Isnin, Ogos 24, 2026

Mimpi Riwayat JazaAllah

Dalam menentukan status sesuatu hadits, para ulama yang ahli hadits atau dikenali sebagai muhadditsin dengan darjat - darjat kepakaran mereka masing - masing, mempunyai usul dan kaedah menurut disiplin ulumul hadits (ilmu - ilmu hadits) yang pelbagai dan bercabang - cabang seperti musthalah, al-jarh wat ta'dil, takhrij, `ilal dan dan ....... dan banyak lagi cabangnya, yang semuanya bersifat umum dan objektif. Mimpi, yang sifatnya personal dan subjektif, setara mana pun baik atau benarnya, sekali - kali tidak dapat dijadikan hujjah atau dalil untuk menetapkan ketentuan atau ketetapan hukum status hadits atau mensabitkan keabsahan sanad riwayat sesuatu hadits yang telah ditetapkan menurut usul dan kaedah muhadditsin. Namun, ini tidak bermakna yang mimpi - mimpi baik dan benar itu tidak memiliki peranan, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menyatakan dalam hadits yang shahih bahawa: "Mimpi yang baik (ar-ru'ya shaalihah) itu satu bahagian daripada 1/46 bahagian daripada kenabian". Hadits ini tidaklah bermakna orang yang bermimpi itu mendapat sebahagian darjat kenabian, kerana darjat kenabian itu tidak menerima pembahagian atau dijuzuk - juzukkan dan pangkat kenabian itu semata - mata anugerah Allah yang tidak dapat diusahakan, tambahan pula sudah pun ditutup pintunya dengan zahirnya Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam di muka bumi. Dikatakan mimpi yang baik tadi seperti satu juzuk daripada 1/46 kenabian, antaranya, adalah kerana dalam mimpi baik yang dialami seorang mukmin, boleh jadi disingkapkan sesuatu yang ghaib, samada sifatnya belum terjadi atau sudah terjadi namun tidak diketahui dan hal ini ada kemiripannya dengan mimpi para nabi yang merupakan wahyu yang diturunkan kepada mereka. Berbalik kepada asal perbicaraan, dalam disiplin ilmu hadits, mimpi tidaklah dijadikan sandaran sebagai penentu keshahihan atau kepalsuan sesuatu hadis tersebut. Mimpi hanya berperanan untuk menambah keyakinan atau kepercayaan si pemimpi atau orang yang percayakan si pemimpi bahawa ada kemungkinan sesuatu riwayat itu benar, bukannya mimpi tersebut dijadikan penentu status riwayatnya. 

Perlu diketahui juga bahawa orang - orang shalih tidak akan sewenang - wenangnya mengarang - ngarang atau mereka - reka mimpi. Ini adalah kerana perbuatan mereka - reka mimpi itu termasuk pembohongan yang besar, termasuk dalam dosa besar yang diberi ancaman melakukannya. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menyatakan mengarang - ngarang mimpi adalah termasuk afral fira / sedusta - dustanya pendustaan / pembohongan yang terdahsyat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh para ahli hadits seperti Imam al-Bukhari dan Imam Ahmad. Dalam Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, juz 10, halaman 202, hadits ke-5998, diriwayatkan bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Pembohongan yang paling besar adalah seseorang yang menasabkan dirinya kepada bukan bapanya dan pembohongan yang paling besar adalah seseorang yang menceritakan sesuatu yang diliihatnya di dalam tidur apa yang tidak dilihatnya  (yakni mereka - reka mimpi) dan orang yang mengubah sempadan tanah." 

Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam turut mengancam seseorang yang mereka - reka mimpi dengan ancaman yang berat dalam sabdaan - sabdaan yang diriwayat oleh para muhadditsin. Dalam Shahih al-Bukhari diriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang mengaku bermimpi (sedangkan) dia tidak melihatnya dalam mimpi tersebut (yakni seseorang yang mereka - reka mimpi), maka dia akan dibebankan (pada hari kiamat nanti) untuk mengikat dua biji gandum dan sekali - kali dia tidak akan mampu melakukannya."  Imam Ahmad pula dalam Musnad, juz 2, halaman 330, hadits ke-1088, meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang berdusta tentang mimpinya, dia akan dibebankan untuk mengikat bijian gandum pada hari kiamat nanti." 

Selanjutnya, Imam Ahmad meriwayatkan pada hadits ke-1089, ancaman keras Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersabda: "Sesiapa yang berdusta tentang mimpinya dengan sengaja, maka dia telah mengambil tempatnya di neraka." Allahu Allah ..... ini bukan perkara yang boleh dibuat main - main. Mereka - reka mimpi termasuk dosa yang besar, maka para shalihin pasti tidak akan sewenang - wenangnya menceritakan mimpi - mimpi dusta. Jika tidak benar - benar mereka alami, pasti tidak akan mereka ceritakan. Dalam khazanah Islam, tercatat pelbagai peristiwa mimpi shalihin tentang sesuatu hadis. Namun, tetap sahaja usul dan kaedah muhadditsin dalam disiplin ilmu hadits yang dijadikan kayu ukur bagi menentukan kuat - lemahnya darjat sesuatu hadits dan bukannya mimpi.

Setelah penyataan di atas, maka selanjutnya faqir kongsikan mimpi seorang shalih sebagaimana dikisahkan oleh Syaikh Yusuf an-Nabhani rahimahullah  dalam kitabnya Dalilut Tujjar ila Akhlaqil Akhyaar. Pada halaman 99, Syaikh Yusuf menulis sebagai berikut:- .... Seorang lelaki shalih yang bernama Muhammad Wahid Afandi ash-Shabuni al-Halabi telah menziarahiku di rumahku di Beirut pada pertengahan bulan Syawwal tahun 1321H. Dia telah menceritakan kepadaku tentang kisah yang bermanfaat yang dialaminya sendiri, lalu aku terus ketika itu juga mencatatnya. Beginilah katanya: "Ketika di Halab, sekitar lebih sepuluh tahun yang lalu, aku telah melihat dalam sebahagian kitab - kitab akan hadits: "Sesiapa yang mengucapkan: [JazaAllahu `anna  Muhammadan bi ma huwa ahluh]...dia telah memenatkan 70 malaikat pencatat amal selama 1000 hari." Aku meragui keshahihan hadis ini kerana ganjarannya terlalu besar atas amalan yang sedikit. Pada malamnya, aku tidur dengan niat esoknya aku akan bertanya kepada para ulama tentang hadits tersebut. Lalu dalam tidurku aku bermimpi berjumpa dengan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang sedang duduk atas kedua lututnya yang mulia (duduk iftirasy), berserban dengan serban putih dan memakai jubah hitam. Aku berkata kepada baginda: "Wahai RasulAllah, adakah engkau telah bersabda dengan hadits ini dan aku bacakan lafaz haditsnya?" Maka, baginda meletakkan tangan baginda ke dadanya yang mulia dan bersabda: "Ya, aku telah bersabda dengannya."

Allahu ... Allah, begitulah kisah mimpi berkait hadits tersebut. Mimpi seorang shalih yang disampaikan kepada seorang shalih yang kemudian mencatatnya sehingga sampai kepada kita. Namun, tidaklah kita bersandarkan kisah ini, mengisytiharkan bahawa hadits tersebut menurut disiplin ilmu hadits dan di sisi muhadditsin sebagai shahih, tetap sahaja ianya dinilai dhaif atau dhaif jiddan kerana salah seorang perawinya yang bernama Hani` bin al-Mutawakkil seorang yang dinilai dhaif / dhaif jiddan. Kisah mimpi tersebut hanyalah untuk mententeramkan hati serta memantapkan pegangan dan amalan individu pengamal bahawa ungkapan tersebut tidak bermasalah untuk diamalkan walaupun haditsnya dhaif dan bukannya untuk dijadikan hujjah menshahihkan hadits tersebut. Jadi, haditsnya secara ilmu hadits, ya lemah sanadnya, namun jika diamalkan tidaklah menjadi bid`ah dhalalah.

Ustaz Wadi Anuar

Isnin, Ogos 03, 2026

Munfarijah Ibnu an-Nahwi

Sebelum ini, faqir pernah menulis sedikit mengenai qashidah al-Munfarijah al-Kubra yang dinisbahkan kepada Hujjatul Islam Imam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu. Kali ini, faqir tuliskan sedikit tentang "kembar"nya, al-Munfarijah ash-Shughra yang lebih masyhur. Qashidah al-Munfarijah ash-Shughra ini lebih meluas penyebarannya di serata dunia termasuklah rantau Nusantara. Sesetengah percetakan di bumi Nusantara seperti Maktabah wa Mathba`ah Thoha Putra Semarang mencetak qashidah ini bersama kitab mawlid Majmu`ah Mawalid wa Ad`iyyah. Ramai umat Islam menjadikan qashidah ini sebagai amalan dan wirid mereka atas saranan para guru dan ulama. Misalnya, Syaikh Zainuddin Abdul Majid rahimahullah, ulama terkemuka di Lombok dan pengasas Nahdlatul Wathan telah menjadikan qashidah ini sebagai amalan dan wirid yang dihimpunkan dalam Hizib Nahdlatul Wathan yang menjadi amalan para santrinya. KH Sahl Mahfudz rahimahullah, tokoh ulama yang pernah menjadi Rais Am Nahdlatul Ulama, juga antara yang menyebar dan mengijazahkan bacaan qashidah ini sebagaimana beliau memperolehinya daripada guru - guru beliau di pesantren. Beliau juga mempunyai kuliah khusus bagi menjelaskan makna yang terkandung dalam  Qashidah al-Munfarijah ash-Shugra dan menulis sebuah risalah yang mensyarahkan secara ringkas bait - bait qashidah tersebut dalam Bahasa Jawa dengan aksara pegon berjodol at-Tarjamatul Munbajalah.

Qashidah al-Munfarijah ash-Shughra ini merupakan karya Imam Abul Fadhl Yusuf bin Muhammad at-Tawzari (433 - 513H) yang lebih dikenali dengan panggilan Ibnu an-Nahwi rahimahullah. Beliau adalah seorang ulama Tunisia, bermazhab Maliki, mahir dalam usuluddin, melaut dalam fiqh, sufi lagi al-hafiz dalam hadis serta panutan dalam ilmu - ilmu alat. Beliau terkenal dengan keshalihan dan mustajab doanya. Imam Ibnu an-Nahwi hidup sezaman dengan Hujjatul Islam al-Ghazali dan beliau sangat menyanjungi Imam al-Ghazali serta sangat memberi perhatian dan kepercayaan penuh pada kitab Ihya` Ulumiddin yang dikarang Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah. Ketika Imam al-Ghazali ditohmah sebagai sesat sehingga dikeluarkan fatwa untuk membakar kitab Ihya` Ulumiddin di Marakkesh, Imam Ibnun Nahwi adalah antara yang lantang membela Hujjatul Islam dan karangannya. Ketika penguasa mengeluarkan arahan untuk merampas Ihya` `Ulumiddin untuk dibakar, maka orang - orang yang memiliki kitab tersebut telah menyembunyikannya dan bersumpah bahawa mereka tidak menyimpannya. Imam Ibnu an-Nahwi telah mengutus warkah kepada penguasa sebagai pembelaan terhadap Hujjatul Islam dan berfatwa bahawa sumpah orang - orang tersebut tidak diiktibar (yakni dianggap seolah - olah tidak berlaku) sehingga tidak perlu membayar kaffarah sumpah. Kecintaan luar biasa Imam Ibnun Nahwi kepada kitab Ihya` juga terserlah apabila beliau telah menyalin kitab tersebut dalam 30 juz dan pada setiap hari di bulan Ramadhan beliau akan membaca satu juz. Ketokohan, keilmuan dan kewalian beliau mendapat persaksian daripada ramai ulama, antaranya Qadhi Abu Abdullah bin Ali bin Hammaad yang menyatakan bahawa kedudukan Imam Ibnun Nahwi di Afrika Utara adalah seperti Imam al-Ghazali di Iraq dari segi ilmu dan amal.

