Selasa, September 08, 2015

Pengarang "Senjata Mukmin"

Di antara kitab yang berisi doa, wirid dan hizib yang masyhur dan telah lama beredar dalam masyarakat kita adalah kitab "Senjata Mukmin". Kitab ini sangat terkenal, bahkan di Haramain pun ada tok-tok guru, terutama sekali yang berketurunan Banjar yang menjadikannya sebagai buah tangan kepada tetamu yang datang bertandang. Walaupun kitab ini telah dicetak berulang-ulang kali, namun ramai yang tidak mengenali tokoh yang telah menyusun kitab yang berkat ini.

Kitab ini dikarang oleh seorang ulama Banjar yang pernah menjadi qadhi di Martapura. Beliau adalah KH Husin Kudri @ Husein Qadri bin Mufti KH Ahmad Zaini bin KH Abdul Rahman al-Banjari. Dilahirkan pada 17 Ramadhan 1327H. Bonda beliau bernama Hajjah Sanah adalah cicit kepada Mufti Jamaluddin. Dari kecil lagi Syaikh Husin Kudri telah diasuh dengan didikan agama dengan sebaiknya. Di antara guru-guru beliau adalah ayah dan datuknya sendiri, KH Kasyful Anwar al-Banjari, KH Zainal Ilmi dan lain - lain, rahimahumullahu ajma`in.

Beliau kemudiannya diangkat menjadi qadhi di Martapura dan selain dari menjadi tenaga pengajar di 15 buah masjid dan surau termasuklah di Masjid Agung al-Karomah, Martapura. Setiap pengajian yang beliau kendalikan akan dihadiri ribuan jemaah. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang warak, khumul, berakhlak, lembut serta ramah dengan sesiapa jua, maka tidak hairan jika masyarakat amat menyenangi dan mengasihi beliau. Tugasnya untuk mendidik dan membimbing umat dilaksanakannya dengan bijaksana dan penuh kasih sayang.

Syaikh Husin Kudri rahimahullah wafat pada hari Jumaat, 27 Jamadil Awwal 1387H dan dimakamkan di Tunggul Irang, Martapura. Selain meninggalkan ribuan murid, maka antara karya tulis yang beliau tinggalkan adalah:-
1. Senjata Mukmin;
2. Manasik Haji dan Umrah;
3. Nurul Hikmah;
4. Kitab Khutbah Jumaat;
5. Sebuah Tafsir al-Quran.

Mudah-mudahan Allah merahmati beliau sentiasa dan memberkati kita sekalian, aamiin .... al-Fatihah.

Foto Syaikh Husin Kudri dalam "Senjata Mukmin"


Tiada ulasan: