Rabu, Julai 22, 2026

Ustaz Haji Daud Ali

Tradisi atau amalan bertahlil dan mendoakan arwah yang telah mendahului kembali ke rahmatullah telah sebati dalam masyarakat kita sejak sekian lama sebelum diganggu syak dan waham yang ditiup oleh golongan Wahabi. Amalan ini sebenarnya mengandungi berbagai hikmah dan faedah yang tidak betcanggah dengan akidah dan syariat, antaranya, dengan bertahlil bukan sahaja kita ingatkan mereka - mereka yang telah pergi, terutama sekali yang banyak berjasa kepada kita, tetapi kita pun diingatkan  yang kita pun bakal menyusuli mereka. Ingatkan mati merupakan sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ingatan sebegini amatlah dianjurkan dalam agama, bahkan Imam Ibnu Majah rahimahullah meriwayatkan bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika ditanya oleh sahabat tentang orang mukmin yang akyas (paling bijak / paling cerdas / paling cerdik), baginda menjawab: "Orang yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persediaannya untuk kehidupan selepas mati, itulah orang yang paling bijak." Maka nak jadi orang yang cerdas lagi cerdik lagi bijaksana, sering - seringlah mengingati kematian dan bersiap - sedia untuk menghadapinya.

Oleh itu, tidak pelik, jika orang - orang tua kita dahulu, amat menitik berat dan memberi perhatian terhadap amalan bertahlil, sehingga diadatkan sekurang - kurangnya setiap malam Jumaat diadakan amalan bacaan Yaasin dan tahlil. Salah satu buku yang terawal faqir dapatkan daripada almarhum ayahanda faqir adalah sebuah buku kecil yang berjodol: Panduan Bertahlil dan Doa Arwah yang paling senang dan ringkas, yang disusun oleh seorang ulama yang terkenal suatu ketika dahulu di Singapura dan Malaysia. Beliau adalah almarhum Ustaz Haji Daud bin Ali yang dikenali sebagai "Mufti Radio" kerana beliau pernah diamanahkan untuk menjawab sebarang pertanyaan dan kemusykilan agama yang diutarakan masyarakat di corong Radio Singapura. Di entri ini, tergerak hati faqir untuk menulis sedikit tentang sosok beliau sekadar pengenalan dan jadi ingatan "abadi" tercatat dalam tulisan ini.

Ustaz Haji Daud bin Ali rahimahullah dilahirkan di Sumatera sekitar tahun 1919. Beliau dibawa berhijrah ke Kampar, Perak dan di situlah beliau memulai pendidikan awal di sebuah madrasah di Tapah. Pada tahun 1936, beliau berhijrah lagi ke Singapura untuk belajar di Madrasah al-Juneid al-Islamiah. Setelah tamah pengajian, beliau memulakan kerjaya beliau sebagai ustaz atau tenaga pengajar di Madrasah al-Juneid kemudian berpindah mengajar di Madrasah al-Sagoff al-Arabiah. Setelah itu, beliau mengambil keputusan menjadi pendakwah bebas agar lebih mudah untuk turun ke lapangan dan menumpukan sepenuh perhatian berdakwah ke tengah masyakat umum yang sedang dahagakan ilmu pengetahuan agama.

Ustaz Haji Daud Ali semakin dikenali masyarakat melalui rancangan "Kemusykilan Ugama" di Radio Singapura. Beliau dipertanggungjawabkan untuk menjawab berbagai masalah dan persoalan hukum - hakam yang diajukan orang tamai. Ini merupakan salah satu cara untuk beliau menabur ilmu dan berdakwah kepada masyarakat. Melalui ceramah di radio, mau pun syarahan terus kepada umum, beliau dengan gigih mencelikkan umat kepada ajaran agama dan membanteras amalan - amalan yang bercanggah seperti takhayyul dan khurafat yang masih mendominasi masyarakat ketika itu. Ketika muncul fahaman sesat daripada segelintir oknum "Syed" yang mengajar bahawa kita tidak perlu mendirikan shalat fardhu yang lima, cukup hanya dengan membanyakkan bershalawat sahaja, maka Ustaz Daud bin Ali adalah antara yang lantang dan tegas menentangnya. Ajaran songsang ini sebenarnya pernah cuba dihidupkan kembali di masa kita ini, dikenali sebagai Ajaran Al-Mas atau Kumpulan Al-Mas atau Ajaran Syed Masyhur atau Ajaran Syed Muhammad al-Masyhor atau Tarikat Islam Muhammad SAW Habibullah al-Hashimi yang diasaskan sekitar tahun 70an oleh Syed Mohamad al-Masyhor dari Singapura. Syukur, ajaran ini telah dibendung dan difatwakan sesat termasuklah di Sarawak.

Jadual dakwah Ustaz Daud amat padat setiap hari, dengan pelbagai undangan ceramah di serata Singapura, selain mengadakan majlis ilmu di rumahnya di Kampong Melayu, Jalan Eunos dan mengendalikan kelas agama bagi anak - anak pegawai polis. Pada tahun 1957, beliau bersama beberapa ulama lain telah menubuhkan Persatuan Ulama & Guru Ugama Singapura (PERGAS). Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Istana Singapura sebagai penasihat agama bagi Presiden Republik Singapura dua kali, 1959 - 1962 dan 1975 - 1977. Beliau turut menjadi anggota Jawatankuasa Fatwa dan Jawatankuasa Tertinggi di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) (1968 - 1974). Pada Mei, 1984, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Selangor untuk menghabiskan usia senjanya bersama keluarga. Pada 7 April, 1989, dalam usia 70 tahun, Ustaz Daud bin Ali dipanggil mengadap Ilahi di Batu Caves, Selangor dan jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Ibu Kota, Setapak. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya sentiasa....al-Fatihah.

Sebagai penutup, faqir nukilkan satu jawapan beliau atas satu pertanyaan di Radio Singapura yang dibukukan dengan jodol "Kemusykilan Ugama, jilid 2, halaman 110 sebagai berikut:-
S.539:
Syamsuddin bin Hassan , Jalan Sulaiman, Muar, Johor.
Saya ada mempunyai sebuah kitab Tahlil secara ringkas susunan Ustaz Daud bin Ali, bolehkah saya menghafal doa dalam kitab itu dengan tiada berguru lagi?
Jawab:
Ya, boleh tuan mengamalkan apa yang ada di dalam kitab Tahlil itu, kerana tiap - tiap kitab atau risalah yang telah dicetak serta disiarkan, maka itu ijazahnya sudah tetap diberikan oleh pengarangnya atau penyusunnya dan ijazah itu adalah sebagai ijazah "ammah", boleh tuan menghafalnya dan mengamalkannya.

Khamis, Julai 16, 2026

Daruud Taaj - Talaqqi Bil Qabuul ?

Sebagaimana yang pernah faqir nyatakan di entri terdahulu, Daruud Taj @ Duruud Taaj atau Shalawat Taajiyyah atau Daruud Taaj amat terkenal di Benua IndoPak berbanding di rantau kita. Faqir telah menulis sedikit mengenainya dan linknya akan faqir letak di bawah nanti. Para ulama Benua Hindi, memberi perhatian kepada shalawat ini dan telah mengarang beberapa syarah baginya untuk memperjelaskan isi kandungannya dengan segala nas yang ada. Di antara syarahnya yang masyhur adalah Syarah Duruud Taaj yang dikarang oleh al-`Allaamah Abut Turab Mawlana Muhammad Nashiruddin Nashir al-Madani `Aththari dan Dhaw-us Siraaj karya al-`Allaamah Muhammad Faidh Ahmad Shahib Uwaisi, kedua-duanya berbahasa Urdu.

Peri masyhurnya Daruud Taaj ini di benua tersebut sehingga ada ulama di sana yang beranggapan bahawa ianya bukanlah sesuatu yang perlu dipermasalahkan lagi kerana telah rata penerimaannya di sisi awliya` dan ulama benua tersebut, bahkan ia boleh dimasukkan dalam kaedah talaqqi bil qabuul, yakni diterima secara bulat kerana penerimaan yang merata di sisi ulama. Mawlana Muhammad Faidh dalam Dhaw-us Siraaj pada halaman 9, menyatakan bahawa Daruud Taaj telah diamalkan oleh ramai awliya` yang mulia dan ulama yang besar - besar sehingga menurut pandangan beliau shalawat atau amalan ini dianggap termasuk dalam kaedah talaqqi bil qabuul. Pandangan ini mungkin benar atas kadar atau darjatnya tertentu, tertakluk kepada sejauh mana luas tersebar dan penerimaannya di kalangan para ulama di seluruh pelosok dunia. Jika pun dikatakan talaqqi bil qabuul, pasti darjatnya tidak sampai ke tingkat ittifaq ulama atau ijma`.Namun, setidak - tidaknya, kewujudan dakwaan talaqqi bil qabuul tersebut, menunjukkan kepada fakta bahawa Daruud Taaj adalah sesuatu yang telah diterima oleh sejumlah ulama dan awliya` umat ini, sehingga menjadikan hal tersebut sebagai sesuatu yang boleh diterima, namun bukan satu kewajipan untuk diterima. Sesiapa yang mahu membaca atau mengamalkannya, boleh berbuat sedemikian, manakala yang tidak mahu atau tidak bersetuju adalah bebas dengan pandangannya. Maka luaskan fikiran dan lapangkan dada demi menjaga adab berikhtilaf.

