Isnin, Ogos 24, 2026

Mimpi Riwayat JazaAllah

Dalam menentukan status sesuatu hadits, para ulama yang ahli hadits atau dikenali sebagai muhadditsin dengan darjat - darjat kepakaran mereka masing - masing, mempunyai usul dan kaedah menurut disiplin ulumul hadits (ilmu - ilmu hadits) yang pelbagai dan bercabang - cabang seperti musthalah, al-jarh wat ta'dil, takhrij, `ilal dan dan ....... dan banyak lagi cabangnya, yang semuanya bersifat umum dan objektif. Mimpi, yang sifatnya personal dan subjektif, setara mana pun baik atau benarnya, sekali - kali tidak dapat dijadikan hujjah atau dalil untuk menetapkan ketentuan atau ketetapan hukum status hadits atau mensabitkan keabsahan sanad riwayat sesuatu hadits yang telah ditetapkan menurut usul dan kaedah muhadditsin. Namun, ini tidak bermakna yang mimpi - mimpi baik dan benar itu tidak memiliki peranan, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menyatakan dalam hadits yang shahih bahawa: "Mimpi yang baik (ar-ru'ya shaalihah) itu satu bahagian daripada 1/46 bahagian daripada kenabian". Hadis ini tidaklah bererti orang yang bermimpi itu mendapat sebahagian darjat kenabian, kerana darjat kenabian itu tidak menerima pembahagian atau dijuzuk - juzukkan dan pangkat kenabian itu semata - mata anugerah Allah yang tidak dapat diusahakan, tambahan pula sudah pun ditutup pintunya dengan zahirnya Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam di muka bumi. Dikatakan mimpi yang baik tadi seperti satu juzuk daripada 1/46 kenabian, antaranya, adalah kerana dalam mimpi baik yang dialami seorang mukmin, boleh jadi disingkapkan sesuatu yang ghaib, samada sifatnya belum terjadi atau sudah terjadi namun tidak diketahui dan hal ini ada kemiripannya dengan mimpi para nabi yang merupakan wahyu yang diturunkan kepada mereka. Berbalik kepada asal perbicaraan, dalam disiplin ilmu hadits, mimpi tidaklah dijadikan sandaran sebagai penentu keshahihan atau kepalsuan sesuatu hadis tersebut. Mimpi hanya berperanan untuk menambah keyakinan atau kepercayaan si pemimpi atau orang yang percayakan si pemimpi bahawa ada kemungkinan sesuatu riwayat itu benar, bukannya mimpi tersebut dijadikan penentu status riwayatnya. 

Perlu diketahui juga bahawa orang - orang shalih tidak akan sewenang - wenangnya mengarang - ngarang atau mereka - reka mimpi. Ini adalah kerana perbuatan mereka - reka mimpi itu termasuk pembohongan yang besar, termasuk dalam dosa besar yang diberi ancaman melakukannya. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menyatakan mengarang - ngarang mimpi adalah termasuk afral fira / sedusta - dustanya pendustaan / pembohongan yang terdahsyat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh para ahli hadits seperti Imam al-Bukhari dan Imam Ahmad. Dalam Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, juz 10, halaman 202, hadits ke-5998, diriwayatkan bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Pembohongan yang paling besar adalah seseorang yang menasabkan dirinya kepada bukan bapanya dan pembohongan yang paling besar adalah seseorang yang menceritakan sesuatu yang diliihatnya di dalam tidur apa yang tidak dilihatnya  (yakni mereka - reka mimpi) dan orang yang mengubah sempadan tanah." 

Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam turut mengancam seseorang yang mereka - reka mimpi dengan ancaman yang berat dalam sabdaan - sabdaan yang diriwayat oleh para muhadditsin. Dalam Shahih al-Bukhari diriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang mengaku bermimpi (sedangkan) dia tidak melihatnya dalam mimpi tersebut (yakni seseorang yang mereka - reka mimpi), maka dia akan dibebankan (pada hari kiamat nanti) untuk mengikat dua biji gandum dan sekali - kali dia tidak akan mampu melakukannya."  Imam Ahmad pula dalam Musnad, juz 2, halaman 330, hadits ke-1088, meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang berdusta tentang mimpinya, dia akan dibebankan untuk mengikat bijian gandum pada hari kiamat nanti." 

