Rabu, Julai 24, 2024

Sejengkal & Segenggam

Qiyam atau dalam istilah tok - tok guru tua kita, "berdiri betul", adalah salah satu rukun shalat. Tok guru tak kata berdiri sahaja, tapi berdiri betul dengan kedua tapak kaki direnggangkan sedikit, yakni berdiri yang normal, tidak membongkok, tidak terkangkang dan tidak pula terjepit. Berhubung dengan jarak antara dua tapak kaki, bagi lelaki, maka yang sunatnya adalah dijarakkan dan tidak dirapatkan. Para ulama mencontohkan keadaan menjarakkan tapak kaki ketika berdiri tadi kepada 4 pandangan:- (i) direnggangkan kedua-dua tapak kaki dengan jarak sejengkal; (ii) direnggangkan dengan jarak empat (4) jari atau segenggam; (iii) dihimpunkan dua riwayat tadi dengan menjadikan jarak tumit ke tumit pada kadar empat (4) jari dan ibu jari ke ibu jari dalam kadar sejengkal; dan (iv) dijarakkan tanpa ada kadar yang tertentu asalkan jangan keterlaluan sampai terkangkang atau terlalu rapat sehingga terjepit. Para ulama juga menyatakan bahawa jika jarak antara kedua tapak kaki tersebut terlalu renggang atau terlalu rapat, jika tanpa uzur, maka dihukumkan makruh. Inilah hukumnya bagi orang laki - laki.

Dalam entri ini, faqir hanya ingin menarik perhatian kepada kaifiat yang ke-iii tersebut. Ini adalah kerana semenjak dua menjak ini ada yang ingin menang sendiri dan menyalah-nyalahkan amalan atau kaifiat yang telah lama diajarkan ulama zaman berzaman. Dalam anggapan mereka cara tersebut salah kerana anak - anak jari tidak diarahkan menghadap kiblat. Menurut mereka, kesemua anak jari kaki hendaklah lurus tegak menghadap kiblat. Maka mereka memaksa - maksa diri untuk meluruskan kedua - dua tapak kaki sehingga mendatangkan ketidakselesaan pada betis dan berdirinya nampak janggal (peylok), dibuat - buat dan tidak normal lagi. 

Pengalaman pribadi faqir sejak awal mula diajar shalat, kedudukan tapak kaki ketika berdiri betul, yang diajar oleh tok - tok guru, dengan mengambilkira segala nas dan menghimpunkannya, adalah ibu jari kaki kanan dijarakkan kira - kira sejengkal dari ibu jari kaki kiri, manakala tumit kanan dijarakkan kira - kira empat (4) jari dari tumit kiri. Dan inilah keadaan biasa ketika mana seseorang berdiri. Dalam shalat, kedudukan anak - anak jari kaki dalam keadaan sedemikian juga tidaklah keluar dari menghadap kiblat kerana bukanlah maksud menghadap kiblat itu semua kepala anak - anak jari kita mesti lurus menghadap arah kiblat. 

Rata - rata beginilah rupa bentuk kedudukan dua tapak kaki yang diajarkan oleh para ulama kita. Jika kita rujuk buku - buku pedoman atau panduan sembahyang yang biasa digunakan dahulu, baik karya almarhum Ustaz Syed Ahmad Semait atau almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji, maka kedudukan tapak kaki adalah sebagaimana lakaran yang diambil dari buku Mari Sembahyang (Laki - Laki) yang disusun oleh almarhum Ustaz Haji Ahmad Sonhadji dari cetakan terawal dan cetakan - cetakan berikutnya. Juga dikekalkan lakarannya dalam buku beliau yang lebih terperinci mengenai sembahyang yang diberi jodol Bimbingan Solat Yang Sempurna. Dalam lakaran tersebut kedudukan tapak kaki adalah sejengkal antara ibu jari dan segenggam (4 jari) antara tumit. Kaifiat inilah yang telah diperturunkan oleh ustaz - ustaz dan tuan - tuan guru kita di rantau ini.

Hal ini faqir utarakan berpandukan bukan sahaja daripada tunjuk ajar tuan - tuan guru, juga dari apa yang didengar dan dilihat daripada amalan ulama, ustaz dan masyarakat awam di berbagai tempat belahan dunia. Makanya, ulama kelahiran Jember, 1955, pengasuh Pondok Pesantren Nurul Islam, tokoh Nahdlatul Ulama, KH Muhyiddin Abdusshomad hafizahullah mencatat dalam karangan beliau Shalatlah Seperti Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, pada halaman 46 sebagai berikut:- ...Tata cara berdiri adalah kedua kaki diluruskan. Antara ujung keduanya direnggangkan kira - kira sejengkal dan kedua tumitnya kira - kira empat jari...... 

Semoga dengan entri yang tidak seberapa ini, terbuka dada kita untuk sentiasa berlapang dadalah, tanpa perlu membenarkan pendapat sendiri semata - mata sehingga meremehkan atau menyalah-nyalahkan pandangan orang lain. Selagi mana berdirinya betul, maka memadailah rukunnya dan sahlah shalatnya, tanpa merasa diri terlebih sunnah berbanding yang lain. Semoga hidayah dan taufiq Allah sentiasa dikurniakan kepada kita sehingga perjalanan kita menuju syurga menjadi mudah dan gampang.

KH Idrus Ramli menyebut kaifiat berdiri

Khamis, Julai 18, 2024

Pengarang Jawahirul Khams

Ulama kita Nusantara, ketika memperturunkan amalan hasballah 70 kali beserta doanya untuk dibaca pada hari `Asyura menjelaskan ianya dinukil daripada seorang yang dikatakan sebagai wali al-Ghauts dalam kitabnya yang berjodol Jawahirul Khams atau dalam sesetengah naskhah ditulis sebagai Jawahirul Khamis dan ada juga yang menulisnya sebagai Jawahirul Khamsah. Misalnya, Mawlana Syaikh Daud rahimahullah dalam Kifaayatul Mubtadi halaman 35 menulis sebagai berikut:- Faedah yang adzimah yang nafisah disebut di dalam kitab Jawahirul Khamis bagi Sayyidi Muhammad al-Ghauts radhiya Allahu `anhu.... Maka siapakah ulama yang digelar al-Ghauts ini? 

Sidi Muhammad al-Ghauts merupakan seorang ulama sufi yang amat tersohor dan terkenal, ahli makrifat yang amat disanjungi dan disegani oleh kawan maupun lawan, yang hidup di Benua IndoPak. Beliau ini adalah ulama sufi yang besar pengaruhnya dan merupakan tokoh dalam berbagai thariqah terutama sekali Thariqat Syathariyyah. Thariqat Syathariyyah merupakan thariqat yang banyak diamalkan oleh ulama - ulama Nusantara terdahulu termasuklah Mawlana Syaikh Daud al-Fathani dan daripada beliau - beliau ini menyebar ke seluruh Nusantara. Maka tidak pelik jika karya Syaikh Muhammad al-Ghauts ini dijadikan rujukan untuk beberapa amalan para ulama kita. Riwayat hidup, ajaran - ajarannya, karya - karyanya, juga pengaruh dan keterlibatannya dalam polemik dan politik telah banyak dibuat kajian oleh para pengkaji dan sarjana. Tuan - tuan bolehlah cari sendiri jika berminat untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai Sidi Muhammad al-Ghauts yang juga dikenali sebagai Syaikh Muhammad Ghouse Gwaliori kerana makamnya berada di Gwalior, Madhya Pradesh, India.

Dalam entri ini, niat faqir hanyalah untuk secara santai memperkenalkan tokoh ulama ini menerusi beberapa karya, agar kita tidak mudah memandang remeh kepada para ulama terdahulu. Dalam al-A`laam, juz ke-6, halaman 114, az-Zirikli hanya memberikan sedikit informasi mengenai Syaikh Muhammad al-Ghauts. Beliau menyatakan nama penuhnya sebagai Abul Muayyad, Muhammad bin Khathiruddin bin Bayazid al-`Aththar. Wafat tahun 970H bersamaan 1562M. Seorang ahli tasawwuf India yang disifatkan sebagai al-Ghauts (yakni wali ghauts). Beliau mengarang kitab Jawahirul Khams di Gujerat pada tahun 956H.

Sebagaimana yang faqir nyatakan di atas, Syaikh Muhammad al-Ghauts ini adalah seorang ulama sufi yang berperanan besar dalam Thariqat Syathariyyah. Bahkan kebanyakan silsilah Thariqat Syathariyyah yang diamalkan oleh para ulama Nusantara bersambung dengan beliau. Mawlana Syaikh Daud rahimahullah dalam Kaifiat Khatam Quran halaman 174 - 176 menyebut silsilah thariqat beliau, antaranya sebagai berikut:-  Alhamdulillah, telah talqinkan zikir Syathariyyah ini serta dengan bay`ahnya dan libasul khirqah dan kaifiat yang tersebutnya itu oleh faqir ila Allah ta`ala Syaikh Daud bin Abdullah Fathani akan ikhwanana filllah, al-muhibbu lillah, an-naasik, al-muwaafiq, daripada al-`Arif billah Sayyidi asy-Syaikh Muhammad As`ad qaddasaAllahu sirrahu serta ia ijazahkan faqir, ia ambil daripada bapanya Syaikh Muhammad Sa`id Thahir, ia ambil daripada bapanya Sayyidi asy-Syaikh Ibrahim al-Madani, ia ambil daripada bapanya al-`Arif billah, al-`Alim Syaikh Muhammad Thahir, ia ambil daripada bapanya al-`Arif billah, al-Jaami` bainasy Syariah wal Haqiqah, Syaikh Mulla Ibrahim al-Kuraani, ia ambil daripada Quthbul Madaar wa Qudwatul Muqarrabin al-Abraar, Sayyidi Ahmad al-Qusyasyi, ia mengambil daripada Quthbu Daairatu Musyahadah ar-Rabbani, al-Munfarid fi awaanihi bi tsulatsi, Abil Mawahib `Abdullah bin Ahmad at-Tanawi thayyibaAllahu tsarahu, ia mengambil daripada Sulthanul `Arifin, Sayyidi Shibghatullah, ia mengambil daripada Imamul Qidam wa Ulama-ul A'lam, Sayyidina Wajihuddin al-`Alawi, ia mengambil daripada Ghautsul Jaami, Sayyidina Muhammad al-Ghauts...... Maka Syaikh Muhammad al-Ghauts menduduki tangga ke-10 dalam mata rantai silsilah tersebut.

Syaikh Muhammad al-Ghauts juga tercatat sebagai salah seorang guru bagi seorang lagi wali yang masyhur, iaitu Syaikh Shahul Hameed an-Nagore. Perkara ini diketahui umum dan tercatat dalam karya - karya manaqib bagi Syaikh Shahul Hameed Nagore, antaranya sebagaimana tulisan Imam Mahmud ath-Thaybi `alaihi rahmatul Bari yang berjodol Manaaqib al-Quthbul Majid as-Sayyid Shahul Hameed al-Manakpuri an-Naahuuri yang menyatakan bahawa Shahul Hameed telah dididik dan ditarbiah dalam berbagai ilmu terutama sekali ilmu - ilmu kerohanian oleh Syaikh Muhammad bin Khathiruddin (dalam naskhah yang dimiliki faqir ditulis sebagai "Muhammad ibni Khadziruddin" dengan "dhzo" yang mungkin clerical mistake si penyalin), yang dikhitabkan Allah dengan panggilan "Ya Ghauts" secara yakin. Juga dinyatakan bahawa Syaikh Shahul Hameed an-Nagore juga menerima kitab Jawahirul Khamsah daripada beliau.

Akhir sekali, Mawlana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah dalam Tareekh Masyaikh Chisti, karangan beliau mengenai latar belakang para masyaikh dalam silsilah Thariqat Chistiyyah. Ketika menulis mengenai Maulana Shah `Abdul Quddus Gangohi qaddasaAllahu sirrah, beliau menyentuh pertemuan antara Mawlana `Abdul Quddus dengan Syaikh Muhammad al-Ghauts, pengarang kitab Jawahirul Khamsah. Dikisahkan pada halaman 206 bahawa Syaikh Muhammad al-Ghauts ingin bertemu dengan Mawlana `Abdul Quddus yang lebih berusia daripada dirinya. Lalu beliau yang mempunyai murid atau khadam daripada kalangan jin, telah menyuruh beberapa jin untuk membawa Mawlana `Abdul Quddus kepadanya. Namun, singkat cerita, jin - jin tersebut sebaliknya telah membawa Syaikh Muhammad al-Ghauts kepada Mawlana `Abdul Quddus atas perintah Mawlana `Abdul Quddus. Dalam pertemuan tersebut, Mawlana Abdul Quddus telah memberikan teguran, nasihat dan pengajaran kepada Syaikh Muhammad al-Ghauts. Syaikh Muhammad al-Ghauts juga mengambil bay`ah daripada Mawlana Abdul Quddus sehingga beliau mencapai kedudukan shahibun nisbat (yakni satu kedudukan kerohanian yang tinggi).

Sebagai penutup, Syaikh Muhammad al-Ghauts meninggal dunia di Agra pada 17 Ramadhan 970H dan dimakamkan di Gwalior. Beliau meninggalkan ramai murid dan khalifah thariqat, juga beberapa karya lain seperti Mairaj Namah, Bahrul Hayat dan Khalid e Makhzan. Begitulah sekelumit kecil daripada riwayat hidup Syaikh Muhammad al-Ghauts qaddasaAllahu sirrah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Syaikh Muhammad al-Ghauts dan menyampaikan keberkatannya kepada kita sekalian.

Kubah Makam Syaikh Muhammad al-Ghauts di Gwalior

Isnin, Julai 15, 2024

Faedah Dari Bahjah - `Asyura

Keistimewaan hari `Asyura sudah masyhur di sisi kita. Kali ini faqir berhasrat menambah sedikit informasi berkisar kelebihan beramal pada hari yang mulia tersebut. Tok Syaikh Nik Mat Shaghir rahimahullah dalam al-Bahjatul Mardhiyyah pada halaman 128 - 129 menulis sebagai berikut:- ...Tersebut dalam Taurat, barangsiapa puasa pada hari `Asyura, maka seolah - olah seperti puasa sepanjang - panjang tahun sekaliannya. Dan barangsiapa menyapu pada hari `Asyura kepala anak yatim, diberi Allah baginya dengan sebilang - bilang urat rambut, satu pohon kayu di dalam syurga atasnya beberapa pakaian barang yang tiada diketahuikan dia melainkan Allah ta`ala. Dan barangsiapa bersedekah pada hari `Asyura, maka seolah - olah seperti tiada meninggal ia akan orang yang meminta - minta melainkan diberikan dia. Dan sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Barangsiapa meluaskan atas anak buahnya dan ahlinya pada hari `Asyura, diluas Allah atasnya sekalian tahunnya," riwayatkan dia oleh Baihaqi. Dan daripada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Barangsiapa sembahyang pada hari `Asyura empat rakaat, dibaca pada tiap - tiap rakaat akan Fatihah dan `Qul Huwa Allahu Ahad' sebelas kali, diampuni Allah baginya akan dosa lima puluh tahun dan dibina baginya mimbar daripada nur. Dan barangsiapa mandi pada hari `Asyura, tiada sakit ia pada tahun itu melaibkan sakit mati. Dan barangsiapa bercelak pada hari `Asyura, tiada sakit matanya pada demikiannya tahun itu.

Inilah sekadarnya yang dimuatkan oleh Tok Syaikh Nik Mat Shaghir dalam kitabnya tersebut. Barang diingat bahawa segala amalan - amalan yang dianjurkan tadi dan kelebihannya masing - masing, maka segala riwayat yang menyandarkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa salam adalah bermasalah, selain tentang puasa dan melapangkan nafkah bagi keluarga. Namun, memandangkan amalan - amalan tersebut termasuk dalam anjuran umum untuk dilakukan, maka tidaklah menjadi masalah untuk melakukannya, asalkan tidak dinisbahkan fadhilat dan anjuran perlaksanaannya secara khusus pada hari `Asyura kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan pasti.

Khamis, Julai 11, 2024

Shalawat Fatih -Sidi Jailani ?

Sebagaimana yang pernah faqir tulis bertahun dahulu, Shalawat Fatih dengan sedikit perbezaan lafaz, ada ulama yang menisbahkannya kepada Sultanul Awliya` Syaikh `Abdul Qadir al-Jailani qaddasaAllahu sirrahul `aziz. Tok Syaikh Wan Ali Kutan rahimahullah dan Kiyai Agung Sidi Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi qaddasaAllahu sirrah, adalah antara ulama yang berpendapat sedemikian, sama seperti pandangan guru beliau Sidi Ahmad bin Zaini Dahlan  rahimahullah. Dalam al-Futuuhatul Ilahiyyah pada halaman 17, Kiyai Agung menukilkan sebagai berikut:- Adapun shighah shalawat yang dinisbahkan kepada Sayyid al-Kamil, asy-Sayyid, asy-Syarif, asy-Syaikh `Abdul Qadir al-Jailani radhiyaAllahu `anhu, iaitu "Allahumma shalli wa sallim `ala Sayyidina Muhammad, al-Fatihi limaa ughliq....." Maka telah ramai awliya menyatakan bahawa lafaz shalawat ini mengandungi asrar (rahasia -rahasia) dan keajaiban - keajaiban yang tidak terjangkau oleh akal. Sesiapa yang melazimi membacanya 100 kali setiap hari, akan t\dibukakan baginya hijab - hijab banyak (yakni akan dihilangkan Allah baginya bermacam tabir yang menghalang dia untuk mencapai makrifatullah dan mahabbatullah), diberikan baginya nur - nur yang banyak, dan ditunaikan baginya segala cita - cita yang tiada siapa mengetahui kadarnya selain Allah.

Tok Syaikh Wan Ali Kutan dalam al-Jawharul Mawhub pada halaman 29 memuatkan terjemahan yang persis seperti ibarat dalam al-Futuuhatul Ilahiyyah, memberikan andaian bahawa kedua - dua ulama ini menukilkan ibarat asal dari satu sumber yang sama. Nukilan beliau adalah seperti berikut:- ( Ini shalawat) bagi Syaikh `Abdul Qadir al-Jailani radhiyaAllahu `anhu, iaitu .."Allahumma shalli wa sallim `ala Sayyidina Muhammad, al-Fatihi lima ughliq ...." Telah menyebut kebanyakan daripada arifin bahawasanya shalawat ini bagi membukakan asrar dan yang ajaib - ajaib yang terhairan oleh akal. Barangsiapa mengekali atasnya tiap - tiap hari 100 kali nescaya terbuka baginya daripada segala hijab dan hasil baginya daripada anwar dan menunaikan segala hajat barang yang tiada mengetahui kadarnya melainkan Allah ta`ala.

Semoga bermanfaat dan tambah semangat dalam beramal, tanpa menghirau kepada celaan para pencela yang bertopengkan sunnah dan merasakan diri lebih sunnah berbanding para ulama dan awliya umat ini. Ingat pepatah Melayu, hanya jauhari mengenal manikam, jangan tertipu dengan kilauan kaca hingga akhir dikata intan.


Guru Ijai Tentang Shalawat Fatih


Rabu, Julai 03, 2024

Dalail - Hakimul Ummah

Hakimul Ummah Maulana Asyraf Ali Thanwi rahimahullah berkata:- "People request permission (ijazah) for reciting Dalailul Khairat from the piously elders (syuyukh). There is a faulty intention in doing so, as they believe that reciting it without permission (ijazah) will be without any blessing (barakah). Most likely, the system of acquiring permission was intially developed to make sure that the wordings of the text were correctly transmitted. While giving the permission, the syaikh used to listen to the recitation and made any correction needed. If someone asks me regarding the recitation of Dalailul Khairat, I tell him to recite but leave the recitation of the statements that say: "Qala an-Nabiy shallaAllahu `alaihi wa sallam". This is because few of the hadis in it are fabricated (maudhu`). Apart from this, its subject matter is completely accurate.

