10 Muharram tarikh syahidnya Sayyidina Husain r.a. di bumi Karbala`. Syahid dibunuh tentera Ubaidillah bin Ziyad dan akibat pengkhianatan puak Syiah yang sepatutnya berperang bersama dan mempertahankan baginda. Malangnya Syiah bacul apabila melihat tentera Ibnu Ziyad kecut perut dan membiarkan cucu Junjungan s.a.w. berperang sendirian bersama kaum keluarganya sahaja dan akhirnya gugur syahid dibunuh musuh. Sebab itu aku tak heran sewaktu Perang Teluk ke-2, puak Syiah mengkhianati Saddam Husain bila Ayatollah mereka Sistani mengarahkan puak Syiah untuk tidak berperang bersama Saddam. Sayyidina Husain lagi dikhianati apatah lagi Saddam Husain.
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam Shahihnya juzuk 2 mukasurat 306 bahawa Sayyidina 'Abdullah bin Umar r.'anhuma telah ditanyai oleh seseorang dari Iraq mengenai hukum orang berihram membunuh lalat. Sayyidina Ibnu 'Umar r.'anhuma menjawab: "Ahli negeri Iraq mereka bertanya mengenai lalat (yakni hukum membunuh lalat) sedangkan telah mereka bunuh anak kepada anak perempuan Junjungan Rasulullah s.a.w. di mana Junjungan s.a.w. telah bersabda: "Mereka berdua (yakni Imam Hasan dan Imam Husain adalah dua wangianku dari dunia ini)." Jawapan sinis Sayyidina Ibnu Umar r.'anhuma mencerminkan bagaimana kesedihannya terhadap pembunuhan Husain dan perlakuan orang-orang Syiah di Iraq terhadap Imam Husain. Apa tak percaya lagikah, bahawa Syiah Iraq mempunyai saham dalam pembunuhan atau bahasa Indonnya "pembantaian" Imam Husain dan ahli keluarga baginda di Karbala. Bagaimana kita tidak sedih, habis anak-anak baginda dibunuh sama yang tinggal hanya Imam 'Ali Zainal 'Abidin as-Sajjad yang, alhamdulillah, melaluinya berkembang semula zuriat keturunan mulia ini.
Setiap 10 Muharram, puak Syiah mengadakan peringatan Karbala` dengan mengadakan upacara meratap, menangis meraung-raung macam orang tak siuman, bahkan ada yang menyiksa diri seumpama geng-geng Samy Vellu kat Batu Caves waktu Thaipusam. Konon-kononnya kerana cinta dan kasih kepada Imam Husain serta menyesal sebab tak berjuang bersama Imam Husain di Karbala. Entah dari kitab mana mereka dapat amalan ni, kitab Veda kot, entahlah ? Adakah ini tanda mencintai Imam Husain r.a. ??????
Sebenarnya kecintaan kepada Imam Husain dan lain-lain Ahlil Bait adalah tuntutan agama. Memuliakan Imam Husain dan lain-lain keturunan Junjungan s.a.w. adalah juga suruhan agama mengikut pandangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Oleh itu, jangan kita biarkan Syiah sahaja yang "konon"nya mencintai Ahlil Bait. Syiah tidak pernah cinta kepada ahlil bait, Syiah gemar berbohong atas nama Ahlil Bait. Tapi kecintaan kita hendaklah dijelmakan dalam ikutan kepada jejak langkah mereka dalam mengamal dan mempertahankan ajaran Nenda Agung mereka Junjungan s.a.w.
Kepada para saadah, kuperingatkan agar kalian mensyukuri anugerah dan kemuliaan yang Allah kurniakan kepada kamu dalam darah keturunan kamu itu. Kamu muliakanlah darah keturunan tersebut, jangan sampai kamu hinakan darah tersebut dengan perbuatan-perbuatan keji yang dibenci oleh leluhur kamu. Jangan biarkan Junjungan s.a.w. nenda kamu melihat kamu membawa darah tersebut ke tempat-tempat maksiat. Insya-Allah, kemuliaan dunia dan akhirat bagi kamu. Ingat bahawa setiap ni'mat itu akan disoal pada hari Kiamat nanti.
Penyanjungan terhadap Ahlul Kisa`(iaitu Sayyidatina Fatimah, Imam Ali, Imam Hasan dan Imam Husain) amat tinggi dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah sehingga dibenarkan kita mengucapkan "alaihis salam" setelah nama mereka atau "alaihas salam" setelah menyebut nama Siti Fatimah, walaupun ianya tidak masyhur dan jarang digunakan di kalangan kita. Imam al-Bukhari dalam Shohihnya telah meriwayatkan penggunaan ucapan ini dalam juzuk 2 kitab tersebut, di mana ada riwayat yang menyebut al-Husain alaihis salam dan ada bab Manaqib Fatimah alaihas salam. Tapi sudah tentu bukanlah maksudnya menyamatarafkan mereka dengan para anbiya dan mursalin atau memaksumkan mereka seperti para nabi. Jangan gopoh menghukum syiah kepada orang yang berkata Sayyidatina Fatimah a.s. atau Ali a.s. atau Husain a.s., kesalahan Syiah bukan kerana kecintaan kepada Ahlil Bait, tetapi antara kesalahannya ialah kebencian mereka kepada sahabat selain Ahlil Bait.
Keluarga Junjungan Nabi adalah perisaiku;
Merekalah yang menjadi wasilahku kepada Allah;
Aku harap kelak demi keberkatan mereka diberikan
dengan tangan kananku akan suratan amalanku
(Imam asy-Syafi`i r.a.)
Mari kita hadiahkan al-Fatihah buat Imam Husain a.s. dan leluhurnya serta keturunannya.