Shalawat Syaikh Arsyad
Tuan Guru Haji Munawwar bin Ahmad Ghazali adalah salah seorang ulama Banjar yang disegani. Beliau dikenali sebagai Guru Kubah Kampung Melayu, Martapura. Beliau merupakan murid almarhum Guru Haji Seman Mulia, Guru Ijai dan lain - lain ulama Banjar. Kealimannya diakui masyarakat sehingga ketika berusia muda dalam 19 tahun, beliau telah dilantik untuk mengambilalih dan meneruskan kelas - kelas pengajian yang diasuh oleh ayahandanya KH Ahmad Ghazali setelah beliau kembali ke rahmatullah. Beliau juga rajin mengarang dan di antara karangannya satu risalah yang menukilkan beberapa manaqib Datu Kalampayan @ Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari rahimahullah yang berjodol Fathush Shamad.
Pada halaman 64 risalah tersebut, beliau menukilkan satu shalawat yang dinisbahkan kepada Maulana Syaikh Arsyad al-Banjari rahimahullah. Beliau menyatakan sebagai berikut:- Shalawat karangan asy-Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Hendaklah engkau baca tiap - tiap hari dengan sungguh - sungguh kerana terlalu amat bauk. Tiada jua yang membaca ia satu kali, maka sama membaca Dalailul Khairat sekhatam.
Inilah shalawat yang dinisbahkan kepada al-`Alim al-Allaamah Mawlana Syaikh Arsyad bin Abdullah al-Banjari rahimahullah. Di dalam shalawat ini dinyatakan bahawa Junjungan Nabi sebagai seawal - awal makhluk Allah (Awwalu Makhluqaat), yakni makhluk yang pertama dijadikan Allah, iaitu merujuk kepada penciptaan nur baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang juga disebut sebagai Nur Muhammad atau Ruhul A'dzam dan beberapa gelar lagi. Jadi ini menegaskan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah makhluk Allah dan bukannya satu juzuk atau sebahagian daripada Allah atau mempunyai unsur - unsur ketuhanan. Kalimah "nuurun min nuuri Dzatika" yang secara literal diertikan sebagai "satu nur daripada nur Zat Engkau" adalah seerti dengan kalimah "an-Nuridz Dzati" yang ada pada lafaz Shalawat Nuridz Dzati bagi Imam Abul Hasan `Ali asy-Syadzili radhiyaAllahu `anhu. Di mana kalimah tersebut hanyalah semata - mata idhafah tasyrifyyah (nisbah atau sandaran pemuliaan) dan bukannya atas makna hakiki bahawa ianya adalah sebahagian daripada Zat Allah yang Maha Esa pada zat, sifat dan af`al, lagi Maha Suci daripada menerima bahagi dan berjuzuk - juzuk.
Shalawat Imam Abul Hasan Ali asy-Syadzili, pendiri Thariqah asy-Syadziliyyah, yang masyhur disebut sebagai Shalawat Nuridz Dzati ini telah banyak diamalkan dan disyarahkan akan isi kandungannya oleh para ulama. Di antaranya oleh Imam ash-Shawi rahimahullah, dalam syarah beliau atas Shalawat Imam ad-Dardir rahimahullah yang berjodol al-Asrar ar-Rabbaniyyah wal Fuyudhat ar-Rahmaniyyah. Pada halaman 40, beliau menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan "an-Nuuridz Dzaati" yang disebut dalam lafaz Shalawat Nuridz Dzati sebagai berikut:- ...(Allahumma shalli wa sallim wa baarik `ala Sayyidina Muhammad, an-Nuridz Dzati)...iaitu nur (yang disandarkan kepada) Zat Allah, yang diciptakan dia oleh Allah terus secara langsung tanpa sebarang maadah (unsur asas / bahan baku) kerana dia adalah kunci / pembuka (miftah) bagi kewujudan / penciptaan segala makhluk lain dan juga menjadi maadah bagi kewujudan / penciptaan mereka, sebagaimana yang telah diterangkan dahulu bagimu dalam penjelasan Hadis Jabir (iaitu Hadis Nur Muhammad)..... [ Yakni, nur tersebut yang disandarkan kepada Zat Allah adalah sebagai idhafah tasyrifiyyah atau ta'dzimiyyah semata-mata, untuk menyatakan pemuliaan dan pengagungan serta keistimewaan Nur Muhammad ciptaan Allah tersebut berbanding dengan nur atau makhluk selainnya dan ianya disandarkan terus dengan Zat Allah kerana Allah menciptakannya daripada ketiadaan / ketidakwujudan kepada wujud tanpa sebarang wasithah (perantara seperti kita diciptakan Allah dengan perantara ibubapa kita) maupun maadah (unsur asas / bahan baku seperti jasad kita diciptakan daripada `alaq segumpal darah, manakala jasad Nabi Adam diciptakan daripada tanah sebagai maadah) kerana dialah seawal - awal makhluk yang diciptakan Allah, ketika itu belum ada lagi makhluk selainnya diciptakan Allah.]
Jadi bukanlah maksudnya Nabi Muhammad dan rohnya yang disebut sebagai Nur Muhammad itu sebahagian daripada Zat Allah atau memiliki unsur - unsur ketuhanan sebagaimana pemahaman orang - orang sesat yang mengaku - ngaku sudah mencapai makrifat atau tohmahan pihak yang allergik dengan konsep Nur Muhammad. Baginda dinisbahkan sebagai an-Nur adz-Dzat adalah semata-mata menunjukkan keagungan dan kemuliaan penciptaannya sebagaimana masjid dan Ka'bah disebut sebagai Baitullah (rumah Allah), unta Nabi Saleh sebagai naaqatullah (unta Allah) dan Sayyidina Isa al-Masih `alaihis salam digelar sebagai Ruuhullah (roh Allah atau the spirit of God), yang semuanya itu merupakan sandaran atau nisbah pemuliaan dan pengagungan (idhafah tasyrifiyyah atau ta'dzimiyyah), juga sebagai penegasan semuanya itu adalah makhluk istimewa yang dicipta dan dimiliki oleh Allah jalla wa `azza. Shalawat yang digubah oleh para awliya itu ada kalimah -kalimahnya yang tidak boleh difahami secara literal menurut bahasa semata - mata, kerana mereka bukan sekadar mengubah mengikut kefasihan bahasa sahaja, namun bertunjangkan juga kepada segala ilmu agama terutama ilmu akidah dan selainnya. Jika difahami secara literal, ianya akan membawa kepada kesesatan, namun dengan pemahaman yang shahih, kalimah - kalimah tersebut akan memberikan kesan positif untuk lebih memuliakan dan mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang merupakan an-Nurudz Dzat yakni makhluk istimewa ciptaan Allah yang diciptakan terus, tanpa sebarang wasithah dan tanpa maadah. Allahumma shalli wa sallim wa baarik `alaihi wa aalih.
Shalawat Mawlana Syaikh Arsyad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan