Ahad, April 21, 2019

Berkat Mimpi Malam Nishfu

Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi (541 - 620H) rahimahullah, antara ulama Hanbali yang tersohor, dalam Kitab at-Tawwabin menukilkan kisah taubatnya Syaikh Malik bin Dinar rahimahullah, seorang ulama dan ahli sufi besar. Dinyatakan bahawa peristiwa yang menjadi sebab bagi Allah membuka pintu hatinya untuk bertaubat adalah mimpi yang beliau alami pada Malam Nishfu Sya'baan. Kisah ini dinukil oleh Imam Ibnu Qudamah pada halaman 202 - 205 dan di sini perhamba terjemahkan secara bebas bagi memudahkan faham.

Diriwayatkan daripada Malik bin Dinar  bahawa beliau telah ditanya tentang sebab untuk dia bertaubat. Maka beliau menyatakan: Adalah aku dahulu merupakan seorang syurthi (seumpama penjaga keamanan seperti bapak polisi gitu) yang gemar untuk mabuk - mabuk minum arak. Aku telah membeli seorang jariah yang cantik, lalu kunikahi dan hasil daripada itu lahirlah bagiku seorang anak perempuan. Aku sangat kasih akan anak tersebut, namun dia telah meninggal dunia ketika berusia 2 tahun. Ini menyebabkan aku merasa amat sedih. Maka pada Malam Nishfu Sya'baan yang berbetulan dengan Malam Jumaat, ketika tidur dalam keadaan mabuk dan belum lagi menunaikan Shalat Isyak, aku telah bermimpi seolah - olah berlakunya kiamat, sangkalala dibunyikan, kubur - kubur dibongkar dan aku beserta manusia lainnya digiring ke padang Mahsyar. Tiba-tiba aku mendengar bunyi berdesir dari arah belakangku, aku pun menoleh dan aku terkejut melihat ada seekor ular besar berwarna hitam kebiruan dengan mulut ternganga meluru untuk memagutku. Aku terus melarikan diriku daripadanya. Ketika melarikan diri, aku bertemu dengan seorang lelaki tua yang bersih pakaiannya lagi harum baunya. Aku mengucapkan salam dan beliau menjawabnya. Aku berkata kepadanya : "Wahai Syaikh, selamatkanlah aku daripada ular ini." Beliau menangis lalu berkata kepadaku: "Aku lemah, ular ini kuat dan aku tidak mampu mengalahkannya, eloklah engkau cepat - cepat pergi, mudah -mudahan Allah mempertemukan engkau dengan orang yang boleh menyelamatkan engkau". Maka aku pun segera pergi sehingga aku mendaki suatu dataran dari dataran - dataran kiamat sehingga jurang neraka berada di hadapanku. Hampir sahaja aku terjatuh ke dalamnya kerana ketakutanku daripada kejaran ular tersebut. Namun, aku telah mendengar satu seruan yang berkata: "Kembalilah, engkau bukan penduduknya." Mendengar suara tersebut, aku menjadi tenang dan kembali semula ke perjalanan asalku. Ular tersebut kembali mengejarku sehingga aku bertemu lagi dengan seorang lelaki tua. Aku berkata kepadanya: "Ya Syaikh, aku hendak bertanya apakah engkau akan menyelamatkan aku daripada ular ini atau tidak?" Maka lelaki tua tersebut menangis lalu berkata: "Aku lemah, tetapi cubalah engkau naik ke bukit ini kerana padanya ada simpanan orang - orang Islam. Jika engkau mempunyai simpanan, nescaya dia akan membantumu." Di bukit tersebut aku telah bertemu semula dengan anak perempuanku yang telah meninggal. Lalu dia menghalau ular tersebut dan menyelamatkan aku daripadanya. 
Selepas itu, aku pun duduk dengannya dan dia membacakan ayat ke-16 surah al-Hadid: "Belum sampaikah lagi masanya bagi orang - orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah." Mendengar ayat tersebut, aku menangis dan berkata kepadanya: "Wahai anakku, adakah kamu mengetahui tentang al-Quran?" Dia menjawab: "Wahai ayah, kami lebih mengetahui dengannya daripada kamu." Aku berkata lagi: "Ceritakanlah kepadaku tentang ular yang hendak membinasakan aku tadi." Dia berkata: "Itu adalah amal burukmu yang  telah engkau kuatkan sehingga dia hendak menenggelamkan engkau dalam api neraka." Aku bertanya lagi: "Ceritakanlah kepadaku tentang lelaki tua yang aku jumpa dalam perjalanan tadi." Dia menjawab: "Itu adalah amal shalihmu yang engkau lemahkan sehingga dia tidak mampu mengalahkan amal burukmu." Aku bertanya lagi: "Wahai anakku, apa yang kamu buat di atas bukit ini?" Dia menjawab: "Kami adalah anak-anak orang Islam yang telah meninggal ketika kecil. Kami ditempatkan di sini sehingga berlaku kiamat, menunggu kamu datang kepada kami agar kami dapat membantu kamu (yakni anak-anak kecil yang meninggal tersebut akan menjadi simpanan untuk menolong dan memberi syafaat bagi ibubapa mereka.) Maka aku pun terjaga dari tidurku dengan penuh keinsafan dan penyesalan atas segala dosa dan maksiat yang telah aku lakukan. Akupun membuang segala minuman yang memabukkan, memecah bejana-bejananya dan bertaubat kepada Allah `azza wa jalla. Inilah yang menjadi sebab bagi taubatku.

Sabtu, April 20, 2019

Tradisi Nishfu Penduduk Makkah

Malam Nishfu Sya`baan adalah antara malam yang ditunggu - tunggu oleh para shalihin. Ini adalah kerana ianya adalah salah - satu malam yang memiliki keutamaan, fadhilat dan keistimewaan yang warid daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Malam tersebut juga adalah antara malam di mana doa - doa dimustajabkan. Maka tidak hairan, jika dalam tradisi umat dilakukan pada malam tersebut beberapa amalan kebajikan seperti kalau di tempat kita lumrah diadakan bacaan Yaasin sebanyak 3 kali beserta dengan Doa Nishfu yang masyhur. Sebenarnya amalan menyambut malam yang penuh kemuliaan ini dengan melakukan berbagai amal ibadah telah lama dilakukan umat Islam seantero dunia sejak zaman berzaman mulai zaman Salafus Shalih lagi. Tiada khilaf di kalangan ulama bahawa malam Nishfu Sya`ban adalah salah satu malam yang memiliki kemuliaan tersendiri, di mana kita digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah secara umum. Maka bukan hanya adat masyarakat kita sahaja yang melakukan sambutan malam tersebut. Ulama dan sejarawan telah merekodkan bahawa sambutan malam tersebut dilakukan oleh umat Islam di serata pelosok dunia termasuklah penduduk Kota Makkah sejak zaman salafush shaleh lagi.

Imam al-Fakihi @ Imam Abu 'Abdullah Muhammad bin Ishak bin al-'Abbas al-Fakihi al-Makki, ulama dan sejarawan Makkah kurun yang ke-3H merekodkan dalam karya beliau Akhbar Makkah fi qadimid dahri wa haditsih, juz 3, halaman 84, antara lain, menulis:- Amalan penduduk Makkah pada malam nishfu daripada bulan Sya'baan dan kesungguhan mereka padanya (yakni kesungguhan mereka menghidupkannya dengan beribadah) kerana keutamaannya. Penduduk Makkah, sejak dahulu hinggalah ke hari ini (yakni hingga ke masa Imam al-Fakihi) ketika menjelang malam Nishfu Sya'baan, samada lelaki maupun perempuan, keluar beramai-ramai menuju Masjidil Haram. Maka mereka pun melakukan shalat, tawaf dan menghidupkan malam mereka untuk membaca al-Quran dan mengkhatamkannya sehingga ke subuh. Mereka juga melakukan shalat - shalat sunnat, ada di antara mereka yang melaksanakan shalat sunnat 100 rakaat pada malam tersebut dengan membaca pada setiap rakaat selepas al-Fatihah akan surah al-Ikhlas 10 kali. Mereka mengambil air zam-zam pada malam tersebut untuk diminum dan mandi dengannya serta disimpan untuk orang - orang yang sakit. Mereka melakukan semua ini semata-mata untuk mencari keberkatan malam tersebut (yakni malam Nishfu Sya'baan) di mana terdapat banyak hadis yang meriwayatkan mengenai kelebihannya.

