Ngulang Qulhu - I`aanah & Raudh
Lanjutan dari entri terdahulu berkaitan pernyataan dalam Fathul Mu`in bahawa mengulang Surah al-Ikhlas tiga (3) kali dalam rakaat kedua Sembahyang Tarawih sebagai bid`ah ghairu hasanah. Faqir telah merujuk kepada dua lagi hasyiah untuk Fathul Mu`in yang ditulis oleh ulama Malibar, iaitu Fathul Mulhim dan Tansyithul Muthaali`in, dengan harapan memperolehi sumber teks fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah yang menghukumkan pengulangan Surah al-Ikhlas sebanyak tiga (3) kali dalam rakaat kedua Shalat Tarawih sebagai bid`ah ghairu hasanah sebagaimana yang dakwaan pengarang Fathul Mu`in, Syaikh Zainuddin rahimahullah. Namun, kedua - dua sumber tersebut, Fathul Mulhim pada halaman 216 dan Tansyithul Muthaali`in pada halaman 81, hanya memberikan rujukan "fatwa guru kami tersebut (yakni fatwa Ibnu Hajar" @ fatwa bid`ah ghair hasanah kepada kitab al-Ajwibatul `Ajibah, sebuah kitab yang juga dinisbahkan sebagai karya Syaikh Zainuddin al-Malibari juga. Tidak ada rujukan kepada kitab atau fatwa Imam Ibnu Hajar sendiri. Jadi sumbernya masih bermuarakan dakwaan Syaikh Zainuddin tadi.
Menelusuri kitab al-Ajwibatul `Ajibah, pernyataan yang serupa ditemui pada Soalan ke-65 pada halaman 122. Soalan ke-65 tersebut berkisar kepada hukum mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas tiga kali pada setiap rakaat akhir (rakaat kedua) daripada rakaat - rakaat Shalat Tarawih, setelah di rakaat pertamanya dibacakan surah - surah lain yang pendek, samada ianya bid`ah hasanah atau madzmumah? Untuk soalan inilah, Syaikh Zainuddin menyatakan "jawapan" gurunya Imam Ibnu Hajar rahimahullah bahawa perbuatan tersebut sebagai bid`ah ghairu hasanah kerana menyalahi sunnah. Namun, tidak ada rujukan di mana atau dalam kitab apa Imam Ibnu Hajar al-Haitami menjawab atau memfatwakan sedemikian, sedangkan perbuatan dan amalan tersebut sudah diamalkan dalam masyarakatoleh sebahagian sehingga timbul pertanyaan mengenainya dan telah nyata fatwa Imam Ibnu Hajar mengenainya dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah.
Jika apa yang didakwa oleh Syaikh Zainuddin tersebut benar, maka ada percanggahan dalam jawapan Imam Ibnu Hajar tersebut dengan apa yang difatwakan beliau dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah yang dengan jelas dan nyata menghukumkan perbuatan mengulang Surah al-Ikhlas atau mana - mana surah dalam setiap rakaat atau mana - mana rakaat Shalat Tarawih sebagai tidak sunnah namun tidak juga dihukumkan makruh, apatah lagi jika nak dihukumkan sebagai bid`ah ghairu hasanah atau bid`ah makruhah atau bid`ah madzmumah. Di mana status perbuatan sedemikian hanyalah berkisar kepada awla atau khilaful awla, afdhal atau khilaful afdhal semata. Kita, atas dasar hormat takzim kepada Syaikh Zainuddin, tidak menafikan kemungkinan jawapan / fatwa tersebut berasal daripada Imam Ibnu Hajar. Mungkin ditanya dan didengar sendiri secara pribadi oleh Syaikh Zainuddin selaku murid Ibnu Hajar terus kepada beliau, di mana jawapan atau fatwa tersebut yang tidak tercatat dalam mana - mana fatwa dan kitab - kitab yang dikarang sendiri oleh Imam Ibnu Hajar. Namun, jika begitu kedudukannya, tetap sahaja bahawa "fatwa bid`ah ghair hasanah" tersebut tidak boleh dikatakan sebagai satu - satunya pandangan atau pendapat atau fatwa para ulama Syafi`iyyah dalam persoalan ini, termasuklah Imam Ibnu Hajar. Buktinya jika kita terima bahawa jawapan / fatwa tersebut memang daripada Imam Ibnu Hajar, maka nyatalah yang beliau mempunyai dua pandangan berbeza dalam masalah ini. Dalam persoalan ini, jelas bahawa tidak semua ulama bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh Syaikh Zainuddin bahawa perbuatan tersebut sebagai bid`ah ghairu hasanah dan menyandarkannya kepada "fatwa" Imam Ibnu Hajar. Sidi Abu Bakar al-Bakri Syatha ad-Dimyathi rahimahullah, mufti dan ulama besar di Kota Mekah, yang menjadi sanadnya para ulama sedunia termasuklah guru - guru kita, para ulama Nusantara, pengarang hasyiah Fathul Mu`in yang paling masyhur dan rujukan utama, adalah antara yang menyanggahi pendapat tersebut serta meragui ianya sebagai fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami.
Sidi Bakri Syatha ad-Dimyathi dalam karya monumentalnya I`aanatuth Thaalibin, jilid 1, membahaskan perkara ini pada halaman 307 - 308, di mana beliau setelah menukil fatwa Imam Ibnu Hajar dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah secara verbatim, memberi komentar beliau, antaranya sebagai berikut:- ....Apabila diteliti ibarat yang terkandung dalam fatwa Imam Ibnu Hajar tadi (yakni fatwa beliau yang termaktub dalam al-Fatawa al-Kubra), maka kita mendapati tidak ada satu perkataan pun dalam fatwa itu yang menyebut pengulangan hanya pada rakaat - rakaat akhir (rakaat - rakaat kedua) Sembahyang Tarawih sahaja (yakni dalam fatwa tersebut disebut mana - mana rakaat), tidak juga disebut ianya tertentu untuk pengulangan Surah al-Ikhlas sahaja (yakni dalam fatwa disebut pengulangan Surah al-Ikhlas atau mana - mana surah lain) dan tidak ada juga disebut perbuatan itu sebagai bid`ah ghairu hasanah. Apa yang dinyatakan dalam fatwa tersebut adalah membaca (keseluruhan) al-Quran sepanjang bulan tersebut (yakni dalam Shalat Tarawih sepanjang Ramadhan) adalah awla dan afdhal; Dan mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas atau lain - lain surah dalam apa - apa rakaat (Shalat Tarawih) hanya khilaful awla, bukan sunnah dan bukan makruh. Melainkan jika dikatakan bahawa fatwa "bid`ah ghairu hasanah" tersebut adalah fatwa Ibnu Hajar yang tidak terkandung dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah. Akan tetapi ibarat nas dari kitab al-Raudh adalah jelas sebagaimana yang difatwakan oleh Imam Ibnu Hajar dalam al-Fatawa (yakni ibarat fatwa Ibnu Hajar dalam al-Fatawa al-Kubra adalah selari dengan nas kitab ar-Raudh), bahkan (nas ar-Raudh) lebih spesifik merujuk langsung kepada pengulangan Surah al-Ikhlas. Nasnya (yakni ibarat kitab ar-Raudh) menyatakan: " Mendirikannya (yakni Shalat Tarawih) dengan membaca al-Quran sehingga selesai sepanjang bulan tersebut adalah afdhal daripada hanya mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas." Sedemikian jugalah ibarat yang tercatat dalam an-Nihayah (karya Imam ar-Ramli) dan al-Mughni (karya Imam al-Khatib).
Kesimpulan yang jelas daripada segala pandangan para ulama tersebut, bahawa yang warid (yakni daripada sunnah) adalah membaca keseluruhan al-Quran dengan pembahagian juz - juz yang termaklum adalah awla dan afdhal (yakni setiap rakaat Tarawih dibacakan juz atau sebahagiannya sehingga dapat dikhatamkan sekalian al-Quran di akhir Ramadhan). Melakukan Tarawih dengan cara selain itu, seperti dengan membaca Surah al-Ikhlas atau lain - lain surah dalam setiap rakaat atau sebahagian rakaatnya, samada rakaat pertama atau rakaat kedua, samada diulang tiga (3) kali atau tidak, adalah khilaful awla dan (khilaful) afdhal. Maka apa yang dibiasakan oleh penduduk Mekah yang melakukan Tarawih dengan membaca "Qul Huwa Allahu Ahad" pada rakaat kedua dan membaca satu surah mulai "al-Hakumu" hingga "al-Masad" pada rakaat yang pertama adalah khilaful afdhal. Begitu juga cara yang dibiasakan oleh sebahagian lain yang membaca satu juz yang sempurna dalam 16 rakaat awal Tarawih manakala bakinya (4 rakaat) dibacakan Surah al-Ikhlas berulang - ulang juga hukumnya khilaful afdhal. Aku telah mendapati sebahagian ulama mutaakhirin berkata sedemikian yang nasnya adalah: "Dan melakukannya (Shalat Tarawih) dengan menyelesaikan satu juz setiap malam adalah afdhal daripada hanya mengulang - ngulang Surah ar-Rahman atau "Hal ata `alal insan" atau Surah al-Ikhlas selepas membaca setiap surah mulai Surah at-Takatsur hingga Surah al-Masad sebagaimana kebiasaan penduduk Mesir." Namun, hukum afdhal dan awla tersebut adalah jika sekiranya dia menghafalkan al-Quran seluruhnya atau sebahagian. Dia bacakanlah (dalam Tarawihnya) mengikut tertib dan urutan surah yang terkandung dalam mushaf. Jika dia hanya hafal satu surah sahaja, samada Surah al-Ikhlas atau selainnya, maka dia dirikanlah Shalat Tarawih dengan apa yang dihafalnya, dan tidaklah dikatakan pada haknya perbuatan tersebut sebagai khilaful afdhal dan (khilaful) awla, sila ambil perhatian.
Kitab ar-Raudh yang dinukil oleh Sidi Bakri tadi adalah sebuah karya penting dalam Fiqh Syafie yang dikarang oleh Imam Ismail bin Abu Bakar al-Yamani, lebih dikenali dengan sebutan Imam Ibnul Muqri yang wafat tahun 837H. Kitab ar-Raudh @ Raudhuth Thaalib merupakan mukhtashar (ringkasan) bagi kitab Raudhatuth Thaalibin karya besar Imam an-Nawawi. Ibarat yang dirujuk oleh Sidi Bakri tersebut dapat dilihat pada halaman 91 jilid 1, yang menyatakan:- ...Melaksanakan Shalat Tarawih dengan (mengkhatamkan) al-Quran (sepanjang bulan Ramadhan) adalah afdhal daripada (hanya) mengulang - ngulang bacaan Surah al-Ikhlas (yakni mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas sebagai ganti membaca sekhatam al-Quran bagi yang berkemampuan (viz. hafiz al-Quran) adalah tidak afdhal sahaja)....
Kesimpulannya, menurut Sidi Bakri, dakwaan bahawa fatwa pengulangan Surah al-Ikhlas sebanyak tiga (3) kali sebagai bid`ah ghairu hasanah adalah tidak dijumpai dalam mana - mana kitab dan fatwa Imam Ibnu Hajar sendiri. Jika pun ada, mungkin fatwa yang tidak tercatat dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah dan tidak juga tercatat dalam al-Fatawa al-Haditsiyyah yang juga himpunan fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami. Apa yang jelas, dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, tidak ada pun fatwa Imam Ibnu Hajar yang menyebutnya sebagai bid`ah ghair hasanah. Makanya, Sidi Bakri menegaskan bahawa perbuatan tersebut hanya dhukumkan sebagai khilaful awla dan khilaful afdhal sahaja, itu pun bagi orang yang hafal al-Quran, seperti para hafiz. Mana afdhalnya seorang hafiz bertarawih dengan hanya membaca surah - surah lazim dan Qulhu, apatah lagi jika dibaca pula dengan tidak mengikut tertib dan urutan mushaf, sedangkan dia mampu membaca lebih daripada itu dan dengan menjaga tertib dan muwalat mushaf. Namun, bagi orang awam yang hanya menghafal surah - surah lazim, maka tidaklah dapat dihukumkan khilaful awla jika dia menunaikan Tarawih dengan membaca surah - surah tersebut sahaja sebagaimana yang biasa dilakukan di kebanyakan tempat dalam negara kita. Kritikan Sidi Bakri terhadap penduduk Mekah dan Mesir bahawa bagi mereka tidak afdhal melakukan Tarawih dengan hanya membaca surah - surah lazim, kerana di kedua - kedua tempat itu berlonggok para hafiz yang boleh mengimamkan jemaah dengan membaca satu juz setiap malam dalam Tarawih. Jadi jika mereka downgrade kepada tahap kampung kita, maka itu adalah khilaful afdhal dan khilaful awla, melainkan jika ada maslahah tertentu atas perbuatan tersebut, sebagaimana yang berlaku sekarang di al-Haramain yang tarawihnya telah dikurangkan ke 10 rakaat dengan 3 witir. Menarik juga apabila Sidi Bakri menyebut bahawa cara perlaksanaan Tarawih yang biasa dipraktikkan di Tanah Jawi dengan bacaan - bacaan Surah at-Takatsur hingga Surah al-Masad pada rakaat pertama dan Surah al-Ikhlas pada rakaat kedua sebagai kebiasaan (yakni adat) yang dipraktikkan di Mekah dan Mesir. Ini menunjukkan bahawa praktik tersebut kita perolehi daripada ulama kita yang membawanya dari sana. Cuma kemungkinan untuk praktik kita dihukumkan sebagai khilaful awla atau khilaful afdhal adalah lebih rendah berbanding mereka - mereka yang berada di kota - kota ilmu seperti Mekah dan Mesir. Akhirul kalam, semoga Allah sentiasa merahmati dan membalas jasa para ulama kita dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang penuh kenikmatan dan menjadikan kita sebagai tetangga mereka, Allahumma aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan