Selasa, Februari 12, 2019

Kitab al-Barakah

Kitab yang berjodol al-Barakah fi fadhlis sa'yi wal harakah adalah karangan Syaikh Jamaluddin Muhammad bin 'Abdul Rahman bin 'Umar bin Muhammad bin 'Abdullah al-Hubaisyi al-Washaabi yang dilahirkan pada bulan DzulHijjah 712H. Beliau adalah salah seorang ulama Yaman yang terkenal dengan alim dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti qiraah, tafsir, hadis dan bahasa. Syaikh al-'Allaamah al-Mu`arrikh Tajuddin 'Abdul Wahhab bin 'Abdul Rahman al-Buraihi (w.874H) dalam karyanya Thabaqatu Shulaha-il Yaman @ Tarikhul Buhairi al-Kabir menyebut beliau sebagai seorang yang faqih lagi 'allaamah yang menjadi ikutan para shalihin di zamannya lagi menjadi sumber sandaran dan keberkatan, yang menerangi ilmunya akan segala masjid dan madrasah. Beliau belajar dengan ramai ulama di antaranya ayahandanya sendiri Syaikh al-Qadhi Wajihuddin 'Abdul Rahman bin 'Umar al-Hubaisyi, al-Faqih Muhammad bin 'Abdul Malik ad-Didari, al-Faqih Abu Bakar bin Jibril dan ramai lagi. Kitab al-Barakah yang dikarangnya ini adalah satu karya bernilai yang menyentuh ilmu-ilmu usul, fiqh, hadis dan perubatan. Beliau juga mempunyai karya lain seperti: Umdatuth Thalib fil I'tiqadil Wajib, Farhatul Qulub wa Salwatul Makrub, at-Tadzkir bi ma ilaihil mashir, an-Nurain fi Ishlahid Darain dan beberapa lain dalam bentuk nazam mau pun natsar. Syaikh al-Hubaisyi meninggal dunia pada waktu Isyak malam Selasa awal bulan Sya'baan tahun 782H rahimahullah.
Syaikh al-Hubaisyi rahimahullah memulakan karangannya kitab al-Barakah tersebut dengan menyatakan fadhilat melakukan pekerjaan, berusaha, bertani dan seumpamanya daripada lain - lain pekerjaan. Di antara hadis - hadis yang dinukil beliau adalah sebagai berikut:- Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang mukmin yang bekerja atau berusaha". Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam juga menyatakan bahawa: "Allah ta`ala telah mengajar Nabi Adam 'alaihis salam 1000 jenis pekerjaan daripada berbagai pekerjaan. Lalu Allah berfirman kepadanya: "Katakan kepada anakmu dan zuriatmu, jika mereka tidak dapat bersabar (dengan kesempitan hidup di dunia), maka carilah (kesenangan) dunia tersebut dengan pekerjaan - pekerjaan ini dan jangan mencarinya dengan agama (yakni jangan jadikan agama untuk mencari kesenangan dunia). Sesungguhnya agama itu hendaklah ikhlas semata-mata untukKu. Binasalah sesiapa yang mencari dunia dengan agama, kebinasaan baginya". Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda lagi: "Perbaikkanlah (kehidupan) dunia kamu dan beramallah untuk akhiratmu".

Maka hendaklah kita bekerja dengan sebaik -baiknya, bukan sahaja untuk kehidupan duniawi kita semata-mata tetapi juga untuk kebahagiaan ukhrawi. Sebagai seorang muslim mukmin, kita bekerja bukan semata-mata untuk diri atau keluarga atau negara, bahkan hendaknya kita bekerja untuk Allah yakni untuk mencari rahmat dan keredhaan Allah ta`ala. Oleh itu jadikanlah pekerjaan kita tersebut sebagai ibadah untuk bertaqarrub kepada Allah. Langkah yang pertama agar pekerjaan kita menjadi ibadah adalah diri pekerjaan tersebut mestilah usaha yang halal, yang tidak bertentangan dengan hukum syarak yang mulia. Ini syarat pokok yang tidak boleh ditawar-tawar. Setelah ada syarat tersebut, maka barulah ianya boleh dijadikan sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah seperti lain - lain ibadah. Para ulama telah memberi penekanan agar kita bekerja dan berusaha dengan benar dan bersungguh - sungguh sebagaimana yang dinukil oleh Sidi Abdul Wahhab asy-Sya`raani rahimahullah dalam al-Minahus Saniyyah halaman 9 sebagai berikut:
  ....Para ulama salaf dan khalaf telah memberi penekanan agar melakukan sesuatu pekerjaan itu mengikut al-Quran yang agung dan sunnah yang mulia ................ Adalah Syaikh Abul Hasan asy-Syaadzali rahimahullah berkata: "Sesiapa yang melakukan usaha (bekerja) dan mendirikan segala amalan yang difardhukan Tuhannya yang Maha Tinggi ke atas dirinya, maka telah sempurna mujahadahnya." Dan Syaikh Abul 'Abbas al-Mursi rahimahullah berkata: "Hendaklah kamu berusaha untuk mencari sebab bagi menghasilkan rezeki (yakni jangan bermalas-malas, hanya menunggu - nunggu yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang). Seseorang itu hendaklah menjadikan alat timbangannya sebagai subhahnya (yakni biji tasbihnya), kapak atau pahat atau perkakas pertukangannya sebagai subhahnya, alat penjahitnya sebagai subhahnya dan permusafirannya (untuk mencari rezeki) sebagai subhahnya." Maka telah ijmak ulama bahawa berusaha itu adalah satu kewajipan yang sangat dituntut serta dihubungkan dengan peningkatan darjat keimanan.......

Oleh itu, janganlah kita hanya tahu atau mahu  berzikir mengingati Allah, ketika ada untaian tasbih di tangan. Ketika kita bekerja, jadikanlah segala peralatan kerja kita tersebut seumpama biji tasbih untuk menolong kita berzikir mengingati Allah sentiasa. Dengan sedemikian, jauhlah kita daripada musibah kelalaian dan dijauhi juga kita daripada melakukan pekerjaan-pekerjaan yang bertentangan dengan kehendak hukum Allah.

Selasa, Februari 05, 2019

Jaga Adab

Adab dan akhlak yang mulia adalah satu tuntutan dalam agama kita. Maka semesti adab yang paling perlu kita jaga dan utamakan adalah adab kita kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun, ada ketika dalam ceramah - ceramah, kerana terbawa-bawa rasa syok, maka terluncur kata-kata yang boleh dianggap sebagai kurang adab atau biadap kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Bahkan, pernah seorang mantan mupeti dalam satu ceramah sempena Ma`al Hijrah berkata bahawa hijrah adalah Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam "lari" dari Kota Makkah ke Kota Madinah kerana "gagal" berdakwah selama 13 tahun di Kota Makkah......... Allahu .... Allah. Ini adalah kebangangan tahap gaban yang terbit daripada seorang mantan mupeti negeri antah berantah.

Juga pernah didengar ungkapan - ungkapan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah "kalah" dalam peperangan Uhud. Mereka yang mengeluarkan ungkapan "Nabi kalah" ini mungkin tidak sedar bahawa ungkapan tersebut adalah satu ungkapan yang dianggap sebagai penghinaan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang seharusnya dihindari oleh sesiapa yang mengaku sebagai umat baginda. Ini antara adab yang perlu kita jaga terhadap Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ada yang terlebih cabul lagi mulutnya sehingga mengatakan bahawa dalam peperangan Uhud, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah dikalahkan oleh Sayyidina Khalid bin al-Walid dan Sayyidina Amru bin al-`As radhiyaAllahu `anhuma ..... Allahu ... Allah. Sedangkan yang kalah pada peperangan tersebut adalah orang - orang yang telah mengingkari perintah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana merebut ghanimah, sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama dan mufassir, antaranya Imam ash-Shawi rahimahullah dalam "Hasyiah al-'Allaamah ash-Shawi 'ala Tafsir al-Jalaalain", jilid 1, halaman 304 menulis sebagai berikut: ...[kekalahan dalam peperangan] iaitu bagi sebahagian tentera (kaum Muslimin) sahaja, jika tidak dikatakan sedemikian (yakni jika dikatakan bahawa yang kalah itu adalah Rasulullah), maka sesiapa yang berkata: "Sesungguhnya Rasulullah telah kalah perang", maka dia menjadi kafir. Apa yang berlaku dalam peperangan Uhud dan Hawazin adalah pada sebahagian tentera disebabkan harta rampasan. Dari penjelasan tersebut, tahulah kita bahawa yang kalah dalam peperangan tersebut adalah sebahagian tentera kaum Muslimin, iaitu mereka - mereka yang tidak mendengar arahan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mereka tergoda dan tergiur dengan harta rampasan sehingga melanggar arahan baginda atau yang tertipu dengan bilangan yang ramai sehingga timbul perasaan ujub dan bongkak dalam diri yang mengakibatkan mereka leka. Manakala mereka - mereka yang tetap taat atau yang kembali taat kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka mereka termasuk dalam golongan yang memperolehi kemenangan, walau pun zahirnya menghadapi kekalahan di dunia, yang hidup dimenangkan dengan keimanan dalam mentaati Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan dimenangkan dengan memperolehi kesabaran yang ganjarannya amat besar, manakala yang gugur dimenangkan dengan memperolehi kemuliaan syahid. Oleh itu, janganlah lidah yang tidak bertulang mudah menisbahkan kalah itu kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah makhluk Allah yang paling berjaya dan sentiasa diberi kejayaan di dunia dan akhirat.

