Khamis, Julai 18, 2013

Baca Yaasin Di Kuburan

Dalam bulan Ramadhan terutama sekali di hujung - hujungnya dan pada hari lebaran nanti, ramailah saudara-saudara kita mendatangi tanah - tanah perkuburan tempat persemadian insan-insan yang mereka sayangi. Bukanlah maksudnya bahawa menziarahi kubur itu hanya dihukumkan sunnat pada masa-masa tersebut sahaja. Ianya lebih kepada faktor masa yang terluang atau faktor suasana yang syahdu di hari yang mulia menghimbau ingatan kepada mereka-mereka yang telah tiada. Oleh itu, pada ketika itulah penuh segala pusara dengan para penziarah. Dalam ziarah biasanya akan dibaca surah Yaasin dan tahlil sebagai hadiah dan barakah kepada segala arwah tersebut. Jumhur ulama daripada keempat-empat mazhab Ahlus Sunnah wal Jama`ah, termasuklah mazhab asy-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah, menghukumkan baik, mustahab, bahkan sunnat untuk membacakan al-Quran di sisi kubur. Syaikh al-Imam al-`Allaamah  Muhammad bin Ahmad bin Salim as-Safaarini al-Hanbali rahimahullah (w. 1188H) dalam karya beliau "al-Buhur az-Zaakhirah fi `Uluum al-Akhirah" menyatakan, antara lain sebagai berikut:-


Tanbih: Pembacaan al-Quran di kubur dipandang sebagai mustahab oleh para ulama Mazhab Syafi`i dan ulama lain. Imam an-Nawawi menyatakan dalam "Syarah al-Muhadzdzab" bahawa dimustahabkan bagi penziarah kubur untuk membaca apa-apa yang mudah daripada al-Quran dan mendoakan bagi mereka. Hal ini merupakan nas atau pandangan yang datang daripada Imam asy-Syafi`i sendiri. Di tempat lain, yakni dalam karangan lain, ditambah bahawa jika dikhatamkan sekalian al-Quran itu di atas kubur tersebut, maka ianya adalah afdhal. Dan adalah imam kita, Imam Ahmad RA, pada permulaannya mengingkari amalan sedemikian, namun kemudian beliau telah menarik balik pandangannya tersebut setelah sampai hadis yang menjadi sandaran amalan ini kepada beliau.
Tokoh yang menjadi panutan puak Wahabi, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, murid Ibnu Taimiyyah al-Harrani telah menukilkan sebuah kisah mengenai pembacaan yaasin di kubur dalam karyanya "ar-Ruh" pada halaman 18 sebagai berikut:-
Telah mengkhabarkan kepadaku oleh al-Hasan bin al-Haitsam yang berkata: "Aku telah mendengar Abu Bakar bin al-Athrusy bin Bint Abi Nashr bin al-Tammar berkata: "Ada seorang lelaki yang selalu datang menziarahi kubur ibunya pada hari Jumaat lalu membaca surah Yaasin. Pada sebahagian hari-hari yang dia datang menziarahi kubur ibunya, dia akan membaca surah Yaasin. Selepas membaca Yaasin, dia berdoa: "Ya Allah, seandainya Engkau memberi pahala atas pembacaan surah ini, maka jadikannya bagi segala penghuni perkuburan ini". Tatkala datang Jumaat berikutnya, datang seorang wanita kepada si lelaki tadi seraya berkata: "Adakah engkau si fulan anak si fulanah?" Dia menjawabnya: "Ya." Wanita tersebut berkata lagi: " Adalah anak perempuanku telah meninggal dunia dan aku telah bermimpi melihatnya duduk di tepi kuburnya, lalu aku menyapanya: "Kenapa engkau duduk di sini?" Dia menjawab: "Sesungguhnya si fulan anak si fulanah telah datang menziarahi kubur ibunya dan membaca surah Yaasin serta menjadikan pahalanya bagi segala ahli kubur, maka kami telah diberi kesenangan daripada yang sedemikian atau kami telah diampuni atau yang seumpamanya (yakni para ahli kubur tersebut mendapat kesenangan daripada hadiah pahala bacaan surah Yaasin tersebut atau mendapat keampunan atau yang seumpamanya)."
Oleh itu, janganlah kita membenci perbuatan saudara-saudara seagama yang membaca sesuatu daripada al-Quran di sisi kubur atau menghadiahkannya kepada mereka-mereka yang telah berpulang ke rahmat Allah. Rahmat Allah itu amat luas dan banyak jalan atau sebab untuk meraihnya.

Isnin, Julai 01, 2013

Faruddat ila khamsin `amaliyyah

Mawlid al-Barzanji adalah karya mawlid yang paling tersohor dan merata pembacaannya. Uslub dan gaya bahasanya yang indah menggetarkan setiap hati para pencinta Rasul SAW. Berbagai kisah sirah Junjungan Nabi SAW dipaparkan dalam karya mawlid tersebut, termasuklah kisah mi'raj Junjungan Nabi SAW dan pensyariatan sholat fardhu yang lima. Sayyidina wa Mawlana Muhammad SAW ketika menerima perintah sholat fardhu yang lima pada mulanya baginda dan umatnya diperintahkan untuk menunaikan 50 waktu sholat fardhu, namun kemudian dengan rahmat dan kemurahan Allah SWT dikurangkan kepada 5 waktu sahaja. Imam al-Barzanji rahimahullah mengabadikan kisah ini pada fasal yang ke-14 mawlidnya yang masyhur dengan kata-kata yang indah seperti berikut:-

Dan Allah fardhukan di atas Nabi dan di atas umatnya 50 sembahyang pada sehari semalam. Kemudian melimpahlah awan (hujan) kelimpahan Tuhan, maka dibalikkan (dikurangkan) bilangan sembahyang 50 itu kepada sembahyang 5 waktu yang terbangsakan kepada amalan. Akan tetapi adalah bagi 5 sembahyang ini pahala 50 sembahyang itu juga, seperti yang Allah kehendaki pada azali dan dihukumkanNya (ditetapkanNya). Kemudian kembalilah Nabi pada malam itu juga, maka percayakan dia (membenarkan dia) oleh Abu Bakar ash-Shiddiq akan perjalanannya dan oleh tiap-tiap yang empunya akal dan fikiran. (Diperselidikkan) dan didustakan dia oleh kafir Quraisy dan murtadlah siapa yang disesatkan oleh syaitan dan disesatkannya (digodanya dengan tipu dayanya hingga tercampur di dalam kejahilan dan neraka Jahannam). Semerbakkanlah kiranya ya Allah kuburnya yang mulia * Dengan bau-bauan yang amat harum, ialah rahmat dan kesejahteraan.[Terjemahan dipetik dari "Maulud Barzanji Melayu].
Berhubung kata - kata Imam al-Barzanji rahimahullah - faruddat ila khamsin `amaliyyah wa laha ajrul khamsin - terdapat bisyarah yang diperolehi oleh seorang wali dalam mimpinya bertemu dengan Junjungan Nabi SAW sebagaimana dikisahkan dalam "al-Fawaaid ad-Durriyyah min al-Anfaas al-Haddaadiyyah" yang merupakan himpunan kisah, kalam dan hikmah bagi al-Habib al-'Arif al-Kamil al-Jawwad al-Imam `Alawi bin Muhammad bin Thahir bin `Umar bin Abu Bakar bin `Ali bin `Alawi bin Quthub al-Irsyad `Abduulah al-Haddad yang dihimpun oleh al-Ustaz al-Fadhil al-`Aziz as-Sayyid Muhammad bin Saqqaf bin Zain al-Hadi rahimahumullah. Kisah tersebut dinyatakan pada halaman 50 - 51 sebagai berikut;-
Habib `Abdul Qadir bin `Alwi as-Saqqaf Tuban rahimahullah telah mimpi melihat Junjungan Nabi SAW dan duduk di sisi baginda, Habib Hasan bin Sholeh al-Bahr rahimahullah. Junjungan Nabi SAW bersabda kepada Habib `Abdul Qadir: "Adakah engkau menghafal doa al-Khidir dan Junjungan Nabi SAW membacakan doa tersebut, iaitu doa yang disebut oleh Imam al-Ghazali rahimahullah dalam kitab Ihya` dan Habib  `Abdullah al-Haddad dalam "al-Wirdul Kabir". Junjungan Nabi SAW menyambung lagi sabdaan baginda: "Aku ijazahkan engkau untuk membacakannya pada setiap hari 50 kali." Habib `Abdul Qadir berkata: " Aku memohon kepadamu keringanan, wahai RasulAllah." Habib Hasan berhasrat untuk menyarankan agar dikurangi bacaan doa tersebut kepada 5 kali, namun saranan tersebut dinyatakannya dengan perlahan sahaja. Lalu Junjungan Nabi SAW bersabda dengan menggunakan lafaz al-Barzanji sebagai berikut: " faruddat ila khamsin `amalyyah wa laha ajrul khamsin - dikembalikan / dibalikkan / diringankan bacaan doa tersebut daripada 50 kali kepada 5 kali sahaja, namun ganjarannya tetap seumpama membacanya 50 kali."

Habib `Abdul Qadir as-Saqqaf Tuban rahimahullah adalah seorang wali Allah yang dilahirkan di Seiwun tahun 1241 dan wafat pada tanggal 13 Rabi`ul Awwal 1331H. Mudah-mudahan Allah mencucurkan rahmat sentiasa ke atas beliau dan leluhurnya juga ke atas sekalian muslimin, aamiin.... al-Fatihah.