
Pada hari Jumaat yang mulia, juga bersempena bulan diturunkan perintah bershalawat, Sya'ban, maka faqir nukilkan serangkaian ucapan shalawat dan salam yang diamalkan oleh tokoh ulama, wali dan daie, yang terkenal di belahan Indo-Pak. Tokoh yang hidup sekitar abad ke-13M bernama Quthbul `Alam, Makhdum al-`Alamin, asy-Sayyid Jalalullah @ Jalaluddin, Husain bin 'Ali bin Ja'far al-Bukhari qaddasaAllahu sirrah, bergaris keturunan Imam Husein radhiyaAllahu anhu daripada jalur Imam Ali al-Hadi radhiyaAllahu `anhu. Beliau dilahirkan sekitar tahun 595H / 1190M di Bukhara. Hidup beliau dihabisi dengan merantau dan berkelana sehingga membawanya ke benua kecil India untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu pengetahuan juga untuk memperdalamkan lagi ilmu yang sudah beliau miliki. Di antara guru beliau, terutamanya dalam bidang tasawwuf dan thariqat adalah asy-Syaikh al-Imam al-`Alim al-Muhaddits Bahauddin Zakaria bin Muhammad bin 'Ali al-Qurasyi al-Asadi al-Multani (566 - 666H / 1170 - 1268M), tokoh Thariqat Suhrawardiyyah, ulama yang disepakati atas ketokohan dan kewaliannya. Setelah sekian lain, menjalani jalan thariqat dan tasawwuf, Syaikh Jalaluddin mendirikan Thariqah Jalaliyyah sebagai cabang daripada Thariqah Suhrawardiyyah. Beliau wafat sekitar tahun 690H atau 695H menurut sebahagian sejarawan dan dimakamkan di Uch, Punjab. Makamnya sehingga kini menjadi tempat para penziarah untuk mengalap berkat dan berdoa kepada Allah `azza wa jalla.

...Shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang disebut oleh Quthubul `Alam, Makhdum al-`Alamin, asy-Sayyid Jalalullah al-Bukhari qaddasaAllahu sirrahul `aziz dalam wirid - wiridnya. Beliau berkata tentang shalawat ini sebagai berikut: "Sesiapa yang bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan shalawat ini, maka seumpama dia berhaji ke Baitullah al-Haram, (mudah-mudahan) dituliskan pahala haji dalam buku amalannya. Sesiapa yang menulisnya (yakni sebagai azimat untuk bertabarruk mengambil keberkatan) dan membawanya, (mudah - mudahan) dia diberi keamanan oleh Allah ta`ala daripada segala bala bencana dunia dan akhirat, serta dikurniakan Allah ta`ala dia dapat berdamping dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di akhirat. Inilah shalawatnya:
- Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, al-`Araabiy;
- Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, al-Qurasyi;
- Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, al-Makkiy;
- Ash-shalatu was salamu`alaika ya Muhammad, Nabiyullah;
- Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, Rasulullah;
- Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, Habibullah;
- Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, Jaddul Hasani wal Husain;
- Ash-shalatu was salamu `alaika ya Aba Faathimataz Zahra`;
- Ash-shalatu was salamu `alaika ya Shahibal Mimbari wal Mi'raaj,
- Muhammad, Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Dalam
Jawahirul Khamsah, cetakan
Dar Al-Kotob Al-ilmiyah, Beirut (2023), shalawat ini dicatat pada halaman 56 dengan sedikit perbezaan, iaitu tiada lafaz
ash-shalatu wa sallamu `alaika, ya Muhammad, Rasulullah dan dengan adanya tambahan
..."ya Muhammad.".. sebelum lafaz
Aba Faathimataz Zahra`. Shalawat dan salam yang mudah dan ringan untuk diamalkan. Lakukan dengan ikhlas dan penuh mahabbah agar di akhirat tidak menyesal.
Mudah - mudahan bermanfaat dan menambah lagi loba untuk kita bershalawat ke atas Junjungan Nabi
shallaAllahu `alaihi wa sallam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan