Memaparkan catatan dengan label ceramah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ceramah. Papar semua catatan
Isnin, Julai 29, 2024
Semoga dapat kita baca, dengar dan fahami molek, agar tidak salah tafsir sehingga walaupun hadisnya sahih, namun pemahamannya tidak sahih, melenceng jauh daripada kebenaran. Akhirnya Tuhan disamakan turun naik macam lift. Ingat kata Imam Malik radhiyaAllahu `anhu: "Turunnya rahmat, bukannya turun perpindahan," (yakni berpindah tempat kerana Maha Suci Allah dari bertempat). Difahami sebagaimana yang diterangkan oleh para ulama kita, secara tafwid mutlak atau ditakwil dengan selayaknya bagi Zat yang Maha Mulia.
Jumaat, Disember 23, 2022
Shalawat Fatih - KH Badri
Sekadar berkongsi dan untuk rujukan. Memang bagi pengikut Thariqat Tijaniyyah, Shalawat Fatih memiliki tempat yang istimewa di sisi mereka. Bagi diri faqir yang dhaif lagi dangkal ilmu dan singkat faham, tidaklah berani untuk menyalah - nyalahkan perkataan para ulama dan shalihin, namun tidaklah juga bererti faqir menerima bulat - bulat dengan taksub, sebagaimana segelintir yang melampau sehingga membawa kepada menghina atau merendahkan yang lain. Cukup untuk faqir bersikap sederhana, selagimana ianya tidak bertentangan dengan `aqidah dan syariat. Bagi faqir, keafdhalan sesuatu shalawat itu tidak hanya terikat dengan rupa bentuk shighahnya, faktor kerinduan `asyiq ma'syuq kepada pribadi yang ditujukan shalawat tersebut dan juga kepada Zat yang dipohonkan limpahan kurniaan shalawatNya, itu yang utama. Sesungguhnya shalawat `isyqi (shalawat kerinduan) itu yang paling afdhal, berbanding apa jua shalawat yang diucapkan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Namun setiapnya ada manfaat dan kesan, cuma bezanya besar atau kecil sahaja. KH Badri Mashduqi rahimahullah adalah ulama dan merupakan salah seorang muqaddam yakni syaikh bagi Thariqat Tijaniyyah yang mempunyai ramai murid di Tanah Seberang. Beliau adalah pendiri Pondok Pesantren Badridduja, Krakasaan, Probolinggo, Jawa Timur. Beliau wafat sekitar tahun 2002, semoga Allah memberikan beliau sebaik - baik balasan dan menempatkan beliau bersama para shalihin.
Shalawat Fatih - KH Badri Mashduqi
Jumaat, Julai 01, 2022
Marhaban DzalHijjah
Selamat Menyambut DzulHijjah, bulan di mana 10 hari pertamanya merupakan sebaik - baik hari untuk melakukan kebajikan. Telah datang beberapa hadis tentang perkara ini, bahkan disebut hari - hari yang sepuluh ini sebagai a'dzamul ayyam dan afdhalul ayyam, yakni hari - hari yang teragung dan terafdhal untuk mempersembahkan amal kebajikan kepada Allah jalla wa 'ala. Imam Ahmad radhiyaAllahu `anhu meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: " Tidak ada hari yang teragung dan yang paling disukai di sisi Allah, untuk melakukan amal kebajikan padanya, dari hari - hari yang sepuluh (yakni 10 hari permulaan DzulHijjah). Maka kamu perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid." Juga diriwayatkan oleh antaranya Imam Tirmidzi, Imam Ibnu Majah dan Imam al-Baihaqi bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Tidak ada hari - hari yang paling dikasihi Allah subhanahu wa ta`ala untuk beribadat kepadaNya dari hari - hari yang sepuluh (yakni 10 hari permulaan DzulHijjah). Bahawasanya menyamai puasa sehari padanya, (seumpama) puasa setahun dan (menghidupkan) malamnya, (seumpama menghidupkan) Lailatul Qadar." Maka janganlah kita biarkan masa - masa yang penuh berkat ini berlalu tanpa sebarang amal kebajikan, betapapun keadaannya.
KH Muhammad Bakhiet al-Banjari hafizahullah dalam kuliah beliau menukilkan kalam ulama bahawa sesiapa yang membesarkan dan memuliakan hari - hari sepuluh awal bulan DzulHijjah akan dimuliakan Allah dengan 10 kemuliaan seperti berikut: (1) diberikan dia umur yang berkat; (2) ditambah hartanya; (3) dipelihara keluarganya; (4) dihapuskan dosa kesalahannya; (5) digandakan ganjaran pahalanya; (6) dimudahkan baginya sakaratul maut; (7) diberikan dia cahaya bagi menerangi segala kegelapan; (8) diberatkan timbangan amal kebajikannya; (9) diselamatkan dia dari api neraka; dan (10) diangkat darjatnya. Inilah antara kelebihannya menurut sebahagian ulama, sejauhmana kebenarannya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Mudah - mudahan bermanfaat.
KH Muhammad Bakhiet @ Guru Bakhiet Barabai
Khamis, Mac 31, 2022
Fath Awal Ramadhan
Ramadhan bakal menjelang sehari dua lagi, faqir kongsikan di sini amalan sebahagian ulama untuk dilakukan pada malam pertama Ramadhan dengan harapan menjadi wasilah untuk mendapat penjagaan dan pelestarian rezeki sepanjang tahun. Amalannya adalah membaca surah al-Fath, pada malam pertama bulan Ramadhan, samada sekali atau tiga (3) kali, samada di dalam shalat nafil atau di luar shalat, dengan harapan yang tersebut tadi. Amalan ini pernah perhamba tuliskan dahulu, sekitar tahun 2009, maka ini adalah sebagai tambahan atasnya, alhamdulillah tsumma alhamdulillah. Sukalah perhamba nyatakan lagi bahawa amalan ini hanyalah anjuran ulama dan dinukil dalam karya - karya mereka, berdasarkan tajribah. Maka jika ada yang menyandarkan amalan ini secara qathie kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka sandaran tersebut adalah bermasalah dan ditolak oleh ramai ulama bahkan dihukum riwayatnya sebagai mawdhu` palsu. Namun, ini tidaklah bermaksud bahawa membaca surah tersebut pada malam tersebut dilarang atau diharamkan kerana tidak bersumberkan hadis yang shahih atau seumpamanya. Lagi sekali dinyatakan bahawa ianya adalah anjuran dan amalan sebahagian ulama berdasarkan kepada tajribah. Maka sesiapa yang tidak bersetuju, maka tidak perlulah mengamalkannya dan tidak perlu juga berbuat bising hingar bingar mengenainya. Ketahuilah bahawa amalan ini telah masyhur di sisi mereka yang beramal dengannya, yang juga terdiri daripada kalangan ulama dan khawasnya umat ini, selain awamnya muslimin. Maka berhati - hatilah dalam menegur, jangan sampai melampaui batas adab dan tatasusila.
Imam al-`Alim al-`Allaamah `Afifuddin Abus Sa`aadaat Abu Muhammad `Abdullah bin As`ad al-Yafie yang dikenali sebagai Imam al-Yafie al-Yamani (698H - 768H) rahimahullah dalam kitab beliau ad-Durrun Nadzim pada halaman 98 menukilkan, antara lain, sebagai berikut:- ....Telah berkata sebahagian `arifin (yakni wali - wali Allah) bahawa sesiapa yang membaca surah al-Fath tiga (3) kali, ketika melihat hilal bulan Ramadhan ( yakni anak bulan Ramadhan, iaitu ketika masuk awal malam bulan Ramadhan), (mudah - mudahan) diluaskan Allah atasnya (rezeki) sepanjang tahun tersebut."
Imam al-`Alim al-`Allaamah Muhammad asy-Syarbini al-Khatib (916H - 977H), atau lebih dikenali dengan gelaran Khatib asy-Syarbini rahimahullah, adalah tokoh ulama yang masyhur dan terkenal. Beliau adalah pengarang kitab Iqna dan Mughni Muhtaj yang masyhur menjadi rujukan dan sandaran dalam fekah Syafie. Beliau juga mengarang sebuah kitab tafsir yang berjodol as-Sirajul Munir dan pada juz ke-4, halaman 59, beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:- ...Telah berkata Ibnu `Adil dikatakan sebagai diriwayat bahawa sesiapa yang membaca pada awal malam bulan Ramadhan akan surah al-Fath dalam sembahyang sunnat, dia akan dijaga Allah pada tahun tersebut...."
Syaikh al-`Alim al-`Allaamah al-Mufti Haji Ahmad bin Muhammad Sa`id Linggi rahimahullah, mantan mufti Negeri Sembilan menukilkan juga faedah ini dalam karangan beliau Tuhfatul Awthan wal Ikhwan pada halaman 86 sebagai berikut:- ...(Faedah) barang siapa membaca ia akan surah al-Fath pada awal malam daripada bulan Ramadhan di dalam sembahyang sunnat, dipeliharakan dia pada itu tahun....
KH Zakhwan @ Zahwan Anwar Pati rahimahullah, sosok kiyai ahli hikmah yang banyak menulis karya berbentuk ilmu - ilmu hikmah dan mujarrobat, telah menukilkan juga amalan ini dalam karangan beliau Majmu` Adzim pada halaman 121 - 122 di mana beliau menulis sebagai berikut:- ....Khasiatnya surah al-Fath. Barangsiapa membacanya sekali di malam pertama bulan Ramadhan, in sya Allah, dijaga oleh Tuhan dari segala marabahaya selama satu tahun. Dan apabila dibaca tiga (3) kali malam dari awal bulan Ramadhan, maka, in sya Allah, ditambah rezekinya dalam satu tahun.
Begitulah sebahagian perkataan yang perhamba nukil daripada karangan - karangan para ulama kita. Mudah - mudahan ada manfaat dan ikhlas hendaknya.
Anjuran Guru Ijai
Jumaat, Mac 18, 2022
Kelebihan Surah Yaasin
Habib Muhammad bin Ali Khird al-`Alawi yang dikenali sebagai seorang tokoh dan ahli hadis yang mencapai kedudukan al-hafiz dan al-musnid dari Hadhramaut, Yaman, telah menulis dalam karya beliau yang masyhur al-Wasaa-ilusy Syaafi`ah pada halaman 411 sebagai berikut:- Dikatakan sebagai riwayat oleh ahli tafsir, az-Zamakhsyari, pengarang tafsir al-Kasysyaf, bahawa Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma berkata: Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hatinya dan hati al-Quran adalah (surah) Yaasin. Sesiapa yang membaca (surah) Yaasin kerana mengharapkan keredhaan Allah, dia akan mendapat pengampunan dan diberi pahala seumpama membaca al-Quran dua puluh dua (22) kali. Mana - mana orang Islam yang dibacakan di sisinya surah Yaasin ketika turun malaikat maut (untuk mencabut nyawanya yakni ketika nazak), turun berserta setiap huruf daripada surah tersebut sepuluh (10) malaikat yang berdiri di sisinya dan beristighfar untuknya. Malaikat - malaikat tersebut turut menyaksikan dia dimandikan, mengiringinya ke kubur, menshalatinya dan menyaksikan pengkebumiannya. Mana-mana orang Islam yang dibacakan (surah) Yaasin ketika dia menghadapi sakaratul maut, malaikat maut tidak mencabut rohnya sehingga datang malaikat Ridhwan penjaga syurga, membawa minuman daripada minuman syurga untuk diminumnya sedang dia berada di pembaringannya, lalu malaikat maut mencabut rohnya dalam keadaan dia dalam kenyamanan dan dia (akan) tinggal di kuburnya dalam keadaan nyaman. Tiada keperluan lagi baginya untuk minum dari mana - mana haudh para nabi sehingga dia masuk ke syurga dalam keadaan nyaman. Diriwayatkan oleh ats-Tsa'labi daripada hadits Sayyidina Ubay bin Ka`ab.
Allahu ... Allah, tapi jangan lupa bahawa "riwayat" ini bermasalah dan menjadi pertikaian para ulama tentang status dan kedudukannya. Namun sekadar untuk memperikan apa yang dikatakan atau pernah dikatakan mengenai fadhilat dan kelebihan sesuatu surah tidaklah dilarang, bahkan para ulama dan mufassir banyak melakukannya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya setiap huruf yang terkandung dalam al-Quran, adalah cerminan bagi Kalam Allah yang Qadim, yang tidak berhuruf dan tidak bersuara, yang tiada tara lagi tiada umpama. Oleh itu segala surah al-Quran pasti memiliki rahsia - rahsia yang amat tinggi dan agung, samada yang telah diketahui, maupun yang masih dalam rahsia ilmu Allah yang Maha Agung.
Selanjutnya, faqir kongsikan juga petikan dari sebuah kitab tafsir bagi surah yang berkat ini. Di antara tafsir surah Yaasin yang biasa diajarkan adalah Tafsir Surah Yaasin karangan seorang ulama Turki abad ke-12/13H yang dikenali sebagai Syaikh Hamaami Zadaah rahimahullah. Dikatakan bahawa nama sebenar beliau adalah Syaikh Ismail Dede Effendi yang dilahirkan sekitar tahun 1191H. Beliau berguru kepada sejumlah ulama besar pada zaman beliau dan di antara yang banyak mempengaruhi beliau adalah Syaikh Darwisy Ismail. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang hadis dan ilmu kalam. Beliau juga sangat mencintai kitab Muwaththa` karangan Imam Malik, bahkan kitab ini menjadi kitab wirid beliau yang sering dibaca dan diulang.
Di helaian awal kitab tafsir tersebut, Syaikh Hamaami Zaadah menukilkan satu "riwayat" tentang kelebihan membaca surah Yaasin untuk orang yang sedang nazak. Syaikh Hamaami Zaadah menukilkan sebagai berikut:- Mana - mana orang Islam, baik lelaki maupun perempuan, jika dibacakan surah Yaasin ketika keduanya menghadapi sakaratul maut, maka akan turun sepuluh (10) malaikat untuk setiap huruf (surah tersebut). Para malaikat tersebut berbaris di hadapan keduanya sambil memohon keampunan. Mereka menyaksikan jenazah mereka ketika dimandi dan kemudian mengiringnya hingga ke kubur."
Begitulah sekelumit "riwayat" tentang kelebihan surah Yaasin yang tercatat dalam karangan ulama kita. Dinukilkan untuk menambahkan lagi semangat kita untuk beriman dan beramal dengan ayat - ayat al-Quran yang mulia. Akhirul kalam, mari sama - sama mendengar perkataan Syaikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'raawi rahimahullah, seorang ulama ahli tafsir kontemporer yang tiada dapat disangkal kealimannya, mengenai surah Yaasin dengan "riwayat" yang hampir sama. Semoga bermanfaat dan banyakkanlah membaca surah Yaasin kerana padanya terdapat khasiat dan keistimewaan yang banyak.
Syaikh Muhammad Mutawalli rahimahullah
Isnin, Januari 31, 2022
Gila Tiada Ubat - Tok Kenali
Terjumpa klip Ustaz Azhar, sebelum hilang elok simpan kat sini. Ustaz Azhar nukil kalam almarhum Tok Kenali yang memuji ketinggian ilmu guru beliau, Tok Syaikh Wan Ahmad Fathani rahimahullah. Dinukilkan bahawa Tok Kenali berkata: "Zaman aku ni, siapa yang mengaku ilmunya setaraf dengan Syaikh Ahmad Fathani, orang itu sudah gila tidak boleh berubat lagi."
Allahu...Allah, mudah - mudahan kita semua diselamatkan dari segala jenis gila, yang kata orang tua - tua dahulu: "Ada 40 perkara gila" berdasarkan kalam hukama': "junun funun" (gila itu macam - macam).
Isnin, Disember 27, 2021
Hadiah Bacaan - TG Nik Aziz
Kita diajar untuk sentiasa ingatkan arwah saudara - saudara seagama yang telah meninggalkan dunia yang fana ini. Mereka - mereka yang sudah putus amal diri mereka, melainkan beberapa perkara. Selain daripada mendoakan mereka, maka dianjurkan juga oleh jumhur ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah agar kita bersedekah buat mereka, samada dengan material atau dengan membacakan ayat - ayat suci al-Quran, zikir dan shalawat. Tradisi menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada arwah orang - orang mati daripada kalangan muslimin muslimat telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam di dunia ini. Bukan sahaja alam Melayu, tapi seluruh pelusuk dunia Islam. Tradisi tahlilan bukan sahaja diamalkan di rantau kita sahaja, bahkan di negara - negara lain juga, hatta di Algeria, Tunisia, Maghribi (Morocco) dan sekitarnya yang tidak pernah bersentuhan dengan budaya Hindu pun melakukannya dengan gaya dan kaedah mereka sendiri namun isinya sama, iaitu menghadiahkan pahala bacaan Quran, shalawat, zikir, bersedekah dan mendoakan si mati. Jadi puak yang mentohmah bahawa tahlilan itu berasal dari budaya Hindu atau cuba menyamakan kenduri tahlil kita dengan tradisi Hindu, adalah keliru, tersasar dan menyimpang jauh dari kebenaran.
Mari kita sama - sama dengar sedikit cuplikan daripada pengajian almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berdasarkan kepada beberapa "hadis" yang dinukil dalam at-Tadzkirah fi Ahwalil Mawta wa Umuril Akhirah @ Tadzkirah al-Qurthubi. Perlu diingat bahawa walau apa pun pertikaian ulama mengenai status hadis - hadis ini, ia tidak memberi kesan atas hukum boleh dan harus bahkan mustahab untuk membacakan ayat - ayat suci al-Quran serta zikir - zikir lalu dihadiahkan pahalanya kepada orang mukmin yang telah meninggal dunia. Ini adalah kerana keharusan tersebut adalah berdasarkan kepada nas - nas lain yang muktabar.
Maka janganlah cepat melatah jika dua hadis yang terkandung dalam kitab tersebut atau kitab - kitab lainnya dianggap dhaif atau bermasalah bahkan dikatakan sebagai mawdhu oleh sesetengah ulama. Tenang - tenang aja dan bacalah al-Fatihah untuk segala arwah kaum muslimin. Dua hadis yang faqir maksudkan adalah sebagai berikut:-
- Diriwayatkan oleh as-Silafy daripada hadis Sayyidina `Ali bin Abi Thalib radhiyaAllahu `anhu berkata: Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang melalui kawasan perkuburan dan membaca Surah al-Ikhlash 11 kali lalu dihadiahkan pahalanya kepada segala arwah orang mati, dia akan diberi ganjaran pahala menurut bilangan orang - orang yang telah mati".
- Dikatakan sebagai diriwayat daripada hadis Anas, khadam Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, yang berkata: Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Apabila seorang mukmin membaca Ayatul Kursi dan menjadikan pahalanya untuk ahli kubur, maka Allah akan memasukkan ke dalam setiap kubur orang mukmin dari Timur ke Barat 40 nur serta dilapangkanNya akan kubur - kubur mereka. Diberikan Allah kepada si pembaca tadi (seumpama) pahala 60 nabi, diangkatkan darjatnya menurut bilangan orang - orang mati tersebut dan diberikan baginya untuk setiap orang mati tersebut 10 pahala kebajikan.
Mengenai ganjaran - ganjaran tersebut, maka terpulanglah kepada kemurahan Allah ta`ala semata. Jika dikatakan seumpama diberi pahala 60 nabi, maka jangan jump to conclusion yang kita mendapat seratus persen pahala segala amalan dan perjuangan serta dakwahnya para nabi tersebut. Jangan pula hendak disamakan diri kita dengan para nabi yang mulia lagi maksum. Pahala Nabi tersebut tidak diperincikan dalam riwayat tersebut, mungkin pahala yang dimaksudkan adalah pahala tidurnya para nabi atau pahala debu yang melekat di pakaian mereka ketika berjalan, umpama. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Apa - apa pun, jika benarlah riwayat tersebut, maka mutlak atas Allah memberikan apa jua ganjaran menurut kehendakNya. Maka teruskanlah berbuat ihsan kepada segala arwah saudara - saudara kita dengan banyak berdoa dan bersedekah untuk mereka. Akhir kata faqir sudahi dengan pesanan Tuan Guru Nik Aziz rahimahullah sebagai bukti beliau tidak anti itsal ats-tsawab atau hadiah pahala kepada si mati. Antara pesan beliau:...."Baca QulhuwaAllah ka sepatah, Ayat Kursi ka sepatah, Hei Tuhanku hadiah pahala ini pada orang kubur....." Harap dengar elok - elok pengajian Tuan Guru, mudah - mudahan bermanfaat.
Klip Ceramah TG Nik Abdul Aziz
(Hadiah Bacaan Kepada Arwah)
Jumaat, Oktober 01, 2021
Shalawat Karamil Ushul
Syaikh Yusuf an-Nabhani rahimahullah ada menukilkan sebuah lafaz atau shighah shalawat yang dinamakan sebagai Shalawat Karamil Ushul yang ertinya "Shalawat ke atas Junjungan Nabi yang memiliki leluhur yang mulia". Shalawat ini beliau catat dalam kitab yang masyhur menghimpunkan berbagai rupa bentuk shighah shalawat, yang dinamakan Sa`aadatud Daarain, pada Shalawat ke-99 himpunan Imam ad-Dardir. Sungguh para leluhur Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam semuanya manusia - manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah subhanahu wa ta`ala. Inilah pegangan yang faqir ambil bersesuaian dengan pandangan kebanyakan mufassir dan ulama yang menjadi panutan umat. Susur galur baginda yang mulia sejak Nabi Adam dan Siti Hawa `alaihimas salam sehinggalah kepada Sayyidina `Abdullah dan Siti Aminah radhiyaAllahu `anhuma semuanya manusia - manusia yang suci daripada mensyirikkan Allah. Di antara leluhur baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, ada yang bertaraf nabi lagi rasul, manakala yang lainnya mukmin yang bertakwa atau setidak - tidaknya ahlul fatrah yang beroleh keselamatan. Termasuklah ayah kandung Nabi Ibrahim, manakala Azar yang dinyatakan sebagai kafir dalam al-Quran hanyalah ayah saudara (paman) Nabi Ibrahim `alaihis salam. Tidak dinafikan ada yang berpendapat sebaliknya, namun itu bukanlah pendapat yang faqir ikuti, demi memuliakan nasab keturunan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hal ini telah dibincang dan dibahas panjang lebar oleh para ulama, maka terpulanglah kepada masing - masing mengikut keyakinannya.
Berbalik kepada Shalawat Karamil Ushul, dinyatakan dalam kitab tersebut bahawa shalawat ini memiliki keutamaan dan kelebihan yang sangat besar. Sesiapa yang banyak membacanya akan memperolehi kasih - sayang, kecintaan dan mahabbah daripada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dikatakan oleh sesetengah masyaikh, shalawat ini juga menjadi wasilah untuk mempermudahkan rezeki hissi dan maknawi, jika istiqamah diamalkan setiap hari sekurang - kurangnya 10 kali. Mudah - mudahan dapat bertambah lagi amalan kita.
Shalawat Karamil Ushul
Khamis, September 16, 2021
Anjuran KH Zainuddin
Tradisi yasinan, tahlilan, lalu dilanjut dengan memberi makan kepada hadirin adalah amalan yang sudah sebati dengan masyarakat kita. Bahkan ianya juga diamalkan dalam masyarakat Islam di berbagai pelosok dunia. Perbezaannya mungkin dari sudut cara dan kaedahnya sahaja, namun substansinya sama iaitu bersedekah dan mendoakan orang - orang yang telah kembali ke rahmatullah. Ingatkan mereka - mereka yang telah pergi mendahului kita serta mendoakan mereka adalah perbuatan baik lagi dianjurkan oleh agama. Itu termasuk dalam anjuran berbuat ihsan dan sesiapa yang berbuat ihsan kepada penghuni bumi, dia akan mendapat ihsannya penghuni langit. Mudah - mudahan nanti setelah kita pula yang berpulang akan ada orang yang sudi mendoakan kita dan beramal shalih bagi pihak kita, samada amal shalih itu berupa doa atau hadiah atau sedekah atau seumpamanya. Jom dengar klip pesanan Mawlana Syaikh KH Zainuddin Abdul Majid rahimahullah, ulama besar Lombok.
"...Barang siapa membantu orang mati dengan bacaan - bacaan Quran, ayat dan sebagainya atau pun dengan doa - doa, orang itu akan menerima syurga....." - KH Zainuddin Abdul Majid
Ahad, Julai 18, 2021
Coretan Hari Tarwiyyah
Telah masyhur bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam sabdaan baginda telah mengkhabarkan bahawa berpuasa pada Hari `Arafah menjadi kaffarah bagi dosa dua tahun, iaitu tahun di mana puasa Hari `Arafah tersebut dilakukan (yakni sehingga akhir bulan DzulHijjah tahun tersebut) dan setahun selepas puasa Hari `Arafah tersebut (yakni tahun baharu dihadapannya yang bermula dengan bulan Muharram). Maka di antara ulama, ada yang berkesimpulan bahawa antara kelebihan puasa pada Hari `Arafah adalah orang yang berpuasa padanya akan dipanjangkan umur setahun lagi. Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah dalam I`anatuth Thaalibin pada halaman 300 jilid 2, menulis, antara lain, sebagai berikut (dengan terjemahan bebas):- .. Pada kelebihannya sebagai kaffarah tahun ini mengisyaratkan bahawa dia tidak akan mati padanya. Ini merupakan berita gembira baginya (yakni khabar gembira bagi orang yang berpuasa `Arafah bahawa dia masih ada harapan untuk dipanjangkan umurnya). Telah menukil hal ini, Imam al-Mudaabaghi (yakni Imam al-'Allaamah Hasan bin `Ali bin Ahmad al-Mudaabaghi yang wafat tahun 1170H) melalui riwayat daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu `anhuma, yang ibaratnya seperti berikut: (Faedah) telah berkata Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma: "Ini adalah berita gembira bahawa orang yang telah berpuasa padanya akan hidup pada tahun hadapan. Ketika mana baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menggembirakan orang yang berpuasa tersebut bahawa ia menjadi kaffarahnya (yakni kaffarah bagi tahun - tahun yang dinyatakan tadi), maka ini menunjukkan atas (kekal) hayat orang yang berpuasa tersebut di dalamnya (yakni di dalam tahun - tahun tersebut)".......
Allahu .... Allah, hanya Allah yang mengetahui hakikat sebenarnya dan al-Haq ta`ala jualah berbuat sekehendakNya. Panjang pendek umur boleh dilihat dari berbagai sudut, Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu, umur dunianya hanya 54 tahun sahaja, namun keberkatan umur beliau berkekalan sehingga ke hari ini walaupun sudah menjangkau lebih 1000 tahun. Apa yang penting kita mengikhlaskan amalan kita hanya untuk mencari keredhaan Allah subhanahu wa ta`ala dan jika suka dan mohon umur yang panjang, pastikan tujuannya untuk memperbanyakkan pengabdian kepadaNya.
Faqir akhiri coretan ini dengan berkongsi satu faedah daripada seorang ulama besar, al-Habr al-Imam Habib `Abdullah bin 'Abdul Qadir bin Ahmad BilFaqih rahimahumullah, berupa satu doa untuk dibaca selepas Asar pada Hari `Arafah sebanyak 100 kali, dengan harapan Allah menjadikan kita atau memberi saham kepada kita agar tergolong dalam kalangan mereka - mereka yang berwukuf dengan penuh kerendahan diri di padang Arafah. Transliterasi doa tersebut adalah sebagai berikut:- "Allahummaj-`alnaa minal waaqifiina wal mutadharri-`iina fii `Arafaat, innaKa `alaa kulli syai-in Qadiir, (Ya Allah, jadikanlah kami termasuk dalam kalangan mereka -mereka yang berwukuf dan merendah diri di `Arafah. Sesungguhnya Engkau atas segala sesuatu Maha Berkuasa)." Mudah - mudahan dikabulkannya permohonan tersebut, lalu dianugerahkan kita seumpama anugerahNya kepada para hujjaj yang berwukuf dan/atau disampaikanNya kita satu hari nanti menjadi antara hujjaj yang sempat berwukuf di sana. Apa - apa pun terserahlah kepadaNya dan hanya Dialah yang Maha Berkuasa mengabulkan segala permohonan dan harapan. Mudah- mudahan segala amalan dan doa harapan kita diterima Allah ta`ala dengan sempurna penerimaan....Allahumma aamiin.
Perkongsian Habib Ahmad bin Utsman al-`Aydrus
Ahad, Julai 04, 2021
Nabi Lawlaak - TG Nik Aziz
Sebagai tambahan kepada entri yang pernah faqir poskan terdahulu dengan jodol "Nabi Lawlaak", sekitar tahun 2009, maka di sini faqir kongsikan cuplikan rakaman audio ceramah almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk kita sama - sama nikmati dan hayati. Tidak perlulah kita nak memperpanjangkan perbalahan status ungkapan "hadis" Lawlaaka lawlaaka tersebut, apakah sahih atau maudhu atau dhaif, kerana ianya telah pun dibahaskan oleh para ulama terdahulu. Jika pun, jumhur ulama ahli hadis menghukumkan ungkapan tersebut bukanlah satu hadis yang sabit menurut disiplin mereka, namun tetap ada yang menghukumkan bahawa maknanya adalah sahih menurut pemahaman dan tafsiran yang sebenarnya. Oleh itu, tok sah balah lah, jom kita dengar cuplikan pendek mukadimah ceramah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz rahimahullah pada Disember 1984 bertempat di Surau al-Hidayah, Kuala Lumpur, mudah - mudahan bermanfaat dan semoga Allah jalla wa `azza merahmati almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sentiasa.
Tuan Guru Nik Aziz (1984)
Isnin, Ogos 24, 2020
Jumaat, April 17, 2020
Li Khamsatun - Habib BilFaqih
Ini pula ijazah dua amalan untuk mencegah wabak penyakit. Amalan ini disampaikan oleh Habib Abdur Rohman bin Abdullah bin Abdul Qadir BilFaqih hafizahullah. Beliau adalah anakanda almarhum Habib Abdullah BilFaqih justru menjadikan beliau cucu kepada almarhum Habib Abdul Qadir BilFaqih yang kedua mereka terkenal dengan keilmuan, terutama dalam bidang hadis dan juga kewalian. Menurut Habib Abdur Rohman, inilah amalan yang disuruh oleh Habib Abdul Qadir untuk diamalkan ketika berlaku penularan wabak. Amalan pertama berupa bait Li Khamsatun dan amalan kedua adalah qashidah Li `Asyratun yang merupakan karangan Habib Ahmad bin Muhammad bin Alawi al-Muhdhar rahimahullah. Jangan khuatir, mereka - mereka ini semuanya Ahli Sunnah wal Jama`ah tanpa sebarang keraguan.
Rabu, Mac 19, 2014
Ceramah Habib Salim
Habib Salim bin Ahmad bin Husain bin Sholeh bin Abdullah bin 'Umar bin 'Abdullah BinJindan bin Syaikhan bin Syaikh Abu Bakar bin Salim, ulama dan waliyullah kelahiran Surabaya pada tanggal 18 Rajab 1324. Terkenal sebagai seorang ulama yang ahli hadits yang menghafal puluhan ribu hadits. Beliau juga dikenali sebagai ulama yang tegas lagi berani dalam menjalankan tugas-tugas dakwah menyeru kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran.Kawey bubuh di bawah ini, cuplikan ceramah al-Habib Salim Bin Jindan rahimahUllah di majlis haul al-Habib Husain al-Haddad suatu ketika dahulu, yang antara lain, menyentuh pesanan agar para saadah yang mulia jangan hanya mengandalkan nasab keturunan. Juga dijelaskan tujuan mengadakan haul dan kenapa hanya diadakan haulnya ulama dan bukannya haul Junjungan Nabi SAW atau haulnya Sayyidina `Ali RA. Moga-moga telinga kita mendapat tuah dengan mendengar suara dan pesanan ulama besar ini, walaupun hanya seketika.
***************************************************
Ceramah Habib Salim BinJindan
Sabtu, Februari 12, 2011
Ceramah Habib Taufiq
Perbuatan memuji - muji Junjungan Rasulullah SAW dalam syair dan qasidah adalah satu amalan yang elok dan baik. Perbuatan sedemikian telah diamalkan oleh generasi awal umat Islam lagi. Berapa banyak syair-syair pujian memuji Junjungan Rasulullah SAW telah dikarang dan dilantunkan oleh para sahabat sejak hayat baginda lagi. Di antara para penyair daripada kalangan sahabat, kita kenal nama-nama besar seperti Sayyidina Hasan bin Tsabit, Sayyidina Ka`ab bin Zuhair, Sayyidina 'Abbas radhiyaAllahu 'anhum, dan ramai lagi. Sayyidina Hasan bin Tsabit RA pernah melantunkan pujian, antaranya menyebut:-و أَحسنُ منكَ لم ترَ قطُّ عيني
وَ أجْمَلُ مِنْكَ لَمْ تَلِدِ النّسَاءُ
خلقتَ مبرءاً منْ كلّ عيبٍ
كأنكَ قدْ خلقتَ كما تشاءُ
وَ أجْمَلُ مِنْكَ لَمْ تَلِدِ النّسَاءُ
خلقتَ مبرءاً منْ كلّ عيبٍ
كأنكَ قدْ خلقتَ كما تشاءُ
Yang lebih bagus daripadamu belum pernah kusaksikan
Yang lebih indah daripadamu belum pernah wanita melahirkan
Engkau dicipta bebas dari segala keaiban
Seolah-olah menurut kemahuanmulah engkau diciptakan
Ceramah Habib Taufiq hafizahUllah
Yang lebih indah daripadamu belum pernah wanita melahirkan
Engkau dicipta bebas dari segala keaiban
Seolah-olah menurut kemahuanmulah engkau diciptakan
Oleh itu, janganlah murka apabila kita mendengar para pencinta melantunkan puji-pujian bagi Junjungan Nabi SAW. Apatah lagi jika hendak menuduh kaum muslimin yang beriman sebagai musyrik kerana kononnya telah menuhankan Junjungan Nabi SAW. Kalau tak faham bahasa para pencinta, maka jangan mudah-mudah membuat tuduhan.
*******************************Ceramah Habib Taufiq hafizahUllah
Jumaat, Mac 05, 2010
Jom Tambah Ilmu
Sayyidina Anas bin Malik RA menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, maka adalah dia keluar pada jalan Allah (fi sabilillah) sehinggalah dia pulang." Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk keluar ke jalan Allah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu. Di sini ese iklankan program ceramah Ustaz Muhadir bin Haji Joll hafizahUllah, anak jati negeri Sarawak yang bertugas sebagai pensyarah di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa dan sedang menyiapkan thesis Phd dalam bidang tafsir.Kuliah Maghrib
******************
******************
Hari Sabtu (6 Mac 2010)
Masa : lepas Maghrib
Tempat: Masjid Darul Hana, Kpg. No. 6
Kuliah Subuh
***************
Hari Ahad (7 Mac 2010)
Masa : lepas Subuh
Tempat: Masjid at-Taqwa, Kpg. Pinang Jawa (Kpg. Gita).
Masa : lepas Maghrib
Tempat: Masjid Darul Hana, Kpg. No. 6
Kuliah Subuh
***************
Hari Ahad (7 Mac 2010)
Masa : lepas Subuh
Tempat: Masjid at-Taqwa, Kpg. Pinang Jawa (Kpg. Gita).
Ju datang rami - rami, jangan merik malu kompeni.
Khamis, November 12, 2009
Mulut Lancang
Puak Kaum Muda mintak agar jangan membuat tuduhan Wahabi terhadap mereka, sebab katanya kalau mereka tak qunut, pengikut Hanafi pun tak qunut, jadi adakah pengikut Hanafi itu Wahabi? Maka poninglah kepala orang awam kita, sambil bermain di kepala mereka: Ya tak ya jugak. Sebenarnya, Hanafi betullah tak qunut dalam sembahyang Subuh, tapi tak pula terdengar pengikut Hanafi kat Mesia ni yang mencerca amalan pengikut Syafi`i yang berqunut dalam sholat Subuh. Tapi Wahabi pesen deme ni lain, deme bukan sahaja tak beramal dengan amalan yang biasa diamalkan oleh pengikut mazhab Syafi`i di Malaysia, tetapi lidah mereka lancang dan celupar untuk mencerca amalan yang biasa diamalkan oleh ulama kita sebagai bid`ah, syirik, khurafat dan sebagainya. Di sinilah letak perbezaan mereka dengan pengikut mazhab Sunni yang lain. Oleh itu mengqiyaskan mereka dengan pengikut mazhab Sunni yang lain adalah qiyas ma`al fariq yang tertolak.Kalau pun nak ikut fatwa mazhab Maliki ke atau Hanbali ke atau Hanafi ke atau ikut kepala otak mujtahid mereka yang ada pada zaman ni, itu hak deme lah, tapi apa hak nak mencerca amalan kami yang ikut ulama Syafi`iyyah. Lepas itu deme buat pula tuduhan yang kita tak ikut Imam Syafi`i RA, mazhab kita ini bukan mazhab Syafi`i yang tulin. Deme yang sebenarnya ikut Imam Syafi`i. Allahu ... Allah, sungguh mereka ini tidak tahu konsep dan kaedah bermazhab, jadi cam mana nak komen orang bermazhab. Maka mengambillah mereka akan perkataan Imam Mazhab tanpa melihat kepada penjelasan para ulama yang datang kemudian. Fikirkanlah, apakah para ulama Syafi`iyyah tidak mengetahui akan nashnya Imam Syafi`i, sedangkan para ulama kita mempunyai sanad ilmu yang muttasil kepada Imam Mazhab berbanding mereka yang tidak pun mahir dalam usul, qawaid dan fiqh Syafi`i. Kalau setakat itu idak apa lagi, yang buat kita berbulu adalah apabila lidah tak bertulang deme itu mudah je nak mencerca orang lain. Lidah mereka celupar dan lancang menuduh orang lain dengan berbagai tuduhan yang keji. Bukan sahaja orang awam macam kita, tetapi juga para ulama kita yang banyak berjasa.
Lihatlah bagaimana lancangnya mulut Asri dalam menghukum dan membuat fatwa. Sungguh kelancangan mulutnya ini serupa, walaupun mungkin tak sama darjatnya, dengan mulut tokoh pujaannya iaitu Syaikh Ibnu Taimiyyah al-Harrani. Peminat Ibnu Taimiyyah jangan marah pulak kalau ese kata lagu tu, sebab bukan ese yang kata, kome buleh tengok dalam kitab-kitab mengenai Ibnu Taimiyyah, kelancangan mulut Ibnu Taimiyyah telah masyhur di sisi ulama. Jangan pulak kome tuduh ese anti-Ibnu Taimiyyah plak, bagi ese Ibnu Taimiyyah itu salah seorang ulama umat ini, beliau bukan nabi dan tidak maksum. Pendapatnya boleh diterima dan boleh ditolak. Dan perlu diberi perhatian bahawa beliau bukanlah termasuk dalam kalangan ulama mazhab Syafi`i yang dipegang perkataannya. Jadi kalau ese tak ikut fatwa beliau, kome jangan marah, sebab ese bermazhab Syafi`i. Jadi tidaklah boleh berhujjah dengan Ibnu Taimiyyah bagi menentukan kedudukan sesuatu hukum menurut Mazhab Syafi`i. Mazhab Hanbali mungkin boleh, sebab beliau tergolong dalam ulama Hanbali, tapi itu pun masih dipertikaikan kerana ramai fuqaha Hanbali tidak mengambil pendapat Ibnu Taimiyyah sebagai pendapat yang muktamad dalam Mazhab Hanbali. Oleh itu, mengambil pendapat Ibnu Taimiyyah untuk mewakili mazhab Hanbali juga kurang tepat, kalau pun tidak 100% salah.
Berbalik kepada kelancangan Ibnu Taimiyyah, maka Dr. Alias Othman dan isteri beliau Dr. Anisah Abdul Ghani, walaupun banyak menukilkan perkataan Ibnu Taimiyyah dalam karya mereka, menulis pada halaman 230 - 231 buku "Islam Yang Mudah" sebagai berikut:-
Sikap fanatik menentang mazhab dan imam dengan menggunakan kata-kata kesat dan lidah yang lancang juga perbuatan yang dicela. Ia sama seperti fanatik kepada mazhab dan imam. Lancang lidah adalah fenomena baru yang tidak terdapat pada masa lampau, kecuali sikap lancang lidah Ibn Hazmin dan Ibn Taimiyah yang menjadi kritikan para ulama. Sikap Ibnu Taimiyah pula pada pandangan orang lain memang diketahui semua. Ia bukan suatu yang tersembunyi, dapat dilihat dalam tulisannya.
Ese dulu pun pernah duduk mendengar syarahan Prof. Dr. Alaeddin Kharofa hafizahUllah, dahulunya pensyarah Undang-Undang Syariah, Universiti Islam Antarabangsa, yang turut memperkatakan sikap lancang Ibnu Taimiyah apabila berhujjah. Maka tidak hairan pengkagum Ibnu Taimiyyah, sedikit sebanyak terikut-ikut dengan kelancangan Ibnu Taimiyyah, sehingga sanggup mencerca dan memperlekehkan orang lain bahkan mengeluarkan fatwa-fatwa yang dahsyat, antaranya menghukum Sholawat Syifa` sebagai sesuatu yang bercanggah dengan aqidah Islam. Allahu ... Allah, hukuman yang amat berat, sepatutnya dia kena guna kepala otak sikit untuk berfikir, jikalah benar dakwaannya sholawat Syifa` itu bercanggah dengan `aqidah, kenapa ramai ulama yang terbilang dahulu dan sekarang, di serata pelusuk dunia Islam, bukan sahaja Dr. Harun Din hafizahUllah, mengamalkannya bahkan menganjurkan amalannya. Sholawat Syifa` itu bukan sahaja disebut oleh ulama kita, tetapi telah disyarahkan pula oleh ulama-ulama Timur Tengah antaranya oleh Imam Ahmad ash-Showi al-Maliki rahimahUllah, ulama besar ahli tafsir dalam karya beliau. Wahai orang yang punya kepala otak, gunakanlah kepala otak tu untuk berfikir sejenak, tergamakkah untuk menghukum Syaikh Wan Ahmad al-Fathani sebagai orang yang rosak `aqidah, Dr. Harun Din sebagai orang yang rosak `aqidah dan ramai lagi ulama dan awliya` serta sholihin sebagai mereka-mereka yang rosak aqidah sebab mereka mengamalkan Sholawat Syifa`, kalau sanggup, maka ketahuilah kamu telah dijangkit virus Wahabi, kerana antara simptomnya adalah suka menyalahkan orang lain yang tidak sependapat. Segeralah anda ke mana-mana pusat pengajian dan rawatan Islam Ahlus Sunnah Wal Jama`ah termasuklah ke Darul Shifa` untuk berubat..... Maaf Cakap.Amboi Sodapnya Mengata
Jumaat, Julai 17, 2009
Khatam Bukhari 1427H
Dalam bulan Rajab ini, di sesetengah tempat telah menjadi amalan dikhatamkan kitab hadits himpunan Imam al-Bukhari, atau setidak-tidaknya karya Imam az-Zubaidi yang merupakan mukhtashar bagi Shohih al-Bukhari dengan nama "Tajridush Shorih". Sidi Abu Zahrah telah menulis sedikit berhubung tradisi Khatam Bukhari yang diamalkan oleh para habaib kita dalam blognya al-fanshuri.blogspot .com dan boleh juga rujuk tulisan ambo terdahulu berhubung Tradisi Khatam Bukhari. Di sini ambo letakkan video Khatam Bukhari yang diadakan di Masjid ar-Riyadh, Solo, pada 27 Rajab 1427 bersamaan 21 Ogos 2006. Istimewanya khatam ini adalah ianya merupakan khatam yang terakhir bagi almaghfurlah Habib Anis al-Habsyi rahimahUllah. Moga dapat dihayati, teristimewanya pada wasiatnya al-Habib Ali al-Habsyi r.a. yang akan dibacakan oleh Habib Anis serta diterjemahkan sedikit oleh Ustaz Najib as-Segaf hafizahUllah - "..... Bukanlah `Alawi, seorang yang tidak mengikut jalannya `Alawiyyin; Bukanlah `Alawi, seorang yang tidak beramal dengan amalan `Alawiyyin; Bukanlah `Alawi, seorang yang tidak menjalani thoriqahnya para `Alawiyyin; Bukanlah `Alawi, seorang yang tidak berakhlak dengan akhlaknya para 'Alawiyyin; Bukanlah `Alawi, seorang yang tidak beradab dengan adabnya para `Alawiyyin ....." Mari hadiahkan bacaan al-Fatihah buat Junjungan Nabi SAW serta anak cucu baginda teristimewa sekali para saadah Bani `Alawi yang mulia, juga bagi Habibna Anis al-Habsyi.*********************************************************
Khatam Bukhari terakhir bersama Habib Anis
Khatam Bukhari terakhir bersama Habib Anis
Selasa, Julai 14, 2009
Diliputi Nur `Arasy
Tatkala Junjungan Nabi SAW dimi'rajkan ke Mustawa lalu baginda mendengar goresan - goresan kalam, maka di situ baginda telah melihat seseorang lelaki yang diliputi oleh nur 'arasy. Junjungan SAW merasa takjub kerana lelaki tersebut yang bukannya malaikat dan bukan juga seorang nabi, berada di Mustawa sedangkan malaikat agung Jibril AS tertahan di Sidratul Muntaha kerana tidak boleh melewati sempadan alam malakut. Maka Junjungan Nabi SAW telah dimaklumkan bahawa itulah perumpamaan ketinggian maqam dan kedudukan umat baginda yang sewaktu hayatnya di dunia mempunyai 3 sifat/amalan yang utama iaitu:- (i) lidahnya sentiasa basah dengan dzikrullah; (ii) hatinya sentiasa terpaut dengan masjid; dan (iii) dia tidak pernah sekali-kali melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menyakiti kedua ibubapanya (yakni menyebabkan ibubapanya dicacimaki).Allahu .. Allah, sungguh istimewa maqam dan kedudukan umat baginda ini. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kita lidah yang sentiasa basah dengan dzikrUllah, dengan sholawat, dengan al-Quran, dengan ilmu dan hikmah. Moga hati kita menjadi hati yang sentiasa terpaut dengan masjid, sehingga di mana pun kita berada, baik di rumah, baik di pejabat, maka suasana masjid, suasana ibadah, wujud di tempat tersebut. Bukan sebaliknya, iaitu masjid jadi macam rumah atau masjid jadi macam pasar. Semoga kita dijadikan Allah sebagai anak yang sholeh yang sentiasa berbakti dan menjaga nama baik ibubapa kita.
Maka sungguh telah masyhur kisah ini diriwayatkan dalam karya-karya isra` dan mi'raj Junjungan Nabi SAW seperti "al-Ibtihaj fil kalam `alal Isra` wal mi'raj" karya al-Muhaddits al-`Allaamah Najmuddin Abul Mawahib Muhammad bin Ahmad bin `Ali bin Abu Bakar al-Ghaythi as-Sekandari al-Masri asy-Syafi`i rahimahUllah dan juga dalam "al-Anwaar al-Bahiyyah min Isra` wa Mi'raji Khairil Bariyyah" karya Prof. Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi bin `Abbas al-Maliki al-Hasani rahimahUllah.Sekarang kita dengar sedikit ceramah Habib Taufiq as-Segaf mengenai Isra` dan Mi'rajnya Junjungan Nabi SAW. Moga ada manfaatnya. Perjalanan yang paling menakjubkan yang ditempoh Junjungan Nabi SAW dalam waktu yang amat singkat.
**********************************
Ceramah Habib Taufiq - Isra` wa Mi'raj

Ceramah Habib Taufiq - Isra` wa Mi'raj

Jumaat, Jun 19, 2009
Keluarga Sakinah - Hb `Ali al-Jufri
Keluarga sakinah, yang tenang, yang aman, yang damai, yang harmoni, menjadi idaman setiap insan tatkala memasuki gerbang perkahwinan. Semua berharap biarlah panas hingga ke petang, tetapi kekadang turun pulak hujan di tengahari. Kedua-dua pihak dalam perkahwinan seharusnya memainkan peranan agar bahtera bersama dapat terus melayari laut kehidupan dengan selamat. Kata orang tua-tua, antara petua untuk kerukunan rumahtangga ialah jika seorang jadi api biar yang seorang jadi airnya, kalau dua-dua apa alamat terbakarlah bahtera tersebut. Apa-apa pun, mari dengar ceramah Habib `Ali Zainal 'Abidin bin Abdul Rahman al-Jufri, antara lain berhubung kepentingan niat dalam membina keluarga sakinah serta adab-adab ketika membina keluarga. Semoga keluarga kita menjadi keluarga yang sakinah, keluarga yang melahirkan generasi-generasi penerus agama dan syariat Junjungan Nabi SAW yang bakal menjadi kebanggaan Baginda Nabi SAW pada hari kiamat nanti sebagaimana sabdaan baginda yang mulia:-تزوجوا الولود الودود فإني مكاثر بكم الأمم يوم القيامة
Kahwinilah wanita yang subur lagi penyayang, bahawasanya aku berbangga dengan banyaknya bilangan kamu di antara sekalian umat lain nanti pada hari kiamat.
**********************************************
Langgan:
Catatan (Atom)


















