Sabtu, Ogos 31, 2019

Wasiat Syaikh `Umar Maqdisi

Amalan membaca doa akhir tahun dan awal tahun hijrah telah sebati dengan masyarakat kita di Nusantara. Namun, amalan ini tidaklah terbatas di rantau kita sahaja dan bukanlah perkara yang diada-adakan masyarakat Nusantara semata-mata. Pasti ada asal - usulnya jika kita kaji. Namun, apalah guna mengetahui asalnya jika hanya untuk diketahui sahaja, apa yang lebih penting ialah diamal dan dihayati akan doa - doa tersebut sepenuh hati agar dikabulkan Allah dan diberiNya segala yang dipinta.

Syaikh Hasan al-`Idwi al-Hamzaawi (wafat tahun 1303H) rahimahullah, seorang ulama besar al-Azhar bermazhab Maliki. Beliau juga terkenal sebagai seorang ahli hadis dan memiliki karangan yang mensyarahkan Shahih al-Bukhari setebal 10 jilid dengan jodol an-Nuurus Saari min faydhi Shahih al-Imam al-Bukhari. Syaikh Hasan dalam karya beliau yang mensyarahkan hadis musalsal mengenai 'Asyura yang berjodol an-Nafahaatun Nabawiyyah fi Fadhaa-il al-`Aasyuuriyyah pada halaman 68 menukilkan wasiat Syaikh 'Umar bin Qudamah al-Maqdisi berhubung Doa Awal Tahun dan Doa Akhir Tahun, di mana Syaikh 'Umar menyatakan sebagai berikut: "Sentiasalah guru - guru kami berpesan kepada kami untuk mengamalkannya sebagaimana mereka mengamalkannya (yakni mengamalkan doa akhir dan doa awal tahun tersebut) dan aku belum pernah meninggalkannya selama umurku." 
Wasiat tersebut juga dinukilkan oleh para ulama Jawi, antaranya Syaikh Abdul Hamid Qudus rahimahullah dalam Kanzun Najaah was Suruur pada halaman 68 dan  oleh almarhum Mufti Negeri Sembilan, Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id dalam Tuhfatul Awthaan wal Ikhwaan. Syaikh Ahmad rahimahullah pada halaman 40 kitab tersebut menukil sebagai berikut: Telah menyebut oleh al-'Allaamah ad-Dairabi di dalam Fawaaidnya, ia nukil daripada al-'Allaamah Jamaaluddin cucu Ibnul Jawzi daripada Syaikh 'Umar bin Qudamah al-Maqdisi akan doa bagi awal tahun dan doa bagi akhirnya, dan berkata ia: "Sentiasalah guru - guru kami berwasiatkan dengan itu doa dan membaca mereka itu akan dia dan tiada luput akan daku selama umur aku."

Maka, terpulanglah kepada tuan - tuan untuk mengikut anjuran dan pesanan tersebut. Nak ikut, ikut. Tak nak, tak payah. Tak jatuh dalam dosa kalau tak buat. Yang jatuh dalam dosa adalah bila kita larang dan/atau caci dan/atau keji akan hamba - hamba Allah yang mahu berdoa memohon kepada Allah. Ingat berdoa  adalah satu ibadah, bahkan ia adalah intipati ibadah.

Rabu, Ogos 28, 2019

Istighatsah Ketika Sakit

Ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah membenarkan berdoa kepada Allah ta`ala secara bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Bahkan, perbuatan beristighatsah juga tidak dipermasalahkan oleh para ulama kita. Segala dalil dan hujah bagi perbuatan ini telah penuh dibicarakan dalam karya - karya dan fatwa - fatwa mereka. Antaranya adalah riwayat istighatsah yang dibaca setelah shalat hajat yang diajar oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kepada seorang buta dalam riwayat yang masyhur, diriwayatkan oleh para ahli hadits di antaranya Imam Ahmad bin Hanbal radhiyaAllahu `anhu dalam musnad beliau dengan sanad yang sahih.  Maka berterusanlah doa beristighatsah tersebut diajar dari satu generasi ke satu generasi sehingga ke zaman kita sekarang.

Di kesempatan kali ini, faqir menukilkan kisah seseorang yang beristighatsah dengan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika beliau menderita sakit. Kisah ini terjadi setelah kewafatan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi ad-Dunya dalam karya beliau, Mujaabad Da'wah. Diriwayatkan pada halaman 85 sebagai berikut: Seorang lelaki telah datang kepada 'Abdul Malik bin Hayyan bin Sa`id bin al-Hasan bin Abjar (untuk mengadu mengenai sakit yang dihadapinya). Maka Ibnu Abjar memeriksa perut lelaki tersebut, lalu berkata: "Engkau menghidap penyakit yang tidak dapat diubat, iaitu penyakit ad-dubailah (seperti bisul atau ketumbuhan atau kanser). Lelaki tersebut pun berlalu pergi sambil berdoa sebanyak 3 kali dengan doa berikut: "Allah, Allah sahajalah Tuhanku dan tidaklah aku mensyirikkan sesuatu denganNya. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dan bertawajjuh kepadaMu dengan nabiMu Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, Nabi Pembawa Rahmat, Wahai Muhammad, sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu dan Tuhanku agar Dia mengasihaniku dan merahmatiku atas apa yang aku hidapi dengan rahmat yang mencukupi bagiku daripada menagih simpati dan berharap kepada belas ihsan selainNya. " Kemudian dia pergi lagi bertemu dengan Ibnu Abjar dan setelah diperiksa, Ibnu Abjar berkata kepadanya: "Engkau telah sembuh dan tiada lagi bagimu penyakit".
Allahu .... Allah, Allah yang Maha Penyembuh yang Maha Berkuasa memberikan kesembuhan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Sembuh atau tidak semuanya atas kehendak mutlak Allah ta`ala semata-mata. Kisah di atas dinukilkan hanya sebagai satu contoh menunjukkan bahawa berdoa dengan beristighatsah  kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah sesuatu yang asing dalam amalan umat Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam zaman berzaman.

Ahad, Ogos 04, 2019

Raatibah Jalaaliyyah

Dalam khazanah Islam dan umatnya, terdapat banyak dan berbagai amalan yang disusun oleh para ulama sebagai upaya untuk bertaqarrub mendekatkan diri kepada Allah ta`ala. Dan semestinya segala amalan yang muktabar itu sekali - kali tidak menyalahi akidah dan syariat serta mempunyai sumber dan sandaran, samada secara langsung maupun secara tidak langsung. Di wilayah - wilayah India Selatan seperti Tamil Nadu, Nagor, Kerala dan juga di pulau Sri Lanka terkenal dengan satu amalan  wirid yang dikenali sebagai Raatibatun Jalaaliyyatun @ Ratib Jalaaliyyah atau nama "gah"nya Raatibatun Jalaaliyyatun wa Wadzhifatun Haaliyyatun wa Maqaaliyyatun wa Adzkaarun Qaadiriyyatun. Amalan ini adalah rangkaian zikrullah, shalawat dan munajat yang disusun oleh seorang ulama dan wali yang terkenal, iaitu Quthubuz Zaman Sayyid Muhammad Mappillai Lebbai 'Aalim Waliyullah yang juga dikenali sebagai Imam `Arus dan Maadihush Shibtayn rahimahullah. Imam 'Arus atau nama penuhnya Sayyid Muhammad bin Ahmad Lebbai bin Miran Lebbai bin Ahmad Shadaqa al-Kirkari ash-Shiddiqi dilahirkan kira - kira tahun 1232H / 1816M dan wafat sekitar tahun 1316H / 1898M. Beliau merupakan keturunan Khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq radhiyaAllahu `anhu. Beliau adalah seorang ulama besar yang diakui juga sebagai seorang wali yang banyak karamahnya. Beliau bermazhab Syafie dan kealiman beliau dapat dilihat dari karya - karya beliau yang melebihi 300 buah, kecil besar, dalam bahasa `Arab dan Arwi (Arab-Tamil) dalam berbagai bidang. Beliau rahimahullah memiliki beberapa karangan dalam Fiqh Syafie, di antaranya Fathul Matin, Fathus Salam, Fathud Dayyan dan Maghani Mulihat Tibyan.

Karya beliau Fathud Dayyan fi Fiqhi Khairil Adyan yang ditulis dalam Arwi telah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris dan diberi kata pengantar oleh almarhum Prof. Dr. Abdul Majeed Mohamed Mackeen yang menyebut antara lain:- Mappilai Alim was an author of considerable standing and has to his credit a number of works ranging from writings on theology and law to Qur'anic exegesis. His magnum opus, however, is the well - known Maghani, a work of mature erudition intended as a commentary on Fath ad-Dayyan which it eventually superseded. .... His achievement lay in that, within the limits of the most orthodox presentation of Islam with details eschatology and rituals, he expounds with extreme conviction the most supreme issue of the Muslim divines were ever called upon to face - the non-dualistic theory of Ibn `Arabi. 

Imam 'Arus adalah seorang pendakwah yang gigih, berdakwah menyebarkan Islam dan mempertahankan akidah umatnya hatta ke ceruk - ceruk pendalaman. Beliau telah berdakwah ke kawasan - kawasan pendalaman Sri Lanka yang sukar untuk didatangi. Kesukaran tersebut tidak melemahkan semangat dakwahnya sehingga dikatakan bahawa di Sri Lanka sahaja beliau telah  berjaya membina dan membangun kira - kira 350 buah masjid serta madrasah. Maka tidak hairan, jika beliau adalah ulama yang amat berpengaruh di sana. Imam 'Arus juga adalah pengasas bagi Thariqah 'Aruusiyyah Qaadiriyyah yang merupakan furuk kepada Thariqah Qaadiriyyah yang masyhur dan berpengaruh di India Selatan dan berbagai daerah di dunia Islam. Ratib Jalaaliyyah yang beliau susun, antaranya menghimpunkan dua amalan ratib yang masyhur, iaitu Ratib al-Quthub al-Haddad dan Ratib al-Quthub Sayyid Muhammad al-Bukhari al-Jalali Thanggal radhiyaAllahu `anhuma. Sejak lebih kurang 150 tahun, Ratib Jalaaliyyah telah diamal dan dibaca secara berjemaah di masjid - masjid dan madrasah di Sri Lanka, Tamil Nadu, Kerala dan ianya telah tersebar ke berbagai pelusuk dunia termasuklah di Malaysia.

Di antara zikir - zikir yang terkandung dalam ratib tersebut,  ada satu shighah zikir yang biasa dirangkaikan dan dilantunkan dalam zikir - zikir munajat di tempat kita, bahkan dijadikan satu nasyid yang sering dikumandangkan. Ini berlaku sejak dulu lagi, ketika majlis - majlis qiyamulail berjemaah mula berkembang. Malangnya, zaman sekarang, ada pulak ustaz yang menyalahkan - nyalahkan zikir tersebut. Zikir yang perhamba maksudkan adalah shighah yang berbunyi: "Nur Muhammad, shallaAllah"Ada pihak yang mempermasalahkan shighah ini. Ada yang mengi'rabkannya secara nahwu dan sharaf, lalu membuat kesimpulan bahawa ianya janggal atau salah dari sudut bahasa yang mereka fahami. Geng yang allergik dengan Nur Muhammad tak payah cakap lagi, tak tunggu malam, langsung sesatkan ungkapan tersebut. Namun, dek kerana zikir tersebut telah melekat dalam masyarakat, maka nak dibuang payah, karang tak berbunyi pulak zikir munajat qiyamullail berjemaah mereka, lalu dibuatlah perubahan atau pertukaran pada shighah tersebut. Maka timbullah kalimah - kalimah ganti yang serasi dengan mereka seperti 'Ala Muhammad, ShallaAllah atau Nabi Muhammad, ShallaAllah dan seumpamanya. Perhamba nak komen banyak, perhamba tak reti, sebab mengaji tak tinggi. Hanya komen perhamba adalah shighah Nur Muhammad, ShallaAllah itulah yang dok tercatat dalam Ratib Jalaaliyyah susunan Imam 'Arus rahimahullah dan Nur Muhammad itu tiada lain selain daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Oleh itu hendaknya kita berpada - pada dan berhati - hati dalam menyalahkannya. Tuan - tuan kena sedar, ingat dan perati, bahawa yang susun ratib tersebut bukanlah, maaf cakap, ustaz cap ayam. Tambahan pula, shighah tersebut telah lebih 150 tahun dibaca dan diamalkan manusia, khawwas dan awam. Maka adakah mereka semuanya tak reti ?

Jika pun nak dikatakan silap pada lafaz atau rangkaian shighah zikir: Hasbi Rabbi, JallaAllah; Maa fii qalbi, ghairUllah; Nur Muhammad, shallaAllahu tersebut, maka mungkin ianya adalah pada diri pembacanya dan bukannya pada shighah zikirnya. Silapnya adalah ketika si penzikir melantunkan maa fi qalbi ghairUllah (tiada sesuatu dalam hatiku selain Allah), hatinya malah penuh berisikan segala aghyar dan akdar. Maka di situlah kesilapan sebenarnya, bukan pada shighah zikirnya tapi pada kondisi si penzikir yang penuh kealpaan dan ghaflah. Makanya, tok - tok guru pesan, kalau boleh biarlah apa yang dilafaz dek lidah sama dengan apa yang terkandung dalam hati sanubari. Jika belum mampu, hendaklah diucapkan shighah zikir tersebut dengan niat dan harapan semoga apa yang diucapkan oleh lidah akan dizahirkan Allah dalam hati sanubari menjadi kenyataan sehingga benar - benar tiada lain di hati kita selain Allah. Atau setidak - tidaknya, shighah zikir tersebut diucapkan semata-mata dengan niat tabarrukan atau ittiba` atau menuruti atau mengajuk akan shighah yang pernah dilafazkan oleh para shalihin dengan harapan mudah - mudahan ada keberkatannya. Maka inilah pesanan tok - tok guru perhamba, mudah - mudahan dengan sedemikian, tidaklah kita dikecam sebagai pendusta kerana lain di lidah, lain pula yang di hati ..... Allahu .... Allah. Harap faham dan maklum, apa - apa pun jangan mudah menyalah - nyalahkan orang, apatah lagi jika yang disalah-salahkan itu tergolong daripada kalangan awliya` dan shalihin. Semoga manfaat dan keberkatan ratib tersebut dan penyusunnya terus mengalir atas sekalian umat.