Selanjutnya, Imam Ahmad meriwayatkan pada hadits ke-1089, ancaman keras Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersabda: "Sesiapa yang berdusta tentang mimpinya dengan sengaja, maka dia telah mengambil tempatnya di neraka." Allahu Allah ..... ini bukan perkara yang boleh dibuat main - main. Mereka - reka mimpi termasuk dosa yang besar, maka para shalihin pasti tidak akan sewenang - wenangnya menceritakan mimpi - mimpi dusta. Jika tidak benar - benar mereka alami, pasti tidak akan mereka ceritakan. Dalam khazanah Islam, tercatat pelbagai peristiwa mimpi shalihin tentang sesuatu hadis. Namun, tetap sahaja usul dan kaedah muhadditsin dalam disiplin ilmu hadits yang dijadikan kayu ukur bagi menentukan kuat - lemahnya darjat sesuatu hadits dan bukannya mimpi.

Setelah penyataan di atas, maka selanjutnya faqir kongsikan mimpi seorang shalih sebagaimana dikisahkan oleh Syaikh Yusuf an-Nabhani rahimahullah  dalam kitabnya Dalilut Tujjar ila Akhlaqil Akhyaar. Pada halaman 99, Syaikh Yusuf menulis sebagai berikut:- .... Seorang lelaki shalih yang bernama Muhammad Wahid Afandi ash-Shabuni al-Halabi telah menziarahiku di rumahku di Beirut pada pertengahan bulan Syawwal tahun 1321H. Dia telah menceritakan kepadaku tentang kisah yang bermanfaat yang dialaminya sendiri, lalu aku terus ketika itu juga mencatatnya. Beginilah katanya: "Ketika di Halab, sekitar lebih sepuluh tahun yang lalu, aku telah melihat dalam sebahagian kitab - kitab akan hadits: "Sesiapa yang mengucapkan: [JazaAllahu `anna  Muhammadan bi ma huwa ahluh]...dia telah memenatkan 70 malaikat pencatat amal selama 1000 hari." Aku meragui keshahihan hadis ini kerana ganjarannya terlalu besar atas amalan yang sedikit. Pada malamnya, aku tidur dengan niat esoknya aku akan bertanya kepada para ulama tentang hadits tersebut. Lalu dalam tidurku aku bermimpi berjumpa dengan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang sedang duduk atas kedua lututnya yang mulia (duduk iftirasy), berserban dengan serban putih dan memakai jubah hitam. Aku berkata kepada baginda: "Wahai RasulAllah, adakah engkau telah bersabda dengan hadits ini dan aku bacakan lafaz haditsnya?" Maka, baginda meletakkan tangan baginda ke dadanya yang mulia dan bersabda: "Ya, aku telah bersabda dengannya."

Allahu ... Allah, begitulah kisah mimpi berkait hadits tersebut. Mimpi seorang shalih yang disampaikan kepada seorang shalih yang kemudian mencatatnya sehingga sampai kepada kita. Namun, tidaklah kita bersandarkan kisah ini, mengisytiharkan bahawa hadits tersebut menurut disiplin ilmu hadits dan di sisi muhadditsin sebagai shahih, tetap sahaja ianya dinilai dhaif atau dhaif jiddan kerana salah seorang perawinya yang bermana Hani` bin al-Mutawwakil seorang yang dinilai dhaif / dhaif jiddan. Kisah mimpi tersebut hanyalah untuk mententeramkan hati serta memantapkan pegangan dan amalan individu pengamal bahawa ungkapan tersebut tidak bermasalah untuk diamalkan walaupun haditsnya dhaif dan bukannya untuk dijadikan hujjah menshahihkan hadits tersebut. Jadi, haditsnya secara ilmu hadits, ya lemah sanadnya, namun jika diamalkan tidaklah menjadi bid`ah dhalalah.

Ustaz Wadi Anuar

Tiada ulasan: