Isnin, September 24, 2018

Revolusi Syiah Khomeini

Ketika revolusi Iran mendapat tempat setelah berjaya mengguling Dinasti Syiah Pahlavi di tangan para mullah Syiah (baca: Syiah lawan Syiah) di bawah pimpinan Khomeini, maka timbul perasaan kagum dalam diri mereka di luar Iran (baca: di luar firqah Syiah) terhadap revolusi tersebut kerana ianya digembar-gembur atas nama Islam. Apatah lagi bila Iran diisytiharkan sebagai Islamic Republic of Iran. Maka ramai yang tergiur dengan perkara tersebut ditambah lagi dengan mainan slogan-slogan perpaduan ummah. Ustaz Sa`id Hawwa rahimahullah, tokoh penting Ikhwanul Muslimin yang disegani, sempat berkunjung ke Iran selepas kejayaan revolusi tersebut dan bertemu dengan Khomeini, pemimpin agung revolusi. Syaikh Sa`id Hawwa setelah melihat dan meneliti suasana sebenar, berasa kecewa kerana revolusi yang mengatasnamakan Islam itu sebenarnya hanyalah kesinambungan makar dan penipuan firqah Syiah yang fahamannya berseberangan dengan Ahlis Sunnah wal Jama`ah.

Sekembalinya dari lawatan tersebut, Ustaz Sa`id Hawwa menulis hasil penelitiannya dalam karya beliau yang berjodol al-Khumainiyyah Syudzudz fil `Aqaa-id wa Syudzudz fil Mawaaqif (Fahaman al-Khomeinisma, keganjilan dalam `aqidah dan pendirian). Menurut Ustaz Sa`id Hawwa, hasil penelitian yang dilakukan terhadap Republik "Islam" Iran ni, memperlihatkan realiti yang berbeza daripada apa yang dilaung-laungkan oleh Khomeini dan pendokongnya. Revolusi tersebut tidak lain melainkan kebangkitan khusus mewakili kelompok Syiah Imamiyyah yang sesat semata-mata dan bukannya sebagaimana didakwa kononnya mewakili Islam tanpa mengira firqah dan mazhab. Ustaz Sa`id Hawwa menjelaskan bahawa Khomeini masih kental dengan pegangan Syiahnya, bahkan tidak segan silu mencerca dan mentohmah para sahabat termasuklah Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar radhiyaAllahu `anhuma sebagaimana ditulis dalam karangannya seperti Kasyful Asrar yang memuatkan 2 fasal yang mentohmah dan menuduh Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina 'Umar sebagai menyalahi ajaran al-Quran.  Turut didedahkan amalan taqiyyah Syiah dan kerjasama-kerjasama rahsia kerajaan Syiah Iran dengan Israel dan Russia. Apa yang diperjuangkan oleh Khomeini hanyalah untuk kepentingan ajaran sesat Syiah Imamiyyah. Khomeini dengan taqiyyahnya amat licik memperdaya umat Islam, pada suatu masa dia melaungkan penentangan terhadap Israel tetapi dalam masa yang sama mengadakan kerjasama sulit dengan mereka demi kemaslahatan dan kepentingan Syiah. Ustaz  Sa`id Hawwa mengingatkan umat Islam agar jangan terpedaya dengan Khomeini dan Khomeinisma.

Pada khatimah buku tersebut, Ustaz Sa'id Hawwa menyimpulkan, antara lain, bahawa Khumainiyyah (Khomeinisma) adalah satu wabak (ta`un) yang sedang melanda dunia Islam, di mana akidah, ibadah dan manhaj kehidupan mereka adalah berbeza dan tidak sama dengan Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang kita pegang. Lalu bagaimanakah kita hendak menyokong puak yang mengaku sebagai "firqah najiyyah (golongan yang berjaya)", namun sebenarnya mereka lari dari syurga menuju neraka serta mengikut jalan selain daripada jalan orang-orang yang beriman. Beliau menutup karangannya dengan doa memohon perlindungan Allah serta menyatakan berlepas diri dengan Allah daripada Khomeini dan Khomeinisma juga daripada penyokong dan pendokongnya.

Oleh itu, janganlah terpedaya dengan slogan-slogan yang dilaungkan oleh puak Syiah ini. Hati-hati dengan dakyah Syiah yang kini mengatasnamakan kecintaan kepada ahli bait. Sebenarnya puak inilah yang memusuhi ahli bait, merekalah yang telah memperdaya Sayyidina Husain bin 'Ali radhiyaAllahu `anhuma sehingga baginda syahid di Karbala. Darah Imam Husain terpercik atas wajah-wajah mereka. Mudah-mudahan Allah menyelamatkan kita daripada kesesatan Syiah dengan berkat Imam Husain radhiyaAllahu `anhuma

Selasa, September 18, 2018

Amalan 'Asyura: Nihayatuz Zain

Bersempena Hari 'Asyura yang bakal menjelang tiba, faqir kongsikan di sini nukilan dari kitab Nihayatuz Zain fi irsyadil mubtadi-in karya al-'Alim al-'Allaamah Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahullah, mudah-mudahan ada manfaatnya, guna menambah amalan kebajikan sebagaimana dianjurkan secara umum dalam banyak nas syarak yang mulia. Tutuplah telinga daripada mendengar kata-kata sumbang yang menghalangi kita beramal, biarkanlah anjing menyalak bukit dan biarkanlah si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Kata Syaikh Nawawi rahimahullah pada halaman 196 kitab yang berkat tersebut:
Dan dinukilkan daripada sebahagian al-afaadhil (yakni orang-orang mulia yang memiliki kelebihan dan keutamaan) bahawanya amalan-amalan pada Hari 'Asyura ada 12 amalan: (i) shalat, dan yang awlanya didirikan Shalat Tasbih; (ii) puasa; (iii) sedekah; (iv) meluaskan nafkah perbelanjaan keluarga; (v) mandi; (vi) ziarah orang 'alim yang shalih; (vii) melawat orang sakit; (viii) menyapu kepala anak yatim; (ix) bercelak; (x) memotong kuku; (xi) membaca Surah al-Ikhlas 1000 kali dan (xii) bersilatur rahim. Telah warid hadis-hadis mengenai anjuran berpuasa dan melapangkan perbelanjaan keluarga pada Hari 'Asyura. Adapun amalan-amalan selain keduanya tidak ada dinyatakan dalam hadis-hadis (yakni hadis-hadis yang sahih atau hasan, kalau pun ada hanya disebut dalam hadis-hadis yang dhaif sahaja).  
Telah menyebut Imam para muhadditsin Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam Syarah al-Bukhari beberapa kalimat yang sesiapa yang membacanya pada Hari 'Asyura, maka hatinya tidak akan mati, iaitu ......(di sini Syaikh Nawawi mendatangkan wirid 'Asyura yang masyhur) ..... 
Telah menukil Sayyidi 'Ali al-Ajhuri bahawa sesiapa yang membaca pada Hari 'Asyura 70 kali : "HasbiyaAllahu wa Ni'mal Wakil, Ni'mal Mawla wa Ni'man Nashir", Allah ta'ala akan menjaganya dari kejahatan sepanjang tahun tersebut.
Marilah kita rebut peluang yang ada, umur yang berbaki untuk menambah lagi amalan buat bekal di alam baqa nanti. Janganlah sampai kita masuk kubur tanpa bertemankan amalan-amalan shalih yang dianjurkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan pewaris - pewaris baginda iaitu para ulama yang mukhlashin.

Rabu, September 12, 2018

Haji Sulaiman Rasjid

Satu masa dahulu, ketika mana buku - buku agama Bahasa Melayu bertulisan rumi dalam bidang fiqh agak terhad, maka salah satu karya masyhur mengenai bidang tersebut adalah tulisan Ustaz H. Sulaiman Rasjid yang berjodol Fiqh Islam. Inilah antara buku fiqh bertulisan rumi yang sering dibaca dan dipelajari orang awam yang tidak mahir tulisan jawi ketika itu. Buku yang mula diterbit pada tahun 1954 ini sudah banyak terpakai oleh masyarakat, baik di kalangan umum maupun di kalangan para pelajar dan mahasiswa. Departemen Agama Republik Indonesia pernah menjadikan buku Fiqh Islam ini sebagai buku teks wajib di Madrasah Tsanawiyyah/Aliyyah dan Perguruan Tinggi di Indonesia. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Buya Hamka) rahimahullah telah sempat menulis kata pengantar bagi buku ini. Kiyai Haji Fathullah Harun rahimahullah pernah menjadikan buku ini sebagai teks untuk mengajar kelas dewasa bagi kaum ibu. Walaupun kandungan buku ini ringkas, agak bebas dalam mengutarakan hukum - hakam di mana ia tidak terlalu terikat dengan qawl muktamad mazhab Syafie, memiliki beberapa kesilapan dalam nukilan qawl-qawl mazhab Syafie dan sedikit sebanyak terpengaruh dengan fahaman Kaum Muda, namun tidak dapat dinafikan bahawa ianya bermanfaat bagi orang hendak mengenali dan mempelajari bab-bab hukum fiqh yang luas. Ini adalah kerana ia tidak hanya menghadkan perbahasan mengenai persoalan amal ibadah pokok semata-mata tetapi turut menjangkau bab-bab lain seperti mu`amalah, jinayah, jihad bahkan persoalan berhubung dengan khilafah. Maka ketika membaca buku ini, perlulah juga merujuk kepada guru-guru yang benar dan kitab-kitab turats yang muktabar dalam Mazhab Syafie, samada yang berbahasa 'Arab maupun berbahasa Melayu karangan ulama Jawi terdahulu agar tidak terkeliru dan pegangan hukumnya sesuai dengan pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie.

Siapakah penulis Fiqh Islam ini ? Beliau adalah Ustaz Haji Sulaiman Rasjid (Rasyid) bin Lasa rahimahullah yang dilahirkan sekitar tahun 1896/1898/1901 di Pekon Tengah, Liwa Krui, Lampung Utara, Pulau Sumatera. Setelah tamat sekolah dasar, pendidikan agama secara formalnya beliau kecapi di Perguruan Thawalib Padang Panjang, Sumatera Barat mulai 1919-1926. Beliau juga pernah berguru selama 5 tahun dengan Kiyai Haji Abas, Padang Japang, Payakumbuh, Sumatera Barat. Pada tahun 1926, beliau melanjutkan pelajarannya ke sekolah Mu`allim (sekolah perguruan) di Mesir lalu kemudiannya ke Universiti al-Azhar dalam jurusan takhassus fiqh. Beliau tamat pengajian di Mesir sekitar tahun 1935 dan pulang ke Indonesia.

Sepulangnya ke Indonesia yang ketika itu masih dijajah Belanda, beliau berkhidmat sebagai Ketua Penyelidik Hukum Agama di Lampung. Apabila Jepun menjajah Indonesia, Ustaz Sulaiman Rasjid dilantik menjadi Pegawai Tinggi Agama di Kantor Syambu. Ustaz Sulaiman Rasjid juga terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Indonesia bahkan beliau sempat turut serta mengangkat senjata melawan penjajah Belanda di Kalianda, Lampung Selatan, setahun menjelang kemerdekaan.

Setelah Indonesia merdeka, Presiden Sukarno menugaskan beliau di Departemen Agama Republik Indonesia sebagai kepala Jawatan Agama Republik Indonesia, Jakarta sepanjang tempoh 1947-1955 serta merangkap kepala Perjalanan Haji Indonesia. Beliau mempunyai sumbangan besar ke arah berdirinya Kantor Agama setelah kemerdekaan Indonesia sebagaimana disebut oleh M. Fuad Nasar dalam bukunya H.S.M. Nasaruddin Latif : Biografi & Pemikiran, pada halaman 5 menyatakan sebagai berikut:- Di tahun 1946 bersama rekan-rekan seperjuangan seperti H. Sulaiman Rasjid dan Zainal Abidin Datuk memerintis berdirinya Kantor Agama di Jakarta, untuk menampung dan membantu memecahkan masalah agama yang timbul di kalangan masyarakat yang baru lepas dari penjajahan dengan Proklamasi Kemerdekaan 17 Augustus 1945.

Ustaz Sulaiman Rasjid juga pernah dilantik menjadi staf ahli Kementerian Agama Republik Indonesia sekaligus menjadi asisten dosen Perguruan Tinggi Agama Islam Jakarta sambil mengajar juga di PTAIN Yogyakarta. Pada tahun 1960, beliau diangkat menjadi guru besar Ilmu Fiqh. Jawatan terakhir yang disandang beliau adalah sebagai Rektor Institut Agama Islam Negeri Lampung, Sumatera. Ustaz Sulaiman Rasjid (Rasyid) tutup usia pada 26 Januari 1976 dan dimakamkan di Lampung. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atasnya serta menempatkannya bersama para shalihin.

Ahad, September 09, 2018

Selamat Tahun Baru 1440H



Selamat Tahun Baru, mudah-mudahan dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberi kesihatan dan afiat serta tutup usia dalam keimanan yang sempurna.

Selasa, September 04, 2018

Wahabi Mazhab Jahat & Keji

Puak Wahabi yang tersasar dalam blog ini mungkin terasa hati dengan tajuk entri ini. Tapi jika nak marah pun, janganlah marah kat ese, ese sekadar menyampaikan sahaja, bak kata omputeh "don't kill the messenger" dan meminjam kata Ustaz Ebit hafizahullah: "Saya cuma posmen". Tapi jika difikir, nama Wahabi telah pun busuk sejak sekian lama, sehingga puak-puak tu pun malu nak guna nama tersebut. Apa-apa pun gasaklah koranglah, ese cuma ingin mengutarakan apa yang al-'Alim al-'Allaamah al-Wali Tok Syaikh Ahmad al-Fathani rahimahullah sebut dalam kitab beliau Hadiqatul Azhar war Riyahin

Tok Syaikh Ahmad al-Fathani rahimahullah pada halaman 169 kitab tersebut, ketika menceritakan beberapa fitnah yang terjadi pada zaman Sultan Salim al-'Uthmani daripada Khilafah Uthmaniyyah Turki, menyatakan bahawa di antara fitnah-fitnah tersebut adalah fitnah yang timbul daripada puak Wahabi yang memerangi Khalifah Bani 'Uthman dan menawan al-Haramain. Kata Tok Syaikh rahimahullah:- (Dan) setengah daripadanya, fitnah Thaifah Wahhabiyyah yang melampaui mereka itu hingga merentah mereka itu akan dua tanah haram yang mulia. Dan mereka itu satu kaum yang mempunyai mazhab yang jahat dan jalan yang sesat dan iktikad yang mudarat. Dan adalah yang menghantarkan mazhab mereka itu yang keji dan yang merentahkan dia Muhammad anak Abdul Wahhab dan asalnya daripada masyriq daripada Bani Tamim....


Maka hendaklah tuan-puan ambil tahu dan fahami serta ingat apa yang telah dilakukan oleh puak Wahabi terhadap kaum Muslimin penduduk Hejaz dan Semenanjung Arab. Tuan-puan jangan ingat Wahabi masuk Kota Mekah dengan bagi salam, tidak sekali-kali, sejarah membuktikan bahawa mereka memasukinya dengan mengangkat senjata, memerangi dan membunuh kaum Muslimin. Dalam Perang Wahabi ke-2, yang berakhir dengan penjajahan mereka ke atas Hejaz, tidak kurang daripada 400,000 umat Islam yang telah mereka bunuh atau cederakan. Bahkan di tempat-tempat seperti Taif, Burayda dan al-Huda, mereka melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduknya. Ini belum lagi termasuk orang-orang yang dibunuh setelah mereka menguasai Hejaz dan Semenanjung Arab. Mereka bersekongkol dengan musuh Islam, penjajah British, untuk  melemahkan dan akhirnya menumbangkan khilafah umat Islam ketika itu, iaitu Khilafah Uthmaniyyah. Jangan sekali-kali tuan-puan lupa sejarah ini,  janganlah kerana dapat pembiayaan petrodolar, maka kita lupa segala-galanya. Maka tidaklah pelik jika para ulama kita menegaskan bahawa puak Wahabi ini memiliki mazhab yang jahat, jalan yang sesat dan iktikad yang mudarat. Oleh itu, mari kita jauhi puak-puak ini, terutama sekali zaman ini di mana ada ustaz-ustaz yang mesra Wahabi cuba memutihkan sejarah dan pegangan Wahabi dengan berbagai alasan yang menyedapkan hati. Mudah-mudahan Allah selamatkan umat Islam daripada fitnah Wahhabiyyah.

Rabu, Ogos 15, 2018

Ku' Faedah Dari 'Awaarif

Ku` dan kursu` adalah nama dua benjolan tulang (persendian) yang berada di pangkal sendi lengan tangan yang menghubungkan lengan dengan tapak tangan. Ku' itu benjolan mengiringi ibu jari, manakala kursu` itu benjolan mengiringi jari kelingking sebagaimana dijelaskan dalam satu syair yang masyhur yang bererti:- "Dan tulang yang mengiringi ibu jari tangan itu ku`, yang mengiringi akan jari kelingking tangan itu kursu` manakala rusugh itu yang ada di pertengahan (yakni yang berada di antara ku' dan kursu`). Dan tulang yang mengiringi ibu jari kaki digelar dengan bu`, maka ketahuilah dengan ilmu dan hati-hati daripada tersilap."  Signifikannya ku` dan kursu` ini kerana di sinilah tempat tapak tangan kanan kita menggenggam pergelangan tangan kiri ketika qiyam dalam shalat. Syaikh Nawawi Banten rahimahullah  dalam Nihayatuz Zain halaman 58 menjelaskan sebagai berikut:-

(Dan diletakkan keduanya) iaitu dua tapak tangan (di bawah dada dengan tangan kanan memegang tangan kiri) iaitu menggenggam ku` tangan kirinya dengan tapak tangan kanannya dan menjadikan keduanya di bawah dada dan di atas pusatnya dengan sedikit condong  ke sebelah kiri (yakni cenderung sedikit ke arah kiri tempat hati sanubari)....
Menurut sebahagian ulama, antaranya Imam Syihabuddin Abu Hafsh 'Umar bin Muhammad bin 'Abdullah as-Suhrawardi al-Baghdadi asy-Syafi`i rahimahullah yang wafat tahun 632H dalam karyanya yang masyhur 'Awaariful Ma`aarif pada halaman 182, kaifiat menggenggamnya adalah seperti berikut:-

... kemudian dia (yakni orang yang shalat tadi) menggenggam dengan tangan kanannya akan tangan kirinya dengan menjadikan kedua tangannya tersebut berada di antara pusat dan dada. Tangan kanan, kerana kemuliaannya, dijadikan di atas tangan kiri, jari telunjuk dan jari tengahnya dibiarkan menghampar lurus atas lengan tangan kiri, manakala baki tiga jari lagi menggenggam lengan tangan kiri dari dua arah sisinya (yakni sebelah atas pada arah ku` digenggam ibu jari dan sebelah bawah pada kursu` digenggam jari manis dan jari kelingking)....
Jadi maknanya, tapak tangan kanan kita menggenggam lengan tangan kiri  pada ku' dan kursu', di mana ibu jari menggenggam bahagian atas lengan kiri dan jari manis serta jari kelingking menggenggam bawah lengan kiri, manakala jari telunjuk dan jari tengah dilepaskan sahaja memanjang pada lengan kiri. Mudah-mudahan ada manfaatnya.


Selasa, Ogos 07, 2018

Syaikh Zainuddin Sarawak

Syaikh Zainuddin rahimahullah, atau yang diberi gelar oleh gurunya, Syaikh Muhammad 'Ali bin  Husain al-Maliki al-Makki sebagai al-'Alim, al-Majid, al-Laudza`ie (orang yang tabah, pintar, cerdik, cerdas lagi fasih akan lisannya), al-Fadhil, al-Hamid, asy-Syaikh Muhammad Zainuddin, adalah salah seorang ulama besar berketurunan Melayu Sarawak yang mengajar dalam Masjidil Haram. Beliau adalah anak kepada seorang lagi ulama terbilang, guru besar dalam Masjidil Haram iaitu al-'Alim al-'Allaamah al-Humam Syaikh 'Utsman as-Sirwaqi (as-Sarawaki) rahimahullah. Syaikh Zainuddin adalah anak Syaikh 'Utsman Sarawak dengan isteri beliau yang bernama Hajjah Fathimah, orang Arab Madinah. Syaikh Zainuddin sejak kecil dididik dan diasuh oleh ayahanda beliau tersebut dan juga para ulama Haramain ketika itu. Di antara guru-guru beliau adalah Syaikh Muhammad Amin Ridhwan, Syaikh Abdul Karim ad-Dagestani, Syaikh Sa`id al-Yamani, Syaikh Umar BaJunaid, Syaikh Muhammad 'Ali al-Maliki dan ramai lagi, rahimahumullah. Setelah selesai pengajian dan mantap keilmuannya, Syaikh Zainuddin telah ditauliahkan oleh para ulama Mekah untuk mengajar dalam Masjidil Haram yang mulia. Ketinggian ilmu dan akhlak beliau telah menarik hati ramai penuntut ilmu untuk berguru dengan beliau. Bahkan dikisahkan bahawa ulama pengasas Nahdlatul Wathan, organisasi Islam terbesar dan paling berpengaruh di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, Tuan Guru KH Zainuddin bin KH Abdul Majid, asal namanya adalah Muhammad Saggaf, namun ditukar oleh ayahanda beliau kepada Zainuddin kerana kagum dan tertarik hati dengan keilmuan, akhlak dan perwatakan gurunya iaitu Syaikh Zainuddin Sarawak. Selain duduk mengajar di Masjidil Haram, Syaikh Zainuddin juga merantau atau dalam istilah tempatan "berfaqir" untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu di berbagai pelusuk rantau Melayu. Ketika wafat ayahandanya, Syaikh 'Utsman Sarawak, di Mekah al-Musyarrafah, beliau tidak ada di sana kerana ketika itu beliau sedang berfaqir di Ampenan, Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat. Bahkan  nafas terakhir beliau hembuskan pada tahun 1933M ketika dalam perantauan. Beliau juga dimakamkan di perantauan, jauh dari tanah kelahirannya, iaitu di Surabaya, Pulau Jawa. Moga-moga Allah mencucuri rahmat yang berpanjangan ke atas beliau dan ayahanda beliau bi hurmatil Fatihah.

Tidak banyak yang dapat diperolehi mengenai sejarah hidup Syaikh Zainuddin rahimahullah dari karya-karya tulis. Sumber lisan juga tidak banyak diketahui, mungkin sifat khumul Syaikh 'Utsman telah turun menjadi tabiat anak cucunya, sehingga mereka tidak suka "berdengah" dengan kehebatan dan ketokohan datuk - datuk mereka yang merupakan ulama besar. Faqir sendiri yang pernah tinggal berjiran dengan salah seorang anakanda Syaikh Zainuddin dan berkawan dengan cucu-cucu Syaikh Zainuddin tidak pernah sekali pun mendengar mereka menyebut tentang latar belakang keturunan keluarga mereka. Makanya, dahulu tiada hol-hol "grand" bagi tokoh - tokoh ini yang dianjurkan oleh para waris mereka di tempat faqir walaupun terdapat ramai keturunan beliau. Ini tidak bererti tiada hol dilakukan, melakukan peringatan hol sudah menjadi tradisi masyarakat kat tempat faqir sejak dahulu walaupun menghadapi tentangan daripada so called "pembasmi bid`ah". Ada dibuatkan holnya, namun dalam skala kecil melibatkan ahli keluarga dan jiran tetangga sahaja. Bahkan, pernah satu masa, ketika dicadangkan kepada salah seorang waris beliau agar diadakan majlis hol yang agak besar seperti holnya para ulama di Tanah Jawa, beliau menampakkan keberatan dengan alasan "takut kembang idung".

Namun melihat dari sudut motivasi, memperingati jasa dan bertabarruk dengan para ulama, maka tiada masalah jika diadakan hol-holnya para ulama, yang penting niat dan keikhlasan kita dalam melakukannya. Bahkan mengadakan hol itu boleh dianggap sebagai salah satu langkah untuk menuruti anjuran Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam  agar kita menyebut dan memperingati kebaikan - kebaikan orang mati, sebagaimana diriwayatkan oleh para ahli hadits di antaranya Imam Tirmidzi dan Imam Abu Daud yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sebutlah / Ingatlah kamu akan kebaikan-kebaikan orang-orang yang telah mati daripada kalangan kamu dan tahanlah diri kamu daripada menyebut keburukan-keburukan mereka."

Alhamdulillah, pihak ABIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak, atas inisiatif akhinal karim Ustaz Fazril Saleh hafizahullah, telah berjaya mengadakan sambutan bagi memperingati 100 tahun wafatnya Syaikh 'Utsman as-Sarawaki rahimahullah. Bahkan Ustaz Fazril telah menerbitkan semula kitab manakib Syaikh 'Utsman karangan Syaikh Zainuddin yang berjodol Nafahatur Ridhwan fi Manaqibisy Syaikh 'Utsman. Mudah-mudahan segala amalan pihak-pihak tersebut diberi setinggi-tinggi ganjaran oleh Allah azza wa jalla dan bermanfaat untuk seluruh umat, khasnya umat Islam di Sarawak..... Allahumma aamiin.

Rabu, Ogos 01, 2018

Cungkil Gigi Punya Pasal

Pernah dimuatkan dalam pelbagai media sosial, bahkan disampaikan dalam ceramah-ceramah, akan kisah yang dikaitkan dengan peristiwa Nabi Isa 'alaihis salam menghidupkan orang mati yang menceritakan bahawa dia dihisab atau disoal atau diazab sejak 70 tahun yang lalu dari tarikh kematiannya hanya kerana secebis kayu yang diambilnya tanpa hak atau izin si pemilik untuk mencungkil gigi. Begitulah kira-kira ringkasan ceritanya, faqir pun ingat-ingat lupa. Bukanlah hasrat faqir untuk memanjangkan kisah ini kerana faqir pun tidak mengetahui dengan jelas tentang kesahihan kisah yang dikatakan ada disebut dalam kitab 'Araa-isul Majalis karya Imam Abu Ishak Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim an-Naisaburi atau lebih dikenali sebagai Imam ats-Tsa'labi rahimahullah. Jika pun benar kisah tersebut ada dimuatkan dalam kitab tersebut, maka menurut kajian ulama, riwayat-riwayat yang terkandung dalam kitab tersebut adalah bercampur-campur, ada yang sahih, ada yang samar, yang dhaif, yang mawdhu` dan dipenuhi juga dengan kisah-kisah Israiliyyah yang tidak diketahui kedudukannya. Ini antara sebab kenapa sebahagian ulama mengatakan bahawa Imam ats-Tsa'labi dalam menghimpun riwayat-riwayat dalam kitab tersebut adalah seumpama haathib lail (yakni seorang yang memungut kayu api dalam kegelapan malam, maka dia tidak mengetahui samada yang dipungutnya itu kayu api atau ular yang berbisa). Imam ats-Tsa'labi rahimahullah dalam karyanya tersebut hanya mengutip dan menghimpun sahaja segala riwayat dan kisah tanpa mengambilkira atau mempastikan darjat dan kesahihan kisah-kisah tersebut. Jadi tidaklah faqir mengetahui kesahihan kisah tersebut tadi, kerana ianya perlu kepada kajian lanjut.

Dalam entri ini, faqir berhasrat berkongsi kisah mimpi sahaja. Mimpi seorang ulama tentang ulama lain yang dinukil oleh Imam an-Nawawi rahimahullah. Sebelum itu haraplah dimaklumi bahawa kisah-kisah sebegini bukanlah bertujuan untuk melemahkan semangat kita terhadap keluasan rahmat Allah yang maha luas. Yang perlu kita fahami adalah hidupnya kita atas muka bumi ini hendaklah bertunjangkan kepada dua sifat, sifat khauf (takut) dan sifat raja` (harap), jangan semata-mata khauf sehingga kepala kita pusing dan dada kita sesak, dan jangan pula semata-mata raja` yang akhirnya menjadikan kita meremehkan segala titah dan tegah. Hendaknya kita dalam khauf ada raja` dan dalam raja` ada khauf, sebagaimana yang digambarkan oleh Sayyidina Tsabit al-Bunani rahimahullah, diriwayatkan oleh Abdullah bin Imam Ahmad bin Hanbal dalam zawaidnya bagi kitab az-Zuhd, bahawa: Jika ditimbang khauf seorang mukmin dengan raja`nya nescaya sama timbangannya. Harap dapat difahami, jika tak faham, harap pergilah mengaji bab khauf dan raja` dengan para guru yang dimuliai.

Imam an-Nawawi dalam karya beliau Bustanul 'Arifin pada halaman 138 menukilkan satu kisah yang dikhabarkan oleh asy-Syaikh al-Amin al-Musnid Abul Fadhal Muhammad bin Muhammad bin Muhammad at-Taimi al-Bakri, daripada Syaikh Abu Hafsh 'Umar bin Muhammad bin Mu`ammar bin Thabarzad, daripada al-Hafiz Abul Qasim Ismail bin Ahmad bin 'Umar as-Samarqandi, daripada Abdud Daim bin al-Hasan al-Hilali, daripada 'Abdul Wahhab bin al-Hasan al-Kilabi, daripada Muhammad bin Khuraim al-'Uqaili yang berkata bahawa beliau mendengar Imam Ahmad bin Abil Hawari (wafat tahun 230H) berkata: "Aku berharap-harap untuk mimpi bertemu dengan Imam Abu Sulaiman ad-Darani (yang telah wafat). Setelah setahun kewafatannya, barulah aku bermimpi bertemu dengannya dan aku bertanya kepadanya: "Wahai Mu`allim, apa yang dilakukan Allah terhadap dirimu?" Beliau menjawab: "Wahai Ahmad, satu hari aku telah melalui Bab ash-Shaghir lalu berjumpa dengan muatan unta berupa tumbuhan dan pepohon untuk makanan haiwan. Maka aku telah mengambil daripada muatan tersebut secebis atau sepotong ranting / jerami kering. Aku tidak ingat apa yang aku lakukan dengannya, samada aku mencungkil gigi dengannya atau kulemparkan sahaja. Maka aku menghadapi hisabnya (yakni dipersoalkan mengenainya) sejak kematianku setahun yang lalu sehingga ke saat ini (yakni dia masih dihisab kerana secebis atau sepotong ranting / jerami yang telah diambilnya tanpa izin atau hak walaupun telah setahun dia meninggal dunia.)"

Kata Imam an-Nawawi bahawa ini merupakan cerita yang amat dahsyat sebagai pendorong kita untuk bersikap warak serta mengancam agar jangan mengambil sikap mudah terhadap perbuatan-perbuatan aniaya atau zalim yang kecil atau remeh. Untuk pengetahuan, kisah ini juga disebut oleh Imam adz-Dzahabi dalam Siyar A'laam an-Nubala`, juz ke-10, halaman 185-186, dengan sanad daripada al-Muslim bin Muhammad, daripada al-Qasim bin 'Ali, daripada ayahandanya, daripada Thahir bin Sahl, daripada Abdud Daim al-Hilali, daripada Abdul Wahhab al-Kilabi, daripada Muhammad bin Khuraim, daripada Imam Ahmad bin Abil Hawari. Mudah-mudahan dapat dijadikan renungan dan panduan agar tidak bermudah-mudah melakukan kezaliman dan menganiayai orang lain dengan mengambil hak mereka, apatah lagi hak rakyat marhaen. Banyakkanlah membaca doa yang diajar oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Allahumma haasibni hisaaban yasiira" (Ya Allah, ringan dan mudahkanlah hisabku). Mudah-mudahan Allah menghisab kita dengan hisab yang ringan lagi mudah..... Allahumma aamiin. 

Selasa, Julai 24, 2018

Kiyai Abul Fadhol

Seorang lagi ulama besar yang banyak jasanya kepada ummat, Kiyai Abul Fadhol (Ahmad) bin Kiyai Abdul Syakur as-Senori at-Tubani rahimahullah. Seorang luarbiasa, kekuatan hafalannya terhitung ajaib dan kemampuannya untuk mengarang kitab-kitab berbahasa 'Arab amat mengkagumkan. Sekitar umur 9 tahun, beliau sudah hafal al-Quran dan dikatakan beliau menghafal keseluruhan 30 juz dalam tempoh 2 atau 3 bulan sahaja, berkat asuhan ayahanda beliau yang amat menitikberat kaedah menghafal dalam proses pembelajaran.  Beliau yang dilahirkan pada tahun 1921 adalah gurunya para kiyai besar Tanah Jawa seperti KH Sahal Mahfuz, KH Maimoen Zubair, KH Faqih Langitan, KH Hasyim Muzadi dan ramai lagi. Ayahanda beliau, Kiyai Abdul Syakur adalah rakan karib Hadhratusy Syaikh KH Hasyim Asy`ari.

Kiyai Abul Fadhol rahimahullah merupakan sosok ulama yang sangat luas dan mendalam pengetahuan agamanya, walaupun sewaktu hayat, beliau tidak pernah belajar di Timur Tengah. Dengan berkat keikhlasan, ketekunan dan disiplinnya dalam menuntut ilmu, maka beliau berjaya menguasai berbagai cabang ilmu. Dalam belajar beliau tidak sahaja memahami sesuatu ilmu tersebut, bahkan sedaya upaya beliau akan menghafalnya kerana bagi beliau "al-'ilmu fir ra'si, laisa fil karrasi" (ilmu itu apa yang ada dalam kepala (yakni yang dihafal) bukannya apa yang tertinggal pada helaian - helaian kertas). Kecintaannya kepada ilmu amat mendalam sehingga menjadi wirid beliau mentelaah sebuah kitab besar dan mengkhatamkannya dalam tempoh 10 hari. Seringkali ketika khatam kitab tersebut, separuh isinya sudah ada dalam hafalan beliau. Ketinggian ilmunya menjadikan beliau tempat para kiyai merujuk sehingga digelar "Kamus Berjalan". Selain daripada itu, Kiyai Abul Fadhol juga dikenali sebagai seorang sufi yang zuhud. Kehidupan harian beliau jalani dengan penampilan yang amat sederhana dan bersahaja sehingga sesiapa yang baru pertama kali menemui beliau tidak akan menyangka yang beliau itu kiyai besar. Setiap jam 1 pagi, beliau akan bangkit dari tidurnya dan bershalat, membaca al-Quran, hizib-hizib dan berzikir sehingga ke Subuh. Maka tidak hairan, jika sebulan beliau dapat mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali khatam.

Dalam bidang penulisan Kiyai Abul Fadhol rahimahullah meninggalkan karya - karya yang banyak lagi bermutu. Beliau mempunyai tulisan tentang sejarah perjuangan para wali Tanah Jawa menghadapi Kerajaan Majapahit yang berjodol Ahlal Musaamarah fi Hikayatil Awliya-il 'Asyarah. Dalam karya ini, beliau turut menyentuh kisah wali yang kesepuluh, Syaikh Siti Jenar yang nama sebenarnya Sayyid Abdul Jalil bin Sayyid Abdul Qadir,  sedangkan Siti Jenar itu adalah nama desa tempat beliau mengungsi untuk membawa diri berkhalwat. Disebut bahawa Syaikh  Siti Jenar adalah seorang sufi yang karam tenggelam dalam ilmunya. Beliau tenggelam dalam tafakkur dan zikir tanpa menghiraukan soal makan - minum. Saking larutnya beliau, sehingga segala wajdan dan waridat yang datang tidak lagi mampu untuk disimpan dan ditahan dalam hati sanubarinya, lalu terkeluar pada lisannya syatahat (latah) sehingga menjadi fitnah atas orang yang mendengarnya. Maka  kerana itulah beliau dijatuhkan hukuman mati, sebagaimana yang dialami oleh Abul Mughits Husain bin Manshur al-Hallaj. Semuanya adalah untuk menjaga keutuhan dan kesucian akidah dan syariat daripada disalahfahami orang awam akibat terikut-ikut fana Syaikh Siti Jenar yang tidak terkawal. Mereka-mereka ini adalah golongan sufi yang disebut dalam kitab-kitab sebagai "wa annahum qad ghulibu bil haal" iaitu mereka yang dikalahkan oleh hal yang datang kepada mereka. Faqir datangkan contoh yang sederhana untuk memudahkan faham berhubung keadaan "mereka-mereka yang dikalahkan oleh halnya", iaitu faqir cuplik daripada hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam  yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, menceritakan tentang seseorang yang kehilangan unta tunggangan bersama bekal perjalanannya di tengah padang pasir yang kering kontang. Setelah berputus asa untuk mencarinya tiba-tiba dia berjumpa semula dengan untanya, lalu dipegangnya tali kekang untanya seraya berkata: Allahumma anta 'abdi wa ana rabbuka (Ya Allah, Engkau hambaku dan aku tuhanMu). Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menjelaskan bahawa orang tersebut tersilap dan terkhilaf sehingga mengeluarkan ungkapan tersebut kerana terlalu amat gembira bertemu semula dengan untanya yang hilang (.....'akhtha-a min syiddatil farah). Mudah-mudahan contoh ini dapat menghampirkan faham kita kepada situasi seseorang yang dikalahkan oleh perasaannya atau halnya. Berbalik kepada kisah Syaikh Siti Jenar, Kiyai Abul Fadhol menegaskan bahawa kita hanya mampu menghukum atas apa yang zahir, masalah hakikat, kita serahkanlah kepada al-Haq jalla jalaluh. Akhirnya, Kiyai Abul Fadhol menutup bicara perihal Syaikh Siti Jenar dengan mengutip bait - bait syair yang antaranya bererti: Sesiapa yang hendak memahami sesuatu ilmu yang penuh isyarat, maka hendaklah dia memahaminya dengan sempurna. Jika tidak, maka dia akan terbunuh di hujung sebatang tombak.

Dalam bidang bahasa pula, kemampuan dan penguasaan ilmu bahasa Kiyai Abul Fadhol terbukti menerusi karangan-karangan beliau yang semuanya berbahasa Arab. Selain daripada itu, beliau juga mempunyai karya khusus dalam bidang bahasa antaranya 3 juz syarah bagi Alfiyyah Ibnu Malik yang diberi jodol Tashiilul Masaalik ila Alfiyyah Ibn Malik. Dalam bidang fiqh dan usul, beliau meninggalkan karya antaranya Kifayatuth Thullab fi Qawaa'idil Fiqhiyyah dalam bentuk nazam yang disari dari Asybah Imam as-Sayuthi dan kitab Kasyfut Tabarih fi Bayani Shalatit Tarawih yang menjelaskan masalah rakaat bagi Shalat Tarawih.

Dalam bab akidah dan tauhid, antara peninggalan beliau adalah kitab al-Kawaakibul Lamaa`ah fi tahqiqil musamma bi Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan syarahnya yang membicarakan tentang Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar. Di akhir kitab tersebut dijelaskan juga kesesatan fahaman Ibnu Taimiyyah dan pendokongnya, Muhd bin Abdul Wahhab, pendiri Wahabi. Pada halaman 88, Kiyai Abul Fadhol menegaskan bahawa Ibnu Taimiyyah adalah pendokong dan pengikut al-Hasywiyyah, satu firqah mujassimah yang menisbahkan diri mereka kepada Imam Ahmad bin Hanbal radhiyaAllahu `anhu, sedangkan Imam Ahmad sebagai seorang ahlis sunnah yang sejati adalah bebas daripada dakwaan dan kesesatan mereka. Makanya, Ibnu Taimiyyah begitu berani dan sanggup untuk mentajsimkan Allah dengan menisbahkan sifat-sifat makhluk kepada Allah Zat yang mukhalafah lil hawadits (bersalahan dengan segala yang baharu).

Kiyai Abul Fadhol rahimahullah juga menyentuh dalam karya tersebut akan fatwa sesat Ibnu Taimiyyah dan Ben Wahab mengharamkan ziarah kubur hatta ziarah makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.  Di mana kita dapati masih ada segelintir ustaz "Wahabi bertopeng" atau yang mesra Wahabi, dalam Malaysia Baharu ini yang mendokong fatwa ini dan cuba untuk mendakyahkannya kepada orang awam secara halus dengan menyepelekan berziarah ke makam baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang mulia. Dalam tulisan dan secara lisan, mereka cuba mengalihkan tumpuan masyarakat daripada menziarahi baginda shallaAllahu 'alaihi wa sallam kepada menziarahi tanah, batu dan binaan yang ada di Madinah, seolah - oleh itu yang lebih utama daripada menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang jasad baginda bersemayam dalam makam yang mulia. Maka bertepatan dengan musim haji yang akan tiba, di mana selain berhaji, para jemaah juga semestinya mendatangi Madinah dengan tujuan pertama dan utama, menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka faqir ingin berkongsi sedikit tulisan Kiyai Abul Fadhol dalam syarah beliau atas al-Kawaakibul Lamaa`ah tersebut, pada halaman 109-110, beliau menulis: Sebelum zahirnya Muhd bin Abdul Wahhab, para ulama telah sepakat bahawasanya ziarah kubur itu adalah satu amalan yang disukai (mustahabbah) terutama sekali menziarahi kubur Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka sesungguhnya menziarahi baginda adalah daripada sebesar-besar amalan untuk bertaqarrub kepada Allah, bahkan Imam al-'Abdari al-Maliki menyatakan bahawa qasad untuk menziarahi baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah afdhal, mengatasi qasad untuk menziarahi Ka'bah dan menziarahi Baitul Maqdis, sebagaimana yang dinukil oleh al-Barmawi. Qadhi Iyyadh menyatakan bahawa ijmak para ulama bahawa tempat makam baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam itu afdhal daripada mana-mana belahan bumi yang lain, manakala Mekah dan Madinah adalah belahan bumi yang afdhal selepasnya.

Para ulama kita terdahulu seperti Kiyai Abul Fadhol, telah banyak meninggalkan karangan agar kita tetap berada atas jalan yang sebenar, Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan tidak terpesong mengikuti ajaran-ajaran serpihan seperti Ibnu Taimiyyah dan Wahabi. Maka diharap kita sebagai pengikut ahlul haq, Ahlis Sunnah wal Jama`ah dapat merapatkan shaf kita untuk mempertahankan akidah, tanpa mengira apa parti politik yang kita sokong. Kita mahu melihat Islam tertegak, namun haruslah Islam yang sebenar, Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan bukannya Syiah atau Wahabi atau apa-apa merek ajaran sempalan yang lain. 

Isnin, Julai 16, 2018

Shalawat Tafrijiyyah - Tok Bunut Payong

Tuan Guru al-'Alim al-'Allaamah Haji Abdullah Tahir bin Haji Ahmad rahimahullah adalah murid tua Tok Kenali  rahimahullah yang paling kanan. Beliau berguru dengan Tok Kenali selama lebih 15 tahun sebelum melanjutkan pengajian ke Mekah al-Mukarramah. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang faqih dalam Mazhab Syafie. Beliau telah mengasaskan Madrasah Ahmadiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Bunut Payong yang terkenal sebagai pusat pengajian pondok yang terbesar dan tertinggi di Kelantan ketika itu, di mana berkumpulnya para tok faqir / pelajar / santri dari berbagai negeri di Semenanjung, Indonesia, Champa dan Thailand. Tuan Guru Haji Abdullah kembali ke rahmatullah pada 4 Rabiul Awwal 1381 / 15 Ogos 1961. 

Kisah hidup dan perjuangan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payong telah banyak ditulis dan sudah masyhur dikenali para pencinta ilmu dan ulama. Pada kesempatan ini, faqir hanya ingin berkongsi catatan beliau tentang Shalawat Tafrijiyyah

Di antara peninggalan beliau adalah satu risalah yang berjodol Wazifah Zarifah berisikan 8 shighah shalawat yang menjadi amalan beliau. Diterangkan juga dalam risalah tersebut akan khasiat dan aturan mengamalkan shalawat-shalawat tersebut. Shalawat Tafrijiyyah juga terkandung di dalamnya dan beliau mencatat sebagai berikut: Menyatakan khasiat dan aturan-aturan Shalawat Tafrijiyyah ini: (1) Baca 11 kali tiap-tiap hari, meluaskan rezekinya. (2) Baca 11 kali tiap-tiap lepas sembahyang fardhu, mendatangkan rezeki dan diberi kesenangan dan kemuliaan. (3) Baca 41 kali lepas sembahyang Subuh, menyenangkan apa-apa kehendak dan hajat. (4) Baca 41 kali atau 100 kali tiap-tiap hari, dihilangkan runsing, dukacita, kesusahan dan terlepas daripada bala, fitnah, kepapaan dan kelaparan, dan menerangkan hati, dan diangkatkan kemuliaan, dan dielokkan perangai, diluaskan rezeki, dimudahkan segala pekerjaan, dibukakan pintu kebajikan, didengar cakapan pada kira bicara, dikasihi pada segala hati orang. (5) Baca 313 kali tiap-tiap hari, dibuka tiap-tiap rahsia dan diberi lihat tiap-tiap suatu yang dikehendak. (6) Baca 1,000 kali tiap-tiap hari, dikurniakan dia barang yang tidak dapat seseorang mensifat dan memperikannya. (7) Baca 4,444 kali dalam satu perhimpunan majlis untuk memohon satu-satu perkara yang digemar atau menolakkan perkara yang dibenci, maka Allah jua yang menunjukkan atas niat hambaNya.

Inilah sedikit apa yang dicatat oleh Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengenai Shalawat Tafrijiyyah yang menjadi amalan beliau. Segala apa yang beliau nyatakan tadi semestinya beliau perolehi daripada tuan-tuan guru beliau dan daripada kitab-kitab ulama yang muktabar. Apa yang dinyatakan adalah berseberangan dengan "fatwa" ustaz-ustaz salahpi yang menghukumkan Shalawat Tafrijiyyah sebagai syirik dan jalan ke neraka. Faqir tetap berpegang dengan ajaran tuan-tuan guru kita yang banyak jasanya, fatwa salahpi boleh pi.


Isnin, Julai 02, 2018

Basmallah Wasiat Hujjatul Islam

Setelah lama menyepi, faqir mulakan tulisan dengan entri berkaitan pembuka bicara, kalimah suci basmallah, mudah-mudahan diberkati Allah, awwalan wa akhiran, berkekalan sepanjang zaman. Basmallah, ucapan yang ringan untuk dilafazkan namun mempunyai keistimewaan yang amat luarbiasa. Mudah-mudahan, kita ditaufikkan Allah untuk sentiasa ingat dan membaca lafaz yang mulia ini ketika memulakan setiap pekerjaan yang elok, juga pada setiap gerak dan diam kita. Sebelum itu, faqir ingin mengingatkan bahawa dalam selok-belok Bahasa 'Arab, ada  kaedah yang dinamakan an-naht, berfungsi meringkas rujukan atau mendefinasi  beberapa rangkaian kalimah kepada satu terma ringkas yang merujuk kepadanya, seperti basmallah itu merujuk kepada ungkapan yang berkat BismillAllahir Rahmanir Rahim, hauqalah itu merujuk kepada La hawla wa la quwwata illa billah, hamdallah itu merujuk kepada Alhamdulillah, hasballah itu merujuk kepada ucapan hasbiyaAllah dan lain-lain lagi. Jadi bila disuruh membaca basmallah, jangan pula dibaca basmallah, basmallah, basmallah, tapi ucapkanlah Bismillahir Rahmanir Rahim.

Dr. Sayyid Muhammad al-Maliki rahimahullah dalam karya beliau "Abwaabul Faraj" menukil pada halaman 117 akan perkataan Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu yang menyatakan:-

Telah berkata Imam al-Ghazali rahimahullahu ta`ala tentang keistimewaan kalimah al-basmallah: Ketahuilah bahawasanya keistimewaan-keistimewaannya (yakni al-basmallah) itu amat banyak sehingga tidak dapat dihitung dan tidak dapat dikira. Namun aku berwasiat kepadamu, wahai saudaraku kerana Allah (yakni saudara seagama), jadikanlah segala pekerjaan atau urusanmu diawali dan dibuka dengan "Bismillah", ketika engkau (hendak) duduk, berdiri, tidur, berwudhu`, shalat dan membaca. Sesiapa yang melakukannya dalam keadaan-keadaan tersebut, Allah akan memudahkan dia menghadapi sakaratul maut, memudahkan dia menjawab soalan Munkar dan Nakir, menghindarkan  dia daripada kesempitan kubur, melapangkan kuburnya serta meneranginya.
Allahu ... Allah, sungguh besar rahmat dan nikmat yang disediakan Allah kepada hamba-hambaNya. Sungguh rugi sesiapa yang enggan menerima dan meraihnya. Oleh itu, biasakan dan lazimkanlah ucapan basmallah di bibir-bibir kita dan biarlah pemahaman dan kefahamannya menancap kukuh dalam hati sanubari kita. 

Selasa, April 24, 2018

Jadilah Seperti Abu Dhamdham

Sifat berlapang dada dengan mudah memberi maaf bagi kesalahan yang dilakukan oleh seseorang terhadap diri kita adalah salah satu daripada akhlak yang terpuji. Seharusnya sifat sebegini disemai dan dipupuk dalam diri kita selaku umat Islam. Jika kalangan awam wajar memiliki sifat sedemikian, maka bagi seseorang pemimpin atau yang hendak menjadi pemimpin atau "public figure" seharusnya berlebih lagi. Pemimpin hendaklah bersikap pemaaf dan berlapang dada dalam menerima apa sahaja yang datang daripada khalayak. Janganlah hanya suka dan sudi menerima sanjungan dan pujian sahaja, manakala marah dan mengamuk bila dicaci dan dicemuh. Sanjungan dan kejian, itu adalah lumrah bagi seseorang yang berada di atas atau "public figure", yang jadi tumpuan pandangan mereka yang di bawah. Jadilah pemimpin yang jiwanya besar seperti air dalam lautan, jangan yang jiwanya kecil bak air dalam cawan. Tidak dinafikan bahawa yang menjahanamkan seseorang pemimpin itu adalah para penjilat dan tukang kipas yang berada di sekelilingnya. Bak kata bidalan "harapkan sokong, sokong membawa rebah" - ingat rebah di sana lebih lagi dahsyatnya dari rebah di sini. Kekadang pemimpin tidak ada apa-apa, pemimpin tak kisah pun, cuma tukang kipas sahaja yang lebih-lebih. Maka kasihanlah kat para pegawai polis yang terpaksa meluangkan masa mereka untuk melayan karenah. Sudah-sudahlah berbuat sedemikian, belajarlah untuk menjadi seorang Abu Dhamdham.

Siapakah Abu Dhamdham? Faqir tidak berhasrat untuk memanjangkan berbagai pendapat di kalangan ulama mengenainya, ada yang menyatakan dia seorang sahabat, ada yang menyatakan dia daripada kalangan umat terdahulu dan ada yang menyatakan dia adalah satu watak manusia daripada kalangan umat ini. Siapa sebenarnya diri Abu Dhamdham tidak signifikan, yang penting adalah sikap pemaaf yang ada pada seorang Abu Dhamdham yang dipuji oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Abu Dhamdham adalah contoh orang yang murah dengan kemaafan sehingga dia sanggup memberikan kemaafan kepada orang yang mencaci, mencela dan menceroboh kehormatannya walaupun tanpa diminta.

Riwayat mengenai Abu Dhamdham ini berbagai, di antaranya apa yang diriwayatkan dalam Sunan Abi Daud pada bab apa yang datang pada riwayat mengenai seseorang yang menghalalkan (yakni memaafkan) orang lain mengumpat dirinya, di mana didatangkan 2 riwayat mengenai Abu Dhamdham. Riwayat pertama adalah daripada Muhammad Ibnu 'Ubaid daripada Ibnu Tsaur daripada Ma'mar daripada Sayyidina Qatadah radhiyaAllahu `anhu yang berkata: "Apakah kamu tidak mampu menjadi seperti Abu Dhamdham atau Dhamdham (berlaku keraguan atas Ibnu 'Ubaid samada Abu Dhamdham atau Dhamdham sahaja). Adalah beliau (yakni Abu Dhamdham atau Dhamdham tadi) pada ketika pagi berkata: "Ya Allah, sesungguhnya aku telah bersedekah dengan kehormatanku kepada hamba-hambaMu". Riwayat kedua pula adalah daripada Musa ibnu Ismail daripada Hammad daripada Tsabit daripada 'Abdur Rahman ibni 'Ajlaan yang berkata bahawa Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Apakah kamu tidak mampu untuk menjadi seperti Abu Dhamdham?" Para sahabat bertanya: "Siapakah Abu Dhamdham?" Baginda menjawab: "Seorang lelaki sebelum kamu, yang berkata: 'Kehormatanku adalah untuk sesiapa yang mencelaku."

Imam an-Nawawi pula menukilkan dalam al-Adzkar pada halaman 148 daripada kitab Ibnus Sunni sebagai berikut:-

Daripada Sayyidina Anas radhiyaAllahu `anhu bahawasanya Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Apakah kamu tidak mampu untuk menjadi seperti Abu Dhamdham?" Para sahabat bertanya: "Siapakah Abu Dhamdham, wahai RasulAllah?" Baginda bersabda: " Dia adalah seseorang yang ketika berpagi berkata: "Ya Allah, aku telah hibahkan diriku dan kehormatanku keranaMu", maka dia tidak mencaci orang yang mencacinya, dia tidak menganiaya orang yang menganiayainya dan dia tidak memukul orang yang memukulnya."
Akhir sekali, faqir ingin menukilkan riwayat yang didatangkan oleh panutan pihak parti lawan (pihak sebelah), iaitu Ibnu Qayyim al-Jawziyyah dalam Madarijus Salikin, juz 2, halaman 45 yang menyatakan:-

Martabat Pemurah Yang Ke-7: Pemurah dengan kehormatan, seperti pemurahnya Abu Dhamdham daripada kalangan sahabat radhiyaAllahu `anhum. Adalah beliau ketika berpagi berkata: "Ya Allah, tiada bagiku harta untuk aku sedekahkan dengannya kepada manusia, oleh itu telah aku sedekahkan kepada mereka kehormatanku, maka sesiapa yang mencelaku atau memfitnahku, aku halalkan (yakni aku maafkan dia)". Maka Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (memujinya dengan) bersabda: "Siapa daripada kamu yang mampu menjadi seperti Abu Dhamdham?"
Begitulah ikhwah, riwayat - riwayat mengenai Abu Dhamdham @ Dhamdham bukanlah untuk dijadikan lesen atau galakan kita mencela, mengumpat, mencaci,  mencemuh dan memfitnah orang, TAPI hendaklah dijadikan panduan dan pegangan ketika kita mendapat cacian dan makian manusia. Bukan juga ertinya kita tidak boleh bertindak atau membalas, tapi biarlah berpada dan mengikut lunas serta batas  ketentuan Hukum Syarak yang mulia, dengan catatan bahawa memaafkan itu lebih utama. Terutama sekali bagi para pemimpin dan setiap yang berada di atas, hendaklah sentiasa bermurah hati memberikan kemaafan. Janganlah setiap kali dicaci dan dicemuh, terus buat repot, arah polis, arah AG,  guna kuasa untuk dakwa dan seumpamanya. Semenjak dua menjak ni, bukan main hebat lagi guruh dan kilatnya, jika ada pemimpin tertentu yang dicaci, awat bila tang agama dihina, Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dicerca, sonyappp joooo. Kalau pun ada yang kena, berapa sen je. Takkan memada kita dengan hukuman bunuh tenok lebih besar daripada hukuman menghina Agama Persekutuan, Islam dan Nabinya.... tak patut...tak patut....tak patut. Apa-apa pun, sendiri kena ingat dan ingat juga memberikan kemaafan ada satu sedekah, sedekah yang sifatnya maknawi lagi abstrak. Jadilah seperti Abu Dhamdham, tapi jangan jadi dum...dum...dummy.

Ahad, Februari 04, 2018

Qadhi Abu Syuja`

Syaikh al-'Alim al-'Allaamah al-Imam Syihabud Dunya wad Din, Ahmad bin Husain bin Ahmad al-Ashfahani asy-Syafi`i rahimahullah yang lebih dikenali sebagai Qadhi Abu Syuja` @ Qadhi Abu Thayyib adalah seorang ulama besar dalam mazhab asy-Syafi`i. Tarikh lahir dan wafatnya tidak diketahui dengan pasti. Ada yang menyatakan beliau lahir dalam tahun 328H dan wafat pada tahun 488H, manakala pendapat lain menyatakan bahawa beliau lahir tahun 433H dan wafat tahun 593H.

Ketokohan beliau amat terserlah sehingga dilantik menjadi qadhi dan akhirnya menduduki jawatan wazir. Namun kedudukan dan pangkat sedikit pun tidak mempengaruhi keshalehan, sikap warak dan zuhud beliau. Bahkan beliau dikenali di segenap ceruk rantau sebagai seorang imam yang shaleh lagi alim. Sewaktu menduduki jawatan wazir, beliau menugaskan 10 orang pembantu bertugas membahagi dan mengagih-agihkan sedekah dan hadiah, di mana setiap seorang diberi 120,000 dinar untuk dibahagi kepada orang - orang miskin, penuntut dan ahli ilmu serta sesiapa sahaja yang memerlukannya. Beliau sendiri tetap hidup dengan penuh kezuhudan terhadap dunia yang fana ini.

Qadhi Abu Syuja` dianugerahkan dengan umur yang cukup panjang, iaitu 160 tahun, sebagaimana disebut oleh Imam al-Bujairimi dan Imam al-Bajuri dalam kitab - kitab mereka. Setelah bersara dari jawatan wazir, Qadhi Abu Syuja` berhijrah ke Kota Madinah al-Munawwarah untuk menjadi khadam kepada Junjungan Nabi SAW yang berkhidmat menjaga dan melayan segala keperluan makam dan masjid baginda yang mulia. Meskipun seorang ulama besar dan mantan wazir, Qadhi Abu Suja` tidak segan dan malu untuk membersih sendiri makam dan masjid yang mulia serta menyalakan lampu - lampunya. 

Sungguh pun menjangkau usia lanjut, namun tubuh badannya tetap seperti orang muda, segala anggota-anggotanya tetap seperti dahulu tidak dimamah usia. Apabila ditanya mengenainya, beliau menjawab:- "Kami telah menjaganya sejak kecil, maka Allah menjaganya ketika kami tua (yakni sejak kecil lagi beliau telah menjaga dan memelihara segala anggotanya daripada berbuat maksiat kepada Allah, maka Allah pun menjaga dan memelihara segala anggota beliau agar tetap cergas dan berfungsi walaupun usia beliau sudah lanjut). Inilah sebahagian akhlak dan sifat para ulama kita, jadi bagaimana mungkin kita meninggalkan jalan mereka untuk menuruti jalan orang yang "konon"nya lebih faham akan ajaran Islam daripada mereka, namun ilmu dan amal juga akhlak sebesar kuku pun tidak seperti mereka.
 
Qadhi Abu Syuja` wafat di Kota Madinah dan di sanalah beliau dimakamkan. Antara peninggalan beliau yang masyhur adalah karya fiqh mazhab Syafi`i yang banyak disyarahkan oleh ulama-ulama yang datang kemudian. Karya tersebut adalah "al-Ghayah wa at-Taqrib" atau "Ghayatul Ikhtishar" atau "Mukhtashar Abi Syuja`" atau sering disebut sebagai "Matan Abi Syuja`". Karya ini telah disyarah dan diberi penjelasan oleh ramai ulama kemudian, antaranya, oleh:-
  1. Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad al-Hishni - "Kifayatul Akhyar"
  2. Imam Ahmad al-Akhshashi - "Syarh Mukhtashar Abi Syuja`";
  3. Imam Muhammad bin Qasim al-Ghazzi -  "Fathul Qarib al-Mujib";
  4. Imam Waliyuddin al-Basyir - "an-Nihayah fi Syarhil Ghayah";
  5. Imam Muhammad asy-Syarbini al-Khatib - "al-Iqna`";
  6. Imam Ahmad bin al-Qasim al-`Ubbadi - "Kasyful Ghaffar"
Maka berpanjanganlah ilmu beliau sehingga dimanfaati kita di zaman ini. Mudah-mudahan Allah mencucurkan rahmatNya kepada Qadhi Abu Syuja` dan sekalian para ulama dan shalihin juga sekalian umat ini..... al-Fatihah.

Selasa, Januari 02, 2018

Nabi Khidhir - Imam an-Nawawi

Menurut kebanyakan ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah, al-Khadhir atau al-Khadhr atau al-Khidhr atau yang biasa dan mudah di lidah kita Nabi Khidhir `alaihis salam adalah seorang nabi yang dianugerahkan Allah ta`ala dengan umur yang panjang sehingga dikatakan baginda hanya akan diwafatkan ketika al-Quran diangkat ke langit, iaitu ketika kiamat hampir tiba. Imam an-Nawawi rahimahullah dalam karya beliau Shahih Muslim bi syarhi an-Nawawi, syarah bagi Shahih Muslim turut menyentuh tentang Nabi Khidhir alaihis salam dalam juzuk ke-15, halaman 135 - 136, pada Bab Min Fadhail al-Khidhr shallaAllahu `alaihi wa sallam, di mana beliau rahimahullah antara lain menjelaskan sebagai berikut:- 
Jumhur ulama (yakni majoriti ulama) berpendapat bahawasanya dia (yakni Sayyidina Khidhir 'alaihis salam) hayyun maujudun baina adzharina (hidup dan wujud, berada di kalangan kita, yakni masih hidup pada masa kita ini) dan pendapat ini telah disepakati oleh para shufi dan ahlush sholah wal ma'rifah (orang-orang ahli kebajikan dan ma'rifah). Kisah-kisah mereka melihat dan berjumpa dengannya serta mengambil pelajaran dan bersoal-jawab dengannya, juga kehadirannya di tempat-tempat mulia dan tempat-tempat kebajikan adalah terlalu banyak untuk dihitung dan terlalu masyhur untuk disembunyikan.
Dan telah berkata Syaikh Abu 'Umar bin ash-Sholah: "Dia (yakni Nabi Khidhir) hidup menurut jumhur ulama dan orang-orang sholeh dan orang awam adalah bersama mereka dalam perkara ini". Dia juga berkata: "Bahawasanya pendapat sebahagian ahli hadis yang mengingkari hidupnya Nabi Khidhir sehingga masa kini adalah satu pendapat yang syadz (yakni pendapat yang ganjil lagi lemah dibandingkan pendapat jumhur ulama tadi).......
Imam ats-Tsa'labi al-Mufassir menyatakan bahawa  menurut pendapat kebanyakan ulama Nabi Khidhir adalah seorang nabi yang diberi umur panjang dan baginda dilindung daripada pandangan mata yakni daripada pandangan mata kebanyakan manusia sehingga mereka tidak dapat melihatnya. Dikatakan bahawa baginda tidak diwafatkan melainkan pada akhir zaman ketika al-Quran diangkat.
Imam ats-Tsa'labi juga menyatakan bahawa ada tiga pendapat mengenai permulaan hidup Nabi Khidhir. Pendapat yang pertama menyatakan bahawa baginda hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim al-Khalil shallaAllahu 'alaihi wa sallam; Pendapat kedua pula menyatakan bahawa baginda dilahirkan tidak lama selepas zaman Nabi Ibrahim; Manakala pendapat ketiga menyatakan baginda dilahirkan setelah jarak masa yang panjang selepas zaman Nabi Ibrahim.
Kunyah Nabi Khidhir adalah Abul 'Abbas, nama baginda Balya ibnu Malkan atau menurut pendapat yang lemah nama bapanya adalah Kalyan. Imam Ibnu Qutaibah dalam al-Ma`arif menukil perkataan Wahb bin Munabbih menyatakan bahawa nama penuh Nabi Khidhir adalah Balya ibnu Malkan ibnu Faaligh ibnu 'Aabir ibnu Syaalikh ibnu Arfakhasyad ibnu Saam ibnu Nuh. Dikatakan bahawa ayahanda baginda adalah daripada kalangan raja-raja.
Daripada penjelasan Imam Nawawi kita mengetahui bahawa JUMHUR ULAMA berpegang dengan pendapat bahawa Nabi Khidhir `alaihis salam masih hidup dan belum lagi wafat. Macam mana dan bagaimana keadaan kehidupan baginda sekarang, Allah sahaja yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Hidup atau matinya baginda sekarang bukanlah perkara besar dan tidak harus dijadikan perbalahan sesama umat. Nak percaya baginda masih hidup, tidak ada masalah kerana itulah pendapat jumhur ulama dan yang nak percaya bahawa baginda telah wafat pun tidak menjadi masalah kerana sesetengah ulama dan ahli hadits berpendapat sedemikian seperti Imam al-Bukhari rahimahullah.

Halaman 135 - 135, "Syarah Muslim"