Khamis, Mac 14, 2019

Tawassul Si Pembonceng

Sayyidina `Uqbah bin 'Amir al-Juhani adalah sahabat Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Setelah memeluk Islam, Sayyidina 'Uqbah sentiasa mendampingi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, samada ketika baginda berada di Madinah atau ketika baginda bermusafir. Eratnya perdampingan beliau bersama Baginda Rasul shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga Dr. Abdul Rahman Rafat al-Basya dalam karyanya Shuwar min hayatish Shahabah pada halaman 304, mengibaratkan Sayyidina 'Uqbah radhiyaAllahu `anhu adalah seumpama bayang - bayang bagi baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ke mana sahaja Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam pergi, beliau selalu ada bersama, samada memegang tali kekang baghal Rasulullah untuk menuntunnya atau pada lazimnya beliau akan menunggang bersama atau membonceng Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga Sayyidina `Uqbah digelar Radiifu Rasulillah (Pembonceng Junjungan Rasulullah). Kadang - kadang Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam turun dari tunggangan baginda dan berjalan dengan membiarkan bahkan memerintah Sayyidina `Uqbah untuk terus menunggang haiwan tunggangan baginda tersebut. Dengan sedemikian, Sayyidina `Uqbah radhiyaAllahu `anhu telah meneguk lautan ilmu daripada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga beliau menjadi seorang muqri-an (ahli qiraah), muhadditsan (ahli hadis), faqihan (ahli fiqh), faradhiyan (ahli faraidh), adabiyan  (sastrawan), fasihan (pemidato yang fasih) dan syaa`iran (ahli sya`ir). Sesungguhnya kecintaan Sayyidina `Uqbah bin 'Amir ada dua, iaitu ilmu dan jihad. Selain jihad yang dilakukan bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan ketika pemerintahan Sayyidina Abu Bakar radhiyaAllahu anhu, beliau turut menyertai ekspedisi ketenteraan untuk menentang Empayar Romawi pada zaman Sayyidina `Umar radhiyaAllahu `anhu. Ketika Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu menghantar tentera ke Syam di bawah pimpinan Sayyidina Abu `Ubaidah bin al-Jarrah radhiyaAllahu `anhu untuk membebaskannya daripada penjajahan Romawi, Sayyidina `Uqbah turut serta. Pada tahun 44H, Ketika zaman pemerintahan Sayyidina Mu`awwiyah bin Abu Sufyan radhiyaAllahu `anhuma, Sayyidina `Uqbah telah dilantik menjadi Gabenor Mesir. Namun beliau hanya betah dengan jawatan tersebut untuk 3 tahun sahaja, kerana beliau lebih suka berjihad dengan menyertai ekspedisi tentera laut untuk membebaskan Pulau Rhodes atas arahan Khalifah Mu`awwiyah. Setelah ekspedisi tersebut, Sayyidina `Uqbah telah kembali semula ke Mesir dan di Mesirlah beliau radhiyaAllahu `anhu menghembuskan nafasnya yang terakhir dan dimakamkan. Hingga kini, makam beliau masih tetap diziarahi para pencinta kebenaran.

Imam Nawawi rahimahullah dalam Tahdzibul Asma` wal Lughat, juz 1, halaman 336 menulis mengenai Sayyidina `Uqbah bin `Amir al-Juhani radhiyaAllahu `anhu, antaranya sebagai berikut:- ...Beliau tinggal di Mesir dan telah dilantik menjadi Gabenornya oleh Sayyidina Mu`awwiyah bin Abu Sufyan pada tahun 44H. Beliau wafat di Mesir pada tahun 58H. Adalah beliau antara orang yang merdu suaranya ketika membaca al-Quran. Beliau telah turut sama berjihad dan menyaksikan pembukaan Kota Syam. Beliau telah diutus membawa surat kepada Sayyidina 'Umar bin al-Khaththab radhiyaAllahu `anhu memaklumkan kemenangan tentera Islam membuka Kota Damsyik. Beliau telah sampai ke Madinah setelah menempuh perjalanan selama 7 hari (yakni tanpa berhenti), namun perjalanannya kembali semula ke Syam (Damsyik) hanya memakan masa 2 hari setengah sahaja, berkat doanya di sisi kubur Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan permohonan syafaatnya (tawassulnya) dengan baginda untuk mendekatkan perjalanannya.
Allahu ..... Allah, mana puak - puak yang mengkafirkan orang - orang yang berdoa di makam Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam? Mana puak - puak yang mensyirikkan bertawassul ? Apakah kalian berani untuk menghukum Sayyidina `Uqbah bin `Amir al-Juhani radhiyaAllahu `anhu, yang telah berdoa di sisi makam baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bertawassul memohon syafaat baginda agar perjalanan beliau disingkatkan, sebagai quburiy atau musyrik? Makanya kalau tidak mahu berdoa di kuburan para anbiya` atau awliya`, ndak mau sama tawassulan, ya diam aja ..... jangan berisik.

Selasa, Februari 12, 2019

Kitab al-Barakah

Kitab yang berjodol al-Barakah fi fadhlis sa'yi wal harakah adalah karangan Syaikh Jamaluddin Muhammad bin 'Abdul Rahman bin 'Umar bin Muhammad bin 'Abdullah al-Hubaisyi al-Washaabi yang dilahirkan pada bulan DzulHijjah 712H. Beliau adalah salah seorang ulama Yaman yang terkenal dengan alim dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti qiraah, tafsir, hadis dan bahasa. Syaikh al-'Allaamah al-Mu`arrikh Tajuddin 'Abdul Wahhab bin 'Abdul Rahman al-Buraihi (w.874H) dalam karyanya Thabaqatu Shulaha-il Yaman @ Tarikhul Buhairi al-Kabir menyebut beliau sebagai seorang yang faqih lagi 'allaamah yang menjadi ikutan para shalihin di zamannya lagi menjadi sumber sandaran dan keberkatan, yang menerangi ilmunya akan segala masjid dan madrasah. Beliau belajar dengan ramai ulama di antaranya ayahandanya sendiri Syaikh al-Qadhi Wajihuddin 'Abdul Rahman bin 'Umar al-Hubaisyi, al-Faqih Muhammad bin 'Abdul Malik ad-Didari, al-Faqih Abu Bakar bin Jibril dan ramai lagi. Kitab al-Barakah yang dikarangnya ini adalah satu karya bernilai yang menyentuh ilmu-ilmu usul, fiqh, hadis dan perubatan. Beliau juga mempunyai karya lain seperti: Umdatuth Thalib fil I'tiqadil Wajib, Farhatul Qulub wa Salwatul Makrub, at-Tadzkir bi ma ilaihil mashir, an-Nurain fi Ishlahid Darain dan beberapa lain dalam bentuk nazam mau pun natsar. Syaikh al-Hubaisyi meninggal dunia pada waktu Isyak malam Selasa awal bulan Sya'baan tahun 782H rahimahullah.
Syaikh al-Hubaisyi rahimahullah memulakan karangannya kitab al-Barakah tersebut dengan menyatakan fadhilat melakukan pekerjaan, berusaha, bertani dan seumpamanya daripada lain - lain pekerjaan. Di antara hadis - hadis yang dinukil beliau adalah sebagai berikut:- Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang mukmin yang bekerja atau berusaha". Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam juga menyatakan bahawa: "Allah ta`ala telah mengajar Nabi Adam 'alaihis salam 1000 jenis pekerjaan daripada berbagai pekerjaan. Lalu Allah berfirman kepadanya: "Katakan kepada anakmu dan zuriatmu, jika mereka tidak dapat bersabar (dengan kesempitan hidup di dunia), maka carilah (kesenangan) dunia tersebut dengan pekerjaan - pekerjaan ini dan jangan mencarinya dengan agama (yakni jangan jadikan agama untuk mencari kesenangan dunia). Sesungguhnya agama itu hendaklah ikhlas semata-mata untukKu. Binasalah sesiapa yang mencari dunia dengan agama, kebinasaan baginya". Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda lagi: "Perbaikkanlah (kehidupan) dunia kamu dan beramallah untuk akhiratmu".

Maka hendaklah kita bekerja dengan sebaik -baiknya, bukan sahaja untuk kehidupan duniawi kita semata-mata tetapi juga untuk kebahagiaan ukhrawi. Sebagai seorang muslim mukmin, kita bekerja bukan semata-mata untuk diri atau keluarga atau negara, bahkan hendaknya kita bekerja untuk Allah yakni untuk mencari rahmat dan keredhaan Allah ta`ala. Oleh itu jadikanlah pekerjaan kita tersebut sebagai ibadah untuk bertaqarrub kepada Allah. Langkah yang pertama agar pekerjaan kita menjadi ibadah adalah diri pekerjaan tersebut mestilah usaha yang halal, yang tidak bertentangan dengan hukum syarak yang mulia. Ini syarat pokok yang tidak boleh ditawar-tawar. Setelah ada syarat tersebut, maka barulah ianya boleh dijadikan sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah seperti lain - lain ibadah. Para ulama telah memberi penekanan agar kita bekerja dan berusaha dengan benar dan bersungguh - sungguh sebagaimana yang dinukil oleh Sidi Abdul Wahhab asy-Sya`raani rahimahullah dalam al-Minahus Saniyyah halaman 9 sebagai berikut:
  ....Para ulama salaf dan khalaf telah memberi penekanan agar melakukan sesuatu pekerjaan itu mengikut al-Quran yang agung dan sunnah yang mulia ................ Adalah Syaikh Abul Hasan asy-Syaadzali rahimahullah berkata: "Sesiapa yang melakukan usaha (bekerja) dan mendirikan segala amalan yang difardhukan Tuhannya yang Maha Tinggi ke atas dirinya, maka telah sempurna mujahadahnya." Dan Syaikh Abul 'Abbas al-Mursi rahimahullah berkata: "Hendaklah kamu berusaha untuk mencari sebab bagi menghasilkan rezeki (yakni jangan bermalas-malas, hanya menunggu - nunggu yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang). Seseorang itu hendaklah menjadikan alat timbangannya sebagai subhahnya (yakni biji tasbihnya), kapak atau pahat atau perkakas pertukangannya sebagai subhahnya, alat penjahitnya sebagai subhahnya dan permusafirannya (untuk mencari rezeki) sebagai subhahnya." Maka telah ijmak ulama bahawa berusaha itu adalah satu kewajipan yang sangat dituntut serta dihubungkan dengan peningkatan darjat keimanan.......

Oleh itu, janganlah kita hanya tahu atau mahu  berzikir mengingati Allah, ketika ada untaian tasbih di tangan. Ketika kita bekerja, jadikanlah segala peralatan kerja kita tersebut seumpama biji tasbih untuk menolong kita berzikir mengingati Allah sentiasa. Dengan sedemikian, jauhlah kita daripada musibah kelalaian dan dijauhi juga kita daripada melakukan pekerjaan-pekerjaan yang bertentangan dengan kehendak hukum Allah.

Selasa, Februari 05, 2019

Jaga Adab

Adab dan akhlak yang mulia adalah satu tuntutan dalam agama kita. Maka semesti adab yang paling perlu kita jaga dan utamakan adalah adab kita kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun, ada ketika dalam ceramah - ceramah, kerana terbawa-bawa rasa syok, maka terluncur kata-kata yang boleh dianggap sebagai kurang adab atau biadap kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Bahkan, pernah seorang mantan mupeti dalam satu ceramah sempena Ma`al Hijrah berkata bahawa hijrah adalah Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam "lari" dari Kota Makkah ke Kota Madinah kerana "gagal" berdakwah selama 13 tahun di Kota Makkah......... Allahu .... Allah. Ini adalah kebangangan tahap gaban yang terbit daripada seorang mantan mupeti negeri antah berantah.

Juga pernah didengar ungkapan - ungkapan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah "kalah" dalam peperangan Uhud. Mereka yang mengeluarkan ungkapan "Nabi kalah" ini mungkin tidak sedar bahawa ungkapan tersebut adalah satu ungkapan yang dianggap sebagai penghinaan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang seharusnya dihindari oleh sesiapa yang mengaku sebagai umat baginda. Ini antara adab yang perlu kita jaga terhadap Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ada yang terlebih cabul lagi mulutnya sehingga mengatakan bahawa dalam peperangan Uhud, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah dikalahkan oleh Sayyidina Khalid bin al-Walid dan Sayyidina Amru bin al-`As radhiyaAllahu `anhuma ..... Allahu ... Allah. Sedangkan yang kalah pada peperangan tersebut adalah orang - orang yang telah mengingkari perintah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana merebut ghanimah, sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama dan mufassir, antaranya Imam ash-Shawi rahimahullah dalam "Hasyiah al-'Allaamah ash-Shawi 'ala Tafsir al-Jalaalain", jilid 1, halaman 304 menulis sebagai berikut: ...[kekalahan dalam peperangan] iaitu bagi sebahagian tentera (kaum Muslimin) sahaja, jika tidak dikatakan sedemikian (yakni jika dikatakan bahawa yang kalah itu adalah Rasulullah), maka sesiapa yang berkata: "Sesungguhnya Rasulullah telah kalah perang", maka dia menjadi kafir. Apa yang berlaku dalam peperangan Uhud dan Hawazin adalah pada sebahagian tentera disebabkan harta rampasan. Dari penjelasan tersebut, tahulah kita bahawa yang kalah dalam peperangan tersebut adalah sebahagian tentera kaum Muslimin, iaitu mereka - mereka yang tidak mendengar arahan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mereka tergoda dan tergiur dengan harta rampasan sehingga melanggar arahan baginda atau yang tertipu dengan bilangan yang ramai sehingga timbul perasaan ujub dan bongkak dalam diri yang mengakibatkan mereka leka. Manakala mereka - mereka yang tetap taat atau yang kembali taat kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka mereka termasuk dalam golongan yang memperolehi kemenangan, walau pun zahirnya menghadapi kekalahan di dunia, yang hidup dimenangkan dengan keimanan dalam mentaati Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan dimenangkan dengan memperolehi kesabaran yang ganjarannya amat besar, manakala yang gugur dimenangkan dengan memperolehi kemuliaan syahid. Oleh itu, janganlah lidah yang tidak bertulang mudah menisbahkan kalah itu kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah makhluk Allah yang paling berjaya dan sentiasa diberi kejayaan di dunia dan akhirat.

Makanya tuan - puan, ingat dengan sehabis-habis ingat, jangan bermudah - mudah mengeluarkan kata-kata yang boleh merobek kemuliaan dan keagungan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, walaupun sekadar ungkapan seperti: "Nabi kalah dalam peperangan" atau "Nabi lari dari Kota Makkah", matsalan. Ini semua kata-kata yang dihukumkan oleh para ulama sebagai penghinaan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang boleh membawa kepada kekufuran. Imam asy-Syarqawi rahimahullah dalam "Hasyiah asy-Syarqawi 'ala Tuhfatith Thullab bi syarhi Tahriri Tanqihil Baab", juz 2 halaman 388 menyatakan bahawa: ...Dan sebahagian daripada perbuatan kufur itu adalah jika berkata seseorang: "hazaman Nabiyu shallaAllahu `alaihi wa sallam ( Nabi telah kalah perang)", dipancung kepalanya jika dia tidak bertaubat........Jika dia berkata: "walla" atau "farra" atau "haraba" atau tawaara" [semua kata-kata ini membawa maksud " dia (yakni merujuk kepada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam) telah melarikan diri atau bersembunyi atau berpaling lari atau menghilangkan diri kerana ketakutan atau kecut perut atau bersikap bacul"] atau yang seumpamanya, maka yang zahir ianya adalah seperti perkataan "hazama (dia telah kalah perang)" kerana ianya mengandungi satu makna (yakni meremeh dan merendahkan kadar kedudukan dan kemuliaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam). Aku telah melihat Syaikh 'Ali asy-Syibramalisi menyebut dengan jelas mengenai perkara ini dalam hasyiahnya bagi kitab al-Mawaahib dan menurut beliau sebab bagi persamaan hukum pada segala kalimah - kalimah tersebut adalah kerana semuanya menunjuk kepada maksud merendah atau menghina Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Perkataan Imam asy-Syarqawi ini juga dinukil oleh Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani rahimahullah dalam syarah beliau bagi kitab "Sullamut Taufiq", iaitu "Mirqatush Shu`ud at-Tashdiq" pada halaman 13 menulis sebagai berikut:- ..Dan setengah daripada perkata yang boleh membawa kekufuran adalah jika seseorang berkata: "Telah kalah perang Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam", dan begitu juga jika dikatakan: " telah berpaling lari dia (yakni Rasulullah)" atau "telah lari dia" atau yang seumpamanya, kerana pada kata-kata yang sedemikian itu menunjukkan kepada merendah - rendahkan martabat  Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam......

Maka hendaklah kita sentiasa menjaga adab kita kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan juga kepada sekalian para nabi dan rasul `alaihimus shalatu wa sallam. Jangan diikut perangai Yahudi dan Nashrani yang memandang anbiya dan mursalin sebagai manusia biasa yang tidak lepas dari kelemahan dan kesalahan. Ingat di sisi kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, para nabi dan rasul adalah manusia - manusia pilihan Allah `azza wa jalla yang maksum. Mudah-mudahan kita mendapat syafaat mereka dan masuk syurga bersama mereka.

Ahad, Januari 20, 2019

Faatih limaa Ughliq

Syaikh Muhammad al-Mahdi rahimahullah seorang ulama besar bermazhab Maliki yang dilahirkan pada tahun 1033H di Qashr al-Kabir, Maghribi. Dilahirkan dalam keluarga ulama yang bersambung nasabnya kepada Syaikh Abul Mahasin Yusuf al-Faasi. Syaikh al-'Alim al-'Allaamah Muhammad bin Muhammad bin 'Umar bin Qasim Makhluf dalam karya beliau "Syajaratun Nur az-Zakiyyah fi Thabaqaatil Maalikiyyah", pada halaman 473 menyebut nama beliau sebagai al-`Alim an-Nahriir al-Faqiih al-'Umdah asy-Syahir al-Muhaddits al-Barakah al-Khabir Abu 'Isa Muhammad al-Mahdi bin Ahmad bin 'Ali bin Yusuf al-Faasi. Maka tidak dapat disangkal lagi bahawa Syaikh Muhammad al-Mahdi adalah seorang ulama diiktiraf keilmuannya oleh para ulama sehingga dimasukkan nama beliau dalam kitab - kitab thabaqat para ulama. Selain mengajar, beliau turut mengarang beberapa kitab antaranya "ad-Durratul Gharra` fi waqf al-Qurra`", Simthul Jawhar al-Faakhir min mafaakhir an-Nabiy al-Awwal wa al-Akhir", Kifayatul Muhtaaj fi khabar Shaahibit Taaj" dan lain - lain lagi. Beliau menulis karya - karya beliau dalam gaya dan bahasa yang menarik dan mengkagumkan sehingga Syaikh Muhammad bin ath-Thayyib al-Qaadiri dalam "Nasyrul Matsani", juz 3, halaman 80, menggelar beliau antara lain sebagai mujaddidan lit tadris al-ilm wa at-ta'liif (reformis dalam pengajaran ilmu dan penulisan). Syaikh Muhammad al-Mahdi wafat pada hari Sabtu, 9 Sya'baan 1109H, mudah-mudahan Allah membalas segala jasa beliau dengan balasan kebajikan yang berlipat kali ganda serta menempatkan beliau bersama para anbiya` dan awliya`. Kitab "Mathaali`ul Masarraat" adalah salah satu daripada tiga karya beliau yang mensyarahkan kitab "Dalaa-ilul Khairaat" himpunan shalawat yang dikarang oleh al-Imam Abu 'Abdullah Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli rahimahullah.

Kalimah al-Faatih limaa ughliq dengan terjemah lafzinya pembuka bagi segala apa yang tertutup atau terkunci, sebenarnya mempunyai banyak lagi pengertian yang mendalam. Kita biasa memahaminya dengan pengertian bahawa Allah telah membuka segala pintu kebajikan dan segala pintu kebahagiaan dunia akhirat dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Syaikh Muhammad al-Mahdi ketika memberikan pengertian bagi rangkai kata al-Faatih limaa ughliq tersebut, yang terkandung dalam shalawat yang dinisbahkan kepada Sayyidina 'Ali radhiyaAllahu `anhu dan dalam shighah - shighah Shalawat Fatih, menjelaskan lagi bahawa antara maksud yang terkandung dalam kalimah tersebut adalah Allah `azza wa jalla telah membukakan pintu penciptaan dengan baginda, di mana baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah ciptaan Allah ta`ala yang terawal yang menjadi sebab bagi penciptaan segala makhluk lain, jikalau bukan kerana baginda, maka tidaklah akan dicipta sesuatu. Kalimah tersebut juga membawa maksud bahawa Allah membuka pintu nubuwwah (kenabian) dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka bagindalah awwalul anbiya (nabi yang pertama). Juga bermaksud bahawa Allah telah membuka nur dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana seawal-awal ciptaan Allah subhanahu wa ta`ala adalah nur baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Allah juga telah membukakan pintu - pintu rahmat dengan baginda bagi umatnya, demikian juga pintu syafaat, bahkan pintu syurga di mana tidaklah ianya dibuka bagi seseorang pun sebelum baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, al-Faatih limaa ughliq.

Maka itulah antara pengertian atau tafsiran bagi rangkai kata al-Faatih limaa ughliq. Mudah-mudahan dapatlah kita menghayati rangkai kata tersebut agar lebih khusyuk ketika kita bershalawat ke atas baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, istimewa pula jika yang dibaca itu adalah Shalawat Fatih yang masyhur.

Isnin, Januari 07, 2019

Kitab Perubatan Syaikh Ahmad

Sebagaimana yang telah kita ketahui, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani adalah seorang ulama yang multidisipliner menguasai berbagai cabang ilmu pengetahuan. Ilmu Thib atau Ilmu Kesihatan adalah salah - satu cabang ilmu yang penting bagi kesempurnaan hidup manusia. Bahkan mempelajari dan menguasai cabang ilmu ini juga merupakan satu tuntutan fardhu kifayah atas umat Islam sebagaimana tuntutan untuk menghafal 30 juz al-Quran. Terdapat kalam hikmah yang dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu yang mengisyaratkan bahawa ilmu itu ada dua, ilmu fiqh untuk kesejahteraan agama dan ilmu thib untuk kesejahteraan tubuh badan. Maka, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani tidak sahaja mengarang kitab-kitab agama semata-mata, beliau turut meninggalkan karya tulis berupa kitab perubatan yang mengandungi ramuan ubat-ubatan bagi berbagai macam penyakit zahir. Janganlah kita salah faham dalam mengartikan perubatan Islam, jangan sangka yang perubatan Islam itu hanya dengan membaca ayat-ayat syifa, ruqyah dan seumpamanya. Perubatan Islam itu adalah luas dan mencakupi segala ruang yang dibenarkan oleh syariah. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah meninggalkan petunjuk untuk berubat dengan berbagai kaedah dan cara, antaranya dengan berbekam, berpuasa dan penggunaan herba dan makanan seperti madu, habbatus sawda`, dzarirah dan banyak lagi. Maka Syaikh Wan Ahmad al-Fathani telah menulis satu kitab khusus dalam ilmu perubatan ini, di mana beliau menerangkan berbagai jenis penyakit zahir, puncanya dan kaedah rawatan serta ramuan-ramuan ubatnya. Kitab tersebut beliau namakan dengan nama 'Arabnya Thayyibul Ihsaan fi Thibbil Insaan dan nama Melayunya Pembukaan Mata Hati Pada Bicara Mengubati. Ianya siap dikarang pada hari Isnin, 3 DzulHijjah, 1312H / 28 Mei 1895 di Makkah al-Mukarramah. Alhamdulillah tsumma alhamdulillah, kitab tersebut telah dirumikan dan diberi notakaki oleh akhina al-fadhil Dr. Mohd Affendi bin Mohd Shafri hafizahullah wa athala `umrahu li naf`il muslimin. Maka bolehlah tuan - puan yang budiman dapatkan di pasaran, in sya Allah bermanfaat.

Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dalam menuntut ilmu perubatan ini telah merantau sehingga ke Baitul Maqdis dan berguru antaranya dengan seorang thabib yang berasal dari Kabul, Afghanistan bernama Syaikh Abdul Rahim al-Kabuli. Beliau mempelajari teori perubatan dan kaedah rawatan dari berbagai sumber dan merujuk kepada karya-karya dalam berbagai bahasa termasuklah kitab - kitab perubatan berbahasa Urdu.  Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir dalam notakaki artikel berjodol "Konsep Pemikiran Shaykh Ahmad al-Fatani Berdasarkan Teks "Taiyibul Ihsan fi Tibb bil Insan", yang dimuatkan dalam Dewan Budaya, Julai 1991 menyatakan, antara lain, sebagai berikut: ".... terdapat catatan di tepi kitab rujukannya, Qanun Cah al-Saghir lil Caghmini Syarih Syarikh al-Aflak, Shaykh Ahmad mula mempelajari ilmu perubatan daripada gurunya Shaykh Abdur Rahim al-Kabuli pada waktu Zuhur, Sabtu 21 Ramadan 1312H (1894M). Sebelum tarikh ini, beliau sudah pun belajar ilmu perubatan di Baitul Maqdis." Syaikh Wan Ahmad berjaya menguasai ilmu perubatan dengan baik sehingga dapat menulis karangan - karangan dan dikenali di merata tempat. Para pengkaji telah menemui beberapa pucuk surat yang dikirim oleh doktor-doktor di Mesir kepada beliau yang berisikan perbincangan mengenai isu - isu perubatan, juga permintaan penelitian beliau terhadap pelbagai jenis ubat baru ketika itu. Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah membicarakan ilmu perubatan bukan hanya dalam kitab Thayyibul Ihsaan ini sahaja, tetapi beliau juga membahaskannya dalam karya berbahasa 'Arab dengan jodol Qanun Ibn Sina dan beliau menulis beberapa helaian mengenai perubatan dan ramuan-ramuan ubat dalam karya beliau seperti Hadiqatul Azhar dan Luqtatul 'Ajlan.

Dalam mukadimah kitab Thayyibul Ihsaan, selain menyebut tentang kelebihan dan keutamaan ilmu perubatan, Tok Syaikh Wan Ahmad rahimahullah juga mengemukakan pandangan beliau mengenai ilmu perubatan di alam Melayu. Beliau juga menyarankan agar raja - raja Melayu mengeluarkan perbelanjaan untuk penyelidikan pelbagai spesis tumbuh - tumbuhan yang ada di rantau Melayu, kerana menurut beliau sangat banyak yang boleh dijadikan ubat untuk  berbagai penyakit. Antara lain kata Tok Syaikh Wan Ahmad: (Dan) telah kami harap bahawa membuka Allah akan hati seorang yang mempunyai himmah yang tinggi, maka bersungguh-sungguh ia mencubakan beberapa pohon kayu dan tumbuh - tumbuhan dan lainnya daripada barang yang ada pada bumi Melayu dan memperiksakan pada demikian itu, maka disuratkan beberapa faedahnya dan khasiatnya dan tingkat segala tabiatnya dan kaifiat isti'malnya seperti barang yang memperbuatkan demikian itu oleh hukama Yunani ...........Pada hal kita jenis Melayu awla dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat - ubat itu pada bumi kita hingga adalah pada kebanyakan daripada ubat-ubat mereka itu diambil dari bumi kita. Dan kita terlebih awla pada memerintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita. Maka bersangatanlah sayogia bagi raja - raja Melayu bahawa memalingkan himmah mereka itu kepada mendapatkan barang yang tersebut dengan menyungguh - nyungguh menyuruh dan menggemarkan manusia pada demikian itu, dengan memudahkan jalan bagi demikian itu dan berdiri dengan belanja bagi demikian itu, maka dapat baginya pahala yang jazil dan berkekalan baginya sebutan yang jamil. Manakala pada akhir kitab tersebut, Tok Syaikh Wan Ahmad menulis beberapa petua kesihatan yang sewajarnya diberi perhatian dan diamalkan seolah-olah suatu kewajipan dari sudut penjagaan kesihatan. Maka di antara petua - petua tersebut adalah yang berhubung dengan cara makan ikan, di mana beliau rahimahullah menyatakan sebagai berikut:-

  1. (Dan) tiada pula makan ikan beserta air susu laban (susu masam / yogurt) kerana membawanya kepada mati.
  2. (Dan) tiada sayogia pula makan ikan serta minyak samin (ghee) dan telur kerana bahawasanya mempusakai penyakit falij (lumpuh) dan sakit gigi dan buasir.
  3. (Dan) tiada pula makan ikan serta telur kerana membawa kepada penyakit judzam (kusta) dan baras (belang/vitiligo) dan niqris (sakit sendi / gout).
  4. (Dan) tiada pula makan ikan serta qahwah (kopi).

Mudah-mudahan petua-petua tersebut ada manfaatnya bagi penggemar ikan. Tapi ingatlah bahawa sakit dan penyakit itu datangnya daripada Allah `azza wa jalla, dengan bersebab atau tanpa bersebab. Begitulah juga dengan kesembuhan, ianya datang daripada Allah `azza wa jalla, dengan bersebab atau tanpa bersebab. Kita hambaNya, disuruh bersabar dalam apa jua keadaan, di samping diperintahkan untuk berikhtiar demi kesejahteraan diri, dunia dan akhirat.