Isnin, Mac 30, 2020

Li Khamsatun - Imam Qalyubi

Dua bait syair "Li Khamsatun" sebenarnya telah ratusan tahun beredar dan tertulis dalam kitab dan amalan ulama kita terdahulu. Bukan sahaja di rantau Nusantara, tapi di lain - lain belahan dunia Islam seperti Mesir, Hejaz dan Indo-Pak. Dalam entri ini, faqir menukilkan dua bait syair "Li Khamsatun" dengan sedikit perbezaan lafaz sebagaimana dicatat oleh seorang ulama besar Ahli Sunnah wal Jama`ah yang menjadi pegangan dan panutan pengikut mazhab Syafie. Beliau adalah al-Imam al-'Allaamah Abul `Abbas, Syihabuddin, Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi (w. 1069 / 1070H) yang lebih dikenali dengan panggilan Imam Qalyubi rahimahullah. Beliau adalah antara murid Imam Ramli rahimahullah. Beliau banyak menulis dan di antara karangan beliau yang masyhur adalah Hasyiah al-Qalyubi yang menjadi teks dan rujukan para ulama dan penuntut ilmu sejak sekian lama. Beliau juga mempunyai karya - karya lain yang bernilai dan "Tuhfatur Raghib fi sirati jama`ah min a'yaani ahlil baitil athaa-ib" adalah salah satu karya beliau mengenai kemuliaan ahli bait dan beberapa pemuka mereka ridhwanullah `alaihim ajma`in

Imam Qalyubi rahimahullah pada khatimah (penutup) kitab tersebut mencatat beberapa mada-ih (syair puji-pujian) dan  bait - bait tawassul dengan ahli bait. Pada halaman 52 kitab Tuhfatur Raghib tersebut, beliau menyatakan sebagai berikut:- "(Diceritakan) oleh sekumpulan shalihin bahawa sesiapa yang membaca dua bait syair berikut semasa kesusahan (tertimpa bala bencana) atau pada masa thaun (penularan wabak penyakit), Allah akan melepaskan kesusahannya dan menjaganya daripada thaun (wabak), iaitu: Li khamsatun uthfi bihim * naaral kuruubil haathimah; Al-Musthafa wal Murthada wab-naahuma wa Faathimah(Ada bagiku lima orang untuk dijadikan wasilah memohon kepada Allah dengan keberkatan mereka agar dipadamkan api kesusahan yang membinasakan; iaitu Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, Baginda Imam `Ali, Sayyidina Hasan, Sayyidina Husain dan Sayyidatina Fathimah radhiyaAllahu `anhum)

Sekali lagi ditegaskan bahawa Imam Qalyubi rahimahullah adalah pengikut Ahli Sunnah wal Jama`ah dan bukannya pengikut Syiah yang sesat. Maka, jika pun terdapat syair - syair di kalangan Ahli Sunnah yang ada persamaan dengan syair - syair golongan Syiah, maka hendaknya jangan terus disesatkan. Selagimana bait - bait syair itu tidak melampaui pegangan Ahli Sunnah wal Jama`ah, menurut kacamata para ulamanya, maka tidak menjadi masalah untuk dibaca. Namun, jika ianya keterlaluan dan melampau, maka korang bakar sahajalah. 

Ahad, Mac 29, 2020

Himbauan Ketua Umum NU



KH Said Aqil, Ketum PBNU (ketum tu bukan daun ketum, tapi Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama) buka cerita bahawa beliau telah menerima ijazah doa Li Khamsatun daripada seorang ulama besar iaitu KH Mahrus Ali, Lirboyo, Kediri, rahimahullah

***************************
KH Mahrus Ali, Pengasuh PP Lirboyo






Rabu, Mac 25, 2020

Li Khamsatun - Kiai Mustaqim


Doa ini sering dituduh sebagai amalan Syiah atau berbau Syiah. Sebenarnya tuduhan tersebut datangnya daripada mereka - mereka yang kurang memahami isu Sunni dan Syiah. Lalu mereka membuat kesimpulan cetek, bahawa setiap yang membesarkan Sayyidina Ali, Sayyidah Fatimah dan Imam Hasan dan Imam Husein radhiyaAllahu `anhum, terus dihukumkan sebagai Syiah....Allahu ... Allah.... dangkalnya. Sedangkan pengagungan dan penghormatan terhadap ahli bait Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tidak kurang dalam ajaran Sunni sejati, sehingga ada ulama kita Ahli Sunnah wal Jama`ah membolehkan penggunaan kalimah 'alaihis (`alaihas) salam selepas menyebut atau menulis akan nama - nama ahli kisa` tersebut. Walaupun ianya tidak kerap atau lazim digunakan oleh mereka. Contohnya, Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, jilid 1, halaman 192, menyebut 'Ali `alaihis salam dan dalam jilid 2 halaman 301, menyebut Fathimah `alaihas salam. Adakah Imam al-Bukhari rahimahullah telah menjadi pengikut Syiah?????

Ustaz Ahmad Haris Suhaimi hafizahullah pada notakaki bagi thesis sarjana beliau dengan jodol Tautsiqus Sunnah baina asy-Syi`ah al-Imamiyyah wa Ahl as-Sunnah menyatakan pada halaman 60 bahawa penggunaan kalimah `alaihis (`alaihas) salam buat ahli bait Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah satu perbuatan bid`ah munkarah, ianya adalah masyru` di sisi sebahagian ulama kita dan mereka adakala menggunakannya dalam karya - karya mereka. Maksudnya, sebahagian para ulama kita tidak mempermasalahkan sangat jika `alaihis salam digunakan untuk ahli bait (yakni lebih merujuk kepada para pemuka ahli bait seperti ahli kisa) kerana kemuliaan mereka dan hampirnya kekerabatan mereka dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun ini tidaklah bermakna penggunaan sedemikian menjadi kelaziman mereka dalam setiap karya mereka. Cuma adakalanya mereka menggunakannya dalam sebahagian karya mereka. Lazimnya, mereka, sebagaimana ulama Sunni lainnya, akan menggunakan kalimah taradhdhi - radhiyaAllahu `anhu (`anha / `anhuma / `anhum) - atau karramaAllahu wajhah khusus untuk Sayyidina Ali radhiyaAllahu `anhu. Apa yang faqir ingin jelaskan adalah semata-mata memuliakan ahli kisa` dan ahli bait,  tidak menjadikan seseorang itu Syiah kerana Ahli Sunnah wal Jama`ah pun sangat memuliakan mereka.

Ustaz Haris Suhaimi turut menyebut beberapa ulama yang pernah menggunakan kalimah `alaihis salam atau `alaihas salam dalam karangan mereka setelah menyebut nama ahli kisa`. Di antaranya adalah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Bukhari, Imam ath-Thabari, Imam Hammad, Imam al-Baqilani, Imam Abu Nu`aim, Imam Abu Manshur `Abdul Qadir al-Baghdadi, Imam Muhammad bin Abdul Wahid al-Maqdisi @ Dhiyauddin al-Maqdisi al-Hanbali, Imam Abul Husain al-Malathi asy-Syafie, Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani, Imam asy-Syahrastani dan Imam ath-Thahawi rahimahumullah. Namun penggunaan sedemikian agak janggal di sisi kebanyakan ulama kita, di mana kebanyakkan ulama kita mengkhususkannya untuk para nabi dan malaikat `alaihimus salam sahaja. Namun tidak ada yang menghukumkan semata - mata menggunakan `alaihis salam kepada Sayyidina `Ali menjadikan seseorang itu sebagai Syiah. Sebagai contohnya, Imam an-Nawawi rahimahullah hanya menghukumkan perbuatan tersebut sebagai makruh tanzih sahaja.

Oleh itu, hati - hatilah bila kita hendak menghukum saudara seiman seaqidah sebagai sesat, apatah lagi jika dihukumkan dengan syirik atau kufur. Ketahuilah bahawa sekadar menyebut ahli kisa`, tidak menjadikan seseorang itu Syiah yang sesat. Ulama sepakat bahawa ahli kisa` itu termasuk dalam kalangan orang - orang shalih, bahkan pemukanya para shalihin. Tidakkah telah sampai riwayat kepada kita bahawa di antara sebab bagi turunnya rahmat adalah dengan menyebut - nyebut orang shalih? Samada riwayat itu hadis atau atsar atau kalam tabi`in atau kalam Imam Sufyan ibnu 'Uyainah atau kalam Imam Ibnu Mubarak, maka itu di luar perbahasan kita sekarang. Apa yang penting adalah riwayat tersebut memang ada, bahkan telah masyhur. Maka menyebut nama ahli kisa` ertinya menyebut dan memperingati orang shalih. Maka termasuklah dalam pengertian dzikrush shaalihin yang diharap dengannya akan turun rahmat Allah ta`ala.

Kesimpulannya, doa li khamsatun telah masyhur menjadi amalan ulama kita terdahulu. Namun, setelah ilmu dan sistem perubatan moden berkembang pesat, juga dengan jarangnya berlaku wabak - wabak yang epidemik atau pandemik, maka amalan ini mula luntur dalam masyarakat. Dalam suasana semasa, dengan tercetusnya pandemik covid-19, amalan ini muncul kembali. Jika dahulu ianya hanya menjadi amalan segelintir pengikut thariqat, namun sekarang para ulama dan kiyai menimbulkannya semula ke tengah masyarakat. Bahkan, dikhabarkan bahawa amalan ini pernah diajar dan diijazahkan oleh tokoh besar Hadhratusy Syaikh KH Hasyim Asy`ari, pengasas Nahdlatul Ulama, kepada murid dan santri beliau ketika berlaku wabak. Hal ini, antaranya, sebagaimana penjelasan Kiyai Mustaqim Askan yang menerimanya daripada KH Syansuri Badawi, Tebuireng, yang menerimanya daripada Hadhratusy Syaikh.  Oleh itu, jika kita beramal dengan doa ini, bukanlah kita Syiah. Sebenarnya kita mengamalkan amalan yang telah diajar, diijazah dan diterima daripada ulama kita terdahulu yang merupakan pendokong totok Ahli Sunnah wal Jama`ah. Maka kurangkanlah perbalahan, tingkatkan ketakwaan dan amalan, mudah - mudahan Allah kabulkan hajat permintaan kita, dipadamkanNya wabak yang menular dan diselamatkan kita semua daripada kebinasaan.

***********************************
Ijazah Doa Li Khamsatun oleh Kiyai Mustaqim

Selasa, Mac 24, 2020

Tasbih & Baik Sangka

Imam  Abu Nu`aim (w.430H) rahimahullah meriwayatkan dalam karya beliau yang masyhur Hilyatul Awliya` wa Thabaqatul Ashfiya`, juz ke-9, halaman 136, daripada Abu Muhammad bin Hayyan daripada Muhammad bin Muhammad bin Yazid daripada Abu Thahir daripada Harmalah yang menyatakan bahawa beliau mendengar Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu berkata: "Aku belum melihat sesuatu yang lebih bermanfaat bagi (menghadapi) wabak selain ucapan tasbih".

Ucapan subhanaAllah itu patinya adalah pengukuhan pegangan iktiqad keimanan dan keyakinan kita bahawa Allah subhanahu wa ta`ala maha suci daripada segala aib kekurangan dan segala yang tidak layak denganNya, termasuklah daripada sebarang kelemahan. Maka pada ucapan tasbih itu ada dua aspek yang perlu kita beri perhatian, iaitu at-tanzih (aspek pensucian) dan as-salb (aspek penolakan atas segala aib / kelemahan) bagi Zat yang Maha Suci. Oleh itu, ketika ditimpa wabak, janganlah kita hilang punca sehingga lupa bahawa wabak itu berlaku dengan ketentuan Allah jua. Maha Suci Allah daripada berlakunya sesuatu wabak tanpa kehendak dan ketentuanNya. Jangan juga kita lupa bahawa wabak itu hanyalah satu sebab yang dijadikan Allah untuk mematikan kita, sedangkan hakikat yang mematikan kita adalah Allah subhanahu wa ta`ala, Dialah Allah al-Muhyi, Zat yang menghidupkan dan Dialah juga Allah al-Mumit, Zat yang mematikan.

Maka dengan banyak bertasbih, diharap dapat meluruskan pegangan kita, serta hilang kerungsingan dan kekalutan kita ketika menghadapi wabak. Dan tidaklah jauh jika diharapkan juga bahawa dengan ucapan tasbih tersebut, Allah menyelamatkan daripada wabak dan seumpamanya. Paling penting selamat batin rohani daripada tergelincir, berbanding hanya selamat zahir jasmani semata-mata. Apa - apa pun semuanya mengikut ketentuan dan kehendakNya, namun kita diajar supaya sentiasa husnudz dzan dengan Allah subhanahu wa ta`ala. Mudah - mudahan dengan baik sangka / harapan dengan Allah akan menarik segala kebaikan. Ingat pesanan Junjungan Nabi  shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh para muhaddits, antaranya Imam as-Sayuthi dalam al-Jami`us Shaghir, hadis ke-6051, dengan sanad yang shahih, bahawa Allah subhanahu wa ta`ala berfirman: "Aku adalah menurut sangkaan hambaKu terhadapKu, jika dia bersangka baik, maka baginya (kebaikan); Dan jika dia bersangka buruk, maka baginya (keburukan)."


Ahad, Mac 22, 2020

Kelebihan Tasbih

Ucapan tasbih adalah zikir yang mudah untuk kita lakukan. Namun, perlulah dilakukan dengan penuh penghayatan, biar apa yang dilafaz di lidah juga ditancap dalam hati sanubari dengan penuh keimanan dan keyakinan bahawasanya Allah jalla wa `azza adalah Zat yang Maha Suci daripada segala kekurangan, keaiban, kelemahan, dan sebagainya yang mencarik ketinggian dan kesucian Zat yang Maha Suci tersebut.

Muhaddits agung, amirul mu'minin fil hadits, ikutan dan panutan umat, Imam Ibnu Hajar al-'Asqalaani rahimahullah menulis dalam karangannya Badzul Maa`un bahawa pada sesetengah naskhah kitab al-Hilyah ada riwayat daripada Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu bahawa sebaik - baik ubat untuk mengubati (penularan) tha`un adalah ucapan tasbih. Dikatakan sedemikian kerana zikirullah adalah sebab untuk mengangkat hukuman dan kebinasaan, sebagaimana firman Allah dalam surah ash-Shaafaat ayat 143: "Maka kalaulah ia bukan dari orang - orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih)", [yakni dinyatakan sebab atas keselamatan Nabi Yunus `alaihis salam dalam perut ikan sehingga dikeluarkan adalah kerana baginda `alaihis salam adalah orang yang sentiasa bertasbih kepada Allah, di mana baginda merayu kepada Allah dengan ucapan zikirnya yang masyhur "la ilaha illa anta, subhaanaka (Maha Suci Engkau), inni kuntu minadz dzaalimiin", yang turut mengandungi ucapan tasbih.] Diriwayatkan juga daripada Ka`ab bahawa: "SubhanaAllah itu mencegah azab." Pernah seseorang dihukum dengan hukuman sebat (yakni atas kesalahan takzir) di hadapan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu. Tatkala sebatan pertama, lelaki tersebut mengucap "subhanaAllah", lalu Sayyidina 'Umar memaafkannya dan melepaskannya dari sebatan selanjutnya.....
Maka perbanyakkan zikir kepada Allah, mudah -mudahan diberi keselamatan bagi diri kita, keluarga kita dan sekalian umat. Amalkan ucapan - ucapan tasbih, istimewa pula tasbih Nabi Yunus `alaihis salam tersebut.  Baca dengan penuh ketulusan dan penghayatan. 

Rabu, Mac 18, 2020

Ayat Salamun


Ini adalah ayat yang ke-58 Surah Yaasin yang masyhur. Orang - orang tua kita dahulu sering berpesan untuk mengamalkan ayat ini agar dipelihara dan diberi kesejahteraan oleh Allah `azza wa jalla. Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani @ Syaikh Nik Mat Kecik rahimahullah  menukil satu amalan pencegah wabak dengan ayat tersebut daripada ulama terdahulu. Dalam karya beliau al-Bahjatul Mardhiyyah halaman 182 menulis sebagai berikut:-
Dan barangsiapa surat [Salaamun qawlam mir Rabbir Rahiim] lima (5) kali dan ditanggung sertanya, sejahtera ia daripada bala` dan wabak`. Dan barangsiapa bacakan dia pada waktu wabak pada tiap - tiap hari dua puluh lapan (28) kali, adalah ia sejahtera daripada segala tha`un dan wabak.

Ini adalah satu amalan yang mudah untuk kita amal dan ianya telah diendors dinukil disebut oleh para ulama kita, baik 'arabi mau pun 'ajami. Paling tidak dengan membacanya dapat juga kita mengumpul pahala membaca kalamullah yang mulia. Oleh itu jadikan ia sebagai satu amalan guna mencari keselamatan dan kesejahteraan dunia dan akhirat, lebih - lebih lagi dalam situasi yang sedang dialami sekarang. Mudah - mudahan segera berlalu segala bala bencana dan wabak yang melanda.

Isnin, Mac 16, 2020

Qashidah asy-Syadaa-id

Entri kali ini berkait dengan entri terdahulu yang berjodol Qashidah Penangkal Wabak. Sebagai menambahkan sedikit lagi informasi mengenai Qashidah Burdah yang masyhur, bahkan boleh dikatakan ia sebagai qashidah yang termasyhur dalam dunia Islam untuk memuji dan menyanjung kekasih Tuhan yang Maha Agung, Junjungan Nabi Muhammad Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Janganlah tuan - tuan pedulikan suara - suara sumbang yang mengkritik qashidah yang berkat ini. Sungguh para ulama di seluruh pelusuk dunia Islam termasuklah rantau Melayu telah melihat, membaca, mengamal serta mengkagumi qashidah tersebut dan memberinya pujian yang tinggi melangit. Maka jika ada seorang dua yang mengkritik atau menyesatkannya, tuan - tuan senyumkanlah dan buatlah bodo sahaja.

Salah seorang ulama kenamaan tanahair kita, yang harum namanya menjadi sebutan dan ikutan, Syaikh Yusuf bin Ahmad al-Kelantani rahimahullah, lebih dikenali sebagai Tok Kenali, juga tidak terkecuali  dalam memberikan perhatian kepada Qasidah Burdah yang berkat ini. Beliau rahimahullah telah menghasilkan sebuah karya menterjemahkan qashidah tersebut dalam Bahasa Melayu. Karangan tersebut telah disiapkan di Makkah al-Mahmiyyah pada bulan Jamadil Akhir 1370 / Disember 1892 dan dicetak dalam bentuk huruf batu / litografi pada tahun tersebut juga di Makkah. Karya tersebut beliau namakan sebagai "ad-Durrul Mantsur Pada Menyatakan Khawaas Burdah Yang Masyhur." Pada mukaddimahnya, beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:- Maka berkata hamba yang hina, tatkala adalah beberapa qashidah pada hak Nabi kita Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam itu banyak. Dan sabitlah bagi setengahnya itu beberapa faedah dan beberapa kelebihan dan beberapa khasiat. Aku tentukan sebagai tentu, Qashidah Burdah yang masyhur di dalam sekalian negeri yang sabit antara masyriq dan maghrib, yang dinazamkan dia bagi Imam Bushiri dan Qashidah Mudhariyyah yang melengkapi bagi sekalian shalawat Dalail.....Dan sabitlah baginya pula beberapa kelebihan yang banyak, telah membilang akan dia oleh Abu Sa`id Muhammad al-Khadimi di dalam syarahnya atas hingga sampai ia lima puluh tiga ....."

Guru kepada Tok Kenali, Tok Syaikh Wan Ali Kutan al-Kelantani rahimahullah, ulama yang masyhur di Makkah, juga tidak ketinggalan perhatiannya kepada Qashidah Burdah yang berkat ini. Sekitar 10 tahun selepas Tok Kenali mengarang ad-Durrul Mantsur tersebut, Tok Syaikh Wan Ali Kutan menyelesaikan karangan beliau berjodol "Risalah Majma` al-Qashaaid wal `Awaaid". Karangan tersebut diselesaikan beliau pada bulan Zulqaedah 1320H / Februari 1903M. Berbeza dengan karya Tok Kenali, karya Tok Wan Ali lebih menekankan aspek faedah dan kelebihan yang ada pada bait - bait Qashidah Burdah. Di antara khasiat Qashidah Burdah ini adalah keberkatannya sebagai wasilah untuk menghilangkan kesusahan dan penularan wabak penyakit. Tok Syaikh Wan Ali rahimahullah pada halaman 19 membuat kesimpulan sebagai berikut:- (I'lam) Ketahui olehmu bahawasanya seperti dinamakan qashidah ini Qashidah al-Burdah, dinamakan dia Qashidah al-Bara-ah dan bahawasanya dibaca akan dia pada ketika turun syadaa-id kesusahan seperti wabak dan tha`un. Kata setengah mereka itu sebab itulah dinamakan dia pula Qashidah asy-Syadaa-id dan hasilnya dibaca akan dia bagi menghela manfaat dan menolakkan mudarat dengan sekira-kira niat. Wa Allahu Waliyyut taufiq wal hidayah, wa bihil `aun wal `inayah, wa shallaAllahu wa sallama `ala Sayyidina Muhammad wa `ala aalihi wa shahbihi ajma`in, walhamdulillahi Rabbil `aalamiin.

Maka, sebagai ikhtiar memohon kepada Allah dengan berwasilahkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, bolehlah dibacakan Qashidah Burdah ini mengikut kadar kemampuan. Mudah-mudahan dengan berkat dan jah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Allah jalla wa `azza berkenan untuk mengangkat segala malapetaka, bala bencana dan penularan wabak yang sedang dan akan menimpa umat yang lemah ini. Kepada Allahlah kita berserah dan memohon.

Sabtu, Mac 14, 2020

Qashidah Burdah


"(Dan hasilnya) dibacakan dia pada ketika turun bala seperti wabak dan tha`un dan angin ribut pada perahu dan telah kami cuba akan dia maka kami dapat akan dia mujarrab."
- Tok Syaikh Wan Ali Kutan

Jumaat, Mac 13, 2020

Pautan & Tawakkal

Junjungan Nabi telah mengajar umat bahawa tidak berlaku penularan penyakit berjangkit itu melainkan dengan kekuasaan dan kehendak Allah ta`ala semata - mata. Kita diajar sejak awal bahawa yang Maha Berkuasa dengan kekuasaan yang mutlak hanya Allah ta`ala, hanya Dia sahaja yang memberi bekas dan merupakan al-Faa`il al-Mukhtar, yakni Zat yang bebas melakukan apa jua mengikut kehendakNya tanpa terpaksa atau dipaksa, Dia bebas untuk melakukan apa sahaja atau meninggalkannya. Oleh itu, kala mana Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Laa `adwa" ..... yakni "tidak ada penyakit berjangkit", maka bukanlah maksud baginda untuk menafikan wujudnya atau berlakunya penularan penyakit berjangkit atau wabak seperti thaun dan seumpamanya. Apa yang dimaksudkan adalah membetulkan pegangan dan iktiqad kita agar jangan sampai beriktiqad bahawa sesuatu penyakit itu boleh menular atau merebak dengan sendirinya, tanpa kehendak dan keizinan Allah yang Maha Kuasa. Seolah - olah penyakit atau virusnya itu mempunyai kuasa sendiri. Jadi penularan wabak itu memang wujud dan berlaku, namun ianya semua dengan kuasa dan kehendak Zat yang Maha Agung dan bukannya atas kuasa penyakit atau virus atau kuman itu sendiri. Inilah pegangan dan iktiqad kita, namun tidaklah pula bermakna kita disuruh meninggalkan segala ikhtiar dan sebab. 

Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mengajar untuk kita untuk menjalankan ikhtiar dan sebab dalam menangani penularan penyakit berjangkit. Umpamanya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menegah kita masuk ke tempat di mana berlakunya penularan wabak dan melarang kita keluar jika sekiranya wabak menular di tempat kita. Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam juga menyuruh kita melarikan diri daripada pesakit kusta seperti kita lari daripada singa. Semuanya ini adalah sarana untuk kita berikhtiar dan mencari jalan atau sebab dalam mencegah atau menghindar atau mengelak atau menyelamatkan diri daripada ketularan wabak penyakit. Namun, pada masa yang sama, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah memegang tangan pesakit kusta dan makan bersamanya. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam turut mengajar satu doa untuk dibaca ketika seseorang makan bersama pesakit kusta. Dari sudut ini, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menegaskan bahawa sesuatu penyakit itu tidak ada kuasa untuk berjangkit melainkan dengan kehendak Allah ta`ala semata-mata, maka hendaklah kita mengimani hal ini dengan jazam. Maka imbangilah antara dua perkara tersebut, agar pegangan dan perlakuan kita selari dengan ajaran Islam. Dalam menjalankan usaha ikhtiar, jangan pula kita sampai ke tahap seolah - olah menuhankan virus atau penyakit tersebut, seolah - olah kita beranggapan virus tersebut ada kuasa untuk berjangkit atau untuk mematikan. Ingat bahawa yang memberi bekas hanya Allah `azza wa jalla. Jalankanlah segala sebab, usaha dan ikhtiar sebagaimana yang disyariatkan, namun pergantungan mutlak hendaklah kepada Allah semata-mata. Berpaut hanya kepada Allah dan bertawakkallah kepadaNya dengan sebenar - benar tawakkal.

Di sini, faqir nukilkan mutiara dari kitab Tuhfatuz Zakirin karya Imam asy-Syaukani yang mensyarahkan Hisnul Hasin bagi Imam Ibnu al-Jazari. Mudah - mudahan ada manfaatnya. Imam Ibnu al-Jazari menyatakan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika makan bersama dengan orang yang berpenyakit kusta atau penyakit berjangkit, baginda membaca: "Dengan nama Allah, hal keadaan aku berpaut / bersandar / bergantung semata-mata dengan Allah dan bertawakkal kepadaNya (Bismillah, tsiqatan billah, wa tawakkulan `alaih)." Imam asy-Syaukani menjelaskan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi dan Imam Ibnu Hibban daripada Sayyidina Jabir radhiyaAllahu `anhu yang menyatakan bahawa Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah memegang tangan seorang pemuda (iaitu Mu`aiqib bin Abi Fathimah) yang menghidap penyakit kusta, lalu memasukkannya ke dalam hidangan makanan (yakni untuk makan bersama baginda), seraya bersabda: "Makanlah dan bacalah dengan nama Allah, hal keadaan aku bergantung dengan Allah dan bertawakkal kepadaNya."  Ini adalah lafaz sebagaimana diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi yang dinilai shahih oleh Imam Ibnu Hibban. Selain daripada itu, Imam Ibnu Majah turut meriwayatkan hadis yang semakna daripada Sayyidina Jabir radhiyaAllahu `anhu. Selanjutnya, Imam asy-Syaukani menjelaskan bahawa riwayat ini (pada zahirnya seolah - olah) menyalahi hadis - hadis yang menyuruh lari atau menghindari pesakit kusta. Namun, boleh difahami bahawa anjuran untuk menghindari pesakit kusta tersebut tidak berlaku ke atas orang yang tidak terkesan dengan penyakit tersebut ketika makan bersama mereka (yakni mereka yang mempunyai daya tahan yang tinggi atau telah mengambil langkah - langkah penjagaan yang sewajarnya) dan juga ia tidak mendatangkan waham-waham kepadanya (yakni jangan sampai perbuatannya tadi boleh mengakibatkan dia waham atau ragu, antaranya atas kekuasaan mutlak Allah ta`ala, jika sekiranya sesuatu berlaku ke atas dirinya)....

Oleh itu, fahamilah dengan sebaiknya dan daripada hadis tersebut, dapatlah kita panduan, di mana jika kita terpaksa pergi ke tempat - tempat yang berlaku penularan wabak penyakit atau kita terpaksa berinteraksi dengan mereka - mereka yang terkena penyakit tersebut, maka selain menjalankan usaha, ikhtiar dan sebab zahir, hendaknya diamalkan bacaan tersebut dengan penuh keimanan, keyakinan dan tawakkal kepada Allah subhanahu wa ta`ala. Ingat dan imankanlah bahawa yang memberi bekas hanya Allah semata - mata. Mudah-mudahan segala penularan diredakanNya dan segala kerisauan dihilangkanNya.