Khamis, November 26, 2026

Cungkil Gigi 2

Dulu faqir pernah menukil kisah mimpi yang dicatat oleh Imam Nawawi  rahimahullah dalam kitab Bustanul `Arifin. Pada mukaddimah entri tersebut, faqir tanyakan sumber kisah yang hampir serupa yang dinisbahkan kepada Nabi Isa alaihis salam. Jujur hingga kini faqir belum menjumpai status riwayat tersebut. Sungguhpun begitu, kisah seumpama ini, termasuklah yang menghubungkannya kepada Nabi Isa `alahis salam, memang tercatat dalam beberapa karya ulama terdahulu dan dinukil oleh ulama kontemporer masa kita ini. Habib Umar BinHafiz hafizahullah menukilkan kisah ini dalam salah satu karangannya. Oleh yang sedemikian, faqir berlapang dada dan berbaik sangka bahawa kisah ini mempunyai dasar yang diterima oleh sebahagian ulama sebagai contoh dan motivasi dalam bab targhib - tarhib. Sesiapa yang tidak bersetuju, boleh sahaja berbuat sedemikian, namun tidak perlulah menuding jari menuduh yang bukan - bukan kepada sesama saudara seagama apatah lagi kepada seseorang ulama. Ketahuilah bab targhib - tarhib lebih luas berbanding fadhail, hatta zaman berzaman kita menggunakan kisah sang kancil atau fabel Aesop dalam bab ini untuk menyemai akhlak dan moral yang baik. Lapangkanlah dada kalian untuk saling menghargai.

Maka dengan rendah diri, faqir nukilkan sahaja kisah yang tercatat dalam Mamlakatul Qalbi wal A'dhaa` pada halaman 68 - 69 dikisahkan sebagai berikut:- ..... Telah datang cerita bahawa di antara orang mati yang dihidupkan semula oleh Sayyidina Isa `ala Nabiyyina wa `alaihi afdhalush shalati was salam adalah seorang ahli kubur yang ketika dibangunkan bertanya: "Apakah kiamat sudah berlaku?" Lalu dikatakan kepadanya: "Belum, hanya Ruhullah `Isa bin Maryam telah memohon kepada Allah untuk menghidupkan engkau." Selanjutnya penghuni kubur itu bertanya lagi: "Kenapa engkau menghidupkan aku wahai Isa?" Baginda menjawab: "Untuk mengambil pelajaran / iktibar darupada engkau, berapa lama sudah engkau mati?" Ahli kubur tersebut menjawab; "Sudah 70 tahun." Baginda bertanya lagi: "Bagaimana keadaanmu?" Dia menjawab: "Amalan - amalanku baik dan Allah mengasihaniku, melainkan satu perbuatanku, di mana pada satu hari ketika aku memikul kayu api untuk seseorang, tatkala sampai ke tempatnya, sesuatu telah melekat di celah gigiku lalu aku telah mengambil secebis kecil dari kayu api tersebut untuk mencungkil gigiku sebelum ku buang. Maka aku dihisab mengenainya (dengan celaan)- "Bagaimana engkau boleh mengambil pencungkil gigi dari kayu milik orang lain?". Maka 70 tahun lamanya aku dalam keadaan dicela atas perbuatan tersebut menunggu kematian si pemilik kayu api tadi untuk mengetahui samada dia memaafkan keterlanjuranku atau menuntut haknya daripadaku......

Begitulah kisahnya, kisah yang amat menggerunkan, hendaknya kita lebih berhati - hati dalam urusan yang melibatkan hak orang lain. Bayangkanlah, kerana sebilah pencungkil gigi seseorang menghadapi hisab yang berlanjutan sehingga puluhan tahun di kuburnya, bagaimana pula jika puluhan juta hak negara (baca: hak rakyat) yang disonglap atas berbagai dalih termasuklah atas nama kemajuan yang hanya memajukan diri sendiri dan kroni? Untuk menyenangkan hati mereka - mereka ini, anggaplah sahaja kisah tadi hanya dongeng........as if.