Isnin, Ogos 03, 2026

Munfarijah Ibnu an-Nahwi

Sebelum ini, faqir pernah menulis sedikit mengenai qashidah al-Munfarijah al-Kubra yang dinisbahkan kepada Hujjatul Islam Imam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu. Kali ini, faqir tuliskan sedikit tentang "kembar"nya, al-Munfarijah ash-Shughra yang lebih masyhur. Qashidah al-Munfarijah ash-Shughra ini lebih meluas penyebarannya di serata dunia termasuklah rantau Nusantara. Sesetengah percetakan di bumi Nusantara seperti Maktabah wa Mathba`ah Thoha Putra Semarang mencetak qashidah ini bersama kitab mawlid Majmu`ah Mawalid wa Ad`iyyah. Ramai umat Islam menjadikan qashidah ini sebagai amalan dan wirid mereka atas saranan para guru dan ulama. Misalnya, Syaikh Zainuddin Abdul Majid rahimahullah, ulama terkemuka di Lombok dan pengasas Nahdlatul Wathan telah menjadikan qashidah ini sebagai amalan dan wirid yang dihimpunkan dalam Hizib Nahdlatul Wathan yang menjadi amalan para santrinya. KH Sahl Mahfudz rahimahullah, tokoh ulama yang pernah menjadi Rais Am Nahdlatul Ulama, juga antara yang menyebar dan mengijazahkan bacaan qashidah ini sebagaimana beliau memperolehinya daripada guru - guru beliau di pesantren. Beliau juga mempunyai kuliah khusus bagi menjelaskan makna yang terkandung dalam  Qashidah al-Munfarijah ash-Shugra dan menulis sebuah risalah yang mensyarahkan secara ringkas bait - bait qashidah tersebut dalam Bahasa Jawa dengan aksara pegon berjodol at-Tarjamatul Munbajalah.

Qashidah al-Munfarijah ash-Shughra ini merupakan karya Imam Abul Fadhl Yusuf bin Muhammad at-Tawzari (433 - 513H) yang lebih dikenali dengan panggilan Ibnu an-Nahwi rahimahullah. Beliau adalah seorang ulama Tunisia, bermazhab Maliki, mahir dalam usuluddin, melaut dalam fiqh, sufi lagi al-hafiz dalam hadis serta panutan dalam ilmu - ilmu alat. Beliau terkenal dengan keshalihan dan mustajab doanya. Imam Ibnu an-Nahwi hidup sezaman dengan Hujjatul Islam al-Ghazali dan beliau sangat menyanjungi Imam al-Ghazali serta sangat memberi perhatian dan kepercayaan penuh pada kitab Ihya` Ulumiddin yang dikarang Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah. Ketika Imam al-Ghazali ditohmah sebagai sesat sehingga dikeluarkan fatwa untuk membakar kitab Ihya` Ulumiddin di Marakkesh, Imam Ibnun Nahwi adalah antara yang lantang membela Hujjatul Islam dan karangannya. Ketika penguasa mengeluarkan arahan untuk merampas Ihya` `Ulumiddin untuk dibakar, maka orang - orang yang memiliki kitab tersebut telah menyembunyikannya dan bersumpah bahawa mereka tidak menyimpannya. Imam Ibnu an-Nahwi telah mengutus warkah kepada penguasa sebagai pembelaan terhadap Hujjatul Islam dan berfatwa bahawa sumpah orang - orang tersebut tidak diiktibar (yakni dianggap seolah - olah tidak berlaku) sehingga tidak perlu membayar kaffarah sumpah. Kecintaan luar biasa Imam Ibnun Nahwi kepada kitab Ihya` juga terserlah apabila beliau telah menyalin kitab tersebut dalam 30 juz dan pada setiap hari di bulan Ramadhan beliau akan membaca satu juz. Ketokohan, keilmuan dan kewalian beliau mendapat persaksian daripada ramai ulama, antaranya Qadhi Abu Abdullah bin Ali bin Hammaad yang menyatakan bahawa kedudukan Imam Ibnun Nahwi di Afrika Utara adalah seperti Imam al-Ghazali di Iraq dari segi ilmu dan amal.

Qashidah al-Munfarijah ash-Shughra ini telah mendapat sambutan dan perhatian daripada umat, baik yang awam maupun para ulama. Mereka menjadikannya sebagai munajat dan rintihan untuk menarik keberkatan dan rahmat Tuhan, selain berfungsi menjadi tawjih ruuhi (nasihat rohani buat diri) yang menenangkan hati, mengubat kedukaan, menghilangkan kegundahan, agar sentiasa optimis menghadapi segala pancaroba, mengajar berdamai dengan takdir, tidak berputus asa, terus berusaha dan bertawakkal dengan penuh keyakinan dan baik sangka (husnudz dzan) dengan Allah, di samping memohon kelepasan dari segala perkara yang menyempit dan menyesakkan dada. Qashidah yang dimulakan dengan ungkapan yang dikatakan sebagai sebuah "hadis" daripada Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu yang berbunyi: "Isytaddi azmatu tanfariji" - Memuncaklah wahai kepayahan, maka engkau akan segera terurai. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dengan sanad yang sangat bermasalah, samada dhaif atau munkar (dhaif parah) atau maudhu (bukan sabda Junjungan) sebagaimana pandangan al-Hafiz Sidi Abul Faidh Ahmad al-Ghumari. Tetapi, memandangkan ianya bukan dalil atau hujjah dari aspek hukum - hakam dan iktikad pegangan, ulama menggunakannya hanya dalam bab kefasihan bahasa atau kedalaman munajat dan tawjih ruuhi (nasihat bagi diri atau bimbingan rohani). Pengertian daripada kalimah bait qashidah tersebut bukanlah atas makna zahirnya meminta agar cobaan atau musibah atau ujian atau kepayahan atau kegundahan ditambah atau meningkat, namun hakikatnya memohon agar diberikan kelepasan atau kelapangan atau kelegaan daripada cobaan atau musibah atau ujian atau kesulitan yang sedang dihadapi, Walaupun yang dituju dan ditunjuk adalah azmah (kesulitan / kepayahan /ujian pancaroba) namun yang dipohon pada hakikatnya adalah infiraj (kelepasan / kelapangan). Ulama menjelaskan ini termasuk dalam kaedah iqamatu lis sabab maqam al-musabbab (menjadikan sebab pada tempat akibat). Sama halnya seorang pesakit yang menderita kesakitan merintih: "Sakit...sakit...", pasti tujuannya bukanlah untuk meminta kesakitan atau semata - mata menyatakan kesakitan tetapi merintih mengharapkan segera datangnya kesembuhan. Juga jika ditafsirkan kepada doa, seolah - olah rintihan munajat kita kepada Allah yang merupakan satu - satunya Musabbibul Asbab (Pencipta segala sebab - akibat): "Cukup Ya Allah, segerakanlah datangnya kelepasan." Bait itu juga mengingatkan seseorang agar sentiasa optimis ketika menerima ujian kesulitan atau apa jua musibah pancaroba dan sekali - kali jangan berputus asa, kerana semakin hebat dan memuncaknya kesulitan atau ujian yang melanda, itulah petanda bahawa kelepasan atau jalan keluarnya semakin hampir sebagaimana ketika memuncaknya kegelapan malam menunjukkan waktu fajar telah hampir tiba.

Beberapa ulama besar telah memberikan perhatian mereka kepada qashidah ini dengan mensyarahkannya agar isi kandungannya yang penuh nasihat dan hikmah kebijaksanaan supaya dapat difahami masyarakat. Antara yang mensyarahkannya adalah alim besar, mujaddid kurun ke-9, gurunya dua bintang - Imam Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli, - Syaikhul Islam, Mawlana Zakaria al-Anshari rahimahullah dengan syarahnya al-Adhwa-ul Bahjah fi ibraazi daqaaiqil al-Munfarijah, Syaikh Hasanain Makhluf rahimahullah, mantan mufti Mesir, dengan syarahnya Syifa-ush Shudur al-Harajah bi syarhi al-Qashidah al-Munfarijah, manakala Mawlawi Ismail Ahmad al-Anqarawi rahimahullah menuliskan syarahnya dalam Bahasa Turkiye dengan jodol al-Hikamul Mundarijah fi syarhi al-Munfarijah. Tidak ketinggalan, tokoh sufi yang terkemuka, Imam Ibnu 'Ajibah al-Hasani juga turut mensyarahkan qashidah yang berkat ini.

Mawlana Zakaria al-Anshari rahimahullah pada mukaddimah al-Adhwa-ul Bahjah menukil perkataan Imam Tajuddin as-Subki rahimahullah sebagai berikut:- ....Qashidah ini dinamakan oleh Syaikh Taajuddin as-Subki sebagai "al-Faraju ba'dasy Syiddah" - "Kelepasan setelah kesulitan"  dan beliau menyatakan: "Qashidah ini mujarrab untuk menghilangkan kesusahan, bahkan ramai yang berkeyakinan qashidah ini mengandungi atau merangkumi ismul a'zham (nama Allah yang teragung), di mana sesiapa yang berdoa dengannya pasti diijabahi." Beliau berkata lagi: "Adalah aku telah mendengar ayahandaku (Syaikhul Islam Imam Taqiyuddin Abul Hasan Ali as-Subki) ketika ditimpa kesusahan melantunkannya."

Begitulah sedikit coretan mengenai Qashidah Munfarijah Sughra karya Imam Ibnu an-Nahwi. Inilah antara puluhan juta khazanah peninggalan para ulama kita yang sampai ke tangan kita sekarang dan mudah - mudahan sehingga ke anak cucu kita nanti. Setidak - tidaknya secubit ilmunya ulama dan sirnya awliya` terkandung dalam qashidah ini. Jika pun tidak setiap kali, setidak - tidaknya sesekali, lihat dan pandanglah karya ulama - ulama kita yang telah ditajribah yakni diuji kemujarrabannya. Semoga Allah sentiasa melapangkan kehidupan kita dunia dan akhirat.....Allahumma aamiin.

Baca juga:- Munfarijah Kubra Imam al-Ghazali

Munfarijah Shughra


Kiyai Haji SahalMahfudz



Rabu, Julai 22, 2026

Ustaz Haji Daud Ali

Tradisi atau amalan bertahlil dan mendoakan arwah yang telah mendahului kembali ke rahmatullah telah sebati dalam masyarakat kita sejak sekian lama sebelum diganggu syak dan waham yang ditiup oleh golongan Wahabi. Amalan ini sebenarnya mengandungi berbagai hikmah dan faedah yang tidak betcanggah dengan akidah dan syariat, antaranya, dengan bertahlil bukan sahaja kita ingatkan mereka - mereka yang telah pergi, terutama sekali yang banyak berjasa kepada kita, tetapi kita pun diingatkan  yang kita pun bakal menyusuli mereka. Ingatkan mati merupakan sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ingatan sebegini amatlah dianjurkan dalam agama, bahkan Imam Ibnu Majah rahimahullah meriwayatkan bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika ditanya oleh sahabat tentang orang mukmin yang akyas (paling bijak / paling cerdas / paling cerdik), baginda menjawab: "Orang yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persediaannya untuk kehidupan selepas mati, itulah orang yang paling bijak." Maka nak jadi orang yang cerdas lagi cerdik lagi bijaksana, sering - seringlah mengingati kematian dan bersiap - sedia untuk menghadapinya.

Oleh itu, tidak pelik, jika orang - orang tua kita dahulu, amat menitik berat dan memberi perhatian terhadap amalan bertahlil, sehingga diadatkan sekurang - kurangnya setiap malam Jumaat diadakan amalan bacaan Yaasin dan tahlil. Salah satu buku yang terawal faqir dapatkan daripada almarhum ayahanda faqir adalah sebuah buku kecil yang berjodol: Panduan Bertahlil dan Doa Arwah yang paling senang dan ringkas, yang disusun oleh seorang ulama yang terkenal suatu ketika dahulu di Singapura dan Malaysia. Beliau adalah almarhum Ustaz Haji Daud bin Ali yang dikenali sebagai "Mufti Radio" kerana beliau pernah diamanahkan untuk menjawab sebarang pertanyaan dan kemusykilan agama yang diutarakan masyarakat di corong Radio Singapura. Di entri ini, tergerak hati faqir untuk menulis sedikit tentang sosok beliau sekadar pengenalan dan jadi ingatan "abadi" tercatat dalam tulisan ini.

Ustaz Haji Daud bin Ali rahimahullah dilahirkan di Sumatera sekitar tahun 1919. Beliau dibawa berhijrah ke Kampar, Perak dan di situlah beliau memulai pendidikan awal di sebuah madrasah di Tapah. Pada tahun 1936, beliau berhijrah lagi ke Singapura untuk belajar di Madrasah al-Juneid al-Islamiah. Setelah tamah pengajian, beliau memulakan kerjaya beliau sebagai ustaz atau tenaga pengajar di Madrasah al-Juneid kemudian berpindah mengajar di Madrasah al-Sagoff al-Arabiah. Setelah itu, beliau mengambil keputusan menjadi pendakwah bebas agar lebih mudah untuk turun ke lapangan dan menumpukan sepenuh perhatian berdakwah ke tengah masyakat umum yang sedang dahagakan ilmu pengetahuan agama.

Ustaz Haji Daud Ali semakin dikenali masyarakat melalui rancangan "Kemusykilan Ugama" di Radio Singapura. Beliau dipertanggungjawabkan untuk menjawab berbagai masalah dan persoalan hukum - hakam yang diajukan orang tamai. Ini merupakan salah satu cara untuk beliau menabur ilmu dan berdakwah kepada masyarakat. Melalui ceramah di radio, mau pun syarahan terus kepada umum, beliau dengan gigih mencelikkan umat kepada ajaran agama dan membanteras amalan - amalan yang bercanggah seperti takhayyul dan khurafat yang masih mendominasi masyarakat ketika itu. Ketika muncul fahaman sesat daripada segelintir oknum "Syed" yang mengajar bahawa kita tidak perlu mendirikan shalat fardhu yang lima, cukup hanya dengan membanyakkan bershalawat sahaja, maka Ustaz Daud bin Ali adalah antara yang lantang dan tegas menentangnya. Ajaran songsang ini sebenarnya pernah cuba dihidupkan kembali di masa kita ini, dikenali sebagai Ajaran Al-Mas atau Kumpulan Al-Mas atau Ajaran Syed Masyhur atau Ajaran Syed Muhammad al-Masyhor atau Tarikat Islam Muhammad SAW Habibullah al-Hashimi yang diasaskan sekitar tahun 70an oleh Syed Mohamad al-Masyhor dari Singapura. Syukur, ajaran ini telah dibendung dan difatwakan sesat termasuklah di Sarawak.

Jadual dakwah Ustaz Daud amat padat setiap hari, dengan pelbagai undangan ceramah di serata Singapura, selain mengadakan majlis ilmu di rumahnya di Kampong Melayu, Jalan Eunos dan mengendalikan kelas agama bagi anak - anak pegawai polis. Pada tahun 1957, beliau bersama beberapa ulama lain telah menubuhkan Persatuan Ulama & Guru Ugama Singapura (PERGAS). Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Istana Singapura sebagai penasihat agama bagi Presiden Republik Singapura dua kali, 1959 - 1962 dan 1975 - 1977. Beliau turut menjadi anggota Jawatankuasa Fatwa dan Jawatankuasa Tertinggi di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) (1968 - 1974). Pada Mei, 1984, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Selangor untuk menghabiskan usia senjanya bersama keluarga. Pada 7 April, 1989, dalam usia 70 tahun, Ustaz Daud bin Ali dipanggil mengadap Ilahi di Batu Caves, Selangor dan jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Ibu Kota, Setapak. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya sentiasa....al-Fatihah.

Sebagai penutup, faqir nukilkan satu jawapan beliau atas satu pertanyaan di Radio Singapura yang dibukukan dengan jodol "Kemusykilan Ugama, jilid 2, halaman 110 sebagai berikut:-
S.539:
Syamsuddin bin Hassan , Jalan Sulaiman, Muar, Johor.
Saya ada mempunyai sebuah kitab Tahlil secara ringkas susunan Ustaz Daud bin Ali, bolehkah saya menghafal doa dalam kitab itu dengan tiada berguru lagi?
Jawab:
Ya, boleh tuan mengamalkan apa yang ada di dalam kitab Tahlil itu, kerana tiap - tiap kitab atau risalah yang telah dicetak serta disiarkan, maka itu ijazahnya sudah tetap diberikan oleh pengarangnya atau penyusunnya dan ijazah itu adalah sebagai ijazah "ammah", boleh tuan menghafalnya dan mengamalkannya.

Khamis, Julai 16, 2026

Daruud Taaj - Talaqqi Bil Qabuul ?

Sebagaimana yang pernah faqir nyatakan di entri terdahulu, Daruud Taj @ Duruud Taaj atau Shalawat Taajiyyah atau Daruud Taaj amat terkenal di Benua IndoPak berbanding di rantau kita. Faqir telah menulis sedikit mengenainya dan linknya akan faqir letak di bawah nanti. Para ulama Benua Hindi, memberi perhatian kepada shalawat ini dan telah mengarang beberapa syarah baginya untuk memperjelaskan isi kandungannya dengan segala nas yang ada. Di antara syarahnya yang masyhur adalah Syarah Duruud Taaj yang dikarang oleh al-`Allaamah Abut Turab Mawlana Muhammad Nashiruddin Nashir al-Madani `Aththari dan Dhaw-us Siraaj karya al-`Allaamah Muhammad Faidh Ahmad Shahib Uwaisi, kedua-duanya berbahasa Urdu.

Peri masyhurnya Daruud Taaj ini di benua tersebut sehingga ada ulama di sana yang beranggapan bahawa ianya bukanlah sesuatu yang perlu dipermasalahkan lagi kerana telah rata penerimaannya di sisi awliya` dan ulama benua tersebut, bahkan ia boleh dimasukkan dalam kaedah talaqqi bil qabuul, yakni diterima secara bulat kerana penerimaan yang merata di sisi ulama. Mawlana Muhammad Faidh dalam Dhaw-us Siraaj pada halaman 9, menyatakan bahawa Daruud Taaj telah diamalkan oleh ramai awliya` yang mulia dan ulama yang besar - besar sehingga menurut pandangan beliau shalawat atau amalan ini dianggap termasuk dalam kaedah talaqqi bil qabuul. Pandangan ini mungkin benar atas kadar atau darjatnya tertentu, tertakluk kepada sejauh mana luas tersebar dan penerimaannya di kalangan para ulama di seluruh pelosok dunia. Jika pun dikatakan talaqqi bil qabuul, pasti darjatnya tidak sampai ke tingkat ittifaq ulama atau ijma`.Namun, setidak - tidaknya, kewujudan dakwaan talaqqi bil qabuul tersebut, menunjukkan kepada fakta bahawa Daruud Taaj adalah sesuatu yang telah diterima oleh sejumlah ulama dan awliya` umat ini, sehingga menjadikan hal tersebut sebagai sesuatu yang boleh diterima, namun bukan satu kewajipan untuk diterima. Sesiapa yang mahu membaca atau mengamalkannya, boleh berbuat sedemikian, manakala yang tidak mahu atau tidak bersetuju adalah bebas dengan pandangannya. Maka luaskan fikiran dan lapangkan dada demi menjaga adab berikhtilaf.

Sebagai tambahan, talaqqi bil qabuul shalawat tersebut juga tidaklah menyamai talaqqi bil qabuul keshahihan dua kitab yang masyhur, Shahih Bukhari dan Shahih Muslim, yang sampai ke peringkat ittifaq ulama dan ijma`. Imam an-Nawawi rahimahullah  dalam muqaddimah Syarah Muslim, juz 1, halaman 14 menulis, antaranya sebagai berikut:- ....Para ulama rahimahumullah sepakat (ittifaq) bahawa kitab - kitab yang paling shahih selepas al-Quran al`Aziz adalah dua kitab (hadis) shahih, al-Bukhari dan Muslim, di mana umat (yakni para ulamanya) telah sepakat menerima keduanya (yakni sebagai seshahih - shahih kitab selepas al-Quran, - wa talaqqat-huma al-ummatu bil qabuul)

Selanjutnya, sebagai pengenalan ringkas, talaqqi bil qabuul adalah satu kaedah atau metodologi yang penting dalam tradisi keilmuan Islam Ahlus Sunnah wal Jamaah, yang dipakai dalam berbagai disiplin ilmu, terutama sekali dalam urusan penentuan dan pensabitan kitab - kitab yang berautoriti untuk dijadikan pegangan dan sandaran hukum - hakam. Kaedah ini juga turut digunapakai dalam semua lapangan termasuklah dalam ilmu hadis, sehingga memungkinkan sesuatu hadis yang dhaif sanadnya dijadikan sandaran hukum kerana wujudnya talaqqi bil qabuul atau dalam istilah lain `alaihil `amal inda ahlil ilmi (atasnya amalan para ulama). Untuk mengetahui lebih jauh kaedah ini silalah mengaji dengan para ahlinya, jangan hanya berpada dengan kullu bid`atin dholalah semata. Di antara kitab yang terbaik dalam perbahasan hadis - hadis lemah dan maudhu` yang dijadikan sandaran hukum oleh para fuqaha` adalah kitab karangan ulama Syafie yang terkemuka, Imam Tajuddin `Ali bin `Abdullah bin al-Hasan al-Ardabili at-Tabrizi asy-Syafie @ Imam Ardabili (667 -746H) rahimahullah yang berjodol al-Mi'yaar fil Ahaaditsi ad-Dha`iifah wal Maudhuu`ah allati Istasyhada biha al-Fuqaha` (Kayu Ukur Penanda Aras Dalam Perbahasan Hadis - Hadis Dhaif Dan Mawdhu` Yang Dijadikan Dalil / Diterima Sebagai Hujjah Oleh Para Fuqaha). Rajin - rajinlah mengaji dan mentelaah, jangan ingat para fuqaha itu jahil akan ilmu hadis. Ingat juga bahawa nak tahu hukum hakam sesuatu perkara, ambillah dari kitab - kitab fiqh, manakala kitab -kitab hadis itu salah satu sumber bagi sesuatu hukum - hakam. Namun nak mengeluarkan hukum dari kitab - kitab hadis bukanlah perkara yang mudah untuk orang awam seperti kita, ia memerlukan ilmu yang luas, sebagaimana kita memerlukan timba untuk mengeluarkan air dari perigi yang dalam. Akhir kata, faqir datangkan sebagai tambahan dan simpanan, sedikit penjelasan mengenai shalawat yang berkat ini oleh Dr. Shadee ElMasry hafizahullah. Mudah - mudahan ada menfaatnya.

Baca juga:- Daruud Taj (Mahkota Shalawat.

Khamis, Jun 25, 2026

Melapangkan Belanja Keluarga

Di antara amalan yang sabit menurut nas hadis untuk dilakukan pada Hari `Asyura adalah menggembirakan ahli keluarga kita dengan melapangkan bagi mereka perbelanjaan / nafkah atau setidak - tidaknya meringankan bebanan urusan - urusan mereka pada hari tersebut. Hal ini disebutkan dalam hadis yang mafhumnya:- "Sesiapa yang melapangkan belanja / nafkah ahli keluarganya pada Hari `Asyura, maka Allah akan melapangkan baginya (rezeki) sepanjang tahun". Sejumlah ulama dan shalihin, antaranya Imam Sufyan ibnu `Uyainah, telah memberikan kesaksian bahawa ianya sungguh bagai disabdakan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hadis ini atau dengan redaksi yang sedikit berbeza telah diriwayatkan oleh sekurang - kurangnya 5 sahabat yang mulia, iaitu Abu Hurairah, Jabir, Abu Sa`id al-Khudri, Ibnu `Umar dan Ibnu Mas`ud radhiyaAllahu `anhum. Para ulama hadits berbeza mengenai status hadis - hadis tersebut, ada yang mendhaifkannya, manakala majoriti berpandangan ianya hasan li ghairihi dan ada yang menghukumkannya shahih.

Di antara yang mempertahankan keshahihan hadis ini adalah muhaddits kontemporer yang ternama, bertaraf al-hafiz dalam hadits, al-Hafiz Abul Faidh Sayyid Ahmad al-Ghumari al-Hasani rahimahullah. Beliau membahas hadis ini dengan terperinci dalam karyanya Hadiyyatush Shughra, di mana beliau mentakhrijkan segala sanad hadis tersebut dan menyimpulkan bahawa hadis tersebut adalah shahih. Beliau juga menolak sekeras - kerasnya pendapat Ibnul Jawzi dan Ibnu Taimiyyah yang menghukumkan hadis tersebut sebagai maudhu / palsu. Untuk bahasan lanjut, silalah merujuk ke sana. Jangan ingat pakar hadis itu hanya Albani dan ulama itu hanya al-Qardhawi.

Selanjutnya, Prof. Dr. Mohammed AbulLais al-KhayraAbadi hafizahullah, seorang ulama hadis yang menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa, juga telah mengkaji hadis melapangkan belanja ini. Dr. AbulLais, kalau tidak silap, adalah musyrif (supervisor) bagi Dr. Asri Zainal Abidin (MAZA) ketika dia menyelesaikan ijazah doktor falsafah (Phd) di UIA suatu ketika dulu. Mengenai hadis melapangkan belanja pada Hari `Asyura, Dr. Mohammed AbulLais dalam karya beliau yang berjodol al-Marwiyyat fi fadhli Lailatin Nishfi min Sya`baan wat Tawsi`ah `alal `iyal Yaum `Asyura fi Mizanin Naqdil Hadits, menyimpulkan statusnya berdarjat hasan li ghairihi.

Maka ketahuilah bahawa hadis melapangkan belanja atas keluarga pada Hari `Asyura adalah hadis yang diakui sabit daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam oleh majoriti ahli hadis, samada dihukumkan hasan atau hasan li ghairihi atau shahih atau shahih li ghairihi. Namun tidak dinafikan ada yang mendhaifkan secara total atau hanya jalur riwayat yang tertentu sahaja. Bagi yang menghukumkannya sebagai palsu, maka itu pendapat yang gegabah dan mungkin perlu ditinjau ulang semula. Kesimpulannya, perbuatan meluaskan belanja tersebut adalah sunnah yang sunat lagi sabit untuk dilakukan pada Hari `Asyura dan mempunyai fadhilat untuk meluaskan rezeki kita sepanjang tahun.

Penjelasan Menteri Agama Mesir


Isnin, Jun 22, 2026

Ya Hayyu Ya Qayyum - Jawahir

Tidak asing lagi, dua nama Allah yang agung, Ya Hayyu Ya Qayyum yang diartikan secara ringkas sebagai "Tuhan yang Maha Hidup dengan kehidupan yang hakiki, abadi lagi Maha Berdiri Sendiri tanpa perlukan sesiapa pun", adalah antara nama Allah yang termasyhur dan diketahui oleh semua umat Islam. Bahkan, tidak sedikit daripada kalangan ulama yang berpandangan bahawa rangkaian dua isim ini merupakan nama Allah yang teragung. Pada entri ini, faqir kongsikan satu faedah yang berkait dengan dua isim ini, yang disebut oleh Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Jardani ad-Dimyathi (w. 1331H) rahimahullah dalam syarah beliau atas Hadis 40 Imam an-Nawawi yang berjodol al-Jawahirul Lu'lu-iyyah. Pada halaman 13, beliau menyebut satu faedah sebagai berikut:- Sesiapa yang menyebut (berzikir) dengan "Ya Hayyu ya Qayyum", Allah akan menghilangkan daripadanya segala kerunsingan, kesedihan dan kedukaan serta dikurniakan kepadanya rezeki tanpa disangka - sangka. Sebahagian ulama menyatakan: " Sesiapa yang berzikir dengan "Ya Hayyu Ya Qayyum" pada setiap hari ketika terbit matahari sebanyak 40 kali, Allah akan menghidupkan hati sanubarinya, diterangkan fikirannya, dimudahkan kesulitannya, dikeluarkan butiran - butiran hikmah pada percakapannya dan dilapangkan dadanya dengan makrifah."

Mudah - mudahan menjadi motivasi untuk kita mewiridkan dua nama yang agung ini sekurang - kurangnya 40 kali setiap pagi ketika matahari memunculkan diri. Amalan yang mudah dan penuh keberkatan sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama yang muktabar. Faqir akhir dengan cuplikan ceramah almarhum Tuan Guru Haji Salleh Musa tentang "Ya Hayyu Ya Qayyum."

Kelebihan Ya Hayyu Ya Qayyum

Isnin, Jun 15, 2026

Istighatsah Sayyidina Bilal 2

Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah dalam Fathul Bari, juz ke-2, menukil dan memperakui kesahihan riwayat atsar seorang lelaki yang beristighatsah di makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bagi meminta Junjungan Nabi agar beristisqa`, yakni memohon Allah menurunkan hujan bagi umat baginda. Pada halaman 549, beliau rahimahullah menyatakan sebagai berikut:- Dan telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang shahih daripada riwayat Abi Shalih as-Samman daripada Malik ad-Daari, penjaga perbendaharaan / bendahara bagi Khalifah Umar - berkata: "Manusia ditimpa kemarau pada zaman Khalifah Umar, lalu ada seorang lelaki mendatangi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam seraya berkata: "Wahai RasulAllah, pintalah hujan buat umatmu kerana jika tidak, pasti mereka akan binasa akibat kemarau." Kemudiannya, lelaki tersebut bermimpi didatangi Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan dikatakan kepadanya: "Datangilah Umar"....sehingga akhir hadis tersebut. Saif meriwayatkan dalam al-Futuh bahawa lelaki yang bermimpi tersebut adalah Bilal bin al-Harits al-Muzani, seorang sahabat....

Begitulah penjelasan Imam Ibnu Hajar yang merupakan salah seorang ulama yang terkenal dalam ilmu hadis, bukan sahaja seorang  al-hafiz (menghafal sekurang - kurangnya 100,000 hadis beserta segala sanadnya), bahkan dijuluki sebagai Amirul Mu'minin dalam ilmu hadis kerana penguasaan dan kemahirannya dalam segala ilmu hadis. Oleh itu, jumhur Ahlus Sunnah wal Jamaah menghukumkan boleh atau harus beristighatsah dan bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas kewafatan baginda. Kita tidak menghukumkan perbuatan tersebut sebagai mutlak haram atau pasti syirik, berbeza dengan salahpi yang sembrono dan secara blanket mengharamkan bahkan mensyirikkan perbuatan tersebut. Mereka menolak atsar ini dengan berbagai dalih, yang semuanya telah dijawab oleh para ulama kita dalam karya - karya mereka. Sebagai satu misal, tokoh mereka, Ben Baz walaupun mengakui yang Imam Ibnu Hajar mensahihkan atsar ini, cuba menimbulkan keraguan dengan alasan atsar tersebut tidak menamakan lelaki yang beristighatsah itu dengan jelas. Namun, dia lupa yang atsar tersebut berakhir dengan Sayyidina Umar yang disebut dengan jelas. Sebenarnya nama lelaki yang melakukan istighatsah yang dianggap majhul (tidak diketahui) oleh Ben Baz itu tidak crucial pun, kerana akhir sandaran yang mengharuskan seseorang beristighatsah adalah Sayyidina Umar radhiyaAllahu `anhu. Jika kita menerima riwayat daripada Saif bin Umar at-Tamimi al-Usayyidi dalam kitab al-Futuh sebagaimana Ibnu Hajar, maka lelaki tersebut adalah Bilal bin al-Harits yang jelas identitinya sebagai seorang sahabat. Jika kita tidak menerima riwayat Saif tersebut, maka yang boleh dipastikan adalah lelaki tersebut adalah seorang sahabat atau setidak - tidaknya seorang tabiin. Ben Baz yang menyerang perbuatan lelaki yang beristighatsah di makam Nabi tersebut sebagai satu kemungkaran yang boleh menyebabkan kesyirikan, bahkan perbuatan tersebut termasuk dalam kesyirikan. Maka, tuduhan tersebut, telah dilemparkan kepada seorang sahabat atau seorang tabiin. Lebih teruk lagi, seolah - olah Ben Baz menuduh Sayyidina Umar radhiyaAllah yang terkenal dengan jolokan al-Faruuq (pembeda antara kebenaran dan kesesatan) dan dikunyahi dengan Abu Hafsh (Bapa Singa) yang terkenal tegas mencegah kemungkaran, sebagai mendiamkan diri dan membiarkan lelaki tadi melakukan kemungkaran bahkan kesyirikan di makam Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam Masjid Nabawi di kota suci Madinah al-Munawwarah. Jika perbuatan beristighatsah tersebut satu kemungkaran, adakah Baginda Umar radhiyaAllahu `anhu akan berdiam diri membiarkannya? Fikir - fikirkanlah, jangan sampai kita, secara langsung atau tidak, bermudah - mudah melemparkan tuduhan bahawa ada sahabat atau tabi`in melakukan kesyirikan di makam Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan lebih parah lagi memfitnah Baginda Umar radhiyaAllahu `anhu hanya membiarkan "kemungkaran dan kesyirikan" tersebut dilakukan.

Ahad, Mei 31, 2026

Istighatsah Sayyidina Bilal bin al-Harits

Kupetik satu kisah dari kitab panutanku Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah dalam "Syawahidul Haq" halaman 241. Kisah ini dinukil oleh Imam as-Samhudi rahimahullah dalam "Khulashatul Wafa" dan diriwayat oleh Imam al-Baihaqi rahimahullah dan Imam Ibnu Abi Syaibah rahimahullah dengan sanad yang shahih daripada Malik al-Daar radhiyaAllahu `anhu, bendahara atau pengurus baitul mal Khalifah Umar radhiyaAllahu `anhu, menceritakan sebagai berikut:-
"Telah berlaku kemarau ke atas orang - orang di zaman pemerintahan Amirul Mu'minin Sayyidina Umar bin al-Khaththab radhiyaAllahu `anhu. Lalu seorang lelaki (yakni seorang sahabat bernama Sayyidina Bilal bin al-Harits) telah mendatangi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan berkata : "Wahai Rasulullah, tolonglah bermohon kepada Allah untuk menurunkan bagi umatmu kerana (jika tidak) nescaya mereka pasti binasa.". Setelah itu lelaki tersebut bermimpi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam datang kepadanya dan bersabda: "Datangilah Umar, sampaikan salamku kepadanya, khabarkan kepadanya bahawa mereka akan diberi hujan dan katakan kepadanya: "Hendaklah engkau sentiasa bersikap berhati - hati dan bijaksana." Lelaki tersebut pun pergi berjumpa dengan Sayyidina Umar dan memberitahunya yang sedemikian. Maka Sayyidina Umar menangis seraya berkata: "Wahai Tuhanku, tidaklah aku mampu mengatasi masalah ini melainkan kerana kelemahanku (yakni, aku akan kerahkan segenap usaha ikhtiarku kecuali apa yang aku tidak mampu)."

Begitulah kisah sahabat beristighatsah kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam riwayat yang sahih. Maka sesiapa yang menghukum syirik atau kafir atau bid`ah terhadap orang yang beristighatsah, maka bersikap bijaksanalah dan berhati - hati.