Shalawat Tarawih
Kebiasaan dalam masyarakat Islam Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang bermazhab di berbagai pelosok dunia, bukan hanya rantau Nusantara, juga di Timur Tengah, selepas selesai salam antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih dibacakan zikir, tasbih, shalawat dan doa. Ini dilakukan sebagai pemisah bagi setiap 2 rakaat dan juga untuk berehat sebentar sebelum melanjutkan Shalat Tarawih. Amalan sebegini dianggap baik oleh majoriti ulama dan dianggap sebagai sunat walaupun bukan sunnah yang makhshushah yakni sunnah yang khas atau tertentu bagi Shalat Tarawih. Berzikir dan bershalawat adalah sesuatu yang dianjurkan dalam berbagai nas syarak, samada secara khusus dan juga secara umum, yang sekali - kali tidak dapat dikatakan sebagai amalan "bid`ah" pada syarak (bid`ah syar`iyyah) kerana ia punya dasar dari sumber hukum syarak. Jika pun dihukumkan bid`ah maka ianya hanyalah bid`ah dari sudut bahasa (bid`ah lughawiyyah) sahaja. Fahamilah bahawa yang dikatakan bid`ah itu adalah sesuatu yang langsung tidak ada contoh atau dalil dari sumber - sumber hukum syarak, termasuklah yang bersifat umum. Ingat juga bahawa sumber - sumber (mashadir) hukum syarak itu yang disepakati ulama adalah Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas, manakala beberapa banyak lagi sumber yang diperselisihkan seperti Istishab, Istihsan, Mashalih Mursalah dan sebagainya. Jika ada dalil atau contoh daripada sunnah atau mana - mana sumber hukum syarak, walaupun dalil umum, maka tidaklah dapat dikatakan sesuatu amalan itu sebagai bid`ah yang menyalahi syarak.
Secara umum, kita dianjurkan berzikir dan bershalawat secara mutlak, pada setiap masa dan ketika, termasuklah ketika senggang antara Shalat Tarawih, TAPI dengan catatan asalkan tidak dikaitkan zikir dan shalawat tersebut sebagai sunnah yang tertentu bagi Shalat Tarawih, sehingga dirasakan tidak sempurna atau tidak sah Shalat Tarawih tanpa berzikir dan bershalawat seperti itu. Jika ada anggapan sedemikian, maka perbuatan yang berdasarkan kepada anggapan inilah yang dihukumkan sebagai perbuatan bid`ah yang ditegah, sebagaimana yang tercatat dalam fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, jilid 1, halaman 186 - 187. Namun, jika tidak beranggapan sedemikian, maka boleh - boleh saja untuk kita berzikir dan bershalawat bila - bila masa termasuklah ketika lepak antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih.
Khatimatul Muhaqqiqin, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah ketika ditanya samada bershalawat di sela - sela Shalat Tarawih itu disunatkan sebagai satu sunnah makhshushah bagi Shalat Tarawih atau adakah ia perbuatan bid`ah yang ditegah? Beliau menyatakan, antara lain sebagai berikut: ....Bershalawat di tempat ini (yakni di sela - sela Shalat Tarawih) secara khusus sebagai sunnah yang tertentu (sunnah makhshushah) bagi Shalat Tarawih, tidaklah kami melihat ada nasnya dalam sunnah dan tidak ada juga daripada perkataan ulama kita yang menghukumkan sedemikian. Maka ianya adalah satu perbuatan bid`ah yang ditegah bagi sesiapa yang melakukannya dengan qashad bahawa ianya adalah satu sunnah makhshushah ketika itu (yakni dia beranggapan bahawa bershalawat ketika itu adalah sunnah yang warid untuk dilakukan antara sela - sela Shalat Tarawih), namun tiada tegahan untuk melakukannya bagi sesiapa yang melakukannya tanpa qashad sedemikian, seperti qashadnya bershalawat ketika itu kerana ada anjuran umum untuk bershalawat pada setiap waktu. Bahkan sebenarnya warid beberapa hadis yang walaupun tidak cukup untuk dijadikan dalil bahawa bershalawat di sela - sela Shalat Tarawih itu sebagai sunnah tertentu baginya, tetapi setidak - tidaknya menyokong ketentuan sunnah bershalawat di sela - sela shalat malam (dan Shalat Tarawih itu termasuk dalam kategori shalat malam) .... (di sini Imam Ibnu Hajar mendatangkan beberapa hadis mengenai perkara ini) ..... Selanjutnya satu lagi yang boleh menjadi bukti bahawa sunat bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di sela - sela Shalat Tarawih adalah berdoa selepas salam setiap shalat adalah sunat (yang disunnahkan) dan telah sabit bahawa seseorang ketika berdoa disunatkan untuk bershalawat di permulaan, pertengahan dan akhir doanya. Para ulama telah sepakat (ijmak) tentang kesunnahan sunat memulai dan mengakhiri doa dengan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ......(di sini Imam Ibnu Hajar mendatangkan beberapa hadis mengenai hal tersebut)....
Maka jelaslah bahawa fatwa bershalawat antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih sebagai "bid`ah yang ditegah" bukanlah mutlak, tetapi ianya tertentu dan ditujukan hanya kepada sesiapa yang beranggapan ianya satu sunnah makhshushah yang sabit dengan Shalat Tarawih, sedangkan bagi sesiapa yang tidak beranggapan sedemikian, maka tidaklah ditegah melakukannya, kerana semata - mata bershalawat adalah dianjurkan secara umum pada setiap masa, tanpa perlu dikaitkan dengan Shalat Tarawih. Dengan catatan juga bahawa menurut sunnah adalah sunat hukumnya untuk berdoa selepas setiap shalat, samada shalat fardhu atau shalat sunat, dan ketika berdoa itu sunat dimula dan ditutup dengan shalawat. Maka bershalawat ketika itu (yakni di senggang Shalat Tarawih sebelum berdoa) bolehlah dianggap sebagai sunat yang disunnahkan dalam berdoa. walaupun bukan sunnah bagi Shalat Tarawih.
Untuk menambah rujukan, faqir kongsikan, juga dengan niat mengambil berkat dengan karya dan ilmunya ulama, nukilan mengenai hal ini daripada kitab Tansyithul Muthaali`in karangan al-`Alim al-`Allaamah al-Mawlawi `Ali bin Syaikh Abdur Rahman an-Naqsyabandi at-Tanuuri (w.1347H). Pada halaman 81 dinyatakan sebagai berikut:- (Far`un) dalam al-Fatawa az-Zabidiyyah, persoalan yang ke-16: "Adakah mustahab atau tidak untuk bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas salam antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih?" Jawapannya: "Aku belum melihat seorang ulama pun yang menjelaskan secara khusus bahawa hukum bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam antara salam rakaat - rakaat Tarawih sebagai mustahab. Akan tetapi, yang aku fahami daripada umum perkataan para ulama kita (al-ashhab) bahawasanya berdoa selepas setiap shalat adalah mustahab hukumnya, di mana yang dikehendaki dengan kalimah "selepas setiap shalat" adalah "selepas salam daripadanya". Para ulama kita juga telah menjelaskan bahawa adalah mustahab untuk memulakan doa dengan tahmid dan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta menutup doa juga dengannya. Maka bershalawat ketika itu (yakni di antara rakaat - rakaat Tarawih tadi) adalah mustahab dalam rangka memulai dan mengakhiri doa, wa Allahu ` azza wa jalla a'lam. Kataku (yakni Mawlawi Ali): Atau (shalawat adalah) diri doa itu sendiri kerana shalawat pada dirinya adalah satu doa, wa Allahu a'lam.
Apa yang dinukil dalam Tansyitul Muthalli`in itu boleh juga kita lihat dalam kitab Ghayatu Talkhisil Muraad min Fatawa Ibn Ziyad yang dihimpun oleh Habib Abdur Rahman al-Masyhur daripada fatwa - fatwa Imam Ibnu Ziyad al-Yamani, tercatat di pinggir Bughyatul Mustarsyidin. Pada halaman 94, dinyatakan sebagai berikut:- [Masalah] tiada seorang ulama kita pun yang dengan jelas menghukumkan mustahab untuk bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di antara salam rakaat - rakaat Shalat Tarawih (yakni sebagai sunnah makhshushah bagi Shalat Tarawih), akan tetapi apa yang difahami daripada perkataan mereka secara umum adalah mustahab untuk berdoa selepas setiap shalat, yakni selepas salam shalat tersebut, dan para ulama juga menghukumkan mustahab untuk membuka dan menutup doa dengan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa 'ala alihi wa ashhabihi wa sallam. Maka dihukumkan mustahab bershalawat ketika itu (yakni antara rakaat - rakaat Tarawih) dalam rangka berdoa.
Begitulah sedikit pandangan ulama mengenai bershalawat di sela - sela Shalat Tarawih. Yang melakukannya tidak dicela dan yang meninggalkannya tidaklah dicemuh. Yang melakukannya dapat pahala bershalawat dan yang meninggalkannya tidaklah berdosa. Yang terpenting, beramal mencari redha Ilahi dan jauhilah segala perbalahan yang tidak membawa apa - apa erti, selain permusuhan dan putus silatur rahim. Allahumma shalli `ala Sayyidina wa Mawlana Muhammad.
******************************
Tiada ulasan:
Catat Ulasan