Memaparkan catatan dengan label Shalawat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Shalawat. Papar semua catatan

Rabu, Oktober 07, 2026

Sembuhnya Mata Qatadah

Di antara mukjizat hissi (iaitu mukjizat yang dapat ditangkap oleh pancaindera) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang direkodkan dalam pelbagai kitab adalah sebiji bola mata yang tersembul, bahkan dalam riwayat terkeluar sehingga jatuh ke pipi, dari soketnya telah sembuh dan menjadi lebih baikdi tangan baginda yang mulia. Peristiwa ini berlaku kepada seorang sahabat yang bernama Sayyidina Qatadah bin an-Nu'man al-Anshari radhiyaAllahu `anhu. Diriwayatkan bahawa dalam Perang Uhud, menurut sebahagian riwayat Perang Badar manakala dalam riwayat lain Perang Khandaq, ketika perang berkecamuk, Sayyidina Qatadah yang gigih berjuang bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah terkena panahan anak panah sehingga salah satu biji matanya terkeluar dari soketnya dan jatuh tergeletak di pipinya. Dalam satu riwayat, mereka hendak memotong sahaja biji mata tersebut namun ditegah oleh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Baginda telah mengambil biji mata yang terkeluar itu dengan tangan baginda yang mulia dan memasukkannya semula ke tempat asalnya. Seketika itu juga, mata Sayyidina Qatadah sembuh bahkan menjadi lebih baik dari asal, sehingga Sayyidina Qatadah tidak ingat atau sedar mata mana yang telah cedera.

Imam Ibnu Atsir rahimahullah dalam Usdul Ghabah meriwayatkan, antara lain, sebagai berikut:- Qatadah bin an-Nu'man bin Zaid bin `Aamir bin Sawaad bin Dzafar bin al-Khazraj bin `Amr bin Malik bin al-Aws al-Anshari al-Awsi al-Dzafari. Kunyahnya Aba `Amr atau dikatakan Abu `Amr atau Abu `Abdullah, beliau adalah saudara seibu Abu Sa`id al-Khudri. Beliau terlibat dalam Bai`atul Aqabah, perang Badar dan perang Uhud, semuanya bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Matanya telah cedera dalam Perang Badar, menurut riwayat lain dikatakan dalam Perang Uhud dan satu riwayat lagi dalam Perang Khandaq. Menurut Abu `Umar, yang terlebih shahih - namun Allah sahaja yang Maha Mengetahui - bahawasanya mata Qatadah telah cedera dalam Perang Uhud, lalu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah mengembalikannya sehingga ia menjadi sebaik - baik matanya.

Telah meriwayatkan Abu Rabi` Sulaiman bin Abil Barakat Muhammad dengan sanadnya sehingga kepada Abu Abdul Rahman bin al-Harits bin `Ubaid bahawa datuknya meriwayatkan sebagai berikut:- "Mata ayahku (yakni Qatadah) telah cedera pada hari Perang Uhud, maka Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah meludah padanya lalu matanya sembuh menjadi matanya yang terbaik."

Telah diriwayatkan juga oleh Abu Ya'la dengan sanadnya sehingga kepada `Umar bin Qadatah yang meriwayatkan bahawa ayahnya Sayyidina Qatadah bin an-Nu'man yang menceritakan bahawa matanya telah cedera dalam Perang Badar sehingga biji matanya terjatuh ke pipinya. Sebahagian sahabat hendak memotong sahaja biji matanya itu lalu mereka bertanya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersabda: "Jangan (kalian potong)," lalu baginda memanggil Qatadah dan menampung biji matanya dengan telapak tangan baginda yang mulia dan mengembalikannya ke tempatnya (rongga / soket mata). Mata tersebut terus sembuh sehingga Qatadah tidak lagi tahu mata mana yang telah cedera (saking sempurna kesembuhan tersebut).

Diriwayatkan oleh Abu Ja'far dengan sanadnya sehingga `Ashim bin `Umar bin Qatadah yang berkata: "Mata Qatadah telah cedera dalam Perang Uhud sehingga jatuh atas pipinya. Maka Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah mengembalikan mata tersebut ke tempatnya lalu mata tersebut sembuh menjadi matanya yang terbaik.

Bersempenakan mukjizat tersebut, maka sebahagian ulama telah menyusun serangkap shalawat sebagai memperingati mukjizat ini yang berbunyi: "Allahumma shalli `ala Man thaabat `ainu Qataadah (Ya Allah, limpah shalawat atas Junjungan Nabi yang menjadi sebab kesembuhan mata Qatadah)." Shalawat ini boleh dijadikan sebagai sarana bertabarruk dengan shalawat dan mukjizat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam memohon kesembuhan mata dari kebutaan dan segala penyakit mata. Ada orang menamakan shalawat ini sebagai Shalawat Qatadah, namun itu hanya sekadar penamaan kerana adanya sebutan nama Qatadah di dalamnya. Berdasarkan kepada pengalaman dan tajribah, maka sebahagian tok - tok guru menyuruh mengamalkan shalawat ini agar mata terpelihara dari kebutaan dan segala penyakit mata. Sesiapa yang suka, bolehlah mengamalkannya sebagai ikhtiar. Mudah - mudahan bermanfaat.

Ustaz Uthman bin Yusuf @ Baba Man Beneeramah

Jumaat, September 11, 2026

Mimpi Shalawat Badawi - Al-Kayali

Sebagai entri penutup bulan yang dimuliakan Allah ta`ala sebagai bulan zahirnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Rabi`ul Anwar, faqir kongsikan pengalaman seorang ulama, berkait Shalawat Nuril Anwar yang disusun oleh wali quthub Sidi Ahmad al-Badawi qaddasaAllahu sirrahul `aziz. Masih lagi pengalaman yang berdasarkan mimpi, maka janganlah gegabah mentarjihnya menurut disiplin ilmu hadits. Nak percaya, boleh, tak percaya pun, no problem. Tambahan pula shalawat tersebut gubahan seorang wali yang arifBillah, sesiapa yang suka mengamalkannya boleh berbuat sedemikian kerana telah ada contoh dan panduan daripada para alim ulama yang menjadi ikutan. Sesiapa yang alergi dengan shalawat - shalawat gubahan, tak perlulah membacanya, yang penting jangan kecoh pada benda yang tak ada isu nak dikecohkan.

Syaikh Dr. Muhammad `Adil `Azizah al-Kayali al-Husaini hafizahullah adalah seorang ulama dan pakar akidah Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang berasal dari Halab (Aleppo), Syria. Di antara karya beliau yang masyhur adalah `Aqidatus Salafish Shalih: Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang menjelaskan bagaimana para salafush shalih memahami ayat - ayat dan hadits - hadits sifat berdasarkan kepada riwayat para ulama yang tsiqah (kepercayaan) seperti Imam Ibnu Katsir, Imam Baghawi, Imam Qurthubi dan lain - lain. Syaikh Adil al-Kayali pernah menceritakan bahawa satu masa, ketika beliau ditimpa kesusahan besar sehingga menyesakkan dada, beliau telah bermimpi bertemu dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dalam mimpi tersebut, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menyuruhnya untuk membaca Shalawat Badawi, dan ketika itu Allah mencampakkan ilham dalam hatinya bahawa yang dimaksudkan adalah Shalawat Nuril Anwar. Syaikh Adil menyatakan bahawa shalawat tersebut dibaca 100 kali dan mujarrab untuk menunaikan segala hajat, in sya Allah.

Shalawat Badawi ash-Shughra atau lebih dikenali sebagai Shalawat Nuril Anwar atau Shalawat Badawi ini telah diamalkan oleh ramai ulama dan awam muslimin dan mereka merasai kenikmatan dan keberkatannya. Mufti Sidi Ahmad Zaini Dahlan rahimahullah  telah menyebut mengenainya dalam karangan beliau, dan para ulama selepasnya telah menukil perkataan beliau dalam karya mereka, antaranya al-Imamul Akbar, Syaikhul Azhar, Dr. Abdul Halim Mahmud rahimahullah dalam Aqthab at-Tashawwuf: as-Sayyid Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu. Pada halaman 71 dinyatakan sebagai berikut:-

 ...Adapun shalawat yang kedua (bagi Sidi Badawi) yang dimulai dengan: "Allahumma shalli `ala Nuril Anwar wa Sirril Asraar ...hingga akhirnya"..., maka telah berkata al-Ustaz as-Sayyid Ahmad Dahlan dalam majmu`ahnya .......:- "Telah menyebut ramai awliya yang arifin bahawasanya shalawat ini mujarrab (telah teruji keampuhannya) bagi menunaikan segala hajat, menghilangkan segala kesusahan, menghindari segala kerumitan, menghasilkan segala nur (cahaya kebaikan) dan asraar (ilmu yang halus - halus terutama berhubung makrifatullah). Bahkan shalawat ini mujarrab bagi segala sesuatu dan antara bilangan untuk diwiridkan adalah 100 kali setiap hari.......

Begitulah sedikit kisah mengenai Shalawat Badawi  yang dialami oleh seorang ulama yang menceritakannya kepada kita. Sungguh keberkatan shalawat ini telah masyhur diperkatakan ulama kita dan telah menjadi amalan dan wiridan mereka. Mudah  - mudahan Allah memudahkan segala urusan kita dan menyelamatkan kita dunia - akhirat berkat syafaat Shahibin Nuur, Nuril Anwar, Sayyidina Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, berkat Shalawat Nuril Anwar dan berkat yang empunyanya Abil Fityan, Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu, aamiin.

*****************************************************



Khamis, Julai 16, 2026

Daruud Taaj - Talaqqi Bil Qabuul ?

Sebagaimana yang pernah faqir nyatakan di entri terdahulu, Daruud Taj @ Duruud Taaj atau Shalawat Taajiyyah atau Daruud Taaj amat terkenal di Benua IndoPak berbanding di rantau kita. Faqir telah menulis sedikit mengenainya dan linknya akan faqir letak di bawah nanti. Para ulama Benua Hindi, memberi perhatian kepada shalawat ini dan telah mengarang beberapa syarah baginya untuk memperjelaskan isi kandungannya dengan segala nas yang ada. Di antara syarahnya yang masyhur adalah Syarah Duruud Taaj yang dikarang oleh al-`Allaamah Abut Turab Mawlana Muhammad Nashiruddin Nashir al-Madani `Aththari dan Dhaw-us Siraaj karya al-`Allaamah Muhammad Faidh Ahmad Shahib Uwaisi, kedua-duanya berbahasa Urdu.

Peri masyhurnya Daruud Taaj ini di benua tersebut sehingga ada ulama di sana yang beranggapan bahawa ianya bukanlah sesuatu yang perlu dipermasalahkan lagi kerana telah rata penerimaannya di sisi awliya` dan ulama benua tersebut, bahkan ia boleh dimasukkan dalam kaedah talaqqi bil qabuul, yakni diterima secara bulat kerana penerimaan yang merata di sisi ulama. Mawlana Muhammad Faidh dalam Dhaw-us Siraaj pada halaman 9, menyatakan bahawa Daruud Taaj telah diamalkan oleh ramai awliya` yang mulia dan ulama yang besar - besar sehingga menurut pandangan beliau shalawat atau amalan ini dianggap termasuk dalam kaedah talaqqi bil qabuul. Pandangan ini mungkin benar atas kadar atau darjatnya tertentu, tertakluk kepada sejauh mana luas tersebar dan penerimaannya di kalangan para ulama di seluruh pelosok dunia. Jika pun dikatakan talaqqi bil qabuul, pasti darjatnya tidak sampai ke tingkat ittifaq ulama atau ijma`.Namun, setidak - tidaknya, kewujudan dakwaan talaqqi bil qabuul tersebut, menunjukkan kepada fakta bahawa Daruud Taaj adalah sesuatu yang telah diterima oleh sejumlah ulama dan awliya` umat ini, sehingga menjadikan hal tersebut sebagai sesuatu yang boleh diterima, namun bukan satu kewajipan untuk diterima. Sesiapa yang mahu membaca atau mengamalkannya, boleh berbuat sedemikian, manakala yang tidak mahu atau tidak bersetuju adalah bebas dengan pandangannya. Maka luaskan fikiran dan lapangkan dada demi menjaga adab berikhtilaf.

Sebagai tambahan, talaqqi bil qabuul shalawat tersebut juga tidaklah menyamai talaqqi bil qabuul keshahihan dua kitab yang masyhur, Shahih Bukhari dan Shahih Muslim, yang sampai ke peringkat ittifaq ulama dan ijma`. Imam an-Nawawi rahimahullah  dalam muqaddimah Syarah Muslim, juz 1, halaman 14 menulis, antaranya sebagai berikut:- ....Para ulama rahimahumullah sepakat (ittifaq) bahawa kitab - kitab yang paling shahih selepas al-Quran al`Aziz adalah dua kitab (hadis) shahih, al-Bukhari dan Muslim, di mana umat (yakni para ulamanya) telah sepakat menerima keduanya (yakni sebagai seshahih - shahih kitab selepas al-Quran, - wa talaqqat-huma al-ummatu bil qabuul)

Selanjutnya, sebagai pengenalan ringkas, talaqqi bil qabuul adalah satu kaedah atau metodologi yang penting dalam tradisi keilmuan Islam Ahlus Sunnah wal Jamaah, yang dipakai dalam berbagai disiplin ilmu, terutama sekali dalam urusan penentuan dan pensabitan kitab - kitab yang berautoriti untuk dijadikan pegangan dan sandaran hukum - hakam. Kaedah ini juga turut digunapakai dalam semua lapangan termasuklah dalam ilmu hadis, sehingga memungkinkan sesuatu hadis yang dhaif sanadnya dijadikan sandaran hukum kerana wujudnya talaqqi bil qabuul atau dalam istilah lain `alaihil `amal inda ahlil ilmi (atasnya amalan para ulama). Untuk mengetahui lebih jauh kaedah ini silalah mengaji dengan para ahlinya, jangan hanya berpada dengan kullu bid`atin dholalah semata. Di antara kitab yang terbaik dalam perbahasan hadis - hadis lemah dan maudhu` yang dijadikan sandaran hukum oleh para fuqaha` adalah kitab karangan ulama Syafie yang terkemuka, Imam Tajuddin `Ali bin `Abdullah bin al-Hasan al-Ardabili at-Tabrizi asy-Syafie @ Imam Ardabili (667 -746H) rahimahullah yang berjodol al-Mi'yaar fil Ahaaditsi ad-Dha`iifah wal Maudhuu`ah allati Istasyhada biha al-Fuqaha` (Kayu Ukur Penanda Aras Dalam Perbahasan Hadis - Hadis Dhaif Dan Mawdhu` Yang Dijadikan Dalil / Diterima Sebagai Hujjah Oleh Para Fuqaha). Rajin - rajinlah mengaji dan mentelaah, jangan ingat para fuqaha itu jahil akan ilmu hadis. Ingat juga bahawa nak tahu hukum hakam sesuatu perkara, ambillah dari kitab - kitab fiqh, manakala kitab -kitab hadis itu salah satu sumber bagi sesuatu hukum - hakam. Namun nak mengeluarkan hukum dari kitab - kitab hadis bukanlah perkara yang mudah untuk orang awam seperti kita, ia memerlukan ilmu yang luas, sebagaimana kita memerlukan timba untuk mengeluarkan air dari perigi yang dalam. Akhir kata, faqir datangkan sebagai tambahan dan simpanan, sedikit penjelasan mengenai shalawat yang berkat ini oleh Dr. Shadee ElMasry hafizahullah. Mudah - mudahan ada menfaatnya.

Baca juga:- Daruud Taj (Mahkota Shalawat.

Jumaat, Mei 22, 2026

Faedah Dari Kifayah

Pada pagi Jumaat ini, kita cedok satu faedah dari karya - karya ulama kita untuk faedah bersama. Faqir mulakan dengan Kifayatul Atqiya` karangan Sidi Bakri Syatha ad-Dimyathi rahimahullah. Pada halaman 130 beliau menukilkan sebagai berikut:- Dikatakan sebagai diriwayatkan oleh Sayyidina Jabir bin Abdillah radhiyaAllahu `anhu yang berkata bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sbersabda: "Sesiapa yang membaca pada setiap pagi dan petang { Allahumma, Ya Rabba Muhammad, wa aali Muhammad, shalli `alaa Muhammad, wa `alaa aali Muhammad, wajzi Muhammadan shallaAllahu `alaihi wa sallam maa huwa ahluh ( Wahai Allah, Tuhannya Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, limpahkanlah shalawat ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Nabi Muhammad, dan ganjarilah Nabi Muhammad dengan ganjaran yang selayaknya buat baginda.)}, maka dia telah membuat dua malaikat pencatat amalnya penat 1000 hari (yakni ibarat atas ganjaran yang terlalu banyak sehingga dikatakan seolah - olah lelah 1000 hari malaikat mencatatnya.); dan dia telah menunaikan segala hak Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (yakni untuk hak baginda untuk dimuliai disanjungi, ditaati dan dishalawati); diampuni Allah baginya dan bagi kedua ibubapanya; dan dihimpunkan dia di Padang Mahsyar nanti bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan ahli keluarga baginda."

"Hadis" tersebut walaupun di sisi para muhadditsin bermasalah dari sudut sanad periwayatannya, namun tidaklah bererti lafaz atau shighah shalawat yang terkandung di dalamnya turut bermasalah untuk diamalkan, dalam ertikata tidak boleh diamalkan. Justru sebaliknya, para ulama dan tuan - tuan guru kita, bahkan menganjurkan ianya dibaca dan dijadikan amalan. Maulana Zakaria al-Kandhalawi rahimahullah, seorang ahli hadis yang ternama di masa kita ini, yang dijoloki sebagai Ra-isul Muhadditsin, dalam kitab Fadhail Durud Syarif halaman 77 dan dalam terjemahannya Fadhilat Shalawat pada halaman 62 - 63 turut memaparkan shalawat ini yang beliau nukil daripada kitab Nuzhatul Majalis karya Imam Abdur Rahman ash-Shafuri (w.894H). Nukilan beliau adalah sebagai berikut:- Telah diriwayatkan  di dalam "Nuzhatul Majalis" dengan merujukkan kepada Tabrani bahawa Hadrat Jabir radhiyaAllahu `anhu meriwayatkan sabdaan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Orang yang membaca darud (shalawat) yang berikut, akan menyebabkan kesusahan yang banyak kepada penulis - penulis kebaikan (para malaikat pencatat amal kebajikan) selama seribu hari:-
Maka, tidak hairan jika ada ulama yang berpendapat bahawa sesiapa yang telah bersumpah untuk membaca shalawat yang terbaik (afdhal), maka dia boleh menebus sumpahnya dengan membaca shalawat yang pendek ini tadi. Hal ini disebut oleh Imam Syaikhul Islam Majduddin  Muhammad bin Ya'qub al-FairuzAbadi (w. 817H), pengarang kamus yang masyhur, dalam kitabnya ash-Shilaatu wal Bisyru fish Shaalati `alaa Khairil Basyar pada halaman 162 - 166 yang dinukilkan oleh Imam as-Sakhawi dalam al-Qawlul Badi` fish Shalaati `alaal Habibisy Syafi` pada halaman 144. Oleh kerana itu, jelas bahawa lafaz shalawat ini tidaklah menjadi kesalahanan untuk dibaca dan diamalkan. Ianya satu shalawat yang terkandung dalam berbagai teks umat ini dan dibaca oleh ramai ulama dan awam. Tentang ganjaran dan seumpamanya tadi, itu bukan urusan kita, kita percaya setiap shalawat itu akan menerima ganjaran yang besar daripada Allah ta`ala dan dibalas oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka, janganlah dilepaskan berlalu masa kita pergi tanpa diisi dengan Shalawat Nabi.

Pesan Guru Sekumpul

Jumaat, Mei 08, 2026

Shalawat Haji - Habib Alwi

Habib Alwi bin Ali al-Jufri rahimahullah dilahirkan di Gresik, Jawa Timur dan merupakan antara santri Mawlana Kiyai Khalil Bangkalan rahimahullah. Beliau terkenal sebagai ulama yang kharismatik di Situbondo dan giat berdakwah ke segenap pelosok sehingga ke Sumatera, Madura dan Kalimantan. Dalam perjalanan dakwahnya, beliau telah mendirikan sekurang - kurang 27 buah masjid dan beberapa pesantren di pelbagai daerah seperti Situbondo, Bondowoso, Madura, Solo, Jambi dan Palembang. Beliau juga dikenali sebagai seorang ahli ibadah yang sangat mendalam cinta kasihnya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga direzekikan Allah untuk bermimpikan baginda.

Dalam satu mimpi yang terjadi di Palembang pada malam Isnin, 27 Rabi`ul Akhir, 1383H, Habib Alwi telah bermimpi bertemu dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dalam mimpi tersebut, baginda mengajar satu shalawat yang ringkas, lalu bersabda: "Sesiapa yang ingin agar dia disampaikan Allah menziarahi al-Haramain dengan mudah, hendaklah dia membanyakkan shalawat ini: [Ya Allah, limpahkan shalawat serta salam ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad, shalawat yang dengan keberkatannya aku dapat menziarahi kota suciMu (Mekah) dan kota sucinya (Madinah)], sekurang - kurang 25 kali setiap waktu (shalat fardhu), sebagai satu ijazah bagimu dan bagi sesiapa yang berhajat daripada kalangan umat Islam." Ketika terjaga, Habib Alwi telah menceritakanmimpinya tersebut kepada al-`arif billah KH Abdul Hamid Pasuruan rahimahullah yang langsung menulisnya. Sejak itu, shalawat ini mulai tersebar terutama sekali di kalangan para santri dan dikenali sebagai Shalawat Haji atau Shalawat Ziarah. Dengan shalawat tersebut juga, Habib Alwi al-Jufri sering digelar sebagai Shahibus Shalawat Haji @ Shalawat al-Haj.

Diceritakan bahawa sesiapa yang istiqamah mengamalkan shalawat ini, dia akan direzekikan dapat berziarah ke Baitullah untuk haji atau umrah serta dapat berziarah ke makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. KH Husein Ilyas Mojokerto, pengasuh Pondok Pesantren al-Misbar, Mojokerto, menyatakan bahawa beliau direzekikan berziarah ke al-Haramain, samada dalam rangka haji maupun umrah, sebanyak 55 kali, walaupun beliau tidak terhitung dalam kalangan orang - orang kaya, semuanya semata - mata berkat mengamalkan shalawat ini. Bahkan, beliau menyatakan sesiapa yang istiqamah melazimi shalawat ini sekurang - kurangnya 3 kali selepas setiap shalat fardhu nescaya Mekah Madinah baginya dekat, yakni dipermudahkan dia untuk pergi ke sana. 

Dikisahkan lagi oleh cucu Habib Alwi, iaitu Habib Muhammad Taufiq bin Mustafa bin Alwi al-Jufri hafizahullah, pengasuh Pondok Nurul Huda, Peleyan, Kapongan, Situbondo, bahawa Habib Alwi berpesan kepada KH Hamid Pasuruan untuk mengamalkan shalawat ini kerana orang yang istiqamah mengamalkannya akan disampaikan hajatnya untuk bertawaf di Ka'batullah, hatta sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhur, samada secara jasmani atau secara rohani. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa dan Maha Berleluasa melakukan sekehendakNya, atas kita amal atas Allah ijabah. Mudah - mudahan ada manfaatnya dan semoga dikabulkan hajat kita sekalian untuk pergi menunaikan haji dan umrah juga berkunjung ke Masjid an-Nabawi berziarah kepada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam.

KH Husein Ilyas Mojokerto

Habib Muhd Taufiq al-Jufri


Rabu, Mei 06, 2026

Shalawat Nariyyah - KH Uzairon

Sebelum ini, faqir telah kongsikan cerita mengenai keberkatan Shalawat Nariyyah yang dialami oleh Syaikh Pesantren al-Fath, Temboro, sebagaimana dikisahkan oleh KH Ubaidillah Ahror hafizahullah. Sekarang, faqir kongsikan kisah tersebut daripada lidah Syaikh al-Fath yang mengalami sendiri hal tersebut, iaitu almarhum KH Uzairon Thaifur Abdillah. Mudah - mudahan ada manfaat dan menjadikan kita lebih istiqamah mengamalkan shalawat yang berkat ini.

KH Uzairon Thaifur Abdillah

Jumaat, Januari 30, 2026

Shalawat Jalaluddin al-Bukhari

Pada hari Jumaat yang mulia, juga bersempena bulan diturunkan perintah bershalawat, Sya'ban, maka faqir nukilkan serangkaian ucapan shalawat dan salam yang diamalkan oleh tokoh ulama, wali dan daie, yang terkenal di belahan Indo-Pak. Tokoh yang hidup sekitar abad ke-13M bernama Quthbul `Alam, Makhdum al-`Alamin, asy-Sayyid Jalalullah @ Jalaluddin, Husain bin 'Ali bin Ja'far al-Bukhari qaddasaAllahu sirrah, bergaris keturunan Imam Husein radhiyaAllahu anhu daripada jalur Imam Ali al-Hadi radhiyaAllahu `anhu. Beliau dilahirkan sekitar tahun 595H / 1190M di Bukhara. Hidup beliau dihabisi dengan merantau dan berkelana sehingga membawanya ke benua kecil India untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu pengetahuan juga untuk memperdalamkan lagi ilmu yang sudah beliau miliki. Di antara guru beliau, terutamanya dalam bidang tasawwuf dan thariqat adalah asy-Syaikh al-Imam al-`Alim al-Muhaddits Bahauddin Zakaria bin Muhammad bin 'Ali al-Qurasyi al-Asadi al-Multani (566 - 666H / 1170 - 1268M), tokoh Thariqat Suhrawardiyyah, ulama yang disepakati atas ketokohan dan kewaliannya. Setelah sekian lain, menjalani jalan thariqat dan tasawwuf, Syaikh Jalaluddin mendirikan Thariqah Jalaliyyah sebagai cabang daripada Thariqah Suhrawardiyyah. Beliau wafat sekitar tahun 690H atau 695H menurut sebahagian sejarawan dan dimakamkan di Uch, Punjab. Makamnya sehingga kini menjadi tempat para penziarah untuk mengalap berkat dan berdoa kepada Allah `azza wa jalla.

Shalawat ini faqir kutip daripada manuskrip kitab Jawaahirul Khams karya Syaikh Muhammad bin Khathiruddin al-`Atthar. Dalam manuskrip tersebut pada halaman 62 tercatat sebagai berikut:-

...Shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang disebut oleh Quthubul `Alam, Makhdum al-`Alamin, asy-Sayyid Jalalullah al-Bukhari qaddasaAllahu sirrahul `aziz dalam wirid - wiridnya. Beliau berkata tentang shalawat ini sebagai berikut: "Sesiapa yang bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan shalawat ini, maka seumpama dia berhaji ke Baitullah al-Haram, (mudah-mudahan) dituliskan pahala haji dalam buku amalannya. Sesiapa yang menulisnya (yakni sebagai azimat untuk bertabarruk mengambil keberkatan) dan membawanya, (mudah - mudahan) dia diberi keamanan oleh Allah ta`ala daripada segala bala bencana dunia dan akhirat, serta dikurniakan Allah ta`ala dia dapat berdamping dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di akhirat. Inilah shalawatnya:

  1. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, al-`Arabiy;
  2. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, al-Qurasyi;
  3. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, al-Makkiy;
  4. Ash-shalatu was salamu`alaika ya Muhammad, Nabiyullah;
  5. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, Rasulullah;
  6. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, Habibullah;
  7. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, Jaddul Hasani wal Husain;
  8. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Aba Faathimataz Zahra`;
  9. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Shahibal Mimbari wal Mi'raaj, 
  10. Muhammad, Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Dalam Jawahirul Khamsah,  cetakan Dar Al-Kotob Al-ilmiyah, Beirut (2023), shalawat ini dicatat pada halaman 56 dengan sedikit perbezaan, iaitu tiada lafaz ash-shalatu wa sallamu `alaika, ya Muhammad, Rasulullah dan dengan adanya tambahan ..."ya Muhammad.".. sebelum lafaz Aba Faathimataz Zahra`. Shalawat dan salam yang mudah dan ringan untuk diamalkan. Lakukan dengan ikhlas dan penuh mahabbah agar di akhirat tidak menyesal. Mudah - mudahan bermanfaat dan menambah lagi loba untuk kita bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Isnin, Mac 24, 2025

Shalawat Tarawih

Kebiasaan dalam masyarakat Islam Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang bermazhab di berbagai pelosok dunia, bukan hanya rantau Nusantara, juga di Timur Tengah, selepas selesai salam antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih dibacakan zikir, tasbih, shalawat dan doa. Ini dilakukan sebagai pemisah bagi setiap 2 rakaat dan juga untuk berehat sebentar sebelum melanjutkan Shalat Tarawih. Amalan sebegini dianggap baik oleh majoriti ulama dan dianggap sebagai sunat walaupun  bukan sunnah yang makhshushah yakni sunnah yang khas atau tertentu bagi Shalat Tarawih. Berzikir dan bershalawat adalah sesuatu yang dianjurkan dalam berbagai nas syarak, samada secara khusus dan juga secara umum, yang sekali - kali tidak dapat dikatakan sebagai amalan "bid`ah" pada syarak (bid`ah syar`iyyah) kerana ia punya dasar dari sumber hukum syarak. Jika pun dihukumkan bid`ah maka ianya hanyalah bid`ah dari sudut bahasa (bid`ah lughawiyyah) sahaja. Fahamilah bahawa yang dikatakan bid`ah itu adalah sesuatu yang langsung tidak ada contoh atau dalil dari sumber - sumber hukum syarak, termasuklah yang bersifat umum. Ingat juga bahawa sumber - sumber (mashadir) hukum syarak itu yang disepakati ulama adalah Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas, manakala beberapa banyak lagi sumber yang diperselisihkan seperti Istishab, Istihsan, Mashalih Mursalah dan sebagainya. Jika ada dalil atau contoh daripada sunnah atau mana - mana sumber hukum syarak, walaupun dalil umum, maka tidaklah dapat dikatakan sesuatu amalan itu sebagai bid`ah yang menyalahi syarak.

Secara umum, kita dianjurkan berzikir dan bershalawat secara mutlak, pada setiap masa dan ketika, termasuklah ketika senggang antara Shalat Tarawih, TAPI dengan catatan asalkan tidak dikaitkan zikir dan shalawat tersebut sebagai sunnah yang tertentu bagi Shalat Tarawih, sehingga dirasakan tidak sempurna atau tidak sah Shalat Tarawih tanpa berzikir dan bershalawat seperti itu. Jika ada anggapan sedemikian, maka perbuatan yang berdasarkan kepada anggapan inilah yang dihukumkan sebagai perbuatan bid`ah yang ditegah, sebagaimana yang tercatat dalam fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, jilid 1, halaman 186 - 187. Namun, jika tidak beranggapan sedemikian, maka boleh - boleh saja untuk kita berzikir dan bershalawat bila - bila masa termasuklah ketika lepak antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih. 

Khatimatul Muhaqqiqin, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah ketika ditanya samada bershalawat di sela - sela Shalat Tarawih itu disunatkan sebagai satu sunnah makhshushah bagi Shalat Tarawih atau adakah ia perbuatan bid`ah yang ditegah? Beliau menyatakan, antara lain sebagai berikut: ....Bershalawat di tempat ini (yakni di sela - sela Shalat Tarawih) secara khusus sebagai sunnah yang tertentu (sunnah makhshushah) bagi Shalat Tarawih, tidaklah kami melihat ada nasnya dalam sunnah dan tidak ada juga daripada perkataan ulama kita yang menghukumkan sedemikian. Maka ianya adalah satu perbuatan bid`ah yang ditegah bagi sesiapa yang melakukannya dengan qashad bahawa ianya adalah satu sunnah makhshushah ketika itu (yakni dia beranggapan bahawa bershalawat ketika itu adalah sunnah yang warid untuk dilakukan antara sela - sela Shalat Tarawih), namun tiada tegahan untuk melakukannya bagi sesiapa yang melakukannya tanpa qashad sedemikian, seperti qashadnya bershalawat ketika itu kerana ada anjuran umum untuk bershalawat pada setiap waktu. Bahkan sebenarnya warid beberapa hadis yang walaupun tidak cukup untuk dijadikan dalil bahawa bershalawat di sela - sela Shalat Tarawih itu sebagai sunnah tertentu baginya, tetapi setidak - tidaknya menyokong ketentuan sunnah bershalawat di sela - sela shalat malam (dan Shalat Tarawih itu termasuk dalam kategori shalat malam)  .... (di sini Imam Ibnu Hajar mendatangkan beberapa hadis mengenai perkara ini) ..... Selanjutnya satu lagi yang boleh menjadi bukti bahawa sunat bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di sela - sela Shalat Tarawih adalah berdoa selepas salam setiap shalat adalah sunat (yang disunnahkan) dan telah sabit bahawa seseorang ketika berdoa disunatkan untuk bershalawat di permulaan, pertengahan dan akhir doanya. Para ulama telah sepakat (ijmak) tentang kesunnahan sunat memulai dan mengakhiri doa dengan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ......(di sini Imam Ibnu Hajar mendatangkan beberapa hadis mengenai hal tersebut).... 

Maka jelaslah bahawa fatwa bershalawat antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih  sebagai "bid`ah yang ditegah" bukanlah mutlak, tetapi ianya tertentu dan ditujukan hanya kepada sesiapa yang beranggapan ianya satu sunnah makhshushah yang sabit dengan Shalat Tarawih, sedangkan bagi sesiapa yang tidak beranggapan sedemikian, maka tidaklah ditegah melakukannya, kerana semata - mata bershalawat adalah dianjurkan secara umum pada setiap masa, tanpa perlu dikaitkan dengan Shalat Tarawih. Dengan catatan juga bahawa menurut sunnah adalah sunat hukumnya untuk berdoa selepas setiap shalat, samada shalat fardhu atau shalat sunat, dan ketika berdoa itu sunat dimula dan ditutup dengan shalawat. Maka bershalawat ketika itu (yakni di senggang Shalat Tarawih sebelum berdoa) bolehlah dianggap sebagai sunat yang disunnahkan dalam berdoa. walaupun  bukan sunnah bagi Shalat Tarawih. 

Untuk menambah rujukan, faqir kongsikan, juga dengan niat mengambil berkat dengan karya dan ilmunya ulama, nukilan mengenai hal ini daripada kitab Tansyithul Muthaali`in karangan al-`Alim al-`Allaamah al-Mawlawi `Ali bin Syaikh Abdur Rahman an-Naqsyabandi at-Tanuuri (w.1347H). Pada halaman 81 dinyatakan sebagai berikut:- (Far`un) dalam al-Fatawa az-Zabidiyyah, persoalan yang ke-16: "Adakah mustahab atau tidak untuk bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas salam antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih?" Jawapannya: "Aku belum melihat seorang ulama pun yang menjelaskan secara khusus bahawa hukum bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam antara salam rakaat - rakaat Tarawih sebagai  mustahab. Akan tetapi, yang aku fahami daripada umum perkataan para ulama kita (al-ashhab) bahawasanya berdoa selepas setiap shalat adalah mustahab hukumnya, di mana yang dikehendaki dengan kalimah "selepas setiap shalat" adalah "selepas salam daripadanya". Para ulama kita juga telah menjelaskan bahawa adalah mustahab untuk memulakan doa dengan tahmid dan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta menutup doa juga dengannya. Maka bershalawat ketika itu (yakni di antara rakaat - rakaat Tarawih tadi) adalah mustahab dalam rangka memulai dan mengakhiri doa, wa Allahu ` azza wa jalla a'lam. Kataku (yakni Mawlawi Ali): Atau (shalawat adalah) diri doa itu sendiri kerana shalawat pada dirinya adalah satu doa, wa Allahu a'lam.

Apa yang dinukil dalam Tansyitul Muthalli`in itu boleh juga kita lihat dalam kitab Ghayatu Talkhisil Muraad min Fatawa Ibn Ziyad yang dihimpun oleh Habib Abdur Rahman al-Masyhur daripada fatwa - fatwa Imam Ibnu Ziyad al-Yamani, tercatat di pinggir  Bughyatul Mustarsyidin. Pada halaman 94, dinyatakan sebagai berikut:- [Masalah] tiada seorang ulama kita pun yang dengan jelas menghukumkan mustahab untuk bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di antara salam rakaat - rakaat Shalat Tarawih (yakni sebagai sunnah makhshushah bagi Shalat Tarawih), akan tetapi apa yang difahami daripada perkataan mereka secara umum adalah mustahab untuk berdoa selepas setiap shalat, yakni selepas salam shalat tersebut, dan para ulama juga menghukumkan mustahab untuk membuka dan menutup doa dengan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa 'ala alihi wa ashhabihi wa sallam. Maka dihukumkan mustahab bershalawat ketika itu (yakni antara rakaat - rakaat Tarawih) dalam rangka berdoa.

Begitulah sedikit pandangan ulama mengenai bershalawat di sela - sela Shalat Tarawih. Yang melakukannya tidak dicela dan yang meninggalkannya tidaklah dicemuh. Yang melakukannya dapat pahala bershalawat dan yang meninggalkannya tidaklah berdosa. Yang terpenting, beramal mencari redha Ilahi dan jauhilah segala perbalahan yang tidak membawa apa - apa erti, selain permusuhan dan putus silatur rahim. Allahumma shalli `ala Sayyidina wa Mawlana Muhammad.

******************************

Isnin, Mac 17, 2025

Jaaliyatul Kadar 2025

17 Ramadhan kembali lagi, menghimbau kepada dua peristiwa terpenting dalam sejarah umat ini. Peristiwa Nuzul al-Quran dan Peperangan Badar al-Kubra. Kedua - dua peristiwa ini telah banyak diceramah, disyarah oleh para ulama dan asatizah, masyarakat umum sedia maklum mengenai kedua - dua peristiwa agung ini. Entri ini, faqir hanya ingin berkongsi bacaan Jaaliyatul Kadar dengan bacaan santai dan untuk simpanan dalam blog yang dhaif ini.


Selain itu, boleh juga kita gerakkan lidah kita untuk membaca Shalawat Badar yang masyhur gubahan ulama Nusantara. Mudah - mudahan Allah dengan jah Sayyidina Rasulillah shallaAllahu `alaihi wa sallam, berkat shalawat dan berkat Ahli Badar ridhwanUllahi `alaihim, Allah memelihara dan menjaga umat ini serta melepas dan membebaskan mereka, terutama sekali yang berada di Gaza dan Palestine, dari segala fitnah, pembunuhan, kepayahan, kezaliman dan penindasan. Semoga juga keberkatan Ahli Badar mengalir kepada kita dan segala zuriat keturunan kita.

Jaaliyatul Kadar

Jumaat, Disember 27, 2024

Shalawat Syaikh Arsyad

Tuan Guru Haji Munawwar bin Ahmad Ghazali adalah salah seorang ulama Banjar yang disegani. Beliau dikenali sebagai Guru Kubah Kampung Melayu, Martapura. Beliau merupakan murid almarhum Guru Haji Seman Mulia, Guru Ijai dan lain - lain ulama Banjar. Kealimannya diakui masyarakat sehingga ketika berusia muda dalam 19 tahun, beliau telah dilantik untuk mengambilalih dan meneruskan kelas - kelas pengajian yang diasuh oleh ayahandanya KH Ahmad Ghazali setelah beliau kembali ke rahmatullah. Beliau juga rajin mengarang dan di antara karangannya satu risalah yang menukilkan beberapa manaqib Datu Kalampayan @ Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari rahimahullah yang berjodol Fathush Shamad.

Pada halaman 64 risalah tersebut, beliau menukilkan satu shalawat yang dinisbahkan kepada Maulana Syaikh Arsyad al-Banjari rahimahullah. Beliau menyatakan sebagai berikut:- Shalawat karangan asy-Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Hendaklah engkau baca tiap - tiap hari dengan sungguh - sungguh kerana terlalu amat bauk. Tiada jua yang membaca ia satu kali, maka sama membaca Dalailul Khairat sekhatam. 

Inilah shalawat yang dinisbahkan kepada al-`Alim al-Allaamah Mawlana Syaikh Arsyad bin Abdullah al-Banjari rahimahullah. Di dalam shalawat ini dinyatakan bahawa Junjungan Nabi sebagai seawal - awal makhluk Allah (Awwalu Makhluqaat), yakni makhluk yang pertama dijadikan Allah, iaitu merujuk kepada penciptaan nur baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang juga disebut sebagai Nur Muhammad atau Ruhul A'dzam dan beberapa gelar lagi. Jadi ini menegaskan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah makhluk Allah dan bukannya satu juzuk atau sebahagian daripada Allah atau mempunyai unsur - unsur ketuhanan. Kalimah "nuurun min nuuri Dzatika" yang secara literal diertikan sebagai "satu nur daripada nur Zat Engkau" adalah seerti dengan kalimah "an-Nuridz Dzati" yang ada pada lafaz Shalawat Nuridz Dzati bagi Imam Abul Hasan `Ali asy-Syadzili radhiyaAllahu `anhu. Di mana kalimah tersebut hanyalah semata - mata idhafah tasyrifyyah (nisbah atau sandaran pemuliaan) dan bukannya atas makna hakiki bahawa ianya adalah sebahagian daripada Zat Allah yang Maha Esa pada zat, sifat dan af`al, lagi Maha Suci daripada menerima bahagi dan berjuzuk - juzuk.