Qashidah al-Munfarijah ash-Shughra ini telah mendapat sambutan dan perhatian daripada umat, baik yang awam maupun para ulama. Mereka menjadikannya sebagai munajat dan rintihan untuk menarik keberkatan dan rahmat Tuhan, selain berfungsi menjadi tawjih ruuhi (nasihat rohani buat diri) yang menenangkan hati, mengubat kedukaan, menghilangkan kegundahan, agar sentiasa optimis menghadapi segala pancaroba, mengajar berdamai dengan takdir, tidak berputus asa, terus berusaha dan bertawakkal dengan penuh keyakinan dan baik sangka (husnudz dzan) dengan Allah, di samping memohon kelepasan dari segala perkara yang menyempit dan menyesakkan dada. Qashidah yang dimulakan dengan ungkapan yang dikatakan sebagai sebuah "hadis" daripada Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu yang berbunyi: "Isytaddi azmatu tanfariji" - Memuncaklah wahai kepayahan, maka engkau akan segera terurai. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dengan sanad yang sangat bermasalah, samada dhaif atau munkar (dhaif parah) atau maudhu (bukan sabda Junjungan) sebagaimana pandangan al-Hafiz Sidi Abul Faidh Ahmad al-Ghumari. Tetapi, memandangkan ianya bukan dalil atau hujjah dari aspek hukum - hakam dan iktikad pegangan, ulama menggunakannya hanya dalam bab kefasihan bahasa atau kedalaman munajat dan tawjih ruuhi (nasihat bagi diri atau bimbingan rohani). Pengertian daripada kalimah bait qashidah tersebut bukanlah atas makna zahirnya meminta agar cobaan atau musibah atau ujian atau kepayahan atau kegundahan ditambah atau meningkat, namun hakikatnya memohon agar diberikan kelepasan atau kelapangan atau kelegaan daripada cobaan atau musibah atau ujian atau kesulitan yang sedang dihadapi, Walaupun yang dituju dan ditunjuk adalah azmah (kesulitan / kepayahan /ujian pancaroba) namun yang dipohon pada hakikatnya adalah infiraj (kelepasan / kelapangan). Ulama menjelaskan ini termasuk dalam kaedah iqamatu lis sabab maqam al-musabbab (menjadikan sebab pada tempat akibat). Sama halnya seorang pesakit yang menderita kesakitan merintih: "Sakit...sakit...", pasti tujuannya bukanlah untuk meminta kesakitan atau semata - mata menyatakan kesakitan tetapi merintih mengharapkan segera datangnya kesembuhan. Juga jika ditafsirkan kepada doa, seolah - olah rintihan munajat kita kepada Allah yang merupakan satu - satunya Musabbibul Asbab (Pencipta segala sebab - akibat): "Cukup Ya Allah, segerakanlah datangnya kelepasan." Bait itu juga mengingatkan seseorang agar sentiasa optimis ketika menerima ujian kesulitan atau apa jua musibah pancaroba dan sekali - kali jangan berputus asa, kerana semakin hebat dan memuncaknya kesulitan atau ujian yang melanda, itulah petanda bahawa kelepasan atau jalan keluarnya semakin hampir sebagaimana ketika memuncaknya kegelapan malam menunjukkan waktu fajar telah hampir tiba.

Beberapa ulama besar telah memberikan perhatian mereka kepada qashidah ini dengan mensyarahkannya agar isi kandungannya yang penuh nasihat dan hikmah kebijaksanaan supaya dapat difahami masyarakat. Antara yang mensyarahkannya adalah alim besar, mujaddid kurun ke-9, gurunya dua bintang - Imam Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli, - Syaikhul Islam, Mawlana Zakaria al-Anshari rahimahullah dengan syarahnya al-Adhwa-ul Bahjah fi ibraazi daqaaiqil al-Munfarijah, Syaikh Hasanain Makhluf rahimahullah, mantan mufti Mesir, dengan syarahnya Syifa-ush Shudur al-Harajah bi syarhi al-Qashidah al-Munfarijah, manakala Mawlawi Ismail Ahmad al-Anqarawi rahimahullah menuliskan syarahnya dalam Bahasa Turkiye dengan jodol al-Hikamul Mundarijah fi syarhi al-Munfarijah. Tidak ketinggalan, tokoh sufi yang terkemuka, Imam Ibnu 'Ajibah al-Hasani juga turut mensyarahkan qashidah yang berkat ini.

Mawlana Zakaria al-Anshari rahimahullah pada mukaddimah al-Adhwa-ul Bahjah menukil perkataan Imam Tajuddin as-Subki rahimahullah sebagai berikut:- ....Qashidah ini dinamakan oleh Syaikh Taajuddin as-Subki sebagai "al-Faraju ba'dasy Syiddah" - "Kelepasan setelah kesulitan"  dan beliau menyatakan: "Qashidah ini mujarrab untuk menghilangkan kesusahan, bahkan ramai yang berkeyakinan qashidah ini mengandungi atau merangkumi ismul a'zham (nama Allah yang teragung), di mana sesiapa yang berdoa dengannya pasti diijabahi." Beliau berkata lagi: "Adalah aku telah mendengar ayahandaku (Syaikhul Islam Imam Taqiyuddin Abul Hasan Ali as-Subki) ketika ditimpa kesusahan melantunkannya."

Begitulah sedikit coretan mengenai Qashidah Munfarijah Sughra karya Imam Ibnu an-Nahwi. Inilah antara puluhan juta khazanah peninggalan para ulama kita yang sampai ke tangan kita sekarang dan mudah - mudahan sehingga ke anak cucu kita nanti. Setidak - tidaknya secubit ilmunya ulama dan sirnya awliya` terkandung dalam qashidah ini. Jika pun tidak setiap kali, setidak - tidaknya sesekali, lihat dan pandanglah karya ulama - ulama kita yang telah ditajribah yakni diuji kemujarrabannya. Semoga Allah sentiasa melapangkan kehidupan kita dunia dan akhirat.....Allahumma aamiin.

Baca juga:- Munfarijah Kubra Imam al-Ghazali

Munfarijah Shughra


Kiyai Haji SahalMahfudz