Ahad, Mac 28, 2021

Bacaan Doa Nishfu


 

Khamis, Mac 25, 2021

Shalawat as-Sa`aadah

Imam al-Jazuli rahimahullah dalam Hizib ke-3 himpunan shalawat "Dalailul Khairat" yang masyhur, memuatkan satu shighah shalawat disebut sebagai Shalawat as-Sa`aadah. Shalawat ini telah tersebar luas dalam kalangan umat Islam. Sebahagian ulama menyebut bahawa kelebihan shalawat ini menyamai 600,000 kali shalawat, manakala yang lain pula menyatakan bahawa ia menyamai 100,000 shalawat. Allah sahajalah yang Maha Mengetahuinya, harus sebagaimana dinyatakan tersebut, bahkan harus jika lebih daripada apa yang dinyatakan, bahkan harus juga tiada berkesudahan ganjarannya. Anggap sahajalah bahawa segala khabar mengenai kelebihan dan gandaan ganjaran tersebut hanyalah sebagai suatu motivasi untuk tambah semangat bershalawat sahaja. Ingat dan jangan sesekali lupa, bahawa yang jadi tuntutan hanyalah reda Allah subhanahu wa ta`ala.

Selanjutnya, Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah juga memuatkan shighah shalawat ini dalam karya beliau yang masyhur berjodol "Afdhalush Shalawaat". Pada lafaz shalawat yang ke-52, beliau menukil akan perkataan Imam ash-Shawi rahimahulah sebagai berikut: "Bahawasanya shalawat ini ketimbang dengan 600,000 shalawat. Dikatakan bahawa shalawat ini adalah sarana untuk meraih kebahagiaan dunia dan akhirat sehingga ia dinamakan sebagai Shalaatus Sa`aadah (yakni Shalawat Kebahagiaan). Telah berkata al-Ustaz as-Sayyid Ahmad Dahlan dalam majmu`ahnya: Shalawat ini adalah di antara shighah shalawat yang mempunyai keutamaan dan kesempurnaan sebagaimana dinyatakan oleh sebilangan orang arifin bahawa ianya diganjari dengan 600,000 shalawat dan sesiapa yang dawam membacanya pada setiap hari Jumaat 1000 kali nescaya dia akan tergolong dalam kalangan orang yang berbahagia di dunia dan akhirat."

Dalam Thariqat `Arusiyyah Qadiriyyah, satu thariqat yang banyak pengikutnya dan berpengaruh di India Selatan, shalawat ini menjadi antara wirid mereka yang terpenting. Syaikh Dr. Thaika Shu'aib 'Alim hafizahullah, yang memimpin thariqat ini sekarang, telah memuatkan shalawat ini dalam himpunan zikir dan doa beliau yang berjodol al-Munjiyath dengan dinamakan sebagai Salawaatu `Aayisha radhiyaAllahu `anha. Mengikut tradisi thariqat tersebut, shalawat ini, dengan sedikit tambahan pada shighahnya, dinisbahkan kepada Ummul Mukminin Sayyidatina 'Aisyah radhiyaAllahu `anha sehingga dinamakan sebagai Shalawat 'Aisyah. Sejauh mana kebenaran dakwaan ini, faqir tidak tahu dan kurang periksa. Setakat carian faqir, Imamul `Arus Sayyid Muhammad bin Ahmad Lebbai @ Mappilai Lebbai 'Alim rahimahullah, pengasas Thariqat `Arusiyyah Qadiriyyah tersebut, menyatakan bahawa guru beliau, Syaikh Thaika `Abdul Qadir al-Kirkari `alaihi rahmatul Bari, telah berpesan kepada beliau untuk mengamalkan shalawat ini dan beliau juga telah memuatkan kisah Shalawat Aisyah dalam karya beliau Fat-hud Dayyan. Merujuk kepada Fat-hud Dayyan Fi Fiqhi Khairil Adyan versi terjemahan Inggeris pada halaman 208 dinyatakan sebagai berikut:- I give below the salawat my Shaikh, may Allah have mercy on him, advised me to recite. This is the same salawat Lady `Ayisha (Radh.) recited ten-thousand times each day. When the Prophet (Sal.) came to know of it, he said to her: "Your reciting this salawat once will bring you the merit of reciting a hundred-thousand salawats. The salawat is Allahumma shalli wa sallim wa baarik `ala Sayyidina Muhammad, wa aalihi wa shahbihi `adada maafi `ilmillahi shalaatan daa-imatan bi dawaami mulkillah.

Faqir belum lagi menjumpai sanad bagi riwayat tersebut dan secara pribadi sukar untuk menerimanya sebagai riwayat yang shahih menurut disiplin ulama hadits. Maka faqir bertawaquflah di sini dengan bermodalkan husnuz zan kepada para ulama dan awliya` tersebut. Namun, mengenai shighahnya, tidak pula nampak ada pertentangan dengan aqidah dan syariah yang dipegang oleh para ulama kita Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Apatah lagi shighah Shalawat Sa`aadah memang telah masyhur dan termaktub dalam berbagai karya para ulama yang muktabar. Maka, faqir tidak bermasalah untuk membaca dan mengamalkan shalawat ini, sesiapa yang bermasalah dengannya, tak usahlah baca dan tak perlulah mengutuk atau melabel para pembacanya. Ingat antara yang membacanya adalah sufi agung Imam al-Jazuli rahimahullah dan Mufti Mekah, Sidi Ahmad Zaini Dahlan rahimahullah. 

Hizib Ke-3 Dalailul Khairat