Begitulah pernyataan salah seorang ulama besar benua IndoPak dalam Majmu`al Malfuzat: al-Kalam al-Hasan yang dterjemahkan dalam Bahasa Inggeris pada halaman 106. Maka amalan membaca kitab shalawat Dalailul Khairat tidak dipertikaikan oleh majoriti ulama di sana, samada Deobandi atau Barelwi. Mereka tidak mempermasalahkan ungkapan shighah - shighah shalawat yang disusun oleh Imam al-Jazuli rahimahullah, yang dipertikaikan adalah beberapa hadis yang disebut oleh beliau dalam mukaddimahnya yang mengikut disiplin ahli hadis tidak sabit. Para ulama kita bersikap adil, buang yang keruh ambil yang jernih; berbeza dengan puak sebelah yang marahkan nyamuk kelambu dibakar. Wujudnya satu dua hadis bermasalah tidak menjadikan Dalailul Khairat sebagai kitab sesat yang perlu dibakar. Berlaku adil kepada penyusunnya yang diiktiraf oleh ramai ulama sebagai seorang yang alim, faqih lagi wali. Ra-isul Muhadditsin, Mawlana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah dalam karangan beliau Fadhail Duruud Syarif pada halaman 155 menulis: Syaikh Zarruq rahimahullahu ta`ala menulis bahawa kubur penyusun Dalailul Khairat (Syaikh Abu Abdullah Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli rahimahullah) berbau wangi semerbak harum bagaikan kasturi dan anbar kerana keberkatan shalawat.

Rabu, Jun 19, 2024

TG Haji Wan Ali Jambu

Tuan Guru Haji Wan Ali al-Jambuwi (1915 - 1995) adalah antara ulama pondok di Patani Darus Salam. Beliau di lahirkan di Pekan Jambu, Daerah Yaring. Memulakan pengajian formal di sekolah sehingga tamat Tingkat 4 sebelum memutuskan untuk mendalami ilmu agama. Untuk tujuan tersebut, beliau telah berkelana ke Kelantan Darun Naim untuk berguru dengan ulama tersohor ketika itu, almarhum al-`Alim al-`Allaamah al-Wali Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad yang lebih terkenal dengan sebutan Tok Kenali, ulama yang telah mencetak ratusan ulama yang menabur jasa di rantau Melayu.
Setelah mondok dengan Tok Kenali, beliau berangkat pula ke Mekah untuk menyambung pelajaran di Madrasah ash-Shaulatiyyah dan berguru dengan para ulama Tanah Haram. 12 tahun beliau di Mekah, maka sekitar 1946 beliau balik ke Patani lalu membuka pondok di Kampung Sekam yang dinamakan sebagai Madrasah Batu - Furu` ash-Shaulati al-`Alawi. Beliau mengajar hampir 45 tahun di pondoknya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 1995 ketika berusia 80 tahun. Di antara karangan beliau yang masih dicetak dan beredar dalam masyarakat adalah Pengingatan Muslimin bagi isyrathus sa`ah akhir zaman yang membicarakan secara ringkas tapi padat tentang alamat - alamat besar akhir zaman seperti Imam Mahdi, Nabi Isa, Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Mudah - mudahan Allah menyirami roh beliau dengan siraman rahmat kasih sayang serta menempatkan beliau di dalam syurga Jannatun Na`im, al-Fatihah.

Jumaat, Jun 14, 2024

Shalawat Nur - Kiyai Shaleh Darat

Shalawat Badawi Shughra atau lebih dikenali sebagai Shalawat Nuril Anwar telah lama menjadi bacaan dan amalan ulama dan awam umat Islam di berbagai belahan dunia Islam. Pengamal yang istiqamah mengamalkannya telah merasai keberkatannya sehingga pengalaman tersebut diceritakan dan tersebar. Maka, tercatatkan kisah - kisah khasiat atau fadhilat atau keberkatannya dalam karangan para alim ulama. Semuanya hasil tajribah dan pengalaman individu, maka terpulang untuk percaya atau tidak, tiada masalah, sebab bukannya firman Allah jalla wa`ala dan sabda Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tak perlu kita habiskan beras untuk bertelagah mengenainya, nak pakai pakai, tak nak pakai sudah. 

Maka di antara ulama yang menulis sedikit tentang keberkatan dan khasiat Shalawat Nuril Anwar ini adalah gurunya para kiyai di Jawa, Kiyai Haji Muhammad Shaleh bin Umar bin Muhammad Tasnim as-Samarani @ Kiyai Shaleh Darat (1235 - 1321H). Beliau rahimahullah menyebut di awal kitabnya Minhajul Atqiya` yang merupakan syarah beliau dalam Bahasa Jawa bagi syair Hidayatul Adzkiya` dinyatakan sebagai berikut (setelah diMelayukan):- "... Orang mukmin sewajarnya juga membaca shalawat yang dinisbahkan kepada Sayyid Ahmad al-Badawi yang shighahnya [ Allahumma shalli `ala Nuril Anwari...]. Ada pun faedah daripada shalawat ini adalah:- Barangsiapa yang memperbanyak membaca shalawat ini, maka semua hajatnya akan terpenuhi, kesusahannya akan hilang, semua perkara sulit akan menjadi mudah, akan muncul cahaya di hatinya, dikurniai ilmu sir dan semua hajatnya akan dimudahkan. Faedah dari shalawat ini sudah teruji. Adapun kaifiatnya adalah membacanya sebanyak 100 kali atau 92 kali setiap hari.

Mudah - mudahan bermanfaat, shallu `alan Nabi Muhammad.


Jumaat, Jun 07, 2024

Faedah Dari Kunuzul Asrar

Kitab Kunuzul Asrar merupakan karya seorang ulama dan pemuka Thariqat asy-Syadziliyyah, al-Imam al-`Arif bilLah Sidi `Abdullah al-Khayyaath bin Muhammad al-Haarusy al-Maghribi al-Faasi at-Tunisi rahimahullah. Kitab ini menghimpunkan berbagai jenis lafaz shalawat yang menurut pengarangnya memiliki kelebihan dan khasiat yang tertentu. Kitab ini mendapat perhatian awam dan khawas, bahkan tidak kurang yang menjadikannya sebagai bacaan dan wiridan mereka. Di antara shalawat yang terkandung dalam kitab tersebut adalah shalawat yang kira - kira ertinya: Ya Allah, limpahkanlah shalawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga, sahabat dan pengikut baginda, selagi mana mata masih dapat memandang; bumi masih disirami hujan; manusia masih menunaikan haji dan umrah; masih ada yang bertalbiah bertahallul, melaksanakan korban, tawaf dan mencium Hajaral Aswad."

Syaikh Yusuf an-Nabhani menukilkan shalawat ini sebagai Shalawat ke-103, pada halaman 329 kitab Sa`adatud Daarain. Beliau dalam komentar ringkasnya menyatakan Syaikh al-`Iyaasy menemui catatan pada dinding kubah sebahagian awliya` bahawasanya membaca shalawat ini sekali seumpama membaca 500,000 shalawat. Oleh sebab dalam shalawat ini ada disebutkan tentang haji dan umrah juga amalan bersangkutan seperti tawaf dan tahallul, maka ada ulama yang menganjurkan ia dibacakan dalam bulan haji. Mungkin antara hikmahnya, selain untuk mengambil sempena, adalah sebagai pengubat kepiluan dan kerinduan mereka - mereka yang belum diberi kesempatan melaksanakan ibadah haji tersebut.


Habib `Abdul Bari bin Syaikh bin `Aydrus al-`Aydrus, ulama Hadhramaut yang wafat di Tarim pada tahun 1358H, sering mengingatkan murid dan pencinta beliau agar memperbanyakkan bershalawat dengan shalawat ini ketika masuk bulan DzulHijjah, terutama sekali pada hari `Arafah. Beliau rahimahullah menyatakan bahawa para salaf (yakni ulama dan leluhur Ba `Alawi) tidak meninggalkan shalawat ini terutama pada saat hari Arafah (yakni saat jemaah haji berwuquf di Arafah), mereka memperbanyakkan membaca shalawat ini. Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana  isi kandungan shalawat tadi yang memohon agar ganjaran shalawat yang kita hatur kepada baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam diganda dan dilestari, antaranya, selagi ada orang yang mengerjakan ibadah haji dan umrah, bertalbiah, bertahallul, menyembelih korban, tawaf dan mengucup Hajaral Aswad. Sebanyak mana bilangannya dan selagi mana ada yang melakukannya, maka sedemikian itulah harapan kita agar ganjaran shalawat kita digandakan dan dipanjangkan oleh Allah ta`ala.

Memandang kepada besarnya ganjaran yang dipohon dan keluasan rahmat Allah yang tidak berpenghujung, tidak hairan, Habib Hamid bin Alwi bin Thahir al-Haddad, seorang ulama ahlil bait yang lahir di Qaydun dan wafat di Mekah tahun 1415H, menulis dalam kitab shalawat beliau, al-Hadiyyatus Saniyyah pada halaman 18 bahawa membaca shalawat ini 5 kali mudah-mudahan menjadi penebus diri pembacanya dari azab neraka. Semoga shalawat ini dapat dijadikan tambahan pada amalan kita sebagaimana saranan dan pesanan para ulama kita. Mudah - mudahan berkat di dunia dan di akhirat.

Klip Ustazah Halimah al-`Aydrus 


Rabu, Mei 29, 2024

Martsiyyah Sayyidah Shafiyyah

Di dalam banyak - banyak syair bangsa Arab, ada yang dinamakan syair ritsa` atau martsiyyah. Dalam tradisi Melayu, syair atau sajak seperti ini tidak masyhur walaupun ada. Ini adalah bentuk syair yang diucapkan ketika atau selepas seseorang meninggal dunia bagi melahirkan kepiluan ditinggalkan serta mengenang kebaikan si mati ketika hayatnya. Ketika Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam wafat, di antara yang mengubah ritsa` bagi melepas pemergian baginda ke sisi ar-Rafiqul A'la adalah ibu saudara baginda yang bernama Sayyidah Shafiyyah binti Abdul Muthallib radhiyaAllahu `anha. Martsiyyah Sayyidah Shafiyyah ini masyhur dan dimuatkan dalam berbagai karya termasuklah dalam karangan - karangan hadis. Imam ath-Thabrani menukilkannya dalam al-Mu'jam al-Kabir yang mana menurut Imam al-Haitsami dalam Majma` az-Zawaid pada jilid 17, halaman 465 - 466, sanadnya adalah hasan.

Sayyidah Shafiyyah radhiyaAllahu `anha dalam ritsa` tersebut memanggil Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan seruan "ya nida`" yakni dengan seruan "Ya,RasulAllah". Antara kata - kata yang beliau ungkapkan dalam ritsa` tersebut adalah: "Saksikanlah, Ya RasulAllah, engkau telah menjadi (sumber / sebab) kesenangan kami (rakha-ana) (dalam riwayat lain "harapan kami (raja-ana)"). Maka jika semata - mata menyeru atau memanggil Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan ungkapan - ungkapan seperti "Ya Nabi" atau "Ya RasulAllah" itu syirik secara mutlak, maka adakah kita tergamak menghukum ibu saudara baginda, Sayyidah Shafiyyah sebagai musyrik? Barang diingat bahawa seruan dalam ritsa` tersebut dilakukan dan diucap selepas roh suci baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam berpisah dengan jasad yang mulia, yakni selepas kewafatan baginda meninggalkan alam dunia berpindah ke alam barzakh. Maka janganlah bermudah - mudah menghukumkan sesama saudara sebagai musyrik dengan sebab - sebab yang tidak qathie.

Isnin, Mei 06, 2024

Pinggan Berdoa

Di antara perbuatan sunat yang didasarkan kepada sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah mengutip serta memakan makanan yang terjatuh dari suapan atau pinggan yang kita makan. Juga disunatkan setelah selesai makan, jari jemari tangan kanan yang digunakan untuk makan, terutamanya  3 jari iaitu jari tengah, jari telunjuk dan ibu jari, dijilat. Begitulah juga dengan pinggan yang telah kita gunakan untuk makan tadi. Di antara dasar bagi amalan ini adalah sabdaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sebagai berikut:- " Adalah Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika selesai memakan sesuatu makanan, baginda menjilat jari - jarinya yang tiga (yakni Junjungan biasanya makan dengan tiga jari, iaitu jari tengah, jari telunjuk dan ibu jari, bersesuaian dengan diet baginda seperti tamar, roti dan seumpamanya, yang hanya perlu menggunakan 3 jari untuk mengambil dan menyuap ke mulut) dan baginda bersabda: " Jika suapan seseorang daripada kamu terjatuh, (kutiplah semula) lalu hilangkan daripadanya kekotoran ( jika ada) dan makanlah ia, jangan ditinggalkan untuk dimakan oleh syaitan." Baginda menganjurkan kepada kami untuk menyapu / mengusap pinggan makan (dengan jari) dan bersabda: "Sesungguhnya kamu tidak tahu pada makanan yang manakah terletaknya keberkatan."

Diterangkan bahawa kaifiat menjilat jari menurut sunnah adalah dengan memulakan jilatan pada jari tengah, lalu jari telunjuk dan akhirnya ibu jari. Manakala "jilat" pinggan itu tidaklah bererti pinggan itu dijilat terus dengan lidah seperti anjing atau kucing menjilat - jilat bekas makanannya. Ulama kita menerangkan perlakuan menjilat pinggan adalah dengan menghabiskan segala sisa atau bekas makanan yang ada pada pinggan tersebut, lalu mengusap atau menyapu pinggan tersebut dengan telunjuk jari tangan kanan kita dan setelah itu menjilatnya. Inilah yang dikatakan sebagai men"jilat" pinggan.

Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah di akhir karangan beliau yang dinamakan Perhubungan Bughyatuth Thulaab menerangkan kaedah dan fadhilahnya seperti berikut:-

...Dan sunat ia memungut akan tumpah pada makanan, maka dimakannya. Dan sunat apabila memakan pada umpama pinggan kayu, disapunya dengan telunjuknya yang lekat pada pinggan dan dijilatnya yang bekas makanan pada anak jarinya kerana tersebut dalam hadis yang riwayat daripada Bazzar bahawasanya berkata pinggan yang kita jilat makanan yang padanya: "Allahumma ajirhu minan naari kamaa ajaarani min la'qisy syaithaan,"  - "Hai Tuhanku, lepaskan olehMu akan dia daripadanya api neraka seperti ia melepaskan kami daripada jilat oleh syaitan.....

Perbuatan menjilat jari dan pinggan, setelah selesai makan sebagai satu perbuatan sunat tidak menjadi pertikaian di sisi para ulama, kerana ianya tsabit daripada nas yang shahih. Namun, yang dipermasalahkan oleh sebahagian adalah kelebihan atau fadhilat melakukan perbuatan tersebut kerana riwayat - riwayat mengenai kelebihannya ada yang dhaif. Jika pun riwayat - riwayat tersebut dhaif, ia hanya berkaitan dengan masalah fadhail sahaja, yang tujuannya adalah sebagai pelengkap dan motivasi melakukan sunnah tersebut.

Di antara kelebihan adalah sebagaimana disebut oleh Mawlana Syaikh Daud tadi dan juga faqir nukilkan sebagai tambahan apa yang disebut oleh Imam ad-Damiri rahimahullah  dalam an-Najmul Wahhaaj fi syarhil Minhaaj, juz 6, halaman 260, sebagai berikut:- 
...Dan mustahab untuk memakan semula suapan yang terjatuh, menjilat jari jemari dan pinggan makan, kerana ada hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Ibnu Majah daripada Nubaisyah al-Aslami bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang makan dari pinggan, kemudian dia menjilatnya (yakni menyapu / mengusap sehingga bersih pinggan dengan jari dan menjilat jari tersebut), maka pinggan tersebut akan beristighfar baginya (yakni pinggan tersebut akan berdoa agar dia mendapat keampunan Allah). Menurut yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, pinggan tersebut berdoa dengan katanya: "Ya Allah, selamatkan dia dari api neraka sebagaimana dia menyelamatkan aku daripada jilatan syaitan."

Mudah - mudahan kita tergolong dalam kalangan yang mendapat doa daripada makhluk - makhluk Allah, daripada doanya para malaikat yang maksum sehingga doa benda - benda jamadat seperti pinggan mangkuk dan sebagainya. Jangan - jangan ampunan Allah bagi kita terselit dalam doa - doa tersebut. Makanya jadi manusia jangan sombong dan bongkak, jangan memandang rendah dan hina kepada makhluk lain. Ingat, orang yang tawadhu itu dikasihi Khaliq dan makhluk.

Isnin, April 29, 2024

Tahlil Jaami` Sidi Ahmad

Di antara wirid asas yang terpenting dalam Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah adalah lafaz tahlil yang dirangkaikan dengan pengharapan agar ganjaran pahalanya digandakan Allah dengan berlipat kali ganda. Maka dinamakan zikir atau tahlil ini sebagai Zikir @ Tahlil Jaami` yakni ucapan zikir tahlil yang menghimpunkan ganjaran pahala yang teramat besar sehingga tak terperi. Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah adalah salah satu thariqat yang masyhur dan ramai pengamalnya di dunia termasuklah di negara kita ini. Di Malaysia, ianya telah lama bertapak di Kelantan dan Negeri Sembilan, hingga ke saat ini masih ada dan berkembang. Ada pun tahlil jaami`, para ulama kita, walaupun tidak berafiliasi dengan Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah secara khusus atau ketat, turut menganjurkan bacaan tahlil jaami` sebagai upaya mencapai gandaan ganjaran sebagaimana yang dilafazkan. Zikir ini telah masyhur dan rata diamalkan oleh ulama dan awam, samada pengamal Thariqat Ahmadiyyah Idrisiyyah atau bukan. Misalnya, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pun mengamalkannya dan memasukkan zikir ini dalam Zikir Pagi Jumaat yang biasa beliau baca bersama jemaah. Almarhum al-Muhaddits Dr. Muhammad bin `Alawi al-Maliki dan al-Faqih Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith hafizahullah turut menganjurkan membaca Tahlil Jami` ini.

Buya al-Maliki dalam kitab zikir dan wirid yang biasa beliau ijazahkan kepada muridin dan muhibbin, Khulasah Syawaariqal Anwaar, halaman 31, berpesan sebagai berikut:- (Jangan  Tinggalkan) Untuk menyibukkan diri dengan zikir:- " { La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah }, fi kulli lamhatin wa nafasin `adada maa wasi`ahu `ilmUllah." Sesungguhnya ia adalah zikir jaami` (yakni zikir yang menghimpunkan ganjaran pahala) bagi segala wirid.
 
Untuk melengkapkan faedah, faqir nukilkan sejarah Tahlil Jaami` sebagaimana tercatat dalam karya Ustaz Muhammad bin Ali bin Ahmad al-Ibrahimi, yang membahas tentang wirid - wirid yang biasa diamalkan selepas sembahyang, berjodol an-Nafahatur Rabbaniyyah fil Awradil Madaniyyah. Pada halaman 79 dinyatakan sebagai berikut:
Mengkhatam Dengan Tahlil Yang Jaami`

Disukai kita mengkhatam atau menutup tahlil kita itu dengan lafaz tahlil yang jaami`:-
 "La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah, fi kulli lamhatin wa nafasin `adada maa wasi`ahu `ilmUllah", artinya: "Tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad itu Pesuruh Allah, pada tiap - tiap kelipan mata dan hembusan nafas, sebanyak - banyak bilangan barang yang diliputi oleh ilmu Allah. 

Tahlil yang jaami` ini berasal daripada al-`Arif biLlah al-Imam as-Sayyid Ahmad bin Idris radhiyaAllahu `anhu. Ia menerimanya di dalam suatu pengalaman rohaniahnya, di dalam mana ia berjumpa dengan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam beserta dengan Nabi al-Khidhr `alaihis salam. Tahlil yang jaami` ini ditalqinkan kepadanya, mula - mulanya oleh Nabi al-Khidhr `alaihis salam atas suruhan daripada Nabi kita shallaAllahu `alaihi wa sallam, bersekali dengan talqin shalawat dan istighfar yang jaami`. Kemudian Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sendiri mentalqinkannya kepada as-Sayyid Ahmad radhiyaAllahu `anhu. Di dalam pengalaman itu Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mengatakan kepadanya, bahawa ia telah dikurniakan anak - anak kunci langit dan bumi, iaitu tahlil yang khusus itu, beserta dengan shalawat yang `adzimah dan istighfar yang kabir. Barangsiapa mengucap tiap - tiap suatu daripadanya sekali, maka ganjarannya adalah kadar dunia dan akhirat dan barang yang di dalam keduanya, berlipat - lipat kali ganda banyaknya.......
Dalam an-Nujumuz Zahirah, halaman 76, Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith hafizahullah berpesan agar kita mengamalkan tahlil jaami` Sidi Ahmad bin Idris radhiyaAllahu `anhu selepas setiap shalat fardhu sebanyak 4 kali. Beliau menyatakan bahawa membaca sekali tahlil tersebut seumpama membaca 72,000 kali ucapan tahlil yang biasa. Ini adalah kerana ghalibnya pada setiap hari, seseorang bernafas sebanyak 24,000 kali, manakala matanya pula berkelip sebanyak 48,000 kali, menjadikan jumlah bilangan nafas dan kelipan matanya sebanyak 72,000 kali. Ini menurut anggaran sebahagian orang, bukannya mesti dan pasti sebanyak itu.

Pada hemat faqir yang dhaif, mungkin ini jumlah yang dapat dihitung dan dikira - kira, sedangkan yang dalam keluasan ilmu Allah, di mana ilmu Allah itu berta`alluq dengan segala wajibat, mustahilat dan jaa-izat, tiada siapa yang mengetahuinya selain Zat Yang Maha Mengetahui, Allah `azza wa jalla. Jadi jumlah 72,000 tersebut hanyalah bilangan yang kecil, yang dapat dihitung berdasarkan turun naik nafas dan pejam celiknya mata. Gandaan yang sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahui, tertakluk kepada KehendakNya dan kabul daripadaNya jua, dari nol hinggalah ke tak terperi. Kita selaku hamba hendaklah sentiasa berbaik sangka dengan Zat yang Maha Pengasih Maha Penyayang yang berkuasa mutlak memberikan balasan yang berlimpah ruah tak terhitung kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Semoga segala amalan kita diterima Allah dan diredhaiNya sehingga menjadi sebab kita melangkah ke syurga dengan rahmatNya jua.

Habib Muhammad al-Maliki


Guru Kapuh


Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Rabu, Mac 27, 2024

Shalawat KH Raden Asnawi Kudus

 



Khamis, Februari 29, 2024

Ayatul Kursi & Wirid

Dinyatakan sebagai ayat teragung dalam al-Quran oleh Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mempunyai fadhilat dan khasiat yang menakjubkan, selain ajaran dan panduan yang luhur. Ramai yang menghafalnya dan menjadikan sebahagian wirid penting mereka. Itulah Ayatul Kursi, ayat yang ke-255 dalam Surah al-Baqarah. Kelebihan, khasiat dan ganjaran bagi sesiapa yang membaca ayat ini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat Islam. Perkara ini disebut dalam berbagai nas yang shahih, hasan dan dhaif. Oleh itu, ianya menduduki tempat yang istimewa dalam hati dan dada umat ini.

Di antara fadhilatnya sebagaimana tercatat dalam Kanzul Ummal, jilid 2, adalah sesiapa yang mewiridkan bacaannya setiap selepas shalat fardhu, maka Allah ta`ala sendiri yang akan mencabut nyawanya menjelang ajal, yakni tatkala menjelang ajalnya dia akan mendapat perhatian rahmat khusus daripada Allah `azza wa jalla. Di samping itu, dia juga akan diberikan kedudukan seperti atau seumpama orang yang berjihad di pihak para nabi dan rasul sehingga dia memperolehi kesyahidan. Riwayat - riwayatnya adalah sebagai berikut:
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi, tiadalah diwakilkan untuk mencabut nyawanya (ketika ajalnya) selain Allah ta`ala.
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat, yang mencabut rohnya (nanti) adalah Tuhan Dzul Jalali wal Ikram dan adalah dia seperti orang yang berperang di pihak para nabi dan rasul sehingga dia gugur syahid.
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat fardhu, maka Tuhan yang mencabut rohnya dengan tanganNya (yakni qudrahNya) dan dia diberi kedudukan (seumpama) kedudukan orang yang berperang bagi para nabi dan rasul sehingga gugur syahid.
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat, maka tiada yang mencegahnya dari memasuki syurga selain kematian (yakni, dia tidak dapat masuk syurga hanya kerana dia belum mati). Sesiapa yang membacanya ketika hendak tidur, maka diamankan Allah ta`ala rumahnya, rumah jirannya dan rumah - rumah di sekitarnya (yakni dijaga dari sebarang musibah dan bencana).
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat fardhu, maka tiada penghalang di antara dia dengan masuk syurga kecuali mati.
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat,  tiadalah di antara dia dengan masuk syurga selain kematiannya, maka apabila dia mati, masuklah dia syurga.
Allahu ... Allah, walaupun riwayat - riwayat tersebut ada yang shahih dan ada yang dhaif, namun tidak sewajarnya kita biarkan sahaja tanpa tergerak hati untuk kita menjadikan bacaan ayat yang agung ini sebagai wirid yang kita lazimi setiap selepas shalat. Juga barang diingat, bahawa berzikir atau berwirid dan berdoa selepas shalat fardhu, apatah lagi dengan zikir - zikir selepas shalat yang ma'tsur, samada panjang atau ringkas, adalah satu sunnah yang sunat hukumnya, yakni seseorang yang berzikir selepas shalat fardhu akan mendapat ganjaran pahala yang berganda, iaitu pahala sunat berzikir secara umum (mutlak) dan pahala sunat berzikir selepas shalat fardhu secara khusus. Namun semuanya tertakluk kepada qasad atau niatnya, yakni jika niat atau qasadnya pada permulaan zikir atau ketika berzikir adalah untuk melakukan zikir - zikir yang sunat selepas shalat sebagaimana anjuran syarak, maka dia akan mendapat ganjaran berzikir secara mutlak dan juga ganjaran khusus kesunnahan berzikir selepas shalat. Jika dia berzikir tanpa sebarang niat, maka dia hanya memperolehi pahala berzikir secara mutlak. Ini adalah kerana setiap amalan itu tergantung dengan niatnya, namun keluasan rahmat Allah itu tiada terhingga.

Menurut sebahagian ulama, kesunnahan berzikir atau membaca wirid dan berdoa selepas shalat fardhu ini juga berlanjutan masanya sehingga masuk shalat fardhu yang berikut, walaupun dipisahkan oleh senggang waktu yang panjang atau telah diceraikan dengan percakapan atau pekerjaan lain. Berzikir atau berwirid dan berdoa sejurus sahaja selesai shalat fardhu itu afdhal dan akmal menurut mereka namun jika dilakukan kemudian daripada itu, tetap mendapat pahala sunat berzikir atau berwirid selepas shalat fardhu dan bukan hanya pahala sunat berzikir secara mutlak. Inilah pandangan sebahagian ulama kita, walaupun ada ulama lain yang berpandangan sebaliknya. Apa - apa pun, sayogia selepas shalat fardhu jangan ditinggalkan berzikir atau berwirid dan berdoa walaupun secara ringkas, dengan mendahulukan wirid zikir yang ma'tsur, walaupun sekadar istighfar dan Allahumma antas Salam.... Maka biasakan dan lazimkan berwirid dan berdoa selepas shalat fardhu, jangan lepas salam lantas jalan. Di dunia ini mungkin kita tak nampak, namun nanti di akhirat, hatta setelah kita jadi ahli syurga pun, kita akan menyesal kerana berlalunya masa - masa kita di dunia ini tanpa zikrullah. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Setiap detik masa yang dibiarkan berlalu pergi oleh seseorang anak Adam tanpa diisi dengan zikir mengingati Allah atau ibadah (yakni samada zikir dan ibadah khusus maupun umum) akan menjadi sesalan baginya pada Hari Kiamat (yakni dia akan menyesal atas kealpaan dirinya setelah dia melihat bagaimana besar ganjarannya)." 

Sebagai penutup, faqir kongsikan 2 faedah bagi kita yang bermazhab Syafie. Yang pertama, menurut sebahagian ulama kita, segala amalan atau wirid atau zikir yang berwaktu seperti wirid - wirid selepas shalat fardhu, apabila luput waktunya sunat pula diqadha pada waktu - waktu yang lain. Yang kedua, wirid selepas shalat fardhu boleh juga diindiraj (yakni dimasukkan atau digabungkan niat - niatnya) dengan wirid lain yang serupa, menurut sebahagian ulama kita, antaranya Imam Ibnu Hajar rahimahullah. Contoh, Tasbih Siti Fatimah ( yakni 33 kali tasbih, 33 kali tahmid, 33 kali takbir, lalu ditutup dengan tahlil sekali) adalah sunat dibaca selepas shalat fardhu dan juga sebelum tidur. Maka jika seseorang, selepas dia menunaikan shalat fardhu Isyak belum lagi membaca Tasbih Siti Fatimah, maka ketika hendak tidur dia boleh melakukannya dengan niat mendatangkan zikir selepas shalat fardhu Isyak yang belum dia lakukan beserta membaca zikir sebelum tidur. Dengan sedemikian, dia akan mendapat ganjaran bagi kedua - dua zikir yang diniatkannya tersebut. Maka qiyaskanlah pada yang sedemikian akan lain - lain zikir yang sunat dilakukan selepas shalat dan sebelum tidur seperti Fatihah, Ayatul Kursi, Surah al-Ikhlas dan sebagainya.

Tercatat ibaratnya dalam Bughyatul Mustarsyidin pada halaman 48 sebagai berikut:-

...(Masalah daripada fatwa Habib Abdullah bin Umar bin Abu Bakar BinYahya) zikir - zikir yang warid selepas shalat (wirid shalat), zikir ketika hendak tidur, zikir ketika bangun tidur, zikir - zikir petang (malam) dan zikir - zikir pagi (siang), jelas mesti diniatkan (yakni diniatkan sebagai zikir khusus untuk waktu tersebut) sebagaimana niat yang terdahulu bahasannya dalam bab wudhu, iaitu niat untuk mencari keredhaan Allah dan niat ketika memulakan zikirnya untuk meraih ganjaran yang dikhususkan dengan zikir tersebut dalam waktunya........... Telah berfatwa Imam Ibnu Hajar bahawa sesiapa yang meninggalkan zikir - zikir (wirid) selepas Isyak, lalu melakukannya ketika hendak tidur, jika dia berniat dengan kedua-duanya sekali (yakni berniat zikirnya adalah untuk melaksanakan wirid Isyak dan juga wirid tidur), maka terhasil baginya ganjaran pahala kedua-duanya (yakni pahala zikir selepas shalat dan pahala zikir tidur). Jika dia hanya berniat dengan salah satu daripadanya, maka terhasillah pahala bagi yang dia niatkan sahaja, namun gugur tuntutan bagi zikir yang satu lagi yang tidak dia niatkan, dengan pengertian, tidak terhasil ganjaran yang warid bagi zikir yang tidak diniatkan tersebut. Jika dia tidak berniat ketika berzikir tadi dengan sesuatu daripada keduanya (yakni dia berzikir secara mutlak tanpa meniatkan sebagai zikir tidur atau zikir selepas shalat atau kedua -duanya sekali), maka tidaklah dia memperolehi ganjaran yang dikhaskan untuk zikir - zikir tersebut (yakni zikir tidur atau zikir selepas shalat), hanya terhasil baginya ganjaran berzikir secara mutlak.

Inilah pandangan yang dinukilkan oleh Khatimatul Muhaqqiqin, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah. Namun, tidak semua ulama yang sependapat dengan beliau. Imam Ibnu Ziyad rahimahullah berpandangan sebaliknya, dalam Ghayatu Talkhish yang dicetak di tepi Bughyah pada halaman 89 dinyatakan sebagai berikut:- 

....Maka jika dikatakan bahawa mustahab mengqadha wirid shalat, lalu seseorang melakukannya ketika hendak tidur dengan diniatkan sebagai zikir shalat dan juga zikir tidur, maka tidaklah terhasil dengannya (ganjaran) dua amalan sunat tersebut (iaitu sunat berzikir selepas shalat dan sunat berzikir sebelum tidur.)....

Faqir harap ibarat - ibarat di atas dapat difahami pembaca dan bermanfaat. Yang penting kita sentiasa berzikir, dengan lisan, dengan hati, dengan nafas, dengan pandangan lirikan dan kelipan mata, dengan segala anggota, dengan segala rupa bentuk amal ibadah, samada khusus atau umum, dengan menjunjung segala titah perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya, pada setiap masa dan ketika sehingga ajal menjelang tiba. Semoga setiap hari, ilmu dan amalan kita bertambah dengan istiqamah.


Sabtu, Februari 24, 2024

Doa Nishfu - Syaikh Muhd an-Nabhan

Sempena kedatangan malam yang mulia, mari kita sama - sama bertabarruk mendengar bacaan Doa Nishfu oleh almarhum Syaikh Muhammad bin Ahmad bin Nabhan, seorang wali dan ulama dari Halab, Syria. Juga sebagai peringatan bahawa menyambut malam yang mulia ini dengan bacaan Doa Nishfu yang masyhur telah menjadi amalan para ulama dan awliya di serata dunia Islam, bukan hanya di Nusantara sahaja. Mudah - mudahan Allah memberi kita umur yang panjang penuh ketaatan dan keberkatan; Dipelihara daripada segala bala bencana di dunia dan akhirat; Dimurahkan rezeki dan dilapangkan kehidupan lalu akhirnya ditutup dengan husnul khatimah.