Jumaat, November 23, 2018

Faedah Syair Taubat

Pernah dalam sejarah moden Malaysia, ada "ustaz" mempertikaikan amalan bermunajat dengan dua bait syair  masyhur yang diperturunkan zaman berzaman oleh para ulama kita.  Rupa-rupanya "ustaz" tersebut gagal memahami makna bait-bait tersebut mungkin akibat bahasa Arab ustaz tersebut yang terlalu amat amat amat habis tinggi gamaknya. Itu sekadar selingan pembuka bicara, faqir tidak mahu menulis mengenai asal usul syair ini kerana ia perlu kepada penelitian lanjut, samada ianya daripada Imam Syafi`i radhiyaAllahu `anhu atau Abu Nuwas atau daripada seorang sahabat Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana dakwaan sesetengah pihak. Di sini faqir hanya ingin menukil apa kata ulama kita mengenai faedah dua bait ini. Cukuplah kita menyebut beberapa ulama yang menukilkan faedah dua bait ini sebagai tabarrukan, yang penting adalah diamal dengan penuh penghayatan dan keinsafan.

Kelebihan dua bait tersebut sudah masyhur di sisi para ulama kita. Mereka menukilkannya dan menganjur agar ianya dibaca dan diamalkan menjadi wirid. Di antara yang menukilkannya daripada kalangan ulama Melayu adalah Syaikh Abdul Qadir al-Mandili rahimahullah yang menukil kelebihan dua bait tersebut dalam kitab amalan dan doa susunan beliau yang berjodol Senjata Tok Haji & Tok Lebai pada halaman 79. Beliau menulis: (Faedah) tersebut di dalam I`aanatuth Thaalibin dinukil daripada Sayyidi 'Abdul Wahhab asy-Sya`raani bahawasa mereka yang mengekalkan membaca dua bait ini pada tiap-tiap hari Jumaat nescaya mematikan akan dia oleh Allah ta`ala atas Ugama Islam daripada ketiadaan syak ...... Dan dinukil daripada setengah ulama bahawasanya dibaca 5 kali kemudian daripada Jumaat.

KH Husein Qadri rahimahullah pula dalam Senjata Mukmin pada halaman 94 menukil sebagai berikut: Dua bait syair dibaca Hari Jumaat. Telah berkata asy-Syaikh 'Abdul Wahhab asy-Sya'raani rahimahullahu ta`ala: "Barangsiapa mengekali membaca dua bait syair ini tiap-tiap hari Jumaat, lima kali, nescaya dimatikan ia atas Agama Islam dengan tiada syak."

Manakala di kalangan ulama kita di Timur Tengah, kita nukil daripada Syaikhul Islam, Imam Ibrahim al-Bajuri rahimahullah yang menyebutnya dalam karya fiqh beliau yang masyhur, Hasyiah al-Bajuri 'ala Ibni Qasim al-Ghazi. Pada juz 2 halaman 223-224 dinyatakan: (Faedah) daripada Sayyidi 'Abdul Wahhab asy-Sya'raani nafa`anallahu bihi bahawa sesiapa yang mengekali membaca dua bait ini pada setiap hari Jumaat, nescaya dimatikan Allah akan dia atas Islam tanpa syak ........ Dan dinukil daripada sebahagian ulama bahawasanya dibaca 5 kali selepas shalat Jumaat.

Dan faqir akhiri dengan menukil daripada gurunya para ulama kita, Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah  dalam I`aanatuth Thaalibin, jilid 2, halaman 106, di mana dinyatakan sebagai berikut:-

Daripada Sayyidi 'Abdul Wahhab asy-Sya'raani - nafa`anaAllahu bihi - bahawa  sesiapa yang mengekali membaca dua bait ini pada setiap hari Jumaat, nescaya dimatikan Allah akan dia atas Islam tanpa syak ........ Dan dinukil daripada sebahagian ulama bahawasanya dibaca 5 kali selepas shalat Jumaat.
Masyhurnya dua bait ini sehingga perkataan Sidi Abdul Wahhab asy-Sya'raani ini telah dinukil oleh ramai lagi ulama kita dalam karya-karya mereka. Oleh itu, janganlah syak dan ragu, sesungguhnya dua bait tersebut tidak mengandungi kata-kata yang menyalahi  aqidah dan syarak. Bahkan ianya selari dengan ajaran Islam yang mengajar kita agar tidak sombong, merendah diri dan merasa terlalu hina dan kotor serta tak layak untuk menjejakkan kaki dalam Jannatul Firdaus yang mulia. Maka hanya rahmat dan kemurahan Allah sahaja yang kita harapkan memasukkan kita ke dalam syurga FirdausNya. Ini sudah tentu berbeza dengan senikata: "ku tunggu engkau di pintu syurga". Sembahyang pun macam kata orang kampung ese takat lap-lap kambin, ada hati nak tunggu di pintu syurga..... Allahu ... Allah. Mudah-mudahan dua bait tadi dapat kita jadikan wirid kita untuk memohon keampunan Allah 'azza wa jalla sehingga dipelihara iman kita sehingga ke akhir hayat mendapat husnul khatimah, aamiin ya Rabbal 'Aalamiin.


Selasa, November 20, 2018

Salam Mawlid


Bulan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menjelang lagi. Marilah kita meluangkan masa untuk memperingati baginda teristimewa pula pada saat-saat kelahiran baginda yang membawa rahmat dan nikmat yang tiada tara bagi kita. Lumrah bagi kita untuk menanti-nanti, menunggu-nunggu dan memperingati hari kelahiran diri kita, isteri kita, anak-anak kita, maka di mana celanya jika kita juga memperingati hari kelahiran manusia yang paling utama dan yang paling berjasa terhadap kita melebihi jasa ibu dan ayah kita. Maka amatlah wajar jika kita memberikan perhatian untuk memperingati kelahiran Baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Kita peringati kelahiran baginda, antaranya; dengan muhasabah diri; sejauh mana kita mencintai baginda, sejauh mana kita mengikuti ajaran baginda, sejauh mana kita memuliakan baginda, anak cucu baginda dan segala waris baginda daripada kalangan ulama yang muktabar. Kita peringati kelahiran baginda dengan melakukan berbagai amal kebajikan seumpama bersedekah, berjamu makan, membaca al-Quran, berzikir, bersholawat, berqasidah memuji baginda dan sebagainya. Ingatlah kepada baginda setiap saat dan ketika, kerana baginda itu lebih utama daripada diri kita. Jika terdetik rasa diri yang hina mendahului baginda, itu tanda berkurangnya iman di dada. Hayati firman Allah Tuhan seru sekalian alam dalam surah al-Ahzab ayat 6:


"Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam itu lebih utama bagi orang-orang beriman daripada diri mereka sendiri"
Maka berilah perhatian sewajarnya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, wahai mereka-mereka yang mengaku beriman dan umatnya baginda. Telah menulis 'Alim terkemuka, Sayyidul Ulama al-Hijaz, al-'Alim al''Allaamah asy-Syaikh Muhammad Nawawi bin 'Umar bin 'Arabi al-Bantani al-Jawi 'alaihi rahmatul Baari dalam karya beliau : "Fathush Shamad al-'Aalim 'ala Mawlid asy-Syaikh Ahmad bin al-Qaasim" pada halaman 48 sebagai berikut:-


Tanbih: Para ulama telah menyatakan bahawa sudah sewajarnya bagi seseorang untuk menampakkan sikap memperindah dan menghias dirinya dengan memakai pakaian-pakaian bagus pada malam kelahiran baginda Nabi yang mulia,. Ini adalah kerana baginda adalah harapan kita di akhirat nanti (yakni simpanan harapan untuk mendapatkan syafaat nanti). Mudah-mudahan Allah merahmati seseorang yang menjadikan malam-malam pada bulan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang berkat ini seumpama hari-hari perayaan (yakni saat - saat yang sentiasa ditunggu-tunggu dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran). Telah berkata Syaikh al-Mudabighi ( Syaikh Hasan bin 'Ali bin Ahmad asy-Syafi`i al-Azhari al-Mudabighi alaihi rahmatul Baari, seorang ulama Syafie yang hebat, wafat tahun 1170H): " Memberikan perhatian dan mengambil berat terhadap waktu mawlid Baginda Nabi yang mulia adalah di antara sebesar-besar cara untuk bertaqarrub kepada Allah. Ianya terhasil dengan memberikan makanan (bersedekah), membaca al-Quran dan membaca qasidah-qasidah mengenai Baginda Nabi dan seumpamanya daripada segala sesuatu yang tidak termasuk perkara haram atau makruh ataupun khilaful awla. "
Wajar patut kita bersukacita
Atas kelahiran Nabi yang mulia
Bahkan sekalian alam dan isinya
Dengan penuh kegembiraan menyambut Baginda
Jadi kenapa harus kita berbeza

Hanya Iblis atasnya laknat Tuhan Semesta
Juga pengikutnya daripada jin dan manusia
Bermuram durja bermasam muka
Tika lahir Nabi yang mulia

Dengan siapa hendak kita serupakan diri kita ????

Isnin, November 19, 2018

Kitab Nurush Shofa

Nurush Shofa fi Akhbaaril Musthafa adalah jodol kitab sirah berbahasa Melayu dengan tulisan jawi karya seorang ulama tanahair kita. Kitab setebal 129 halaman yang siap ditulis pada 29 Ramadhan 1402 ini adalah mengenai sirah atau sejarah hidup Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam sejak mulai kelahiran sehingga kewafatan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kitab ini merupakan hasil karya seorang 'alim lagi 'allaamah yang bernama Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hanafiah bin Haji Taib bin Haji Ismail bin Ahmad al-Qadahi al-Malizi rahimahullah atau lebih terkenal dengan gelaran Syaikh Abu Bakar Palestin.

Tuan Guru Haji Abu Bakar Palestin (1908 - 1998) dilahirkan di Kampung Gandai, Ayer Hitam, Mukim Jerlun, Daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman. Dalam tahun 1924, beliau dihantar ke Makkah untuk menyambung pengajiannya. Beliau duduk belajar dengan para ulama di sana sehingga tahun 1944. Dalam tempoh 20 tahun tersebut, beliau telah berguru dan menadah kitab dengan ramai ulama di sana daripada berbagai bangsa, bahkan beliau sendiri pernah menyebut yang jumlah gurunya di sana tidak kurang dari 40 orang. Kemudian beliau merantau mencari penghidupan dan pengalaman ke Palestin dan duduk di sana selama 3 tahun. Dalam tahun 1947, beliau mengambil keputusan untuk kembali ke tanahair. Beliau terkenal sebagai seorang yang amat tawadhu dan tidak suka menunjuk-nunjuk kepandaiannya. Diceritakan bahawa sekembalinya ke tanahair, ayahanda beliau, Haji Hanafiah, agak khuatir kerana tidak nampak kealiman pada diri beliau. Pada satu ketika, tok guru Pondok Ayer Hitam ketika itu, Tuan Guru Haji Idris telah memanggil dan menguji Syaikh Abu Bakar Palestin. Setelah pertemuan tersebut, Tuan Guru Haji Idris berjumpa dengan Haji Hanafiah dan memberitahu bahawa anaknya tersebut memiliki lautan ilmu. Bukti lain atas kealiman beliau adalah tok-tok guru daripada kalangan ulama Nusantara di Makkah pernah menghantar karya-karya mereka kepada Haji Abu Baka untuk ditashihkan. Di antara ulama yang pernah berbuat sedemikian adalah Syaikh Abdul Qadir al-Mandili yang masyhur ilmunya di Makkah.

Syaikh Abu Bakar Palestin meninggal dunia pada 6 Oktober 1998. Selain meninggalkan anak keturunan dan murid-murid yang ramai, Tok Guru Haji Bakar turut meninggalkan karya tulis yang banyak sehingga dianggarkan berjumlah 40 buah karya, kecil besar, dalam berbagai disiplin ilmu seperti tawhid, fiqh, tasawwuf, politik dan sejarah. Di antara karamah beliau yang dizahirkan Allah adalah ketika jenazah beliau diusung ke tanah perkuburan, turun hujan dengan lebatnya. Namun yang pelik, lubang kubur beliau tetap kering seolah-olah tiada hujan. Mudah-mudahan Allah merahmati sentiasa Tok Guru Haji Bakar Palestin dan menempatkan beliau bersama para anbiya` dan awliya`Nya.

Berbalik kepada karya beliau Nurush Shofa, karya ini walau pun ditulis dengan bahasa yang cukup bersahaja dan ringkas, namun sarat berisikan ilmu dan sirah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kewibawaan Syaikh Abu Bakar dalam bidang sirah dan sejarah telah diakui umum oleh ulama yang sezaman dengannya seperti Tuan Guru Haji Zakaria Kubang Jawi, Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Baru dan lain - lain. Syaikh Abu Bakar memulakan karangannya tersebut dengan menyatakan bahawa antara tujuan beliau menulis mengenai sirah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah untuk meraih syafaat baginda. Beliau mentamsilkan upaya menulis sirah baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai ibarat mencari ikhtiar bersahabat dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam melalui mata kalam atau pena. Pada mukaddimahnya, Tok Guru menyatakan dengan penuh rendah diri sebagai berikut:-

Adapun kemudian dari itu, maka adalah ilmu tarikh yang diceritakan perihal-perihal yang berkenaan dengan Junjungan kita shallaAllahu `alaihi wa sallam dari mula beranaknya sampai wafatnya, setengah daripada ilmu yang dituntuti mengertinya. Kerana ia ilmu yang membukakan mata seseorang kepada menyemak - muthala`ah - atas taktik - taktik sebaik - baik makhluk Allah ta`ala dan ilmu yang boleh mengerti bagaimana hakikat - hakikat akhlaknya dan perkataannya dan perbuatannya yang jadi cemerlang dunia dan akhirat, dan bagaimana hakikat - hakikat perkembangan Islam yang gemilang pada hal masanya sedikit saja. Maka ulama - ulama Islam amatlah banyaknya mengarang ilmu tawarikh nabawiyyah, ada yang panjang bahasannya dan ada yang sederhana dan ada yang pendeknya. Masing-masing sudah luput bersahabat dengan dia. Mudah-mudahan boleh bersahabat dengannya dari jalan mata qalam, maka faqir yang hina pun mengambil kesempatan bersama - sama dengan mereka itu, mudah-mudahan faqir yang maha lekeh ini tidak dikecuali dari syafaatnya, in sya Allahu ta`ala.

Di antara keistimewaan Nurush Shofa berbanding karangan - karangan sirah  berbahasa Melayu yang lain, adalah pada senarai nama - nama leluhur dalam susur galur silsilah keturunan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ianya tidak berhenti setakat menyebut nama datuk - datuk baginda sahaja. Dalam Nurush Shofa, nama - nama nenda baginda juga turut disenaraikan bermula dengan nenda baginda isteri 'Abdul Muthallib iaitu Fathimah binti 'Amru al-Makhzumiyyah sehinggalah kepada Mahdad binti al-Lihm, isteri 'Adnan datuk baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. 

Tok Guru Haji Abu Bakar juga menyebut keagungan dan kemuliaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi was sallam sebelum kelahiran baginda dalam hayat dunyawiyyah ini (yakni kehidupan baginda di alam dunia). Dinukilkan juga hadis mengenai Nur Muhammad yang pertama kali diciptakan, yang menjadi sebab kewujudan segala makhluk lainnya. Pada halaman 4 - 5, dinukilkan beberapa riwayat - riwayat tersebut, antaranya sebagai berikut:-

Diriwayatkan sabda Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Adalah aku sebuah cahaya di hadapan Allah 'azza wa jalla sebelum Adam 2,000 tahun", dan pada satu riwayat: "Dijadikan nurku sebelum alam semuanya, maka tatkala melembaga Allah ta'ala akan Adam, menjadi Allah ta'ala akan yang demikian nur itu di dalam tanah Adam, lalu menurun Allah ta`ala akan daku ke bumi dalam sulbi Adam. Dan menjadi Ia akan daku dalam bahtera pada sulbi Nuh dan menjadi Ia akan daku dalam sulbi Ibrahim di masa ia dilontar ke dalam api, padahal sentiasalah Tuhanku 'azza wa jalla memindah-mindah Ia akan daku dari sudut sulbi - sulbi yang suci kepada segala rahim - rahim yang bersih lagi istimewa, hingga mengeluarkan daku oleh Allah 'azza wa jalla dari dua ibu bapaku padahal kedua - duanya tidak bersentuh kekotoran sama sekali."

Berkata Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu `anhuma, tatkala ditiup roh pada Adam tetaplah Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam di dahinya seperti matahari. Berkata setengah 'arifin, serta kuat pancaran nur itu tidak kelihatan Iblis laknatullah kerana hinanya dan kejinya. Maka tatkala memerintah Allah kepada malaikat - malaikat dengan bersujud kepada Adam, adalah berhadap mereka bagi yang demikian nur itu. Maka bermula yang disujud pada hakikatnya Allah dan bermula Adam itu sebagai kiblat saja seperti jemaah muslimin dan muslimat dengan Baitullah di bumi ini.

Meriwayat Hakim sabda Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bahawasa Adam 'alaihis salam tengok ia tersurat di tiang 'arasy nama Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dan firman Allah ta'ala kepada Adam: "Jika tidak ada Muhammad nescaya tidak Aku jadi akan dikau.".............

Meriwayat Abu Syaikh dan Hakim hadis sahih mewahyu Allah kepada 'Isa 'alaihis salam: "Beriman olehmu dengan Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dan suruh olehmu akan umat - umatmu beriman mereka dengan dia. Maka jikalau tidak Muhammad, nescaya tidak Kujadikan Adam dan syurga dan neraka. Dan sungguhnya Aku jadikan 'arasy atas permukaan air lalu bergoncang ia - yakni bergolek - golek seperti perahu di atas ombak laut - maka menulis Ku atasnya "La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah", lalu tetap ia."

Walhasil, kalau hendak dimuat di sini kelebihan - kelebihan Junjungan kita sebelum ia berada lagi di muka bumi ini dan gilang gemilang namanya di alam malakut, nescaya tidak mencukupi beberapa lembar kertas, memadalah sekadarnya ini.

Satu lagi mutiara ilmu yang terkandung dalam Nurush Shofa, yang mungkin jarang ditulis dalam buku-buku sirah berbahasa Melayu adalah mengenai kelahiran luar biasa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dari perut bonda baginda yang mulia.. Walaupun wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenainya, namun Tok Guru Haji Bakar rahimahullah pada halaman 12 memilih peri kisah kelahiran Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam keluar dari perut bonda baginda sebagai berikut:
Berkata ulama kita yang muhaqqiqin, diputera akan dia bukan keluar ia dari faraj ibunya, bahkan keluarnya di bawah pusat bondanya. Berkata setengah mereka pecah rusuk kiri bondanya, maka keluarlah ia daripadanya kemudian bertangkup balik dengan sebentar saja dengan ketiadaan berasa ibunya sakit beranaknya itu. Dan berfatwa setengah ulama Malikiyyah dengan bunuh atas mereka yang berkata Nabi kita shallaAllahu `alaihi wa sallam keluarnya dari lubang kencing. Berkata Syaikh Tilmisani al-Maliki, seluruh anbiya` keluar mereka di bawah pusat bonda - bonda mereka selain daripada Junjungan kita, maka keluarnya dari rusuk kiri ibunya. Berkata Ibnu Sabu` bahawasanya keluar Junjungan kita dari bawah pusat bondanya bukan dari tempat yang beradat kerana kebersihan hadhratnya shallaAllahu `alaihi wa sallam daripada tempat kekotoran, wa Allah a'lam.

Tuan - tuan, dahulu zaman Pak Kadok, mungkin sukar otak manusia di zaman tersebut untuk menghadam kisah kelahiran sebegini, mungkin terbeliak bijik mata kepelikan. Mungkin jadi sebab bagi sesetengah untuk menolak riwayat ini kerana tidak mampu diterima akalnya. Namun dengan perkembangan ilmu dalam bidang perubatan dan kesihatan, maka pada masa kita sekarang, kisah kelahiran sebegini tentulah semakin mudah untuk dicerna. Berbekalkan kepandaian manusia yang tidak seberapa pun, telah ramai bayi - bayi yang keluar dari perut ibu - ibu mereka tidak melalui faraj tetapi keluar melalui pembedahan caesarean di bawah pusat ibunya. Allahu .... Allah, semakin majunya manusia sepatutnya semakin mudah dan semakin kuat keimanan kita kepada Allah 'azza wa jalla. Jadi tok sahlah nak pelik sangat sehingga memperlekehkan riwayat - riwayat kisah keluarnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam daripada perut bondanya tidak sebagaimana kelahiran biasa. Ingat bahawa Allah ta`ala Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

Akhirul kalam, bersempenakan peringatan malam kelahiran Junjungan sekalian alam, faqir sudahi dengan menukil kalam Tuan Guru Haji Abu Bakar Palestin tentang keistimewaan dan kemeriahan malam kelahiran baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam daripada perut bondanya dahulu sebagai berikut:-

Walhasil, kemuliaan malam keputeraan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam malam sangat besar kemegahannya, amat indah pemandangannya, amat sedap rasa rohani bagi si yang dapat merasanya, amat bertuah bonda yang memputerakan dia, amat bergema bagi yang si bersambung ruhani dengan dia. Wahai kemegahan bagi siapa yang menjunjung ketibaannya, wahai kemuliaan untuk siapa pun yang gembira dengan kedatangannya........ Kemudian, sambutan yang amat meriah di malam 12 Rabi`ul Awwal tertuju kepada putera mahkota yang memahkotakan dia Rabbul 'Alamin, sampai sambutan kemeriahan ini di semua - semua lapisan syurga yang lapan, sekalian bidadari di segenap bangunan syurga pun bersiap, berhias, bermekap-mekap kerana menyambut kezahiran putera bangsawan daripada keturunan 'Adnan. Maka orang yang tidak mau mengikuti sambut kemeriahan ini ialah Iblis dan bala tenteranya.....

Salam Mawlidur Rasul, mudah-mudahan dengan banyak memperingati dan bershalawat ke atas baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, bertambah kuat dan kukuh keimanan dan kecintaan kita kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Khamis, November 15, 2018

Shalawat Ruh @ Daruud Ruuhi


Ini adalah satu shighah shalawat yang ada dalam khazanah ulama kita. Di benua IndoPak, shalawat ini masyhur dengan gelaran Daruud Ruuhi yang ertinya shalawat ruh mungkin kerana padanya disebut shalawat ke atas ruh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Shalawat ini dengan lafaz-lafaz yang sedikit berbeza juga telah dinukil dalam berbagai karya ulama kita terdahulu. Imam Abu 'Abdullah Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli rahimahullah pengarang kitab Dalailul Khairat kitab wirid shalawat yang paling masyhur meletakkan shalawat seumpama ini pada fasal atau hizib ke-3 kitab tersebut. Oleh itu, terbuktilah bahawa shalawat seumpama ini telah mendapat pengiktirafan daripada ulama untuk dijadikan amalan.

Imam Sakhawi rahimahullah menukilkan dalam al-Qawl al-Badi' pada halaman 116  - 117 sebagai berikut: Dikatakan sebagai telah diriwayatkan daripada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersabda: "Sesiapa yang bershalawat ke atas ruh Muhammad di antara segala arwah, atas jasadnya di antara segala jasad dan atas kuburnya di antara segala kubur, dia akan bermimpi melihatku. Sesiapa yang bermimpi melihatku dalam tidurnya, dia akan melihatku pada hari kiamat. Sesiapa yang melihatku pada hari kiamat, aku akan memberinya syafaat. Sesiapa yang kuberikan syafaat, dia akan minum dari telagaku dan diharamkan jasadnya atas api neraka." Riwayat ini telah disebut oleh Abul Qasim as-Sabti (dalam sesetengah cetakan ditulis sebagai "al-Basti", namun dalam cetakan yang ditahqiq oleh Syaikh Muhammad 'Awwamah ianya adalah "as-Sabti" iaitu Abul Qasim Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin al-Husain as-Sabti al-'Azafi yang wafat tahun 677H) dalam kitabnya ad-Durrul Munadzdzam fil Mawlidil Mu`adzdzam, tetapi aku (yakni Imam as-Sakhawi) sehingga kini masih belum menjumpai asal riwayat ini.


Walau pun masih ada masalah pada riwayat "hadis" tersebut, namun sebahagian ulama telah menukilkannya dalam karya - karya mereka. Di antaranya adalah Imam Sya'raani rahimahullah yang menyatakan dalam karangan beliau yang berjodol Kasyful Ghummah, juz 1, halaman 342 sebagai berikut:-

Dan adalah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: " Sesiapa yang berkata: Allahumma shalli 'ala ruuhi Muhammadin fil arwaah, wa 'ala jasadihi fil ajsaad, wa 'ala qabrihi fil qubuur, dia akan melihatku dalam mimpinya. Sesiapa yang melihat aku dalam mimpinya, dia akan melihat aku pada hari kiamat. Sesiapa yang melihatku pada hari kiamat, aku akan memberinya syafaat. Sesiapa yang kuberikan syafaat, dia akan minum dari telagaku dan diharamkan Allah jasadnya atas api neraka."

Syaikh Yusuf an-Nabhani rahimahullah, ulama dan qadhi besar yang terkenal sebagai pencinta Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan pelbagai karya yang mengagungkan baginda, juga tidak ketinggalan mengutip shalawat ini dalam karya beliau yang masyhur Afdhalush Shalawat pada Shalawat ke-6 dan menyatakan sebagai berikut:

Telah berkata Imam asy-Sya'raani bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang membaca shalawat dengan kaifiat ini dia akan melihatku dalam mimpinya, sesiapa yang melihatku dalam mimpinya, dia akan melihatku pada hari kiamat. Dan sesiapa yang melihatku pada hari kiamat, aku akan memberinya syafaat. Dan sesiapa yang kuberikan syafaat, dia akan minum dari telagaku dan diharamkan Allah jasadnya atas api neraka." Riwayat ini juga turut disebut oleh pensyarah - pensyarah kitab Dalailul Khairat daripada Imam al-Fakihani dengan tambahan ianya dibaca 70 kali. Kataku (yakni Imam Sya'raani berkata): "Aku telah mencuba membaca shalawat ini sebelum tidur sehingga tertidur lalu aku melihat wajah baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang mulia dalam bulan ......"

Shalawat ini juga disebut oleh sebahagian ulama sebagai Shalawat Syifa` atau at-Tiryaq al-Mujarrab (penawar yang mujarrab) kerana ianya antara wasilah untuk memohon penyembuhan dari penyakit zahir dan batin. Hal ini adalah sebagaimana yang dikisahkan oleh Syaikh Abdul Rahman ash-Shafuri rahimahullah dalam kitabnya Nuzhatul Majalis. Pada halaman 359 dikisahkan sebagai berikut:-

Ada di kalangan orang - orang shalih yang ditimpa penyakit susah kencing, lalu dia telah bermimpi bertemu dengan Imam Syihabuddin Ibnu Ruslan dan mengadu kepadanya. Imam Ibnu Ruslan berkata kepadanya: "Kenapa engkau tidak mengamalkan at-tiryaq al-mujarrab?" Bacalah: "Allahumma shalli wa sallim 'ala ruuhi Sayyidina Muhammadin fil arwaah; Wa shalli wa sallim 'ala qalbi Sayyidina Muhammadin fil quluub; Wa shalli wa sallim 'ala jasadi Sayyidina Muhammadin fil ajsaad; Wa shalli wa sallim 'ala qabri Sayyidina Muhammadin fil qubuur." Ketika jaga dari tidur, dia telah memperbanyakkan membaca shalawat tersebut, maka dia pun diafiatkan (disembuhkan) Allah.


Sebagaimana dinyatakan terdahulu, para ulama kita tidak mempermasalahkan bacaan shalawat dengan shighah ini. Bahkan mereka menganjurkannya serta menyatakan kelebihan-kelebihannya. Oleh itu, tidak perlulah ada pihak yang mahu menegakkan benang yang basah, demi mau menang sendiri, lalu membid`ahkan dan menyesatkan orang yang membaca dan beramal dengan shalawat ini. Ketahuilah bahawa ulama yang menjadi ikutan berjuta manusia di zaman kita ini, yang disanjung sebagai syaikhul hadis bahkan dinobatkan sebagai ra-isul muhadditsin, iaitu Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah turut menukilkan dan menganjurkan amalan shalawat ini dan kelebihannya. Dalam karya beliau berbahasa Urdu Fadhail Duruud Syarif yang telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa, dalam terjemahan berbahasa Melayu. Edisi Pertama 1979 dengan jodol Fadhilat Shalawat, Mawlana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah menukilkan shalawat tersebut pada halaman 76 - 78 sebagai berikut:-

Setiap orang Islam sangat rindu untuk  melihat Rasulullah shallaAllahu 'alaihi wa sallam di dalam mimpi. Hasrat ini semakin bertambah - tambah disebabkan rasa cinta dan kasih terhadap baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ramailah ahli - ahli kalam yang besar dan wali - wali Allah telah menulis berbagai - bagai latihan ruhaniah dan amalan - amalan yang mana amalan - amalan tersebut boleh menolong seseorang itu bermimpikan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Allamah Sakhawi di dalam kitabnya "Qaul-i-Badi" telah meriwayatkan bahawa Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam sendiri memberitahu: " Barang siapa memohon rahmat khasnya bagi ruh Muhammad dari kalangan semua ruh - ruh dan ke atas jasadnya dari kalangan jasad - jasad dan ke atas kuburannya dari kalangan kubur - kubur, dia akan dapat melihat daku di dalam mimpi." Selanjutnya Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam  bersabda: "Orang yang melihat daku di dalam mimpinya, akan juga melihat daku pada Hari Kiamat; dan sesiapa yang akan melihat daku pada Hari Kiamat, daku akan memberi syafaat kepadanya; dan kepada siapa yang daku mensyafaatinya, dia akan minum air daripada telaga Haudku; jika siapa yang meminum daripada telaga Haudku, Allah akan mengharamkan api neraka terhadapnya." Allamah Sakhawi berkata bahawa Abul Qasim Basti juga menukilkan hadits ini di dalam kitabnya. Tetapi daku tidak menjumpainya di mana - mana pun sehingga kini. ............ Adalah baik untuk menambah Darud yang di bawah ini bersama-samanya:- "Allahumma shalli 'ala ruhi Muhammadin fil arwaah; Allahumma shalli 'ala jasadi Muhammadin fil ajsaad; Allahumma shalli 'ala qabri Muhammadin fil qubuur." Hadrat Thanwi rahmatullah 'alaih menulis dalam kitabnya Zadus Said bahawa dengan sifat yang sangat disenangi daripada Darud itu, menyebabkan pencinta (Rasulullah) dapat melihat baginda di dalam mimpi.......... 

Selanjutnya dalam kisah yang 45 pada halaman 183 - 184, Mawlana rahimahullah menukil sebagai berikut:

Disebut di dalam Nuzhatul Majalis bahawa seorang yang salih sedang mengalami kesukaran membuang air kecil. Beliau bermimpi bertemu dengan Hadrat Shahabuddin bin Rislan rahmatullah 'alaih dan mengadu tentang penyakitnya. Shaikh itu berkata: "Mengapa kamu tidak memperdulikan ubat yang selayaknya? Baca darud yang berikut: ......... Selepas mimpi tersebut orang itu mulalah membaca darud dengan banyaknya dan kembali kepada kesihatannya.

Begitulah nukilan mengenai shalawat ini dalam karya para ulama. Mudah-mudahan ada manfaatnya.

 Awal Hizib Ke-3 Dalailul Khairat



Isnin, November 12, 2018

Kitab Badrut Tamaam

Badrut Tamaam wan Nujuum ats-Tsawaaqib adalah karya Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah yang isi kandungannya seperti kata Tok Syaikh adalah:- ... pada menyatakan setengah daripada kelakuan an-Nabi al-Musthafa Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dan pada menyatakan barang yang bagi setengah daripada keluarganya dan sahabatnya daripada manaqib, ertinya segala kelebihan dan kelakuan yang kepujian.... Karangan ini telah beliau sempurnakan di Makkah pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 9 Rabi`ul Akhir 1307H / 3 November 1889M.

Di antara kitab - kitab muktabar yang dirujuk Syaikh Wan Ahmad ketika menulis karyanya tersebut adalah Tarikh Ibnu Ishaq, Tarikh Ibnu Hisyam, al-Anwar al-Muhammadiyyah dan lain - lain. Syaikh Wan Ahmad menegaskan bahawa sirah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah sejarah yang paling agung yang tidak ada bandingannya dengan sejarah sesiapa pun selain baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Berapa banyak pun tulisan atau karya yang membicarakan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, tidak akan mampu untuk menyingkap secara total rahsia keindahan, keelokan, kebesaran dan keagungan makhluk Allah yang paling mulia ini, hatta sehingga kiamat pun tidak akan habis terungkap semuanya. Syaikh Wan Ahmad menyatakan:- [Maka kami berkata] bahawa perkataan atas barang yang bergantung dengan segala sirahnya shallaAllahu `alaihi wa sallam, ertinya segala kelakuannya yang dipuji itu tiada hampir dapat dihinggakan. Berkata syaair: ......ertinya: "Dan atas berbagai-bagai segala yang mensifatkan dia dengan keelokannya, habislah zaman, dan pada hal ada padanya barang yang tiada disifatkan".


Dalam entri terdahulu, faqir telah berkongsi sedikit kandungan kitab tersebut. Maka sempena bulan mawlid, ingin faqir berkongsi lanjutan isi kitab tersebut mengenai roh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang disebut Nur Muhammad sebagai makhluk pertama yang dijadikan Allah `azza wa jalla. Perkongsian ini faqir nukil dari halaman 3 sebagai berikut:

Maka kami berkata: (Telah datang di dalam hadis) bahawasa awal barang yang dijadikan Allah ta`ala itu nur nabi kita Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan datang pada kaifiat menjadikan nur yang mulia itu beberapa riwayat yang berbilang-bilang. Dan hasil sekaliannya bahawasa Allah subhanahu wa ta'ala tatkala bergantung iradahNya dengan menjadikan sekalian makhluk, menjadilah Ia akan nur Sayyidina Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dahulu daripada dijadikan langit dan bumi, dan 'arasy dan kursiy, dan loh dan qalam, dan syurga dan neraka, dan malaikat dan sekalian yang lainnya, dengan bagian-bagian ribu tahun. Dan adalah dilihatkan nur itu di dalam padang 'alamul qudsi, maka pada setengah ketika disuruhkan dia dengan sujud, dan seketika dengan tasbih dan taqdis. Dan dijadikan baginya akan beberapa hijab, didiamkan dia di dalam tiap-tiap hijab itu beberapa masa yang panjang, mengucap tasbih ia bagi Allah ta`ala dengan tasbih yang tertentu. Maka kemudian daripada dikeluarkan dia daripada segala tirai itu, bernafas ia dengan beberapa nafas. Maka dijadikan daripada segala nafasnya akan sekalian roh anbiya` dan awliya` dan shiddiqin dan syuhada` dan sekalian mukminin dan sekalian malaikat.