Makanya tuan - puan, ingat dengan sehabis-habis ingat, jangan bermudah - mudah mengeluarkan kata-kata yang boleh merobek kemuliaan dan keagungan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, walaupun sekadar ungkapan seperti: "Nabi kalah dalam peperangan" atau "Nabi lari dari Kota Makkah", matsalan. Ini semua kata-kata yang dihukumkan oleh para ulama sebagai penghinaan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang boleh membawa kepada kekufuran. Imam asy-Syarqawi rahimahullah dalam "Hasyiah asy-Syarqawi 'ala Tuhfatith Thullab bi syarhi Tahriri Tanqihil Baab", juz 2 halaman 388 menyatakan bahawa: ...Dan sebahagian daripada perbuatan kufur itu adalah jika berkata seseorang: "huziman Nabiyyu shallaAllahu `alaihi wa sallam ( Nabi telah kalah perang)", dipancung kepalanya jika dia tidak bertaubat........Jika dia berkata dengan kalimah seumpama: "walla" atau "farra" atau "haraba" atau tawaara" [semua kata-kata ini membawa maksud " dia (yakni merujuk kepada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam) telah melarikan diri atau bersembunyi atau berpaling lari atau menghilangkan diri kerana ketakutan atau kecut perut atau bersikap bacul"] atau yang seumpamanya, maka yang zahir ianya adalah seperti perkataan "huzima (dia telah dikalahkan)" kerana ianya mengandungi satu makna (yakni meremeh dan merendahkan kadar kedudukan dan kemuliaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam). Aku telah melihat Syaikh 'Ali asy-Syibramalisi menyebut dengan jelas mengenai perkara ini dalam hasyiahnya bagi kitab al-Mawaahib dan menurut beliau sebab bagi persamaan hukum pada segala kalimah - kalimah tersebut adalah kerana semuanya menunjuk kepada maksud merendah atau menghina Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Perkataan Imam asy-Syarqawi ini juga dinukil oleh Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani rahimahullah dalam syarah beliau bagi kitab "Sullamut Taufiq", iaitu "Mirqatush Shu`ud at-Tashdiq" pada halaman 13 menulis sebagai berikut:- ..Dan setengah daripada perkata yang boleh membawa kekufuran adalah jika seseorang berkata: "Telah kalah perang Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam", dan begitu juga jika dikatakan: " telah berpaling lari dia (yakni Rasulullah)" atau "telah lari dia" atau yang seumpamanya, kerana pada kata-kata yang sedemikian itu menunjukkan kepada merendah - rendahkan martabat  Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam......

Maka hendaklah kita sentiasa menjaga adab kita kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan juga kepada sekalian para nabi dan rasul `alaihimus shalatu wa sallam. Jangan diikut perangai Yahudi dan Nashrani yang memandang anbiya dan mursalin sebagai manusia biasa yang tidak lepas dari kelemahan dan kesalahan. Ingat di sisi kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, para nabi dan rasul adalah manusia - manusia pilihan Allah `azza wa jalla yang maksum. Mudah-mudahan kita mendapat syafaat mereka dan masuk syurga bersama mereka.