Sebagai tambahan, talaqqi bil qabuul shalawat tersebut juga tidaklah menyamai talaqqi bil qabuul keshahihan dua kitab yang masyhur, Shahih Bukhari dan Shahih Muslim, yang sampai ke peringkat ittifaq ulama dan ijma`. Imam an-Nawawi rahimahullah  dalam muqaddimah Syarah Muslim, juz 1, halaman 14 menulis, antaranya sebagai berikut:- ....Para ulama rahimahumullah sepakat (ittifaq) bahawa kitab - kitab yang paling shahih selepas al-Quran al`Aziz adalah dua kitab (hadis) shahih, al-Bukhari dan Muslim, di mana umat (yakni para ulamanya) telah sepakat menerima keduanya (yakni sebagai seshahih - shahih kitab selepas al-Quran, - wa talaqqat-huma al-ummatu bil qabuul)

Selanjutnya, sebagai pengenalan ringkas, talaqqi bil qabuul adalah satu kaedah atau metodologi yang penting dalam tradisi keilmuan Islam Ahlus Sunnah wal Jamaah, yang dipakai dalam berbagai disiplin ilmu, terutama sekali dalam urusan penentuan dan pensabitan kitab - kitab yang berautoriti untuk dijadikan pegangan dan sandaran hukum - hakam. Kaedah ini juga turut digunapakai dalam semua lapangan termasuklah dalam ilmu hadis, sehingga memungkinkan sesuatu hadis yang dhaif sanadnya dijadikan sandaran hukum kerana wujudnya talaqqi bil qabuul atau dalam istilah lain `alaihil `amal inda ahlil ilmi (atasnya amalan para ulama). Untuk mengetahui lebih jauh kaedah ini silalah mengaji dengan para ahlinya, jangan hanya berpada dengan kullu bid`atin dholalah semata. Di antara kitab yang terbaik dalam perbahasan hadis - hadis lemah dan maudhu` yang dijadikan sandaran hukum oleh para fuqaha` adalah kitab karangan ulama Syafie yang terkemuka, Imam Tajuddin `Ali bin `Abdullah bin al-Hasan al-Ardabili at-Tabrizi asy-Syafie @ Imam Ardabili (667 -746H) rahimahullah yang berjodol al-Mi'yaar fil Ahaaditsi ad-Dha`iifah wal Maudhuu`ah allati Istasyhada biha al-Fuqaha` (Kayu Ukur Penanda Aras Dalam Perbahasan Hadis - Hadis Dhaif Dan Mawdhu` Yang Dijadikan Dalil / Diterima Sebagai Hujjah Oleh Para Fuqaha). Rajin - rajinlah mengaji dan mentelaah, jangan ingat para fuqaha itu jahil akan ilmu hadis. Ingat juga bahawa nak tahu hukum hakam sesuatu perkara, ambillah dari kitab - kitab fiqh, manakala kitab -kitab hadis itu salah satu sumber bagi sesuatu hukum - hakam. Namun nak mengeluarkan hukum dari kitab - kitab hadis bukanlah perkara yang mudah untuk orang awam seperti kita, ia memerlukan ilmu yang luas, sebagaimana kita memerlukan timba untuk mengeluarkan air dari perigi yang dalam. Akhir kata, faqir datangkan sebagai tambahan dan simpanan, sedikit penjelasan mengenai shalawat yang berkat ini oleh Dr. Shadee ElMasry hafizahullah. Mudah - mudahan ada menfaatnya.

Baca juga:- Daruud Taj (Mahkota Shalawat.