Berkat Yaasin Untuk Wabak
Surah Yaasin adalah satu surah yang sudah lazim menjadi amalan umat Islam, bukan sahaja di alam Melayu tetapi di seluruh jagat umat ini. Ini adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan, walaupun ada segelintir manusia pelik yang tidak senang melihat umat membacanya. Ulama dahulu mengajak umat beramal walaupun hanya seminggu sekali, kerana mereka memahami situasi dan kedhaifan umat. Ulanyak sekarang lain pula pola fikirnya, mereka mengganyak umat yang beramal sehingga mengakibatkan umat yang dhaif meninggalkan beramal. Nak baca Yaasin malam Jumaat dah kena bid`ah, nak baca al-Kahfi tak mampu, akhirnya balik melengung depan TV atau sambung bersembang. Eloklah umat yang dhaif membaca Yaasin seminggu sekali daripada hanya menunggu orang membacakannya kepada mereka ketika nazak nanti. Jangan disalahgunakan dalil - dalil yang benar untuk menghasilkan kebatilan. Dah elok masjid / surau menjadikan yaasinan setiap malam Jumaat sebagai wirid yang telah berkelangsungan sekian lama, engkau putuskan wiridan tersebut dengan ceramah yang entah apa - apa isi kandungannya, ceramah yang tidak setara dengan satu huruf pun daripada surah Yaasin. Ini kalau ikut geram ese, tak ke sudah ...... Namun balik kepada topik, bersempena dengan malam pertengahan bulan Sya'ban (Nishfu Sya'ban), para ulama kita turut menganjurkan antara lain, pembacaan surah Yaasin lalu diiringi dengan membaca doa Nishfu yang masyhur. Perkara ini telah tuntas dibahaskan dan tidak perlu untuk diungkit kembali. Sesiapa yang ingin meneruskan amalan ulama ini, silakan dan sesiapa yang tidak mahu, maka tidak ada sesiapa yang mewajibkannya.
Marilah kita menjadikan surah ini sebagai wirid kita, samada harian atau mingguan. Ingat pesanan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, sebaik -baik amalan itu yang berkekalan walaupun sedikit. Sungguh hairan jika ada yang membenci orang yang menjadikan surah ini wiridnya, hatta hanya wirid mingguan. Mungkin ini antara yang menjadi penyebab turunnya berbagai bala bencana atas umat ini. Allahu ... Allah, mudah - mudahan apa yang dinyatakan oleh Syaikh Hamaami rahimahullah tersebut dijadikan kenyataan dan diangkatkan segala bala dan wabak yang sedang melanda umat manusia ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan