Ahad, Mei 19, 2019

Khasiat Shalawat Badar

Di antara shalawat yang masyhur di rantau bumi Melayu adalah Shalawat Badar @ Badriyyah. Shalawat ini sering dilantunkan oleh pencinta Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di rantau Nusantara ini, terutama sekali di Pulau Jawa. Shalawat ini dimulai dengan shighah shalawat yang menyebut dua nama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam iaitu Thaha dan Yaasin. Walaupun ada segelintir ulama menolak kedua - dua nama tersebut sebagai nama bagi Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, namun rata - rata ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah tidak sedemikian. Bahkan, mereka berpandangan bahawa nama - nama tersebut boleh dinisbahkan kepada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana ada riwayat mengenainya walaupun dhaif. Pihak Pejabat Mufti Wilayah dalam laman web rasminya dalam artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-301 telah menyatakan bahawa YASIN DAN TAHA MERUPAKAN NAMA NABI MUHAMMAD SAW.  Untuk memudahkan rujukan, perhamba nukilkan sedikit tulisan dalam artikel tersebut yang menyatakan, antara lain, sebagai berikut:- 
Berdasarkan soalan di atas, nisbah Yasin dan Taha kepada salah satu daripada nama nabi Muhammad SAW adalah datang daripada sebuah riwayat yang dinukilkan Imam al-Qadhi bin ‘Iyadh di dalam kitabnya al-Syifa tetapi dengan sighah tamridh[Lihat: al-Syifa, 448/1] Selain itu, ia juga dinukilkan oleh Ibn ‘Asakir di dalam kitabnya [Lihat: Tarikh Dimashq, 28-29/3] dan Ibn ‘Adiy di dalam kitabnya al-Kamil. [Lihat: al-Kamil fi Dhu’afa’ al-Rijal, 509/4] Selain itu, dikatakan juga bahawa ia terdapat di dalam syair-syair arab.
Bagi menjawab persoalan ini, di sini kami cuba untuk menukilkan beberapa pandangan daripada ahli tafsir di dalam hal ini. Antaranya, Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya menyatakan bahawa Taha adalah salah satu daripada jumlah huruf al-Muqatha’ah yang terdapat pada permulaan banyak surah dan ia bukanlah daripada nama Nabi SAW. [Lihat: Taysir al-Karim al-Rahman, 501/1]
Adapun pandangan Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan, pandangan yang menyatakan bahawa Taha adalah merupakan nama Nabi Muhammad SAW adalah pendapat yang diterima. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 1509/2] Manakala Yasin pula dikatakan ia adalah nama Nabi Muhammad SAW dan ia juga dikatakan sebagai huruf al-Muqatha’ah. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 2144/3]
Justeru itu, kami katakan bahawa ulama’ berbeza pandangan dalam masalah ini dan kami juga menyatakan bahawa tidak menjadi masalah untuk memilih mana-mana pandangan di dalam isu ini kerana ia tidak melibatkan hukum-hakam atau usul di dalam aqidah.
Kesimpulannya, menisbahkan Rasulullah SAW dengan nama-nama yang baik tidak menjadi masalah walaupun ia datang daripada riwayat yang dhaif. Sebahagian para ulama’ bertasahul (tidak terlalu rigid) dalam masalah ini selagimana ia tidak menyentuh hal berkaitan halal haram dan usul aqidah. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama dan kekuatan dalam mencontohi sifat keperibadian Nabi Muhammad SAW. Amin.
Maka, diharap tidak timbul dalam masyarakat kita, suara - suara sumbang yang mengharamkan atau mempersendakan penisbahan kedua-dua nama tersebut kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Seterusnya kembali kepada Shalawat Badar atau Shalawat Badriyyah, ianya adalah susunan Kiyai Ali Mansur rahimahullah. Ia merupakan satu shighah shalawat yang disulami munajat kepada Allah memohon keselamatan, kesejahteraan, kemuliaan, pengabulan segala hajat dan pengampunan bagi sekalian umat dengan bertawassul kepada Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan para mujahid terutama sekali para Ahli Badar yang mulia radhiyaAllahu `anhum.  

Pada kesempatan kali ini, faqir nukilkan khasiat mengamalkan Shalawat Badar @ Badriyyah ini menurut seorang ulama tempatan kita. Ulama tersebut adalah Kiyai Mohd Yasin Thoha al-Bakri rahimahullah. Sekelumit profil tokoh ini pernah dimuatkan Utusan Online pada 26 Januari, 2009 dan disiarkan dalam sisipan akhbar Utusan Malaysia. Di sini perhamba kongsikan sedikit mengenai tokoh ini. Kiyai Haji Mohd Yasin Thoha bin Haji Abu Bakar rahimahullah  dilahirkan kira-kira dalam tahun 1903 di Kampung Dukuhguna, Kecamatan Krengkeng Kewedanan, Cirebon, Jawa Barat. Beliau menerima didikan awal agama daripada ayahnya yang dikenali sebagai seorang pendakwah dan ahli sufi yang gemar berpuasa. Setelah itu, beliau dihantar mengikut pengajian pondok di Langgar, Kedah dan seterusnya ke Pondok Tok Kenali di Kelantan. Setelah pulang dari mengikuti pengajian di pondok, beliau membantu ayahnya mengajar di Surau asy-Syafi`iyah di Kampung Sungai Batang, Bagan Datuk, Perak. Kiyai Haji Mohd Yasin adalah antara guru agama yang telah diberi tauliah untuk mengajar agama oleh Sultan Perak ketika itu. Dengan adanya tauliah tersebut, beliau semakin aktif berdakwah dan mengajar agama. Untuk tujuan tersebut, beliau telah mendirikan sebuah surau dan madrasah yang dinamakan Madrasah al-Yasiniyyah di Bagan Datuk. Namun, beliau sekali - kali tidak menjadikan aktiviti dakwah dan mengajar tersebut sebagai punca pendapatan dirinya. Sebaliknya, sumber pendapatan beliau adalah dengan melakukan kerja -kerja buruh, menghimpun dan mengait buah kelapa. Beliau juga memainkan peranan besar dalam menghadapi ancaman komunis yang melakukan keganasan kepada masyarakat di sekitar Bagan Datuk pada tahun 40-an. Kiyai Mohd Yasin rahimahullah tutup usia pada hari Selasa, 3 Oktober 1978 dan dikebumikan di Kampung Sungai Batang, Bagan Datuk, Perak. Mudah-mudahan Allah merahmatinya sentiasa dan menempatkannya bersama shalihin.

Di antara karya Kiyai Mohd Yasin Thoha adalah sebuah kitab yang berisikan amalan zikir, wirid dan doa yang dinamakan Senjata Mukminin. Kitab ini telah mendapat sambutan daripada beberapa ulama tempatan dan telah ditashih oleh anakanda Tok Kenali rahimahullah, Tuan Guru Haji Shalih @ Syaikh Muhammad Shalih Tok Kenali rahimahullah, yang mengajar dan bermastautin di Makkah al-Mukarramah. Dalam kata sambutannya, Syaikh Muhammad Shalih rahimahullah menyatakan, antara lain: "....Maka risalah ini sangat - sangat termesti diamalkan dia di segala masa dan segala tujuan. Kerana ia terhimpun daripada ayat - ayat al-Quran dan doa - doa di dalam Adzkar dan Hizbul A'dzam dan lain - lainnya. Syukurlah ke hadhrat Allah memberi taufik kepada penyusun risalah ini ditambah lagi kepada yang beramal dengan dia dan peserta-pesertanya." Kiyai Mohd Yasin Thoha al-Bakri telah menutup karangannya tersebut dengan Shalawat Badriyyah. Pada halaman halaman 82 - 83 beliau menyebut sebagai berikut:
Khasiat: Barang siapa mengamalkan Shalawat Badriyyah tiap-tiap ba'da shalah al-maktubah (yakni selepas shalat fardhu), nescaya orang itu diampunkan Allah segala dosanya, hilang segala kesusahannya, selamat dari semua musuh, dimurahkan Allah rezekinya, dikurniai zuriat ahlul ilmi wash shalaah (yakni anak cucunya akan jadi ahli ilmu dan orang shalih) dan mendapat husnul khatimah.

Allahu .... Allah, ini hanyalah khasiat yang dinukil daripada ulama mungkin berdasarkan kepada pengamatan dan pengalaman mereka. Mudah - mudahan terhasil seperti yang dinyatakan, namun semuanya tertakluk kepada qudrah dan iradahnya Allah yang Maha Kuasa dan kabul di sisiNya. Maka berbaik sangkalah dengan Allah`azza wa jalla sentiasa, tiadalah balasan bagi keihsanan melainkan keihsanan. Semoga shalawat ini menjadi tambahan amalan kita, diamalkan mengikut kadar kemampuan kita, jika tidak mampu dibaca semua, janganlah ditinggal semua. Memadailah membaca bait - bait yang munasabah dengan permohonan dan hajat kita. Mudah-mudahan diberi ganjaran dan diterima segala hajat tersebut.