Memaparkan catatan dengan label Fiqh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fiqh. Papar semua catatan

Selasa, Mac 03, 2026

Sunnatal Witri Rak`ataini

Melakukan Shalat Witir secara fashal (bercerai / berpisah) adalah afdhal dalam Mazhab Syafie daripada secara washal (bersambung). Telah menjadi amalan kita, Shalat Witir dimulai dengan melaksanakan 2 rakaat dengan satu salam, kemudian dilanjutkan dengan mendatangkan 1 rakaat lagi dengan salam yang lain untuk menyempurnakan 3 rakaat Shalat Witir yang merupakan sekurang - kurang sempurnanya Shalat Witir. Pada kebiasaannya, ketika mendirikan 2 rakaat permulaan tersebut, ianya diniatkan sebagai Sunnatal Witri dengan niat dan lafaznya seumpama: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini Lillahi ta`ala". Begitulah rupa niat dan lafaz yang diajar oleh kebanyakan guru - guru kita dan tercatat dalam berbagai karangan para ulama dan ustaz kita. Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah turut memasyhurkan niat sedemikian dalam Munyatul Mushalli, di mana dengan terang pada halaman 26, beliau menulis sebagai berikut:-......Demikian lafaz niatnya: "Ushalli Sunnatal Witri rak`aataini Lillahi ta'ala.".... Bukan hanya Mawlana Syaikh Daud yang mengajar niat sedemikian, tetapi ramai lagi ulama tanahair, antaranya Datu Surgi Mukti @ Mufti Syaikh Jamaluddin al-Banjari dalam Perukunan Jamaluddin, KH Fathullah Harun dalam Pedoman Ibadah Fardhu `Ain, Tuan Guru Haji Hasyim as-Sa`idi al-Malayuwi dalam Ma'khadzush Shibyan, Tuan Guru Haji Muhammad bin Utsman (Madrasah Faqiyyatud Daaimiyyah, Permatang Pauh) dalam Risalah al-Ma`unah, Syaikh Ali Balidram dalam Perhimpunan Ibadah, Pehin Ustaz Haji Zain bin Serudin dalam Zainuth Thalib dan ramai lagi.
Niat dan lafaz sedemikian pernah dipermasalahkan suatu ketika dahulu kerana dikatakan tiada kesesuaian antara kalimah witir yang ertinya ganjil, sedangkan rakaat yang didirikan genap, 2 rakaat. Sekarang, nampaknya isu ini ditimbulkan lagi, sehingga dinyatakan niat sedemikian tidak betul dan perlu diperbetulkan. Lebih parah lagi dalam zaman viral memviral ini, hal tersebut telah diviralkan dengan tagline yang digunakan adalah: "Betulkan yang biasa, biasakan yang betul". Sedangkan yang nak diperbetulkan itu memang dah betul. Kalaupun dikatakan silap, maka itu mungkin pada terjemahannya sahaja yang kurang memperhatikan kaedah dan uslub ilmu nahwu sharaf Bahasa Arab.

Faqir tidak menafikan adanya qawl mukhtar Imam an-Nawawi dalam persoalan ini sebagaimana tersebut dalam kitab Majmuk, di mana pilihan niat yang afdhal dan awla menurut Imam Nawawi adalah niat "rak`ataini minal Witri.". Pandangan Imam Nawawi dalam Majmuk ini disebut dalam dua tempat dengan istilah ash-shahih, manakala di temoat lain beliau mengatakan ianya sebagai al-mukhtar ( fa huwal mukhtar). Jika berkesempatan, faqir akan nukilkan pernyataan Imam Nawawi nanti dalam posting yang lain, kerana fokus posting ini adalah untuk berkaitan niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini" sahaja. In sya Allah, nanti faqir cuba datangkan rupa bentuk niat yang dipilih oleh Imam Nawawi tersebut.

Tidak dinafikan pandangan Imam Nawawi juga banyak disebut dan dianjurkan dalam kitab - kitab fiqh kita, faqir sendiri pun biasanya menggunakan: "Ushalli rak`ataini minal Witri". Namun, faqir nyatakan bahawa ini tidak bermakna niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini", itu salah atau kurang tepat. Juga faqir nyatakan bahawa pendapat Imam Nawawi itu adalah salah satu daripada dua pendapat yang menjadi pilihan ulama kita. Faqir menyatakan bahawa ash-shahih yang dikatakan oleh Imam Nawawi sebenarnya adalah al-mukhtar sebagaimana penjelasannya sendiri, menjadikan ianya salah satu daripada ikhtiyarat Imam Nawawi. Jadi tidaklah tepat jika ianya dikatakan qawl muktamad dalam mazhab, kerana qawl mukhtar Imam Nawawi tidak semestinya dianggap sebagai qawl muktamad dalam mazhab, melainkan qawl mukhtar yang beliau sebut dalam kitab Raudhatuth Thalibin. Maka, tidak pelik jika ada ulama belakangan yang tidak sependapat dengan Imam Nawawi dalam perkara ini dan memilih niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini" sebagai yang awla.

Sebahagian ulama mempunyai pandangan bahawa niat "Ushalli sunnatal Witri" untuk rakaat - rakaat genap yang dipisahkan dengan rakaat ganjil Shalat Witir, adalah lebih utama (awla). Imam asy-Syarqawi dalam Hasyiah asy-Syarqawi `ala Syarhit Tahrir. Pada halaman 298, juz 1, menyatakan seperti berikut:- Dan jika dipisahkan rakaat - rakaat sebelum diakhiri dengan rakaat ganjil, seumpama dilakukannya dengan satu salam setiap dua rakaat, di mana setiap takbiratul ihramnya memisahkan rakaat - rakaat sebelum rakaat terakhir yang ganjil, maka itulah yang dinamakan perlaksanaan Shalat Witir secara fashal (berpisah - pisah yang afdhal menurut Mazhab Syafie berbandingkan melakukannya secara washal bersambung terus bilangan yang genap dengan yang ganjil seperti dilakukan 3 rakaat sekaligus). Niat yang diucapkan untuk rakaat terakhir yang ganjil (rakaat witir seperti 1 rakaat) adalah niat minal Witri (seperti diucapkan: "Ushalli minal Witri rak`atan" - Aku sembahyang daripada Shalat Witir satu rakaat) kerana rakaat tersebut adalah secara hakikatnya sebahagian daripada rakaat Shalat Witir (kerana bilangannya memang ganjil) atau diniatkan al-Witr (seperti : "Ushalliyal Witra rak`atan" - Aku sembahyang Witir satu rakaat). Dan diberi pilihan untuk memilih niat bagi rakaat - rakaat genap sebelum yang terakhir (yakni sebelum rakaat ganjil) di antara yang berikut: (1) niat shalatul lail (seumpama: "Ushalli Shalatal Lail rak`ataini" - Aku sembahyang malam dua rakaat); (2) niat muqaddimatul witri (seumpama: "Ushalli Muqaddimatal Witri rak`ataini" (Aku sembahyang pembukaan witir dua rakaat); (3) niat sunnatnya (yakni sunnatul witri) (seumpama: "ushalli Sunnatal Witri rak`ataini" - Aku sembahyang sunnat yang disandarkan kepada Witir dua rakaat) atas kaedah al-idhafah al-bayaniyyah dan inilah yang awla; (4) diniatkan dua rakaat daripada witir (seumpama: "Ushalli rak`ataini minal Witri" - Aku sembahyang dua rakaat daripada Witir) (yang menjadi pilihan Imam an-Nawawi). Tidak sah jika dinuatkan dengan al-Witr semata - mata (seumpama: "Ushalliyal Witra rak`ataini" - Aku sembahyang Witir dua rakaat) kerana dua rakaat itu genap manakala al-Witr itu ertinya ganjil....... Maka, yang jadi masalah adalah niat: "aku sembahyang witir dua rakaat" tanpa dimasukkan kalimah sunnat sehingga untuk menjadikan dua kalimah tersebut sebagai mudhaf - mudhaf ilaih. Niat ini yang dihukumkan oleh kebanyakan ulama kita sebagai salah dan membawa kepada tidak sah.

Penjelasan yang serupa dapat kita lihat dalam Hasyiah Tohfah bagi Syaikh Abdul Hamid asy-Syarwani, jilid 2, halaman 11. Maka lafaz niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini Lillahi ta`ala", yang biasa diamal orang kita tidaklah salah atau kurang tepat, ianya betul, benar dan tepat, bahkan di sisi sebahagian ulama adalah niat yang paling awla ( afdhal / utama). Cuma yang tersilap apabila terjemahannya dilakukan secara harfiah (literal),difahami secara harfiah, tanpa mengambilkira kaedah dan uslub nahwu sharaf yang benar. Misalnya, kerap kali ianya diterjemah sebagai: Sahaja aku sembahyang Sunnat Witir dua rakaat yang walaupun tidak salah tetapi membawa kepada kekeliruan sehingga menimbulkan kesalahfahaman seperti yang diviralkan. Sebenarnya untuk lebih jelas, lafaz tersebut boleh dimaknai sebagai berikut: Aku sembahyang sunnat yang disandarkan / dihubungkan/ dikaitkan dengan Shalat Witir, dua rakaatdengan mengambilkira idhafah bayaniyyah, di mana kalimah sunnatan sebagai mudhaf dan kalimah al-Witr sebagai mudhaf ilaih, yang memberikan penjelasan (bayan) bahawa dua rakaat tersebut adalah rakaat genap yang berkait atau berhubung atau bergantung dengan Shalat Witir, yakni sebahagian daripada Shalat Witir yang ganjil dan bukannya dua rakaat itulah Witir atau Shalat Witir.

Jadi kesimpulannya, di sini ada dua pandangan ulama kita mengenai cara niat yang utama dan afdhal. Yang pertama, diniatkan rak`ataini minal Witri yang dipilih oleh Imam Nawawi dan diikuti oleh ramai ulama. Yang kedua, diniatkan Sunnatul Witri yang menjadi pilihan sebahagian ulama lain dan masyhur di rantau kita. Semoga bermanfaat dan faqir akhiri dengan mendatangkan contoh niat Sunnatul Witri yang tersebut dalam karya - karya ulama kita di Nusantara. 

1.    Perukunan Jamaluddin (Mufti Jamaluddin Banjar)


2.    Panduan Ibadah Fardhu `Ain (KH Fathullah Harun)

3.    Ushul `Ibadah ( Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Aziz)

4.    Risalah al-Ma`unah (Ustaz Haji Muhammad)

5.    Perhimpunan `Ibadah (Syaikh Ali Balidram)

6.    Ma'khadzush Shibyan (TG Haji Hasyim as-Sa`idi)

7.    Zainuth Thalib (Pehin Hj Muhammad Zain)

8.    Kifayatul Mubtadi (Haji Ismail bin al-Marhum Mahmud)

9.    Idaman Penuntut (Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya)

10.    Amal Bekalan Ke Negeri Berkekalan 
(Ustaz Haji Daud bin Haji Junaid)

Rabu, November 26, 2025

Bujairimi & Hasyiah Bujairimi

Syaikh Sulaiman bin Muhammad bin `Umar al-Bujairimi rahimahullah adalah salah seorang ulama kenamaan dalam Mazhab Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 1131H di Bujairim, sebuah desa di barat Mesir dan wafat pada tahun 1221H. Sejak kecil beliau telah dihantar ke Kaherah untuk menuntut ilmu di al-Azhar asy-Syarif. Beliau terkenal sebagai seorang faqih dan muhaddits dan disematkan kepadanya gelar "Khatimatul Muhaqqiqin".

Di rantau kita, mungkin karya Syaikh Sulaiman al-Bujairimi yang paling masyhur adalah hasyiah beliau atas kitab al-Iqna` karangan Syaikh Khathib asy-Syarbini rahimahullah. Hasyiah tersebut diberi jodol Bujairimi alal Khathib atau Tuhfatul Habib `ala Syarhil Khathib. Kitab al-Iqna` pula adalah syarah bagi kitab at-Taqrib atau Ghayatul Ikhtishar atau lebih dikenali sebagai Matan Abi Syuja` karangan al-Imam al-Qadhi Abu Syuja` al-Ashfahani rahimahullah. Mengikut tradisi pengajian sesetengah pondok dan sebahagian ulama, bila disebut "Bujairimi" atau "Bujairimi `alal Khathib", maka yang dimaksudkan adalah kitab ini, yang merupakan hasyiah bagi Iqna`.

Selain, Bujairimi `alal Khatib, Syaikh Sulaiman al-Bujairimi juga memiliki karya lain yang menghasyiahkan kitab Fathul Wahhab karangan Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari rahimahullah. Kitab ini dinamakan Hasyiah al-Bujairimi `ala Syarhi Manhajith Thullab atau at-Tajrid Linaf`il Abid. Manhajuth Thullab itu adalah karya Syaikhul Islam Zakaria juga dan karya ini beliau syarahkan pula menjadi kitab Fathul Wahhab. Kebiasaannya, jika disebut "Hasyiah Bujairimi", maka yang dimaksudkan adalah hasyiah al-Bujairimi bagi Fathul Wahhab.

Faqir catatkan hal ini di sini sebagai kenangan ketika mengaji dahulu dan juga kerana telah berlaku kekeliruan ketika ada yang merujukkan faqir kepada Bujairimi sedangkan yang dimaksudkan adalah Hasyiah Bujairimi. Untuk mengelak berlaku kekeliruan lagi, maka kebiasaanya Bujairimi atau Bujairimi alal Khathib  itu merujuk kepada Tuhfatul Habib `ala Syarhil Khathib yang merupakan hasyiah bagi kitab Iqna` karya Syaikh Khathib asy-Syarbini, manakala Hasyiah Bujairimi merujuk kepada at-Tajrid Linaf`il `Abid yang merupakan hasyiah bagi Fathul Wahhab karya Syaikhul Islam Zakaria. Begitulah sekadar untuk ingatan dan rujukan para penuntut ilmu.

Sabtu, Oktober 18, 2025

Hukum Melafaz Niat Shalat - Fiqh Madzahib

Kitab al-Fiqh `ala Madzahibil Arba`ah bukanlah kitab yang asing bagi penuntut ilmu. Sebelum tertulisnya kitab - kitab fiqh perbandingan mazhab (fiqh muqarran) kontemporer seperti Fiqhul Islamiy wa Adillatuh oleh almarhum Syaikh Wahbah az-Zuhayli atau kitab al-Mufashshal fil Ahkamil Mar-ah wa Baitil Muslim oleh almarhum Syaikh Abdul Karim Zaidan, inilah rujukan dan teks yang biasa digunakan untuk fiqh perbandingan mazhab, hingga kini tetap jadi rujukan dan panduan fiqh muqarran. Tentulah ini selain dari karya - karya klasik seperti Bidayatul Mujtahid karya Imam Ibnu Rusyd, Majmu` karya Imam Nawawi dan Rahmatul Ummah karya Imam al-Qadhi Muhammad bin `Abdul Rahman ash-Shafadi asy-Syafie @ Qadhi ash-Shafadi.

Penulis kitab ini adalah seorang ulama besar didikan al-Azhar asy-Syarif, Syaikh Abdul Rahman bin Muhammad `Awadh al-Juzairi @ al-Jaziri rahimahullah. Beliau dilahirkan di Pulau Syandawil, Mesir, sekitar tahun 1882M / 1299H. Mengikuti pengajian di Universiti al-Azhar pada 1896 - 1909, selanjutnya menjadi tenaga pengajar di sana. Beliau merupakan anggota Haiah Kibar Ulama al-Azhar sehingga beliau wafat di Hulwan pada tahun 1941M / 1360H. Kitab al-Fiqh `ala Madzahibil Arba`ah adalah kitab beliau yang paling masyhur, selain daripada kitab tersebut, beliau juga ada menulis beberapa kitab lain, antaranya: Tawdhihul `Aqaaid, Adillatul Yaqin dan al-Akhlaq ad-Diniyyah wal Hikam asy-Syar`iyyah. Mudah - mudahan Allah membalas segala amal baik almarhum Syaikh `Abdur Rahman al-Juzairi dengan sebesar - besar ganjaran pahala yang memenuhi mizan dan menjadi sebab beliau dimasukkan ke Daril Qarar bi jiwarin Nabiyyil Mukhtar `alaihi afdhalush shalati was salam.

Tentang hukum melafazkan niat sembahyang sebelum takbiratul ihram, maka pada juz 1, halaman 205, kitab tersebut, almarhum Syaikh `Abdul Rahman menjelaskan bahawa hukum melafazkan niat sembahyang seperti dikatakan oleh seseorang yang hendak sembahyang: "ushalli fardhazh Zhohri (Aku shalat fardhu Zohor)", hukumnya adalah disunnatkan (yusannu) menurut yang disepakati oleh para ulama Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali. Ini adalah kerana melafazkan niat di lidah, walaupun tidak dianggap sebagai niat, adalah dianggap sebagai peringatan (tanbihan) dan pembantu (musa`id) bagi hati untuk menghadirkan niat. Manakala ulama Mazhab Maliki dan sebahagian ulama Mazhab Hanafi, melafazkan niat dengan lidah tidak disyariatkan dan termasuk perbuatan yang khilaful awla untuk dilakukan, kecuali bagi orang yang diserang was-was ketika berniat. Bagi orang yang was - was, hukum melafazkan niat adalah mandub. Pandangan majoriti ulama Mazhab Hanafi pula adalah melafazkan niat shalat di lidah adalah perbuatan bid`ah, namun baik atau bagus (mustahsan) untuk dilakukan bagi menolak was - was. Jelaslah bahawa keempat - empat mazhab, tidak mempermasalahkan talaffuz bin niyyah. Pandangan yang paling keras pun, ianya bid`ah atau tidak disyariatkan, di sisi Maliki, namun jika dilakukan tanpa sebarang keperluan, hanya dianggap sebagai khilaful awla. Namun jika ada keperluan seperti untuk mencegah atau menolak timbulnya was - was, maka hukumnya berubah menjadi mandub. Tidaklah difatwakan dalam Mazhab Maliki dan Mazhab Hanafi yang ianya bid`ah dan setiap bid`ah itu sesat masuk neraka. 

Pandangan jumhur ulama Hanafi, walaupun dinyatakan perbuatan melafazkan niat sebagai bid`ah, namun hukumnya mustahsan (elok dan baik) untuk dilakukan kerana boleh mencegah was - was ketika berniat dalam hati. Maka tidaklah pelik jika dalam buku - buku panduan shalat di kalangan pengikut Mazhab Hanafi, turut memuatkan lafaz - lafaz niat shalat sebagaimana lazim dalam buku - buku pedoman shalat di tempat kita. Contohnya buku Kitab ash-Shalah terbitan Ihlas Vakfi, Istanbul, Turkiye, disenaraikan lafaz - lafaz niat bagi pelbagai shalat termasuk shalat fardhu, antaranya seperti lafaz niat Shalat Maghrib yang sebagai berikut: "Nawaitu an ushalliya lillahi ta`ala tsalatsa raka`atin fardha Shalatil Maghrib ada-an muqtadiyan bil imamil hadhir," (Aku berniat shalat kerana Allah ta`ala 3 rakaat shalat fardhu Maghrib tunai mengikut imam yang ada). Ketika mengaji dulu, faqir ramai juga kenalan dari Pakistan yang bermazhab Hanafi dan di antara mereka ada yang melafazkan niat shalat sebelum takbiratul ihram dalam bahasa Urdu. 

Selanjutnya, dalam kitab - kitab muktabar Mazhab Hanbali, samada secara langsung maupun tidak, turut memperakui penyataan yang tercatat dalam al-Fiqh `ala Madzahibil Arba`ah. Antaranya apa yang tercatat dalam kitab al-Mughni karya Syaikhul Islam, Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali yang wafat tahun 620H, merupakan panutan dan rujukan dalam Mazhab Hanbali. Dalam juz pertama, halaman 509, beliau rahimahullah menulis sebagai berikut: .....dan makna "niat" adalah "qashad" yang tempatnya di hati dan jika dilafazkan apa yang dia niatkan maka jadilah lafaz itu sebagai pemantap/ penguat / pengukuh (ta'kidan).... Jadi, jelas dinyatakan bahawa melafazkan niat tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan yang membawa ke neraka, bahkan sebaliknya, ia dianggap sebagai perbuatan yang menguatkan atau memantapkan keberadaan niat dalam hati.

Juga dalam kitab Mathlab Ulin Nuha karangan al-Faqih al-`Allaamah asy-Syaikh Musthafa as-Suyuthi (1765 - 1827M / 1165 - 1243H), faqih Hanbali dan mufti Hanabilah di Dimasyq (Damsyik), pada juz pertama, halaman 395, dinyatakan dengan jelas seperti berikut:- .....(dan tempatnya) iaitu tempat niat: (hati) secara wajib dan mustahab dilafazkan dengan lidah...Maka, jelas hukum melafazkan niat di lidah itu mustahab yang sinonim dengan sunat, dibuat berpahala ditinggal tidak berdosa, maka eloklah dibuat.

Sewajarnya sekarang, sudah kurun ke-21M, tidak perlu lagi pertikaian mengenai talaffuz bin niyyah ini diperdebatkan untuk memenangkan pendapat yang jadi pilihan. Apatah lagi di hadapan orang - orang awam. Sesiapa yang melakukannya tidaklah bermasalah di sisi jumhur ulama dari keempat - empat mazhab, jika pun tidak semua. Kedudukan dalam Mazhab Syafie adalah jelas bahawa ianya sunat untuk dilakukan. Sebagai penutup, faqir ingin menyatakan bahawa ungkapan yang dirangkai sebagai lafaz niat seumpama: "nawaitu ushalli fardhash Shubhi rak`ataini ada-an mustaqbilal qiblati lillahi ta`ala", yang dilakukan di luar sembahyang, adalah termasuk kata - kata luhur kerana ianya adalah pernyataan yang kita hendak menjunjung perintah Allah mendirikan ibadah agung yang diperintahkan ketika Mi'raj. Apakah tidak ucapan tersebut akan dicatat oleh Kiraman Katibin dalam buku catatan amal kita? Tidakkah Allah firman dalam Surah Qaaf Ayat 18, yang mafhumnya: "Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya Malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan mencatatnya)." Kira - kira lafaz ushalli tadi, dicatat juga atau tidak? Jika dicatat, siapa yang mencatatnya? Malaikat belah kanan atau malaikat belah kiri, Raqib atau `Atid? Adakah kata - kata tersebut dinilai sebagai perkataan yang baik atau perkataan yang buruk seumpama sumpah seranah, caci maki, tohmah dan buhtan? Renung - renungkanlah.

Selasa, Jun 10, 2025

Hadiah Pahala - Fatwa al-`Asqalani

Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah, ulama pakar hadis terkemuka yang antara gelarannya Khaatimatul Huffaz. Beliau lebih terkenal dalam ilmu hadis berbanding bidang lain kerana itu yang menjadi pengkhususan dan kepakaran beliau. Namun, tidak bererti beliau tidak menguasai ilmu - ilmu seperti fiqh dan sebagainya. Sepanjang hayatnya, masyarakat sering merujuk dan bertanya kepada beliau mengenai berbagai persoalan dan permasalahan untuk beliau berikan jawapan dan panduan. Jawapan beliau terhadap permasalahan yang diajukan tersebut telah beliau catat dan kemudiannya dihimpun serta diterbitkan oleh orang yang datang kemudian dengan jodol Fatawa al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalaani.

Soalan berikut pernah diajukan kepada beliau: " Apakah dihadiahkan bagi simati pahala dari shalat atau sedekah atau bacaan al-Quran dan sebagainya daripada pelbagai jenis amal kebajikan, akan diketahui olehnya dan dicatat ganjaran pahalanya dalam sahifahnya (buku catatan amalannya)? Imam  Ibnu Hajar menjawab:- Ganjaran sedekah sampai kepada simati dan adapun ganjaran shalat dan puasa untuknya tidak sampai. Ya, ada riwayat yang tsabit bahawa disyariatkan untuk berpuasa sebagai mengqadha puasa yang wajib diqadha oleh simati ketika dia hidup. Maka dipuasakanlah baginya oleh keluarganya sendiri atau disuruh orang lain berpuasa untuknya atau diupah orang untuk melakukannya sebagaimana dalam masalah haji (yakni badal haji / upah haji orang mati). Adapun pahala pembacaan al-Quran, maka padanya ikhtilaf yang masyhur. Pembacaan al-Quran ke atas orang mati telah menjadi amalan biasa di seluruh kota / negeri dan tidak ada keraguan amalan tersebut menghasilkan keberkatan bagi simati.......

Maka amalan menghadiahkan bacaan - bacaan kepada arwah, yang di tempat kita lazim dikenali sebagai "tahlil" atau "tahlilan", bukanlah hanya diamalkan di tempat kita sahaja sebagaimana yang didakyahkan oleh segelintir Wahaboy. Amalan menghadiahkan pahala bacaan ini telah diamalkan oleh seluruh umat di segenap tempat, timur dan barat, utara dan selatan. Yang berbeza hanyalah pada tatacara, panjang pendek, susun atur bacaan semata-mata. Jadi mengatakan hanya kita di Nusantara sahaja yang melakukan amalan menghadiahkan pahala bacaan kepada simati adalah satu tohmahan yang dangkal. Menarik juga untuk diberikan perhatian bahawa ulama sekaliber Imam Ibnu Hajar rahimahullah menegaskan bahawa amalan tersebut mendatangkan keberkatan kepada simati. Makanya teruskanlah amalan tahlilan kalian.

Ustaz Nur Salikin


Isnin, Mac 24, 2025

Shalawat Tarawih

Kebiasaan dalam masyarakat Islam Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang bermazhab di berbagai pelosok dunia, bukan hanya rantau Nusantara, juga di Timur Tengah, selepas selesai salam antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih dibacakan zikir, tasbih, shalawat dan doa. Ini dilakukan sebagai pemisah bagi setiap 2 rakaat dan juga untuk berehat sebentar sebelum melanjutkan Shalat Tarawih. Amalan sebegini dianggap baik oleh majoriti ulama dan dianggap sebagai sunat walaupun  bukan sunnah yang makhshushah yakni sunnah yang khas atau tertentu bagi Shalat Tarawih. Berzikir dan bershalawat adalah sesuatu yang dianjurkan dalam berbagai nas syarak, samada secara khusus dan juga secara umum, yang sekali - kali tidak dapat dikatakan sebagai amalan "bid`ah" pada syarak (bid`ah syar`iyyah) kerana ia punya dasar dari sumber hukum syarak. Jika pun dihukumkan bid`ah maka ianya hanyalah bid`ah dari sudut bahasa (bid`ah lughawiyyah) sahaja. Fahamilah bahawa yang dikatakan bid`ah itu adalah sesuatu yang langsung tidak ada contoh atau dalil dari sumber - sumber hukum syarak, termasuklah yang bersifat umum. Ingat juga bahawa sumber - sumber (mashadir) hukum syarak itu yang disepakati ulama adalah Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas, manakala beberapa banyak lagi sumber yang diperselisihkan seperti Istishab, Istihsan, Mashalih Mursalah dan sebagainya. Jika ada dalil atau contoh daripada sunnah atau mana - mana sumber hukum syarak, walaupun dalil umum, maka tidaklah dapat dikatakan sesuatu amalan itu sebagai bid`ah yang menyalahi syarak.

Secara umum, kita dianjurkan berzikir dan bershalawat secara mutlak, pada setiap masa dan ketika, termasuklah ketika senggang antara Shalat Tarawih, TAPI dengan catatan asalkan tidak dikaitkan zikir dan shalawat tersebut sebagai sunnah yang tertentu bagi Shalat Tarawih, sehingga dirasakan tidak sempurna atau tidak sah Shalat Tarawih tanpa berzikir dan bershalawat seperti itu. Jika ada anggapan sedemikian, maka perbuatan yang berdasarkan kepada anggapan inilah yang dihukumkan sebagai perbuatan bid`ah yang ditegah, sebagaimana yang tercatat dalam fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, jilid 1, halaman 186 - 187. Namun, jika tidak beranggapan sedemikian, maka boleh - boleh saja untuk kita berzikir dan bershalawat bila - bila masa termasuklah ketika lepak antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih

Khatimatul Muhaqqiqin, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah ketika ditanya samada bershalawat di sela - sela Shalat Tarawih itu disunatkan sebagai satu sunnah makhshushah bagi Shalat Tarawih atau adakah ia perbuatan bid`ah yang ditegah? Beliau menyatakan, antara lain sebagai berikut: ....Bershalawat di tempat ini (yakni di sela - sela Shalat Tarawih) secara khusus sebagai sunnah yang tertentu (sunnah makhshushah) bagi Shalat Tarawih, tidaklah kami melihat ada nasnya dalam sunnah dan tidak ada juga daripada perkataan ulama kita yang menghukumkan sedemikian. Maka ianya adalah satu perbuatan bid`ah yang ditegah bagi sesiapa yang melakukannya dengan qashad bahawa ianya adalah satu sunnah makhshushah ketika itu (yakni dia beranggapan bahawa bershalawat ketika itu adalah sunnah yang warid untuk dilakukan antara sela - sela Shalat Tarawih), namun tiada tegahan untuk melakukannya bagi sesiapa yang melakukannya tanpa qashad sedemikian, seperti qashadnya bershalawat ketika itu kerana ada anjuran umum untuk bershalawat pada setiap waktu. Bahkan sebenarnya warid beberapa hadis yang walaupun tidak cukup untuk dijadikan dalil bahawa bershalawat di sela - sela Shalat Tarawih itu sebagai sunnah tertentu baginya, tetapi setidak - tidaknya menyokong ketentuan sunnah bershalawat di sela - sela shalat malam (dan Shalat Tarawih itu termasuk dalam kategori shalat malam)  .... (di sini Imam Ibnu Hajar mendatangkan beberapa hadis mengenai perkara ini) ..... Selanjutnya satu lagi yang boleh menjadi bukti bahawa sunat bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di sela - sela Shalat Tarawih adalah berdoa selepas salam setiap shalat adalah sunat (yang disunnahkan) dan telah sabit bahawa seseorang ketika berdoa disunatkan untuk bershalawat di permulaan, pertengahan dan akhir doanya. Para ulama telah sepakat (ijmak) tentang kesunnahan sunat memulai dan mengakhiri doa dengan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ......(di sini Imam Ibnu Hajar mendatangkan beberapa hadis mengenai hal tersebut).... 

Maka jelaslah bahawa fatwa bershalawat antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih  sebagai "bid`ah yang ditegah" bukanlah mutlak, tetapi ianya tertentu dan ditujukan hanya kepada sesiapa yang beranggapan ianya satu sunnah makhshushah yang sabit dengan Shalat Tarawih, sedangkan bagi sesiapa yang tidak beranggapan sedemikian, maka tidaklah ditegah melakukannya, kerana semata - mata bershalawat adalah dianjurkan secara umum pada setiap masa, tanpa perlu dikaitkan dengan Shalat Tarawih. Dengan catatan juga bahawa menurut sunnah adalah sunat hukumnya untuk berdoa selepas setiap shalat, samada shalat fardhu atau shalat sunat, dan ketika berdoa itu sunat dimula dan ditutup dengan shalawat. Maka bershalawat ketika itu (yakni di senggang Shalat Tarawih sebelum berdoa) bolehlah dianggap sebagai sunat yang disunnahkan dalam berdoa. walaupun  bukan sunnah bagi Shalat Tarawih

Untuk menambah rujukan, faqir kongsikan, juga dengan niat mengambil berkat dengan karya dan ilmunya ulama, nukilan mengenai hal ini daripada kitab Tansyithul Muthaali`in karangan al-`Alim al-`Allaamah al-Mawlawi `Ali bin Syaikh Abdur Rahman an-Naqsyabandi at-Tanuuri (w.1347H). Pada halaman 81 dinyatakan sebagai berikut:- (Far`un) dalam al-Fatawa az-Zabidiyyah, persoalan yang ke-16: "Adakah mustahab atau tidak untuk bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas salam antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih?" Jawapannya: "Aku belum melihat seorang ulama pun yang menjelaskan secara khusus bahawa hukum bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam antara salam rakaat - rakaat Tarawih sebagai  mustahab. Akan tetapi, yang aku fahami daripada umum perkataan para ulama kita (al-ashhab) bahawasanya berdoa selepas setiap shalat adalah mustahab hukumnya, di mana yang dikehendaki dengan kalimah "selepas setiap shalat" adalah "selepas salam daripadanya". Para ulama kita juga telah menjelaskan bahawa adalah mustahab untuk memulakan doa dengan tahmid dan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta menutup doa juga dengannya. Maka bershalawat ketika itu (yakni di antara rakaat - rakaat Tarawih tadi) adalah mustahab dalam rangka memulai dan mengakhiri doa, wa Allahu ` azza wa jalla a'lam. Kataku (yakni Mawlawi Ali): Atau (shalawat adalah) diri doa itu sendiri kerana shalawat pada dirinya adalah satu doa, wa Allahu a'lam.

Apa yang dinukil dalam Tansyitul Muthalli`in itu boleh juga kita lihat dalam kitab Ghayatu Talkhisil Muraad min Fatawa Ibn Ziyad yang dihimpun oleh Habib Abdur Rahman al-Masyhur daripada fatwa - fatwa Imam Ibnu Ziyad al-Yamani, tercatat di pinggir  Bughyatul Mustarsyidin. Pada halaman 94, dinyatakan sebagai berikut:- [Masalah] tiada seorang ulama kita pun yang dengan jelas menghukumkan mustahab untuk bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di antara salam rakaat - rakaat Shalat Tarawih (yakni sebagai sunnah makhshushah bagi Shalat Tarawih), akan tetapi apa yang difahami daripada perkataan mereka secara umum adalah mustahab untuk berdoa selepas setiap shalat, yakni selepas salam shalat tersebut, dan para ulama juga menghukumkan mustahab untuk membuka dan menutup doa dengan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa 'ala alihi wa ashhabihi wa sallam. Maka dihukumkan mustahab bershalawat ketika itu (yakni antara rakaat - rakaat Tarawih) dalam rangka berdoa.

Begitulah sedikit pandangan ulama mengenai bershalawat di sela - sela Shalat Tarawih. Yang melakukannya tidak dicela dan yang meninggalkannya tidaklah dicemuh. Yang melakukannya dapat pahala bershalawat dan yang meninggalkannya tidaklah berdosa. Yang terpenting, beramal mencari redha Ilahi dan jauhilah segala perbalahan yang tidak membawa apa - apa erti, selain permusuhan dan putus silatur rahim. Allahumma shalli `ala Sayyidina wa Mawlana Muhammad.

******************************

Jumaat, Mac 14, 2025

Ngulang Qulhu - I`aanah & Raudh

Lanjutan dari entri terdahulu berkaitan pernyataan dalam Fathul Mu`in bahawa mengulang Surah al-Ikhlas tiga (3) kali dalam rakaat kedua Sembahyang Tarawih sebagai bid`ah ghairu hasanah. Faqir telah merujuk kepada dua lagi hasyiah untuk Fathul Mu`in yang ditulis oleh ulama Malibar, iaitu Fathul Mulhim dan Tansyithul Muthaali`in, dengan harapan memperolehi sumber teks fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah yang menghukumkan pengulangan Surah al-Ikhlas sebanyak tiga (3) kali dalam rakaat kedua Shalat Tarawih sebagai bid`ah ghairu hasanah sebagaimana yang dakwaan pengarang Fathul Mu`in, Syaikh Zainuddin rahimahullah.  Namun, kedua - dua sumber tersebut, Fathul Mulhim pada halaman 216 dan Tansyithul Muthaali`in pada halaman 81, hanya memberikan rujukan "fatwa guru kami tersebut (yakni fatwa Ibnu Hajar" @ fatwa bid`ah ghair hasanah kepada kitab al-Ajwibatul `Ajibah, sebuah kitab yang juga dinisbahkan sebagai karya Syaikh Zainuddin al-Malibari juga. Tidak ada rujukan kepada kitab atau fatwa Imam Ibnu Hajar sendiri. Jadi sumbernya masih bermuarakan dakwaan Syaikh Zainuddin tadi.

Menelusuri kitab al-Ajwibatul `Ajibah, pernyataan yang serupa ditemui pada Soalan ke-65 pada halaman 122. Soalan ke-65 tersebut berkisar kepada hukum mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas tiga kali pada setiap rakaat akhir (rakaat kedua) daripada rakaat - rakaat Shalat Tarawih, setelah di rakaat pertamanya dibacakan surah - surah lain yang pendek, samada ianya bid`ah hasanah atau madzmumah? Untuk soalan inilah, Syaikh Zainuddin menyatakan "jawapan" gurunya Imam Ibnu Hajar rahimahullah bahawa perbuatan tersebut sebagai bid`ah ghairu hasanah kerana menyalahi sunnah. Namun, tidak ada rujukan di mana atau dalam kitab apa Imam Ibnu Hajar al-Haitami menjawab atau memfatwakan sedemikian, sedangkan perbuatan dan amalan tersebut sudah diamalkan dalam masyarakat oleh sebahagian sehingga timbul pertanyaan mengenainya dan telah nyata fatwa Imam Ibnu Hajar mengenainya dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah.

Jika apa yang didakwa oleh Syaikh Zainuddin tersebut benar, maka ada percanggahan dalam jawapan Imam Ibnu Hajar tersebut dengan apa yang difatwakan beliau dalam  al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah yang dengan jelas dan nyata menghukumkan perbuatan mengulang Surah al-Ikhlas atau mana - mana surah dalam setiap rakaat atau mana - mana rakaat Shalat Tarawih sebagai tidak sunnah namun tidak juga dihukumkan makruh, apatah lagi jika nak dihukumkan sebagai bid`ah ghairu hasanah atau bid`ah makruhah atau bid`ah madzmumah. Di mana status perbuatan sedemikian hanyalah berkisar kepada awla atau khilaful awla, afdhal atau khilaful afdhal semata. Kita, atas dasar hormat takzim kepada Syaikh Zainuddin, tidak menafikan kemungkinan jawapan / fatwa tersebut berasal daripada Imam Ibnu Hajar. Mungkin ditanya dan didengar sendiri secara pribadi oleh Syaikh Zainuddin selaku murid Ibnu Hajar terus kepada beliau, di mana jawapan atau fatwa tersebut yang tidak tercatat dalam mana - mana fatwa dan kitab - kitab yang dikarang sendiri oleh Imam Ibnu Hajar. Namun, jika begitu kedudukannya, tetap sahaja bahawa "fatwa bid`ah ghair hasanah" tersebut tidak boleh dikatakan sebagai satu - satunya pandangan atau pendapat atau fatwa para ulama Syafi`iyyah dalam persoalan ini, termasuklah Imam Ibnu Hajar. Buktinya jika kita terima bahawa jawapan / fatwa tersebut memang daripada Imam Ibnu Hajar, maka nyatalah yang beliau mempunyai dua pandangan berbeza dalam masalah ini. Dalam persoalan ini, jelas bahawa tidak semua ulama bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh Syaikh Zainuddin bahawa perbuatan tersebut sebagai bid`ah ghairu hasanah dan menyandarkannya kepada "fatwa" Imam Ibnu Hajar. Sidi Abu Bakar al-Bakri Syatha ad-Dimyathi rahimahullah, mufti dan ulama besar di Kota Mekah, yang menjadi sanadnya para ulama sedunia termasuklah guru - guru kita, para ulama Nusantara, pengarang hasyiah Fathul Mu`in yang paling masyhur dan rujukan utama, adalah antara yang menyanggahi pendapat tersebut serta meragui ianya sebagai fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami.

Sidi Bakri Syatha ad-Dimyathi dalam karya monumentalnya I`aanatuth Thaalibin, jilid 1, membahaskan perkara ini pada halaman 307 - 308, di mana beliau setelah menukil fatwa Imam Ibnu Hajar dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah secara verbatim, memberi komentar beliau, antaranya sebagai berikut:- ....Apabila diteliti ibarat yang terkandung dalam fatwa Imam Ibnu Hajar tadi (yakni fatwa beliau yang termaktub dalam al-Fatawa al-Kubra), maka kita mendapati tidak ada satu perkataan pun dalam fatwa itu yang menyebut pengulangan hanya pada rakaat - rakaat akhir (rakaat - rakaat kedua) Sembahyang Tarawih sahaja (yakni dalam fatwa tersebut disebut mana - mana rakaat), tidak juga disebut ianya tertentu untuk pengulangan Surah al-Ikhlas sahaja (yakni dalam fatwa disebut pengulangan Surah al-Ikhlas atau mana - mana surah lain) dan tidak ada juga disebut perbuatan itu sebagai bid`ah ghairu hasanah. Apa yang dinyatakan dalam fatwa tersebut adalah membaca (keseluruhan) al-Quran sepanjang bulan tersebut (yakni dalam Shalat Tarawih sepanjang Ramadhan) adalah awla dan afdhal; Dan mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas atau lain - lain surah dalam apa - apa rakaat (Shalat Tarawih) hanya khilaful awla, bukan sunnah dan bukan makruhMelainkan jika dikatakan bahawa fatwa "bid`ah ghairu hasanah" tersebut adalah fatwa Ibnu Hajar yang tidak terkandung dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah. Akan tetapi ibarat nas dari kitab al-Raudh adalah jelas sebagaimana yang difatwakan oleh Imam Ibnu Hajar dalam al-Fatawa (yakni ibarat fatwa Ibnu Hajar dalam al-Fatawa al-Kubra adalah selari dengan nas kitab ar-Raudh), bahkan (nas ar-Raudh) lebih spesifik merujuk langsung kepada pengulangan Surah al-Ikhlas. Nasnya (yakni ibarat kitab ar-Raudh) menyatakan: " Mendirikannya (yakni Shalat Tarawih) dengan membaca al-Quran sehingga selesai sepanjang bulan tersebut adalah afdhal daripada hanya mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas." Sedemikian jugalah ibarat yang tercatat dalam an-Nihayah (karya Imam ar-Ramli) dan al-Mughni (karya Imam al-Khatib).

Kesimpulan yang jelas daripada segala pandangan para ulama tersebut, bahawa yang warid (yakni daripada sunnah) adalah membaca keseluruhan al-Quran dengan pembahagian juz - juz yang termaklum adalah awla dan afdhal (yakni setiap rakaat Tarawih dibacakan juz atau sebahagiannya sehingga dapat dikhatamkan sekalian al-Quran di akhir Ramadhan). Melakukan Tarawih dengan cara selain itu, seperti dengan membaca Surah al-Ikhlas atau lain - lain surah dalam setiap rakaat atau sebahagian rakaatnya, samada rakaat pertama atau rakaat kedua, samada diulang tiga (3) kali atau tidak, adalah khilaful awla dan (khilaful) afdhal. Maka apa yang dibiasakan oleh penduduk Mekah yang melakukan Tarawih dengan membaca "Qul Huwa Allahu Ahad" pada rakaat kedua dan membaca satu surah mulai "al-Hakumu" hingga "al-Masad" pada rakaat yang pertama adalah khilaful afdhal. Begitu juga cara yang dibiasakan oleh sebahagian lain yang membaca satu juz yang sempurna dalam 16 rakaat awal Tarawih manakala bakinya (4 rakaat) dibacakan Surah al-Ikhlas berulang - ulang juga hukumnya khilaful afdhal. Aku telah mendapati sebahagian ulama mutaakhirin berkata sedemikian yang nasnya adalah: "Dan melakukannya (Shalat Tarawih) dengan menyelesaikan satu juz setiap malam adalah afdhal daripada hanya mengulang - ngulang Surah ar-Rahman atau "Hal ata `alal insan" atau Surah al-Ikhlas selepas membaca setiap surah mulai Surah at-Takatsur hingga Surah al-Masad sebagaimana kebiasaan penduduk Mesir." Namun, hukum afdhal dan awla tersebut adalah jika sekiranya dia menghafalkan al-Quran seluruhnya atau sebahagian. Dia bacakanlah (dalam Tarawihnya) mengikut tertib dan urutan surah yang terkandung dalam mushaf. Jika dia hanya hafal satu surah sahaja, samada Surah al-Ikhlas atau selainnya, maka dia dirikanlah Shalat Tarawih dengan apa yang dihafalnya, dan tidaklah dikatakan pada haknya perbuatan tersebut sebagai khilaful afdhal dan (khilaful) awla, sila ambil perhatian.

Kitab ar-Raudh yang dinukil oleh Sidi Bakri tadi adalah sebuah karya penting dalam Fiqh Syafie yang dikarang oleh Imam Ismail bin Abu Bakar al-Yamani, lebih dikenali dengan sebutan Imam Ibnul Muqri yang wafat tahun 837H. Kitab ar-Raudh @ Raudhuth Thaalib merupakan mukhtashar (ringkasan) bagi kitab Raudhatuth Thaalibin karya besar Imam an-Nawawi. Ibarat yang dirujuk oleh Sidi Bakri tersebut dapat dilihat pada halaman 91 jilid 1, yang menyatakan:- ...Melaksanakan Shalat Tarawih dengan (mengkhatamkan) al-Quran (sepanjang bulan Ramadhan) adalah afdhal daripada (hanya) mengulang - ngulang bacaan Surah al-Ikhlas (yakni mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas sebagai ganti membaca sekhatam al-Quran bagi yang berkemampuan (viz. hafiz al-Quran) adalah tidak afdhal sahaja)....

Kesimpulannya, menurut Sidi Bakri, dakwaan bahawa fatwa pengulangan Surah al-Ikhlas sebanyak tiga (3) kali sebagai bid`ah ghairu hasanah adalah tidak dijumpai dalam mana - mana kitab dan fatwa Imam Ibnu Hajar sendiri. Jika pun ada, mungkin fatwa yang tidak tercatat dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah dan tidak juga tercatat dalam al-Fatawa al-Haditsiyyah yang juga himpunan fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami. Apa yang jelas, dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, tidak ada pun fatwa Imam Ibnu Hajar yang menyebutnya sebagai bid`ah ghair hasanah. Makanya, Sidi Bakri menegaskan bahawa perbuatan tersebut hanya dhukumkan sebagai khilaful awla dan khilaful afdhal sahaja, itu pun bagi orang yang hafal al-Quran, seperti para hafiz. Mana afdhalnya seorang hafiz bertarawih dengan hanya membaca surah - surah lazim dan Qulhu, apatah lagi jika dibaca pula dengan tidak mengikut tertib dan urutan mushaf, sedangkan dia mampu membaca lebih daripada itu dan dengan menjaga tertib dan muwalat mushaf. Namun, bagi orang awam yang hanya menghafal surah - surah lazim, maka tidaklah dapat dihukumkan khilaful awla jika dia menunaikan Tarawih dengan membaca surah - surah tersebut sahaja sebagaimana yang biasa dilakukan di kebanyakan tempat dalam negara kita. Kritikan Sidi Bakri terhadap penduduk Mekah dan Mesir bahawa bagi mereka tidak afdhal melakukan Tarawih dengan hanya membaca surah - surah lazim, kerana di kedua - kedua tempat itu berlonggok para hafiz yang boleh mengimamkan jemaah dengan membaca satu juz setiap malam dalam Tarawih. Jadi jika mereka downgrade kepada tahap kampung kita, maka itu adalah khilaful afdhal dan khilaful awla, melainkan jika ada maslahah tertentu atas perbuatan tersebut, sebagaimana yang berlaku sekarang di al-Haramain yang tarawihnya telah dikurangkan ke 10 rakaat dengan 3 witir. Menarik juga apabila Sidi Bakri menyebut bahawa cara perlaksanaan Tarawih yang biasa dipraktikkan di Tanah Jawi dengan bacaan - bacaan Surah at-Takatsur hingga Surah al-Masad  pada rakaat pertama dan Surah al-Ikhlas pada rakaat kedua sebagai kebiasaan (yakni adat) yang dipraktikkan di Mekah dan Mesir. Ini menunjukkan bahawa praktik tersebut kita perolehi daripada ulama kita yang membawanya dari sana. Cuma kemungkinan untuk praktik kita dihukumkan sebagai khilaful awla atau khilaful afdhal adalah lebih rendah berbanding mereka - mereka yang berada di kota - kota ilmu seperti Mekah dan Mesir. Akhirul kalam, semoga Allah sentiasa merahmati dan membalas jasa para ulama kita dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang penuh kenikmatan dan menjadikan kita sebagai tetangga mereka, Allahumma aamiin.

Isnin, Mac 03, 2025

Ngulang Qulhu - Tarsyih & Fatawa

Satu persoalan telah dibangkitkan oleh seorang hamba Allah, ketika membaca Fathul Mu`in, yang diterjemahkan oleh almarhum al-Fadhil Dr. Muhammad Uthman al-Muhammadiy, jilid yang pertama, halaman 162, dia bertemu dengan ibarat sebagai berikut:- ... Dan mengulangi tiga - tiga kali (Qul Huwa Allahu Ahad) di dalam rakaat - rakaat yang akhir dari Sembahyang Tarawih  adalah daripada bid`ah yang tidak baik kerana di dalam perbuatan itu ada gangguan terhadap sunnah (Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam) sebagaimana difatwakan oleh syaikh kami.... Maka yang menjadi kemusykilan, apakah benar mengulang - ngulang bacaan Surah al-Ikhlas sebanyak tiga (3) dalam rakaat kedua Shalat Tarawih adalah amalan yang tidak elok atau tidak baik kerana dianggap bid`ah ghair hasanah yang berseberangan dengan bid`ah hasanah apatah lagi dengan sunnah? Sedangkan, amalan sedemikian, ada diamalkan oleh sesetengah orang dan telah menjadi kebiasaan mereka.

Ibarat tersebut merupakan terjemahan langsung nas yang terkandung dalam kitab Fathul Mu`in yang asal, karangan Syaikh Zainuddin bin `Abdul `Aziz al-Malibari rahimahullah, ulama besar yang menjadi murid kepada Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah. Pada halaman 33, Syaikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah menyatakan: ... Mengulang - ngulang (takrir) "Qul Huwa Allahu Ahad" (Surah al-Ikhlas) tiga - tiga kali pada rakaat - rakaat akhir (yakni rakaat kedua) sembahyang Tarawih adalah bid`ah yang tidak baik (bid`atun ghairu hasanatin) kerana perbuatan tersebut merosakkan sunnah (ikhlaalan bis sunnah) sebagaimana difatwakan guru kami (yakni Imam Ibnu Hajar al-Haitami)..

Jika ilmu kita hanya setakat membaca matan Fathul Mu`in, apatah lagi sekadar membaca terjemahan sahaja, tanpa mentelaah dan mengaji kitab tersebut daripada guru - guru yang mahir, maka pasti kita juga akan terkeliru dalam pemahaman. Lebih malang lagi, jika kita terus menghukum perbuatan mengulang - ngulang tiga (3) kali Surah al-Ikhlas dalam rakaat kedua Shalat Tarawih sebagai bid`ah ghairu hasanah yang tidak elok untuk dilakukan semata - mata bersandarkan kepada matan Fathul Mu`in tersebut. Sedangkan tidak sedikit umat ini yang mengamalkan bertarawih dengan kaifiat mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas tiga (3) kali dalam rakaat keduanya. Dalam negara kita, saudara - saudara kita di Negeri Sembilan Darul Khusus, umpamanya, telah biasa bertarawih 10 rakaat dengan kaifiat yang sedemikian. Kaifiat yang telah mereka terima daripada para ulama mereka seperti almarhum Syaikh Haji Muhammad Sa`id bin Jamaluddin al-Linggi dan anakandanya almarhum Mufti Haji Ahmad. Bahkan, Syaikh Haji Muhammad Sa`id telah menulis akan kaifiatnya yang kemudiannya diberi ta'liq atau penjelasan lanjut oleh Mufti Haji Ahmad. Kaifiat tersebut mengandungi pengulangan bacaan Surah al-Ikhlas tiga (3) kali dalam setiap rakaat kedua Sembahyang Tarawih. Faqir sendiri sempat bertemu dan mendapat kaifiat Tarawih 10 Rakaat tersebut daripada beberapa guru yang berafiliasi dengan Thariqah Ahmadiyyah Rasyidiyyah Dandarawiyyah, antaranya almarhum Syaikh Muhammad Faiz bin Mufti Haji Ahmad, almarhum Ustaz Haji Arsyad dan almarhum Dato Paduka Seri Setia Prof. Dr Haji Mahmud Saedon bin Awang Othman, tokoh perundangan dan kehakiman syariah yang terkenal alim sehingga dilantik menjadi pakar rujuk Hukum Syarak di Brunei Darus Salam. Adakah alim ulama ini tidak membaca atau mengaji Fathul Mu`in?

Di sinilah pentingnya kita menerima ilmu itu daripada mulut para guru yang mahir atau bagi seseorang yang sudah mempunyai asas ilmu fiqh yang kukuh dan sedikit sebanyak memiliki ilmu - ilmu alat, merujuk juga kepada kitab - kitab lain, terutama sekali kepada hasyiah bagi Fathul Mu`indan fatwa - fatwa Imam Ibnu Hajar seperti al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah. Ini adalah kerana tidaklah mustahil berlaku kemusykilan, kekhilafan atau kesalahfahaman dalam tulisan atau nukilan Fathul Mu`in tersebut. Ada kemungkinan juga bahawa itu hanyalah pandangan pribadi sang pengarang sebagai rumusan dari apa yang dianggapnya sebagai ajaran atau fatwa gurunya. Maka untuk mendapat kedudukan hukum yang sebenar, tidak dapat tidak kita kena merujuk kitab - kitab lain sebagaimana dinyatakan tadi. Janganlah berpada dengan hanya membaca satu dua kitab, apatah lagi hanya bersandarkan kitab - kitab terjemahan sahaja. Jika kita terjumpa sesuatu hukum yang pelik atau janggal atau menyalahi amalan yang telah menjadi kebiasaan sesetengah alim ulama dan masyarakat setempat, janganlah mudah menyalahkan dahulu, hendaklah ditilik dan selidik terlebih dahulu.

Fathul Mu`in adalah kitab yang sangat berkat, penuh sarat berisikan ilmu pengetahuan yang sangat bernilai, namun terkandung di dalamnya beberapa isykal, kejanggalan dan kesamaran yang perlu kepada penjelasan. Namun, atas keikhlasan si penulisnya, telah nyata keberkatan kitab ini, ianya tersebar meluas menjadi teks pengajian Fiqh Syafie. Ramai ulama memberikan perhatian yang khusus untuk mengajar kitab ini dan tidak kurang yang menulis hasyiah, syarah, ta'liqat, ikhtishar dan nazham, samada kecil atau besar, atas kitab yang berkat ini. Antaranya:- (i) yang tersohor, I`aanatuth Thalibin karya Sidi al-Bakri Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (w.1310H); (ii) Tarsyihul Mustafidin karya Habib `Alawi bin Ahmad as-Saqqaf (w. 1335H); (iii) I`aanatul Musta`in karya Syaikh `Ali bin Ahmad bin Sa`id Bashibrin asy-Syafie (w. 1304H); (iv) Hasyiah `ala Fathil Mu`in karya Syaikh Syihabuddin Ahmad Koya asy-Syaliyati (w. 1374H); (v) Hasyiah `ala Fathil Mu`in karya Syaikh Ahmad bin Muhammad al-Balankuti @ Katyam Musliyar (w. 1273H); (vi) Hasyiah `ala Fathil Mu`in karya Syaikh Syihabuddin Ahmad bin Muhammad asy-Syirazi al-Hindi (w. 1326H); (vii) Syarh `ala Fathil Mu`in karya Syaikh Zainuddin bin Meah Hasan bin `Abdul Aziz al-Malibari (w. 1305H); (viii) Tansyithul Muthaali`in karya al-`Allaamah al-Mawlawi `Ali bin Syaikh `Abdur Rahman an-Naqsyabandi at-Tanuuri (w. 1347H); (ix) Fathul Mulhim `ala Fathil Mu`in karya sekumpulan ulama Malibar dan (x) Khulashatul Fiqhil Islamiy yang merupakan ringkasan bagi Fathul Mu`in karangan seorang ulama Kerala kontemporer yang diberi jolokan Qalamul Islam, Syaikh `Abdur Rahman Bawa bin Muhammad al-Malibari. Dari sekian banyaknya karya - karya tersebut, yang paling masyhur dan tidak dapat tidak mesti menjadi rujukan mereka - mereka yang mempelajari Fathul Mu`in adalah I`aanah Sidi Bakri dan Tarsyih Habib Alawi tadi.

Berbalik kepada masalah mengulang Surah al-Ikhlas  tiga (3) kali dalam rakaat kedua Sembahyang Tarawih. Pernyataan yang terkandung dalam Fathul Mu`in bahawa perbuatan tersebut sebagai bid`ah ghairu hasanah telah dibantah oleh Habib `Alawi bin Muhammad as-Saqqaf. Dalam kitab beliau Tarsyihul Mustafidin bi Tawsyih Fathil Mu`in pada halaman 99 - 100, beliau menjelaskan, antara lain, sebagai berikut:- ....{ perkataannya (iaitu perkataan Syaikh Zainuddin): "bid`atun ghairu hasanah" adalah ungkapan atau istilah yang menunjukkan bahawa perbuatan tersebut (yakni mengulang - ngulang surah al-Ikhlas dalam rakaat kedua Tarawih) adalah tidak elok / baik. Dan perkataannya (yakni perkataan Syaikh Zainuddin) "Sebagaimana yang difatwakan oleh guru kami", maka fatwa tersebut sebenarnya tidak wujud di dalam fatwa - fatwanya (yakni fatwa - fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami), bahkan tidak juga tersebut dalam mana - mana kitab beliau yang lain. Imam Ibnu Hajar hanya menyatakan bahawa mendirikan Sembahyang Tarawih dengan membaca seluruh al-Quran atau mengkhatamkannya sepanjang bulan tersebut adalah awla (lebih utama) dan afdhal berbanding dengan hanya mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas tiga kali pada setiap rakaat daripadanya ................Hal ini tertentu bagi orang yang hafal al-Quran, ada pun bagi mereka yang tidak hafal al-Quran, maka tidak ada tegahan atau halangan bahawa mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas tersebut adalah awla bagi mereka daripada selainnya kerana warid nas pada yang sedemikian (yakni warid berbagai nas tentang keutamaan dan kelebihan Surah al-Ikhlas). Telah berkata al-Imam al-Muhaddits al-`Aamiri pada pembicaraan shalat malam (qiyamullail) dalam kitabnya Bahjah bahawa: "Sewajarnya seseorang itu melaksanakan dua kali khatam pembacaan al-Quran pada setiap bulan. Salah satu khataman tersebut dia lakukan dalam shalat malamnya, iaitu dengan membaca setiap malam satu juz (dalam shalat malam / tahajjud); manakala satu lagi khataman dilakukannya di luar shalat. Ini adalah bagi orang yang hafal al-Quran. Adapun bagi selain mereka, maka bacalah surah - surah yang pendek menurut kemampuannya dan sebaik - baik wirid baginya adalah membaca "Qul Huwa Allahu Ahad" (Surah al-Ikhlas) pada setiap rakaat (shalat malam / qiyamullail) sebanyak tiga (3) kali ............

Oleh itu, pernyataan yang tertera dalam Fathul Mu`in bahawa pengulangan bacaan Surah al-Ikhlas sebanyak tiga (3) kali dalam rakaat kedua Sembahyang Tarawih sebagai bid`ah ghairu hasanah telah disanggah oleh para ulama antaranya Habib `Alawi as-Saqqaf dan dianggap tidak tepat dan menyalahi fatwa guru beliau, Imam Ibnu Hajar al-Haitami. Ini adalah kerana Imam Ibnu Hajar tidak pernah menyatakan perbuatan sedemikian sebagai bid`ah ghairu hasanah yang tidak elok untuk dilakukan. Jadi persoalannya hanya berkitar setakat sunnah (dalam pergertian pernah dilakukan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam Shalat Tarawih baginda) atau tidak, berkitar kepada persoalan awla, afdhal dan mafdhul sahaja, tidak pun sampai menghukumnya sebagai ghairu hasanah iaitu tidak elok atau dibenci (makruh) apatah lagi haram.

Khatimatul Muhaqqiqin, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, ulama besar dan mufti Mekah, dalam fatwa beliau yang dihimpunkan dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, jilid 1, halaman 184, ketika menganggapi soalan samada perbuatan mengulang tiga (3) kali Surah al-Ikhlas dalam Shalat Tarawih itu sunnah dan jika bukan sunnah, apakah pengulangan tersebut boleh dihukumkan sebagai makruh (dibenci) sebagaimana pandangan sesetengah salaf yang dinukilkan oleh Ibnu Syuhbah dalam al-Mu`limaat. Jawapan Imam Ibnu Hajar menyatakan bahawa perbuatan mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas dalam satu rakaat atau sekalian rakaat Sembahyang Tarawih bukanlah sunnah (yakni dalam pengertian pernah dilaku atau ditunjuk oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika baginda mendirikan Qiyamu Ramadhan yakni Shalat Tarawih), namun tidaklah pula dapat dihukumkan sebagai makruh (dibenci) menurut kaedah mazhab kita kerana tidak ada larangan atau tegahan tertentu padanya (yakni tidak ada nas yang melarang melakukan hal tersebut). Tidak pun difatwakan oleh beliau yang perbuatan tersebut sebagai bid`ah ghairu hasanah sebagaimana dakwaan Syaikh Zainuddin dalam Fathul Mu`in.

Sebagai penutup, memandangkan Habib `Alawi turut menukilkan pernyataan kitab Bahjah, maka faqir kongsikan di sini nukilan dari kitab karya al-Imam al-`Allaamah al-Muhaddits Yahya bin Abu Bakar bin Muhammad bin Yahya al-`Aamiriy al-Haradhiy al-Yamaniy asy-Syafie (816 - 893H). Nama lengkap kitab tersebut adalah Bahjatul Mahaafil wa Bughyatul Amaatsil fi talkhish asy-siyari wal mu'jizati wasy syamaail. Pada halaman 576, dinyatakan, antara lain, sebagai berikut:- ......Ini adalah pada hak orang yang hafal al-Quran (yakni seorang hafiz awla (lebih utama) dan afdhal mengkhatamkan al-Quran dalam shalat malamnya / qiyamullailnya setiap bulan). Adapun orang lain (yang bukan hafiz), bacalah surah - surah yang pendek menurut kemampuannya dan sebaik - baik wirid baginya adalah pembacaan (Qul Huwa Allahu Ahad) tiga (3) dalam setiap rakaat (shalat malamnya). Maka telah warid dalam kitab - kitab hadis shahih bahawa sesiapa yang membacanya tiga kali maka seumpama dia membaca keseluruhan al-Quran........

Faqir berharap dengan penjelasan di atas, tahulah kita letak duduknya masalah ini. Tidak perlu bertegang leher saling memenangkan pendapat sendiri. Ingat bahawa dalam amalan sunnat atau thathawwu`, ada keluasan dan kelapangan. Sesuatu amalan yang baik masih boleh dihukumkan sunnat (yakni menurut istilah fiqh yang ertinya dilakukan berpahala dan jika tidak dilakukan tidak berdosa) walau pun amalan tersebut bukan sunnah (dalam pengertian ada contoh khusus daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam). Bagi mereka yang ingin mengulang Surah al-Ikhlas tiga (3) pula, silalah berbuat sedemikian, namun pastikan juga jangan sampai melanggar tatatertib, kaifiat dan sunat - sunat yang lain dalam sembahyang, antaranya tidak memanjangkan rakaat kedua melebihi rakaat pertama. Dan yang terutama dan terpenting, beramallah ikhlas semata kerana Allah. Selamat beribadah, berpuasa dan bertarawih. Semoga diterima Allah segalanya dengan penerimaan yang sempurna. Allahumma aamiin.