Faqir pernah menulis sedikit mengenai anak saudara mufti Mekah, Sidi Ahmad Zaini Dahlan yang bernama
`Abdullah bin Shaqadah Dahlan. Sebagaimana yang diketahui Sidi `Abdullah Dahlan
rahimahullah pernah merantau hingga ke Tanah Melayu. Beliau pernah dilantik menjadi Syaikhul Islam (Mufti) Kedah yang kedua, berkhidmat pada tahun 1904 - 1905, sebelum beliau pulang ke Mekah. Beliau merupakan ulama Mekah yang mengajar di Masjidil Haram dan menjadi imam bagi pengikut Mazhab Syafie di sana. Beliau akhirnya berhijrah ke Pulau Jawa dan wafat di sana.
Di antara tulisan beliau adalah sebuah risalah kecil berbahasa Melayu, yang dinamakan sebagai Majmu` yang menghimpunkan secara ringkas rukun Islam, rukun Iman dan berberapa doa dan zikir. Faqir kongsikan Fasal Ke-3 risalah tersebut yang menyatakan sebagai berikut: Wajiblah waktu membaca segala zikir - zikir ingatlah pada Allah, jangan ingat pada guru - guru atau pada nafas atau pada lainnya. Dan wajiblah membaca zikrullah dengan huruf yang betul, jangan terpanjang atau terpendek. Dan wajiblah tertib kalimah - kalimah, jangan dibaca ( illa Allah, la ilaaha). Dan jangan dibaca dengan penghabisan huruf hingga mulanya seperti Qulhu Songsang kerana baca macam itu tentulah haram. Dan jangan goyang kepala atau badan atau lainnya.
Menarik apabila Sidi `Abdullah Dahlan menyebut agar jangan diingat guru atau nafas ketika berzikir. Ini mungkin respons beliau terhadap praktik rabithah mursyid yang berlaku dalam sesetengah thariqat. Ada daripada kalangan pengamal thariqat yang salah faham mengenai rabithah mursyid sehingga beranggapan ianya dilakukan sepanjang mereka berzikir. Sedangkan rabithah mursyid itu adalah adab sebelum masuk kepada zikir dan bukan adab ketika berzikir yang sentiasa dihadirkan dalam berzikir. Tujuan rabithah mursyid adalah untuk memperkuatkan azam dan himmah (kesungguhan) si murid serta mencari limpahan (faydh) keberkatan dan rahmat sebagaimana yang telah Allah curahkan kepada guru mursyidnya, sambung menyambung dengan segala guru mursyid dan masyaikh dalam rantaian silsilah thariqat tersebut sehingga kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sedangkan tatkala berzikir, ingatan dan fokus hanya ditumpukan kepada al-madzkur iaitu Allah jalla jalaluh.
Sedikit tentang rabithah mursyid sebagaimana yang diamalkan dalam Thariqat Naqsyabandiyyah, nukilan tulisan guru faqir Buya Muhibuddin Waly al-Khalidi rahimahullah dari risalah karangan beliau yang berjodol: Kaifiyyatudz Dzikri lith Thariqah an-Naqsyabandiyyah al-Waliyyah. Risalah ini beliau tulis dalam Bahasa Arab, kemudian beliau terjemahkan ke Bahasa Melayu. Dalam terjemahannya, Buya Muhibuddin Waly rahimahullah, pada halaman 3, menjelaskan sebagai berikut:- Rabithah Mursyid atau dengan kata lain ingat hati kita kepada guru yang menuntun kita supaya hati kita satu arah dengan hati guru kita. Boleh dikatakan terbayang rupanya. Dan hati kita melihat bahwasanya hati guru kita laksana pancuran di mana turun mengalir limpahan Nur Makrifat dari Allah pada hati Masyaikhil Kiraam turun menurun hingga sampai pada hati guru kita sendiri. Dan melimpahlah Nur tersebut pada hati kita selaku muridnya. Hati kita bermohon kepada Allah SWT agar mendapatkan limpahan Nur itu dan dapat sampai kepada tujuan mulia yaitu zikir yang mantap terhadap Allah SWT, dengan penghayatan Makrifat terhadap-Nya. Karena itu hati kita berkata: "Ya Allah, bantulah aku jalan makrifat kepada-Mu dan limpahkan pula Ya Allah, anwar zikir yang merupakan Nur Makrifat yang telah mengalir pada hati masyaikhil kiraam, mengalir ke dalam hatiku dengan keberkahan zikir makrifat para beliau terhadap-Mu."
Selanjutnya, Sidi `Abdullah menyebut agar jangan diingat kepada nafas kerana yang sepatutnya jadi ingatan dan tumpuan zikir hanyalah Allah semata. Ini mungkin teguran bagi sesetengah pengamal thariqat yang mempraktikkan zikir nafas atau pas anfas, di mana kadang - kadang mereka menumpukan konsentrasi kepada keluar masuknya nafas mereka semata - mata sehingga fokus dan tumpuan yang sepatutnya untuk mengingati Allah terganggu. Bahkan pernah faqir jumpa pengamal thariqat yang mempercepatkan tarik - hembus nafasnya semata - mata untuk memperolehi bilangan zikir nafas yang tertentu. Perbuatan sebegini boleh mendatangkan mudarat dari segi rohani dan jasmani. Tujuan zikir nafas adalah untuk mengingati dan mentaati Allah dalam setiap tarikan dan hembusan nafas seseorang, agar setiap nafas, yang merupakan modal kita mencari bekalan akhirat, tidak dipersia-siakan dalam kelalaian dan maksiat. Maka yang seharus diberi perhatian adalah keluar - masuk nafas kita dalam zikir kepada Allah, ingat pada Allah dan bukannya pada nafas. Bernafas sebagaimana biasa, namun disertakan dengan zikrullah.
Disebut juga agar jangan dibaca zikir secara songsang terbalik, apatah lagi jika ianya ayat al-Quran. Kita ditegah untuk membaca ayat - ayat dan surah al-Quran secara songsang terbalik yakni memulai bacaan dengan ayat terakhir sesuatu surah menuju ke ayat yang pertama. Perbuatan ini merupakan perlecehan dan penghinaan kepada al-Quran serta boleh menghilangkan i'jaznya (kemukjizatan al-Quran).
Akhir sekali, Sidi `Abdullah juga menyentuh berkenaan dengan bergerak - gerak ketika berzikir, maka yang dilarang adalah gerak - gerak yang keterlaluan dengan dipaksa - paksa. Jika pergerakan tersebut tidak melampau - melampau, serta menurut kaedah yang diterima dalam sesuatu thariqat, samada yang disebut sebagai daur (pusingan / putaran) atau dharb (palu) dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah. Namun janganlah sampai menimbulkan tohmah dan fitnah.
Sebagai penutup, diingatkan lagi bahawa tujuan berzikir adalah untuk mengingati Allah, dengan tunduk dan patuh kepada segala titah perintahNya, penuh kerelaan dan keikhlasan. Hadirnya hati ketika berzikir itulah adab yang utama dalam berzikir. Imam al-Haddad rahimahullah dalam an-Nashoih ad-Diniyyah menerangkan sebagai berikut:-
(Ketahuilah) - semoga kamu dikasihi Allah - bahawasanya bagi zikir itu ada adabnya dan kehadiran hati (yakni kesedaran hati) beserta lisan ketika berzikir adalah adab yang terpenting dan paling ditekankan. Maka hendaklah kamu menjaga adab ini. Sesungguhnya orang yang berzikir tidak akan mencapai sesuatu dari faedah - faedah zikir dan buah - buah zikir yang menjadi tujuannya melainkan dengan menghadirkan hatinya ketika berzikir.
Mudah - mudahan ada manfaatnya, marilah kita berzikir dengan penuh adab agar dengannya zikir kita tambah bernilai di sisi Allah.
Daa-iratuz Dzikr
(Thariqat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan