Isnin, Disember 31, 2018

Jawaahirul Kalaamiyyah

Syaikh al-'Alim Thahir bin Muhammad Shalih bin Ahmad as-Sam`uni al-Waghlisi al-Jaza-iri ad-Dimasyqi rahimahullah adalah seorang ulama yang lahir pada 20 Rabi`ul Akhir 1268H / 1852M di Damsyik dalam keluarga alim ulama. Ayahanda beliau adalah ahli fiqh bermazhab Maliki yang pernah diangkat menjadi Mufti Maliki di Syam. Keluarga beliau bersambung nasab dengan Sayyidina Hasan radhiyaAllahu `anhu. Mereka berasal dari al-Jaza-ir (Algeria) kemudian berpindah ke Damsyik setelah melakukan perjuangan menentang penjajah Perancis di Algeria.

Syaikh Thahir rahimahullah mula-mula belajar dengan ayahandanya. Kemudian beliau belajar dengan para ulama di Syam, antaranya yang utama, Syaikh Abdul Ghani al-Maydani. Syaikh Thahir telah melahirkan beberapa karya dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan. Di antara hasil tulisan beliau adalah kitab pelajaran akidah berbentuk soal - jawab berjodol al-Jawaahirul Kalaamiyyah fi idhahil 'Aqidatil Islamiyyah yang masyhur dan dijadikan teks bagi berbagai madrasah dan pesantren. Jawaahirul Kalaamiyyah karya yang berpaksikan kepada pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah ini ditulis dengan bahasa yang mudah berbentuk soal - jawab sehingga senang dipelajari oleh para pelajar peringkat permulaan. Kitab ini telah diterjemah dalam Bahasa Melayu dengan jodol 101 Soal - Jawab Akidah dan elok untuk dijadikan rujukan dan panduan bagi pemula untuk mengetahui asas pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Menarik juga dalam Jawaahirul Kalaamiyyah, Syaikh Thahir turut menyentuh hukum bertaklid dengan mazhab fiqh, di mana dalam jawapan pada masalah yang ke-99 dan ke-100, beliau menyatakan, antara lain: Para mujtahid itu ramai, namun mujtahid - mujtahid yang disepakati untuk dijadikan ikutan dan pegangan ada empat, iaitu Imam Abu Hanifah an-Nu'man bin Tsabit, Imam Malik bin Anas, Imam Muhammad bin Idris asy-Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal radhiyaAllahu `anhum. Para ulama memilih untuk bertaklid kepada mereka dan bukannya kepada mujtahid-mujtahid selain mereka kerana mereka yang banyak mengistinbatkan hukum - hakam dalam berbagai persoalan. Dengan sebab kesungguhan mereka untuk menyelesaikan segala masalah tersebut maka sukar untuk kita bertemu dengan masalah - masalah yang tidak dijelaskan hukumnya oleh mereka. Selain daripada itu, mazhab-mazhab mereka juga sampai kepada kita secara mutawatir. Maka sewajarnya, seseorang bertaklid kepada salah seorang daripada mereka, kecuali ketika dharurat (yakni ketika ada keperluan disebabkan kesukaran), kerana jika tidak ianya akan membawa kepada perbuatan talfiq yang mengeluarkan seseorang daripada jalan yang benar (yakni dengan berpegang dengan satu mazhab tertentu secara lazim akan menghindarkan kita daripada perbuatan talfiq di mana berlakunya percampuran mazhab - mazhab secara tidak benar yang mengakibatkan kecelaruan dan kerosakan dalam hukum dan kaedah pengistinbatan hukum). ........ Ikhtilaf para imam mujtahid adalah rahmat bagi umat kerana ikhtilaf tersebut hanya dalam masalah furu` sahaja dan menyebabkan keringanan atas manusia serta menghindar daripada kesempitan dan kesukaran. Apabila terpaksa dan perlu, mereka boleh mengamalkan pendapat yang lebih ringan dan ketika tiada keperluan, mereka dapat mengamalkan pendapat yang lebih ihtiyath (berhati - hati ) atau yang lebih kuat atau jelas dalilnya (menurut mazhab masing - masing).

Selain daripada Jawaahirul Kalaamiyyah, Syaikh Thahir turut mengarang berbagai karangan yang dianggarkan berjumlah 40 karya, samada yang telah dicetak maupun yang masih berbentuk manuskrip. Syaikh Thahir rahimahullah meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun 1338H / 1920M. Mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa dicucuri atas rohnya dan ditempatkan bersama para anbiya` dan awliya`, Allahumma ...aaamiin.

Khamis, Disember 13, 2018

Shalawat Sidi Hasan

Ketika kita membuka karya dan tulisan para ulama kita Ahlis Sunnah wal Jama`ah, pasti kita akan menemui berbagai bentuk dan beraneka ragam susunan shalawat - shalawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Semua ini menjadi tanda betapa tingginya kecintaan mereka kepada Rasul Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Yang pasti ketika menyusun shalawat-shalawat ini, mereka bukan hanya mengandalkan kepandaian dan kebijaksanaan semata-mata, ilham dan panduan rohani juga memainkan peranan dalam pembentukan susunan kata - kata indah tersebut yang tiada lain tujuannya selain daripada mengagungkan dan mentakzimkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mereka-mereka ini, para ulama kita, bukanlah manusia-manusia dungu yang buta akidah dan syariah. Mereka sebenarnya berada di puncak keilmuan yang hakiki, berenang dalam lautan musyahadah mencapai ma'rifatullah dan mahabbatullah yang sejati. Bukan seperti sesetengah "tokoh yang dipertokohkan", yang kering hatinya daripada mahabbatullah dan mahabbatur rasul. Hati-hatilah kita dengan "tokoh yang dipertokoh" seumpama ini. Antara tanda tokoh sebegini adalah mudah dan ringan untuk menghukum syirik dan bid`ah terhadap shalawat - shalawat yang dikarang oleh para ulama terdahulu.

Maka di antara shighah shalawat tersebut adalah satu shalawat yang juga dikenali sebagai Shalawat Syifa` yang dinisbahkan kepada seorang ulama lagi wali yang bermukim di kota suci Baitul Maqdis. Beliau adalah Syaikh Hasan Abu Halaawah al-Ghazi rahimahullah yang wafat pada tahun 1308H. Para ilmuan dan ulama telah menyatakan kesaksian atas kewalian dan ketokohan Syaikh Hasan rahimahullah. Di antaranya, ulama dan pensyarah ilmu hadis dan fiqh di Universiti Islam Beirut, pengarang berbagai karya agama, Dr. Yusuf bin Abdul Rahman al-Mar`asyli. Beliau dalam karangannya Natsrul Jawaahir wad Durar, jilid 1 pada halaman 335, menyatakan bahawa Syaikh Hasan Abu Halaawah al-Ghazi adalah di antara waliyullah yang menetap di al-Quds (Baitul Maqdis). Beliau tinggal di bilik sebuah madrasah di samping Masjidil Aqsa. Para penziarah tidak putus-putus menziarahi beliau di bilik tersebut untuk memohon doa dan tunjuk ajar beliau bagi mengatasi masalah-masalah mereka. Syaikh Yusuf an-Nabhani pernah berkali-kali bertemu dengan beliau ketika menziarahi Baitul Maqdis dan memperolehi banyak faedah daripada beliau di antaranya mendapat ijazah Thariqah al-'Aliyyah al-Qaadiriyyah dan juga shalawat tersebut.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Syaikh Yusuf an-Nabhani  rahimahullah dalam kitab shalawat beliau yang besar, Sa`aadatud Daarain, pada halaman 343, seperti berikut:-

Shalawat yang ke 19 iaitu Shalawat Sayyidi asy-Syaikh Hasan Abu Halaawah al-Ghazi, iaitu Allahumma shalli 'ala Sayyidina Muhammadinil Habibil Mahbub, Syaafil 'Ilal, wa Mufarrijil Kuruub, wa 'ala aalihii wa sahbihii wa sallim. Ini adalah shalawat yang mujarrab untuk melepaskan kesusahan yang telah ditalqinkan dan ijazahkan kepadaku oleh Sayyidi al-Wali al-Mu'taqid asy-Syaikh Hasan Abu Halaawah al-Ghazi yang bermastautin di Baitul Maqdis pada tahun 1306H, ketika aku mengadu kepada beliau mengenai kebimbangan dan kesusahan yang aku alami. Maka setelah aku mengamalkan shalawat ini, Allah telah memberikan aku kelepasan dari kesusahanku dan menyampaikan hajatku melebihi apa yang aku harapkan, semuanya dengan kelebihanNya dan ihsanNya jua, berkat shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.
Dalam buku shalawat, al-Wasiilatul Harriyyah,  yang dihimpun oleh Kiyai Ahmad Qusyairi bin Shiddiq rahimahullah shalawat ini turut dimuatkan sebagai shalawat yang ke-51 pada halaman 39. Dalam komentarnya, Kiyai Ahmad Qusyairi rahimahullah menyatakan sebagai berikut:- Shalawat yang mujarrab bagi melepaskan kesusahan dan menghasilkan hajat permohonan. Telah diijazahkan kepadaku oleh wali Quthub al-Bankalani (yakni Syaikh Khalil Bangkalan).

Walaupun sesetengah ulama tidak bersetuju dengan penggunaan nama "asy-Syafi" kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana bagi mereka asy-Syafi (Penyembuh) adalah Allah `azza wa jalla. Namun, ramai juga ulama kita yang membenarkannya, bahkan memuatkannya dalam kitab - kitab mereka sebagai salah satu nama bagi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ini adalah kerana ianya masih boleh ditakwil dan adalah atas makna majaz dan bukannya hakikat. Maulana Musa Ruhani Bazi rahimahullah dalam mukaddimah beliau atas kitab wirid shalawat al-Barakaatul Makkiyyah pada halaman 52 menerangkan sebagai berikut:-  Maka nama-nama yang disebut tadi (yakni nama - nama seperti al-Munji, asy-Syafi, al-Mughni, al-Maladz, al-Ghiyaats, al-Ghauts, al-Mughits, al-Munqidz, an-Nadzir man khalfahu, Daafi`ul Balaya, al-Ghafurul Ummah, Kaasyiful Karbi dan seumpamanya yang menjadi pertikaian antara ulama) tercatat dalam kitab-kitab yang muktamad dan masih dapat difahami ertinya dengan makna yang betul selepas ditakwil dan boleh digunakan untuk Junjungan Nabi `alaihis salam dengan melihat kepada beberapa aspek sudut pandangan...

Syaikh Ahmad Mamduh, setiausaha Darul Ifta` al-Mishriyyah (Majlis Fatwa Mesir) ketika ditanya dalam satu program TV berjodol "Fatawa an-Naas" tentang shalawat yang mengandungi lafaz Syafil 'Ilal wa Mufarrijil Kuruub, menyatakan bahawa shalawat ini adalah di antara shighah shalawat terindah lagi benar dan boleh untuk dibaca. Shalawat tersebut tidak bercanggah dengan akidah tauhid, hanya apa yang berlaku dalam masyarakat adalah kerana terlalu allergic dengan kesyirikan telah menyebabkan timbulnya sikap bermudah-mudah untuk mensyirikkan sesuatu, sedangkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Aku tidak takut berlakunya perbuatan syirik atas umatku, akan tetapi yang aku takuti adalah perbalahan antara mereka yang berlaku dalam urusan mereka". Menisbahkan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai "Syafil 'Ilal" hanyalah sebagai sebab atau penawar atau ubat bagi penyembuhan, sedangkan pada hakikatnya hanya Allah yang Maha Penyembuh. Sebagaimana seseorang yang datang berubat kepada seorang doktor, lalu dia sembuh, jika dia menyatakan: "Doktor tersebut yang menyembuhkan aku", maka yang dimaksudkannya adalah doktor tersebut telah menjadi sebab bagi kesembuhannya, sedangkan yang menyembuhkannya dan yang memberi bekas pada hakikatnya hanya Allah `azza wa jalla. Pasti tidak terbetik dalam hati seorang insan Muslim bahawa ada yang memberi bekas selain Allah `azza wa jalla. Bolehlah ikhwah sekalian baca penjelasan Syaikh Ahmad Mamduh tersebut dalam laporan di laman web Akhbarak atau cari video penjelasan lanjut beliau di youtube.

