Rabu, September 28, 2022

Shalawat Amjad

Ini satu lagi shighah shalawat yang ringkas, memuliakan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan panggilan an-Nabi al-Amjad yakni Nabi yang paling mulia lagi terhormat. Shighah shalawat ini amat dekat dengan sebahagian pengamal Thariqat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah sehingga menjadi rutinan mereka, istimewa ketika menunggu masuknya waktu shalat Jumaat. Berbahagialah mereka - mereka yang banyak bershalawat ke atas Nabi yang termulia, ingat pesanan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam bahawa orang yang paling utama di sisi baginda nanti di hari kiamat, yang paling hampir dan paling dekat dengan baginda nanti adalah yang paling banyak shalawatnya ketika di dunia dahulu. Ingat tu, shalawat shalawat.

Isnin, September 26, 2022

Mawlid - Bustanul Arifin

Bulan Rabi`ul Awwal menjelang tiba, maka pasti menambahkan lagi ingatan kita kepada kekasih Allah, makhluk yang paling mulia dan teragung, Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mudah - mudahan bertambah shalawat dan kecintaan kita kepada manusia yang paling kasih dan paling prihatin dengan nasib serta keberuntungan kita di akhirat nanti. Bersempena ketibaan bulan yang dimuliakan Allah dengan dizahirkan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalamnya, maka faqir mulakan dengan menukil bicara berkaitan mawlid.

Tuan Guru Syaikh Haji Abu Bakar bin Haji Muhammad Yasin al-Firaqi (nisbah kepada negeri Perak, tanah kelahiran beliau) al-Azhari rahimahullah adalah seorang ulama berasal dari Perak. Beliau mendapat pendidikan agama formal di Universiti al-Azhar sebelum tercetusnya Perang Dunia ke-2. Sekembalinya ke tanahair, beliau menjadi mudir Madrasah al-`Ulum asy-Syariah di Bagan Datok. Beliau telah dilantik sebagai mufti Pahang yang ke-4, berkhidmat antara tahun 1951 - 1976. Tuan Guru Shahibus Samahah telah menghasilkan beberapa karangan, antaranya 5 jilid kitab kisah dan sirah para nabi alaihimush shalatu was salam yang diberi jodol Bustanul `Arifin.

Shahibus Samahah, walaupun tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dilakukan manusia ketika mengadakan sambutan Mawlid yang menyalahi syarak seperti pergaulan bebas lelaki perempuan, perarakan yang tak keruan, pembaziran serta perbuatan yang melampau - lampau dan seumpamanya, namun beliau  menyatakan dengan tegas bahawa menyambut atau mengadakan sambutan mawlid tersebut bukanlah satu bid`ah tetapi ianya termasuk dalam sunnatan hasanatan ("sunnah" yang elok baik). Di antara pernyataan beliau rahimahullah, pada halaman 154, juz ke-2, antaranya sebagai berikut: "...Dan pada zaman dahulu adalah ahli Mekah, sebagaimana yang disebutkan oleh setengah - setengah ahli tarikh, mereka itu mengambil berkat dengan ziarah tempat peranakkan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam itu pada tiap - tiap kali hari diperanakkan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam itu. Ini adalah mengadakan perayaan hari diperanakkan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam itu bukanlah daripada bid`ah sebagaimana yang dikata oleh setengah mereka itu, bahkan ia sunnah yang baik yang telah diperbuat oleh orang - orang khalaf mengikut jalan orang - orang salaf yang shalih....."

Mudah - mudahan dengan adanya sambutan - sambutan mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, kita dapat menghidupkan jiwa kita untuk mengingati dan menjunjung serta menuruti akan teladan dan ajaran yang telah baginda wariskan kepada kita sebagai sebab untuk memperolehi keselamatan dan kejayaan yang hakiki di akhirat nanti. Janganlah hendaknya gemerlapan duniawi menyebabkan kita silau sehingga tak terlihat kegemilangan ukhrawi yang kekal abadi. Shallu `alan Nabiyyi Muhammadi.

Selasa, September 13, 2022

Adab Zikir - Sidi `Abdullah

Faqir pernah menulis sedikit mengenai anak saudara mufti Mekah, Sidi Ahmad Zaini Dahlan yang bernama `Abdullah bin Shaqadah Dahlan. Sebagaimana yang diketahui Sidi `Abdullah Dahlan rahimahullah pernah merantau hingga ke Tanah Melayu. Beliau pernah  dilantik menjadi Syaikhul Islam (Mufti) Kedah yang kedua, berkhidmat pada tahun 1904 - 1905, sebelum beliau pulang ke Mekah. Beliau merupakan ulama Mekah yang mengajar di Masjidil Haram dan menjadi imam bagi pengikut Mazhab Syafie di sana. Beliau akhirnya berhijrah ke Pulau Jawa dan wafat di sana. 

Di antara tulisan beliau adalah sebuah risalah kecil berbahasa Melayu, yang dinamakan sebagai Majmu` yang menghimpunkan secara ringkas rukun Islam, rukun Iman dan berberapa doa dan zikir. Faqir kongsikan Fasal Ke-3 risalah tersebut yang menyatakan sebagai berikut:  Wajiblah waktu membaca segala zikir - zikir ingatlah pada Allah, jangan ingat pada guru - guru atau pada nafas atau pada lainnya. Dan wajiblah membaca zikrullah dengan huruf yang betul, jangan terpanjang atau terpendek. Dan wajiblah tertib kalimah - kalimah, jangan dibaca ( illa Allah, la ilaaha). Dan jangan dibaca dengan penghabisan huruf hingga mulanya seperti Qulhu Songsang kerana baca macam itu tentulah haram. Dan jangan goyang kepala atau badan atau lainnya.

Menarik apabila Sidi `Abdullah Dahlan menyebut agar jangan diingat guru atau nafas ketika berzikir. Ini mungkin respons beliau terhadap praktik rabithah mursyid yang berlaku dalam sesetengah thariqat. Ada daripada kalangan pengamal thariqat yang salah faham mengenai rabithah mursyid sehingga beranggapan ianya dilakukan sepanjang mereka berzikir. Sedangkan rabithah mursyid itu adalah adab sebelum masuk kepada zikir dan bukan adab ketika berzikir yang sentiasa dihadirkan dalam berzikir. Tujuan rabithah mursyid adalah untuk memperkuatkan azam dan himmah (kesungguhan)  si murid serta mencari limpahan (faydh) keberkatan dan rahmat sebagaimana yang telah Allah curahkan kepada guru mursyidnya, sambung menyambung dengan segala guru mursyid dan masyaikh dalam rantaian silsilah thariqat tersebut sehingga kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sedangkan tatkala berzikir, ingatan dan fokus hanya ditumpukan kepada al-madzkur iaitu Allah jalla jalaluh

Sedikit tentang rabithah mursyid sebagaimana yang diamalkan dalam Thariqat Naqsyabandiyyah, nukilan tulisan guru faqir Buya Muhibuddin Waly al-Khalidi rahimahullah dari risalah karangan beliau yang berjodol: Kaifiyyatudz Dzikri lith Thariqah an-Naqsyabandiyyah al-Waliyyah. Risalah ini beliau tulis dalam Bahasa Arab, kemudian beliau terjemahkan ke Bahasa Melayu. Dalam terjemahannya, Buya Muhibuddin Waly rahimahullah, pada halaman 3, menjelaskan sebagai berikut:- Rabithah Mursyid atau dengan kata lain ingat hati kita kepada guru yang menuntun kita supaya hati kita satu arah dengan hati guru kita. Boleh dikatakan terbayang rupanya. Dan hati kita melihat bahwasanya hati guru kita laksana pancuran di mana turun mengalir limpahan Nur Makrifat dari Allah pada hati Masyaikhil Kiraam turun menurun hingga sampai pada hati guru kita sendiri. Dan melimpahlah Nur tersebut pada hati kita selaku muridnya. Hati kita bermohon kepada Allah SWT agar mendapatkan limpahan Nur itu dan dapat sampai kepada tujuan mulia yaitu zikir yang mantap terhadap Allah SWT, dengan penghayatan Makrifat terhadap-Nya. Karena itu hati kita berkata: "Ya Allah, bantulah aku jalan makrifat kepada-Mu dan limpahkan pula Ya Allah, anwar zikir yang merupakan Nur Makrifat yang telah mengalir pada hati masyaikhil kiraam, mengalir ke dalam hatiku dengan keberkahan zikir makrifat para beliau terhadap-Mu."

Selanjutnya, Sidi `Abdullah menyebut agar jangan diingat kepada nafas kerana yang sepatutnya jadi ingatan dan tumpuan zikir hanyalah Allah semata. Ini mungkin teguran bagi sesetengah pengamal thariqat yang mempraktikkan zikir nafas atau pas anfas, di mana kadang - kadang mereka menumpukan konsentrasi kepada keluar masuknya nafas mereka semata - mata sehingga fokus dan tumpuan yang sepatutnya untuk mengingati Allah terganggu. Bahkan pernah faqir jumpa pengamal thariqat yang mempercepatkan tarik - hembus nafasnya semata - mata untuk memperolehi bilangan zikir nafas yang tertentu. Perbuatan sebegini boleh mendatangkan mudarat dari segi rohani dan jasmani. Tujuan zikir nafas adalah untuk mengingati dan mentaati Allah dalam setiap tarikan dan hembusan nafas seseorang, agar setiap nafas, yang merupakan modal kita mencari bekalan akhirat, tidak dipersia-siakan dalam kelalaian dan maksiat. Maka yang seharus diberi perhatian adalah keluar - masuk nafas kita dalam zikir kepada Allah, ingat pada Allah dan bukannya pada nafas. Bernafas sebagaimana biasa, namun disertakan dengan zikrullah. 

Disebut juga agar jangan dibaca zikir secara songsang terbalik, apatah lagi jika ianya ayat al-Quran. Kita ditegah untuk membaca ayat - ayat dan surah al-Quran secara songsang terbalik yakni memulai bacaan dengan ayat terakhir sesuatu surah menuju ke ayat yang pertama. Perbuatan ini merupakan perlecehan dan penghinaan kepada al-Quran serta boleh menghilangkan i'jaznya (kemukjizatan al-Quran). 

Akhir sekali, Sidi `Abdullah juga menyentuh berkenaan dengan bergerak - gerak ketika berzikir, maka yang dilarang adalah gerak - gerak yang keterlaluan dengan dipaksa - paksa. Jika pergerakan tersebut tidak melampau - melampau, serta menurut kaedah yang diterima dalam sesuatu thariqat, samada yang disebut sebagai daur (pusingan / putaran) atau dharb (palu) dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah. Namun janganlah sampai menimbulkan tohmah dan fitnah.

Sebagai penutup, diingatkan lagi bahawa tujuan berzikir adalah untuk mengingati Allah, dengan tunduk dan patuh kepada segala titah perintahNya, penuh kerelaan dan keikhlasan. Hadirnya hati ketika berzikir itulah adab yang utama dalam berzikir. Imam al-Haddad rahimahullah dalam an-Nashoih ad-Diniyyah menerangkan sebagai berikut:-

(Ketahuilah) - semoga kamu dikasihi Allah - bahawasanya bagi zikir itu ada adabnya dan kehadiran hati (yakni kesedaran hati) beserta lisan ketika berzikir adalah adab yang terpenting dan paling ditekankan. Maka hendaklah kamu menjaga adab ini. Sesungguhnya orang yang berzikir tidak akan mencapai sesuatu dari faedah - faedah zikir dan buah - buah zikir yang menjadi tujuannya melainkan dengan menghadirkan hatinya ketika berzikir.

Mudah - mudahan ada manfaatnya, marilah kita berzikir dengan penuh adab agar dengannya zikir kita tambah bernilai di sisi Allah.
Daa-iratuz Dzikr 
(Thariqat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah)

Ahad, September 11, 2022

Khasiat al-Qadr -Habib Sa`ad

Habib Muhammad bin `Alwi al-`Aydrus @ Habib Sa`ad rahimahullah, adalah salah seorang ulama Hadhramaut daripada baitun nubuwwah. Beliau adalah seorang ulama ahli al-Quran yang mengajar qiraah sab`ah (qiraah tujuh) di Tarim. Ramai murid - murid yang belajar dan menhafal al-Quran dengan beliau, di antaranya yang masyhur adalah ad-Daie Habib `Umar al-Hafiz dan Habib Kadzim. Habib Sa`ad wafat pada tahun 2011 / 1432 di Tarim ketika sedang mentelaah kitab Ihya` Imam al-Ghazali. Diceritakan bahawa ketika membaca kitab tersebut, beliau rebah dan terus menghembuskan nafasnya yang terakhir sedangkan kitab yang berkat itu masih tergenggam erat di tangan beliau. Semoga Allah merahmati beliau sentiasa. Selain mengajar, beliau juga terbilang sebagai ulama yang produktif menghasilkan berbagai tulisan. 

Dalam salah - satu karangan beliau yang diberi jodol Kaifa Takuunu Ghaniyan, beliau menulis beberapa kelebihan atau khasiat bagi Surah al-Qadr. Pada halaman 36 beliau menyatakan sebagai berikut:-  Surah (al-Qadr), sesiapa yang ada hajat keperluan, lalu membacanya sebelum pergi untuk mendapatkan hajatnya tersebut, dia akan kembali dalam keadaan gembira dengan tertunai hajatnya itu. Sesiapa yang membacanya sekali selepas shalat - shalat fardhu, dijauhkan Allah daripadanya segala kerungsingan dan kesedihan serta  diwariskan (yakni dilimpahkan) keberkatan pada rumahnya (yakni ahli keluarganya). 

Mudah - mudahan dapat kita jadikan amalan agar diperolehi keberkatannya selain menjadi pedoman dalam melayari bahtera kehidupan menuju negeri yang kekal abadi. 

Selasa, September 06, 2022

Salafi Wahhabi? - UAS