Sabtu, April 18, 2020

KH Fathullah Harun

Kiyai Haji Fathullah Harun rahimahullah atau lebih akrab dipanggil sebagai Pak Kiyai oleh masyarakat di tempat faqir adalah salah seorang ulama yang lama menabur bakti kepada masyarakat kami. Beliau rahimahullah yang nama lengkapnya KH Fathullah Harun bin Haji Harun bin Haji Murtadho lahir di Jakarta sekitar tahun 1913. Pendidikan agama secara formal beliau dapatkan dengan memasuki Madrasah Unwanul Falah, Kwitang, yang diasuh dan diasas oleh Habib Ali bin Abdul Rahman al-Habsyi @ Habib Ali Kwitang yang terkenal dengan kealiman dan kewaliannya. KH Fathullah Harun juga sempat menjalani pendidikan akademik di Meer Uitgebreid Lager Onderwijs (MULO) sekolah Belanda. Sungguh pun demikian, menuntut dan mendalami ilmu agama tetap beliau teruskan dengan Habib Ali Kwitang, Habib Ali bin Husain al-'Aththas (Habib Ali Bungur), Habib Alwi bin Thahir al-Haddad (mantan Mufti Johor), Mu`allim Thabrani Paseban dan Guru Mahmud Romli rahimahumullah. Berkat didikan para gurunya, beliau menjadi seorang alim dan diizinkan untuk mengajar dan berdakwah. Keilmuan beliau terserlah sehingga guru beliau Habib Ali Bungur rahimahullah turut mengkagumi anak muridnya itu. Beliau dalam satu kesempatan di hadapan ribuan manusia, telah mempersaudarakan KH Fathullah Harun dengan Habib Muhammad (anak kandung Habib Ali Bungur) bersama dua lagi ulama Betawi, iaitu KH Abdullah Syafi`i dan KH Thohir Rohili, yang tiada lain tujuannya selain daripada memperkukuh dan memperluaskan dakwah Islamiyyah.


KH Fathullah Harun mempunyai pertautan erat dengan Malaysia, terutama sekali Kuala Lumpur dan Kuching. Asal mula dakwah beliau di Malaysia adalah sekitar tahun 1956 atas jemputan dan dorongan guru beliau Habib Alwi bin Thahir al-Haddad rahimahullah yang pada masa itu menjawat jawatan mufti di Johor. Ketika berdakwah di Malaysia, terjadi konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia mengakibatkan beliau tidak dapat pulang ke Indonesia. Murid - murid beliau meminta agar beliau tetap sahaja bermukim di Malaysia. Akhirnya beliau memutuskan untuk tinggal sahaja di Malaysia. Selama 14 tahun beliau berdakwah dan mengajar di Kuala Lumpur, terutama sekali di masjid Kampung Baru. Beliau menjadi perintis kepada pengajian selepas Subuh atau Kuliah Subuh yang dimulakan di masjid tersebut pada setiap minggu. KH Fathullah Harun juga pernah dilantik menjadi Imam Masjid Negara. Sekitar tahun 1979, bermulalah hubungan khusus antara beliau dengan Sarawak, apabila atas jemputan Tun Abdul Rahman Ya'kub, ketika itu menjawat jawatan ketua menteri, KH Fathullah Harun berhijrah ke Kuching, Sarawak. Di Kuching, beliau giat mengajar dan memberikan ceramah - ceramah agama. Beliau juga pernah dilantik menjadi imam Masjid Bahagian Kuching (masjid negeri ketika itu) dan pernah juga dilantik menjawat jawatan pemangku Mufti untuk beberapa waktu. Beliau menaburkan jasa di bumi Sarawak sehingga sekitar tahun 1985, sebelum kembali semula ke Semenanjung.

KH Fathullah Harun rahimahullah tutup usia di Makkah ketika menunaikan ibadah umrah di bulan Ramadhan. Jenazah beliau dimakamkan di tanah perkuburan Ma`la hampir dengan makam Sayyidatina Khadijah al-Kubra ummul mu'minin radhiyaAllahu `anha. Kisah bagaimana beliau mendapat keberuntungan tersebut dicatat dalam Genealogi Intelektual Ulama Betawi, halaman 170 - 171 seperti berikut:-  KH Fathullah Harun wafat pada usia 74 tahun di hari keenam bulan Ramadhan tahun 1987 di kota Makkah. Ia dikuburkan di pemakaman Ma'la, Makkah di samping kuburan ibunda Siti Khadijah. Ada cerita menarik pada proses pemakamannya itu yang menunjukan bagaimana Allah SWT memuliakannya. Pada hari ia wafat, wafat juga ulama terkemuka setempat. Kedua jenazah pun sama - sama disholatkan di tempat dan waktu yang sama. Sedangkan di Perkuburan Ma'la, sudah disiapkan dua kuburan yang sudah digali. Untuk ulama terkemuka setempat disiapkan persis di samping kuburan ibunda Siti Khadijah. Sedangkan untuk almarhum KH Fathullah Harun disiapkan di tempat yang lain. Pada saat jenazah diangkat dan sampai di samping kuburan ibunda Siti Khadijah, ternyata jenazah yang diangkat bukanlah jenazah ulama setempat, melainkan jenazah KH Fathullah Harun. Ada peraturan tidak tertulis di Perkuburan Ma'la, yaitu jika jenazah sudah berada di perkuburan, maka ia harus dikuburkan di tempat jenazah ditaruh dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain.

Selain daripada murid dan zuriat anak keturunan, KH Fathullah Harun juga meninggalkan beberapa buah karangan, antaranya:-  (i) Untuk Apa Manusia Dijadikan; (ii) Panduan Mengenal Allah Dan RasulNya; (iii) Terjemahan Washiyyatul Musthafa lil Imam `Ali karramaAllahu wajhah; (iv) Perjalanan Ke Tanah Suci; (v) Terjemahan 'Azizul Manal wa Fathu Baabil Wishaal; (vi) Miftahus Sa`adah; dan (vii) Terjemahan Nazam Hidayatul Adzkiya` ila Thariqil Awliya`. Mudah - mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas Kiyai Haji Fathullah Harun sentiasa dan menempatkan beliau di kalangan para shalihin... Allahumma aamiin .....al-Fatihah.




Tiada ulasan: