Khamis, Ogos 24, 2023

Syaikh Shalih Kamal

Ulama kita Nusantara, al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Muhammad Mukhtar Bogor rahimahullah ada meninggalkan beberapa karya tulis. Di antaranya berupa karya terjemahan dan saduran yang beliau lakukan bagi karangan seorang ulama dan mufti Hanafi Mekah yang diberi jodol al-Wahbatul Ilahiyyah dan dipinggirnya satu risalah mengenai `ataqah al-kubra. Kitab al-Wahbatul Ilahiyyah itu berisikan kaedah bagi melaksanakan fidyah sembahyang bagi orang mati, sebagaimana masyhur menurut mazhab Hanafi dan satu pendapat (qil) dalam mazhab  Syafie. Masalah fidyah sembahyang bagi orang mati ini adalah satu perkara yang menjadi ikhtilaf muktabar di kalangan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dari itu berlapang dadalah dalam perkara ini, jangan mudah - mudah menyalahkan orang yang membuatnya dan jangan sekali - kali mencaci mereka kerana mereka juga mempunyai dalil dan panutan daripada kalangan para ulama yang benar. Sesiapa yang tidak melakukannya, mereka juga berada atas jalan yang benar, jalan para ulama yang `amilin mukhlashin. Manakala Risalah `Ataqah al-Kubra pula adalah risalah ringkas mengenai amalan membaca Suratul Ikhlas 100,000 kali sebagai sarana wasilah mendapatkan pembebasan Allah daripada api neraka.

Almarhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir pernah menulis mengenai Syaikh Mukhtar Bogor dan biografi ulama ini telah tersebar dan mudah untuk kita baca. Di sini faqir ingin menulis sikit mengenai Mufti Hanafi Mekah tersebut, iaitu Syaikh Muhammad Shalih Kamal. Tulisan ini faqir kutip dari karangan `Umar Abdul Jabbar yang berjodol Siyar wa Tarajim ba`adh ulama-ina fi qarni ar-rabi` `asyr lil hijrah. Nama penuh beliau adalah Muhammad Shalih bin al-`Allaamah Shiddiq bin al-`Allaamah `Abdul Rahman Kamal al-Hanafi. Beliau dilahirkan di Mekah dalam bulan Rabi`ul Awwal 1263H. Keluarga beliau terdiri daripada kalangan alim ulama besar dan di situlah beliau memulai pendidikannya. Beliau menghafal al-Quran di usia dini dan biasa diangkat untuk menjadi imam bagi Shalat Tarawih. Selain ayahandanya sendiri, beliau berguru dengan ulama - ulama Tanah Haram, antaranya dengan Syaikh `Abdul Qadir Khauqir di mana dengannya beliau mendalami fiqh Hanafi, Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan Syaikh Rahmatullah, pengarang kitab Idzharul Haq dan pengasas Madrasah ash-Shaulatiyyah, Mekah. Setelah dipandang layak dan mumpun ilmunya, beliau telah diberi kebenaran untuk menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram. 

Pada tahun 1297H, Syaikh Muhammad Shalih Kamal telah dilantik menjadi qadhi di Jeddah. Namun, jawatan tersebut terpaksa beliau tinggalkan kerana hatinya sangat rindu pada Masjidil Haram dan Ka`batullah al-Musyarrafah. Di Mekah, beliau terus mengabdikan dirinya untuk mengajar dan menyebarkan ilmu. Syarif `Abdul Muthallib bin Ghalib, amir / gabenor Mekah ketika itu, amat menghormati dan menyanjungi beliau, bahkan sering bertanyakan pendapat beliau dalam pelbagai kemusykilan. Ketika almarhum amir tersebut wafat, beliau telah dimandikan serta dikafankan oleh Syaikh Muhammad Shalih sesuai dengan wasiat sang amir.

Pengganti Syarif `Abdul Muthallib, Syarif `Aun, telah memberi kebenaran untuk Syaikh Muhammad Shalih berfatwa, menjadi imam dan khatib di Masjidil Haram. Sekitar tahun 1305, beliau dilantik pula menjadi naib qadhi yang beliau laksanakan tanggungjawabnya dengan penuh keikhlasan dan amanah. Segala lantikan sebagai naib qadhi dan qadhi tidak menghalang beliau untuk terus mengajar. Para murid sentiasa mendatangi beliau untuk mengambil manfaat daripada ketinggian ilmunya sehingga beliau diangkat sebagai mufti bagi para pengikut Mazhab Hanafi. Di antara murid - murid beliau adalah Syaikh Muhammad al-Marzuqi, Syaikh Ali Kutbi, Syaikh Sa`dullah al-Hindi, Syaikh `Ali Badri dan Syaikh Amanullah, yang semuanya adalah alim ulama Masjidil Haram.

Syaikh Muhammad Shalih Kamal bin Shiddiq Kamal tutup usia pada tahun 1332H di Kota Mekah. Jenazah beliau telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan di sisi Multazam dengan diimamkan oleh Syaikh Sulaiman Hasbullah al-Makki asy-Syafie. Syaikh Sulaiman ketika menyaksikan jenazah Syaikh Shalih Kamal mengungkapkan kata - kata: "Pada hari ini telah mati fiqh Abu Hanifah", yakni hilangnya seorang pakar rujuk dan faqih Mazhab Hanafi. Selain murid - murid, Syaikh Shalih Kamal turut meninggalkan beberapa karangan, antaranya:- Tabshiratush Shibyan wa Tadzkiratul Ikhwan, `Uqudud Durrin Nadhid fi manaqib Sayyidinal Husain asy-Syahid, al-Wahbatul Ilahiyyah dan Risalah `Ataqah al-Kubra. Semoga Allah sentiasa merahmati Syaikh Muhammad Shalih Kamal dan menempatkan beliau di kalangan para awliya` dan shalihin bi jiwari as-Sayyidil Amin `alaihi afdhalus shalah wa azkas salaam.

Tiada ulasan: