Ahad, Jun 09, 2019

Doa & Ziarah Anak Derhaka

Dalam riwayat yang masyhur, atas ihsan dan rahmat Allah ta`ala, seseorang yang nyawanya masih dikandung badan sehingga ke saat rohnya, ketika hendak meninggalkan jasadnya sampai ke halqum (kerongkongnya), masih punya peluang untuk kembali dan bertaubat kepada Allah jalla wa `ala. Oleh itu, jangan sekali - kali berputus asa daripada rahmat Allah. Bahkan jika seorang anak yang pernah menderhaka kepada ibu atau bapanya atau ibubapanya, tetap masih ada jalan pulang, walaupun setelah kedua orang tua tersebut tiada lagi di dunia. Anak derhaka masih boleh bertaubat kepada Allah dan berbakti kepada kedua orang tuanya tersebut. Antaranya adalah dengan banyak beristighar dan berdoa bagi kedua mereka, banyak beramal shalih dan bersedekah bagi pihak mereka, di samping jangan lupa untuk menziarahi pusara mereka ketika berkesempatan. Anak - anak yang shalih tidak perlu dituntut untuk mendoakan orang tuanya, kerana mendoakan orang tua itu adalah antara syarat bagi keshalihannya, bagaimana mungkin seseorang dianggap anak yang shalih jika sering melupakan orang tuanya. Justru yang perlu dituntut untuk berdoa bagi orang tuanya adalah anak - anak yang derhaka, kerana itulah jalan untuk menebus kesalahannya terhadap orang tuanya. Mudah - mudahan dengan sedemikian, taubatnya jadi benar, lalu dia menjadi orang dan anak yang shalih, yang doanya bermanfaat bagi kedua orang tuanya, maka dengan itu jadilah dia seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya. 

Syaikh Abdullah Basmeih rahimahullah, tokoh ilmuwan yang telah menghimpunkan antara karya hadis - hadis hukum dengan jodol Mastika Hadis, yang diterbit oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (BAHEIS dahulunya sebelum bertransformasi menjadi JAKIM sekarang) setelah disemak dan disahkan oleh Mufti Wilayah ketika itu, Syaikh Abdul Muhsin bin Haji Saleh rahimahullah, menulis dalam jilid kedua, halaman 428 - 429, antara lain, sebagai berikut:- 
Menziarahi kubur kaum kerabat terutama kubur ibubapa adalah sunnat muakkadah dan besar pahalanya - seperti diterangkan dalam hadis - hadis Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Makin bertambah pahalanya, jika kubur ibubapa diziarahi pada tiap-tiap hari Jumaat dan dibacakan surah Yaasin di sisinya. Kelebihan mengenang ibubapa dengan doa dan dengan menziarahi kuburnya - membawa kebaikan bukan sahaja kepada anak-anaknya yang shalih tetapi juga kepada anak yang derhaka. Dalam sebuah hadis diterangkan: anak derhaka yang telah kematian kedua ibubapanya, kemudian ia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk mereka, nescaya ia diampuni Allah dan dikira sebagai anak yang taat.
Oleh itu, jangan lupa untuk mendoakan kedua orang tua kita, tanpa batasan bilangan, had dan masa, cuma di waktu - waktu yang punya fadhilat terlebihlah utama. Bagi yang punya orang tua yang masih bernyawa, berbuatlah bakti kepada mereka di sini lagi, jangan menunggu setelah mereka berlepas ke sana. Ingat, jangan menunggu setelah ketiadaan mereka untuk melakukan kebaktian. Bagi yang telah tiada, maka rahmat Allah maha luas, peluang untuk meneruskan kebaktian tetap terbuka selagimana kita masih bernyawa. Mudah - mudahan kita dijadikan anak - anak yang menjadi penyejuk mata orang tuanya, Allahumma aaamiin.

Isnin, Jun 03, 2019

Ziarah Kubur Hari Raya

Telah menjadi amalan sebahagian, menziarahi kubur kaum kerabat dan sanak saudara mara mereka pada hari raya Aidil Fitri. Para ulama kita tidak mempermasalahkan perkara ini asalkan ianya dilakukan dalam rangka yang dibenarkan oleh hukum syarak serta terhindar dari perbuatan - perbuatan yang ditegah. Malangnya, terdapat segelintir manusia yang tidak setuju dengan perbuatan tersebut, bahkan menghukumnya sebagai haram kerana bid`ah menurut otak mereka. Amalan menziarahi kubur pada hari raya ini, bukanlah semata-mata amalan masyarakat Melayu. Ianya juga dilakukan oleh umat - umat Islam di tempat - tempat lain seperti di benua Indo-Pak dan sebagainya. Selain, adanya anjuran daripada ketentuan nas yang difahami oleh ulama sebagai menganjurkan ziarah kubur pada hari tersebut, maka faktor tabiat, emosi, fitrah manusia juga faktor kesempatan masa amat mempengaruhi perbuatan mereka menziarahi kubur ayah ibu dan sanak saudara mereka pada hari raya tersebut. Oleh itu, tidak seharusnya dicela akan perbuatan tersebut selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak yang mulia. Di manakah wujudnya dalil yang sharih mengharamkan ziarah kubur pada hari raya? 

