Rabu, Oktober 07, 2026

Sembuhnya Mata Qatadah

Di antara mukjizat hissi (iaitu mukjizat yang dapat ditangkap oleh pancaindera) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang direkodkan dalam pelbagai kitab adalah sebiji bola mata yang tersembul, bahkan dalam riwayat terkeluar sehingga jatuh ke pipi, dari soketnya telah sembuh dan menjadi lebih baikdi tangan baginda yang mulia. Peristiwa ini berlaku kepada seorang sahabat yang bernama Sayyidina Qatadah bin an-Nu'man al-Anshari radhiyaAllahu `anhu. Diriwayatkan bahawa dalam Perang Uhud, menurut sebahagian riwayat Perang Badar manakala dalam riwayat lain Perang Khandaq, ketika perang berkecamuk, Sayyidina Qatadah yang gigih berjuang bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah terkena panahan anak panah sehingga salah satu biji matanya terkeluar dari soketnya dan jatuh tergeletak di pipinya. Dalam satu riwayat, mereka hendak memotong sahaja biji mata tersebut namun ditegah oleh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Baginda telah mengambil biji mata yang terkeluar itu dengan tangan baginda yang mulia dan memasukkannya semula ke tempat asalnya. Seketika itu juga, mata Sayyidina Qatadah sembuh bahkan menjadi lebih baik dari asal, sehingga Sayyidina Qatadah tidak ingat atau sedar mata mana yang telah cedera.

Imam Ibnu Atsir rahimahullah dalam Usdul Ghabah meriwayatkan, antara lain, sebagai berikut:- Qatadah bin an-Nu'man bin Zaid bin `Aamir bin Sawaad bin Dzafar bin al-Khazraj bin `Amr bin Malik bin al-Aws al-Anshari al-Awsi al-Dzafari. Kunyahnya Aba `Amr atau dikatakan Abu `Amr atau Abu `Abdullah, beliau adalah saudara seibu Abu Sa`id al-Khudri. Beliau terlibat dalam Bai`atul Aqabah, perang Badar dan perang Uhud, semuanya bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Matanya telah cedera dalam Perang Badar, menurut riwayat lain dikatakan dalam Perang Uhud dan satu riwayat lagi dalam Perang Khandaq. Menurut Abu `Umar, yang terlebih shahih - namun Allah sahaja yang Maha Mengetahui - bahawasanya mata Qatadah telah cedera dalam Perang Uhud, lalu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah mengembalikannya sehingga ia menjadi sebaik - baik matanya.

Telah meriwayatkan Abu Rabi` Sulaiman bin Abil Barakat Muhammad dengan sanadnya sehingga kepada Abu Abdul Rahman bin al-Harits bin `Ubaid bahawa datuknya meriwayatkan sebagai berikut:- "Mata ayahku (yakni Qatadah) telah cedera pada hari Perang Uhud, maka Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah meludah padanya lalu matanya sembuh menjadi matanya yang terbaik."

Telah diriwayatkan juga oleh Abu Ya'la dengan sanadnya sehingga kepada `Umar bin Qadatah yang meriwayatkan bahawa ayahnya Sayyidina Qatadah bin an-Nu'man yang menceritakan bahawa matanya telah cedera dalam Perang Badar sehingga biji matanya terjatuh ke pipinya. Sebahagian sahabat hendak memotong sahaja biji matanya itu lalu mereka bertanya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersabda: "Jangan (kalian potong)," lalu baginda memanggil Qatadah dan menampung biji matanya dengan telapak tangan baginda yang mulia dan mengembalikannya ke tempatnya (rongga / soket mata). Mata tersebut terus sembuh sehingga Qatadah tidak lagi tahu mata mana yang telah cedera (saking sempurna kesembuhan tersebut).

Diriwayatkan oleh Abu Ja'far dengan sanadnya sehingga `Ashim bin `Umar bin Qatadah yang berkata: "Mata Qatadah telah cedera dalam Perang Uhud sehingga jatuh atas pipinya. Maka Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah mengembalikan mata tersebut ke tempatnya lalu mata tersebut sembuh menjadi matanya yang terbaik.

Bersempenakan mukjizat tersebut, maka sebahagian ulama telah menyusun serangkap shalawat sebagai memperingati mukjizat ini yang berbunyi: "Allahumma shalli `ala man thaabat `ainu Qatadah (Ya Allah, limpah shalawat atas Junjungan Nabi yang menjadi sebab kesembuhan mata Qatadah)." Shalawat ini boleh dijadikan sebagai sarana bertabarruk dengan shalawat dan mukjizat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam memohon kesembuhan mata dari kebutaan dan segala penyakit mata. Ada orang menamakan shalawat ini sebagai Shalawat Qatadah, namun itu hanya sekadar penamaan kerana adanya sebutan nama Qatadah di dalamnya. Berdasarkan kepada pengalaman dan tajribah, maka sebahagian tok - tok guru menyuruh mengamalkan shalawat ini agar mata terpelihara dari kebutaan dan segala penyakit mata. Sesiapa yang suka, bolehlah mengamalkannya sebagai ikhtiar. Mudah - mudahan bermanfaat.

Ustaz Uthman bin Yusuf @ Baba Man Beneeramah