Maka, tidak perlulah kita ambil pusing dengan "fatwa" yang menyesatkan susun kata dalam shalawat ini, sedangkan mereka pasti mengetahui bahawa wujudnya ikhtilaf di kalangan ulama mengenai lafaz-lafaz yang dipermasalahkan mereka itu. Jika mereka bermasalah dengan lafaz - lafaz tersebut, maka tiada siapa yang mewajibkan mereka membacanya. Namun, apa hak mereka untuk mengharamkan bahkan menghukum saudara-saudara seagama yang membacanya sebagai musyrik, sedangkan pihak yang membaca shalawat tersebut juga mempunyai sandaran dan hujjah yang benar. Maka sesiapa yang rasa imannya goyah akibat shalawat ini, berhentilah membacanya. Ramai ulama yang kepercayaan seperti almarhum Dr. Said Ramadhan al-Buthi dan almarhum Buya al-Maliki telah menyebut Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai "Syafil 'Ilal", maka tergamakkah kita untuk menghukum mereka dan juga setiap muslim yang memanggil Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana tersebut sebagai musyrik hanya semata-mata kita mengertikan nama tersebut menurut pemahaman kita yang dangkal? Mudah-mudahan kita sentiasa istiqamah atas jalan yang sebenar Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang sentiasa berhati-hati dalam menghukum.

Pengarang Natsrul Jawahir wad Durar
Syaikh Dr. Yusuf Abdul Rahman al-Mar`asyli

Khamis, Disember 06, 2018

Tahlil Siti Zubaidah

Imam al-Haddad rahimahullah juga diriwayatkan sebagai pernah berpesan mengenai kelebihan rangkaian zikir tahlil yang dikenali sebagai Tahlil Siti Zubaidah kerana dinisbahkan kepada Siti Zubaidah binti Ja'far bin Khalifah al-Manshur. Beliau rahimahullah menganjurkan tahlil ini diamalkan untuk menguatkan keimanan kita dan memperteguhkannya, juga agar dijauhkan dari segala macam was - was yang ditiup oleh syaitan durjana. Perkara ini telah dinukilkan oleh murid beliau, Syaikh Ahmad bin Abdul Karim al-Hasaawi asy-Syajjaar rahimahullah dalam karya beliau Tatsbitul Fuaad. Kitab ini merupakan himpunan kalam dan ajaran Imam al-Haddad rahimahullah yang disampaikan dalam majlis - majlis beliau.

Dalam juz 2 halaman 305 kitab tersebut, dikisahkan sebagai berikut:- Imam al-Haddad radhiyaAllahu `anhu telah berkata kepada seorang lelaki yang ditimpa penyakit was-was: "Kami hendak mengajar kepadamu Tahlil Zubaidah binti Ja`far bin Khalifah al-Manshur kerana engkau diserang penyakit was-was. Setiap kali engkau membaca akan tahlil ini, maka ia akan menyiram pohonmu (yakni pohon keimanan diri seseorang). Jika pohon keimanan tersebut lemah, nescaya akan dikuatkan; Dan jika ia kuat, maka akan diperkukuhkan lagi. Adalah Siti Zubaidah itu mempunyai peninggalan - peninggalan dan amalan - amalan yang baik. Seseorang pernah bermimpi bertemu dengannya dan bertanya kepadanya: "Apa yang telah dilakukan Allah terhadap dirimu?" Beliau menjawab: "Allah telah memberikan aku manfaat dengan tahlil ini:- La ilaha illa Allah, urdhi biha Rabbiy; La ilaha illa Allah, ufni biha 'umriy; La ilaha illa Allah, adkhulu biha qabriy; La ilaha illa Allah, akhlu biha wahdiy;" iaitu 4 kalimah......

Begitulah kisahnya wahai ikhwah. Terdapat sedikit perbezaan dalam shighah yang dinukilkan oleh al-Hasaawi tersebut, di mana kalimah urdhi biha Rabbi menggantikan kalimah alqa biha Rabbi  sebagaimana tertera dalam kitab Ihya` 'Ulumiddin dan lain - lain. Namun dari sudut maksud dan pengertiannya adalah sama, iaitu permohonan, harapan dan hasrat agar dengan berkat kalimah tauhid kita diberi kejayaan dan meraih keredhaan Allah `azza wa jalla.

Selasa, Disember 04, 2018

Mimpikan Zubaidah

Zubaidah atau nama sebenarnya Sukainah atau Amatul 'Aziz binti Ja'far bin Khalifah Abu Ja'far al-Manshur (wafat tahun 216H) adalah seorang puteri dan permaisuri daripada Khilafah Bani 'Abbas yang paling terkenal. Nama Siti Zubaidah adalah semasyhur nama suaminya, Khalifah Harun ar-Rasyid. Siti Zubaidah terkenal sebagai seorang wanita shalihah yang amat mencintai al-Quran. Beliau juga terkenal dengan kedermawanannya dan telah mendirikan banyak sekolah, rumah anak yatim dan hospital untuk umum.  Di antara jasa besar beliau yang berpanjangan manfaatnya sehingga lebih 1200 tahun adalah wakaf-wakaf beliau yang terkenal di sepanjang laluan jemaah haji dari Baghdad hingga ke Kota Makkah yang dikenali sebagai Darb Zubaidah. Siti Zubaidah telah membelanjakan jutaan dinar untuk menyediakan telaga dan kolam untuk menampung keperluan air bagi para pengembara yang menggunakan laluan tersebut. Menurut pengembara ulung, Ibnu Battutah, tanpa kolam-kolam yang diwakafkan oleh Siti Zubaidah, nescaya laluan tersebut pasti tidak akan dapat dilalui manusia. Dalam buku Pengembaraan Ibnu Battutah, yang merupakan terjemahan Rihlah Ibnu Battutah, dinyatakan pada halaman 201 - 203, antara lain, sebagai berikut: ....Seterusnya kami bergerak ke sebuah kawasan (sumber) air yang bernama Qarurah. Ia merupakan kolam yang dipenuhi oleh air hujan dan dibina oleh Zubaidah, puteri Ja'far, rahimahallah. Semoga Allah mengurniakan rahmatNya kepada Zubaidah dan menganugerahkan kebaikan kepada kita dengannya. ...... Jarak dari Tha'labiyyah ke Kufah ialah tiga marhalah. Kami meneruskan pengembaraan dan berhenti pula di Birkah al-Marjum ........ di sini terdapat sebuah kolam besar yang dapat menampung keperluan semua anggota kafilah. Ia juga merupakan sebuah lagi kolam yang dibina oleh Zubaidah rahimahallah. Setiap kolam dan telaga yang ada di jalan di antara Makkah dengan Baghdad ini menunjukkan kedermawanan Zubaidah yang tinggi. Semoga Allah membalasnya dengan kebaikan dan mengurniakan ganjaran yang sempurna kepadanya. Jikalah tidak kerana keprihatinannya ini, pasti jalan ini tidak akan dilalui oleh sesiapa pun.

Siti Zubaidah juga terkenal dengan projek mega 'Ain Zubaidah atau Nahr Zubaidah yang berjaya menangani masalah bekalan air di tanah suci, terutama sekali ketika musim kemarau dan musim-musim haji. Siti Zubaidah telah mengarahkan dan memperuntukan sejumlah besar dana untuk pembinaan saliran, jambatan dan terusan, kawasan teduhan dan tadahan, kawasan simpanan dan empangan serta penggalian telaga dan matair dari wadi-wadi yang berhampiran tanah suci seperti Wadi Hunain dan Wadi Nu'man, seterusnya menyalirkannya ke Arafah, Muzdalifah dan akhirnya ke Makkah al-Mukarramah. Dengan adanya 'Ain Zubaidah masalah bekalan air telah dapat diatasi dan berpanjangan manfaatnya sehingga 1,200 tahun. Projek ini termasuk projek kejuruteraan air yang amat mengkagumkan dan masih dapat bertahan sehingga ke hari ini. Bahkan Kerajaan Saudi berhasrat untuk merehabilitasi projek 'Ain Zubaidah ini sebagai satu peninggalan bersejarah dan agar ianya terus berfungsi untuk menyalirkan air ke berbagai kawasan di tanah suci.

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu dalam Ihya` 'Ulumiddin, jilid 4, halaman 541 membawa 2 kisah orang bermimpikan Siti Zubaidah selepas kewafatannya. Mimpi yang pertama adalah sebagai berikut:- Ibrahim bin Ishak al-Harbi berkata: Aku bermimpikan Zubaidah, lalu aku bertanya: "Apakah yang dilakukan Allah terhadap dirimu?" Dia menjawab: "Dia telah mengampuniku." Lalu aku bertanya: "Adakah sebab harta yang telah engkau nafkahkan untuk jalan ke Makkah?" Zubaidah menjawab: "Adapun harta yang telah kubelanjakan tersebut ganjarannya telah dikembalikan kepada tuan-tuan empunyanya dan aku diampuni kerana niatku." Manakala kisah mimpi kedua adalah sebagai berikut: Seseorang telah bermimpi bertemu dengan Zubaidah, lalu dia berkata kepadanya: "Apa yang telah Allah lakukan terhadap dirimu?" Dia menjawab: "Telah diampunkan aku dengan (berkat) empat kalimah ini: La ilaha illa Allah, ufni biha 'umri; La ilaha illa Allah, adkhulu biha qabri; La ilaha illa Allah, akhlu biha wahdi; La ilaha illa Allah, alqa biha Rabbi."

Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah turut menukilkan kisah tersebut dalam Hujjatullah 'alal 'alamin pada halaman 544. Kisah yang sama dengan kisah kedua nukilan Imam al-Ghazali tersebut, iaitu Siti Zubaidah menyatakan dalam mimpi tersebut bahawa beliau mendapat keampunan dengan sebab 4 kalimah tadi. Kisah mimpi ini amatlah masyhur dalam nukilan para ulama termasuklah ulama Nusantara. Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah tidak ketinggalan menukilkan kisah mimpi zikir Zubaidah tersebut dalam kitabnya Bada-i`uz Zuhur.

Sebagai penutup, faqir kongsikan nukilan daripada ulama yang hampir masanya dengan kita, iaitu Ra-isul Muhadditsin, Mawlana Zakaria al-Kandahlawi dalam kitabnya yang masyhur Fadhilat Zikir. Pada perbahasan hadis yang ke-32, Mawlana turut menyentuh dan membawa kisah Siti Zubaidah, di mana beliau menulis sebagai berikut: Seorang telah melihat Hadrat Zubaidah rahimahallahu ta'ala dalam mimpi, kemudian beliau ditanya: "Bagaimana dengan keadaan puan?" Jawab beliau: "Aku telah mendapat keampunan dengan berkat empat kalimah:

Zikir tersebut, yang dikenali sebagai "Tahlil Zubaidah" atau "Tahlil Siti Zubaidah", mengandungi permohonan dan menyatakan hasrat serta harapan agar hidup - mati kita adalah atas kalimah tauhid tersebut. Kita mengharapkan agar umur kita di dunia ini dihabiskan untuk mengucap, membenar, mentahqiq dan merealisasikan segala kehendak, hak dan tuntutan kalimah tauhid yang suci tersebut. Harapan kita lagi, ketika kita masuk ke dalam kubur kita nanti, memulakan langkah ke alam barzakh, adalah dengan kalimah tersebut. Di dalam alam barzakh, ketika kita sendirian dalam liang lahad yang sempit, maka harapan kita adalah kalimah tersebut menjadi peneman dan penghibur menghilangkan kesunyian kita. Lalu ketika berdirinya Hari Kebangkitan, dibangkitkanlah kita bersama kalimah tersebut menuju Qadhi Rabbul Jalil, maka berjumpalah kita denganNya bersama kalimah tersebut, dipenuhi keimanan yang sempurna sehingga kita meraih keredhaanNya dan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh kenikmatan. Mudah-mudahan Allah kabulkan segalanya.