Ibnu Jubair, pengembara Muslim dari Andalus yang hidup sekitar kurun ke 6-7H, dalam journal pengembaraannya, Rehlah Ibn Jubair, halaman 106 merekodkan, antara lain, seperti berikut:- Malam Nishfu Sya'baan. Ini adalah malam yang berkat, iaitu malam pertengahan bulan Sya'baan. Malam ini dibesarkan oleh penduduk Makkah kerana telah datang riwayat hadis mengenainya. Maka mereka berlomba-lomba pada malam ini untuk melakukan amalan - amalan kebajikan seperti umrah, tawaf dan shalat, samada bersendirian atau berjemaah..........selepas mengerjakan shalat Isya`, maka orang ramai akan melakukan shalat sunnat seumpama shalat tarawih (yakni dari segi perlaksanaannya adalah seperti shalat tarawih) dengan berjemaah dalam beberapa jemaah, di mana mereka membaca di dalamnya akan surah al-Fatihah dan 10 kali surah al-Ikhlas pada setiap rakaat sehingga sempurna 50 kali salam dengan 100 rakaat (yakni 100 rakaat dengan salam pada setiap dua rakaat seperti shalat tarawih menjadikan jumlah salamnya 50 kali). Setiap jemaah akan dipimpin oleh seorang imam......


Selanjutnya, pengembara ulung, Ibnu Battutah yang hidup sekitar kurun ke - 8H, membuktikan bahawa tradisi ibadah pada Malam Nishfu Sya`baan tersebut masih dilakukan oleh penduduk Kota Makkah di zamannya. Dalam Rehlah Ibn Battutah, juz 1, halaman 102, beliau mencatat sebagai berikut:- Adat mereka (yakni penduduk Makkah) pada malam Nishfu Sya'baan. Malam ini (yakni malam Nishfu Sya'baan) adalah antara malam - malam kebesaran di sisi penduduk Makkah, di mana mereka berebut-rebut pada malam tersebut untuk melakukan amal-amal kebajikan seperti tawaf, shalat (yakni shalat - shalat sunnat) samada secara berjemaah atau bersendirian dan mengerjakan umrah. Mereka berhimpun dan berkumpul dalam Masjidil Haram dan setiap perkumpulan  akan dipimpin oleh seorang imam. Mereka menerangi masjid dengan berbagai pelita, lampu dan obor, berlatar belakangkan sinaran cahaya bulan yang menerangi langit dan bumi. Mereka melakukan shalat sebanyak 100 rakaat di mana mereka membaca dalam setiap rakaat selepas al-Fatihah akan surah al-Ikhlas 10 kali. Sebahagian daripada mereka bershalat secara sendiri - sendiri dalam al-Hijr (yakni Hijir Isma`il), sebahagian pula melakukan tawaf, manakala sebahagian lagi keluar untuk menunaikan umrah.

Allahu .... Allah, begitulah meriahnya suasana ibadah di Masjidil Haram pada Malam Nishfu Sya'baan yang berkat. Oleh itu, terbukti bahawa tradisi membesarkan Malam Nishfu Sya'baan dengan amalan kebajikan, bukanlah tradisi umat Nusantara semata-mata. Ianya adalah satu amalan dan tradisi yang telah diwarisi daripada para alim ulama zaman - berzaman. Adapun mengenai shalat 100 rakaat tersebut, yang menjadi pertikaian ulama adalah pada status atau kedudukan shalat tersebut sebagai shalat sunnat khusus untuk malam tersebut  (yakni shalat sunnat Nishfu Sya'baan, umpama diniatkan secara khusus "sahaja aku shalat sunnat Nishfu Sya'baan") seperti kedudukan shalat sunnat hari raya pada Aidil Fithri dan Aidil Adha. Maka pada pengkhususan tersebut, ada ulama yang mensabitkannya dan menamakannya sebagai Shalatul Khair, manakala ramai pula yang menolaknya serta menganggapnya sebagai bid`ah madzmumah (bid`ah keji). Namun, jika ianya dilakukan hanya sebagai nafal mutlak (shalat sunnat mutlak), maka tidak ada satu ulama pun yang melarang memperbanyakkan shalat sunnat mutlak pada malam tersebut. Maka tidak perlulah kita hendak memanjang - manjangkan ikhtilaf tersebut, apatah lagi di sisi kita, Shalat Awwabin 6 rakaat atau Shalat Witir 3 rakaat atau membaca Yaasin tiga kali pun dah terasa berat, inikan pula nak shalat 100 rakaat, yang sokong bagai nak rak pun tak buat, yang tolak apatah lagi, mengabihkan boreh jo membahasnya. Tarawih hok 20 rakaat tu pun, la ni ramai yang tawar jadi 8 rakaat. Maka terpulanglah, sesiapa yang terasa nak melakukan banyak shalat sunnat pada malam tersebut silakan, siapa yang nak membanyakkan tidur pada malam tersebut pun silakan. Mudah - mudahan kita berhasil meraih kelebihan dan keberkatan Malam Nishfu Sya'baan tahun ini. Selamat Menyambut Malam Nishfu Sya'baan.