif RA yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW didatangi oleh seorang lelaki buta yang mengadu kesusahannya. Maka Baginda SAW memerintahkannya untuk bersabar itu lebih baik baginya. Tetapi orang tersebut memilih Baginda SAW mendoakannya. Maka Baginda SAW memerintahkannya untuk ia berwudu, solat dua rakaat serta berdoa dengan doa ini:"Ya Allah! Aku memohon daripadaMu dan bertawassul dengan Nabi Mu Muhammad, Nabi pembawa rahmat, Ya Muhammad! aku bertawassul denganmu kepada Tuhanku bagi hajat ku ini, maka tunaikanlah untukku Ya Allah! berikanlah syafaatnya kepadaku".

Lalu Uthman menceritakan: "Demi Allah! sebelum kami berpisah dan belum banyak kami berborak, tiba-tiba lelaki buta itu masuk seolah ia belum pernah mengalami kebutaan". (HR al-Tirmidhi (hasan sahih gharib), al-Hakim (sahih) dan lain-lain. Bahkan seorang pakar hadis dari Mesir, Dr. Mahmud Said Mamduh mengatakan hadis ini sahih. (Lihat: Raf'u al-Manarah: 106].

Terkait dari kisah ini, Imam al-Tabrani meriwayatkan ketika zaman Khalifah Uthman bin Affan ada seseorang berhajat kepada Khalifah, akan tetapi beliau tidak dipandang oleh Khalifah. Maka beliau pun mengadu kepada Uthman bin Hunaif, maka beliau memerintahkan untuk berdoa seperti di dalam hadis yang lalu. Orang tersebut pun datang ke pintu rumah Khalifah Uthman bin Affan RA dan beliau dijemput masuk serta segala hajatnya ditunaikan. Beliau juga kembali dan menceritakan perkara inikepada Uthman bin Hunaif. [Athar al-Tabrani, Abu Nu'aim dan al-Bayhaqi. Dr. Mahmud mensahihkan hadis ini: Raf'u al-Manarah:115]. Athar ini juga menjadi bukti dianjurkan bertawassul dengan Rasulullah SAW walaupun setelah kewafatannya.

Hujjah kuat lainnya adalah sebuah atsar yang menceritakan ketika zaman Khalifah Umar bin al- Khattab RA, terjadi sebuah kemarau. Maka datanglah seorang lelaki ke makam Rasulullah SAW dan menyeru: "Ya Rasulallah! Turunkanlah hujan! kerana umat mu benar-benar dah hancur". Lalu lelaki itu bermimpi didatangi Rasulullah SAW dan berpesan supaya bertemu dengan Umar, sampaikan salam dan khabarkan bahawa kalian akan disirami hujan. Ketika lelaki itu bertemu Khalifah Umar RA dan menceritakan maka menangislah Khalifah dan berkata: "Ya Allah! saya tidak bermalasan kecuali terhadap sesuatu yang saya tidak mampu mengerjakannya" (Athar ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Sahihnya, al-Bayhaqi dan lain-lain. al-Hafiz Ibn Hajar dan al-Hafiz Ibn Kathir telah mensahihkan Athar ini).

Dari semua dalil ini juga banyak lagi dalil yang tidak dapat disebutkan di dalam ruang yang terbatas ini, ulama-ulama agung mazhab Syafii dan mazhab-mazhab lain berpendapat bahawa bertawassul dan beristighathah adalah harus bahkan sunnat. Imam al-Nawawi (w. 676H) di dalam al-Majmu`: 8/274, misalnya mengajarkan untuk memberikan salam kepada Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi makam Baginda, setelah itu Abu Bakr, Umar dan kembali ke wajah Rasulullah SAW dan bertawassul serta meminta syafaat melalui Baginda SAW kepada Allah SWT. Apa yang disebutkan oleh al-Nawawi ini jelas-jelas menunjukkan amalan bertawassul dengan Rasulullah SAW setelah wafatnya di makam Rasulullah SAW serta menghadap Rasulullah SAW.

Tawassul dan Istighathah ini telah difatwakan harus dan baik oleh al-Subki (w. 756H), Ibn Hajar al- Asqalani (w. 852H), Zakaria al-Anshari (w. 926H), al-Suyuthi (w.911H), al-Qastalani (w. 923H), Ibn Hajar al-Haytami (w.974H), Mula Ali al-Qari (w. 1014H), al-Ramli (w. 1004H), al-Qurtubi (w. 671H), Wan Daud al-Fathani (w. 1847M), Abdullah Fahim (w. 1961 M), sekalian ulama Muzakarah di Kepala Batas tahun 1953M, dan banyak lagi ulama dari hujung Barat sehingga hujung Timur.

Selain dari itu, beberapa jabatan mufti negeri di Malaysia juga telah mewartakan Fatwa Menangani Persoalan Bidaah Perkara Ikhtilaf/Khilaf Furu', seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Di dalam keputusan tersebut juga melarang pembidaahan amalan bertawassul. Lebih-lebih lagi sekalian ulama Alam Melayu dahulu beramal dengan banyak selawat yang penuh dengan keindahan bertawassul kepada Junjungan Besar Baginda Muhammad SAW yang diadatkan oleh ulama dahulu dan sekarang. Bagaimana mungkin amalan majoriti muslim ini dihukum syirik?

Isnin, Jun 07, 2021

`Azimat Tha`un

Harap tuan - tuan tak terkejut beruk bila mendengar perkataan `azimat. Mungkin selama ini kita hanya didedahkan atau mendengar ceramah - ceramah yang menghukumkan `azimat sebagai haram atau syirik atau bid`ah secara mutlak, sedangkan hukum sebenarnya tidaklah begitu. Para ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah telah membuat perincian mengenai hukum hakam `azimat ini, yakni ada yang dibenarkan dengan beberapa syarat dan ada pula yang dilarang. Jika kita rajin mengaji kitab - kitab turats, kita akan mendapati, biasanya dalam bab hukum menyentuh al-Quran, turut ada disebut, sedikit sebanyak, tentang hukum menyentuh `azimat -`azimat yang ditulis padanya ayat - ayat al-Quran. Bahkan, Syaikh Sulaiman al-Bujairimi rahimahullah dalam hasyiahnya yang masyhur, Tuhfatul Habib `ala Syarhil Khatib, pada juz 1, halaman 371 - 372, menukil daripada Syaikh al-Jawhari rahimahullah akan syarat bagi menulis at-tamimah (tangkal), sesiapa yang berhajat bolehlah rujuk di sana dan kepada para guru yang mahir dalam bab ini. Maka hukum menulis dan menggunakan `azimat, bahkan tangkal sekalipun, menurut para ulama kita, tidaklah diharamkan atas jalan ithlaq, hukum hakamnya perlu kepada perincian. 

Berbalik kepada `azimat tha`un, Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah menulis dalam Furu`ul Masa-il, juz 1, halaman 174 sebagai berikut:- ....(Dan) setengah daripada yang sudah dicuba padanya, disurat pada kertas akan azimat tha`un, iaitu (Hayyun Shamadun Baaqi, wa lahu kanafun waaqi) - "(Allah) Tuhan yang Maha Hidup, menjadi tumpuan dan sandaran bagi semua, lagi Maha Abadi; Dan milikNyalah segala rahmat pemeliharaan dan penjagaan yang hakiki)" -, kemudian dilekatkan pada pintu rumahnya terpelihara daripada marabahayanya....

Sebenarnya apa yang disebut oleh Mawlana Syaikh Daud rahmatullah `alaih ini adalah nukilan daripada ulama terdahulu. Sebagai contoh, Syaikh Sulaiman al-Jamal rahimahullah menyebut hal ini dalam Hasyiah al-Jamal `ala Syarhi al-Manhaj, jilid 2, halaman 193, sebagai berikut:- ...Dan di antara faedah yang telah diuji (mujarrab) bagi mencegah masuknya wabak tha`un ke dalam rumah bahawa ditulis pada kertas lalu ditempelkan pada pintu rumah tersebut:- "Hayyun Shamadun Baaqi; Wa lahu kanafun waaqi" - asy-Syaikh Sirajuddin al-Bulqini (yakni faedah ini berasal atau dimasyhurkan oleh Syaikh Sirajuddin al-Bulqini rahimahullah) - atau (ditulis dan ditempel pada pintu tadi akan) "al-Baaqi al-Khallaaq", walaupun ditulis terus atas diri pintu tersebut (yakni boleh ditulis kalimah - kalimah tersebut langsung pada pintunya)....

Selain Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah, ulama - ulama Nusantara yang datang kemudian turut menukil kaedah ini dalam karangan - karangan mereka. Di antaranya, Syaikh Nik Mat Kecik @ Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani rahimahullah menukilkannya dalam Bahjatul Mardhiyyah dan Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah dalam Badaa-i`uz Zuhur, di mana  mereka menggabung lafaz (Hayyun Shamadun Baaqi, wa lahu kanafun waaqi) tersebut dengan beberapa zikir lagi yang tujuannya sama. Mudahan - mudahan bermanfaat dan dipelihara sentiasa oleh Allah dari segala bala bencana dan wabak penyakit.

KH Abdullah Ubab bin KH Maimoen Zubair

Ahad, Jun 06, 2021

AstraZeneca