(Dan kemudian) daripada menjadi Allah ta`ala akan Adam `alaihis salam daripada tanah dihantarNya akan nur itu pada dahinya. Kemudian berpindah nur itu kepada Nabi Syits 'alaihis salam, kemudian kepada Yaanisy. Dan demikianlah berpindah-pindah ia daripada segala bapa yang suci kepada segala anak yang baik hingga sampai ia kepada 'Abdul Muthallib dan tercemerlang ia pada mukanya. (Dan) dengan berkatnya, berhadap ia kepada Allah ta`ala pada ashabul fil dan mereka itu tentera yang datang daripada pihak Raja Habsyah dengan beberapa banyak gajah supaya meruntuh mereka itu akan ka'bah, maka dibinasa akan mereka itu dengan beberapa banyak burung ababil yang melontarkan mereka itu dengan beberapa banyak anak batu daripada neraka sijjil. (Kemudian) berpindah nur itu dan cemerlang ia pada dahi bapanya shallaAllahu `alaihi wa sallam, Sayyidina 'Abdullah adz-Dzabih dan digelarkan dia dengan "dzabih" ertinya sembelihan kerana bapanya 'Abdul Muthallib menghendaki sembelihkan dia.


Cukuplah bagi kita segala keterangan dan penjelasan yang terkandung dalam kebanyakan kitab-kitab ulama kita terdahulu mengenai Nur Muhammad ini. Sesiapa yang tidak percaya atau menafikannya, maka pendapat sedemikian juga menjadi pegangan sebahagian ulama. Maka dalam perkara ini sewajarnya kita bersederhana dan berlapang dada.


Selasa, November 06, 2018

Nazam Kanzul 'Ula

Di Trengganu ada tradisi rakyat yang dinamakan nabam atau nabang, iaitu pembacaan nazam-nazam atau syair-syair berisikan pujian ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Antara yang dibaca adalah nazam maulud yang dikarang oleh Tokku Tuan Besar, seorang ulama besar Trengganu. Di sesetengah tempat dalam negara kita, nazam maulud tersebut dipanggil sebagai Maulud Jawi. Tokku Tuan Besar atau nama sebenarnya Sayyid Muhammad bin Zainal 'Abidin bin Husain bin Musthafa al-'Aidrus adalah salah seorang ulama ahlul bait yang masyhur yang pernah menjadi Syaikhul Ulama dan Mufti Trengganu. Beliau dilahirkan pada tahun 1211H/1794M dan wafat pada 17 Muharram 1295H / 21 Januari 1878. Beliau adalah ayahanda kepada seorang lagi ulama dan wali besar iaitu Sayyid Abdul Rahman bin Muhammad al-'Aidrus yang terkenal dengan gelaran Tokku Paloh ridhwanullahi 'alaihim ajma`in.

Kitab mawlid Tokku Tuan Besar ini dinamakan Kanzul 'Ula berbentuk nazam berbahasa Melayu yang indah dan berseni. Maka tidak hairan jika sesetengah pengkaji menggelar beliau sebagai Bapa Kesusasteraan Trengganu. Kini karya ini telah mula mendapat perhatian para ilmuwan menjadi topik kajian mereka. Di antaranya adalah thesis sarjana Ustaz Mohd Adli Ahmad Rosdi yang berjodol Ta`tsir Diwan Kanz al-'Ula Mawlid al-Barzanji Dirasah Muqaranah. Ustaz Rosni bin Samah pula telah menulis beberapa makalah mengenainya dan dalam Ta`tsir  al-Adab al-'Arabiy wa al-Islamiy fi Funun al-Adab al-Maliziy al-Hadits pada bab 3 beliau membincangkan pengaruh qasidah al-Burdah dan al-Hamziyyah atas Kanzul 'Ula. Puan Sakinah Abu Bakar pula telah menulis Maulud Jawi Sebagai Tradisi Kesenian Melayu yang mengkaji tradisi pembacaan kitab tersebut terutama sekali di Seberang Perai, Pulau Pinang. Nama nazam tersebut telah dinamakan sendiri oleh Tokku Tuan Besar sebagaimana dinyata pada awalnya seperti berikut:

Wa ba'du, inilah kitab Kanzul 'Ula namanya;
Pada menyatakan sifat al-Musthafa yang mulia.
Allah jua ku harap dengan menolong aku;
Atas nazamku ini pada khatam dia.
Dengan megah penghulu kita Muhammad yang besar;
Dan keluarganya yang suci dan sahabatnya yang mulia.

Sebagaimana dalam kitab-kitab maulud @ mawlid yang lain, maka Kanzul 'Ula  juga menyebut mengenai Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai makhluk Allah yang pertama diciptakan. Tokku Tuan Besar menyatakan:-

Nurnya itulah mula-mula makhluk yang jadi;
Dengan kehendak Tuhannya yang mengadakan dia.
Dan nur itulah asal bagi wujud yang lain;
Dan yang lainnya itu daripadanya ia.
Luh dan qalam dan arasy dan kursiNya yang luas;
Dan langit dan bumi dan syurga yang 'ulya.
Lagi pula neraka dan nur hati mukmin;
Dan nur mata yang zahir daripadanya ia.
Sungguh jika tiada itu Rasul yang lebih;
Maka alam ini pun tak ada wujudnya ia.

Sebagai galakan agar banyak bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Tokku Tuan Besar rahimahullah juga menyebut kelebihan bershalawat, antaranya:-

Maka banyakkan shalawat atas Rasul yang mulia;
Itu menunjuk juga atas kasihkan dia.
Maka banyaklah olehmu shalawatkan dia;
Kamu dapat rahmat dari Tuhan Yang Kaya.
Dengan shalawat yang satu rahmat turunlah ia;
Dengan sepuluh ganda dari Tuhan Yang Kaya.
Dengan sepuluh itu turun seratus ia;
Dengan seratus turun seribu ia.
Dengan seribu shalawat itu jadilah jasad;
Kamu atas api neraka itu haramlah ia.
Lagi tetaplah kamu dengan kata yang mulia;
Dalam masa hidupmu maka besarlah bahagia.
Lagi pula ditetap pada masa bertanya;
Oleh dua malaikat yang sangat mulia.
Lagi pada akhirat pula ditetap dia;
Masa amalmu itu pula dikira-kira dia.
Lagi masuklah kamu syurga itu yang mulia;
Maka jadilah kamu dari orang bahagia.
Lagi datanglah kamu oleh shalawatmu itu;
Atas titian dengan sangat bercahaya.
Luas kadar nur itu dari perjalanan;
Lima ratus yang ada dari tahunlah ia.
Allah berikan pula mahligai yang mulia;
Dengan bilang dibaca akan shalawat yang 'ulya.
Kamu banyakkan baca atau sedikit ia;
Dengan kadarmu baca itu dapatlah ia.
Lagi pula datanglah pada hadis yang lain;
Dari penghulu kita itu Rasul yang mulia.
Telah wahyukan dia oleh Tuhan Yang Mulia;
Dengan nyatakan besar pahala shalawat yang 'ulya.
Tidak ucapkan atasmu shalawat yang 'ulya;
Oleh seorang jua dari orang bahagia.
Maka melainkan telah Aku suratkan dia;
Maka empat ratuslah perang pada pahalanya ia.
Dan adalah tiap-tiap perang yang satu;
Itu sama akan empat ratuslah ia.
Daripada yang ada haji yang baik;
Maka inilah yang ada mafhum hadis yang mulia.

Mudah-mudahan bertambah kesungguhan kita menyambut mawlid Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan memperbanyakkan shalawat ke atas baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, lebih-lebih lagi dalam bulan kelahiran baginda yang bakal menjelang tiba.

Jumaat, November 02, 2018

Mengaminkan Doa Khatib

Persoalan mengenai sunnat bagi jemaah mengaminkan doa tok khatib ketika khutbah telah pun dijawab oleh para asatizah kita apabila ada ustaz yang menyanggahnya. Di sini faqir ingin menambah rujukan kita mengenai persoalan ini dengan membawa jawapan dan fatwa ulama kita terdahulu. Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah yang merupakan alim 'allaamah yang jauh tinggi ilmunya berbanding kita dan ustaz penyanggah amalan kita tersebut telah menjawab persoalan ini dalam fatwa beliau. Maka tuan-tuan boleh dapat fatwa beliau ini dalam al-Fatawal Fathaniyah, jilid 1, yang diterbitkan oleh pihak Khazanah Fathaniyah yang dipimpin oleh almarhum Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir rahimahullah.

Syaikh Wan Ahmad rahimahullah telah ditanya mengenai hukum mengamin doa khatib dalam khutbah. Jawapan beliau tercatat pada masalah ke-24 tulisan 'Arab-Jawi yang terkandung dalam kitab tersebut. Tok Syaikh Wan Ahmad telah menjawab pertanyaan tersebut dalam Bahasa 'Arab, lalu diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh anakanda beliau Syaikh Ismail Ahmad al-Fathani rahimahullah. Dan di sini, faqir perturunkan sebahagian terjemahannya sahaja untuk lebih nafi` dan ringkas bagi mudah faham atas kita Bangsa Jawi. Maka bermula masalah yang ke-24:
(Soal) Apa kata kamu .......pada ta'min (berkata "amin") sekalian yang hadir bagi bacaan khatib akan doa pada khutbah Jumaat dan lainnya, adakah sunnat atau tiada ........? (Al-Jawab): Bahkan sunnat menta'min mereka itu bagi doa khatib pada khutbah ..... tetapi tiada sunnat menyaring dengan dia bagi doa khatib kerana barang yang pada nyaring itu daripada bising dan kerana bahawasa perlahan itu afdhal pada doa ..... 
Jelaslah atas kita bahawa ketika tok khatib berdoa dalam khutbahnya, istimewa dalam khutbah kedua, sunnat kita menadah tangan dan mengaminkan doa tok khatib tersebut secara perlahan yakni sekadar berbunyi tanpa menyaringkan atau meninggikan suara sehingga boleh mencetuskan hingar bingar. Inilah ketentuan hukum yang sebenar di sisi para ulama kita yang muktabar. Jadi bukanlah hukumnya semata-mata harus dan jauh lagi daripada dihukumkan sebagai makruh atau haram.

Khamis, November 01, 2018

Shalawat Tuan Faridah

Tuan Faridah adalah antara gelaran Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah. Gelaran tersebut adalah bersempena kitab beliau yang masyhur iaitu Faridah al-Faraid. Sejarah hidup yang cemerlang Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani telah sedia diketahui, banyak ditulis dan sudah tersebar merata. Di sini faqir hanya sekadar berkongsi satu shighah daripada berbagai shighah shalawat yang digubah oleh Syaikh Wan Ahmad. Shighah shalawat yang dinamakan sebagai ash-Shalatur Rahmaniyyah 'ala Khairil Bariyyah telah dicatat dalam beberapa karya beliau, antaranya dalam kitab Tuhfatul Ummah fi Shalati 'ala Nabiyyir Rahmah dan dalam sesetengah manuskrip atau cetakan kitab Hadiqatul Azhar war Riyaahin. Bahkan shighah tersebut tertera pada muka hadapan kitab Hadiqatul Azhar cetakan Persama Press, Pulau Pinang.

Mengenai kelebihan shalawat tersebut, maka disebut dalam Tuhfatul Ummah sebagai berikut:

Dan hamba harap bahawa adalah setengah daripada fadhail shalat (yakni shalawat) ini bahawa membaik Allah ta`ala akan segala hal mereka yang membacanya dan segala mereka yang dibangsa kepadanya daripada ahlinya dan lainnya. Dan ditolak daripadanya dan daripada mereka itu akan segala huru hara. Dan diangkatkan pada setinggi-tinggi darjat. Dan dikurniakan sekalian yang dikehendak. Dan diampunkan sekalian dosa. Dan dikabulkan sekalian taat. Dan diberkatkan pada umur. Dan dilanjutkan pada ajal. Dan diwafatkan di dalam iman. Dan dikurniakan syurga. Dan memandang wajah Tuhan jalla wa `azza. Dan rahmat dan pahala yang amat banyak. Dan sekalian demikian itu mengandungkan dia oleh shighah ini, walhamdulillahi wa arju minhul qabuul bi mannihi wa karamihi aaamiin.

Maka nyatalah bagi kita bahawa ulama kita bangsa Melayu tidak ketinggalan dalam mengarang dan menggubah berbagai rupa lafaz dan shighah shalawat untuk memuji dan mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Shalawat Tuan Faridah