Maka tidak perlulah kita ambil pusing dengan fatwa "bid`ah" puak - puak tersebut. Jika tuan - tuan kebetulan balik beraya di kampung, yang mungkin hanya setahun sekali tuan - tuan jengah, terdengar laungan takbir yang syahdu maka hati siapa yang tidak tersentuh, teringatkan mereka-mereka yang dahulunya bersama kita menyambut raya, namun kini telah tiada. Maka hiburkanlah hati tuan - tuan, luangkanlah sedikit masa untuk menziarahi mereka di tanah perkuburan. Sesungguhnya telah datang nas yang menyatakan bahawa ahli-ahli kubur juga suka, gembira dan senang dengan ziarah tuan - tuan sebagaimana suka dan gembiranya sanak - saudara tuan -tuan yang masih hidup menerima ziarah tuan - tuan. Selanjutnya faqir nukilkan nas kitab Tanwirul Qulub karya seorang ulama besar lagi wali mursyid, Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi asy-Syafi`i an-Naqsyabandi rahimahullah yang menganjurkan ziarah kubur pada hari raya yang mulia. Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi pada halaman 275 kitab tersebut menyatakan, antara lain sebagai berikut:-  
Disunnatkan ziarah kubur kaum Muslimin bagi lelaki untuk mengingati kematian dan negeri Akhirat, juga untuk memperbaiki kerosakan hati dan untuk memberi faedah kepada si mati daripada hadiah pahala apa - apa yang dibaca daripada ayat - ayat al-Quran. Hukum sunnatnya ini berdasarkan kepada hadis Imam Muslim: (Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda): "Dahulu aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, (namun sekarang) kamu pergilah menziarahinya." Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Lihatlah kepada kubur-kubur dan ambillah iktibar tentang hari kebangkitan." Terutama untuk diziarahi adalah kubur para nabi, para wali dan orang - orang shalih. Perempuan dimakruhkan untuk menziarahi kubur kerana jiwa mereka halus dan sensitif sehingga mereka mudah tersentuh dan kurang sabar mengawal emosi mereka (di sini tuan - tuan hendaklah fahami dengan betul, makruhnya wanita menziarahi kubur tersebut bukanlah makruh atas ithlaq tetapi makruhnya ada `illahnya. Maka hukumnya adalah bersandar kepada `illah). Hukum makruh atas perempuan menziarahi kubur adalah selagimana tidak berlakukan perkara-perkara yang haram, jika berlaku yang diharamkan maka haramlah hukumnya. Namun, tetap disunnatkan bagi perempuan untuk menziarahi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan demikian pula kubur sekalian nabi, ulama dan wali (dan ada qawl dalam mazhab kita yang menghubungkan sunnat juga baginya untuk menziarahi kubur kaum kerabatnya). Ziarah kubur sangat dituntut pada hari raya dan pada masa-masa mulai petang hari Khamis sehingga terbit matahari hari Sabtu.....
Tuan - tuan, anjuran menziarahi kubur pada hari raya bukan hanya disuarakan oleh para ulama mazhab kita sahaja. Para ulama Mazhab Hanafi juga mempunyai pandangan yang serupa. Antaranya sebagaimana yang disebut dalam al-Fatawa al-Hindiyyah atau yang dikenali juga sebagai al-Fatawa al-`Alamkiriyyah @ Fatawa `Alamgiri yang menjadi rujukan dan sandaran dalam Mazhab Hanafi. Kitab ini telah disusun oleh sejumlah ulama atas arahan Maharaja Mughal yang shalih Maharaja Muhyiddin Muhammad Aurangzeb Alamgir rahimahullah. Dalam juzuk ke-5, pada halaman 430, dinyatakan, antara lain, sebagai berikut:- 
... Dan hari - hari yang afdhal untuk menziarahi kubur ada empat; hari Isnin, hari Khamis, hari Jumaat dan hari Sabtu. Adalah baik / elok / hasan untuk menziarahi kubur setelah shalat Jumaat, pada pagi hari Sabtu sebelum terbit matahari dan pada awal siang hari Khamis, namun ada pendapat qil yang menyatakan bahawa pada akhir siangnya. Demikian juga afdhal ziarah kubur pada malam - malam yang diharapkan keberkatan terutama sekali Lailatun Bara-ah (yakni Malam Nishfu Sya'ban) dan demikian juga ziarah pada waktu - waktu yang diharapkan keberkatan seperti hari - hari sepuluh awal bulan Dzulhijjah, dua hari raya, hari `Asyura dan sekalian musim ibadah, sebagaimana yang disebut dalam al-Gharaaib.....
Teleklah tuan - tuan, bagaimana ulama kita telah menjelaskan antara masa - masa yang baik, yang elok, yang afdhal untuk menziarahi kubur adalah pada hari raya. Maka inilah antara sandaran kita untuk melakukan ziarah pada hari raya. Bagi yang tidak setuju, itu hak kamu dan jika kamu ada hak, kami pun ada hak. Kamu ikutlah ustaz kamu dan biarkan kami mengikut ulama kami. Namun dalam menziarahi kubur, hendaklah dijaga segala hukum - hakam dan adabnya, agar ziarah tersebut menjadi amalan shalih yang mendatangkan pahala serta mendekatkan lagi kita bertaqarrub kepada Allah `azza wa jalla.