Memaparkan catatan dengan label Profil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Profil. Papar semua catatan

Khamis, November 13, 2025

Kisah Keberkatan Yaasin

Entri kali ini faqir kongsikan satu kisah atau cerita yang dimuatkan oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah, pengarang Fathul Mu`in, dalam satu lagi karya beliau yang berjodol Irsyaadul `Ibaad ila Sabiilir Rasyaad. Kitab ini telah disyarahkan oleh ulama besar Nusantara, pengarang Siraajuth Thaalibiin syarah bagi kitab Minhaajul `Aabidiin karangan Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu, Syaikh Ihsan bin Dahlan al-Jampesi al-Kediri rahimahullah. Syaikh Ihsan dilahirkan pada tahun 1901 dan wafat pada tahun 1952. Beliau antara ulama yang tidak pernah mengenyam pengajian di Timur Tengah, namun ilmunya setanding dengan para ulama di sana. Beliau menguasai ilmu - ilmu alat, seperti nahwu dan sharaf, sehingga dapat mengarang kitab - kitab besar berbahasa Arab yang bermutu tinggi, walaupun lidahnya tidak fasih bertutur dalam bahasa tersebut, kerana jiran - jiran dan orang sekampungnya semua berbahasa Jawa. Inilah antara keistimewaan Syaikh Ihsan dari Jampes, Kediri. Syarah beliau bagi Irsyaadul `Ibaad itu berjodol Manaahiijul Imdaad dalam dua jilid tebal.

Berbalik kepada Irsyaadul `Ibaad, Syaikh Zainuddin al-Malibari pada halaman 56 menukilkan satu cerita daripada seorang ulama terkenal, Imam al-Yafi`i al-Yamani rahimahullah sebagai berikut:- Aku (yakni Imam al-Yafi`i) telah mendengar daripada seorang yang shalih di salah satu kota di negeri Yaman bahawa pernah suatu ketika dia selesai mengebumikan satu jenazah dan orang - orang yang ikut menghantar jenazah tersebut telah bersurai, dia mendengar bunyi satu pukulan atau cambukan yang kuat lagi dahsyat dari dalam kubur si mati. Lalu muncul dari kubur tersebut seekor anjing hitam. Syaikh tersebut terperanjat dan berkata: "Aduh celaka, apakah engkau?" Anjing tersebut menjawab: "Aku adalah amalan si mati (yakni amalan buruknya yang dirupakan sebagai seekor anjing ganas)." Syaikh tersebut bertanya lagi: "Apakah pukulan tadi bagi engkau atau bagi si mati?" Anjing tersebut menjawab: "Bahkan, pukulan tadi adalah bagiku, ketika aku hendak menyerang si mati, aku dapati di sisinya ada surah Yaasin dan saudara - saudaranya (yakni surah - surah yang telah disebut terdahulu seperti as-Sajadah dan al-Mulk yang seperti Yaasin berkelebihan untuk memberikan syafaat dalam kubur) yang menghalangi antara aku dan dia, lalu aku dicambuk dan diusir."

Allahu ...Allah, begitulah kisahnya. Ingat ini hanya sebuah cerita, terpulang untuk percaya atau tidak. Namun, tidaklah menjadi bid`ah qabihah untuk mengistiqamahkan bacaan surah - surah yang mempunyai kelebihan tertentu seperti Yaasin, as-Sajadah dan al-Mulk, samada setiap malam atau sekali seminggu teristimewa di malamnya Sayyidul Ayyam. Jika ada yang membid`ahkan kita membaca surah - surah tersebut pada malam Jumaat, usah gusar kerana kita punya Hujjatul Islam al-Ghazali yang menganjurkan kita membaca surah - surah tersebut pada malam Jumaat sebagaimana yang beliau sebut dalam Bidaayatul Hidaayah. Tentang syafaat dan pembelaan daripada amal - amal shalih seperti shalat, tilawah dan seumpamanya bagi si pelaku ketika di dalam kubur atau di alam barzakh memang ada beberapa riwayat dengan berbagai darjat. Antaranya adalah riwayat yang mafhumnya bahawa ketika malaikat azab hendak mendatangi si mati dari arah kepalanya, maka ibadah membaca al-Quran si mati akan menghalangnya; Jika dia datang dari arah sisi, maka sedekah si mati akan jadi penghalang; Dan jika dia datang dari arah kaki, maka ibadah si mati berjalan ke masjid akan menolaknya. Begitu juga telah datang riwayat bahawa amalan shalih si mati akan dimisalkan atau dirupakan dengan bentuk atau rupa atau sosok yang cantik, indah rupawan, tampan lagi semerbak wangi sebagai penghibur dan temannya, manakala amalan buruknya dirupakan dengan bentuk atau rupa atau sosok yang hodoh menyeramkan lagi busuk baunya. Semoga Allah memuliakan kita ketika kita berada di alam barzakh dengan pelbagai rupa rahmat dan nikmat atau setidak - tidaknya kita ditidurkan Allah sebagaimana tidurnya pengantin, tenang, aman damai daripada fitnah dan azab kubur. Allahumma aamiin.

Kelebihan Membaca Yaasin - UAI

Sabtu, Mei 03, 2025

Faedah Daripada Imam Damiri

Imam Abul Baqa' Kamaluddin Muhammad bin Musa ad-Damiri @ Imam ad-Damiri
(742 - 808H) rahimahullah adalah salah seorang ulama besar bermazhab Syafie. Beliau belajar di al-Azhar sehingga menjadi alim besar dan menjadi tenaga pengajar di al-Azhar, juga seorang mufti yang faqih. Beliau juga seorang sufi yang kuat beribadah selain giat mengajar ilmu - ilmu agama termasuklah ilmu hadis. Selain dari itu, beliau boleh juga dianggap sebagai seorang ahli zoologi, bahkan di antara kitab beliau yang termasyhur adalah sebuah ensiklopedia haiwan yang berjodol Hayaatul Hayawaan al-Kubra yang mencatat sekurang - kurangnya 931 jenis haiwan dilengkapi dengan hukum memakannya. Ketokohan beliau dalam ilmu fiqh juga terserlah dengan karya beliau yang berjodol an-Najmul Wahhaj yang mensyarahkan kitab Minhajuth Thalibin dalam 10 jilid besar. Dalam ilmu hadis, beliau menulis satu syarah atas Sunan Ibnu Majah yang berjodol ad-Dibaajatu `ala Sunan Ibni Maajah.

Imam ad-Damiri juga mempunyai ramai anak - anak murid dan salah seorang daripada mereka adalah Imam Taqiyuddin Abul `Abbas al-Maqrizi (766 - 845H) rahimahullah, ilmuwan dan sejarawan Mesir yang ternama. Faedah yang hendak faqir kongsikan ini adalah sebagaimana yang dicatat oleh al-Maqrizi dalam kitab beliau Durarul `Uquud al-Fariidah. Pada jilid 3, halaman 437, al-Maqrizi mencatat sebagai berikut:- Satu ketika aku telah berjumpa dengan beliau (ad-Damiri) dan beliau bercerita: "Aku telah bermimpi berkata dengan seseorang: "Telah lama aku tidak mengunjungi Baitul `Atiq (Baitullah) dan aku sangat rindu untuk mengunjunginya." Maka dia berkata kepadaku: "Bacalah: (( La ilaha illa Allah, al-Fattaahul `Aliim, ar-Raqiibul Mannaan ))." Setelah mimpi tersebut, aku pun  memperbanyak berzikir dengannya dan pada tahun itu juga aku direzekikan untuk menunaikan haji."
Begitulah kisah dan faedah yang dicatat oleh al-Maqrizi daripada Imam ad-Damiri. Mudah - mudahan bermanfaat dan menjadi satu wasilah dan ikhtiar agar kita diberi rezeki menunaikan haji suatu hari nanti. Semoga rahmat Allah sentiasa mencucuri ke atas ad-Damiri dan para ulama kita semuanya sehingga ke akhir zaman.

Rabu, Jun 19, 2024

TG Haji Wan Ali Jambu

Tuan Guru Haji Wan Ali al-Jambuwi (1915 - 1995) adalah antara ulama pondok di Patani Darus Salam. Beliau di lahirkan di Pekan Jambu, Daerah Yaring. Memulakan pengajian formal di sekolah sehingga tamat Tingkat 4 sebelum memutuskan untuk mendalami ilmu agama. Untuk tujuan tersebut, beliau telah berkelana ke Kelantan Darun Naim untuk berguru dengan ulama tersohor ketika itu, almarhum al-`Alim al-`Allaamah al-Wali Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad yang lebih terkenal dengan sebutan Tok Kenali, ulama yang telah mencetak ratusan ulama yang menabur jasa di rantau Melayu.
Setelah mondok dengan Tok Kenali, beliau berangkat pula ke Mekah untuk menyambung pelajaran di Madrasah ash-Shaulatiyyah dan berguru dengan para ulama Tanah Haram. 12 tahun beliau di Mekah, maka sekitar 1946 beliau balik ke Patani lalu membuka pondok di Kampung Sekam yang dinamakan sebagai Madrasah Batu - Furu` ash-Shaulati al-`Alawi. Beliau mengajar hampir 45 tahun di pondoknya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 1995 ketika berusia 80 tahun. Di antara karangan beliau yang masih dicetak dan beredar dalam masyarakat adalah Pengingatan Muslimin bagi isyrathus sa`ah akhir zaman yang membicarakan secara ringkas tapi padat tentang alamat - alamat besar akhir zaman seperti Imam Mahdi, Nabi Isa, Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Mudah - mudahan Allah menyirami roh beliau dengan siraman rahmat kasih sayang serta menempatkan beliau di dalam syurga Jannatun Na`im, al-Fatihah.

Khamis, September 21, 2023

Mawlid al-`Azb

Bulan Rabi`ul Awwal datang lagi, bulan yang disambut penuh kegembiraan kerana dimuliakan bulan ini dengan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.  Amatlah janggal dan pelik, jika seseorang yang mengaku dirinya umat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, namun tidak terdetik di hatinya kegembiraan dengan peristiwa kelahiran baginda. Anak kita lahir pun kita gembira, kenapa kelahiran Nabi yang membawa hidayah menunjuk dan membimbing kita ke syurga tidak terasa apa - apa di hati kita? Apakah mungkin ada kekurangan sinar cahaya di hati? Allahumma shalli wa sallim `alan Nuuril Anwaar.....

Pada bulan mawlid yang diberkati, kita lihat sikit kepada satu lagi karya mawlid yang tidak kurang kemasyhurannya di dunia Islam. Karangan tersebut dikenali sebagai Mawlid al-`Azb sempena nama pengarangnya iaitu al-Imam al-Faqih al-Fadhil an-Nabiil Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-`Azb al-Dimyathi al-Madani asy-Syafie rahimahullah. Beliau adalah seorang tokoh ulama kenamaan yang menjadi guru besar dalam Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah. Beliau bermazhab Syafie.

Syaikh Muhammad al-`Azb dilahir di Mesir pada bulan Rabi`ul Awwal, kurun yang ke-13H. Beliau membesar dalam menuntut dan menekuni ilmu pengetahuan sehingga menjadikan beliau seorang yang cemerlang dalam berbagai disiplin ilmu. Syaikh Abdus Sattar bin Abdul Wahhab al-Bakri ash-Shiddiqi al-Hindi al-Makki al-Hanafi dalam karya beliau Faidhul Malik al-Wahhab al-Muta`ali bi abnaa-i awaa-il al-Qarnits Tsalits `Asyr wat tawaali memuji Syaikh Muhammad al-`Azb antaranya sebagai berikut: ...."Beliau telah mencapai kemuncak segala disiplin ilmu. Beliau adalah lautan ilmu yang dalam dengan pesisir yang tiada permulaan dan tidak berpenghujung (yakni ibarat bagi betapa luas dan besarnya lautan yang dalam tersebut)." Keunggulan ini membolehkan beliau untuk mengajar kitab - kitab yang besar seperti al-Mawahib, al-Ihya`, asy-Syifa`, at-Tohfah dan lain - lain lagi. Beliau juga biasa mengajar kitab - kitab hadis yang enam (sunnan sittah), Syamail dan lain - lain lagi. Di antara guru - guru beliau adalah Syaikh Ahmad ad-Damhuji, Syaikh Muhammad Fathullah bin `Umar as-Samdisi, Syaikh Musthafa al-Budairi, Syaikh Musthafa al-Bawlaqi, Syaikh Ibrahim al-Bajuri, Syaikh Ibrahim as-Saqa` dan lain - lain lagi.

Syaikh Muhammad al-`Azb juga mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sastera Arab. Beliau memiliki karangan - karangan, antaranya berupa syair -syair yang bermutu lagi luarbiasa, risalah - risalah, kitab - kitab seperti kitab mawlid yang indah dan kitab mengenai shalawat, juga menulis hawamisy (notakaki/ catatan pinggir) bagi beberapa kitab yang besar. Syaikh Muhammad al-`Azb wafat di kota suci Madinah al-Munawwarah pada tanggal 9 DzulHijjah, iaitu hari wuquf, tahun 1293H. Semoga Allah mencucuri rahmat dan kasihan belas ke atas beliau sentiasa dan sepanjang masa...rahimahullah.

Sehingga kini Mawlid al-`Azb masih terus dibaca dan diperdengarkan terutama dalam bulan Rabi`ul Awwal. Antara keistimewaan mawlid ini adalah pernyataan tegas pengarangnya mengenai berimannya ayahanda dan bonda Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Beliau menyatakan dengan penuh keyakinan dan ketegasan bahawa kedua ibubapa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, iaitu Sayyid `Abdullah dan Sayyidah Aminah radhiyaAllahu `anhuma, bukanlah ahli neraka, bahkan mereka berdua adalah orang yang beriman dan terselamat dari api neraka. Syaikh Muhammad al-`Azb menjelaskan lagi bahawa sesiapa yang menyatakan sebaliknya, dia adalah orang yang telah tersasar dan menjauhi jalan kebenaran. Begitulah juga dengan segala leluhur, nenek datuk baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, mereka semuanya adalah penghuni - penghuni syurga. Mudah - mudahan keberkatan si pengarang dan kitab mawlidnya dapat kita kecap sehingga ianya menjadi antara sebab kita memperolehi keselamatan di dunia dan di akhirat...Allahumma aamiin.

Mawlid al-`Azb Majlis Guru Sekumpul



Bacaan Mawlid `Azb Majlis Sidi Ali Jum`ah.

Khamis, Ogos 24, 2023

Syaikh Shalih Kamal

Ulama kita Nusantara, al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Muhammad Mukhtar Bogor rahimahullah ada meninggalkan beberapa karya tulis. Di antaranya berupa karya terjemahan dan saduran yang beliau lakukan bagi karangan seorang ulama dan mufti Hanafi Mekah yang diberi jodol al-Wahbatul Ilahiyyah dan dipinggirnya satu risalah mengenai `ataqah al-kubra. Kitab al-Wahbatul Ilahiyyah itu berisikan kaedah bagi melaksanakan fidyah sembahyang bagi orang mati, sebagaimana masyhur menurut mazhab Hanafi dan satu pendapat (qil) dalam mazhab  Syafie. Masalah fidyah sembahyang bagi orang mati ini adalah satu perkara yang menjadi ikhtilaf muktabar di kalangan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dari itu berlapang dadalah dalam perkara ini, jangan mudah - mudah menyalahkan orang yang membuatnya dan jangan sekali - kali mencaci mereka kerana mereka juga mempunyai dalil dan panutan daripada kalangan para ulama yang benar. Sesiapa yang tidak melakukannya, mereka juga berada atas jalan yang benar, jalan para ulama yang `amilin mukhlashin. Manakala Risalah `Ataqah al-Kubra pula adalah risalah ringkas mengenai amalan membaca Suratul Ikhlas 100,000 kali sebagai sarana wasilah mendapatkan pembebasan Allah daripada api neraka.

Almarhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir pernah menulis mengenai Syaikh Mukhtar Bogor dan biografi ulama ini telah tersebar dan mudah untuk kita baca. Di sini faqir ingin menulis sikit mengenai Mufti Hanafi Mekah tersebut, iaitu Syaikh Muhammad Shalih Kamal. Tulisan ini faqir kutip dari karangan `Umar Abdul Jabbar yang berjodol Siyar wa Tarajim ba`adh ulama-ina fi qarni ar-rabi` `asyr lil hijrah. Nama penuh beliau adalah Muhammad Shalih bin al-`Allaamah Shiddiq bin al-`Allaamah `Abdul Rahman Kamal al-Hanafi. Beliau dilahirkan di Mekah dalam bulan Rabi`ul Awwal 1263H. Keluarga beliau terdiri daripada kalangan alim ulama besar dan di situlah beliau memulai pendidikannya. Beliau menghafal al-Quran di usia dini dan biasa diangkat untuk menjadi imam bagi Shalat Tarawih. Selain ayahandanya sendiri, beliau berguru dengan ulama - ulama Tanah Haram, antaranya dengan Syaikh `Abdul Qadir Khauqir di mana dengannya beliau mendalami fiqh Hanafi, Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan Syaikh Rahmatullah, pengarang kitab Idzharul Haq dan pengasas Madrasah ash-Shaulatiyyah, Mekah. Setelah dipandang layak dan mumpun ilmunya, beliau telah diberi kebenaran untuk menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram. 

Pada tahun 1297H, Syaikh Muhammad Shalih Kamal telah dilantik menjadi qadhi di Jeddah. Namun, jawatan tersebut terpaksa beliau tinggalkan kerana hatinya sangat rindu pada Masjidil Haram dan Ka`batullah al-Musyarrafah. Di Mekah, beliau terus mengabdikan dirinya untuk mengajar dan menyebarkan ilmu. Syarif `Abdul Muthallib bin Ghalib, amir / gabenor Mekah ketika itu, amat menghormati dan menyanjungi beliau, bahkan sering bertanyakan pendapat beliau dalam pelbagai kemusykilan. Ketika almarhum amir tersebut wafat, beliau telah dimandikan serta dikafankan oleh Syaikh Muhammad Shalih sesuai dengan wasiat sang amir.

Pengganti Syarif `Abdul Muthallib, Syarif `Aun, telah memberi kebenaran untuk Syaikh Muhammad Shalih berfatwa, menjadi imam dan khatib di Masjidil Haram. Sekitar tahun 1305, beliau dilantik pula menjadi naib qadhi yang beliau laksanakan tanggungjawabnya dengan penuh keikhlasan dan amanah. Segala lantikan sebagai naib qadhi dan qadhi tidak menghalang beliau untuk terus mengajar. Para murid sentiasa mendatangi beliau untuk mengambil manfaat daripada ketinggian ilmunya sehingga beliau diangkat sebagai mufti bagi para pengikut Mazhab Hanafi. Di antara murid - murid beliau adalah Syaikh Muhammad al-Marzuqi, Syaikh Ali Kutbi, Syaikh Sa`dullah al-Hindi, Syaikh `Ali Badri dan Syaikh Amanullah, yang semuanya adalah alim ulama Masjidil Haram.

Syaikh Muhammad Shalih Kamal bin Shiddiq Kamal tutup usia pada tahun 1332H di Kota Mekah. Jenazah beliau telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan di sisi Multazam dengan diimamkan oleh Syaikh Sulaiman Hasbullah al-Makki asy-Syafie. Syaikh Sulaiman ketika menyaksikan jenazah Syaikh Shalih Kamal mengungkapkan kata - kata: "Pada hari ini telah mati fiqh Abu Hanifah", yakni hilangnya seorang pakar rujuk dan faqih Mazhab Hanafi. Selain murid - murid, Syaikh Shalih Kamal turut meninggalkan beberapa karangan, antaranya:- Tabshiratush Shibyan wa Tadzkiratul Ikhwan, `Uqudud Durrin Nadhid fi manaqib Sayyidinal Husain asy-Syahid, al-Wahbatul Ilahiyyah dan Risalah `Ataqah al-Kubra. Semoga Allah sentiasa merahmati Syaikh Muhammad Shalih Kamal dan menempatkan beliau di kalangan para awliya` dan shalihin bi jiwari as-Sayyidil Amin `alaihi afdhalus shalah wa azkas salaam.

Jumaat, Ogos 04, 2023

Sebab Musabbab - "Ramuan Rapi"

Shahibus Samahah al-`Alim Dato Haji Muhammad Nor bin Ibrahim (1905 - 1987) rahimahullah adalah antara tokoh ulama tanahair. Beliau dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan Darun Na`im. Ayahandanya adalah seorang ulama tersohor yang menjadi mufti Kelantan yang terkenal dengan gelaran Mufti Haji Ibrahim Tok Raja dari keturunan Tuan Padang @ Haji Ahmad bin Haji Yusuf bin Haji Abdul Halim al-Yunani. Dato Haji Muhammad Nor menuntut ilmu agama sehingga ke Makkah al-Mukarramah dan antara guru beliau adalah Tok Senggora  @ Syaikh Muhammad bin Abdullah, Syaikh Hasan Masyath, Sidi Amin Kutbi, Syaikh Muhammad Nur al-Fathani, TG Pak Da `Eil al-Fathani dan ramai lagi ulama Makkah ketika itu.

Di antara karya tulis Dato Muhammad Nor adalah sebuah kitab tafsir ringkas bagi Surah al-Kahfi yang diberi jodol "Ramuan Rapi Dari Arti Surah al-Kahfi". Kitab ini telah diterbit pertama kalinya pada tahun 1957 dengan tulisan jawi sekitar 53 halaman. Di antara isi kandungan yang dibahaskan dalam kitab tersebut adalah persoalan ikhtiar usaha dan sebab musabbab. Beliau menegaskan betapa pentingnya kita menjalankan sebab bagi menghasilkan musabbab. Namun ini tidaklah bererti bahawa segala sebab itu memberi bekas, hanyasanya yang memberi bekas hanya Allah, Zat yang menjadikan segala sebab tersebut dan musabbabnya. Oleh itu, kita diperintahkan untuk menjalankan sebab tanpa melupai bahawa yang memberi bekas hanya Allah, Tuhan yang Maha Pencipta. Hal ini mengingatkan faqir kepada pengajian tauhid satu ketika dahulu dengan almarhum guru faqir, Ustaz Adnan Nasution (nota: tidak ada hubungan dengan Saifudin Nasution mungkin hanya satu marga, ini guru faqir bermarga Nasution yang berasal dari Tapanuli Selatan), yang menyatakan bahawa alam dunia ini adalah alam hikmah di mana Allah yang Maha Bijaksana menjadikan sesuatu itu melalui proses sebab musabbab. Maka penampakan Qudrat kekuasaan Allah dilindung / ditapok / dihijab / disamar / di"camouflage" dengan berbagai sebab, contoh seperti terhasilnya buah - buahan dari pohon yang hidup subur tumbuh di tanah, turunnya hujan turun dari awan yang gelap dan sebagainya. Semua ini dijadikan Allah antara hikmahnya untuk menguji keimanan dan makrifat hamba - hambaNya. Maka ada daripada mereka yang hanya melihat atau terhenti pada sebab sehingga lupakan Allah yang Maha Berkuasa, Zat yang memberi bekas dan yang menjadikan segala sebab dan musabbab. Berbeza dengan alam akhirat, di sana jelas nampak Qudratullah semata, tamsilannya seperti wujudnya buah - buahan tidak memerlukan pepohon atau terbit dari pohon yang tumbuh menyongsang, akarnya ke langit tergantung manakala ranting dan buahnya ke tanah sehingga mudah dipetik. Maka alam akhirat itu disebut sebagai alam qudrah, yakni alam di mana Qudratullah itu nampak dengan jelas tanpa dihijab oleh sebarang sebab.... Allahu ...Allah.

Berbalik kepada persoalan sebab musabbab, maka sekelumitnya faqir petik dari halaman 4 -5 kitab Ramuan Rapi tersebut, di mana Dato Muhammad Nor menulis berkenaan sebab musabbab dan tawakkal, antaranya beliau menyatakan sebagai berikut:- ....Ghazali dalam Ihya` menegaskan masalah ini dengan keterangan maksudnya: "Orang yang tidak hendak menggunakan satu - satu sebab yang dengannya terikat satu - satu musabbab, maka ialah orang yang hendak melawan hikmah Tuhan dan ialah orang yang jahilkan sunnatullah atau upacara Tuhan pada kejadianNya." Kalau orang yang lapar hanya menanti Tuhan jadikan kenyang diperutnya dengan tak payah benda yang mengenyang atau hanya menanti Tuhan menyampaikan makanan ke dalam ma`idahnya dengan alasan kalau ia menjalankan sebabnya seperti menyuap, mengunyah dan menelan makanan itu, nescaya hilanglah erti wajib bertawakkal dan berserah kepada Tuhan yang menjadikan segala-gala, - Kalau ada orang semacam itu, kata Ghazali, maka itulah orang yang gila atau bebal juga orang yangjahilkan sunnatullah dan tidak fahamkan erti tawakkal.  ...... Hendaklah diingat bahawa ketetapan satu - satu sebab menerbitkan musabbabnya, juga ketetapan terbit satu musabbab dari satu sebab yang khas itu ialah ketetapan yang semata - mata ditentukan oleh Tuhan yang Maha Bijak lagi Maha Kuasa sebagai undang - undang am bagi kejadianNya. Maka orang yang ingat dan percaya begitu tentu berpendapatan bahawa undang-undang itu - pada suatu masa yang istimewa atau peristiwa yang khas - mungkin dan boleh juga terpinda dan terubah menurut hikmah dan perintah Tuhan yang Maha Kuasa; Mungkin terbit musabbab dari satu sebab yang luarbiasa, mungkin satu sebab tidak menerbitkan musabbabnya yang biasa dan mungkin pula tidak menerbitkan musabbab langsung. Dengan kerana kemungkinan yang tersebut maka diwajibkan seseorang bertawakkal dan berserah kepada Tuhan, Pencipta segala - gala, menyempurnakan maksudnya setelah ia usaha mencukupkan sebab maksud itu, dan pada perkara yang tidak diketahuikan sebabnya disuruh pula berdoa sama, mudah - mudahan beroleh petunjuk dan jalan yang betul.....

Dato Muhammad Nor membahaskan perkara ini dengan panjang lebar dalam kitab beliau tersebut, silalah tuan puan rujuk ke sana dan baca dengan cermat. Sebagai kesimpulan ringkas, kita sewajarnya menjalankan segala sebab sebagaimana yang diperintahkan agama, namun jangan sesekali bergantung dengan sebab sehingga lupa berserah dan bertawakkal kepada Allah yang menciptakan segala sebab musabbab dan hanya Dia sahajalah yang Maha Berkuasa dan yang memberi bekas. Sebagai catatan, Dato Muhammad Nor mengakhiri kitabnya tersebut dengan Shalawat Badawi Shughra @ Shalawat Nuril Anwari yang berkat.

Isnin, September 26, 2022

Mawlid - Bustanul Arifin

Bulan Rabi`ul Awwal menjelang tiba, maka pasti menambahkan lagi ingatan kita kepada kekasih Allah, makhluk yang paling mulia dan teragung, Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mudah - mudahan bertambah shalawat dan kecintaan kita kepada manusia yang paling kasih dan paling prihatin dengan nasib serta keberuntungan kita di akhirat nanti. Bersempena ketibaan bulan yang dimuliakan Allah dengan dizahirkan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalamnya, maka faqir mulakan dengan menukil bicara berkaitan mawlid.

Tuan Guru Syaikh Haji Abu Bakar bin Haji Muhammad Yasin al-Firaqi (nisbah kepada negeri Perak, tanah kelahiran beliau) al-Azhari rahimahullah adalah seorang ulama berasal dari Perak. Beliau mendapat pendidikan agama formal di Universiti al-Azhar sebelum tercetusnya Perang Dunia ke-2. Sekembalinya ke tanahair, beliau menjadi mudir Madrasah al-`Ulum asy-Syariah di Bagan Datok. Beliau telah dilantik sebagai mufti Pahang yang ke-4, berkhidmat antara tahun 1951 - 1976. Tuan Guru Shahibus Samahah telah menghasilkan beberapa karangan, antaranya 5 jilid kitab kisah dan sirah para nabi alaihimush shalatu was salam yang diberi jodol Bustanul `Arifin.

Shahibus Samahah, walaupun tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dilakukan manusia ketika mengadakan sambutan Mawlid yang menyalahi syarak seperti pergaulan bebas lelaki perempuan, perarakan yang tak keruan, pembaziran serta perbuatan yang melampau - lampau dan seumpamanya, namun beliau  menyatakan dengan tegas bahawa menyambut atau mengadakan sambutan mawlid tersebut bukanlah satu bid`ah tetapi ianya termasuk dalam sunnatan hasanatan ("sunnah" yang elok baik). Di antara pernyataan beliau rahimahullah, pada halaman 154, juz ke-2, antaranya sebagai berikut: "...Dan pada zaman dahulu adalah ahli Mekah, sebagaimana yang disebutkan oleh setengah - setengah ahli tarikh, mereka itu mengambil berkat dengan ziarah tempat peranakkan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam itu pada tiap - tiap kali hari diperanakkan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam itu. Ini adalah mengadakan perayaan hari diperanakkan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam itu bukanlah daripada bid`ah sebagaimana yang dikata oleh setengah mereka itu, bahkan ia sunnah yang baik yang telah diperbuat oleh orang - orang khalaf mengikut jalan orang - orang salaf yang shalih....."

Mudah - mudahan dengan adanya sambutan - sambutan mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, kita dapat menghidupkan jiwa kita untuk mengingati dan menjunjung serta menuruti akan teladan dan ajaran yang telah baginda wariskan kepada kita sebagai sebab untuk memperolehi keselamatan dan kejayaan yang hakiki di akhirat nanti. Janganlah hendaknya gemerlapan duniawi menyebabkan kita silau sehingga tak terlihat kegemilangan ukhrawi yang kekal abadi. Shallu `alan Nabiyyi Muhammadi.

Selasa, Ogos 30, 2022

Suluh Kemajuan - TG Haji Karim

Syaikh Utsman Sarawak diketahui pernah berkahwin beberapa kali dan dikurniakan dengan 14 orang cahayamata. Di antara anak beliau adalah Tuan Guru Abdul Wahhab Sungkai dan Tuan Guru Haji Abdul Karim Sungkai. Mereka berdua adalah saudara kandung seibu sebapa. Ibu mereka bernama Khalijah @ Khadijah puteri Syaikh Muhammad Zain Sungkai yang mengajar di Masjidil Haram. Tuan Guru Haji Abdul Karim dilahirkan sekitar tahun 1916 di Mekah al-Mukarramah dan di situlah beliau membesar di bawah didikan dan asuhan ayahanda dan datuk beliau sebelum mengenyam didikan para ulama kota suci tersebut.

Ketika puak Wahabi menguasai Hejaz, TG Haji Abdul Karim merasa tidak betah lagi tinggal di sana, lalu beliau dan abang beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Tanah Melayu. Maka pulanglah dua bersaudara bersama sahabat mereka Tuan Guru Haji Ahmad Badawi bin Mufti Syaikh Abdullah Fahim (ayahanda Pak Lah) ke Tanah Melayu. Mereka berdua pulang ke kampung halaman datuknya, Sungkai, Perak. Di sana Tuan Guru Haji Abdul Karim telah berkahwin dengan sepupu beliau, Hajjah Ainun Fatimah binti TG Haji Ahmad bin TG Haji Muhammad Zain. Sungkai menjadi tempat beliau menjalankan aktiviti dakwah dan mengajar sehinggalah beliau dilantik menjadi penasihat sultan di Kuala Kangsar. Di Kuala Kangsar, beliau mengajar di Madrasah Iskandariah dan di berbagai masjid dan surau sekitar. Di penghujung usianya, beliau pulang semula ke Sungkai untuk tinggal menetap dan berdakwah di sana. Tuan Guru Haji Abdul Karim tutup usia pada tahun 1961 dalam usia muda 45 tahun dan jenazah beliau dimakamkan di Sungkai, Perak. Mudah - mudahan Allah terangkan kuburnya dengan nur yang berpanjangan serta turunkan hujan rahmat yang berkekalan ke atasnya.

Tuan Guru Haji Abdul Karim rahimahullah meninggalkan sebuah karangan yang penuh tiupan semangat kemerdekaan dan pembebasan tanahair daripada belenggu penjajahan. Karangan beliau tersebut diberi jodol Suluh Kemajuan. Kitab tersebut telah dicetak dan diberi kata pengantarnya oleh dua orang tokoh ulama, iaitu Syaikh Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang) dan Syaikh Zubair bin Haji Ahmad (mudir Madrasah Idrisiyyah, Kuala Kangsar). Tuan Guru Abdul Karim rahimahullah dalam kitabnya tersebut cuba mengobarkan semangat hubbul wathan (cintakan tanahair) dan kemerdekaan daripada belenggu penjajahan. Di antara tulisan beliau dalam kitab tersebut adalah sebagai berikut:- 
"...Maka orang - orang Islam di zaman dahulu kala berpegang kepada ajaran - ajaran Islam yang sebenar. Maka dapatlah mereka menjadi satu umat yang dihormati. Dan pula jadilah mereka membangunkan dan mendirikan sebuah kerajaan Islam yang besar dan mempunyai gah kemasyhuran seluruh dunia. Mudah - mudahan Allah subhanahu wa ta`ala menggerakkan dan menyedarkan umat - umat Islam seluruh alam dunia ini mengikut jejak datuk nenek mereka yang Islam dahulu kali ....... Adalah kasihkan tanahair itu, ialah memperbaiki keadaan tanahair dengan berusaha bersungguh - sungguh pada memeliharakan dia. Maka orang - orang yang benar kasihkan tanahair ialah mereka yang redhakan mati kerana berkehendakkan hidup dan lepas tanahairnya daripada cengkaman penjajah dan bersusah payah supaya senang lenang dan merdeka umatnya. .... Maka kita umat Melayu sangat berhajatkan kepada perusahaan yang besar - besar kepunyaan bangsa kita, umpama factory - factory yang membuat kain - kain, benang, gula dan pinggan mangkuk, cawan dan lain - lainnya. Dan juga pabrik - pabrik yang membuat basikal, motokar - motokar dan enjin - enjin. Begitu juga berhajatkan kepada perniagaan - perniagaan yang besar - besar, umpama syarikat - syarikat yang besar - besar dan enjin - enjin yang besar dan sebagainya, supaya umat Melayu dapat mencapai kemerdekaan iqtisad (yakni ekonomi) dan pula lepas daripada kehinaan yang bergantung kepada bangsa - bangsa dagang. ....... Maka hendaklah tiap - tiap orang kita Melayu berusaha dengan bersungguh - sungguh pada memajukan bangsa sehingga beroleh kejayaan dengan berkerajaan sendiri. Maka asas - asas yang melayakkan dan mematutkan kita umat Melayu beroleh kejayaan kemerdekaan yang sempurna ialah mesti mengikut syarat - syarat seperti berikut:- Pertama, hendaklah tiap - tiap orang kita Melayu taat kepada agama Islam dengan mengikut ajaran - ajarannya yang sejati sebagaimana umat Islam di zaman dahulu kala. Yang kedua, hendaklah kita bersatu padu. Yang ketiga, hendaklah ada mempunyai wang yang banyak supaya dapat membeli dengan banyak segala alat - alat, perkakas - perkakas yang moden - moden, bersamaan alatan perusahaan atau pun peperangan."

Begitulah antara upaya Tuan Guru Haji Abdul Karim Sungkai @ Sarawak meniup kesedaran dan semangat kepada anak bangsanya. Beliau menegaskan kepentingan umat Islam untuk menguasai bukan sahaja ilmu - ilmu ukhrawi, tetapi ilmu - ilmu duniawi juga seperti ilmu - ilmu  sains dan teknologi agar umat dapat berdiri sendiri tanpa perlu bersandar kepada orang lain. Sedikit sebanyak beliau telah memberikan sumbangan merintis jalan kemerdekaan. Maka pada tanggal 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah memperolehi kemerdekaan daripada penjajah British. Sarawak ketika itu masih belum mencapai kemerdekaannya, namun perlulah diketahui bahawa kemerdekaan Tanah Melayu amatlah signifikan dalam melahirkan negara persekutuan yang bernama Malaysia. Turut membanggakan bahawa dalam catatan sejarah kemerdekaan tersebut, ada anak keturunan Sarawak yang turut sama meniup bara api kemerdekaan. Semoga Allah merahmati para wira yang tidak didendang yang tidak perlukan dendangan. Dirgahayu Tanah Airku.

Sabtu, Ogos 27, 2022

Kasyaf Syaikh Yasin Fadani

Maulana Muhammad Taqi Usmani hafizahullah, salah seorang ulama besar Pakistan, bercerita antara pengalaman beliau bersama ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafie, keturunan Melayu yang dinobatkan sebagai musnid dunya, Syaikh Yaasin Fadani rahimahullah dan kesaksian beliau bahawa Syaikh Yaasin adalah seorang wali yang kasyaf. Dikisahkan bagaimana keberadaan Maulana Taqi di Mekah pada hari `asyura yang tanpa pengetahuan sesiapa pun telah diketahui oleh Syaikh Yaasin dan beliau dijemputnya untuk menerima ijazah hadis musalsal Hari `Asyura. Ya Allah, berkat Syaikh Yaasin, matikan kami husnul khatimah.



Isnin, Ogos 15, 2022

Kiyai Muhammad Singapura

Faqir sesungguhnya percaya, kebanyakan kita kenal atau setidak - tidaknya  pernah melihat sebuah kitab legend yang antara kandungannya adalah Mawlid Barzanji, Burdah dan `Aqidatul `Awam. Kitab ini biasanya dipanggil Kitab Barzanji @ Buku Barzanji @ Syaraful Anam. Di tempat faqir ianya biasa dipanggil sebagai Buku Jikir @ Kitab Jikir. Jodol sebenar kitab ini yang tercatat di kulitnya adalah Majmu'ah Maulud Syarafil Anam. Dari kitab inilah faqir mula mendengar nama Muhammad bin Haji Muhammad Said bin Haji Arsyad rahimahullah kerana beliaulah yang menulis pengantar Majmu`ah tersebut  dan terlibat dalam mentashih serta mencetaknya. Majmu`ah yang berkat ini sehingga sekarang masih dicetak dan tetap beredar serta mudah dicari di kedai - kedai buku di tempat kita. Bahkan sehingga kini masyarakat kita masih membelek kitab ini, setidak -tidaknya dalam kenduri - kendara nikah - kahwin dan majlis - majlis mawlid dan marhaban.

Kiyai Muhammad bin Haji Muhammad Said bin Haji Arsyad rahimahullah adalah salah seorang ulama yang berjasa besar berdakwah dan mengembangkan pengajian Islam di Singapura. Beliau berasal dari Kauman, Semarang, Indonesia, dilahirkan sekitar tahun 1879. Beliau dibawa oleh ayahandanya, juga seorang kiyai yang pernah menjadi santri Kiyai Shaleh Darat dan mengaji di Mekah, Kiyai Haji Muhammad Said, ke Singapura. Di Singapura, KH Muhammad Said mengajar dan menubuhkan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah ash-Shibyan al-Muhammadiyyah sekitar tahun 1905, Madrasah ini, walaupun masih bercirikan sistem pondok / pesantren, dianggap sebagai madrasah rasmi yang pertama di Singapura. Selain daripada itu, beliau juga membuka membuka sebuah percetakan yang dinamakan Mathba`ah Haji Muhammad Said bin Haji Arsyad untuk mencetak buku - buku dan risalah Islami,  demi penyebaran dakwah dan ilmu. Almarhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir menyebut Kiyai Haji Muhammad Said sebagai antara tiga tokoh litografi Melayu - Islam. Kiyai Muhammad mengabdikan dirinya untuk agama dengan membantu kerja - kerja dakwah dan penyebaran ilmu ayahanda beliau tersebut. Setelah KH Muhammad Said meninggal dunia dalam tahun 1924, maka kerja - kerja dakwah beliau diteruskan oleh anaknya, Kiyai Muhammad.

Dalam tahun 1923, Kiyai Muhammad memindahkan pusat dakwah dan pengajian beliau ke sebuah surau yang beliau dirikan di Lorong Engku Aman (Geylang Serai). Surau yang dikenali sebagai Surau Bunga Raya, akhirnya menjadi pusat dakwah beliau setelah kewafatan ayahandanya. Kiyai Muhammad juga menabur bakti dengan menjadi guru di Madrasah Aljuneid al-Islamiah dari tahun 1945 sehingga 1970. Di antara murid - murid yang pernah mengaji dengan beliau adalah mantan Mufti Negara Singapura, Fadhilatus Sayyid Isa BinSemait, Habib Ahmad BinSemait, Habib Abdillah al-Jufri, Ustaz Peer Mohamed dan ramai lagi. Kiyai Muhammad bin KH Muhammad Said rahimahullah tutup usia pada tahun 1971 dalam usia 92 tahun. Mudah - mudahan Allah mengampuni segala salah khilaf beliau dan merahmatinya sentiasa.

Almarhum Kiyai Muhammad juga ada meninggalkan beberapa tulisan atau risalah, antaranya Hadis Arba`in dan Kisah Iblis Menghadap Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tidak dinafikan bahawa dalam tulisan - tulisan beliau tersebut ada mengandungi riwayat - riwayat yang bermasalah hatta hadis - hadis yang dihukum maudhu oleh muhadditsin. Meminjam kata - kata almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir dalam tulisan beliau mengenai kitab Hadis Arba`in yang dimuatkan dalam Ensiklopedia Naskhah Klasik, halaman 258, antaranya sebagai berikut:- ....Muhammad bin Muhammad Sa`id mengumpulkan hadis yang dimuat dalam Kitab Hadis Arba`innya bukan bertujuan memberi pelajaran tentang kategori sesuatu hadis itu sohih, hasan, dhaif, maudhu` dan istilah - istilah lainnya, tetapi lebih kepada hanya sebagai catatan peribadinya dan mengambil pelajaran baik pada apa saja yang terdapat dalam lafaz yang dikatakan orang sebagai hadis itu. Muhammad bin Muhammad Sa`id tidak mempedulikan pertikaian pendapat terutama penilaian ahli hadis, walau pun mereka menilainya dha`if, bahkan maudhu` (palsu) sekali pun.......

Maka, ketika membaca karya - karya beliau tersebut, janganlah terus menisbahkan segala riwayat dan hikayat di dalamnya sebagai sahih dari neraca ilmu hadis. Apatahlah jika tulisan beliau tersebut dengan jelas menggunakan jodol "Kisah" atau "Hikayat" yang semestinya dianggap sekadar cerita, maka janganlah diangkat menjadi riwayat yang pasti. Namun, janganlah pula menolak terus ajaran atau hikmah yang mungkin terkandung dalam riwayat - hikayat tersebut, kerana walaupun sesuatu riwayat itu palsu, tidaklah bererti kandungan atau matannya juga palsu atau mesti tidak benar atau mesti karut - marut dan bercanggah dengan ajaran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kita bersikaplah adil dan amanah, kita katakanlah, seumpama:- "Menurut para ahli hadis ini riwayatnya palsu, yakni bukan sabdaan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, tetapi isi kandungannya tidaklah bercanggah dengan ajaran Islam". Namun, tidak dinafikan sesetengah pihak bersikap tegas sehingga segala riwayat yang mereka yakini palsu akan mereka campak tepi sekali dengan matannya, tanpa mengira samadanya ada kebenaran dalam matan tersebut atau ianya termaktub dalam kitab - kitab yang sudah masyhur dalam kalangan umat Islam. Dari satu segi, perbuatan tersebut tidaklah juga dapat disalahkan, tetapi jika kita diperbolehkan untuk mengambil hikmah pengajaran daripada kata - kata yang bukan hadis, hatta daripada tokoh yang bukan Islam seperti Ghandi sekalipun, maka kenapa dalam masalah riwayat - hikayat yang bermasalah yang dimuatkan dalam karya ulama Islam, hal serupa tidak diaplikasikan. Dalam situasi sedemikian, wajar dan patut, bahkan wajib, jangan dinisbahkan segala riwayat - hikayat tersebut kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, agar kita selamat dari ancaman berdusta atas nama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun, bersikap adillah dengan mengiktiraf dan menerima mana - mana kebenaran yang mungkin terselit dalam isi riwayat - hikayat tersebut. Dan jagalah akhlak dan adab kita kepada alim ulama tersebut.

Bagi pengarang seperti Kiyai Muhammad, yang telah bermudah - mudah menisbahkan sesuatu sebagai hadis atau sabdaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka mungkin beliau kurang periksa atau kurang berkeahlian dalam bidang sanad dan riwayat atau tersilap dalam memahami dan menukil. Lazimnya, mereka hanya hanya menukil dan menterjemah riwayat - hikayat tersebut dari sumber - sumber berbahasa Arab tanpa mentahkiknya. Seumpama tulisan Kiyai Muhammad, Kisah Iblis Menghadap Nabi Muhammad, kuat sangkaan faqir ianya adalah terjemahan dan saduran dari kisah - kisah hikayat Iblis yang berbagai karangan ulama terdahulu. Kisah atau hikayat Iblis mengadap Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sememangnya telah ada dalam khazanah ulama terdahulu dengan berbagai versi. Dalam disiplin riwayat ilmu hadis, hikayat - hikayat ini ianya memang bermasalah jika dikatakan peristiwa sebagaimana dihikayatkan itu benar - benar berlaku sedemikian, yakni terjadi sebagaimana dihikayatkan dalam hikayat atau kisah tersebut. Antara ulama yang dikatakan ada menulis kisah / hikayat sebegini adalah Imam Ibnu `Arabi al-Hatimi dengan karya beliau Hikayatu Iblis fi ma akhbara bihin Nabiy shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hikayat Iblis karya Ibnu Arabi ini juga masih beredar dan biasanya ditulis di akhir kitab beliau Syajaratul Kawn. Dan ketahuilah bahawa Imam Ibnu `Arabi ini tokoh yang kontroversi, sebahagian besar ulama kita Ahlis Sunnah wal Jama`ah mengangkat beliau sebagai tokoh ulama dan wali besar, manakala segelintir menghukumkan beliau sebagai seorang zindik. Faqir tidak tahu, mungkin satu ketika dahulu, ada ulama yang menutup karya mereka dengan berhikayat, agar pembaca kembali santai setelah penat berenang dalam lautan ilmu. Kiyai Agung Sayyidisy Syaikh Muhammad as-Suhaimi rahimahullah juga pernah berbuat sedemikian, di mana kitab beliau Ma'dinil Asrar diakhiri dengan memungut Hikayat Iblis versi Ibnu `Arabi tersebut.

Kaedah pengajaran atau penerapan nilai tertentu dengan menggunakan kisah - kisah teladan atau hikayat - hikayat, walaupun hanya fiktif, imaginasi atau fantasi, telah lama digunapakai dalam proses pendidikan. Contohnya, cerita - cerita dongeng, telah digunakan sejak dahulu lagi dalam pendidikan anak - anak. Sungguhpun sekadar dongeng, tapi ada pengajaran dan hikmah yang boleh dipelajari. Cerita - cerita dongeng inilah yang kita bacakan kepada anak - anak kecil. Bahkan sesetengah ustaz zaman ini juga kerap memotivasikan pendengarnya dengan membawa kisah - kisah dongeng haiwan, kisah katak, kisah kancil dan yang sewaktu dengannya. Jika dikatakan bahawa cerita - cerita ini berbahaya dan mempunyai dampak negatif, maka kenapa kita tidak bermasalah ianya dibaca dan diceritakan kepada anak - anak kecil yang akal fikirannya baru nak berkembang? Tidakkah kita takut ianya mempengaruhi pemikiran mereka? Tidakkah kita takut anak - anak kecil ini akan membesar dengan kepercayaan bahawa sang kancil memang bijak atau cerita - cerita dongeng itu benar? Ketika kita membaca cerita - cerita tersebut kepada anak - anak, adakah kita berbohong kepada mereka? Adakah kita akan membakar segala buku - buku cerita dongeng? ....bla ....bla... jenuhlah nak tulis. 

Begitulah juga sesetengah ulama dan pendakwah terdahulu dan juga sekarang, mereka melakukan dakwah untuk menyebarkan makruf dengan berbagai cara. Maka terhasillah selain karya - karya ilmiah, karya - karya yang berbentuk hikayat atau kisah antah berantah. Dalam kisah - kisah hikayat, ajaran positif yang hendak disampaikan dibalut dengan riwayat yang pelbagai hatta yang bermasalah atau dengan menonjolkan hero - hero fiktif yang disadur daripada tokoh - tokoh Islam, maka lahirlah watak Amir Hamzah, Muhammad Hanafiah, Umar Umaiyah dan sebagainya. Bahkan dikatakan ketika Portugis menyerang Melaka, maka dititahkanlah agar dibaca Hikayat Amir Hamzah untuk membakar semangat para prajurit dan hulubalang berjuang melawan Portugis. Tulisan Kiyai Muhammad, Kisah Iblis Menghadap Nabi Muhammad, dari tajuknya yang menggunakan kalimah "Kisah" sudah cukup menyatakan bahawa ianya adalah karya hikayat dan bukannya riwayat. Ianya adalah tulisan Shahibul Hikayat dan bukannya Shahibur Riwayat. Hikayat ini bukanlah berasal daripada beliau, tetapi terjemahan dan saduran daripada berbagai karya - karya berbahasa Arab yang tidak jelas pengarang - pengarangnya. Membaca hikayat sebegini adalah sekadar berkisah atau bercerita, mengambil ajaran positif untuk dijadikan teladan dan yang negatif dijadikan sempadan. Kaedah berhikayat seperti ini masih digunakan seperti dalam novel fiksyen sejarah Islam, umpamanya. Sekarang kita mungkin sudah tidak perlu untuk berhikayat sebegini, bahkan tidak selesa dengan pendekatan sedemikian, apatah lagi jika ianya mengatasnamakan manusia teragung, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun, di satu sudut kita perlu belajarlah menghargai pendahulu - pendahulu kita, jangan hanya tahu menghukum tetapi tidak tahu menghargai. Kita tidak berhadapan dan mengalami apa yang mereka hadapi dan alami. Masyarakat mereka mungkin tidak sama dengan masyarakat kita. Bersikap adil dan amanahlah sentiasa. Bagi diri faqir yang dhaif, faqir sungguh - sungguh tidak gemar dengan kisah - kisah berhikayat dengan mengataskan nama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana khuatir termasuk dalam pendustaan atas nama baginda, jika yang disampaikan itu benar - benar dusta. Faqir juga tidak gemar dengan tulisan - tulisan berbentuk novel fiksyen sejarah Islam kerana ia mengatasnamakan tokoh - tokoh Islam. Faqir khuatir pembacanya tidak berupaya untuk menyaring mana yang fakta dan mana yang sekadar serbuk perasa untuk menyedapkan sahaja, faqir khuatir bercampurbaurnya fakta dan auta. Apa - apa pun semoga Allah sentiasa merahmati kita semua dan menjadikan kita tetap istiqamah atas jalannya orang - orang yang memperolehi kenikmatan yang abadi. Sebagai penutup, faqir terjemah dan nukilkan satu hikayat yang disebut dalam Hikayat Iblis versi Ibnu `Arabi pada halaman 31 dan pungutan Kiyai Agung dalam Ma'dinil Asrar pada halaman 176 sebagai berikut:-  "..... Dan bahawasanya ada bagiku (yakni Iblis) satu anak yang aku namakan dia Kahilan (Si Pencelak) yang kerjanya mencelak mata - mata manusia dalam majlis - majlis ulama dan ketika khatib membaca khutbah Jumaat, sehingga mereka tertidur dari mendengar kalam pengajaran ulama, lalu mereka tidak memperolehi ganjaran pahala ..." Harap - harap jangan ada yang tertidur ketika membaca blog faqir, takut - takut terkena celak si Kahil.....Jangan marah, santai aja, hanya sekadar berhikayat.

Selasa, Julai 26, 2022

Yaasin Fadhilah - Syaikh Abdul Ghani Makki

Syaikh Abdul Ghani bin Muhammad Nur al-Hafiz al-Jarumi al-Qadahi al-Makki adalah ulama Melayu yang bermastautin dan mengajar di Mekah al-Mukarramah. Beliau merupakan cucu kepada Syaikh Wan Idris bin Wan Jamal yang digelar "Tok Syaikh Jarum" oleh Raja Fathani kerana ketajaman ilmu dan fikirannya. Syaikh Abdul Ghani rahimahullah terkenal sebagai tokoh ulama yang berkemahiran dalam al-Quran dan selain mengajar, beliau dilantik menjadi imam rasmi bagi Masjid al-'Utaibiyyah di Mekah al-Musyarrafah. Beliau memulakan pengajian agamanya di Pondok Syaikh Abdul Rahman al-Jarumi, sebelum dimasukkan ke Maktab Mahmud, Kedah. Selesai mengaji di Maktab Mahmud, beliau dihantar gurunya, Syaikh Abdul Rahman al-Jarumi, ke Mekah untuk belajar di Madrasah Darul Ulum, Mekah dan Maahad Tahfiz Masjidil Haram. Sungguhpun beliau mengaji dan menetap di Mekah, yang di bawah penguasaan rejim Saudi-Wahhabi, beliau tetap dengan pegangan al-Asya`irah dan bermazhab Syafie. Syaikh Abdul Ghani kembali ke rahmatullah di Mekah dan dimakamkan di Jannatul Ma'la, rahimahullah.....al-Fatihah.

Di antara warisan yang ditinggalkan kepada kita oleh Syaikh Abdul Ghani rahimahullah adalah berupa risalah yang mengandungi bacaan surah Yaasin dengan kaifiat yang tertentu menurut sebahagian ulama. Risalah tersebut dinamakan sebagai Yaasin Fadhilah / Fadzilah Yasin. Risalah amalan ini beliau tulis pada 20 Sya'baan 1391H dan mengandungi bacaan surah Yaasin yang dibaca dengan kaifiat tertentu beserta doa - doanya sekali. Kaifiat amalannya pun ditulis pada awal risalah tersebut dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Sebenarnya amalan Yaasin Fadhilah telah diamalkan serta diperturunkan oleh beberapa ulama terdahulu dan sekarang. Ianya bukanlah surah Yaasin yang lain untuk dijadikan saingan bagi surah Yaasin yang biasa dibaca. Ia hanyalah kaifiat pembacaan surah Yaasin, di mana ianya dibaca dengan kaedah tertentu, seperti ada ayat yang dilebihkan atau ditambah bacaannya, dengan pengulangan ayat tersebut, juga ada penambahan dengan shalawat dan doa-doa yang munasabah disela - sela ayat yang tertentu. Jadi yang lebih atau ditambah adalah hal sedemikian, iaitu pengulangan, shalawat dan doa. Ayat - ayat surah Yaasin tetap sama dan utuh, jadi bukanlah menambah - nambah ayat al-Quran sebagaimana tohmahan sebahagian puak. Di sinilah letaknya erti "fadhilah" yakni "kelebihan", maka maksud Yaasin Fadhilah jika diMelayukan adalah bacaan surah Yaasin yang dilebihkan atau ditambah bacaannya daripada bacaan biasanya dengan beberapa doa dan shalawat dan pengulangan ayat. Singkatnya, ia adalah "Yaasin plus doa". Bukan maksudnya Yaasin Fadhilah adalah surah Yaasin yang lebih utama atau superior daripada surah Yaasin semata, tanpa extra doa - doa dan shalawat. Maka jangan diiktikadkan bahawa Yaasin Fadhilah itu ertinya surah Yaasin yang mempunyai keutamaan melebihi surah Yaasin semata. Sesungguhnya fadhilat keutamaan itu tergantung dengan keikhlasan, kesungguhan dan benarnya qasad seseorang untuk mengabdikan dirinya kepada Allah. Di kalangan ulama, ada yang merangkai kaedah dan doa, untuk diamalkan bersama surah Yaasin, menurut mereka ianya munasabah berdasarkan ilmu dan tajribah mereka, di mana mereka merasa mudah dan manjur untuk diamalkan. Dan hal ini tidak sesekali menyalahi sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang menyuruh kita berdoa memohon rahmat ketika sampai pada ayat - ayat rahmat dan memohon perlindungan dari azab ketika membaca ayat - ayat berkaitan azab. Pernah juga diriwayatkan yang Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam hanya mengulang - ngulang satu ayat sahaja dalam shalat malam baginda sepanjang malam tersebut. Dari sinilah, maka sebahagian ulama dan awliya` merumus kaedah atau kaifiat dalam pembacaan surah Yaasin, maka lahirlah "Yaasin Fadhilah", "Yaasin Tunggal""Yaasin 7 Mubin", "Yaasin 41" dan sebagainya. Semuanya membaca surah Yaasin, cuma dengan kaedah, kaifiat dan doa-doa yang tertentu mengikut pengalaman dan tajribah mereka sahaja.

Oleh itu jumhur ulama kita yang tidak bermasalah dengan amalan Yaasin Fadhilah ini, walaupun ada perbezaan dalam kaifiat dan bilangan pengulangan ayat atau bentuk doa dan shalawatnya. Itu tidak penting kerana tidak ada kaedah baku daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mengenainya. Semuanya bersandarkan kepada ijtihad dan tajribahnya para ulama sahaja. Namun tidak dinafikan, bahawa ada segelintir ulama kita tidak bersetuju dengan amalan tersebut, lebih tepat, tidak bersetuju dengan cara dan gaya buku atau risalah yang mengandungi Yaasin Fadhilah tersebut ditulis atau dicetak atau dibaca. Pengalaman pribadi faqir, rata - rata buku Yaasin Fadhilah yang ada di pasaran, dicetak tanpa memisahkan dengan jelas mana ayat surah Yaasin dan mana doanya. Seseorang yang baru belajar mungkin terkeliru dan menyangka rangkaian doa itu adalah satu ayat juga daripada surah Yaasin. Ini amatlah tidak wajar dan boleh mendatangkan bahaya serta mencemar kesucian ayat - ayat al-Quran. Dalam keadaan sedemikian, maka perlulah dijelaskan kepada para pembaca yang ingin membaca atau mengamalkan Yaasin Fadhilah agar mereka tidak keliru serta usahakanlah agar cetakannya jelas dan terang membezakan Kalam Allah dan kalam manusia. Boleh sahaja ditulis dengan diberikan penjelasan atau nota atau notakaki atau ditulis secara dalam kurungan atau ditulis dengan gaya / font yang berbeza atau seumpamanya. Dengan sedemikian, tidaklah berlaku pembauran antara ayat dan doa, samada dalam tulisan maupun dalam bacaan.

Untuk menghindari agar tidak berlaku kekeliruan sebegini, maka Pihak Jabatan Mufti Kedah dalam Himpunan Fatwa 2, Negeri Kedah Darul Aman pada halaman 22 - 24, ketika menanggapi masalah Buku Yaasin Fadhilah keluaran Sayyid Muhammad bin Ali al-Aydrus, Jakarta, menyatakan sebagai berikut:- Jawatankuasa telah meneliti buku tersebut di atas dan mendapati ada beberapa tempat di antara ayat dengan ayat yang berikutnya diselangi dengan shalawat dan doa dan ada ayat yang terus disambung dengan perkataan - perkataan yang asing dari Yaasin itu seperti (yakni diberikan contoh di mana ayat 81 ditulis terus dengan sambungan doa tanpa ada pemisah yang membezakan antara keduanya) ........ "Yaasin Fadhilah" ini (yakni buku "Yaasin Fadhilah" yang dikeluarkan oleh Sayyid Muhammad al-Aydrus tadi) benar - benar bertentangan dengan surah Yaasin yang sebenar. Ia bercampur aduk Kalam Allah dengan kalam manusia dan mengelirukan awam kaum muslimin, khususnya generasi yang tiada begitu mahir dengan al-Quran dan tiada mengetahui mana ayat - ayatnya yang sebenar dari al-Quran dan mana yang bukan....... (Faqir sertakan fatwa sepenuhnya di bawah nanti). Begitulah jika  kita telusuri pandangan yang tidak bersetuju tersebut, mereka sebenarnya khuatir masyarakat awam yang kurang pengetahuan akan beranggapan bahawa segala doa dan shalawat tersebut sebagai ayat - ayat Surah Yaasin juga. Ini adalah kerana dalam kebanyakan cetakan Yaasin Fadhilah tidak memberikan tanda atau pemisah yang jelas untuk membezakan ayat - ayat al-Quran dan doa - doa tersebut. Jangankan yang sedemikian, sebahagian ulama menegah menulis atau meletak apa jua ayat atau apa jua tanda dalam mushaf, yang boleh mengelirukan, tanpa diberi pemisah yang jelas untuk membezakan mana ayat al-Quran dan mana yang bukan. 

Dalam sanad amalan Yaasin Fadhilah yang faqir perolehi, dijelaskan sejelas-jelasnya oleh orang tua dan para guru yang mulia, rahimahumullah, bahawa ini ayat surah Yaasin, di sini berhenti dulu sebentar, lalu baca shalawat serta doa dengan suara yang pelan atau tidak senyaring membaca ayat - ayat al-Quran tadi, yakni bezakan ketinggian nada suara ketika membaca ayat dan ketika membaca yang bukan ayat sehingga dapat dibeza antara keduanya. Semua ini tujuannya adalah untuk memisahkan atau membezakan, antara ayat al-Quran dan yang bukan ayat al-Quran, demi menjaga kesucian al-Quran yang merupakan Kalam Allah. Jadi dengan sedemikian, diharap tidaklah berlaku kekeliruan atas si pembacanya.

Berbalik kepada risalah Yaasin Fadhilah Syaikh Abdul Ghani, sebagaimana dinyatakan di atas, dalam risalah tersebut ada dijelaskan oleh beliau akan kaifiat, tertib dan bacaan - bacaan fawatih yang tiga (mengikut sanad amalan beliau), iaitu untuk Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Nabi al-Khadhir `alaihis salam dan Syaikh Abdul Qadir al-Jailani qaddasaAllahu sirrahul `aziz,  sebelum memulakan bacaan Yaasin tersebut. Menarik lagi, beliau menulis kaifiat tersebut bukan sahaja dalam Bahasa Melayu, juga dalam Bahasa Inggeris. Setelah faqir buat carian, rupa - rupanya Syaikh Abdul Ghani adalah seorang ulama yang mahir berbahasa Inggeris dan mempunyai ramai murid dari Afrika Selatan dan Eropah, di mana beliau mengajar mereka dengan menggunakan Bahasa Inggeris. Dalam penjelasan tersebut beliau menegaskan bahawa pada tempat yang tertentu yang telah ditandai dengan "x", si pembaca hendaklah berhenti dahulu sebentar dan membaca doanya, dengan kata beliau: "...In this Fadzilah Yasin there are a few verses denoting x, where one should pause reciting and seeks Allah's blessings ......" Jadi, selaku ulama yang mahir al-Quran lagi hafiz, beliau, rahimahullah, amat menjaga agar jangan sampai si pembaca terkeliru. Maka sebelum membaca doa tambahan atas sesuatu ayat tadi, seseorang hendaklah memisahkannya dengan berhenti sebentar, agar tidak bercampur baur antara ayat dan doa.

Begitulah sedikit mengenai Syaikh Abdul Ghani al-Jarumi dan risalah Yaasin Fadhilah beliau. Bagi sesiapa yang hendak membaca Yaasin Fadhilah, bacalah, sesiapa yang tidak mahu, maka baca sahajalah Surah Yaasin atau Yaasin Tunggal, jangan amal Yaasin Tinggal udah le. Mudah - mudahan jadi bermanfaat, setidak - tidaknya kita tidak mudah menyalahkan amalan Yaasin Fadhilah, amalan sebahagian ulama terdahulu, walaupun kita sendiri mungkin keberatan untuk mengamalkannya......lana a'maaluna wa lakum a'maalukum.

Komen Buya Yahya Tentang Yaasin Fadhilah

Fatwa Kedah Tentang Buku "Yaasin Fadhilah" 
keluaran Sayyid Muhammad al-'Aydrus, Jakarta.