Shalawat Imam Abul Hasan Ali asy-Syadzili, pendiri Thariqah asy-Syadziliyyah, yang masyhur disebut sebagai Shalawat Nuridz Dzati ini telah banyak diamalkan dan disyarahkan akan isi kandungannya oleh para ulama. Di antaranya oleh Imam ash-Shawi rahimahullah, dalam syarah beliau atas Shalawat Imam ad-Dardir rahimahullah yang berjodol al-Asrar ar-Rabbaniyyah wal Fuyudhat ar-Rahmaniyyah. Pada halaman 40, beliau menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan "an-Nuuridz Dzaati" yang disebut dalam lafaz Shalawat Nuridz Dzati sebagai berikut:- ...(Allahumma shalli wa sallim wa baarik `ala Sayyidina Muhammad, an-Nuridz Dzati)...iaitu nur (yang disandarkan kepada) Zat Allah, yang diciptakan dia oleh Allah terus secara langsung tanpa sebarang maadah (unsur asas / bahan baku) kerana dia adalah kunci / pembuka (miftah) bagi kewujudan / penciptaan segala makhluk lain dan juga menjadi maadah bagi kewujudan / penciptaan mereka, sebagaimana yang telah diterangkan dahulu bagimu dalam penjelasan Hadis Jabir (iaitu Hadis Nur Muhammad).....  [ Yakni, nur tersebut yang disandarkan kepada Zat Allah adalah sebagai idhafah tasyrifiyyah atau ta'dzimiyyah semata-mata, untuk menyatakan pemuliaan dan pengagungan serta keistimewaan Nur Muhammad ciptaan Allah tersebut berbanding dengan nur atau makhluk selainnya dan ianya disandarkan terus dengan Zat Allah kerana Allah menciptakannya daripada ketiadaan / ketidakwujudan kepada wujud tanpa sebarang wasithah (perantara seperti kita diciptakan Allah dengan perantara ibubapa kita) maupun maadah (unsur asas / bahan baku seperti jasad kita diciptakan daripada `alaq segumpal darah, manakala jasad Nabi Adam diciptakan daripada tanah sebagai maadah) kerana dialah seawal - awal makhluk yang diciptakan Allah, ketika itu belum ada lagi makhluk selainnya diciptakan Allah.]

Jadi bukanlah maksudnya Nabi Muhammad dan rohnya yang disebut sebagai Nur Muhammad itu sebahagian daripada Zat Allah atau memiliki unsur - unsur ketuhanan sebagaimana pemahaman orang - orang sesat yang mengaku - ngaku sudah mencapai makrifat atau tohmahan pihak yang allergik dengan konsep Nur Muhammad. Baginda dinisbahkan sebagai an-Nur adz-Dzat adalah semata-mata menunjukkan keagungan dan kemuliaan penciptaannya sebagaimana masjid dan Ka'bah disebut sebagai Baitullah (rumah Allah), unta Nabi Saleh sebagai naaqatullah (unta Allah) dan Sayyidina Isa al-Masih `alaihis salam digelar sebagai Ruuhullah (roh Allah atau the spirit of God), yang semuanya itu merupakan sandaran atau nisbah pemuliaan dan pengagungan (idhafah tasyrifiyyah atau ta'dzimiyyah), juga sebagai penegasan semuanya itu adalah makhluk istimewa yang dicipta dan dimiliki oleh Allah jalla wa `azza. Shalawat yang digubah oleh para awliya itu ada kalimah -kalimahnya yang tidak boleh difahami secara literal menurut bahasa semata - mata, kerana mereka bukan sekadar mengubah mengikut kefasihan bahasa sahaja, namun bertunjangkan juga kepada segala ilmu agama terutama ilmu akidah dan selainnya. Jika difahami secara literal, ianya akan membawa kepada kesesatan, namun dengan pemahaman yang shahih, kalimah - kalimah tersebut akan memberikan kesan positif untuk lebih memuliakan dan mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang merupakan an-Nurudz Dzat yakni makhluk istimewa ciptaan Allah yang diciptakan terus, tanpa sebarang wasithah dan tanpa maadah. Allahumma shalli wa sallim wa baarik `alaihi wa aalih.

Shalawat Mawlana Syaikh Arsyad

Jumaat, November 01, 2024

Raja Shalawat Di Hari Jumaat

Di hari yang mulia ini, antara amalan sunnah yang menjadi sunnat yang utama adalah bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika kita belum mampu membanyakkan shalawat kita pada setiap hari, maka setidak - tidaknya, kita perbanyakkanlah bershalawat pada malam dan hari Jumaat yang berkat. Imam al-Muhaddits Abul Fadhl, Syaikh Abdullah bin Muhammad ash-Shiddiq al-Ghumari al-Hasani rahimahullah, salah seorang pakar hadis kontemporer, dalam kitab beliau, an-Nafhatul Ilahiyyah fish shalaati `ala Khairil Bariyyah pada halaman 145, Hadis ke-33, meriwayatkan sebagai berikut:- 
Daripada Sayyidina Anas radhiyaAllahu `anhu bahawasanya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:-
"Sesiapa yang bershalawat ke atasku pada hari Jumaat sebanyak 1000 kali, (mudah - mudahan) dia tidak akan dimatikan melainkan setelah dia melihat tempat duduknya (yakni kediamannya) di dalam syurga." Hadis dengan lafaz ini diriwayatkan oleh Abu Hafsh Ibnu Syahin, sedangkan adh-Dhiya` al-Maqdisi meriwayatkan dalam al-Mukhtarah dengan lafaz hadisnya: "Sesiapa yang bershalawat ke atasku 1000 kali pada setiap hari ........(hingga ke akhir hadis)... " 

Ketika mengemas khazanah lama, faqir terjumpa kaset lama, rakaman majlis zikir dan tawajjuh bersama almarhum Prof. Dr KH Muhibbuddin Waly al-Khalidi. Antara yang sempat faqir rakam adalah bacaan Raja Shalawat atau Alfiyyatush Shalawat yang sangat berkat, yang dinisbahkan kepada Syaikhuth Thoifah, Imam Junaid al-Baghdadi radhiyaAllahu `anhu. Ketika membaca setiap satu lafaz shalawat dan salam yang terkandung dalam Raja Shalawat ini, seolah - olah kita sedang menghatur sejuta shalawat dan beruluk sejuta salam ke hadhrat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika ada 56 lafaz, maka seumpama 56 juta shalawat dan salam, ditambah dengan harapan pada penutupnya agar jutaan shalawat dan salam tersebut berulang - ulang dan berkekalan sehingga ke hari kiamat... ila Yawmid Din. Allahu .... Allah, hanya Dia yang mengetahui betapa besar ganjaran dan pahalanya, oleh itu, setidak-tidaknya kita bacalah akan shalawat yang berkat ini pada hari yang mulia ini. Walaupun rakamannya tidak begitu baik, almaklum zaman kuno, tetapi untuk meratakan manfaat dan menyebarkan berkat dari bacaan shalawat, juga agar dapat mendengar suara seorang ulama besar Nusantara, faqir simpankan di sini rakaman tersebut. Mudah - mudahan menjadi sebab kita semua mendapat berkat dan syafaat. 

Alfiyyatush Shalawat @ Raja Shalawat






Pembacaan Raja Shalawat oleh KH Teungku Muhibbuddin Waly