Khamis, Julai 27, 2023

Kaffarah Dosa Besar???

Sebagaimana yang telah sedia dimaklumi, puasa - puasa sunat seperti Puasa Arafah dan Puasa `Asyura  antara kelebihannya adalah menjadi kaffarah yakni penebus atau penghapus bagi dosa kesalahan kepada Allah `azza wa jalla. Mengenai kelebihan berpuasa pada hari `Asyura, misalnya, maka ada sabdaan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menyatakan berpuasa pada hari tersebut akan menjadi kaffarah bagi dosa setahun sebelumnya. Jumhur ulama berpandangan bahawa dosa kesalahan yang dapat dikaffarahkan dengan ganjaran puasa - puasa tersebut hanyalah dosa - dosa kecil, sedangkan bagi dosa - dosa besar jalan untuk mendapat keampunannya hanyalah dengan melakukan taubat nashuha. 

Para ulama turut menjelaskan bahawa pengampunan dosa adalah hak mutlak Allah ta`ala, maka boleh sahaja bagiNya untuk memberikan keampunan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki bagi apa jua jenis dosa, samada kecil atau besar, semata - mata atas kemurahan dan belas ihsanNya, walaupun tanpa apa - apa sebab seperti kaffarah atau taubat. Hanya dosa syirik sahaja yang tidak Dia ampunkan melainkan dengan taubat dan kembali mentauhidkanNya. Inilah mafhum yang dijelaskan oleh sebahagian ulama tentang firman Allah pada ayat 48 Surah an-Nisa`. Contohnya, dalam The Meanings of The Noble Quran karya Mufti Muhammad Taqi Usmani hafizahullah di notakaki mengenai ayat tersebut pada halaman 159 dinyatakan sebagai berikut: This means that Allah may forgive any sin, even without repentance, at His discretion, except the sin of ascribing partners to Him, which cannot be forgiven unless one repents and believes in Tauhid (Oneness of Allah). Namun, jangan pula kita alpa bahawa Allah selain Maha Pemurah, Maha Pengasih, juga Maha Adil, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Penerima Taubat, Maha Pemberi Balasan, rahmatNya luas tidak bertepi namun azabNya juga teramatlah pedih. Maka hendaklah kita sentiasa ada khauf dan raja`, harapkan rahmatNya  takutkan azab balasanNya

Berbalik kepada ganjaran puasa sunat yang menjadi kaffarah bagi dosa, walaupun jumhur atau kebanyakan ulama berpandangan seperti di atas tadi, yakni yang dikaffarahkan hanyalah dosa - dosa kecil, namun segelintir ulama berpendapat bahawa sebahagian dosa - dosa besar juga dapat dikaffarahkan dengan Puasa `Arafah dan Puasa `Asyura. Pendapat minoriti ini telah dirajihkan oleh Syaikh al-Imam al-Hafiz Ahmad bin Muhammad bin ash-Shiddiq al-Hasani al-Ghumari rahimahullah ulama hadits yang terkemuka. Dalam karangannya Lubbul Akhbar al-Ma'tsurah dinyatakan:- ...Apakah yang dikehendaki dengan dosa - dosa yang dikaffarahkan sebagaimana disebut dalam hadis (yakni hadis Puasa `Arafah dan Puasa `Asyura)? Apakah al-kabair dan ash-shaghair (yakni kedua - duanya, dosa besar dan dosa kecil)? Atau hanya ash-shaghair (dosa - dosa kecil) sahaja? Perbezaan pendapat mengenai hal ini masyhur dan telah aku bentangkan dalam kitabku Tanwirul Abshar wal Bashair bi takfir ma taqaddama wa ma taakhkhara minal kabair wash shaghair. Dan yang rajih ( di sisi beliau) adalah yang pertama (yakni menjadi kaffarah kabair dan shaghair), walaupun jumhur berpegang dengan yang kedua (yakni kebanyakan ulama berpegang bahawa dosa - dosa yang dikaffarah itu hanyalah dosa - dosa kecil sahaja.)

Allahu ... Allah, walau apa pun perbezaan pendapat di kalangan ulama tersebut, tetap berpuasa pada hari `Arafah dan `Asyura mempunyai keistimewaan luarbiasa, iaitu menjadi sebab bagi rahmat Allah untuk mengkaffarahkan dosa - dosa kita. Kecil besar, itu hak mutlak Allah, jangan sesekali berputus asa, walau sebesar mana pun dosa yang telah dilakukan. Selagi jasad masih bernyawa, pintu amal dan taubat sentiasa terbuka. Maka lakukan segala amalan yang diwajibkan dan semampunya lakukanlah yang disunnatkan, dengan disertai keinsafan dan taubat yang sesungguhnya. Mudah - mudahan amalannya dan taubatnya diterima Allah dan dijadikan sebab melayakkan diri mendapat rahmat Allah menjadi penghuni syurga yang abadi.

Selasa, Julai 25, 2023

Khasiat Surah al-Falaq

Surah al-Falaq adalah surah yang kedua terakhir dalam susunan tertib mushaf yang mulia. Surah ini bersama dengan Surah an-Naas selepasnya adalah sebesar - besar wasilah untuk memohon perlindungan Allah daripada segala keburukan dan kejahatan. Tidak hairan jika dua surah ini sering disebut sebagai al-Mu`awwidzatain, yakni dua surah memohon perlindungan. Maka faqir mulakan entri awal tahun hijrah ini dengan membawa sekelumit tentang surah yang mulia, untuk mengambil sempena (tafa-ulan) mudah - mudahan sepanjang tahun ini kita, keluarga kita, kaum kerabat, rakan taulan serta segala umat diberikan perlindungan oleh Allah jalla wa `azza sepanjang tahun ini.

Selain menjadi panduan menjalani kehidupan yang diredhai Allah ta`ala, surah ini juga memiliki berbagai kelebihan. Antaranya adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh beberapa ahli hadits, antaranya Imam Ibnu Hibban, dengan sanad yang shahih,  bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah berpesan kepada Sayyidina `Uqbah bin `Aamir radhiyaAllahu `anhu agar membaca Surah al-Falaq di dalam shalat semampunya kerana tidak ada satu surah yang lebih dikasihi Allah dan lebih cepat diterimaNya, yakni sebagai permohonan perlindunganNya, selain daripada Surah al-Falaq. Maka sewajarnya jangan pernah kita tinggalkan membaca surah yang mulia ini setiap hari dan setiap malam, walaupun sekali, kerana apa yang tidak dapat dilakukan semua jangan ditinggalkan semua.

Selain daripada itu, para ulama ada menyatakan bahawa Surah al-Falaq juga amat ampuh sebagai wasilah bagi kelancaran rezeki. Syaikhul Azhar, Dr. `Abdul Halim Mahmud rahimahullah dalam karya beliau, "al-Madrasah asy-Syadziliyyah al-Haditsah" pada halaman 109 menyatakan bahawa Syaikh Abul Hasan `Ali asy-Syadzili rahimahullah, wali quthub pengasas Thariqah Syadziliyyah yang masyhur, berwasiat agar sesiapa yang mahu rezekinya dimudahkan Allah, maka hendaklah dia memperbanyakkan membaca Surah al-Falaq. Mudah - mudahan dengan mengamalkan membaca surah yang mulia ini, Allah mudahkan dan curahkan rezeki hissi dan maknawi kepada kita sepanjang tahun ini selebat - lebatnya.

Pesan KH Achmad Chalwani Nawawi

Selasa, Julai 04, 2023

Isykal Waqaf An `Amta `Alaihim

Faqir telah ditanya mengenai perbuatan sebahagian imam, ketika membaca Surah al-Fatihah dalam shalat, mereka berhenti pada kalimah "an `amta `alaihim", kemudian terus sahaja menyambung bacaannya dengan membaca "Ghairil maghdhubi `alaihim wa ladh dhaaliin", selesai Fatihah. Apakah boleh atau tidak, dan adakah ini tidak menambah ayat dalam surah al-Fatihah? Isykal timbul apabila diviralkan klip singkat seorang ulama ahli tajwid dan qiraah yang masyhur, Dr Ayman Suwaid hafizahullah menegur bacaan seseorang yang berhenti pada ayat tadi, lalu meneruskan bacaannya tanpa mengulang. Sebelum pergi lebih jauh, klip yang ringkas tersebut tidak memberikan gambaran penuh apa yang sedang berlaku. Dr Ayman sedang mengajar bacaan menurut Qiraah Hafs, di mana an `amta `alaihim bukanlah satu ayat dalam qiraah tersebut kerana ianya adalah sebahagian daripada ayat ke-7 Surah al-Fatihah. Maka demi menjaga amanah ilmu, Dr Ayman dalam rangka tahsinul qiraah (memperelok bacaan), telah menerangkan cara atau kaedah bacaan yang terbaik menurut Qiraah Hafs `an`Ashim. Sama seperti bacaan saktah dalam ayat 52 Surah Yaasin, jika seseorang yang mempelajari atau membaca al-Quran mengikut Qiraah Hafs, maka ayat tersebut hendaklah dibaca dengan saktah dan bukannya dengan waqaf seperti dalam beberapa qiraah yang lain. 

`Ulum al-Quran itu amat luas, ia mempunyai cabang dan ranting yang banyak. Antaranya, ilmu yang membicarakan tentang batasan sesuatu ayat itu serta bilangannya yang dikenali sebagai `Ilmu `Addil Aayy atau `Ilmul Fawaashil. Juga ada ilmu yang membicarakan tentang kaedah berhenti dan memulakan bacaan ketika membaca al-Quran yang dikenali sebagai`Ilmul Waqfi wal Ibtida`. Maka perbicaraan mengenai permulaan dan kesudahan ayat, jumlah dan bilangan ayat, hendaklah dirujuk kepada kitab - kitab yang membahaskannya. Oleh itu, semata - mata berhenti atau waqaf pada pertengahan atau suku sesuatu ayat, mengikut hukum waqaf dan ibtida`, tidak menjadikan ayat tersebut terpotong menjadi dua ayat. Contoh, jika seseorang membaca Ayatul Kursi (ayat ke-255 surah al-Baqarah) dengan 9 waqaf, tidaklah menjadikan Ayatul Kursi itu sembilan ayat, tetap sahaja Ayatul Kursi satu ayat daripada Surah al-Baqarah. Fahamilah dengan benar. Akhir atau hujung sesuatu ayat juga mempunyai hukum waqaf yang berbeza. Tidak semua waqaf di hujung ayat itu hukumnya sama, ada yang dianjurkan waqaf dan ada pula yang tidak dianjurkan. Contohnya, waqaf atau berhenti pada hujung ayat ke-4 Surah al-Ma`un, yang menurut Ilmu Fawashil adalah satu ayat yang sempurna, namun menurut hukum Ilmu Waqaf wal Ibtida`, berhenti di sini adalah tidak elok / jelek (waqaf qabih), di mana menurut hukum fiqh, ianya adalah makruh. kerana membawa makna seolah - oleh yang dicela adalah orang - orang yang mengerjakan shalat.

Berbalik kepada persoalan waqaf pada kalimah "an `amta `alaihim", kemudian terus menyambung bacaan dengan "Ghairil maghdhubi alaihim wa ladh dhaaliin". Sebenarnya ia bukan satu kesalahan atau kecacatan dalam pembacaan al-Quran menurut ilmu waqaf dan ibtida`. Menurut kitab Manaarul Hudaa fi bayaanil waqfi wal ibtida` karangan Syaikh Ahmad bin Muhammad bin `Abdul Karim al-Asymuni rahimahullah, pada halaman 28 jelas dinyatakan bahawa harus (jaiz) yakni boleh berhenti pada hujung kalimah "an`amta `alaihim". Maka berhenti di sini adalah waqaf jaiz dan bukannya waqaf qabih iaitu perhentian yang jelek. Jadi hukumnya bukanlah haram atau makruh, salah atau cacat bacaan, cuma berkisar pada mana yang lebih utama (awla) sahaja. Pada kebiasaannya, seseorang yang qari (yakni ahli bacaan al-Quran) akan memilih yang awla agar mutu bacaan mereka lebih tinggi nilaiannya. 

Selanjutnya faqir suka nyatakan bahawa menurut sebahagian ulama ahli qiraah, "Shiraathal ladzina an `amta `alaihim" adalah satu ayat yang sempurna dari Surah al-Fatihah, iaitu ayat yang ke-6 surah tersebut. Pendapat ini dipegang oleh kebanyakan ulama qiraah Madinah, Syam dan Bashrah. Namun, tetap sahaja Surah al-Fatihah itu 7 ayat kerana mereka tidak menghitung basmalah sebagai satu ayat dari Surah al-Fatihah. Manakala ulama qiraah Mekah dan Kufah mempunyai pandangan yang berbeza, bagi mereka "Shiraathal ladzina an `amta `alaihim" adalah penggalan atau sebahagian daripada ayat yang ke-7 surah al-Fatihah, dengan basmallah dihitung sebagai ayat yang pertama. Inilah juga pendapat Imam Hafs bin Sulaiman al-Kufi yang qiraahnya menjadi pegangan majoriti umat Islam termasuklah kita di Nusantara ini. Hal ini dijelaskan dalam banyak kitab, antara yang sempat faqir telek, al-Kamil fi `Ilmil Fawaashil dan syarahnya karya Syaikh al-Muqri Mahmud bin Syu`aib asy-Syarqawi al-Mishri pada halaman 50 dan at-Tamheed, juz 20, halaman 201 karya al-Hafiz Ibnu `Abdil Bar. 

Perkara ini mengingatkan faqir, bahawa ketika bersekolah rendah dahulu, faqir pernah melihat sendiri terpajang pada dinding rumah almarhum Mufti Datuk Haji Abdul Kadir Hasan, sebuah hiasan tulisan khat Surah al-Fatihah dengan bingkai kaca di mana di akhir ayat Shiraathal ladzina an `amta `alaihim diberikan tanda waqaf menunjukkan akhir ayat, iaitu ayat ke-6 surah tersebut. Jika kita teliti mushaf - mushaf cetakan lama, termasuklah cetakan al-Ma`aarif, Pulau Pinang, kita akan menjumpai ada yang menjadikan "Shiraathal ladzina an`amta `alaihim ayat ke-6, namun di atasnya diberi rumuz "lam-alif" untuk menyatakan `adamu waqfi yakni tidak waqaf atau washal di sini lebih utama. Bahkan mushaf al-Quran cetakan kontemporer, yang dicetak mengikut qiraah Imam Nafi` riwayat Imam Warsy memberi tanda waqaf pada ayat tersebut. Contohnya al-Quran cetakan tahun 1431H, al-Mushaf al-Muhammadi asy-Syarif mengikut riwayat Imam Warsy daripada Imam Nafi` (gambar di atas).

Menurut fuqaha` kita, ketika membaca Surah al-Fatihah di dalam shalat, awla hukumnya, yakni lebih utama, kita tidak waqaf pada  "an`amta `alaihim", kerana ia bukanlah waqaf yang sempurna di hujung ayat. Namun, jika dia waqaf juga di situ, sengaja atau terpaksa seperti tak cukup nafas, maka tidak sunat baginya untuk mengulang kembali bacaan dari "Shiraathal ladzi..", memadai dia meneruskan sahaja bacaannya dengan membaca "Ghairil maghdhubi `alaihim wa ladh dhaaliin", selesai Surah al-Fatihah. Ini adalah untuk meraiekan pendapat fuqaha` yang menyatakan bahawa mengulang rukun qawli yang telah sempurna dengan sengaja boleh membatalkan shalat,  justru itu tidak mengulang setelah waqaf di situ adalah lebih utama (awla) agar keluar daripada khilaf tadi (khurujan minal khilaaf). Hal ini boleh tuan puan rujuk dalam kitab - kitab fiqh kita, antaranya dalam Fathul Mu`in  dan hasyiahnya I`aanatuth Thaalibiin, juz 1, halaman 147. 

Sebagai kesimpulan, lebih utama (awla) bagi seseorang untuk tidak waqaf di akhir kalimah "an`amta `alaihim", namun jika waqaf juga maka tidaklah menjadikan hukumnya haram atau makruh, setinggi - tinggi hukumnya hanyalah khilaful awla sahaja. Waqaf atau berhenti pada akhir ayat tersebut tetap dihukumkan jaiz / harus / mubah. Selanjutnya, jika berhenti di hujung ayat tersebut ketika membaca Surah al-Fatihah dalam shalat, maka sambungkanlah sahaja bacaan seterusnya dengan membaca "Ghairil maghdhubi `alaihim wa ladh dhaaliin" tanpa perlu undur (gostan) atau mengulang semula dari "Shiraathal ladzina..." Diharap dapat mencerahkan apa yang kelam dengan berkat Sayyidil Anam `alaihi afdhalush shalah wa azkas salaam.

Bacaan Guru Ijai ketika memimpin Shalat Tarawih.


Klip Dr. Ayman dalam rangka tahsinul qiraah.