Bujairimi & Hasyiah Bujairimi
Syaikh Sulaiman bin Muhammad bin `Umar al-Bujairimi rahimahullah adalah salah seorang ulama kenamaan dalam Mazhab Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 1131H di Bujairim, sebuah desa di barat Mesir dan wafat pada tahun 1221H. Sejak kecil beliau telah dihantar ke Kaherah untuk menuntut ilmu di al-Azhar asy-Syarif. Beliau terkenal sebagai seorang faqih dan muhaddits dan disematkan kepadanya gelar "Khatimatul Muhaqqiqin".
Di rantau kita, mungkin karya Syaikh Sulaiman al-Bujairimi yang paling masyhur adalah hasyiah beliau atas kitab al-Iqna` karangan Syaikh Khathib asy-Syarbini rahimahullah. Hasyiah tersebut diberi jodol Bujairimi alal Khathib atau Tuhfatul Habib `ala Syarhil Khathib. Kitab al-Iqna` pula adalah syarah bagi kitab at-Taqrib atau Ghayatul Ikhtishar atau lebih dikenali sebagai Matan Abi Syuja` karangan al-Imam al-Qadhi Abu Syuja` al-Ashfahani rahimahullah. Mengikut tradisi pengajian sesetengah pondok dan sebahagian ulama, bila disebut "Bujairimi" atau "Bujairimi `alal Khathib", maka yang dimaksudkan adalah kitab ini, yang merupakan hasyiah bagi Iqna`.
Selain, Bujairimi `alal Khatib, Syaikh Sulaiman al-Bujairimi juga memiliki karya lain yang menghasyiahkan kitab Fathul Wahhab karangan Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari rahimahullah. Kitab ini dinamakan Hasyiah al-Bujairimi `ala Syarhi Manhajith Thullab atau at-Tajrid Linaf`il Abid. Manhajuth Thullab itu adalah karya Syaikhul Islam Zakaria juga dan karya ini beliau syarahkan pula menjadi kitab Fathul Wahhab. Kebiasaannya, jika disebut "Hasyiah Bujairimi", maka yang dimaksudkan adalah hasyiah al-Bujairimi bagi Fathul Wahhab.
Faqir catatkan hal ini di sini sebagai kenangan ketika mengaji dahulu dan juga kerana telah berlaku kekeliruan ketika ada yang merujukkan faqir kepada Bujairimi sedangkan yang dimaksudkan adalah Hasyiah Bujairimi. Untuk mengelak berlaku kekeliruan lagi, maka kebiasaanya Bujairimi atau Bujairimi alal Khathib itu merujuk kepada Tuhfatul Habib `ala Syarhil Khathib yang merupakan hasyiah bagi kitab Iqna` karya Syaikh Khathib asy-Syarbini, manakala Hasyiah Bujairimi merujuk kepada at-Tajrid Linaf`il `Abid yang merupakan hasyiah bagi Fathul Wahhab karya Syaikhul Islam Zakaria. Begitulah sekadar untuk ingatan dan rujukan para penuntut ilmu.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan