Memaparkan catatan dengan label Tasawwuf. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tasawwuf. Papar semua catatan

Selasa, September 13, 2022

Adab Zikir - Sidi `Abdullah

Faqir pernah menulis sedikit mengenai anak saudara mufti Mekah, Sidi Ahmad Zaini Dahlan yang bernama `Abdullah bin Shaqadah Dahlan. Sebagaimana yang diketahui Sidi `Abdullah Dahlan rahimahullah pernah merantau hingga ke Tanah Melayu. Beliau pernah  dilantik menjadi Syaikhul Islam (Mufti) Kedah yang kedua, berkhidmat pada tahun 1904 - 1905, sebelum beliau pulang ke Mekah. Beliau merupakan ulama Mekah yang mengajar di Masjidil Haram dan menjadi imam bagi pengikut Mazhab Syafie di sana. Beliau akhirnya berhijrah ke Pulau Jawa dan wafat di sana. 

Di antara tulisan beliau adalah sebuah risalah kecil berbahasa Melayu, yang dinamakan sebagai Majmu` yang menghimpunkan secara ringkas rukun Islam, rukun Iman dan berberapa doa dan zikir. Faqir kongsikan Fasal Ke-3 risalah tersebut yang menyatakan sebagai berikut:  Wajiblah waktu membaca segala zikir - zikir ingatlah pada Allah, jangan ingat pada guru - guru atau pada nafas atau pada lainnya. Dan wajiblah membaca zikrullah dengan huruf yang betul, jangan terpanjang atau terpendek. Dan wajiblah tertib kalimah - kalimah, jangan dibaca ( illa Allah, la ilaaha). Dan jangan dibaca dengan penghabisan huruf hingga mulanya seperti Qulhu Songsang kerana baca macam itu tentulah haram. Dan jangan goyang kepala atau badan atau lainnya.

Menarik apabila Sidi `Abdullah Dahlan menyebut agar jangan diingat guru atau nafas ketika berzikir. Ini mungkin respons beliau terhadap praktik rabithah mursyid yang berlaku dalam sesetengah thariqat. Ada daripada kalangan pengamal thariqat yang salah faham mengenai rabithah mursyid sehingga beranggapan ianya dilakukan sepanjang mereka berzikir. Sedangkan rabithah mursyid itu adalah adab sebelum masuk kepada zikir dan bukan adab ketika berzikir yang sentiasa dihadirkan dalam berzikir. Tujuan rabithah mursyid adalah untuk memperkuatkan azam dan himmah (kesungguhan)  si murid serta mencari limpahan (faydh) keberkatan dan rahmat sebagaimana yang telah Allah curahkan kepada guru mursyidnya, sambung menyambung dengan segala guru mursyid dan masyaikh dalam rantaian silsilah thariqat tersebut sehingga kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sedangkan tatkala berzikir, ingatan dan fokus hanya ditumpukan kepada al-madzkur iaitu Allah jalla jalaluh. 

Sedikit tentang rabithah mursyid sebagaimana yang diamalkan dalam Thariqat Naqsyabandiyyah, nukilan tulisan guru faqir Buya Muhibuddin Waly al-Khalidi rahimahullah dari risalah karangan beliau yang berjodol: Kaifiyyatudz Dzikri lith Thariqah an-Naqsyabandiyyah al-Waliyyah. Risalah ini beliau tulis dalam Bahasa Arab, kemudian beliau terjemahkan ke Bahasa Melayu. Dalam terjemahannya, Buya Muhibuddin Waly rahimahullah, pada halaman 3, menjelaskan sebagai berikut:- Rabithah Mursyid atau dengan kata lain ingat hati kita kepada guru yang menuntun kita supaya hati kita satu arah dengan hati guru kita. Boleh dikatakan terbayang rupanya. Dan hati kita melihat bahwasanya hati guru kita laksana pancuran di mana turun mengalir limpahan Nur Makrifat dari Allah pada hati Masyaikhil Kiraam turun menurun hingga sampai pada hati guru kita sendiri. Dan melimpahlah Nur tersebut pada hati kita selaku muridnya. Hati kita bermohon kepada Allah SWT agar mendapatkan limpahan Nur itu dan dapat sampai kepada tujuan mulia yaitu zikir yang mantap terhadap Allah SWT, dengan penghayatan Makrifat terhadap-Nya. Karena itu hati kita berkata: "Ya Allah, bantulah aku jalan makrifat kepada-Mu dan limpahkan pula Ya Allah, anwar zikir yang merupakan Nur Makrifat yang telah mengalir pada hati masyaikhil kiraam, mengalir ke dalam hatiku dengan keberkahan zikir makrifat para beliau terhadap-Mu."

Selanjutnya, Sidi `Abdullah menyebut agar jangan diingat kepada nafas kerana yang sepatutnya jadi ingatan dan tumpuan zikir hanyalah Allah semata. Ini mungkin teguran bagi sesetengah pengamal thariqat yang mempraktikkan zikir nafas atau pas anfas, di mana kadang - kadang mereka menumpukan konsentrasi kepada keluar masuknya nafas mereka semata - mata sehingga fokus dan tumpuan yang sepatutnya untuk mengingati Allah terganggu. Bahkan pernah faqir jumpa pengamal thariqat yang mempercepatkan tarik - hembus nafasnya semata - mata untuk memperolehi bilangan zikir nafas yang tertentu. Perbuatan sebegini boleh mendatangkan mudarat dari segi rohani dan jasmani. Tujuan zikir nafas adalah untuk mengingati dan mentaati Allah dalam setiap tarikan dan hembusan nafas seseorang, agar setiap nafas, yang merupakan modal kita mencari bekalan akhirat, tidak dipersia-siakan dalam kelalaian dan maksiat. Maka yang seharus diberi perhatian adalah keluar - masuk nafas kita dalam zikir kepada Allah, ingat pada Allah dan bukannya pada nafas. Bernafas sebagaimana biasa, namun disertakan dengan zikrullah. 

Disebut juga agar jangan dibaca zikir secara songsang terbalik, apatah lagi jika ianya ayat al-Quran. Kita ditegah untuk membaca ayat - ayat dan surah al-Quran secara songsang terbalik yakni memulai bacaan dengan ayat terakhir sesuatu surah menuju ke ayat yang pertama. Perbuatan ini merupakan perlecehan dan penghinaan kepada al-Quran serta boleh menghilangkan i'jaznya (kemukjizatan al-Quran). 

Akhir sekali, Sidi `Abdullah juga menyentuh berkenaan dengan bergerak - gerak ketika berzikir, maka yang dilarang adalah gerak - gerak yang keterlaluan dengan dipaksa - paksa. Jika pergerakan tersebut tidak melampau - melampau, serta menurut kaedah yang diterima dalam sesuatu thariqat, samada yang disebut sebagai daur (pusingan / putaran) atau dharb (palu) dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah. Namun janganlah sampai menimbulkan tohmah dan fitnah.

Sebagai penutup, diingatkan lagi bahawa tujuan berzikir adalah untuk mengingati Allah, dengan tunduk dan patuh kepada segala titah perintahNya, penuh kerelaan dan keikhlasan. Hadirnya hati ketika berzikir itulah adab yang utama dalam berzikir. Imam al-Haddad rahimahullah dalam an-Nashoih ad-Diniyyah menerangkan sebagai berikut:-

(Ketahuilah) - semoga kamu dikasihi Allah - bahawasanya bagi zikir itu ada adabnya dan kehadiran hati (yakni kesedaran hati) beserta lisan ketika berzikir adalah adab yang terpenting dan paling ditekankan. Maka hendaklah kamu menjaga adab ini. Sesungguhnya orang yang berzikir tidak akan mencapai sesuatu dari faedah - faedah zikir dan buah - buah zikir yang menjadi tujuannya melainkan dengan menghadirkan hatinya ketika berzikir.

Mudah - mudahan ada manfaatnya, marilah kita berzikir dengan penuh adab agar dengannya zikir kita tambah bernilai di sisi Allah.
Daa-iratuz Dzikr 
(Thariqat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah)

Isnin, Julai 18, 2022

Rahsia Hakikat... Kena Lipat Daa...

Dalam era digital ini, amatlah mudah untuk sesuatu maklumat disampaikan di alam maya, di mana ianya akan sampai kepada ratusan, ribuan bahkan jutaan manusia. Jika dahulu aliran - aliran sesat yang bertopengkan ilmu hakikat, ilmu makrifat, ilmu - ilmu rahsia yang pelik dan aneh, seperti rahsia insan, rahsia itu, rahsia ini dan sebagainya, yang isinya kesesatan batiniyyah, diajar secara sembunyi - sembunyi, bak kata orang tua - tua "dalam kelambu", kini telah disebar merata melalui media - media sosial. Maka, sebagaimana kata - kata, kullu saqith laqith, maka ada sahaja mereka - mereka yang mengambil, percaya dan membenarkan akan ajaran - ajaran batiniyyah dhalalah yang digula-gulakan dengan ilmu rahasia, ilmu hakikat dan makrifat. 

Ketahuilah, wahai saudara yang budiman, ilmu hakikat dan makrifat yang benar, tidak akan terhasil melainkan dengan menjadikan syariat sebagai panduan dan thariqat sebagai jalan. Thariqat dalam pengertian yang wajib, iaitu menjalankan atau melaksanakan atau mempraktikkan ajaran - ajaran Syariat - yang wajib dikerjakan, yang haram ditinggalkan dan seumpamanya. Oleh itu, berhati - hatilah mengikuti pengajian atau ajaran atau ceramah atau celoteh yang mengatasnamakan ilmu rahasia, ilmu hakikat atau ilmu makrifat, yang meremeh dan memperlekehkan ilmu syariat serta pengamalannya. Ingat akan firman Allah jalla wa `ala dalam surah al-Maidah ayat 48, yang antaranya, bererti: ...Bagi tiap - tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti masing - masing)...... Maka jika bertemu dengan yang sedemikian ajarannya, hindarilah dan tetaplah berpegang dengan jalan syariat. Ilmu hakikat yang sebenarnya bukanlah sesuatu yang dicakap -cakapkan di medsos atau ditulis dalam tulisan - tulisan yang merapu dan meraban seperti karya Ahmad Laksamana yang berjodol Hakikat Insan. Ini faqir tegaskan kerana buku Hakikat Insan  yang penuh dengan kesesatan dan kebohongan ini masih lagi beredar dalam masyarakat dan ada yang masih berpegang, bahkan fanatik dengan isi kandungannya yang karut marut.

Panutan kita, imam yang agung bergelar Hujjatul Islam, Abu Hamid al-Ghazali asy-Syafie ath-Thusi rahimahullah dalam mukaddimah beliau bagi karangannya yang berjodol Misykaatul Anwaar menyatakan, antara lain, sebagai berikut: ...Bukan semua rahsia (ketuhanan) boleh disingkap dan disebar. Dan bukanlah semua hakikat itu dapat dibentangkan atau dijelaskan kepada umum. Bahkan dikatakan bahawa dada - dada mereka yang telah merdeka dari penghambaan kepada selain Allah (al-ahrar) adalah kuburnya segala asrar (yakni segala rahsia ilmu hakikat tersebut tersimpan dan terpendam dalam hati - hati mereka dan bukannya dipertontonkan untuk tatapan khalayak umum). Dan telah berkata sebahagian awliya` yang `arifin: "Menyebar / Membuka sir rububiyyah (rahsia ketuhanan @ ilmu hakikat yang sifatnya dzauqiyyah) adalah kekufuran (yakni boleh menjeremuskan seseorang ke lembah kekufuran akibat salah dalam memahaminya)". Bahkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Bahawasanya di antara ilmu itu ada yang tersimpan rapi (yakni bak permata yang terpendam)", yang tidak difahami melainkan oleh ulama yang kenal Allah (al-`ulama-u billah).....

Makanya, antara kalam para awliya dan sufi adalah: " Sesiapa yang kenal akan Allah, maka kelulah lidahnya". Ini tidak, mengaku kenal Allah, tapi bicaranya tak keruan, sehingga menyalah - nyalahkan hukum Allah dan sunnah kekasihNya, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, dan merobek - robek kehormatan hamba - hambaNya, sehingga para ulama dan awliya` pun tak terkecuali dari pancaran mulut lasernya. Menyalah - nyalahkan pegangan ulama menurut pemahaman dirinya yang salah, menghukum ulama menurut pemahamannya dan bukan dengan apa yang difahami oleh ulama tersebut. Ulama kata Nur Muhammad itu makhluk ciptaan Allah dan bukannya Zat Allah yang Qadim, dia kata ulama kata Nur Muhammad itu Dzat Allah yang Qadim, contoh......Allahu .....Allah. Mudahan - mudahan Allah pelihara kita.

Akhirul kalam, hendaklah kita mempelajari ilmu - ilmu yang diwajibkan menurut syariat yang berkaitan dengan akidah, ibadah, mu`amalah, akhlak dan seumpamanya. Menjalani dan mempraktikkannya, mudah - mudahan Allah menganugerahkan kita dengan ilmu hakikat dan makrifat sehingga kita kenal akan Dia dengan haqqa ma'rifatihi (makrifat yang sebenar - benarnya) yang menjadikan jiwa kita tenang setenang - tenangnya, meraih nafsul muthmainnah yang diakui Allah `azza wa jalla sebagai hambaNya yang berhak untuk memasuki syurgaNya.... Allahumma aamiin.

Guru Sekumpul rahimahullah

TG Baba Ismail Spanjang hafizahullah

Selasa, September 21, 2021

Bayangan Tuhan

Beberapa waktu dahulu, heboh di dunia maya dan nyata, asatizah memperkata mengenai sabdaan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam mengenai penguasa sebagai bayangan Allah di muka bumi. Yang pasti ibarat hadis tersebut adalah bersifat majazi dan bukannya hakiki, kerana Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluk dan Maha Suci Allah daripada berbayang-bayang. Darjat dan status hadis tersebut dipertikaikan dan dijadikan modal perdebatan, tambahan pula yang menyebarkannya pihak yang berwenang dalam bidang agama. Oleh itu, ianya adalah hadis yang para ulama tidak sependapat dengan statusnya.

Faqir tidak berminat untuk pergi kepada status kedudukan hadis tersebut, telah banyak diperkatakan. Faqir hanya hendak membawa pandangan dari satu sisi buat fikir dan renungan diri. Apa kata, jika kita pandang dari bawah ke atas, lalu kita tanya diri:-

Bagi Allah tiada bayang

Ibarat hadis hanya kiasan

Fahami ini muhim jiddan

Agar tidak tersesat jalan

Khaliq dan makhluk jangan samakan

Maha Suci Tuhan

Daripada makhluk diserupakan.


Fahami ibaratnya wahai tuan

Bayang itu apa kelakuan

Tiada ada pada bayang melainkan

Hanya tunduk menyerah turutkan 

Tuan si empunya bayangan

Maka itu tuan ingatkan

Tiada presiden tiada raja tiada sultan 

Mengaku diri hamba Tuhan

Pengikut Nabi Akhir Zaman

Umpama bayang-bayang Tuhan tamsilkan

Pada dirinya sentiasa turutkan

Perintah Kehendak Kemahuan Tuhan

Lawan bercanggah menyalahi jangan

Hukum Tuhan ditegakkan

Berlepas sekali - kali jangan

Ibarat bayang dengan badan

Juga pada menurut mencontohkan

Sifat jamaal penuh keindahan

Kasih sayang belas ihsan jadi pakaian

Hamba rakyat diberi perlindungan

Umpama bernaung di bawah bayangan

Ini ibarat fahamkan tuan

Isyarat kepada bayangan Tuhan

Maha Suci Tuhan

Daripada makhluk diserupakan.


Oleh itu fikirlah tuan

Jika mengaku bayang Tuhan

Tapi tingkah kelakuan tiada sekatan

Bebas tanpa batasan tanpa ikatan

Diumpamakan dirinya bak Tuhan

Bukannya lagi tamsil bayangan

Keangkuhan Namrud jadi ikutan

Adakah layak yang sedemikian

Diaku disanjung dipuji bayang Tuhan ??

Atau hanyalah bayangan Fir`aun dan Haman??

Maha Suci Tuhan

Daripada makhluk diserupakan.

Khamis, Ogos 26, 2021

Nur Muhammad - Syiah Kuala

Syaikh Abdul Rauf as-Singkili @ al-Fansuri rahimahullah, ulama besar Alam Melayu, ketika hayatnya dilantik menjadi mufti dan qadhi besar bergelar Qadhi Malikul Adil dalam kesultanan Aceh Darus Salam. Beliau yang juga dikenali sebagai Teungku Syiah Kuala (gelar "Syiah" di sini adalah sebutan bagi Syaikh dalam lahjah Aceh) yang ertinya tuanku ulama yang menjadi syaikh di Kuala Aceh, hati - hati jangan disamakan dengan puak Syi`ah yang sesat menyesatkan itu. Teungku Syiah Kuala juga dikenali sebagai penterjemah pertama al-Quran ke dalam Bahasa Melayu dengan karyanya Turjumanul Mustafid. Tidak ada sesiapa yang boleh meragui kealiman dan ketokohan Syaikh Abdul Rauf al-Fansuri dalam ilmu - ilmu agama Islam. Untuk mengetahui biografi dan sejarah hidup beliau, silalah tuan puan telek akan biografi beliau yang sudah banyak ditulis orang.

Syaikh Abdul Rauf Fansuri ada meninggalkan beberapa karya tulis yang lain dan antara karya tulis peninggalan beliau adalah sebuah kitab tasawwuf thariqat dalam Bahasa Arab yang berjodol Tanbihul Maasyi al-mansub ila thariqil Qusyasyi yang jika diterjemahkan bererti Peringatan bagi mereka yang menjalani tasawwuf atas jalan Syaikh Ahmad al-Qusyasyi al-Madani. Syaikh Ahmad al-Qusyasyi al-Madani rahimahullah adalah guru Syaikh Abdul Rauf di Madinah al-Munawwarah. Syaikh Ahmad al-Qusyasyi adalah ulama besar yang menguasai berbagai ilmu pengetahuan. Umat Islam di Nusantara amatlah bertuah kerana telah menerima pusaka berharga daripada beliau melalui murid - murid beliau, antaranya melalui Teungku Syiah Kuala, berupa untaian wirid seusai shalat fardhu yang telah turun temurun menjadi amalan tradisi orang - orang kita, samada ketika shalat berjemaah atau sendiri. Bahkan wirid - wirid tersebut dinamakan sebagai Auradul Qusyasyiah (Wirid - Wirid Syaikh Ahmad al-Qusyasyi rahimahullah) atau Auradul Madaniyyah (Wirid - Wirid Orang Kota Madinah)  kerana Syaikh Ahmad al-Qusyasyi menyusunnya berpandukan amalan para penduduk Kota Madinah al-Munawwarah yang semestinya berteraskan nash daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tiada sebarang keraguan lagi mengenai wirid - wirid tersebut, bahkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah berinisiatif untuk menerbitkan kembali wirid - wirid ini dan menyebarluaskannya. Maka lazimkan oleh kamu akan segala wirid tersebut, jangan diabaikan atau dipandang remeh atau sepele. Lakukanlah dengan istiqamah, menurut kemampuan masing - masing.

Berbalik kepada kitab Tanbihul Maasyi, Teungku Syiah Kuala rahimahullah turut memuatkan Hadis Jabir mengenai Nur Muhammad di dalamnya. Antara yang beliau catatkan dalam karangan tersebut adalah sebagai berikut:- ...Maka yang awal - awal diciptakan Allah ta`ala adalah ruh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, sebagaimana warid daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika baginda ditanya oleh Sayyidina Jaabir tentang sesuatu yang paling awal diciptakan Allah sebelum segala sesuatu yang lain, maka baginda menjawab: "Wahai Jaabir, bahawasanya Allah mencipta sebelum segala sesuatu Nur Nabimu daripada nurNya (yakni idhafah tasyrifiyyah iaitu nur yang dicipta dan kepunyaan Allah, bukannya suatu suku daripada Zat Allah yang mulia)......" Selanjutnya, Syaikh Abdul Rauf Singkil merumuskan bahawa seseorang murid yang sejati, tidak dapat tidak, secara zahir dan juga batin, mesti menurut dan mengikut Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan mengambil panduan daripada segala sabdaan dan perbuatan baginda, kerana bagindalah asal atau sebab bagi wujudnya kita dan wujudnya sekalian makhluk. Hanya dengan sedemikian sahajalah dia akan beroleh kejayaan bersama orang - orang yang berjaya dan digolongkan dalam golongan para shalihin.

Faqir tidak berhasrat memperpanjang bahasan mengenai isi kandungan riwayat tersebut, kerana sedikit sebanyak telah diperkatakan terdahulu dan juga bukan tujuan faqir untuk membahaskan peri Nur Muhammad secara panjang lebar. Itu tuan puan kenalah mengaji dengan para guru yang memiliki i'tiqad yang betul, ilmu dan amalan yang mantap. Jangan tuan puan tersilap mengaji dengan mereka - mereka yang merapu, dek termakan dan tergoda dengan nama dan istilah ilmu thariqat atau ilmu makrifat atau ilmu hakikat, sedangkan hakikatnya, indah pada nama namun kosong pada isi, bahkan ada yang isinya penuh dengan kebatilan yang menyalahi akidah atau syariat yang dipegang. Perkongsian faqir di sini hanyalah untuk membuktikan bahawa riwayat - riwayat mengenai Nur Muhammad sebagai makhluk yang dijadikan pertama kali telah memenuhi karya - karya ulama dunia termasuklah para ulama alam Melayu. Maka tidaklah boleh kita dengan sewenang - wenang dan mudah untuk menyesatkannya, walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka. Belajarlah berlapang dada dan bersikap terbuka dengan para ulama tersebut yang sedikit sebanyak telah berjasa kepada umat. Mudah- mudahan Allah mencucurkan rahmat yang berpanjangan ke atas Teungku Syiah Kuala, para guru beliau, terutama sekali Syaikh Ahmad al-Qusyasyi al-Madani dan Mulla Ibrahim al-Kurani, juga ke atas para alim ulama yang berjasa, juga ke atas sekalian para pengikut dan pencinta mereka....aamiin.

Rabu, Ogos 01, 2018

Cungkil Gigi Punya Pasal

Pernah dimuatkan dalam pelbagai media sosial, bahkan disampaikan dalam ceramah-ceramah, akan kisah yang dikaitkan dengan peristiwa Nabi Isa 'alaihis salam menghidupkan orang mati yang menceritakan bahawa dia dihisab atau disoal atau diazab sejak 70 tahun yang lalu dari tarikh kematiannya hanya kerana secebis kayu yang diambilnya tanpa hak atau izin si pemilik untuk mencungkil gigi. Begitulah kira-kira ringkasan ceritanya, faqir pun ingat-ingat lupa. Bukanlah hasrat faqir untuk memanjangkan kisah ini kerana faqir pun tidak mengetahui dengan jelas tentang kesahihan kisah yang dikatakan ada disebut dalam kitab 'Araa-isul Majalis karya Imam Abu Ishak Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim an-Naisaburi atau lebih dikenali sebagai Imam ats-Tsa'labi rahimahullah. Jika pun benar kisah tersebut ada dimuatkan dalam kitab tersebut, maka menurut kajian ulama, riwayat-riwayat yang terkandung dalam kitab tersebut adalah bercampur-campur, ada yang sahih, ada yang samar, yang dhaif, yang mawdhu` dan dipenuhi juga dengan kisah-kisah Israiliyyah yang tidak diketahui kedudukannya. Ini antara sebab kenapa sebahagian ulama mengatakan bahawa Imam ats-Tsa'labi dalam menghimpun riwayat-riwayat dalam kitab tersebut adalah seumpama haathib lail (yakni seorang yang memungut kayu api dalam kegelapan malam, maka dia tidak mengetahui samada yang dipungutnya itu kayu api atau ular yang berbisa). Imam ats-Tsa'labi rahimahullah dalam karyanya tersebut hanya mengutip dan menghimpun sahaja segala riwayat dan kisah tanpa mengambilkira atau mempastikan darjat dan kesahihan kisah-kisah tersebut. Jadi tidaklah faqir mengetahui kesahihan kisah tersebut tadi, kerana ianya perlu kepada kajian lanjut.

Dalam entri ini, faqir berhasrat berkongsi kisah mimpi sahaja. Mimpi seorang ulama tentang ulama lain yang dinukil oleh Imam an-Nawawi rahimahullah. Sebelum itu haraplah dimaklumi bahawa kisah-kisah sebegini bukanlah bertujuan untuk melemahkan semangat kita terhadap keluasan rahmat Allah yang maha luas. Yang perlu kita fahami adalah hidupnya kita atas muka bumi ini hendaklah bertunjangkan kepada dua sifat, sifat khauf (takut) dan sifat raja` (harap), jangan semata-mata khauf sehingga kepala kita pusing dan dada kita sesak, dan jangan pula semata-mata raja` yang akhirnya menjadikan kita meremehkan segala titah dan tegah. Hendaknya kita dalam khauf ada raja` dan dalam raja` ada khauf, sebagaimana yang digambarkan oleh Sayyidina Tsabit al-Bunani rahimahullah, diriwayatkan oleh Abdullah bin Imam Ahmad bin Hanbal dalam zawaidnya bagi kitab az-Zuhd, bahawa: Jika ditimbang khauf seorang mukmin dengan raja`nya nescaya sama timbangannya. Harap dapat difahami, jika tak faham, harap pergilah mengaji bab khauf dan raja` dengan para guru yang dimuliai.

Imam an-Nawawi dalam karya beliau Bustanul 'Arifin pada halaman 138 menukilkan satu kisah yang dikhabarkan oleh asy-Syaikh al-Amin al-Musnid Abul Fadhal Muhammad bin Muhammad bin Muhammad at-Taimi al-Bakri, daripada Syaikh Abu Hafsh 'Umar bin Muhammad bin Mu`ammar bin Thabarzad, daripada al-Hafiz Abul Qasim Ismail bin Ahmad bin 'Umar as-Samarqandi, daripada Abdud Daim bin al-Hasan al-Hilali, daripada 'Abdul Wahhab bin al-Hasan al-Kilabi, daripada Muhammad bin Khuraim al-'Uqaili yang berkata bahawa beliau mendengar Imam Ahmad bin Abil Hawari (wafat tahun 230H) berkata: "Aku berharap-harap untuk mimpi bertemu dengan Imam Abu Sulaiman ad-Darani (yang telah wafat). Setelah setahun kewafatannya, barulah aku bermimpi bertemu dengannya dan aku bertanya kepadanya: "Wahai Mu`allim, apa yang dilakukan Allah terhadap dirimu?" Beliau menjawab: "Wahai Ahmad, satu hari aku telah melalui Bab ash-Shaghir lalu berjumpa dengan muatan unta berupa tumbuhan dan pepohon untuk makanan haiwan. Maka aku telah mengambil daripada muatan tersebut secebis atau sepotong ranting / jerami kering. Aku tidak ingat apa yang aku lakukan dengannya, samada aku mencungkil gigi dengannya atau kulemparkan sahaja. Maka aku menghadapi hisabnya (yakni dipersoalkan mengenainya) sejak kematianku setahun yang lalu sehingga ke saat ini (yakni dia masih dihisab kerana secebis atau sepotong ranting / jerami yang telah diambilnya tanpa izin atau hak walaupun telah setahun dia meninggal dunia.)"

Kata Imam an-Nawawi bahawa ini merupakan cerita yang amat dahsyat sebagai pendorong kita untuk bersikap warak serta mengancam agar jangan mengambil sikap mudah terhadap perbuatan-perbuatan aniaya atau zalim yang kecil atau remeh. Untuk pengetahuan, kisah ini juga disebut oleh Imam adz-Dzahabi dalam Siyar A'laam an-Nubala`, juz ke-10, halaman 185-186, dengan sanad daripada al-Muslim bin Muhammad, daripada al-Qasim bin 'Ali, daripada ayahandanya, daripada Thahir bin Sahl, daripada Abdud Daim al-Hilali, daripada Abdul Wahhab al-Kilabi, daripada Muhammad bin Khuraim, daripada Imam Ahmad bin Abil Hawari. Mudah-mudahan dapat dijadikan renungan dan panduan agar tidak bermudah-mudah melakukan kezaliman dan menganiayai orang lain dengan mengambil hak mereka, apatah lagi hak rakyat marhaen. Banyakkanlah membaca doa yang diajar oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Allahumma haasibni hisaaban yasiira" (Ya Allah, ringan dan mudahkanlah hisabku). Mudah-mudahan Allah menghisab kita dengan hisab yang ringan lagi mudah..... Allahumma aamiin. 

Selasa, Julai 24, 2018

Kiyai Abul Fadhol

Seorang lagi ulama besar yang banyak jasanya kepada ummat, Kiyai Abul Fadhol (Ahmad) bin Kiyai Abdul Syakur as-Senori at-Tubani rahimahullah. Seorang luarbiasa, kekuatan hafalannya terhitung ajaib dan kemampuannya untuk mengarang kitab-kitab berbahasa 'Arab amat mengkagumkan. Sekitar umur 9 tahun, beliau sudah hafal al-Quran dan dikatakan beliau menghafal keseluruhan 30 juz dalam tempoh 2 atau 3 bulan sahaja, berkat asuhan ayahanda beliau yang amat menitikberat kaedah menghafal dalam proses pembelajaran.  Beliau yang dilahirkan pada tahun 1921 adalah gurunya para kiyai besar Tanah Jawa seperti KH Sahal Mahfuz, KH Maimoen Zubair, KH Faqih Langitan, KH Hasyim Muzadi dan ramai lagi. Ayahanda beliau, Kiyai Abdul Syakur adalah rakan karib Hadhratusy Syaikh KH Hasyim Asy`ari.

Kiyai Abul Fadhol rahimahullah merupakan sosok ulama yang sangat luas dan mendalam pengetahuan agamanya, walaupun sewaktu hayat, beliau tidak pernah belajar di Timur Tengah. Dengan berkat keikhlasan, ketekunan dan disiplinnya dalam menuntut ilmu, maka beliau berjaya menguasai berbagai cabang ilmu. Dalam belajar beliau tidak sahaja memahami sesuatu ilmu tersebut, bahkan sedaya upaya beliau akan menghafalnya kerana bagi beliau "al-'ilmu fir ra'si, laisa fil karrasi" (ilmu itu apa yang ada dalam kepala (yakni yang dihafal) bukannya apa yang tertinggal pada helaian - helaian kertas). Kecintaannya kepada ilmu amat mendalam sehingga menjadi wirid beliau mentelaah sebuah kitab besar dan mengkhatamkannya dalam tempoh 10 hari. Seringkali ketika khatam kitab tersebut, separuh isinya sudah ada dalam hafalan beliau. Ketinggian ilmunya menjadikan beliau tempat para kiyai merujuk sehingga digelar "Kamus Berjalan". Selain daripada itu, Kiyai Abul Fadhol juga dikenali sebagai seorang sufi yang zuhud. Kehidupan harian beliau jalani dengan penampilan yang amat sederhana dan bersahaja sehingga sesiapa yang baru pertama kali menemui beliau tidak akan menyangka yang beliau itu kiyai besar. Setiap jam 1 pagi, beliau akan bangkit dari tidurnya dan bershalat, membaca al-Quran, hizib-hizib dan berzikir sehingga ke Subuh. Maka tidak hairan, jika sebulan beliau dapat mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali khatam.

Dalam bidang penulisan Kiyai Abul Fadhol rahimahullah meninggalkan karya - karya yang banyak lagi bermutu. Beliau mempunyai tulisan tentang sejarah perjuangan para wali Tanah Jawa menghadapi Kerajaan Majapahit yang berjodol Ahlal Musaamarah fi Hikayatil Awliya-il 'Asyarah. Dalam karya ini, beliau turut menyentuh kisah wali yang kesepuluh, Syaikh Siti Jenar yang nama sebenarnya Sayyid Abdul Jalil bin Sayyid Abdul Qadir,  sedangkan Siti Jenar itu adalah nama desa tempat beliau mengungsi untuk membawa diri berkhalwat. Disebut bahawa Syaikh  Siti Jenar adalah seorang sufi yang karam tenggelam dalam ilmunya. Beliau tenggelam dalam tafakkur dan zikir tanpa menghiraukan soal makan - minum. Saking larutnya beliau, sehingga segala wajdan dan waridat yang datang tidak lagi mampu untuk disimpan dan ditahan dalam hati sanubarinya, lalu terkeluar pada lisannya syatahat (latah) sehingga menjadi fitnah atas orang yang mendengarnya. Maka  kerana itulah beliau dijatuhkan hukuman mati, sebagaimana yang dialami oleh Abul Mughits Husain bin Manshur al-Hallaj. Semuanya adalah untuk menjaga keutuhan dan kesucian akidah dan syariat daripada disalahfahami orang awam akibat terikut-ikut fana Syaikh Siti Jenar yang tidak terkawal. Mereka-mereka ini adalah golongan sufi yang disebut dalam kitab-kitab sebagai "wa annahum qad ghulibu bil haal" iaitu mereka yang dikalahkan oleh hal yang datang kepada mereka. Faqir datangkan contoh yang sederhana untuk memudahkan faham berhubung keadaan "mereka-mereka yang dikalahkan oleh halnya", iaitu faqir cuplik daripada hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam  yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, menceritakan tentang seseorang yang kehilangan unta tunggangan bersama bekal perjalanannya di tengah padang pasir yang kering kontang. Setelah berputus asa untuk mencarinya tiba-tiba dia berjumpa semula dengan untanya, lalu dipegangnya tali kekang untanya seraya berkata: Allahumma anta 'abdi wa ana rabbuka (Ya Allah, Engkau hambaku dan aku tuhanMu). Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menjelaskan bahawa orang tersebut tersilap dan terkhilaf sehingga mengeluarkan ungkapan tersebut kerana terlalu amat gembira bertemu semula dengan untanya yang hilang (.....'akhtha-a min syiddatil farah). Mudah-mudahan contoh ini dapat menghampirkan faham kita kepada situasi seseorang yang dikalahkan oleh perasaannya atau halnya. Berbalik kepada kisah Syaikh Siti Jenar, Kiyai Abul Fadhol menegaskan bahawa kita hanya mampu menghukum atas apa yang zahir, masalah hakikat, kita serahkanlah kepada al-Haq jalla jalaluh. Akhirnya, Kiyai Abul Fadhol menutup bicara perihal Syaikh Siti Jenar dengan mengutip bait - bait syair yang antaranya bererti: Sesiapa yang hendak memahami sesuatu ilmu yang penuh isyarat, maka hendaklah dia memahaminya dengan sempurna. Jika tidak, maka dia akan terbunuh di hujung sebatang tombak.

Dalam bidang bahasa pula, kemampuan dan penguasaan ilmu bahasa Kiyai Abul Fadhol terbukti menerusi karangan-karangan beliau yang semuanya berbahasa Arab. Selain daripada itu, beliau juga mempunyai karya khusus dalam bidang bahasa antaranya 3 juz syarah bagi Alfiyyah Ibnu Malik yang diberi jodol Tashiilul Masaalik ila Alfiyyah Ibn Malik. Dalam bidang fiqh dan usul, beliau meninggalkan karya antaranya Kifayatuth Thullab fi Qawaa'idil Fiqhiyyah dalam bentuk nazam yang disari dari Asybah Imam as-Sayuthi dan kitab Kasyfut Tabarih fi Bayani Shalatit Tarawih yang menjelaskan masalah rakaat bagi Shalat Tarawih.

Dalam bab akidah dan tauhid, antara peninggalan beliau adalah kitab al-Kawaakibul Lamaa`ah fi tahqiqil musamma bi Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan syarahnya yang membicarakan tentang Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar. Di akhir kitab tersebut dijelaskan juga kesesatan fahaman Ibnu Taimiyyah dan pendokongnya, Muhd bin Abdul Wahhab, pendiri Wahabi. Pada halaman 88, Kiyai Abul Fadhol menegaskan bahawa Ibnu Taimiyyah adalah pendokong dan pengikut al-Hasywiyyah, satu firqah mujassimah yang menisbahkan diri mereka kepada Imam Ahmad bin Hanbal radhiyaAllahu `anhu, sedangkan Imam Ahmad sebagai seorang ahlis sunnah yang sejati adalah bebas daripada dakwaan dan kesesatan mereka. Makanya, Ibnu Taimiyyah begitu berani dan sanggup untuk mentajsimkan Allah dengan menisbahkan sifat-sifat makhluk kepada Allah Zat yang mukhalafah lil hawadits (bersalahan dengan segala yang baharu).

Kiyai Abul Fadhol rahimahullah juga menyentuh dalam karya tersebut akan fatwa sesat Ibnu Taimiyyah dan Ben Wahab mengharamkan ziarah kubur hatta ziarah makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.  Di mana kita dapati masih ada segelintir ustaz "Wahabi bertopeng" atau yang mesra Wahabi, dalam Malaysia Baharu ini yang mendokong fatwa ini dan cuba untuk mendakyahkannya kepada orang awam secara halus dengan menyepelekan berziarah ke makam baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang mulia. Dalam tulisan dan secara lisan, mereka cuba mengalihkan tumpuan masyarakat daripada menziarahi baginda shallaAllahu 'alaihi wa sallam kepada menziarahi tanah, batu dan binaan yang ada di Madinah, seolah - oleh itu yang lebih utama daripada menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang jasad baginda bersemayam dalam makam yang mulia. Maka bertepatan dengan musim haji yang akan tiba, di mana selain berhaji, para jemaah juga semestinya mendatangi Madinah dengan tujuan pertama dan utama, menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka faqir ingin berkongsi sedikit tulisan Kiyai Abul Fadhol dalam syarah beliau atas al-Kawaakibul Lamaa`ah tersebut, pada halaman 109-110, beliau menulis: Sebelum zahirnya Muhd bin Abdul Wahhab, para ulama telah sepakat bahawasanya ziarah kubur itu adalah satu amalan yang disukai (mustahabbah) terutama sekali menziarahi kubur Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka sesungguhnya menziarahi baginda adalah daripada sebesar-besar amalan untuk bertaqarrub kepada Allah, bahkan Imam al-'Abdari al-Maliki menyatakan bahawa qasad untuk menziarahi baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah afdhal, mengatasi qasad untuk menziarahi Ka'bah dan menziarahi Baitul Maqdis, sebagaimana yang dinukil oleh al-Barmawi. Qadhi Iyyadh menyatakan bahawa ijmak para ulama bahawa tempat makam baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam itu afdhal daripada mana-mana belahan bumi yang lain, manakala Mekah dan Madinah adalah belahan bumi yang afdhal selepasnya.

Para ulama kita terdahulu seperti Kiyai Abul Fadhol, telah banyak meninggalkan karangan agar kita tetap berada atas jalan yang sebenar, Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan tidak terpesong mengikuti ajaran-ajaran serpihan seperti Ibnu Taimiyyah dan Wahabi. Maka diharap kita sebagai pengikut ahlul haq, Ahlis Sunnah wal Jama`ah dapat merapatkan shaf kita untuk mempertahankan akidah, tanpa mengira apa parti politik yang kita sokong. Kita mahu melihat Islam tertegak, namun haruslah Islam yang sebenar, Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan bukannya Syiah atau Wahabi atau apa-apa merek ajaran sempalan yang lain. 

Isnin, Mac 26, 2012

Jadilah Faqih dan Sufi

Sultan al-Malik al-Kamil Muhammad bin al-Malik al-`Adil Abu Bakar bin Ayyub daripada Dinasti Ayyubi yang memerintah Mesir satu ketika dahulu telah membina sebuah kubah indah menaungi makam Sulthanul A-immah Muhammad bin Idris asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu. Atas kubah tersebut dibina suatu lambang berbentuk kapal atau bahtera dan bulan sebagai isyarat bahawa di bawah kubah tersebut bersemadinya "Bahrul `Ulum" [Lautan Ilmu Pengetahuan], Sulthanul A-immah, Imam al-Muthallibi, Muhammad bin Idris asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu. Keluasan ilmu dan wawasan Imam asy-Syafie diibaratkan seperti lautan yang tidak bertepi. Sebahagian ulama tatkala menziarahi makam Imam besar ini telah mendendangkan syair yang berbunyi:-
Telah kudatangi kuburnya asy-Syafi`i untuk kuziarahi
Kudapati bahtera padanya tanpa samudera di sisi
Maka kukatakan: Maha Tinggi Allah, inilah isyarat menunjuki
Bahawasanya samudera telah ditelan oleh kuburnya Syafi`i

Imam besar ini telah menghabiskan umur beliau di dunia dengan sebaik-baiknya, penuh kesalihan dan manfaat bagi sekalian umat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Umur beliau yang berkat itu juga ditutup dengan khatimah yang baik, hari Jumaat akhir bulan haram, Rajab. Diceirtakan bahawa Imam az-Za'faarani radhiyaAllahu `anhu memberitakan yang beliau mendengar Imam Ahmad radhiyaAllahu `anhu berkata:
 "Aku telah bermimpi seakan-akan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam wafat dan orang ramai melayat jenazah baginda. Maka tatkala berpagi, kami dapati bahawa Imam asy-Syafie yang telah wafat pada hari tersebut."
Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu adalah seorang imam dalam berbagai lapangan ilmu - ilmu Islam dan beliau juga adalah seorang yang berjalan atas landasan tasawwuf dalam kehidupan sehariannya. Bahkan, beliau berpesan agar seseorang itu menjadikan dirinya orang yang faqih lagi sufi dan bukan hanya faqih dan hanya sufi semata-mata. Ini adalah kerana faqih yang tidak berjalan atas landasan tasawwuf, maka hatinya akan menjadi keras akibat penyakit-penyakit hati yang bersarang dalamnya, manakala sufi yang tidak mempedulikan ilmu fiqh, akan menjadi seorang yang jahil akan hukum-hakam dan ketentuan agamanya. Perkara ini dinyatakan oleh Imam asy-Syafi`i, antaranya, dalam bait-bait syair yang beliau gubah. Bait-bait ini termaktub dalam diwannya yang masyhur. Namun perlu diberi perhatian bahawa dalam sesetengah cetakan "Diwan al-Imam asy-Syafi`i" dan yang dalam bentuk e-book, bait-bait ini telah digugurkan oleh mereka-mereka yang anti kepada sufi dan tasawwuf (baca: geng anak Pak Wahab) sebagaimana yang telah mereka lakukan dalam karangan panutan mereka sendiri, Ibnu Taimiyyah, dalam himpunan fatwanya. Berbalik kepada "Diwan al-Imam asy-Syafi`i" maka pada halaman 47, Imam asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu bersyair dengan katanya:-


Faqih lagi sufi, Engkau jadikan dirimu
Kedua-duanya sekali, Jangan hanya salah satu
Demi Allah, Sungguh - sungguh aku menasihatimu
Faqih semata tiada merasa takwa, kerna hatinya membatu
Manakala semata sufi itu jahil, Kurang faham, tiada ilmu
Justru bagaimana si jahil, menjadi baik sholih lagi bermutu ?

Oleh itu, janganlah meremeh-remehkan ilmu fiqh dengan anggapan ianya tidak penting kerana ianya kulit sahaja. Berusaha menjadikan diri kita orang yang faqih dan sufi sebagaimana nasihat dan pesanan Imam kita asy-Syafi`i tersebut. Insya-Allah, kita memperolehi keselamatan dan laba di akhirat nanti.

Jangan jadi sesetengah manusia zaman ini, 
Dengan thoriqat dia menisbah diri
Saban hari berkhayal dirinya wali
Namun lalai syariat Ilahi
Majlis ilmu ia jauhi
Para ulama tiada ia hampiri
Rasa dirinya sudah mencukupi
Lagi pula guru thoriqatnya wali
Kalau pun sungguh bagai yang dirasai
Maka yang wali itu si gurunya tadi
Sang Guru wali
Ilmunya penuh amalnya selari
Memadaikah bagi si murid hanya dengan bangga diri

Ahad, Julai 05, 2009

Rahmat Allah - Ustaz `Alwi al-Habsyi

Manusia tidak pernah sunyi dari melakukan dosa dan maksiat. Hanya para anbiya` yang maksum sahaja terpelihara dari semua itu. Maka adalah penting, bagi kita sebagai manusia pembuat dosa agar jangan sekali-kali berputus asa dari rahmat dan kasih sayang Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Setiap kali berbuat dosa, harus segera kembali kepadaNya dengan taubat dan sesalan yang sebenar serta mohon bantuanNya agar boleh menghindari segala dosa dan maksiat tersebut. Selagi jantung kita masih berdenyut dan nafas masih turun naik menghirup kehidupan duniawi, maka selagi itulah kita masih punya waktu untuk kembali kepadaNya. Tapi janganlah kita berbangga-bangga dengan dosa, atau berbuat dosa tapi tak merasa berdosa. Ini amat berbahaya dan boleh menjuruskan kepada suul khatimah `indal mamat. Setiap kali ingatkan dosa dan maksiat, hendaklah pecah hati kita kerana telah mendurhakai Allah SWT. Jika ini berlaku maka di situlah rahmat dan kasih sayang Allah SWT sebagaimana diisyaratkan dalam hadits qudsi yang masyhur, berbunyi:-

"Aku sentiasa bersama orang yang pecah hatinya kerana Aku"

Mari kita manfaatkan ceramah yang boleh menambahkan harap dan raja` kita kepada Allah SWT. Disampaikan oleh Ustaz 'Alwi bin 'Ali bin 'Alwi bin 'Ali al-Habsyi, cicit Shohibul Mawlid Habib `Ali bin Muhammad bin Husain al-Habsyi rahimahumUllah. Lahir di Kota Surakarta pada 31 Mac 1970. Menempuh pengajian formalnya di Madrasah 'Aliyah al-Islam I, Honggowongso, Solo, kemudian memasuki Fakulti Adab di IAIN Sunan Kalijaga, Yogyakarta dan lulus dalam tahun 1997. Selain itu beliau pengajian formal, beliau turut mendalami ilmunya dengan pamannya almarhum Habib Anis al-Habsyi, Habib Muhammad bin Abu Bakar as-Saqqaf, Habib Ahmad bin `Ali al-`Aththas, Habib Husain bin Abu Bakar as-Saqqaf, Ustaz Abu Bakar al-Habsyi, Habib `Ali bin Idrus al-Habsyi, Syaikh Ahmad Salmin Daoman dan lain-lain lagi. Beliau juga berkesempatan belajar di Darul Mustafa, Tarim, Hadhramaut di bawah bimbingan Habib `Umar bin Muhammad BinHafiz hafizahUllah. Kini beliau giat menyebarkan dakwah dan ilmu di berbagai majlis ta`lim, bahkan sering ke berbagai pulau di Indonesia. Moga Allah menetapkan beliau atas jalan ilmu dan dakwahnya para salafush sholih.

******************************************
Ustaz `Alwi bin `Ali al-Habsyi

Jumaat, Oktober 12, 2007

Jubb al-Huzn

Alhamdulillah, dengan nikmat dan inayahNya serta keizinanNya dapat kita mengakhiri Ramadhan kita dengan melakukan berbagai ketaatan. Bersempenakan Ramadhan bulan di mana segala kitab suci diturunkan termasuklah al-Quran, maka amalan bertadarus dan mengkhatamkan al-Quran lazim dijadikan amalan. Junjungan Nabi s.a.w. pun dikhabarkan pada malam-malam Ramadhan akan bertadarus dengan malaikat Jibril, tapi ini tidaklah bermakna yang Junjungan Nabi s.a.w. hanya mengkhatamkan al-Quran hanya di bulan Ramadhan sahaja. Sewaktu mengkhatamkan al-Quran kita disunnatkan untuk memperbanyakkan doa kerana saat itu adalah antara saat yang mustajab berdoa serta doa pada waktu itu turut diaminkan oleh 4000 malaikat sebagaimana diriwayatkan oleh Imam ad-Darimi dengan isnadnya daripada Humaid al-A'raj.

Keutamaan membaca al-Quran sudah umum diketahui, bahkan ianya dianggap sebagai zikir tak berwaktu yang paling afdhal. Akan tetapi sayogia diingat bahawa segala amalan hendaknya dilakukan dengan penuh ikhlas, jauh dari riya`, sum`ah dan 'ujub. Bagi para qurra` yang tidak ikhlas maka Junjungan Nabi s.a.w. telah memberi amaran akan azab yang pedih menunggu mereka. Antaranya ialah siksaan yang maha dahsyat di satu tempat di neraka Jahannam yang dipanggil Jubbul Huzn.

Imam Abu 'Abdullah Muhammad bin Abu Bakar al-Anshari al-Qurthubi (w. 627H) dalam karyanya "at-Tadzkaar fi Afdhalil Adzkaar" menukilkan beberapa hadits Junjungan Nabi s.a.w. berkenaan dengan Jubbul Huzn ini. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi r.a. daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. berdoa:- "Kami berlindung dengan Allah dari Jub al-Huzn". Para sahabat bertanya kepada Junjungan s.a.w.: "Wahai Junjungan Rasulullah, apakah itu Jubb al-Huzn?" Junjungan s.a.w. menjawab: "Satu wadi di neraka Jahannam yang mana neraka Jahannam sendiri memohon perlindungan Allah darinya setiap hari 100 kali." Junjungan s.a.w. ditanya lagi: "Wahai Junjungan Rasulullah, siapakah yang akan memasukinya?" Junjungan Nabi s.a.w. menjawab: "Para qari` yang riya` dengan amalan-amalan mereka."

Satu riwayat pula dikeluarkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Hendaklah kamu memohon perlindungan Allah daripada Jubb al-Huzn." Para sahabat bertanya: " Wahai Junjungan Rasulullah, apakah itu Jubb al-Huzn?" Junjungan Nabi s.a.w. menjawab: "Satu wadi di neraka Jahannam di mana neraka Jahannam memohon perlindungan Allah darinya setiap hari 400 kali." Junjungan s.a.w. ditanyai lagi: "Siapkah yang bakal memasukinya?" Junjungan Nabi s.a.w. menjawab: "Ianya disediakan Allah bagi para qari` yang riya` dengan amalan-amalan mereka, dan sesungguhnya qari yang paling dimurkai Allah ialah yang mendatangi para pemerintah (yakni pemerintah yang zalim dan dengan tujuan mencari hasil duniawi dengan menggadaikan ayat-ayat Allah)."
Maka hendaklah kita mengambil pengajaran dari sabdaan Junjungan kita s.a.w. ini. Beramal biarlah ikhlas, kalau masih belum boleh, maka hendaklah diusahakan. Penyakit-penyakit hati seumpama riya` ini terlalu amat bahaya dan terlebih besar mudaratnya dari segala penyakit dunia. Seteruk-teruk penyakit dunia hanya kematian akibatnya, tapi penyakit-penyakit hati akan menjadi sebab penderitaan yang berpanjangan, kalaupun tidak berkekalan, di neraka, na`udzubillah min dzalik. Kehidupan kita di atas dunia yang fana ini hendaklah diberi perhatian yang sungguh-sungguh untuk melaksanakan segala titah - perintah Allah s.w.t. Kehidupan duniawi ini terlalu amat penting untuk dipersia-siakan dan dilumur dengan dosa kederhakaan dan maksiat kepada Allah. Pentingnya fasa umur dunia ini kerana ianya adalah penentu bagi kebahagiaan di sana nanti.

*****************************************************
Doa khatam yang biasa dibaca oleh guru kami almarhum Mawlana 'Abdul Lathif al-Hafiz Kadayanalur setiap kali khatam Tafsir al-Baidhawi. Moga Allah sentiasa mencucuri hujan rahmat dan kasihan belas buat beliau serta menempatkannya bersama para sholihin. Allahumma aamiin. al-Fatihah.

Ahad, September 24, 2006

Martabat Puasa

Sempena keberadaan kita dalam bulan yang mulia ini. Mari kita lihat sejenak martabat amalan kita ini. Agar dengan itu boleh kita tahu dan tingkatkan kualitinya. Jangan hanya perkara dunia sahaja yang kita mahu peningkatan, tetapi soal akhirat dan amal ibadah, kita tak ambil pusing atau ambik ala kadar saja., tapi nak masuk syurga tanpa hisab, nakkan syurga firdaus yang tertinggi.....Allahu .... Allah.

Ikhwah, Fadhilatul Ustadz al-Imam as-Sayyid Muhammad Zaki Ibrahim dalam tulisannya "Khulaashah Ahkam ash-Shiyaam" menulis, antara lain:-
Puasa di sisi Ahlul Haq (khasnya ahli tasawwuf) ada 4 jenis (martabat):-
  1. Shiyaamul 'Awaam: menahan diri daripada keinginan syahwat perut dan kemaluan;
  2. Shiyaamu Khawaashil 'Awaam : menahan diri daripada dua keinginan di atas serta menjauhi segala perkataan dan perbuatan yang diharamkan.
  3. Shiyaamul Khawaash: apa yang telah disebutkan di atas ditambah dengan menahan diri daripada selain dzikir dan ibadah;
  4. Shiyaamu Khawaashil Khawaash: puasa daripada selain Allah, dan puasa ini tidak ada berbuka padanya melain tatkala hari pertemuan dengan Allah nanti.
Puasa hanya daripada keinginan syahwat, perut dan kemaluan, adalah puasa orang awam, puasa orang yang masih melakukan berbagai kelalaian (shaumul ghoofilin). Puasa ini jika ditambah dengan menahan diri daripada melakukan segala perkara yang haram, maka ianya menjadi puasa orang salik ( shaumus saalikiin : orang yang benar-benar mahu berjalan mencari keredhaan Allah). Puasa salik pula jika disertakan dengan menjaga hati daripada selain Allah dari perkara-perkara keduniaan (dunia dalam erti sesuatu yang tidak berfaedah untuk akhirat atau yang tidak menjadi amal akhirat), maka ianya menjadi puasanya orang arif (shaumul 'aarifiin). Puasa orang awam akan batal dengan makan dan minum, puasa orang salik dengan melakukan dosa kecil dan puasa orang arif dengan ingat kepada selain Allah.
Jadi dikategori manakah martabat puasa kita? Bulan puasa baru bermula, jadi masih ada masa untuk membuat peningkatan. Harap-harap puasa kita tidak sentiasanya menduduki tempat tercorot dalam carta, dengan hanya menahan daripada makan-minum semata-mata, sedangkan anggota-anggota lain masih melakukan berbagai dosa dan maksiat, mulut hanya puasa tak makan nasik tapi masih makan bangkai dengan mengumpat dan sebagainya .. Allahu .. Allah. Peringkat kita, jika tidak keseluruhan 29 - 30 hari-hari Ramadhan menjadi puasa kategori A, maka setidak-tidaknya hendaklah ada 1 atau 2 atau 3 atau beberapa hari daripada tidak ada langsung. Insya-Allah, satu kebaikan akan menarik kepada kebaikan yang lain. Tingkatkan usaha dalam mencari keredhaan Ilahi. Akhirul kalam renungilah sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Hurairah secara marfu`:-

ليس الصيام من الأكل و الشرب، و إنما الصيام من اللغو و الرفث
Bukanlah puasa itu daripada makan dan minum (semata-mata), sesungguhnya puasa itu daripada segala lagha (kelalaian) dan rafats (kekejian).

اللهم تَقَبَّلْ مِناَّ صِيَامَ شَهْرِ رَمَضَانَ عَلَى مَا كَانَ فِيْهِ مِنْ تَسَاهُلِناَ


Sabtu, September 23, 2006

Bahana Menulis


Dan tiadalah penulis melainkan akan mati
Dan tinggal berzaman apa yang telah ditulis tangannya
Maka jangan kau tulis dengan tanganmu selain sesuatu
Yang menyukakanmu di hari kiamat tika kau melihatnya

Renungilah akan bahr wafir yang disusun oleh Sufi Agung, Syaikh Dzun Nun al-Mishri. Moga dapat jadi panduan ketika kita menggerakkan jari-jemari menulis sesuatu. Alangkah malangnya kita jika sekiranya dalam kubur pun dosa kesesatan dan keonaran apa yang telah kita tulis terus mengalir. Malang sungguh malang, seribu kali malang, tidak sejuta juta juta juta kali malang. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa kesalahan kita dan dosa kesalahan para penulis yang mukhlisin yang tersandung dalam menulis dan mudah-mudahan tulisan-tulisan tersebut dihapuskan agar kesalahannya tidak berpanjangan. Aamiin bi jahi Sayyidil Amiin.

Ahad, Disember 11, 2005

Ubat Malas Beribadah

Imam al-Haddad pernah ditanya mengenai ubat bagi orang yang merasa berat untuk melakukan kebajikan dan cenderung mengikut hawa nafsu. Beliau menjawab:-
  • Ketahuilah bahawa malas beribadah dan cenderung mengikut hawa nafsu ini disebabkan oleh 4 perkara. (1) kejahilan, cara mengatasinya ialah dengan menuntut ilmu yang bermanfaat; (2) lemah iman, cara mengatasinya ialah dengan bertafakkur mengenai kekuasaan Allah di langit dan bumi serta tekun beramal sholeh; (3) panjang angan-angan, cara mengatasinya ialah dengan ingatkan mati dan menyedari bahawa kematian dapat datang setiap saat; dan (4) makan sesuatu yang syubhat, cara mengatasinya ialah dengan bersikap warak dan sedikit makan.

Selasa, November 29, 2005

Wahhabi

Setelah disiarkan muka hadapan Mingguan Malaysia tentang Wahhabi, maka ramai le peminat dan pengikut setia yang tampil mempertahankannya secara direct dan indirect. Antara tulisan yang seolah-olah tidak menyokong Wahhabi tetapi berisikan sokongan ialah yang ditulis dalam ruangan Pendapat oleh Khairul Effendi Hashim. Mamat ni dalam baik dia kenakan mazhab kita. Betul le isu khilafiyyah biar le jadi khilafiyyah, persoalannya siapa yang hentam siapa ni. Elok-elok orang baca Yaasin malam Jumaat, dia orang hentam kata bid`ah. elok-elok orang baca talqin, dia orang kata bid`ah, jadi Cik Khairul nasihat awak tu dah tersilap tuju, sepatutnya ianya ditujukan kepada puak Wahhabi kaum mudah bukannya kami yang Sunniyun Syafi`iyyun ini.
Membaca tulisan Khairul Effendi Hashim disiarkan pada 29/11/2005, kita nyatakan bahawa tidak salah berbeza pendapat tentang hukum fiqh seperti diperselisihkan ulama, tetapi perbezaan tersebut hendaklah ditangani dengan tasamuh dan lapang dada tanpa perasaan fanatik dan taksub dengan pegangan sendiri sehingga membid`ahkan atau mengkhurafatkan orang lain. Justru sikap tasamuh dan toleransi ini telah lama diamalkan oleh masyarakat Islam Ahlus Sunnah wal Jamaah. Lihat sahaja sejarah Makkah dan Madinah sebelum dikuasai puak pelampau Wahhabi, umat Islam bebas mengamalkan mazhab masing-masing di depan Baitullah dan di depan Junjungan Nabi s.a.w. tanpa sekatan dan halangan. Depan Baitullah masing-masing bersembahyang mengikut imam masing-masing. Adakah ini perpecahan ? Justru tidak, kerana pada masa tersebut umat Islam dengan Khilafah Uthmaniyyah bermazhab Hanafi menguasai dunia. Puak Wahhabi mana kecemerlangannya ? Sehingga sekarang menjadi khadam kepada Amerika dan Barat, mulia ke gitu ?????? Inilah toleransi umat Ahlus Sunnah wal Jamaah mazhab 4. Apabila Wahhabi mengambil alih dua tanah suci, maka diharamkan perlaksanaan mazhab-mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, sehingga tidak dibenarkan ulama-ulama mengajar fiqh mazhab di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Hanya fahaman mereka sahaja yang dibenarkan untuk diajar. Imam-imam dua masjid suci tersebut pula dipaksa untuk bersholat mengikut cara dan pegangan mereka. Sehingga sekarang tidak pernah ada Imam Masjidil Haram atau Masjidin Nabawi yang bersholat mengikut mazhab Syafi`i. Inilah taksub mazhab yang dipegang oleh puak Wahhabi, jika benar mereka bertasamuh dan berlapang dada dengan perbezaan pendapat, kenapa tidak dilantik Imam bermazhab Syafi`i, yang merupakan satu mazhab yang dominan di Hejaz sebelum kedatangan Wahhabi dan masih lagi dominan tetapi tertekan, untuk mengimamkan sholat secara bergilir dengan mazhab-mazhab lain. Wahhabi seperti Syiah hanya mahu kita Ahlus Sunnah wal Jamaah bertasamuh dengan mereka tetapi mereka sendiri memenangkan pendapat mereka atas pendapat kita dan mereka akan menekan serta menindas kita apabila mempunyai kuasa. Saya suka mengutarakan nukilan Prof. Dr. Muhammad Abu Zahrah, seorang ulama terbilang Mesir, dalam kitabnya "Tarikh Mazahib" di mana beliau menyatakan : "Patut dicatat, bahawa ulama Wahhabiyyah berkeyakinan bahawa pendapat mereka benar dan sama sekali tidak mungkin salah, sementara pendapat selain mereka adalah salah dan tidak mungkin benar." Pegangan inilah yang membuat mereka berbeza dengan mazhab Ahlus Sunnah yang 4 yang mempunyai pegangan "Mazhabku benar tetapi berkemungkinan salah, dan mazhab selain mazhabku salah tetapi berkemungkinan benar." Inilah pegangan yang selamat dari ketaksuban dan fanatik yang menimbulkan kekecohan dalam masyarakat. Justru, tulisan Khairul Effendi sepatutnya ditujukan kepada puak Wahhabi di Malaysia ini. Dalam masyarakat kita yang sejak awal memeluk Islam bermazhab Syafi`i, apa perlunya ditimbulkan isu-isu khilafiyyah yang menyalahi mazhab ini ditimbulkan sehingga menyebabkan perpecahan dan kekecohan dalam masyarakat. Rata-rata orang kita berqunut, bertahlil dan membaca talqin, kenapa pula hendak dirubah, bukankah ini perkara khilaf, kalau sudah khilaf biarkan sahaja mereka berpegang dan beramal dengan keyakinan mereka tersebut. Ingat kata pepatah Melayu, "masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak". Oleh itu elok dinasihatkan kepada puak-puak Wahhabi agar jangan lagi ditimbulkan isu-isu khilafiyyah.

Isnin, November 28, 2005

Taubat 6

Matan:-

  • "...Atau ada dosanya itu ada sangkutan hak manusia maka hendaklah ia kembali akan empunyanya. Jika ambil harta orang atau ia mengumpat - ngumpat orang maka hendak ia minta halal daripadanya atau membunuh atau meluka, maka hendaklah menyerahkan dirinya baginya atau membayar diatnya atau ia minta halalkan dan minta redhakan dia.."

Syarah:-

Jika dosa atau maksiat dilakukan bersangkut paut dengan hak manusia, maka kesempurnaannya ialah dengan dikembalikan balik hak orang tersebut, atau mintak halal. Jika membunuh orang atau mencederakan orang maka hendaklah menyerah diri kepada orang yang dicederai atau waris orang yang dibunuh agar dapat dijalankan hukuman qisas atau mintak halal atau dibayar diat.

Matan:-

  • "...dan jika tiada ada lagi orang yang ia zalim atau orang yang ia khianat akan dia maka dibuat kebajikan dan disedekahkan dia meniatkan pahalanya bagi empunyanya dan membanyak akan taubat kepada Allah bahawa diredhai ahlinya pada hari Kiamat dan membanyakkan amal dan mendoakan empunyanya mudah-mudahan ia redhakan dia pada hari Kiamat."

Syarah:-

Jika orang yang dizalimi tersebut telah tiada dan warisnya tidak diketahui, maka hendaklah orang yang bertaubat daripada kezalimannya itu memperbanyak membuat kebajikan dan bersedekah yang pahalanya dihadiahkan kepada orang yang kena zalimnya itu serta mendoakan orang tersebut. Kerana sesuatu hutang kezaliman yang tidak dijelaskan di dunia sewaktu hidup nescaya akan dituntut di akhirat dan nanti bukan wang ringgit yang digunakan untuk membayarnya melainkan pahala kebajikan kita. Mudah-mudahan dengan banyak bersedekah dan membuat kebajikan yang pahalanya ditujukan kepada orang yang kena zalim tersebut akan redhalah ia melepaskan tuntutannya atas si penzalim yang bertaubat itu. Dan mudah-mudahan dengan kesungguhannya bertaubat dan beramal sholeh Allah akan menjadi penanggung baginya atas tuntutan orang yang kena zalim tersebut. Allahu a'laam.

Sabtu, November 26, 2005

Taubat 5

Matan:-

  • "...dan jika adalah dosanya itu meninggalkan fardhu maka hendaklah segera mengqadhakan dia, maka tiada harus ia mengerjakan amal yang sunnat dan mengerjakan pekerjaan yang lain daripada mengqadhakan dia melainkan kerana menuntut akan kehidupannya dan makan dan minum dan qadha hajat dan tidur apabila sangat mengantuk, maka yang lain daripada itu tiada harus ia mengerjakan melainkan duduk mengqadhakan dia....."

Syarah:-

  • Jika dosa yang dilakukan merupakan maksiat meninggalkan kefardhuan atau kewajipan terhadap Allah, maka hendaklah orang yang bertaubat itu mengqadhakan fardhu yang ditinggalkannya dengan segera, jika kefardhuan tersebut ditinggalkan dengan sengaja tanpa keuzuran. Perlu diingat bahawa kejahilan tentang hukum hakam tidak termasuk keuzuran secara lazimnya. Maka hendaklah orang bertaubat tersebut menebus kembali fardhu yang ditinggalkannya dengan taubat dan qadha. Inilah pendapat jumhur ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah daripada 4 mazhab. Inilah pendapat yang sewajarnya diikuti kita, inilah fatwa Imam an-Nawawi, Ibnu Hajar dan lain-lain ulama besar mazhab kita. Jangan terpengaruh dengan fatwa - fatwa zaman sekarang kaum muda atau lebih tepat kaum mudah yang suka bermudah-mudah dalam urusan agama, yang menyandarkan pendapat mereka kepada fatwa minoriti ulama Zahiri.
  • Seterusnya dinyatakan bahawa orang yang bertaubat dari maksiat meninggal fardhu tanpa uzur disyaratkan menggunakan segala masa dan kelapangannya untuk mengqadha fardhunya tersebut dan tidak dibenarkan dia mengerjakan amalan-amalan sunnat. Inilah qawl asah dalam mazhab kita, sedangkan qil mengatakan tidak perlu bersegera. Bahasan hal ini telah kita buat dahulu, silalah rujuk lagi.

Taubat 4

Matan:-

  • ".....dan serta ia membanyakkan mengucap istighfar. "

Syarah:-

Kesempurnaan taubat itu daripada hati yang tulus ikhlas terlancar ke lidah ucapan istighfar memohon keampunan Allah ta`ala. Junjungan s.a.w. seorang yang ma'sum menyatakan bahawa baginda mengucapkan istighfar 100 kali sehari. Maka insan kerdil dan banyak dosa seperti kita hendaklah berlebih lagi. Istighfar yang diucapkan biarlah betul-betul mencerminkan keinsafan hati kita. Ucapkanlah "Rabbirgh fir li" atau sebagainya. Tetapi hendaklah diingat bahawa ucapan istighfar yang hanya ditanam di bibir mulut tanpa berakar daripada hati kesannya jika pun ada amatlah minima. Tetapi janganlah cepat berputus asa, istighfar di lidah lebih baik daripada langsung tidak beristighfar. Insya-Allah, mudah-mudahan taubat lisan akan menembusi hati. Ingatlah bahawa titisan air yang terus menerus menimpa batu akan melekukkannya. Allahu a'laam.

Jumaat, November 25, 2005

Taubat 3

Matan:-
  • "dan mencita ia atas tiada hendak kembali kepadanya selama-lama, maka ia benci akan yang demikian itu seperti akan racun dan akan api "

Syarah:-

  • Seseorang yang bertaubat dengan sebenarnya, maka tatkala bertaubat tersebut langsung tidak teringat atau teringin bahkan terlintas untuk kembali membuat dosa yang ditaubatkan itu selama-lamanya. Bahkan timbul rasa benci kepada maksiat tersebut seperti seseorang yang bencikan racun yang membinasakan atau benci dihumban ke dalam api neraka. Kerana hakikat kesudahan dosa dan maksiat itu membawa seseorang ke dalam siksaan neraka. Dosa dan maksiat yang merupakan penyakit batin adalah lebih bahaya daripada sakit zahir seumpama kanser, kalau seorang menghidap kanser paling teruk kesudahannya ialah mati, tapi dosa dan maksiat jika tidak diampun oleh Allah akan membawa pelakunya ke neraka, dan ingatlah bahawa azab neraka itu teramatlah pedih dan masa di sana teramatlah panjang. Adakah kekuatan kita nak menanggungnya nanti ??? Allahu...Allah. Tuhanku aku tak layak untuk Syurga FirdausMu, tetapi aku tak tahan menanggung siksa nerakaMu, oleh itu ampunkanlah aku terimalah taubatku, sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar.

Seseorang yang mengaku bertaubat tetapi dosa masih terasa manis di sisinya, maka ketahuilah bahawa taubatnya belum cukup sempurna. Ada riwayat dalam hadits qudsi Allah ta`ala berfirman kepada Nabi Musa a.s. mengenai pertanyaan Nabi Musa tentang taubat seorang umatnya yang tidak dikabulkan Allah, maka Allah menjawabnya: "Bagaimana aku nak menerima taubatnya sedangkan hatinya masih melekat kepada dosa tersebut". Allahu a'laam.

Rabu, November 23, 2005

Taubat 2

Matan:-
  • " dan meninggalkan ia daripada demikian dosanya dengan ikhtiarnya "
Syarah:-
Rukun seterusnya bagi seorang yang bertaubat ialah hendaklah dia tatkala bertaubat tersebut meninggalkan dosa dan maksiatnya itu dengan ikhtiarnya sendiri, yakni dengan pilihannya sendiri. Di sini terdapat 2 perkara pokok yang perlu difahami, (i) meninggalkan dosa; dan (ii) dengan ikhtiarnya. Bukan dinamakan orang bertaubat yang sewaktu bertaubat masih melakukan dosa yang ditaubatnya. Dan begitu juga orang yang meninggalkan maksiat kerana terpaksa, bukan kerana pilihannya sendiri demi menjunjung perintah Ilahi tidaklah dianggap sebagai sempurna taubatnya.
Sekarang kita lihat, ada segelintir manusia yang masih berselera dengan dosa dan maksiat, bahkan berbangga-bangga dengan dosa dan maksiat, cuma oleh kerana sudah uzur atau sudah tua, maka maksiat tersebut ditinggalkannya. Maka jadilah dia meninggalkan dosa dan maksiat kerana faktor tersebut, bukan kerana menjunjungan perintah Allah, dia meninggalkan dosa bukan kerana keinsafan dan pilihannya sendiri, tetapi meninggalkan dosa kerana tak larat lagi nak buat dosa tersebut sedangkan hatinya masih suka dengan dosa tersebut, maka hal taubat sebegini menurut ulama tidak sempurna dan dikhuatiri tak sah di sisi Allah s.w.t. Inilah sebabnya, Mawlana Syaikh Daud menegaskan syarat ini dengan kalimah "....dengan ikhtiarnya". Demikian juga orang yang dipaksa bertaubat, lalu dia pun bertaubat kerana takut dihukum manusia, maka taubatnya itu hanya sah di mata manusia sedangkan di sisi Allah ta`ala, tidak dinamakan taubat. Ketahuilah dengan sebaiknya, agar kita faham bahawa kesempurnaan taubat itu hendaklah datang dari pilihan dan kesedaran kita sendiri setelah disuluh cahaya hidayah dan taufiq daripada Allah s.w.t. Allahu a'laam

Rabu, November 16, 2005

Taubat 1

Matan:-

(Fasal) Dan wajib taubat itu bagi orang yang mengerjakan dosa itu bersegera atas tiap-tiap orang yang mukallaf.

Syarah:-

Yakni kewajipan bertaubat itu adalah bagi orang yang mengerjakan dosa tersebut dan kewajipan ini hendaklah dilakukan dengan bersegera atas setiap orang mukallaf, yakni yang aqil baligh. Ini adalah kerana orang yang beriman apabila melakukan dosa dan maksiat rasa berdosa dan bersalah akan terus wujud kerana sekurang-kurang nafsu orang beriman ialah nafsu lawwamah, iaitu nafsu yang mencela dirinya sendiri apabila melakukan dosa dan maksiat. Sepakat ulama tasawwuf dan fuqaha mewajibkan orang yang melakukan dosa bertaubat dari dosanya dan ianya hendaklah dilakukan dengan segera. Menangguh-nangguhkan taubat merupakan satu lagi dosa yang memerlukan kepada taubat yang lain pula. Oleh itu setiap kali kita terjerumus dalam dosa dan maksiat, maka teruslah bertaubat kepada Allah. Dan di sinilah peranan dan pentingnya ilmu yang memberi panduan mengenai dosa dan maksiat, kerana berapa ramai orang yang melakukan dosa dan maksiat tidak bertaubat atau tidak merasa berdosa kerana dia tidak tahu apa yang dilakukannya itu sebagai satu dosa dan maksiat kepada Allah.
Matan:-
  • iaitu menyesal daripada pekerjaan yang ia mengerjakan dia daripada dosanya
Syarah:-
Syarat taubat yang pertama ialah "an-nadam", iaitu menyesal atas keterlanjurannya melakukan dosa tersebut. Sebagaimana dinyatakan tadi, orang beriman sentiasa menyesal setiap kali melakukan dosa dan maksiat. Ini adalah kerana wujudnya iman dalam hatinya. Mungkin kerana imannya walaupun wujud tetapi masih lemah, maka dia masih terjerumus dalam dosa dan maksiat. Tetapi bezanya dengan orang yang tidak punya iman ialah dia walaupun berdosa menyesali akan dosanya tersebut berbanding yang tidak beriman. Penyesalan ini amat penting kerana ianya akan membawa orang tersebut kepada kesempurnaan taubatnya. Dalam riwayat dinyatakan bahawa Junjungan s.a.w. bersabda bahawa "Taubat itu adalah penyesalan", dan dalam riwayat lain dinyatakan bahawa "Setiap anak Adam itu melakukan dosa, dan sebaik-baik pelaku dosa adalah yang bertaubat dari dosanya." Tetapi kerana kurangnya kesedaran ilmu, maka sekarang orang melakukan maksiat tanpa rasa berdosa kerana dia tidak beranggapan ianya dosa. Ada orang yang berzina, tetapi tidak merasa berdosa kerana katanya dia berzina kerana suka sama suka dan kerana masing-masing ikhlas antara satu sama lain. Allahu .... Allah, dunia dah nak terbalik, manusia sudah songsang, bukan berbicara ikhlas dalam sholat, tetapi ikhlas dalam berzina. Begitu juga dalam bab-bab lain, manusia sudah tidak gemar pada ilmu-ilmu agama, mereka lebih tahu kesalahan lalu lintas berbanding kesalahan dalam hukum syarak. Bagaimana Allah nak beri bantuan kepada umat yang sebegini ????? Lihat sahaja para penganas yang mengganas atas nama Islam, membunuh secara membabibuta tak kira siapa mangsanya, hatta yang seagama pun menjadi mangsa, tidakkah mereka merasa perbuatan mereka tersebut MAKSIAT kepada Allah ? Sudah tentu tidak kerana itu mereka berbuat sedemikian. Sedangkan menurut fuqaha muktabar Ahlus Sunnah wal Jamaah, perbuatan membunuh orang tanpa hak adalah dosa besar. Justru ikhwah sekalian, selain kesalahan duniawi kena telaah dan belajar hukum halal haram dalam Islam, mari duduk depan tuan-tuan guru yang mengajar berpandukan kitab ulama terdahulu untuk mengetahui hal ini. Antara kitab yang elok untuk kita telaah dalam bab ini ialah kitab "al-Kabair" karangan Imam az-Zahabi dan kalau nak yang lebih luas bahasannya kitab "az-Zawajir" karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami. Kalau tak silap kitab "al-Kabair" tersebut sudah ada terjemahannya dalam bahasa Melayu. Allahu a'laam.