Menunjukkan catatan yang diisih mengikut kaitan pertanyaan shadaqah. Isih mengikut tarikh Tunjukkan semua catatan
Menunjukkan catatan yang diisih mengikut kaitan pertanyaan shadaqah. Isih mengikut tarikh Tunjukkan semua catatan

Rabu, Julai 16, 2008

Sidi 'Abdullah Shadaqah Dahlan

Sayyid 'Abdullah bin Shadaqah bin Zaini Dahlan al-Jilani adalah seorang ulama besar yang dilahirkan pada tahun 1290/1291H (1874/1875M) di Kota Makkah al-Mukarramah. Beliau lahir dalam keluarga ulama yang sholeh. Ayahanda beliau adalah saudara kandung Syaikhul Islam Mufti Haramain Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan, ulama dan mufti Hejaz yang masyhur, manakala bonda beliau adalah saudara perempuan Sidi Abu Bakar Syatho ad-Dimyathi. Nasab penuh beliau adalah Sayyid 'Abdullah bin Shadaqah bin Zaini Dahlan bin Ahmad Dahlan bin 'Utsman Dahlan bin Ni'matUllah bin 'Abdur Rahman bin Muhammad bin 'Abdullah bin 'Utsman bin 'Athoya bin Faaris bin Musthofa bin Muhammad bin Ahmad bin Zaini bin Qaadir bin 'Abdul Wahhaab bin Muhammad bin 'Abdur Razzaaq bin 'Ali bin Ahmad bin Ahmad (Mutsanna) bin Muhammad bin Zakariyya bin Yahya bin Muhammad bin Abi 'Abdillah bin al-Hasan bin Sayyidina 'Abdul Qaadir al-Jilani, Sulthanul Awliya` bin Abi Sholeh Musa bin Janki Dausat Haq bin Yahya az-Zaahid bin Muhammad bin Daud bin Muusa al-Juun bin 'Abdullah al-Mahd bin al-Hasan al-Mutsanna bin al-Hasan as-Sibth bin Sayyidinal-Imam 'Ali & Sayyidatina Fathimah al-Batuul radhiyaAllahu`anhum ajma`in. Tatkala beliau berusia 6 tahun, ayahandanya wafat, Sidi Ahmad Zaini Dahlan telah mengambil tugas ayahandanya untuk menjaga dan memberi pendidikan yang sempurna kepadanya. Pamannya ini turut mengasihi dirinya serta memberikan perhatian besar terhadapnya. Beliau berada di bawah asuhan pamannya ini sehinggalah ulama besar Hejaz ini wafat di Kota Madinah al-Munawwarah pada tahun 1304H (1887M). Setelah pemergian pamannya yang mulia, Sayyid 'Abdullah kembali ke Kota Makkah dan menyambung pengajiannya dengan para ulama di sana, antaranya dengan pamannya Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi, Syaikh Muhammad Husain al-Khayyath, Habib Husain bin Muhammad al-Habsyi dan lain-lain ulama terkemuka. Kedalaman ilmunya diakui para ulama sehingga beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Imam dalam Masjidil Haram di Maqam Ibrahim (tempat bagi Imam mazhab Syafi'i) serta menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram yang mengendali halaqah ilmu di Babus Salam. Sayyid 'Abdullah terkenal sebagai ulama yang suka mengembara dari satu tempat ke satu tempat demi menyebarkan risalah dakwah dan ilmu. Beliau telah merantau ke banyak tempat seperti Zanzibar, Yaman, India, Mesir, Bahrain, Iraq, Syam, India, Sri Lanka, Tanah Melayu, Singapura, Jawa dan Sulawesi. Beliau juga telah mendirikan berbagai madrasah di tempat-tempat tersebut. Apa yang menarik ialah sewaktu di Tanah Melayu beliau telah dilantik menjadi Syaikhul Islam (Mufti) Kedah kedua, pada tahun 1904 - 1905. Namun jawatan tersebut hanya disandangnya kira-kira setahun iaitu dari 1904 sehingga 1905 dan dilepaskannya kerana beliau berhasrat untuk kembali ke Makkah. Setelah lama berkelana, akhirnya Sayyid 'Abdullah telah memilih untuk menetap di Desa Ciparay Girang, Karang Pawitan dalam daerah Garut, Jawa Barat. Di situlah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1943, setelah menjalani hidup yang penuh ketaatan dan keberkatan. Beliau meninggalkan beberapa karangan, antaranya:-
  1. Irsyad Dzil Ahkam;
  2. Zubdatus Sirah an-Nabawiyyah;
  3. Tuhfatuth Thullab fi qawa'idil i'raab;
  4. Khulaashah at-Tiryaaq min samuum asy-Syiqaaq;
  5. Irsyadul Ghaafil ila maafiith thoriiqatit Tijaaniyyati minal baathil;
  6. Fatwa fi ibthal thoriqah wahdatil wujud; dan
  7. Kitab Majmu` (Bahasa Melayu).
Mudah-mudahan Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas Sayyidi 'Abdullah Shadaqah Dahlan al-Jilani al-Hasani. ...... al-Fatihah.


Jumaat, April 03, 2020

Dua Sisi Sedekah

Dalam suasana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), di mana kita duduk berkurung (boleh baca: terkurung atau dikurung), maka ada seorang pendakwah hafizahullah yang ligat ke sana ke mari untuk membantu dan / atau memberi bantuan kepada pelbagai pihak, terutama yang memerlukan. Beliau turut memaparkan aktivitinya dalam medsos (media sosial), lalu perbuatan beliau tersebut mendatangkan kritikan daripada sesetengah oknum dalam masyarakat, sehingga ada yang tergamak menuduh beliau tidak ikhlas. .... Allahu ...Allah. Maka faqir tulis entri ini bukanlah untuk menuduh sapa - sapa atau sebagai pembelaan kepada ustaz tersebut, hanya buat renungan agar kita lebih melihat kepada diri kita berbanding menjadi qadhi untuk menghukum orang lain, apatah lagi jika urusan tersebut bukan dalam wilayah kita, bahkan bukan pun dalam wilayah insan untuk diputuskan. Ikhlas atau tidak, itu urusan Qadhi Rabbul Jalil yang Maha Mengetahui. Urusan kita adalah bertolong bantu atas kebajikan dan ketakwaan. Ustaz tersebut telah melakukan sesuatu yang mungkin kita tidak mampu untuk melakukannya. Jika beliau tidak ikhlas, ya sudah, doain aja, biar dijadikan beliau ikhlas, mudah - mudahan dengan doa kita tersebut, disekutukan kita dalam kebajikan yang beliau lakukan. Daripada kita mengkritik dan mengutuk, apatah lagi secara terbuka, saudara kita tersebut, elok didoakan. 

Ingat wahai saudara, pada sedekah itu ada dua sisi. Satu sisi menghadap kepada Qadhi Rabbul Jalil, yang Maha Suci, yang tidak menerima amalan sedekah yang tidak ikhlas, bukan bertujuan mencari keredhaanNya semata - mata. Satu sisi lagi ianya bertumpu kepada penerima sedekah, iaitu hambanya Qadhi Rabbul Jalil, yang tidak mengurus urusan ikhlas atau tidak sesuatu sedekah itu. Dari sisi hamba ini, setiap sedekah yang diterima pasti akan menggembirakan hatinya. Maka, dalam bersedekah itu, setidak - tidaknya, ada dua ganjaran, iaitu: (1) pahala sedekah (tsawabu ash-shadaqah) dan (2) pahala menggembirakan orang (tsawabu idkhal as-surur). Apatah lagi jika penerima sedekah itu muslim mukmin, atau ada harapan untuk menjadi muslim mukmin belakangannya nanti. Oleh itu, sekali lagi ditegaskan bahawa menggembirakan si penerima sedekah itu memiliki ganjaran pahala lain selain daripada pahala bersedekah itu sendiri. Menurut ulama, seseorang yang bersedekah dengan riya` tidak akan mendapat pahala sedekahnya itu, namun dia masih berkemungkinan mendapatkan pahala dari perbuatan menggembirakan si penerima sedekah. Dikatakan juga bahawa pahala menggembirakan orang ini tidak dibatalkan oleh riya`, yakni orang yang bersedekah dengan riya` pun tetap akan memperolehinya, in sya Allah..... Allahu ... Allah.

Guru Sekumpul @ Kiyai Haji Muhammad Zaini bin Abdul Ghani rahimahullah, ulama Banjar yang masyhur dengan ilmu dan kewalian, pernah berkata: "Bersedekah apabila riya`, kita tidak dapat pahala sedekah tersebut, tetapi pintangan (yakni kebetulan) menyenangi hati orang yang menerimanya, di situ kita dapat pahalanya." Ini bukan pandangan pribadi beliau, bahkan adalah ajaran yang terkandung dalam syariat al-Mustafa yang mulia. Untuk berkongsi lagi, faqir nukilkan tulisan seorang lagi ulama besar yang sempat faqir lihat, mudah - mudahan bermanfaat.

Imam al-`Allaamah 'Ali bin Muhammad al-Ujhuri al-Maliki rahimahullah (967 - 1066H), ulama besar, murid Imam Ramli, diberi gelaran Nuruddin, Syaikh al-Malikiyyah, `Alamul Irsyad dan Barakatuz Zaman, dalam "Fadhailu Syahri Ramadhan", menyatakan pada halaman 159, antara lain, sebagai berikut:- " ...Ganjaran pahala kerana menggembirakan orang dengan bersedekah (yakni pahala menggembirakan penerima sedekah) tidak dibatalkan atau dihapuskan oleh riya`..... Bahawasanya pahala yang terhasil kerana gembiranya penerima sedekah mendapatkan sedekah tersebut tidak dibatalkan oleh riya`, berbeza dengan pahala sedekah itu sendiri, di mana ianya dibatalkan oleh riya`, (yakni pahala menyebabkan kegembiraan dalam hati penerima sedekah itu tidak dibatalkan oleh riya`, lain halnya dengan pahala sedekah itu sendiri, di mana ianya dapat dibatalkan atau dihapuskan oleh riya`.) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menjelaskan tentang  ganjaran pahala menggembirakan hati si penerima sedekah dengan sabdaan baginda: "Bahawasanya antara amalan untuk meraih keampunan Allah adalah memasukkan kegembiraan dalam hati orang beriman,"(yakni menggembirakan hati orang mukmin)." Dan dalam satu lagi hadis: "Amalan - amalan yang paling dikasihi Allah, setelah amalan - amalan fardhu, adalah memasukkan kegembiraan atas orang Islam," ( yakni menggembirakan hati orang Islam). ......"

Kalian bayangkan, betapa kegembiraan keluarga dengan anak kecil, yang tinggal berhari-hari atas jejantas, ketika menerima bantuan. Rasanya bukan depa sahaja yang gembira, kita yang duduk terkurung dalam rumah pun turut gembira melihat mereka dibantu.... Allahu .... Allah. Maka, diharap sesiapa yang mampu bersedekah atau membantu, seperti yang dilakukan oleh pendakwah tadi, hafizahullah, teruskanlah. Buatlah dengan ikhlas semampunya atau belajarlah berbuatnya dengan ikhlas. Sesiapa yang tidak berkemampuan atau belum berkemampuan, tolongilah saudara kamu dengan doa yang ikhlas juga. Mudah - mudahan semuanya diredhai Allah dan diselamatkan daripada segala bencana, dunia dan akhirat. Faqir tutup dengan menukil hadis marfu` yang diriwayatkan oleh Imam Thabrani rahimahullah dalam al-Mu'jam al-Awsath dengan sanad hasan  bahawa Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu menyatakan: "Amalan yang paling utama (afdhal) adalah menggembirakan hati orang beriman, seperti memberinya pakaian untuk menutup auratnya, atau menghilangkan kelaparannya dengan kekenyangan, atau memenuhi hajat keperluannya."