Sabtu, April 18, 2026

Sedekah Kepada Haiwan

Sebagai umat Nabi yang diutuskan Allah sebagai rahmat bagi sekalian alam, kita juga diperintahkan agar berbuat ihsan dan berbelas kasihan kepada sekalian makhluk Allah, hatta kepada haiwan - haiwan seperti anjing dan kucing. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah mengkhabarkan kisah orang yang mendapat keampunan Allah sehingga dimasukkanNya ke dalam syurga atas sebab berbuat baik atau berlaku ihsan kepada haiwan dengan memberikan minuman anjing yang kehausan. Riwayat - riwayat ini telah masyhur dan diriwayatkan dengan sanad yang shahih oleh para ahli hadis, termasuklah Imam Malik bin Anas radhiyaAllahu `anhu  dalam al-Muwaththa`, Imam al-Bukhari rahimahullah dan Imam Muslim rahimahullah.

Imam Bukhari meriwayatkan dalam Shahihnya sebagai berikut: Diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Hurairah radhiyaAllahu `anhu bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Tatkala seorang lelaki sedang berjalan, dia merasa dahaga. Lalu dia pun pergi ke satu telaga dan turun ke dalamnya untuk meminum air menghilangkan dahaga. Setelah minum, dia pun keluar dari telaga tersebut dan mendapati ada seekor anjing yang tercungap - cungap sambil menjilat - jilat tanah kerana kehausan. Lelaki tersebut berkata: "Keadaan anjing ini pasti seperti keadaanku tadi". Maka, dia pun turun semula ke dalam telaga dan memenuhkan sepatunya dengan air, lalu dia menggigit sepatunya dengan mulutnya agar dia boleh memanjat keluar dari telaga dan memberi anjing tersebut minum. Allah redha dengan perbuatan lelaki tersebut dan memberikan keampunan kepadanya." Para sahabat bertanya: " Wahai Rasulullah, adakah bagi kami pada haiwan itu ganjaran pahala?" Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Pada setiap hati yang basah (yakni setiap yang bernyawa) itu ada ganjaran pahala (yang menunggu, yakni berbuat baik kepada setiap makhluk yang bernyawa pasti diberi ganjaran pahala)."

Selanjutnya, faqir datangkan atu kisah yang ada hubung kait dengan bersedekah kepada haiwan. Kisah ini dinukil oleh seorang ulama yang tersangat alim, faqih Syafie yang kenamaan, pengarang Hasyiah al-Qalyubi, Imam Syihabuddin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi asy-Syafie al-Mishri (w.1069H) rahimahullah dalam karyanya an-Nawaadir. Sebelum itu, diperingatkan bahawa kisah ini hanyalah sebuah cerita yang direkodkan oleh seorang ulama, bukan hadis atau nas syarak yang perlu dibahaskan. Percaya atau tidak, terpulang kepada masing - masing, tak perlu diperbalahkan. Imam al-Qalyubi,  pada halaman 39, menceritakan kisah seorang pemuda yang bernazar untuk bersedekah bagi ibubapanya yang telah meninggal dunia pada setiap hari Jumaat. Tersebutlah kisahnya seperti berikut:- "Ada seorang lelaki yang tinggal di Samarqand. Satu hari dia telah jatuh sakit yang parah sehingga dia pun bernazar. Nazarnya adalah sekiranya Allah menyembuhkan dia daripada sakit tersebut, dia akan bersedekah pada setiap hari Jumaat buat orang tuanya. Maka dia telah diberi kesembuhan dan dalam masa yang panjang dia sentiasa menjaga dan menunaikan nazarnya tersebut pada setiap hari Jumaat. Namun, pada satu Jumaat, dia tidak memperolehi sesuatu apa pun untuk disedekahkan walau pun dia telah penat berkeliling seharian mencari sesuatu untuk disedekahkan atas nama orang tuanya. 
Maka dia pun pergi meminta fatwa daripada beberapa ulama dan mereka berkata kepadanya:- "Pergilah engkau mendapatkan kulit - kulit tembikai dan basuhlah ia dengan air. Kemudian bawa kulit - kulit tembikai tersebut ke jalan yang dilalui penduduk luar kota / pendalaman untuk memasuki kota dan berikan kulit - kulit tersebut kepada keldai - keldai mereka dan jadikan ganjaran pahalanya (yakni pahala memberi kulit semangka kepada keldai untuk makanannya) buat kedua orang tuamu. Itulah caranya engkau keluar daripada melanggar nazarmu." Lelaki tersebut pun melakukan hal sedemikian. Pada malam Sabtu (yakni malam selepas dia melakukan hal terebut) lelaki tadi telah bermimpi ayah dan ibunya datang memeluknya dan keduanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, engkau telah melakukan segala yang baik untuk kami sehinggalah memberi kami makan buah tembikai yang kami inginkan. Semoga Allah meredhaimu."

Allahu .... Allah, begitulah kisah yang diceritakan dalam an-Nawaadir. Dan sebagai penutup, faqir nukilkan juga jawapan mantan Mufti Johor, almarhum Datuk Sayyid Alwi bin Thahir al-Haddad @ Habib Alwi bin Thahir, yang terkandung dalam Fatwa Mufti Kerajaan Johor, jilid 1, halaman 277, sebagai berikut:-
Perkara Memberi Makan Haiwan.
Soal: Apakah hukumnya kita memberi makan binatang, adakah seperti sedekah atau macam mana?

Jawab:- Wajib atas seseorang mengeluarkan belanja kerana binatang kepunyaannya dan ia beroleh pahala daripada Allah kerana itu. Dan berbelanja kerana binatang sekalipun seekor burung nescaya dapat pahala.

Mudah - mudahan bermanfaat hendaknya dan semoga segala sedekah kita, besar atau kecil, menjadi ssebab keselamatan kita di akhirat dan menjadi naungan kita sewaktu di Padang Mahsyar menunggu hisab.