Dua Sisi Sedekah

Ingat wahai saudara, pada sedekah itu ada dua sisi. Satu sisi menghadap kepada Qadhi Rabbul Jalil, yang Maha Suci, yang tidak menerima amalan sedekah yang tidak ikhlas, bukan bertujuan mencari keredhaanNya semata - mata. Satu sisi lagi ianya bertumpu kepada penerima sedekah, iaitu hambanya Qadhi Rabbul Jalil, yang tidak mengurus urusan ikhlas atau tidak sesuatu sedekah itu. Dari sisi hamba ini, setiap sedekah yang diterima pasti akan menggembirakan hatinya. Maka, dalam bersedekah itu, setidak - tidaknya, ada dua ganjaran, iaitu: (1) pahala sedekah (tsawabu ash-shadaqah) dan (2) pahala menggembirakan orang (tsawabu idkhal as-surur). Apatah lagi jika penerima sedekah itu muslim mukmin, atau ada harapan untuk menjadi muslim mukmin belakangannya nanti. Oleh itu, sekali lagi ditegaskan bahawa menggembirakan si penerima sedekah itu memiliki ganjaran pahala lain selain daripada pahala bersedekah itu sendiri. Menurut ulama, seseorang yang bersedekah dengan riya` tidak akan mendapat pahala sedekahnya itu, namun dia masih berkemungkinan mendapatkan pahala dari perbuatan menggembirakan si penerima sedekah. Dikatakan juga bahawa pahala menggembirakan orang ini tidak dibatalkan oleh riya`, yakni orang yang bersedekah dengan riya` pun tetap akan memperolehinya, in sya Allah..... Allahu ... Allah.
Guru Sekumpul @ Kiyai Haji Muhammad Zaini bin Abdul Ghani rahimahullah, ulama Banjar yang masyhur dengan ilmu dan kewalian, pernah berkata: "Bersedekah apabila riya`, kita tidak dapat pahala sedekah tersebut, tetapi pintangan (yakni kebetulan) menyenangi hati orang yang menerimanya, di situ kita dapat pahalanya." Ini bukan pandangan pribadi beliau, bahkan adalah ajaran yang terkandung dalam syariat al-Mustafa yang mulia. Untuk berkongsi lagi, faqir nukilkan tulisan seorang lagi ulama besar yang sempat faqir lihat, mudah - mudahan bermanfaat.
Imam al-`Allaamah 'Ali bin Muhammad al-Ujhuri al-Maliki rahimahullah (967 - 1066H), ulama besar, murid Imam Ramli, diberi gelaran Nuruddin, Syaikh al-Malikiyyah, `Alamul Irsyad dan Barakatuz Zaman, dalam "Fadhailu Syahri Ramadhan", menyatakan pada halaman 159, antara lain, sebagai berikut:- " ...Ganjaran pahala kerana menggembirakan orang dengan bersedekah (yakni pahala menggembirakan penerima sedekah) tidak dibatalkan atau dihapuskan oleh riya`..... Bahawasanya pahala yang terhasil kerana gembiranya penerima sedekah mendapatkan sedekah tersebut tidak dibatalkan oleh riya`, berbeza dengan pahala sedekah itu sendiri, di mana ianya dibatalkan oleh riya`, (yakni pahala menyebabkan kegembiraan dalam hati penerima sedekah itu tidak dibatalkan oleh riya`, lain halnya dengan pahala sedekah itu sendiri, di mana ianya dapat dibatalkan atau dihapuskan oleh riya`.) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menjelaskan tentang ganjaran pahala menggembirakan hati si penerima sedekah dengan sabdaan baginda: "Bahawasanya antara amalan untuk meraih keampunan Allah adalah memasukkan kegembiraan dalam hati orang beriman,"(yakni menggembirakan hati orang mukmin)." Dan dalam satu lagi hadis: "Amalan - amalan yang paling dikasihi Allah, setelah amalan - amalan fardhu, adalah memasukkan kegembiraan atas orang Islam," ( yakni menggembirakan hati orang Islam). ......"
Kalian bayangkan, betapa kegembiraan keluarga dengan anak kecil, yang tinggal berhari-hari atas jejantas, ketika menerima bantuan. Rasanya bukan depa sahaja yang gembira, kita yang duduk terkurung dalam rumah pun turut gembira melihat mereka dibantu.... Allahu .... Allah. Maka, diharap sesiapa yang mampu bersedekah atau membantu, seperti yang dilakukan oleh pendakwah tadi, hafizahullah, teruskanlah. Buatlah dengan ikhlas semampunya atau belajarlah berbuatnya dengan ikhlas. Sesiapa yang tidak berkemampuan atau belum berkemampuan, tolongilah saudara kamu dengan doa yang ikhlas juga. Mudah - mudahan semuanya diredhai Allah dan diselamatkan daripada segala bencana, dunia dan akhirat. Faqir tutup dengan menukil hadis marfu` yang diriwayatkan oleh Imam Thabrani rahimahullah dalam al-Mu'jam al-Awsath dengan sanad hasan bahawa Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu menyatakan: "Amalan yang paling utama (afdhal) adalah menggembirakan hati orang beriman, seperti memberinya pakaian untuk menutup auratnya, atau menghilangkan kelaparannya dengan kekenyangan, atau memenuhi hajat keperluannya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan